“M.A.Y.A, Mayaaaa!!!!”
Aduh! Berdengung telinga aku dengan suara nyaring Anis.
Aku menjeling geram.
Bengang dengan pencemaran bunyi yang dibuat oleh kawan baik aku ini. Pantang
tengok aku senang sikit. Ada saja nak mengganggu. Sudahlah aku tengah syok
merenung mamat bermotosikal di sebelah aku ini. Macho beb!
“Ciskek betullah kau ni
Anis. Agak-agak lah kalau nak menjerit tu. Habis berkembur. Kalau wangi tak
apalah juga. Ini dah serupa jeruk basi,” tempelak aku geram sambil mengesat pipi.
Hish..habis ternoda pipi aku yang putih bersih ini.
“Habis tu, nak berbuih
mulut aku ni panggil engkau dari tadi. Kau buat derk je,” rungut Anis tidak puas hati.
“Kejaplah, aku baru nak
main mata dengan mamat sebelah ni,” Aku kembali menghalakan pandangan ke arah
lelaki bermotosikal yang sedari tadi menarik perhatian aku. Sedang elok lelaki
itu memberhentikan motosikalnya di sebelah kereta aku. Mujur juga aku biarkan
Anis yang memandu. Bila keluar berdua dengan Anis, aku lebih senang menjadi
penumpang. Bukannya apa, bolehlah aku cuci-cuci mata sikit dengan makhluk indah
ciptaan Tuhan.
“Ala…kan dah melepas.”
Aku mengeluh hampa apabila lelaki bermotosikal itu memecut laju apabila lampu
merah bertukar menjadi hijau. Siap mencilok lagi tu!
“Apa yang melepas? Kau
kentut ke?” Pertanyaan Anis membuat aku mencerlung padanya tajam.
“Agak-agaklah sikit,” desis
aku. Ada ke manusia yang penuh dengan nilai ketamadunan macam aku ini nak
melepas angin di dalam kereta yang kedap berhawa dingin ini. Sudahlah dalam
kereta ini hanya ada aku dan Anis. Dia sengih.
“Aku tak fahamlah
dengan kau ini. Yang kau ghairah sangat tenung mamat motosikal kapcai tu
kenapa? Dah terdesak sangat ke?” soal Anis sinis. Tengah-tengah memandu itu
sempat lagi dia menghalakan pandangannya ke arah aku.
“Woit, pandang depanlah.
Kau tu tengah drive. Aku ini belum
kahwin lagi tau. Kalau jadi apa-apa nanti kau nak jawab macam mana dengan bakal
suami aku?” Bebelan aku buat Anis tergelak besar. Aku buat lawak ke derr? Ketawa sakan minah ni.
“Nak kata kau ni nyanyuk,
umur muda lagi. Sejak bila kau ni dah bertunang Cik Mayyadah oiii? Kekasih pun
tak ada. Entah-entah kau ni sedang mengalami sindrom 3 series?” sindir Anis. Aku tahulah semalam aku baru menyambut
ulang tahun kelahiran aku yang ke 30 tahun.
“Kau ni mulut tak ada
insurans betul. Aku sedarlah yang aku ini dah masuk 30 tahun 12 jam 20 minit.
Mentang-mentanglah kau tu baru 29 tahun 11 bulan 28 hari, sedap-sedap hati je
kau nak mengata aku.” Aku mencebik.
“Bukan mengata, tapi
kenyataan.” Gelak Anis semakin kuat. Bernanah gegendang telinga aku mendengar
ilai tawa Anis yang dah serupa macam puntianak harum sundal siang.
“Kau tak ingat ke apa
ustazah Nur Hafizah pesan? Setiap manusia yang dijadikan di muka bumi ini
berpasang-pasangan. Jodoh kita ini dah ditetapkan di Loh Mahfuz. Contohnya
jodoh kau dengan suami kau si Shuib tu. Jodoh aku pula dengan bakal suami
akulah sebab aku tak jumpa lagi,” ujar aku dengan suara yang sedikit meninggi. Perit
pula aku rasa anak tekak aku ini. Bercakap dengan Anis memang tak sah kalau
anak tekak aku ini tak tercedera. Dah nama pun kawan baik. Kalau bercakap tu
memang tak ada tapis-tapis dah. Bukannya bergaduh tapi berbincang.
“Ooo…patutlah kau
renung macam nak tembus dekat mamat bermotosikal tadi? Kau ingat lelaki itu bakal
suami kau?” perli Anis masih lagi dengan gelak tawanya.
“Aku cuba nasib je,
manalah tahu kan. Nak cari jodoh ini kenalah usaha. Lagipun aku sukalah tengok
lelaki yang bawak motosikal macam tu. Macho!” balas aku dengan senyum gatal.
Terbayang-bayang kelibat lelaki bermotosikal tadi di ruang mata aku. Dengan
berjaket kulit dan helmet full face,
bikin hati aku goncang. Hahahaha…. Apa kena dengan aku hari ini. Agaknya
betullah kata Anis tadi. Sudah terkena sindrom 3 series.
“Bawak motosikal cabuk
macam tu kau kata macho? Entah-entah mat rempit. Ataupun mat pit. Kau tak
tengok tadi dia mencilok kiri kanan. Takkanlah pilihan calon suami senior accountant seorang perempit
jalanan,” tingkah Anis tidak puas hati.
“Motosikal sikit punya
lawa macam tu kau kata cabuk? Smart apa
motosikal macam tu. Tak baik kau tuduh lelaki tu tanpa usul periksa. Kalau tak
betul jadi fitnah, kalau betul jadi mengumpat. Dua-dua tu berdosa tau. Dosa
dengan manusia ni, Allah tak akan ampun selagi kita sendiri tak minta maaf
dengan orang tu. Buatnya kau tak jumpa dah lagi dengan lelaki tu, kau nak minta
maaf dengan siapa?” soal aku sempat lagi menyelitkan nasihat. Anis ini mudah
sangat menyimpan persepsi negatif pada seseorang, hanya dengan memandang
luaran.
“Yalah, aku salah,” Anis
mengakui kesilapannya. Kepalanya yang berlapikkan tudung bawal digaru perlahan.
“Bukan aku tak tahu motosikal
Yamaha Lagenda tu favorite kau.
Siapa-siapa yang bawak motosikal tu semuanya handsome dan baik je dekat mata kau. Tapi aku peliklah dengan kau
ni. Orang lain minat motor berkuasa besar. Harley
Davidson ke, Ducati ke, Kawasaki Ninja ke. Ini motosikal spesies
Honda Cup juga yang kau suka,” sambung
Anis dengan dahi yang berkerut.
“Kalau semua orang suka
motosikal berkuasa besar, kesianlah dekat motosikal marhaen macam Yamaha
Lagenda tu. Cita rasa manusia ni kan berbeza-beza. Cita rasa aku pada motosikal
jenis macam tu, nak buat macam mana,” jawab aku masih tidak mahu mengalah.
“Cita rasa konon. Bawak
motor pun tak pandai,” cebik Anis memperlekehkan aku. Minah ni memang. Pantang
kalau ada peluang mengejek aku.
“Sebab kelemahan aku itulah
aku nak cari suami yang reti bawak motor. Nanti boleh aku bonceng motosikal
suami aku je. Secara tak langsung, dia akan menutup kelemahan aku. Bukankah
suami isteri itu saling melengkapi satu sama lain?” bahas aku lagi memangkah
ejekan Anis.
“Yalah tu…” Anis menjuihkan
mulutnya ke depan. Gaya dah habis modal nak menjawablah tu. Aku tersenyum
menang.
@@@
Aku memandang pelik
pada sejambak bunga segar di atas meja. Siapa pulalah yang tersilap letak bunga
ini atas meja kerja aku? Ini mesti si Mail dispatch
tersilap baca nama penerima. Sekeping kad yang terselit di celah jambangan
bunga ros merah itu ku ambil.
“To my lovely Mayyadah?” Aku membaca tulisan yang tertera pada kad
itu dengan dahi yang berkerut.
“Eh, ini nama aku!
Siapa pulalah yang baik hati hantar bunga pagi-pagi buta pada aku ni?” omel aku
dalam nada yang terkejut. Mana taknya. Seumur hidup aku di dunia yang fana ini,
rasanya inilah kali pertama aku menerima jambangan bunga sebesar ini. Kalau
dicongakkan lebih kurang 33 kuntum ni. Kalau tak silap aku 33 ini maknanya I Love You. Siapa pula manusia yang buta
mata hati mencintai aku ini?
Tapi kalau fikir-fikir balik,
seronok juga perasaan dapat bunga ini. Ada peminat juga aku ini rupanya. Tak
sangka sejak menginjak umur 30 tahun ini, mencanak-canak naik saham aku. Mungkin
betul juga kajian yang dibuat barat itu. Aura kecantikan wanita paling
terserlah pada awal 30-an. Pantas aku mengambil cermin kecil yang sentiasa
tersedia di dalam tas tangan. Aku menilik wajah. Manalah tahu kalau-kalau muka
aku dah berubah iras jadi Maya Karin atau Ayu Raudhah ke.
“Adoi..apa sajalah kau
buat ini, Maya. Baru dapat bunga kau dah perasan bagai nak rak” bisik aku sambil
menepuk pipi aku perlahan. Pantulan cermin tetap membiaskan seraut wajah cerah
milik wanita bernama Mayyadah. Bukannya Maya Karin. Jauh sekali nak jadi Ayu
Raudhah.
“Entah-entah ada orang
nak mainkan aku,” tebak aku sendirian. Aku melangkah ke luar bilik. Mata aku melilau
ke sekeliling ruang pejabat. Hemm..tiada suspek yang mencurigakan.
“Lisa, awak tahu tak
siapa yang hantar bunga ini?” Aku menyoal setiausaha aku yang sedang tekun
menghadap komputer. Mujur juga keadaan pejabat masih lagi lengang kerana belum
masuk waktu kerja lagi. Kalau tidak mahu kecoh anak-anak buah aku di pejabat
ini bila dapat tahu cik bos dia dapat bunga.
“Cik Maya dapat bunga?
Wah.. sweetnya. Siapa pengirimnya?” Teruja
sekali aku tengok reaksi Lisa. Aku yang dapat bunga dia pula yang melebih.
“Awak ni, Lisa. Kalau
saya tahu tak adalah saya tanya awak,” balas aku membuatkan Lisa tersengih
kerang.
“Ini mesti secret admirer Cik Maya ni,” teka Lisa bersungguh-sungguh.
Serius minah ini memang seronok semacam saja bila dia tahu aku dapat bunga.
“Banyaklah awak punya secret admirer. Betul awak tak tahu ni?”
tekan aku dengan suara yang sengaja ditegaskan. Biarpun di dalam hati
sebenarnya dah kembang setaman. Depan staf, gaya seorang ketua kena kekalkan.
“Saya tak tahu. Masa
saya kemas bilik Cik Maya tadi, bunga tu tak ada pun. Hmmm..saya rasa mungkin
orang pejabat kita juga kot. Seronoknya saya, Cik Maya. Tak lama lagi dapatlah
saya merasa nasi minyak Cik Maya,” jawab Lisa panjang lebar. Sekali lagi dia
dengan sukarela membuat tebakan. Memang dia ni dah terlebih hormon teruja. Siap
berangan nak makan nasi minyak aku lagi.
“Kalau awak nak makan
nasi minyak, sekarang pun saya boleh belanja. Nanti kalau free saya bawa awak ke Kedai Nasi Minyak Mak Piah,” ujar aku
separuh bergurau sambil mengangkatkan kedua belah kening aku. Sengaja buat
tidak faham dengan kata-kata Lisa.
“Nasi minyak itu dah
banyak kali Cik Maya belanja saya. Nasi minyak yang saya mengidam ni sekali
seumur hidup saja Cik Maya boleh belanja saya,” kias Lisa membalas usikan aku.
“Eh, awak mengandung
lagi ke, Lisa?” soal aku terkejut. Biar betul setiausaha aku ini. Baru dua
bulan lepas dia masuk kerja selepas cuti bersalin, takkan dah mengandung lagi
kot.
“Mana ada, Cik Lisa. Anak
saya Adam tu kecil lagi,” Sengih Lisa tersipu-sipu. Aku mengeluh lega. Kacau
hidup aku kalau setiausaha aku ini cuti panjang lagi. Caca merba jadual kerja
aku tak ada siapa yang urus nanti.
“Nasib baik. Kalau tak,
terpaksalah saya ngap siapa-siapa untuk ajak kahwin sebelum awak bersalin. Nanti
kan tak fasal-fasal meleleh air liur anak awak sebab kempunan nak merasa nasi
minyak kenduri kahwin saya.” Gurauan aku mengundang gelak besar Lisa. Dan yang
mengejutkan aku, ada suara lain yang tumpang gelak sekali.
“Tak perlu tangkap muat,
Cik Maya. Saya dengan rela hati tawarkan diri,” celah Encik Fahim Tan Sri
Arshad, CEO yang baru dua minggu dilantik menggantikan Tan Sri Arshad yang
telah bersara.
Terus terhenti gelak si
Lisa. Aku pula hanya mampu tersenyum nipis. Tak sangka boleh tahan juga bos
kami yang selalu nampak serius ini bergurau. Masing-masing terasa janggal
hendak membalas usikan Encik Fahim.
“Cik Maya, I want to see you in my office, now,” arah
Encik Fahim dengan nada yang sedikit serius. Dia melangkah masuk ke dalam bilik
pejabatnya.
“Baik.” Aku hanya
mengangguk. Tergesa-gesa mencapai diari dan pen sebelum menuju ke bilik Encik
Fahim. Sempat aku mengerling jam di tangan. 8.45 pagi. Belum masuk waktu
pejabat lagi.
Awal pula bos kacak aku
ini datang hari ini. Kalau tidak, matahari dah naik atas kepala baru nampak
batang hidung. Maklumlah syarikat ini bapak dia yang punya. Jadi, sesuka hati
mak bapak dia hendak buat apa pun kan. Tak ada siapa yang berani nak
persoalkan. Seronok kan jadi anak orang kaya ni. Omel aku di dalam hati.
Di depan pintu bilik
Encik Fahim, aku berdeham sebelum mengetuk pintu beberapa kali. Tombol pintu
aku pulas apabila sayup kedengaran suara Encik Fahim yang menyuruh aku masuk.
Aku berdiri tegak di
depan meja Encik Fahim. Bersemangat waja pula bos aku memulakan kerja hari ini.
Muka pun berseri-seri. Ceria semacam. Agaknya dah kena amaran keras Tan Sri
Arshad lah tu. Yalah, selama ini waktu masuk kerja dia ikut waktu UK. Mentang-mentang
selama ini tinggal di London. Waktu keluar pejabat pula dia ikut waktu
Malaysia. Lama-lama boleh lingkup syarikat ini.
“Yang tercegat lagi tu
kenapa? Duduklah,” suara Encik Fahim mengejutkan aku. Tanpa menunggu lama, aku
melabuhkan punggung di atas kerusi. Wajah Encik Fahim yang sedang menunduk
meneliti dokumen aku pandang. Sabar menunggu butir bicara yang hendak
disampaikan kepada aku.
“Suka tak bunga tu?” soal
Encik Fahim tanpa mendongakkan wajah. Hampir tersedak air liur nak aku telan.
Mujur aku tak terbelahak.
“Bbuu..bunga?” Aku
sudah mula tergagap-gagap. Terkejut bukan kepalang. Nasib baik jantung aku ini disahkan
sihat oleh pengamal perubatan Malaysia. Kalau tak mahunya aku gol dekat situ
juga.
Encik Fahim mengangkat
kepalanya. Matanya memanah tepat ke wajah aku. “Yes, 33 roses to say that I Love You.”
Straight
to the point. Aku menelan liur dengan pengakuan
jujur Encik Fahim. Kenapa lidah aku terasa pahit? Kenapa hati aku tak teruja?
Sedangkan inilah detik yang aku tunggu dalam hidup aku bila kali pertama ada seorang
lelaki meluahkan cinta pada aku.
“So, what do you say?” tanya Encik Fahim setelah melihat aku hanya
bungkam.
“Err..ja..ja..jadi,
encik lah ya..yang bagi bunga tu?” Terpacul soalan yang sah-sah aku sudah tahu
jawapannya. Aduh, gawat. Kenapa jadi kalut ini? Tenang, Maya!
“Ya, itu dah obvious kan?” balas Encik Fahim sambil
melirik senyuman menawan kepada aku. Senyuman yang pastinya mampu mencairkan
hati mana-mana perempuan pun. Tapi kenapa hati aku ini keras semacam? Mungkin
waktu pagi yang dingin ini membuatkan hati aku berada pada takat beku kot.
“Kenapalah encik
beritahu identiti encik cepat sangat. Kalau tak boleh saya berteka-teki lama
sikit. Apalah encik ini. Tak thrill langsung.”
Spontan kata-kata itu terluah dari mulut aku. Encik Fahim memandang aku dengan
wajah yang tidak percaya. Kemudian ruang biliknya yang besar itu bingit dengan
ledakan tawa. Lama pula tu. Agaknya kalau boleh dia nak tergolek dekat situ
kot.
“Awak ni kelakarlah,
Maya. Tak pernah saya gelak sampai macam ni,” tingkah Encik Fahim sambil
mengesat air mata yang menitis. Tiada lagi panggilan Cik di hujung pangkal nama
aku. Aku hanya melemparkan senyuman nipis. Sebenarnya aku tak tahu nak kata apa.
Cuma itu saja yang terlintas di fikiran aku waktu itu.
“Sorrylah, saya buat encik menangis,” ucap aku serba salah. Tak
sangka pula Encik Fahim ini boleh bantai ketawa tanpa henti.
“No need to say sorry. Awak sebenarnya dah buat hati saya makin terpaut,”
bicara Encik Fahim berubah romantik. Aku bertambah resah jadinya. Sudahnya aku
menundukkan wajah memandang lantai. Malulah kononnya itu. Tetapi memang aku
segan pun.
“So, apa perasaan awak, Maya? Sudi terima cinta saya?” Sekali lagi
aku terkedu dengan soalan berbisa daripada Encik Fahim. Memang lelaki ini
sangat berterus-terang.
Apa aku hendak jawab
ini? Hendak suruh aku terima, kenapa hati aku tak ada rasa apa-apa? Kalau suka,
sepatutnya mesti hati aku rasa Kuch Kuch
Ho Ta Hai. Tetapi hendak tolak pun kena fikir banyak kali juga. Umur aku
pun bukannya muda lagi. Cinta pula bukannya selalu datang dalam hidup aku. Emak
bapak aku dekat kampung pun dah mula bising. Itu belum dikira sindiran pedas
makcik dan pakcik aku lagi. Mulut orang kampung usah cakaplah. Lagipun aku
tengok Encik Fahim ini pun tampan dan kaya raya. Kalau aku kahwin dengan Encik
Fahim, mesti terlopong seluruh warga Kampung Talam. Menjadi menantu Tan Sri,
siapa tak bangga kan? Tanpa sedar aku mengukirkan senyum.
“Senyum tu maksudnya
setuju ke?” Pertanyaan Encik Fahim terus mematikan khayalan aku. Itulah kau,
Maya. Lelaki ini baru tawar engkau cinta, yang engkau pergi melalut sampai
kahwin tu apa hal?
“Errr…saya tak ada
jawapan sekarang, encik. Beri masa saya untuk fikir,” putus aku mengharapkan
pengertian. Sekurang-kurangnya tempoh masa yang ada ini bolehlah aku buat solat
istikharah. Memohon petunjuk daripada Allah yang maha kuasa kerana Dia yang
mengaturkan takdir hidup aku.
“Sure, dear. Take your time. Tapi saya harap
keputusannya tak mengecewakan saya,” ujar Encik Fahim dengan penuh harapan. Sempat
lagi dia mengenyitkan matanya pada aku. Gatal!
“Insya-Allah, kalau ada
jodoh tak ke mana,” balas aku tersenyum pahit. Encik Fahim menganggukkan
kepalanya dengan senyuman tak lekang di bibir.
“Err..saya keluar
dulu,” pamit aku meminta diri untuk ke bilik pejabat aku.
Dalam diam aku
mengeluh. Hari ini dalam sejarah! Saat yang aku tunggu-tunggu akhirnya tiba.
Adakah Encik Fahim jodoh yang telah dikirimkan oleh-Nya untuk aku? Adakah Encik
Fahim jawapan untuk doa aku? Agak-agak Encik Fahim ini pandai bawa motosikal
Yamaha Lagenda tak?
@@@
Awal-awal pagi Ahad,
aku sudah tercongok di hadapan bangunan pusat servis kereta Toyota. Buat apa
lagi kalau bukan untuk menservis kereta Vios kesayangan aku ini. Sudah lama
kereta aku ini tidak mendapat belaian kasih sayang. Dek kesibukan kerja, sudah
beberapa kali aku terpaksa menunda temu janji untuk menservis kereta. Biasalah
perempuan, tahu pakai saja. Bila kereta itu dah agak-agak nazak, barulah reti
nak servis.
Langkah kaki aku yang
hendak masuk ke lobi bangunan terhenti apabila mata aku menangkap sebuah
motosikal Yamaha Lagenda yang diparkir betul-betul di sebelah kereta Vios aku. Aku
menilik penuh minat. Smart. Bertambah
elegan dengan rangka badannya yang dicat dengan kombinasi warna hijau lumut dan
hitam. Macam pernah aku nampak plat nombor motosikal ini. Bukan ke motosikal
ini yang aku jumpa masa berhenti di lampu trafik tempoh hari? Macam berjodoh
je.
Hai..bilalah agaknya aku
dapat membonceng Yamaha Lagenda ini dengan suami aku? Mesti romantik kan? Duduk
rapat-rapat. Peluk pinggang erat-erat. Barulah syok bila semuanya sudah halal
dan diperakui sah oleh JAKIM. Agak-agaknya siapalah bakal suami aku nanti ya? Yang
pasti bukan Encik Fahim! Orang pertama yang aku dah pangkah dalam senarai. Siap
padam dengan liquid paper lagi.
“Berminat ke?” sapa
satu suara garau. Aku memandang ke arah tuan empunya suara. Terbias senyuman
senget di wajah lelaki itu. Kerek semacam je! Mesti sedang mengutuk aku di
dalam hati tu.
“Kalau berminat saya
boleh bagi pinjam motosikal saya tu,” tawar lelaki itu. Oh! Motosikal ini dia
yang punya rupanya. Nasib baik tadi aku tak sempat buang tabiat pergi naik atas
motosikal ini. Kalau tak buat malu kaum saja depan lelaki kacak dan macho ini.
Amboi, mentang-mentang dah tahu lelaki ini pemilik Yamaha Lagenda, terus kau
wartakan dia ini kacak dan macho ya. Tak semenggah betul kau ini, Maya! Kutuk
aku di dalam hati.
“Err..thanks but no thanks. Saja je tengok. Sorry.” Aku menggelengkan kepala sambil berlalu masuk ke dalam
bangunan. Setelah siap urusan di kaunter pendaftaran, aku menuju ke ruang
menunggu yang disediakan. Banyak juga kereta yang sedang berderet menunggu untuk
diservis. Mahu berjam-jam juga aku terpaksa bertapa di sini.
Baru beberapa minit
duduk sudah terasa bosan. Menyesal pula aku tidak membawa laptop. Jika tidak
boleh juga aku bermuka buku. Mengemas kini perkembangan terkini kawan-kawan aku
yang kebanyakannya sudah berkahwin dan beranak-pinak. Sibuk duduk berebut
tayang gambar laki dan anak. Manusia ini punya pelbagai cara untuk
menterjemahkan kebahagiaan mereka!
Aku membuang pandang ke
arah bengkel kereta yang hanya dipisahkan oleh tingkap bercermin lut sinar.
Melalui tingkap ini pelanggan yang sedang menunggu boleh melihat sendiri para mekanik
melakukan kerja menservis. Kreatif juga konsep begini.
Mata aku tertancap pada
lelaki yang menegur aku tadi dalam kelompok mekanik itu. Jejaka YL untuk Yamaha
Lagenda. Suka-suka hati saja aku gelar lelaki itu. Yalah, mana aku tahu nama
dia. Kerja di sini rupanya si jejaka YL. Entah kenapa mata aku ini macam ada
magnet untuk terus tunak memerhatikan setiap inci pergerakan jejaka YL itu. Macho
habislah. Melalui pengamatan mata kasar aku, si jejaka YL nampak seperti
pendiam. Mulut dia tak banyak bergerak pun, cuma tangan dia yang tangkas menyiapkan
kerja. Dah nama pun kerja mekanik, bukannya penyanyi. Haruslah tangan yang
melakukan kerja.
Dalam keasyikan aku
merenung si jejaka YL, tiba-tiba dia mendongakkan wajah. Seperti tahu yang
dirinya sedang diperhatikan. Mata kami bertentangan dan dia gariskan senyuman
manis. Aku mengerdipkan mata berulang kali seakan tak percaya. Tiba-tiba terasa
jantung aku berdegup kencang. Macam baru lepas marathon 5 km. Pantas aku
mengalihkan pandangan aku ke arah lain. Buat-buat macam tak nampaklah kononnya.
Kelas lakonan kau, Maya.
Debaran di dada sedikit
reda bila telefon bimbit aku berdering. Baru hendak melayan perasaan, ada saja
yang dengki. Pantas aku mencapai telefon di dalam tas tangan. Tertera nama Encik
Fahim di skrin telefon. Aku hanya biarkan deringan telefon aku mati sendiri.
Buat kali kedua telefon
aku sekali lagi menjerit. Aku mendengus tidak senang. Ingin saja aku biarkan
panggilan itu tidak berjawab. Namun menyedari beberapa pasang mata yang sedang memandang,
mungkin kurang selesa dengan gangguan tanpa henti itu membuatkan akhirnya aku
mengangkat panggilan itu. Sengaja aku menjauhkan diri sedikit dari ruang
menunggu, mencari privasi.
“Hello, Encik Fahim.
Kenapa call saya ni?” Tanpa mukadimah
aku terus menyoal Encik Fahim.
“Perlu ada sebab ke
baru abang boleh call sayang?” Soalan
aku dibalas dengan soalan juga. Berbulu telinga aku ini dengan panggilan
abang-sayang itu. Terdengar gelak gatal Encik Fahim.
“Mestilah kena ada
sebab, Encik Fahim. Saya ini tak bercakap dengan suami orang melainkan kalau
ada urusan penting seperti urusan kerja ke. Kalau setakat nak berbual, lebih
baik encik berborak dengan isteri encik. Bersayang-abang dengan isteri encik.
Dapat juga pahala,” perli aku sedikit meninggikan suara. Aku dah tak peduli
sama ada Encik Fahim ini bos aku atau pun tak. Kalau kena buang kerja sekali
pun aku dah tak kisah. Rimas aku dengan gangguan miang-miang keladi Encik Fahim.
Dalam banyak-banyak lelaki bujang dalam dunia ini kenapalah lelaki beristeri
juga yang mengejar cinta aku.
“Wowo… rilekslah, Maya.
Saya gurau je. Sebenarnya, saya call
awak ini pun sebab kerja. Ada beberapa laporan kewangan yang awak kena
tandatangan untuk submit tender
Dermaga. Dokumen tender ini pulak saya kena hantar hari ini. Awak singgah office sekejap, boleh?” beritahu Encik
Fahim dengan lembut. Haa..bukan ke senang kalau cakap terang-terang. Tak adalah
aku nak angin satu badan. Tetapi apa halnya pula hendak hantar dokumen tender hari-hari
minggu ini. Pejabat pungutan tender mana yang rajin buat kerja terlebih masa
pula ini? Terdetik rasa kurang enak di hati aku.
“Sorry, encik Fahim. Saya tengah servis kereta ni. Isnin ni tak
sempat ke? Lagipun hari minggu macam ni, mana ada office buka untuk collect dokumen
tender itu,” ujar aku dengan prasangka. Biarpun aku profesional dengan kerja
aku tapi tak salah kalau aku berwaspada kan?
“Tak sempatlah, dear. Technically kita dah dapat tender ni but there’s some terms & regulations that need to be clarified. Kebetulan
petang ini saya main golf dengan Dato’ Bakri. Saya ingat nak serahkan dokumen tender
ini by hand pada Dato’ and negotiate the deal,” terang Encik
Fahim membuatkan aku menjadi serba salah. Rasa bersalah pula bila hati ini
membuat tebakan yang bukan-bukan tadi.
“Macam inilah, encik
Fahim. Saya sekarang ini dekat Pusat Servis Toyota di sebelah bangunan Maybank.
Kalau tak keberatan, boleh encik datang sini dengan dokumen tender itu? Lagipun
kereta saya lambat lagi siap,” cadang aku memberikan penyelesaian.
“Okey, I’ll be there in ten minutes.” Setelah mendapat persetujuan daripada
Encik Fahim, aku mematikan talian.
Aku mengeluh berat. Masalah
betul aku dengan Encik Fahim ini. Sejak dia muncul, kucar-kacir hidup aku jadinya.
Nasib baik aku tak terus gelojoh menerima cinta Encik Fahim. Berkat solat hajat
dan solat istikharah yang aku buat setiap hari. Akhirnya Allah tunjukkan
kebenaran di depan mata aku apabila aku terserempak Encik Fahim dengan seorang
perempuan cantik sedang membeli belah di Alamanda Putrajaya. Romantik sekali
berpegangan tangan.
Risik punya risik,
rupanya Encik Fahim sudah beristeri. Malah isterinya bukan calang-calang orang.
Rupa paras cantik ala-ala Maya Karin versi bertudung. Pan Asian katanya. Ada master dalam bidang kulinari lagi. Dah
sah-sahlah pandai memasak. Kalau nak diukur dengan aku ini, ibarat macam langit
dan bumi. Cuma apa yang kurang mereka belum dikurniakan zuriat sendiri. Sebab
itulah Encik Fahim hendak beristeri lagi. Ingin mengembangkan zuriat katanya.
Dan akulah perempuan yang dipilih untuk melahirkan keturunan Encik Fahim Tan
Sri Arshad. Tidak ada orang lain ke? Dia ingat muka aku ini muka perempuan
subur ke?
Sudah semestinyalah aku
tak bersetuju dengan cadangan itu. Aku tak nak jadi perampas kebahagiaan rumah
tangga orang lain. Aku tolak cinta Encik Fahim dengan cara baik. Tetapi lelaki
itu tak pernah kenal erti putus asa. Setiap hari dia terus mendesak aku.
Macam-macam cara dia buat supaya aku terima cinta dia. Yang paling aku tak
sangka, dia pernah beritahu aku yang dia sanggup meminta isteri dia untuk
berjumpa dan melamar aku jika aku mahu. Gila! Memang kerja gila. Sejak itu,
Encik Fahim tidak lagi segan untuk menunjukkan perasaannya pada aku di depan
pekerja lain. Sampaikan muka aku ini dah naik kematu mendengar gosip-gosip liar
di kalangan pekerja syarikat tentang hubungan aku dan Encik Fahim.
“Hai, sayang. Lama ke
tunggu abang?” tiba-tiba encik Fahim menyapa aku. Sapaan yang agak kuat sehingga
berjaya mengundang kerlingan beberapa pasang mata yang turut berada di ruang
menunggu itu. Cepat pula lelaki ini sampai. Merah padam muka aku saat itu. Apa
motif encik Fahim ini? Hendak suruh orang ingat yang aku ini isteri dia ke?
“Amboi, encik Fahim. Kalau
nak bergurau pun agak-agaklah. Nanti kalau isteri encik dengar, mati saya kena
hempuk dengan periuk belanga,” balas aku juga dengan kuat. Sengaja aku ingin
insan-insan yang berada di situ tahu yang aku ini bukan isteri encik Fahim.
Berubah terus raut wajah bos aku itu. Kau ingat kau seorang saja ke boleh
berlako?.
“Mana dokumen yang
perlu saya sign tu?” tanya aku terus
kepada tujuan.
“Saya rasa tak
sesuailah nak sign dekat sini. Apa
kata kita pergi minum?” ajak Encik Fahim.
“Encik nak dapatkan
tandatangan saya je kan? Sekarang ini, saya cuma perlukan pen, bukannya air.” Pedas
aku menyindir. Encik Fahim terpisat-pisat. Saat itu aku rasa macam aku pula
yang jadi bos. Aku gelak jahat di dalam hati. Tidak baik takbur, Maya. Pantas
aku beristighfar.
“Yalah, orang dah tak
sudi nak buat macam mana” akur Encik Fahim dengan wajah sayu. Bajet aku boleh
jatuh kasihan dengan mimik muka dia tu agaknya. Dia menghulurkan dokumen.
Satu persatu dokumen tender
itu aku belek dan menurunkan tandatangan sehinggalah mata pena terhenti di
helaian yang terakhir. Kenapa aku tengok helaian ini lain macam saja. Borang
kebenaran berpoligami? Jelas tertera tandatangan isteri Encik Fahim di situ.
Aku menghadiahkan jelingan tajam kepada Encik Fahim yang sedang tersenyum
manis. Kalau dulu aku rasa senyuman itu boleh mencairkan hati mana-mana
perempuan, tapi sekarang ini aku rasa senyuman itu boleh buat hati aku rentung.
Berapi-api aku rasa.
“Apa ini, encik?” soal
aku dengan suara aku tertahan-tahan. Tidak mahu ketegangan di wajah aku ini
menarik perhatian orang. Bara dalam hati ini usah cakap lagilah. Nasib baik
dekat tempat awam. Kalau diikutkan hati aku yang tengah panas menggelegak ini,
ringan mulut aku hendak menyembur satu dua das lagi pada lelaki yang tak reti
bahasa ini.
“Borang kebenaran
poligami, sayang. Isteri abang dah setuju. Please,
Maya. Be my wife?” tutur Encik
Fahim dengan lembut tetapi dia sengaja menguatkan nada suaranya. Manusia yang
berada di situ dah menjeling aku semacam. Wajah aku berubah merah. Kalau
disukat ketebalan kulit muka aku ini sudah senipis kulit bawang dah. Tetapi
Encik Fahim masih boleh selamba badak lagi. Memang dasar spesies kulit buaya
tembaga.
“Kita cakap dekat tempat lain. Sini tak sesuai,”
putus aku masih menahan sabar.
“Sebab itulah abang
ajak kita pergi minum tadi tapi sayang tak nak” perli Encik Fahim memulangkan
paku buah keras kepada aku. Sabar, sabar, sabar.
“Kita cakap dekat
luar.” Aku mengangkat punggung menuju ke luar bangunan. Encik Fahim mengekori
aku. Suasana di luar yang membahang membuatkan hati aku semakin panas. Peluh
mula memercik di dahi.
“Dah berapa kali saya
cakap dengan encik. Saya tak nak kahwin dengan encik. Sama ada isteri encik
izin ataupun tidak, jawapan saya tetap sama. Encik faham tak? TIDAK. NO. NEHI!”
Aku tidak tunggu lama terus melahar Encik Fahim. Tegas dan jelas.
“Kenapa sayang tak nak
terima abang? Salah ke kalau jadi isteri kedua? Abang janji…”
“Stop, encik Fahim. Sebelum saya muntah hijau, tolonglah jangan guna
perkataan abang-sayang tu lagi. Encik adalah bos saya dan saya adalah pekerja
encik. Lebih baik hubungan kita berdua kekal sebagai pekerja dan ketua saja.” Aku
memotong kata-kata Encik Fahim. Terkulat-kulat dia melihat amukkan aku.
“Saya tak kata jadi isteri nombor dua ini salah.
Dalam Islam sendiri membenarkan lelaki yang mampu untuk bernikah lebih daripada
satu. Kalau encik mampu, itu hak encik. Tapi bukan dengan saya,” sambung aku
lagi setelah melihat Encik Fahim diam. Aku tak sanggup membina mahligai bahagia
atas kelukaan wanita lain. Isteri mana yang tidak akan terluka apabila terpaksa
berkongsi suami. Setinggi mana reda yang diucapkan di bibir mesti terpalit pilu
di hati. Aku tahu sebab aku sendiri pernah melihat bagaimana berlikunya
perjalanan ibu aku sebagai isteri kedua. Kakak aku, Maryam yang sentiasa makan
hati berulam jantung setelah abang ipar aku bernikah lagi satu. Itu semua
pengajaran dan iktibar yang aku jadikan pedoman untuk meniti hari.
“How could you be so sure, Maya?” soal Encik Fahim masih tidak
berputus asa. Susahnya nak memahamkan orang yang tak reti bahasa ini. Aku
mendengus geram. Kepala yang tidak gatal aku garu kuat. Adoi, boleh botak
kepala aku kalau terus-terusan begini.
“Gerak hati. Gerak hati
yang Allah titipkan setelah saya melakukan solat istikharah dan hajat. Saya
yakin dengan gerak hati saya,” beritahu aku dengan sedikit kesabaran yang masih
tersisa. Aku tepuk dada perlahan.
“Tapi saya betul-betul
cintakan awak, Maya,” luah Encik Fahim. Adoi, dia main bab perasaan pula dah.
“Tak.” Aku geleng
kepala laju.
“Encik tak cintakan
saya. Encik cuma perlukan saya,” Tegas aku membetulkan kata-katanya. Dia hendak
berkahwin dengan aku supaya aku dapat melahirkan zuriat untuk dia. Nak datang
cinta dari mananya? Buatnya kalau ditakdirkan aku ini tak mampu nak berikan dia
zuriat juga, mahu Encik Fahim ini kahwin tiga kot. Barulah betul-betul ikut
jejak langkah P. Ramlee dalam madu tiga.
“No. Mula-mula memang saya perlukan awak, Maya. Tapi makin lama saya
kenal awak, saya mula jatuh cinta pada awak. You always make me happy,” Aku mengerutkan dahi aku pelik. Hairan
bin ajaib aku dengan kata-kata Encik Fahim ini. Agaknya telinga dia ini
tersumbat kot. Hari-hari aku duduk meninggi suara tengking dia, dia boleh kata
aku buat dia gembira. Itu belum lagi termasuk ayat-ayat pedas yang aku sembur
setiap kali dia buka mulut ajak aku jadi bini nombor dua dia.
“Macam inilah, Encik
Fahim. Senang cerita, saya ini langsung tak ada rasa cinta pada encik. Sebuah
perkahwinan itu perlukan dua hati yang saling mencintai. It takes two to tango, encik Fahim.” Kan dah keluar ayat mat salleh.
Entah sesuai ke tidak peribahasa yang aku guna itu. Gasaklah. Janji tercapai
maksud. Kalau hati dah suka dan cinta, barulah wujudnya kerjasama dan
persefahaman. Itu barulah namanya perkahwinan. Kebahagiaan dalam perkahwinan
ini bukan sebab zuriat semata-mata. Kalau tak, tidak adalah anak-anak yang
menjadi mangsa penceraian.
“Tapi cinta boleh
dipupuk selepas kahwin. Awak belum kenal saya. Saya ini seorang suami yang
hebat tau. Saya yakin awak akan jatuh cinta dengan saya. Kalau awak nak belajar
tango pun saya boleh ajarkan,” tutur Encik Fahim tersengih sambil mengenyitkan
matanya.
Aku tepuk dahi. Geli
pula aku mendengar ayat Encik Fahim ini. Terasa hendak tercabut semua bulu yang
ada dekat tubuh aku ini. Aku tak pastilah apa maksud ayat Encik Fahim itu sebab
aku ini anak dara. Otak aku masih bersih dan suci. Kalau aku faham pun aku
buat-buat tak faham saja. Nantikan orang tuduh aku anak dara tapi otak berkarat
kuning pula.
“Tolonglah, Encik
Fahim. Saya..”
“Tolonglah terima suami
saya, Cik Maya” Terkedu terus aku apabila satu suara lembut menyampuk kata-kata
aku. Aku memang cam dengan perempuan ini. Dia inilah isteri Encik Fahim yang
cantik menawan itu.
“Saya Khadijah, isteri
Fahim” Wanita anggun itu memperkenalkan dirinya. Dia menghampiri aku dan Encik
Fahim. Aku pandang wanita itu atas bawah. Memang cukup sempurna. Tetapi masih
tidak cukup bagi seorang suami. Hanya kerana zuriat, Encik Fahim tega menduakan
isterinya.
“Minta maaf, puan. Saya
tak boleh tunaikan.” Aku masih bertegas dengan keputusan aku. Sebuah jelingan
tajam aku lemparkan kepada Encik Fahim. Sanggup dia bawa isterinya bersama
untuk memujuk aku.
“Tolonglah, Cik Maya.
Kalau Cik Maya mahu, saya sanggup melutut. Tolonglah terima suami saya sebagai
suami Cik Maya,” rayu Puan Khadijah bersungguh-sungguh.
Aku menelan liur pahit.
Anak mata hitam Puan Khadijah aku renung lama. Melalui sinar matanya aku tahu dia
terseksa. Tiba-tiba hati aku merasa pedih. Masih ada rupanya seorang isteri
yang sebegini hebat berkorban untuk menunaikan permintaan suaminya sendiri sehingga
sanggup dipendamkan segala duka lara yang merobek hati.
“Jangan buat saya macam
ini, puan. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya memang tak boleh,” tolak aku
serba salah. Macam mana ni? Sebelum dia melutut di kaki aku, lebih baik aku mencari
alasan yang kukuh. Kalau terpaksa berbohong sekalipun, aku sanggup!
“Sebenarnya saya dah
nak bertunang, puan. Nanti apa kata bakal tunang saya kalau dia tengok puan
macam ini,” dalih aku dengan rasa bersalah. Mujurlah otak aku ini bergeliga
mencipta alasan. Harap-harap alasan ini berjaya membuatkan Encik Fahim dan
isterinya berhenti daripada terus mendesak aku.
“Awak nak bertunang?
Kenapa saya tak tahu?” soal Encik Fahim dengan wajah tegang. Melebih-lebih pula
orang tua ini. Tak reti nak jaga hati dan perasaan bini langsung. Asyik
mendahulukan kepentingan diri sendiri saja.
“Benda belum jadi.
Takkan saya nak heboh. Tapi terpaksa jugalah saya beritahu encik Fahim dan puan
Khadijah supaya faham dengan keadaan saya,” tukas aku dengan teratur. Mantap
sekali ayat yang aku cipta.
“Saya tak percaya. Awak
tipu saya kan?” sangkal Encik Fahim. Aku tersentak. Skrip sikit punya mantap
aku karang dalam kepala otak, dia boleh lagi nak sanggah.
“Tak, saya tak tipu,”
nafi aku sekeras-kerasnya.
“Kalau macam itu, bawa
saya jumpa bakal tunang awak sekarang juga,” desak Encik Fahim membuatkan aku
terkedu. Masalah lain pula. Dalam otak aku ligat mencari idea untuk berdalih,
tiba-tiba muncul jejaka YL. Dia sedang berjalan menuju ke arah aku. Aku
perhatikan di tangannya ada kunci kereta Vios aku. Mungkin kereta aku sudah
siap diservis.
“Kenapa ini?” soal
lelaki itu mungkin menyedari ketegangan pada wajah kami bertiga. Tiba-tiba aku
mendapat idea gila. Aku sudah tidak kisah apa akan jadi selepas ini. Yang
penting aku perlu yakinkan Encik Fahim dan Puan Khadijah.
“Ini bakal tunang saya,
encik. Kebetulan dia memang kerja dekat sini.” Spontan aku terus menuding ke arah
jejaka YL yang berada di sebelah aku. Encik Fahim diam tidak berkutik. Hanya
pandangan matanya sahaja yang tajam memandang lelaki itu. Aku pun sebenarnya
tak berani nak mengangkat muka sebab aku tahu jejaka YL sedang memandang aku tajam.
Janganlah dia kantoikan lakonan aku ini. Minta maaflah encik Yamaha Lagenda.
Terpaksa jadikan awak hero terjun dalam cerita saya.
“Saya rasa encik dan
puan sudah jelas kan? Tolonglah jangan paksa saya lagi selepas ini,” sambung aku
lagi apabila menyedari semuanya terdiam. Dalam hati aku berdoa semoga Encik
Fahim dan isterinya segera beredar.
“Lelaki ini ke pilihan
awak, Maya? Seorang senior accountant
memilih mekanik cabuk. Kalau macam inilah taste
awak, jadi isteri kedua saya lebih baiklah,” bentak Encik Fahim tidak puas
hati. Kurang asam punya bos. Ini sudah lebih. Dah sampai tahap menghina dah
ini. Kesian si jejaka YL yang tidak bersalah ini. Baru sahaja aku nak buka
mulut, tiba-tiba lelaki itu menyampuk.
“Sila jaga bahasa, encik.
Walaupun bakal isteri saya ini seorang senior
accountant. Tapi saya sebagai bakal suami dia, senior juga dekat sini. Senior mechanic.” Hampir nak pengsan aku
mendengar kata-kata yang keluar dari mulut jejaka YL. Senior mekanik? Hendak
bantai gelak, nanti kan terkantoi pula lakonan aku. Sudahnya merah padam muka
aku ini menahan gelak dalam hati.
“Lelaki yang bakal
menjadi suami Maya ini ada nama. Nama saya Wazien. Selepas ini saya harap encik
tak mengganggu Maya lagi. Jom sayang. Kita masuk dalam. Kereta sayang, abang
dah siap servis dah,” ajak lelaki itu dengan memegang lengan aku. Aku hanya
mengikut langkah lelaki ini. Nasib baik lengan aku berlapik dengan kain. Kalau
tidak, makin bertambah dosa yang dicatat dekat bahu kiri aku ini. Tapi kelas
juga lakonan Wazien ini.
Akhirnya Encik Fahim
dan Puan Khadijah berlalu pergi. Muka Encik Fahim usah cakap lagilah. Kelat
macam peria. Dan aku perasan riak kelegaan di wajah Puan Khadijah. Aku menghela
nafas panjang. Rancangan aku sukses! Aku yakin Encik Fahim tidak akan
mengganggu aku lagi.
Alhamdulillah. Aku
menadah tangan dan meraup muka mengucapkan kesyukuran. Perbuatan aku terhenti bila
tersedar yang masalah aku masih belum selesai. Pandangan tajam Wazien a.k.a
jejaka YL membuatkan aku serba salah. Pasti lelaki ini sedang menagih sebuah
penjelasan daripada aku. Aku berdeham berulang kali membetulkan suara aku.
“Sebelum awak marah
saya, biar saya jelaskan dulu,” bicara aku sedikit gugup. Sebenarnya aku tak
tahan tengok panahan mata Wazien ini. Jantung aku ini sedang bergoyang dangdut
dah dekat dalam. Dag dig dug.
“Memang saya sedang
marah.” Pendek balasan Wazien dengan wajah yang serius. Garang juga jejaka YL
ini.
“Err..saya minta maaf
sebab terpaksa heret awak dalam masalah saya. Minta maaf sebab terpaksa pinjam
awak untuk berlakon jadi bakal tunang saya,” pinta aku dengan rasa bersalah.
“Awak bukan pinjam,
tapi curi. Kalau pinjam awak sepatutnya minta kebenaran dulu,” sindir Wazien dengan
wajah yang tidak bereaksi. Adoi, mati akal aku dengan kata-kata lelaki ini.
Ingatkan pendiam, rupanya boleh tahan juga pedas mulut dia ini.
“Ini saya hendak minta
kebenaranlah ni. Lepas ini, kalau bos saya tu desak saya lagi, saya nak pinjam
awak berlakon jadi tunang saya lagi, boleh?” Aku mengetap bibir. Apa yang aku
melalut ini? Lain yang aku hendak cakap lain pula yang keluar.
“Banyak cantik muka
awak. Awak ingat saya ini barang ke nak pinjam-pinjam sesuka hati? Itulah, lain
kali jangan bermain dengan api. Banyak-banyak lelaki bujang dalam dunia ini
suami orang juga yang awak cari,” perli Wazien dengan suara yang mendatar.
Wajah itu memang serius betul. Agaknya dia betul-betul bengang dengan aku sebab
tak fasal-fasal terpaksa heret dia menipu sekali.
“Bukan saya yang kejar
suami orang, tapi lelaki bujang yang tak nak dekat saya.” Kata-kata aku berjaya
mengundang senyuman sinis di wajah Wazien. Mesti dia ingat aku ini perempuan
gatal.
“Err..saya minta maaf
banyak-banyak atas apa yang berlaku tadi. Dan terima kasih kerana menyelamatkan
saya.” Walaupun saya tahu awak tak ikhlas. Sambung aku di dalam hati. Aku pun
dah macam tak ikhlas juga ini. Namun aku beratkan kepala menundukkan wajah
seperti seorang pesalah yang sedang menanti untuk dihukum.
“Awak ingat
senang-senang nak minta maaf macam tu saja. Terima kasih awak itu laku sangat
ke kalau setakat ucap dekat bibir?” bentak Wazien kasar membuatkan aku
tersentak. Tidak puas hati betul dia ini. Apa yang harus aku buat?
“Emm..kalau macam itu
sebagai tanda minta maaf saya, apa kata saya belanja awak makan tengah hari?
Dan juga sebagai tanda terima kasih saya,” usul aku mengharapkan hati Wazien
ini sedikit sejuk.
“Belanja saya makan?
Awak ini nak mengurat saya ke apa?” Bulat mata aku mendengar soalan yang
ditanya Wazien. Sudah masuk fasa perasan pula. Makin lama aku bercakap dengan
lelaki ini makin payah pula aku rasa.
“Dah tadi awak juga
yang cakap maaf dan terima kasih saya ini tak ada nilai kalau setakat cakap je,
sebab itulah saya nak belanja awak. Atau awak nak hadiah lain?” beritahu aku
masih menahan sabar. Lega hati aku apabila bibir Wazien mengukirkan senyum.
Namun kelegaan aku tidak lama apabila aku sedar senyuman itu cukup sinis,
bukannya senyuman manis!
“Awak ingat saya ini lelaki
materialistik ke? Lepas tu apa? Nak suruh saya jadi lelaki simpanan awak pulak
ke?” tuduh Wazien lagi. Ini sudah lebih. Dia ingat aku ini gersang sangat ke
sampai hendak jadikan dia lelaki simpanan? Lelaki simpanan? Macam pelik je
bunyinya. Kalau gigolo ke, anak ikan ke pernah lah juga aku dengar.
“Cakap baik-baik sikit,
Encik Wazien. Awak ingat saya ini desperate
sangat ke sampai sanggup ketepikan agama?” Nada suara aku naik satu oktaf.
Main tuduh-tuduh ini yang buat aku angin satu badan.
“Kalau awak tak desperate, tak adalah awak nak rembat
laki orang kan” Perlahan saja ayat itu menyapa telinga aku. Tapi tajam dia
macam mata pedang. Semakin menyirap darah aku.
“Suka hati awaklah.
Malas saya nak layan lelaki psycho macam awak ini,” Aku mengetap bibir kuat.
Sebelum aku hilang kawalan di tempat awam ini, lebih baik aku berlalu dari
situ.
“Nak ke mana tu? Ini
kunci kereta awak, tak nak ke? Dah berapa abad awak tak servis kereta awak itu?
Tengok body kereta macam baru, tapi
tengok enjin dah macam enjin motor bot pencen. Macam tuan dia jugak.” Sempat
lagi si Wazien ini menyindir aku sambil menghulurkan kunci kereta. Dengan wajah
yang sebal terpaksalah aku berpatah balik menyambut kunci. Berani dia mengutuk
kereta aku. Bisa betul mulut lelaki ini. Nipis saja aku rasa cuping telinga aku
ini. Tetapi mengenangkan budi Wazien yang sanggup membantu aku tadi, aku
sabarkan hati. Orang berbudi kita berbahasa. Orang memerli, terpaksalah aku
sabarkan hati yang dah terasa.
“Terima kasih,” gumam
aku dalam nada yang tertahan sebelum berlalu pergi. Mungkin inilah kali
terakhir aku akan menjejakkan kaki ke pusat servis ini. Itu pun kalau Wazien
masih lagi bekerja dekat sini.
@@@
Tiga bulan berlalu.
Sejak hari itu, Encik Fahim tidak lagi mengganggu aku. Aku juga tidak pernah
bertemu dengan Wazien lagi. Hendak bertemu buat apa. Aku bukannya kenal dia
pun. Tetapi masalah lain pula yang timbul sekarang ini. Aku sebenarnya dah tak
larat nak menjawab pertanyaan rakan-rakan sepejabat aku tentang majlis pertunangan
aku. Ini semua sebab mulut tempayan Encik Fahim lah. Dicanangnya satu pejabat
yang aku nak bertunang. Hendak aku berdalih yang aku tak jadi bertunang, nanti
tak fasal-fasal Encik Fahim mula buat balik perangai meroyan dia itu dekat aku.
Hendak aku beritahu tarikh, siapa yang nak bertunang dengan aku? Jadi,
terpaksalah aku memberi jawapan ala-ala artis.
“Insya-Allah, kalau dah
sampai masa nanti, saya akan beritahu semua.” Klise tak jawapan aku? Itulah
ayat yang aku duduk ulang setiap kali isu bertunang ini diungkit. Entah sampai
bilalah aku mampu bertahan. Payah-payah sangat aku berhenti kerja saja. Terdetik
juga idea kurang bernas itu dalam otak aku. Tetapi mengenangkan gaji dan
jawatan yang aku sandang sekarang ini terasa sayang pula. Bukan senang aku
hendak berada di kedudukan aku sekarang. Bermula dari bawah, aku bertatih naik
dengan usaha keras aku sendiri. Lagipun aku sebenarnya tidak pernah ada masalah
bekerja di syarikat ini terutamanya staf-staf bawahan aku yang memang mendengar
kata. Cuma masalah nak menepis godaan bos yang merenyam itu saja. Itu pun
dululah.
Ketukan di pintu bilik
pejabat aku benar-benar menyentakkan aku yang tengah duduk memikirkan masalah
dunia ini. Waktu rehat tengah hari macam ini siapa pula yang datang menyibuk?
Aku memang sengaja tak keluar hari ini sebab berpuasa. Terpacul wajah Encik
Fahim. Lelaki itu melangkah masuk dan duduk di depan aku. Sesuka hati dia saja
buat bilik ini macam bilik dia yang punya.
“Ada apa, Encik?” soal
aku berbasa-basi. Inilah kali pertama sejak tiga bulan yang lalu Encik Fahim
datang ke bilik aku.
“Jom, lunch dengan saya?” ajak Encik Fahim
sambil tersenyum mesra ke arah aku.
“Minta maaf, Encik.
Saya puasa hari ini,” tolak aku dengan baik.
“Oh, puasa ganti ke?
Berapa hari awak tinggal?” soal Encik Fahim tergelak-gelak. Sakit telinga aku
ini mendengar dia ketawa gatal macam tu. Ingat orang perempuan ini kalau puasa
saja, mesti puasa ganti ke?
“Bukan urusan encik.
Bakal tunang saya pun tak pernah menyibuk,” jawab aku berani. Aku pun tidak
sangka aku boleh seberani itu dengan bos aku sendiri. Mungkin apa yang telah
berlaku antara aku dan Encik Fahim membuatkan aku hilang rasa hormat pada
lelaki ini.
“Bakal tunang tak jadi
awak tu? Kalau budak itu betul-betul serius dengan awak, dah lama dia masuk
meminang awak,” sinis Encik Fahim.
Aku terkesima. Dia
sudah tahu ke semua lakonan aku selama ini? Alamak..
“Bakal tunang saya itu
bukannya berharta macam encik. Bila simpanan dia dah cukup, barulah dia masuk
meminang. Saya pun faham dan saya sanggup tunggu.” Aku membalas kata-kata Encik
Fahim.
“Itulah. Saya ajak awak
kahwin, awak tak nak. Lelaki miskin itu juga yang awak tunggu. Kalau awak
kahwin dengan saya, semua saya boleh bagi. Emas, berlian, permata, wang
ringgit. Awak sebut saja, semua saya boleh tunaikan. Itu belum termasuk cinta
dan kasih sayang saya. Hari-hari awak nak pun saya sedia,” bahas Encik Fahim angkuh.
Dia memandang aku semacam. Semakin seriau aku dengan ayat-ayat yang keluar dari
mulut lelaki ini. Tiba-tiba hati aku resah. Sudahlah waktu rehat macam ini
ruang pejabat lengang. Aku menjengah pandang ke luar. Mujurlah Lisa masih ada
di mejanya. Kalau-kalau Encik Fahim ini hendak berkurang ajar dengan aku, boleh
aku terus jerit saja.
“Saya ingat kita dah
selesaikan perkara ini tiga bulan yang lepas kan,” tingkah aku dengan suara
yang tertahan-tahan.
“Dan tiga bulan juga
saya sabar menunggu awak menjadi tunangan orang lain. Tapi nampaknya selepas
tiga bulan, peluang saya masih terbuka luas untuk memiliki awak. Jadi, saya tak
mahu tunggu lagi. Hujung minggu ini, saya akan hantar rombongan meminang ke
rumah keluarga awak. May best man win,”
beritahu Encik Fahim sebelum berlalu keluar dari bilik aku. Best man kepala otak engkau. Kau bukan best man tapi desperate man. Terhegeh-hegeh hendak berbini dua. Kutuk aku dalam
hati. Aku merengus geram.
Minggu ini? Habislah
aku kalau Encik Fahim benar-benar serius. Apa aku perlu buat ini? Aku segera
mencapai telefon bimbit aku. Terketar-ketar tangan aku mencari nombor telefon
Anis. Aku perlukan Anis. Hanya dia yang boleh mendengar luahan masalah aku.
Lagipun otak blur Anis kadang-kadang boleh pakai juga.
@@@
“Apa aku nak buat ini,
Anis? Aku tak nak kahwin dengan bos miang aku tu,” Aku mundar-mandir di depan
Anis. Resah.
“Kau boleh duduk diam tak,
Maya? Pening aku tengok kau ini, ke hulu ke hilir macam kera kena belacan,”
marah Anis.
“Macam mana aku nak
tenang, Anis. Hujung minggu ini Encik Fahim nak hantar rombongan meminang aku.
Maknanya aku cuma ada lima hari je lagi untuk halang rancangan gila Encik Fahim
tu. Masalahnya, aku tak tahu nak halang macam mana,” balas aku gundah. Aku labuhkan
duduk di sebelah Anis.
“Kau jangan risaulah. Kalau
Encik Fahim datang meminang pun, aku tak rasa mak bapak kau akan terima. Yalah,
mak bapak kau mesti fikir dua tiga kali juga nak kahwinkan kau dengan suami
orang,” sangkal Anis cuba menenangkan aku.
“Kau tak kenal mak
bapak aku tu, Anis. Emak aku tu isteri nombor dua. Hidup bermadu ini bukannya
pelik pun dalam kamus hidup mak bapak aku. Nak-nak dengan usia aku yang dah
masuk three series ini.” Aku
menyuarakan kebimbangan.
Anis diam. Dia
menggaru-garu kepalanya seperti sedang berfikir.
“Apa kata kau minta
tolong lelaki yang kerja dekat pusat servis kereta tu,” cadang Anis. Kali ini
aku pula yang tergaru-garu kepala.
“Wazien? Tak mungkin.”
Aku menggelengkan kepala laju. Tak mungkin aku akan minta pertolongan lelaki
itu. Pasti Wazien beribu-ribu kali tak akan sudi hendak membantu aku. Telinga
aku ini dah tak sanggup nak menadah herdikan pedas lelaki itu lagi.
“Kenapa pulak?” tanya
Anis dengan wajah yang berkerut.
“Kau tak ingat apa yang
aku cerita dulu? Aku tak tahanlah dengan ayat-ayat pedas dia. Sesuka hati je
mengutuk aku. Telinga aku ini, masih bernanah lagi tau,” jawab aku dengan wajah
yang tegang.
“Kutuk itu belakang
kiralah, Maya. Mulut kau pun tak kurang berbisa jugak. Memang padan sangatlah muka
kau bila dah bertemu buku dengan ruas.” Sempat lagi kawan baik aku ini
mengenakan aku.
“Aku jumpa kau ini nak
minta idea bernas daripada kau. Bukannya nak dengar kau ejek aku.” Suara aku dah
naik satu oktaf. Sudahlah aku ini tengah tertekan.
“Kau ini, Maya.
Janganlah cepat sangat melenting. Chill
okay,” pujuk Anis dengan suara yang lembut.
Aku beristighfar di
dalam hati. Tenang. Jangan diikutkan sangat si bapak syaitan yang sedang
bergayutan itu. Tiba-tiba telefon bimbit aku berdering.
“Mak aku telefon,”
beritahu aku kepada Anis sebelum menjawab panggilan.
“Assalamualaikum, mak,”
sapa aku lemah. Terdengar sayup salam aku dijawab mak dengan dengan suara yang cukup
ceria.
“Syukurlah, Maya. Akhirnya
termakbul jugak doa mak nak tengok kamu bernikah,” tutur mak teruja.
“Nii..nikah? Aaa.aa..apa
yang mak cakap ni?” tanya aku gugup. Masakan rombongan Encik Fahim dah sampai
ke rumah mak bapak aku? Sedangkan baru tengah hari tadi bos aku beritahu yang
dia akan hantar rombongan meminang hujung minggu ini. Atau aku yang tersilap
dengar?
“Akhirnya ada juga
orang yang sudi nak masuk merisik kamu. Dah lama betul mak tunggu berita
gembira ini. Sampai juga jodoh kamu akhirnya,” Perkhabaran yang disampaikan mak
membuatkan aku terduduk.
“Hah, me..me..merisik?
Siapa?” Aku telan liur kelat. Peluh dah mula merenek di dahi. Jangan-jangan
Encik Fahim yang merisik aku. Alamak, habis aku kali ini.
“Fahim. Dalam diam-diam
rupanya anak mak ni dah ada pakwe rupanya. Boleh tahan pilihan anak mak ni ya,”
giat mak mengekek ketawa. Nafas aku bagaikan terhenti beberapa saat. Memang
sah! Nampaknya Encik Fahim betul-betul mengotakan apa yang dia kata.
“Betul ke nama dia
Fahim? Mak tak salah dengar ke? Lagi satu, mak pasti ke rombongan tu datang
untuk merisik Maya?” soal aku mengharapkan berita yang dengar ini tidak betul.
“Salah apanya. Telinga
mak ini tak pekak lagi tau. Kalau rombongan merisik tu bukan untuk kamu, untuk
siapa lagi? Takkan untuk Mira atau Mun pulak? Sah-sah adik-adik kamu tu dah
bertunang,” tempelak mak.
“Habis tu mak jawab
apa?” Dada aku berdebar kencang.
“Mak jawab..kecil tapak
tangan, sebesar stadium Shah Alam kami tadahkan. Mestilah mak terima.”
Aku terkedu dengan
jawapan mak. Rasa nak meraung dekat situ juga.
“Seronoknya. Tahun ini
mak dapat tiga orang menantu baru sekali gus. Syukur alhamdulillah, makin
besarlah keluarga kita,” ucap emak aku tidak putus-putus bersyukur.
“Maya tak setuju, mak.
Mak tak boleh terima pinangan tu,” tolak aku.
“Apa kamu cakap?” Suara
mak melengking kuat. Berubah nada 360 darjah.
“Maya tak nak kahwin
dengan lelaki itu,” beritahu aku tanpa berselindung. Mak mendengus.
“Ada mak minta
persetujuan kamu? Kamu jangan nak mengada-ngada, Maya. Sama ada kamu setuju
atau tak, mak dan bapak dah sepakat nak terima pinangan itu,” putus emak tegas. Sejak bila mak aku mengamalkan dasar
autokratik ni? Aku mengusap-usap kasar rambut aku. Serabut weh!
“Mana boleh buat macam
ini, mak. Inikan masa depan Maya,” bentak aku sambil mengetap bibir geram.
“Sebab fikirkan masa
depan kamulah, mak dan bapak terima lamaran tu. Bukan senang nak dapat jodoh
baik macam ini. Mak tengok si Fahim tu tak ada cacat celanya. Muka lawa, tinggi
tegap pulak tu. Kerja pun bagus. Dengar cerita ada syarikat sendiri. Pandai hormat
orang tua. Kali pertama mak tengok pun mak berkenan sangat nak buat menantu.
Bertuah betullah anak mak ini.” Melambung-lambung kata pujian yang meniti di
bibir mak. Aku mencebikkan bibir. Memanglah nampak elok Encik Fahim itu kalau
diukur dari sudut fizikal. Stok-stok calon menantu pilihan.
“Apa yang mak nampak tu
cuma luaran je. Encik Fahim itu dah ada isteri, mak. Maya tak nak hidup bermadu,”
pujuk aku. Semoga mak memahami rintihan hati aku ini. Bukan sahaja sebab dah
beristeri aku menolak Encik Fahim tapi aku cukup tak berkenan dengan lelaki
yang suka menghina dan memandang rendah pada orang lain.
“Tapi setahu emak si
Fahim itu bujang lagi,” ujar mak pelik. Memang sah Encik Fahim dah kelentong mak
aku.
“Mak ingat orang lelaki
ini nak mengaku ke dia dah ada isteri? Apatah lagi bila nak pinang anak dara orang?
Tolonglah, mak. Janganlah terima pinangan itu,” pujuk aku lagi.
“Tak kisahlah dia dah
beristeri ke belum. Mak bukannya apa, umur kamu itu bukannya muda lagi. Dah ada
orang nak ini pun dah kira mujur sangat.” Sentap hati aku dengan pernyataan
kejam mak. Mak ingat aku ini tak laku sangat ke? Sampai nak tangkap muat macam
tu jodoh aku.
“Lagipun mak tengok
budak tu baik. Mesti dia mampu berlaku adil punya,” sambung mak sekali gus
memberikan keputusan. Jawapan mak ibarat batu besar yang jatuh menghempap ke
dada aku.
“Mak! Takkanlah mak
sanggup benarkan anak mak ni jadi bini nombor dua?” bentak aku tidak puas hati.
“Buruk sangat ke kalau
jadi isteri kedua ini? Terus terang mak sebenarnya tak kisah kamu jadi isteri
nombor berapa pun. Janji kamu kahwin. Mak pun dah penat nak menadah telinga
dengan pertanyaan saudara mara. Dengan kerenah orang kampung lagi,” balas emak
membuatkan aku kehilangan kata. Aku tahu mak bengang dengan keengganan aku.
Yalah, mak aku kan bini kedua juga. Mestilah bengang dan terasa bila aku cakap
macam itu.
“Tapi, mak..”
“Apa lagi yang kamu tak
puas hati ini, Maya? Isteri pertama Fahim tak beri kebenaran ke?” tanya mak menyampuk
kata-kata aku.
“Taklah macam tu…” Aku kematian
kata. Adoi, masak aku kalau macam ini.
“Habis tu? Apa
masalahnya lagi?” soal emak lagi. Tertekan betul aku dengan keadaan ini.
“Masalahnya, Maya dah
ada pilihan hati Maya sendiri!” Laju mulut aku berbohong. Maafkan Maya, Mak.
Maya terpaksa untuk selamatkan diri Maya dari jatuh ke dalam mulut buaya tembaga
macam Encik Fahim itu.
“Oh, kenapa tak cakap
awal-awal dengan mak?” Suara emak mula mengendur. Aku tersenyum lebar. Nampaknya
kelentong aku mengena.
“Maya ingat nak tunggu
masa yang sesuai baru nak beritahu mak dan bapak. Tapi dah jadi macam ini,
terpaksalah Maya beritahu,” tukas aku dengan suara yang sengaja dilunakkan. Aku
gelak sopan. Buat-buat malulah kononnya.
“Errr.. mak tolong
tolak pinangan itu ya,” pinta aku bila mak hanya diam di hujung talian.
“Boleh. Mak boleh tolak
pinangan tu, tapi dengan satu syarat. Budak lelaki itu kena masuk meminang
sebelum hujung minggu ini. Kalau tak, kamu kena bertunang dengan Fahim hujung
minggu ni jugak.” Kata-kata mak mematikan senyum di bibir aku. Ingatkan aku dah
boleh tarik nafas lega. Tapi masalah lain pula yang muncul. Aku nak minta siapa
masuk meminang aku dalam masa kurang lima hari ini?
“Boleh, Maya?” tanya mak
lagi sekali.
“Err..nanti Maya tanya
dia.” Akhirnya itu saja yang mampu aku jawab sebelum mematikan talian. Aku
menghempaskan tubuh di atas sofa. Kepala otak aku ligat memikirkan apa yang
harus aku lakukan.
@@@
Hari ini sekali lagi
aku menjejakkan kaki ke Pusat Servis Kereta Toyota. Kali ini aku datang bukan
sebab terdesak untuk menservis kereta. Tapi aku terdesak untuk mencari Wazien. Empat
hari sahaja lagi yang tinggal untuk aku cari calon suami. Pilihan yang ada
sekarang ini adalah Wazien. Aku dah tak peduli kalau terpaksa menadah telinga
dengan herdikan pedas Wazien. Asalkan aku tidak perlu berkahwin dengan Encik
Fahim.
“Assalamualaikum. Cik
nak jumpa saya? Ada apa yang boleh saya bantu?” Lembut suara Wazien menyapa
gegendang telinga aku. Kalau dia cakap elok-elok macam ini dengan aku sejak
mula kan bagus. Boleh bikin cair hati aku.
“Waalaikumsalam. Ingat
saya lagi?” Aku memusingkan badan yang membelakangi Wazien. Padanya aku ukirkan
senyuman sehabis manis.
“Oh, perempuan desperate yang ada skandal dengan laki
orang tu kan?” Suara Wazien berubah mendatar. Aku sabarkan hati dengan sindiran
pedas Wazien.
“Boleh saya cakap
sesuatu dengan awak?” Soal aku tanpa mengendahkan kata-kata pedih Wazien. Biarpun
senyuman di wajah aku dah separuh kelat.
“Kita ke sana,” balas
Wazien sambil menuju ke arah sofa yang diletakkan di ruang lobi. Aku hanya
menurut dan melabuhkan duduk di atas sofa yang bertentangan dengan Wazien.
Mudah sikit hendak berbincang dari hati ke hati. Manalah tahu, bila mata
bertentang mata, hati mula berkata-kata, mungkin inilah yang dinamakan cinta.
Kemudian dipinangnya aku dengan segera. Terselamatlah aku dari menjadi isteri
kedua. Okay, berhenti berangan, Maya!
“Apa hal?” Wazien pamer
wajah kurang sabar.
“Saya sebenarnya nak
minta pertolongan awak,” tutur aku serba salah.
“Tolong apa?” Dia
memandang aku dingin. Aku menelan liur. Betul ke apa yang aku buat ini? Hentam
sajalah. Kalau tak cuba tak tahu. Manalah tahu dia terbuka hati nak membantu.
“Err..tolong pinang
saya,” ujar aku perlahan.
“What???!!!” jerit
Wazien kuat. Matanya mencerlung tajam. Aku melilau pandangan ke sekeliling.
Mujurlah ruang lobi lengang. Kalau tak, dekat manalah aku nak sorokkan muka aku
dengan tempikan Wazien tadi.
“Err..bukan pinang
betul-betul. Encik Fahim..maksud saya lelaki yang dah beristeri yang awak jumpa
hari itu. Dia nak masuk meminang saya hujung minggu ini,” terang aku cepat-cepat.
“So, apa masalahnya?”
tanya Wazien tanpa perasaan.
“Masalahnya saya tak nak
kahwin dengan dia. Masalah lagi bila mak bapak saya dah berkenan dengan bos
saya tu. Saya terpaksa bertunang dengan Encik Fahim kalau kekasih saya tak masuk
meminang sebelum hujung minggu ni,” jelas aku lagi.
“Habis itu suruhlah
kekasih awak masuk meminang. Kenapa suruh saya pula? Atau awak ingat saya ini
kekasih awak?” Pertanyaan Wazien yang bertalu-talu membuatkan aku merengus
lemah.
“Kalau saya dah ada
kekasih, tak adalah saya nak minta bantuan awak. Tolonglah saya. Awak cuma
perlu hantar rombongan meminang sebelum hujung minggu ini ke rumah saya. Kita
bertunang olok-olok. Lepas sebulan dua, kita putuslah.” Mudah sekali aku
memberikan cadangan. Dah serupa macam main kahwin-kahwin zaman kanak-kanak
saja.
“Awak ingat benda macam
ini boleh buat main-main ke? Saya tak nak bersubahat,” tolak Wazien keras. Aku
meraup muka.
“Saya betul-betul tak
ada pilihan ni. Kalau awak nak, saya sanggup bayar. Tapi tak banyaklah. Saya ini
pun bukannya banyak duit sangat.” Kali ini aku membuat tawaran dengan duit
pula. Aku tahu memang aku tak patut buat macam ini. Tapi aku memang betul-betul
terdesak.
“Awak ingat awak boleh
beli saya dengan duit? Saya tak hadaplah dengan duit awak tu,” herdik Wazien
dengan wajah yang sudah merah. Aku tahu dia bengang dengan tawaran aku.
“Saya…”
“Dahlah, saya tak nak
dengar apa-apa lagi. Semua ini mengarut. Saya memang tak dapat nak tolong awak,”
putus Wazien sebelum berlalu meninggalkan aku termangu di situ. Aku mengeluh
berat. Rancangan aku gagal.
@@@
Kini secara rasminya
aku telah menjadi tunangan Encik Fahim setelah rancangan aku untuk membawa
rombongan daripada “kekasih” aku menemui jalan buntu. Berbakul-bakul juga aku
diperli emak. Nampaknya terpaksalah aku reda dalam pasrah dengan takdir hidup
aku ini. Takdir hidup bermadu. Agaknya bermadu ini spesies penyakit juga kot.
Penyakit keturunan dan berjangkit.
Tetapi yang peliknya,
sejak aku bertunang dengan Encik Fahim, bos aku itu dingin semacam pula dengan
aku. Dulu sebelum dapat bukan main hebat lagi dia duduk menjual minyak urat.
Bila aku ini dah menjadi tunang dia, boleh pula dia buat tak tahu saja. Kalau
berselisih bahu, haram dia nak tegur aku. Kalau dalam mesyuarat, serius memanjang.
Tak ada dah suara lemak merdunya bila bercakap dengan aku. Lantaklah.
Sebenarnya aku lagi suka kalau dia tak ambil kisah fasal aku.
Lamunan aku tergendala
bila telefon bimbit yang aku letakkan di atas meja bergetar. Tertera di skrin
nama mak aku.
“Assalamualaikum, mak,”
ucap aku memberi salam.
“Waalaikumsalam. Kamu
tengah buat apa tu?” tanya emak berbasa-basi.
“Tengah kerjalah ni,
mak. Kenapa mak telefon Maya ini?” balas aku tiada mood.
“Amboi, sejak bila mak
dah tak boleh nak call anak mak
sendiri?” soal mak seperti berjauh hati. Terlebih sensitif pula orang tua ini. Krisis
menopaus kot.
“Tak adalah, mak. Maya
tanya macam itu pun dah nak terasa,” tingkah aku dengan nada suara yang
dilembutkan.
“Mak gurau jelah. Ini
mak nak bagi tahu kamu, sebentar tadi tunang kamu ada telefon mak. Dia nak
minta kebenaran untuk bawa kamu keluar,” beritahu mak kepada aku.
“Kenapa pula dia
beritahu mak? Dia tak boleh beritahu Maya sendiri ke?” soal aku tak puas hati.
Pelik betul aku dengan perangai Encik Fahim ini. Yang dia pergi telefon mak aku
yang jauh dekat kampung tu kenapa? Tak boleh ke dia datang sendiri jumpa aku
yang berada selang beberapa bilik je dari bilik dia.
“Yalah, dia kenalah
minta kebenaran kami dulu. Kamu tu kan masih lagi bawah tanggungjawab mak dan
bapak. Bagus budak Fahim tu. Mana nak cari lelaki macam tu zaman sekarang ni?”
puji emak membuatkan aku mencebik bibir. Bukan baik tapi nak menunjuk namanya
itu. Selama ini yang duduk terhegeh-hegeh ajak aku keluar makan tengah hari tu,
tak ada pula dia nak minta kebenaran mak bapak aku. Mujur iman aku ini kuat
lagi.
“Baiklah sangat, mak.
Buat apa dia nak ajak Maya keluar?” soal aku malas hendak bertekak. Silap cakap
nanti tak fasal-fasal jadi anak derhaka pula.
“Dia nak ajak kamu beli
barang hantaran. Kalau sempat, nak cuba baju pengantin sekali katanya. Yalah,
kenduri kahwin kamu berdua pun dah dekat. Tinggal sebulan je lagi,”
Aku mendengus lemah. Sebut
fasal hantaran, terus aku diserang sindrom M- M.A.L.A.S. Bila terpaksa buat
sesuatu perkara tanpa kerelaan hati, memang terasa berat. Berat badan, berat
tulang, berat hati, berat perasaan.
“Kalau dia pergi
seorang tak boleh ke, mak?”
“Kamu jangan nak
mengada-ngada. Besok pukul 9 pagi, Fahim datang jemput kamu dekat rumah sewa.
Jangan tak ingat pula tu,” pesan mak. Tak faham betul aku dengan Encik Fahim
ini. Kenapa dia nak gunakan mak aku sebagai orang tengah pula. Dah tak ada
mulut nak beritahu aku sendiri ke?
“Kamu dengar tak ni?”
ulang emak lagi.
“Ya, Maya dengar. Leceh
betullah. Maya baru je nak rehat hari-hari minggu ni,” rungut aku.
“Banyak lagi hari
minggu lain kamu boleh rehat, Maya. Dahlah, mak nak masak pula ini. Jangan lupa
tu, besok pukul 9.” Sempat lagi mak aku mengingatkan sebelum meletakkan gagang.
Sayang benar emak aku dekat Encik Fahim. Nampaknya besok terpaksalah seharian aku
mengadap muka Encik Fahim. Semoga aku diberi kekuatan untuk menerima takdir-Nya
ini.
@@@
Tepat pukul 9 pagi aku
mendengar hon kereta berbunyi kuat dan panjang di rumah sewa. Kurang asam betul
Encik Fahim ini. Dia ingat aku ini tinggal dekat dalam hutan ke, tak ada jiran
tetangga? Bikin kecoh betullah bos aku ini pagi-pagi buta. Terkocoh-kocoh aku
membetulkan tudung dan menuruni tangga.
“Siapa yang bising tu,
Maya?” Terpacul Rosnah, teman serumah aku dari ruang dapur dengan wajah pelik.
“Tunang aku. Baru 9.03
minit dah bising-bising dekat luar tu. Kalau kerja tak pernah pula nak punctual. Tak faham aku dengan dia ini,”
bebel aku sambil menyarungkan kasut dengan tergesa-gesa. Aku bukannya takut pun
dengan Encik Fahim tu tapi aku tak tahan dengan bingit hon kereta dia. Buat malu
dekat jiran tetangga saja. Sudahlah hari-hari minggu begini orang nak berehat.
Tak ada sensitiviti langsung!
“Kurang kesabaran dan
kesusilaan betullah tunang kau tu,” komen Rosnah sambil menggelengkan kepala.
“Tahu tak apa,” balas
aku spontan.
Pong! Pong! Pong! Terus
hon kereta dibunyikan.
“Yalah, saya datang ini.”
Aku mendengus kasar. Rimas betul aku dengan Encik Fahim ini. Baru jadi tunang
dah tunjuk perangai gila kuasa dia. Kalau dah jadi bini dia nanti, mahunya aku
ini kena duduk di celah ketiak dia saja sepanjang masa. Harap-harap dia pakai deodorant. Kalau tak, perghh..mesti
tengit.
Aku menjengahkan kepala
ke arah kereta bercermin gelap yang diparkir di depan pagar rumah aku. Sejak
bila pula Encik Fahim ini tukar kereta? Selama ini aku rasa dia pakai BMW 5
Series. Aku baru berangan nak merasa naik kereta mewah itu. Apa hendak hairan?
Orang banyak duit. Bini pun dia mampu tambah, takkan kereta dia sebiji saja
kan? Naik Toyota Camry pun syok juga.
Dengan wajah yang
cemberut, aku terus membuka pintu kereta dan membolos diri aku ke dalamnya.
Tanpa memandang wajah Encik Fahim, aku memakai tali pinggang keledar. Tak kuasa
aku nak mencemarkan pandangan mata aku dengan muka lelaki yang dah buat aku
bengang awal-awal pagi ini. Kemudian, kereta itu bergerak menyusuri jalan raya.
“Encik ini tak boleh
sabar langsung. Saya lewat lima minit je pun. Tapi encik bunyikan hon tu macam
saya dah terlambat lima hari. Agak-agaklah sikit, encik. Saya ini duduk
berjiran dengan manusia. Bukannya berjiran dengan haiwan dalam hutan. Gajah pun
boleh mengamuk kalau dengar bunyi bising, inikan pula manusia yang memang ada hati
dan perasaan.” Tanpa menunggu lama aku terus menghamburkan rasa tidak puas hati.
Berani.
Aku tunggu beberapa
saat. Manalah tahu Encik Fahim nak membalas kata-kata aku. Tapi senyap. Diam tak
berkutik Encik Fahim di sebelah aku. Macam bagi peluang untuk aku teruskan
leteran je.
“Kalau kata saya lambat
pun, tak boleh ke encik tekan loceng rumah? Kita ini kan orang Islam. Sekurang-kurangnya
encik berilah salam dulu. Lebih afdal macam tu. Pahala encik dapat, jiran-jiran
saya pun tak bengang. Tak adalah hati saya ni sakit.” Aku menyambung bebelan aku.
“Habis tu, kenapa masuk
kereta saya tak beri salam?” sinis Encik Fahim memulangkan paku buah keras.
Aku tersentak. Lantas,
aku kalih pandangan ke kanan. Bulat mata aku melihat Wazien a.k.a jejaka YL
yang sedang memandu di sebelah aku! Aku terlopong tidak percaya. Sejak bila
pula Encik Fahim bersalin kulit dan bertukar wajah?
“Tutup mulut tu. Nanti
masuk lalat,” pesan lelaki itu. Sempat dia mengerling aku sekilas.
Aku katup mulut yang
separuh ternganga. “Aw..awak ini siapa? Err..maksud saya awak ni encik Fahim ke
Wazien?”
“Dua-dua pun boleh.” Berkerut-kerut
dahi aku cuba mencerna jawapan yang diberikan. Makin keliru jadinya.
“Jangan main-main lah,”
tegur aku mengetap bibir geram.
“Mana ada saya
main-main,” Senyuman senget tersungging di bibirnya. Aku kenal sangat dengan
senyuman sinis itu.
“Awak Wazien.” Aku
menjawab sendiri.
“Kalau dah tahu kenapa
tanya?” sinisnya. Aku menjelingnya tajam
“Saya tanya sebab saya
tak faham kenapa tiba-tiba saya ada dalam kereta awak ni.”
“Dah awak sendiri yang
masuk.”
Aku terkedu seketika
dengan kata-kata Uzair. Silap aku juga tak pandang kiri kanan main terjah je
masuk kereta orang.
“Errr..maksud saya awak
buat apa dengan saya dekat sini? Ehhh..salah..salah..maksud saya awak buat apa depan
rumah saya?” tanya aku kalut. Mana boleh mengaku salah depan lelaki kerek ni.
“Jemput awak,” balas
Wazien pendek. Okay, sekarang aku makin pening. Berbeli-belit.
“Jemput saya ke mana?”
“Shopping barang hantaran.” Kata-kata Wazien membuatkan aku
terkesima.
“Tapi kenapa awak pulak
yang datang? Bukan ke sepatutnya tunang saya yang datang jemput saya?” tingkah
aku.
“Betullah tu,” Wazien
senyum segaris.
“Apa yang betul?” Pertanyaan
aku mengundang gelak Wazien. Pertama kali aku tengok lelaki ini ketawa. Boleh
bikin hati aku cair.
“Mayyadah Mahali, saya
ini tunang awak, Mohd Fahim Wazien Ibrahim,” beritahu Wazien apabila ketawanya
reda.
“Hah, tu..tunang?” Aku
tercengang.
Wazien angguk sekali.
“Kenapalah awak ni lembap sangat?”
Aku ketap bibir dengan
kutukan Wazien. “Tapi..bukan ke…”
“Awak ingat bos awak yang
jadi tunang awak?” sampuk Wazien dan aku hanya mengangguk. Rupanya rombongan
meminang yang datang adalah daripada pihak Mohd Fahim Wazien, bukannya Encik
Fahim. Tak sangka Wazien berkongsi nama pangkal yang sama dengan Encik Fahim. Patutlah
Encik Fahim macam bengang saja dengan aku sejak dua menjak ini.
“Jangan mimpilah saya nak benarkan perempuan
yang saya sayang jatuh ke tangan orang lain,” sambung Wazien. Dia menjeling aku
manja.
Aku telan liur. Telinga
aku tak salah dengar kan? Dia cakap dia sayang aku? Tiba-tiba hati terasa
berbunga-bunga. Jantung aku dah memukul rentak dangdut. Dag Dig Dug.
“Alhamdulillah, tak
perlulah saya jadi isteri nombor dua.” Spontan aku menadahkan tangan mengucap
syukur. Tergelak besar Wazien dengan perlakuan aku. Ops! Nampak gelojoh benar
aku ini. Tapi memang aku tak dapat nak sembunyikan kelegaan aku.
“Awak ini kelakarlah,
Maya,” ujar Wazien masih dalam sisa tawa. Aku pula yang tersipu-sipu malu.
Itulah, tak menyempat. Sepatutnya ucap syukur dalam hati saja dahlah.
“Apa yang buat awak
berubah fikiran? Bukan ke hari itu awak tak nak tolong saya?” Wajah Wazien yang
sedang tenang memandu aku pandang lama. Bukankah si Wazien ini mentah-mentah tolak
cadangan aku untuk bertunang olok-olok dulu.
“Saya tak setuju sebab
awak ajak saya bertunang olok-olok. Kalau bertunang betul-betul macam ini,
memang saya tak tolak,” jelas Wazien mudah.
“Kita betul-betul
bertunang ke ni?” soal aku tidak percaya.
“Ya, sayang. Awak ingat
majlis pertunangan kita bulan lepas itu semua lakonan ke? Walaupun saya dengar
cerita bakal pengantin duduk meraung bagai nak rak sebelum upacara sarung cincin,
tapi majlis itu tetap sah,” giat Wazien sambil tergelak kecil. Sesekali dia
menjeling ke arah aku. Awak janganlah jeling saya macam tu. Makin parah jantung
saya ni. Desis hati aku. Gatal!
Aku tebarkan pandangan
ke luar tingkap kereta. Terasa darah menyerbu ke muka. Malu. Siapa yang tak
akan meraung kalau dipaksa menerima lelaki yang tidak dicintai menjadi bakal suami.
Itu pun nasib baik aku tak lari dari rumah.
“Maknanya kita kena
kahwinlah betul-betullah ni?” Dalam malu-malu sempat lagi aku bertanya.
Bukannya apa, aku cuma nak dapatkan kepastian.
“Mana ada istilah
kahwin olok-olok. Kenapa? Menyesal?” Wazien memandang aku tajam.
“Errr..” Aku terkedu.
Nak menyesal buat apa? Syukur lagi adalah. Kalau boleh melompat untuk
memaknakan kegembiraan yang aku rasa ini, rasanya dah sampai langit ketujuh dah.
Akhirnya jejaka Yamaha Lagenda bakal menjadi milik aku. Cumanya aku segan.
Sebagai perempuan, takkanlah aku nak mengaku terang-terang perasaan aku.
“Jangan pandai-pandai
nak minta putus pulak. Kalau awak buat, siaplah. Sampai ke lubang cacing saya
cari awak,” gertak Wazien dengan wajah yang serius. Mengugut nampak.
“Nak cari saya dekat
lubang cacing buat apa? Bukannya muat pun saya nak masuk dekat dalam tu.” Aku tersengih.
Sengaja mengusik bila aku tengok ketat semacam wajah Wazien ini.
“Ada je jawapan awak.” Wazien
sambil menggelengkan kepala dan tersenyum nipis.
“Saya ni banyak cakap.
Membebel pun boleh tahan juga. Sanggup ke awak tadah telinga dengan mulut saya
ini seumur hidup awak?” Giliran aku pula menguji.
“Apa susah. Kalau saya
tak tahan nanti, saya cium jelah mulut awak itu. Confirm diam,” balas Wazien nakal sambil menjongketkan kedua belah
keningnya.
“Awak jangan nak buat
tak senonoh dengan saya ya,” bentak aku kemudian menutup mulut. Bimbang juga
jika Wazien benar-benar maksudkan apa yang dikata.
“Jangan risaulah,
sayang. Semua itu saya akan buat selepas kita kahwin nanti. Bila semua dah jadi
halal untuk kita berdua,” tutur Wazien romantik. Terasa lemah seluruh urat
sendi aku apabila suara garau itu berbicara lembut begitu. Meremang bulu roma.
“Err..boleh saya tanya
sesuatu?” soal aku. Wazien hanya mengerling ke arah aku sekilas sambil
menganggukkan kepalanya.
“Kenapa awak setuju nak
kahwin dengan saya?”
“Takkan tak tahu lagi?”
Soalan berbalas soalan.
“Kalau saya tahu, saya
tak tanyalah awak,” gumam aku. Wazien tersenyum menawan. Sesekali dia melirik
ke arah aku dengan pandangan yang sukar aku tebak. Aku ini bukannya ahli nujum
yang boleh baca apa yang tersirat dalam hatinya.
“Sebab cinta. Saya
cintakan awak, Maya. Sejak kali pertama saya pandang awak, hati saya dah jatuh
sayang.” Tulus pengakuan yang dilafazkan Wazien.
Lidah aku kelu. Muka
terasa pijar. Namun jauh di dasar hati, aku benar-benar bahagia dengan jawapan
Wazien. Sungguh aku turut berkongsi rasa yang sama. Sejak kali pertama aku tahu
dia adalah pemilik motosikal Yamaha Lagenda, hati aku jatuh suka. Pelik kan?
Tapi tiada yang pelik bila melibatkan cinta. Dan kita tidak memerlukan sebab
pun untuk jatuh cinta. Kerana rasa cinta itu fitrah yang dititipkan Allah untuk
setiap insan.
“Awak pula macam mana?
Apa perasaan awak pada saya?” Aku tertunduk malu dengan pertanyaan Wazien. Sebenarnya
aku tak tahu nak jawab macam mana. Faham-faham sendiri sudahlah. Takkan dia tak
boleh baca apa yang tersirat di hati aku?
“Err..kalau saya cakap
biarlah rahsia, boleh tak?” jawab aku terpisat-pisat. Bukannya aku nak mengelat
tapi sungguh aku malu. Seumur hidup aku belum pernah lagi meluahkan perasaan cinta
pada mana-mana lelaki.
“Boleh. Saya tak paksa
awak. Tapi suatu hari nanti awak mesti beritahu saya rahsia itu,” ujar Wazien
lembut. Aduh, makin buat aku jatuh cinta!
@@@
Aku memandang barang
hantaran yang berlonggok di atas katil dengan rasa serba salah. Hampir 80%
barang yang hendak dijadikan hantaran telah dibeli. Semuanya mewah dan berjenama.
Entah berapa ribu Wazien terpaksa berhabis semata-mata untuk memastikan hanya
barangan terbaik dan berkualiti yang akan menjadi hantaran kami. Aku tak naklah
disebabkan ingin mengejar kesempurnaan, dia terpaksa menggunakan kesemua wang
simpanannya. Silap-silap nanti berhutang pula keliling pinggang. Sudahlah semua
perbelanjaan tadi dia berdegil hendak bayarkan. Duit aku langsung tak nak
disentuhnya walaupun untuk membeli hantaran bagi pihak aku
Mengenangkan kedegilan
Wazien, aku mengeluh lemah. Sebagai lelaki aku tahu dia ingin menjaga egonya. Mungkin
dia nak buktikan yang dia mampu menyenangkan aku biarpun dengan gajinya sebagai
mekanik. Sejujurnya aku tak pernah kisah untuk sama-sama berkongsi susah dan
senang. Aku tak harapkan kemewahan sebab itu bukan cara aku menilai cinta. Aku
bercinta kerana aku ingin bahagia. Dan kemewahan tak mampu membeli nilai
kebahagiaan.
Haih..aku kena
berbincang dengan Wazien dari hati ke hati. Lantas, telefon bimbit aku capai. Ikon
wassap aku buka sebelum jari-jemari
aku laju menari di dada skrin telefon.
Salam,
boleh saya jumpa awak besok? ~ Aku
Kenapa?
Rindu saya ke? ~ Wazien
Ada
perkara saya nak bincang. Baru tadi jumpa, tak sempat nak rindu lagi :p ~ Aku
Ok,
tengah hari besok saya jemput awak. Kita lunch sama ~ Wazien
Ok,
kita jumpa besok. Saya dah nak tidur ini. Take care ~ Aku
You
too. I Love You. Sweet dream. Mimpikan saya ~ Wazien
Aku tersengih membaca
pesanan ringkas Wazien. Indahnya perasaan bercinta ini. Terasa terawang-awang.
Tidur pun dalam senyum.
@@@
Seperti yang dijanjikan
Wazien datang menjemput aku dengan Toyota Camry. Entah kereta siapa yang dia
pinjam. Semalam pun dia menggunakan kereta yang sama ketika keluar membeli
barang hantaran dengan aku.
“Kita nak makan dekat
mana?” tanya Wazien memandang ke arah aku.
“Saya tak kisah. Janji
tempat itu sesuai untuk kita berbincang,” jawab aku memberi ruang untuk Wazien
membuat keputusan. Bukankah lelaki lebih suka jika menjadi dominan?
“Okay, kalau macam itu
saya bawa awak ke tempat favorite saya,”
ujar Wazien ceria.
Wazien membawa aku ke
Restoran Masakan Kampung Mak Mah yang juga merupakan restoran kegemaran aku. Macam
tahu-tahu saja.
“Ini restoran kegemaran
awak jugak kan?” Pertanyaan Wazien membuat aku sedikit tersentak.
“Macam mana awak tahu?”
“Saya selalu nampak
awak makan dekat sini. Cuma awak je yang tak pernah perasan saya,” beritahu
Wazien. Biar betul! Macam tak percaya pula aku diperhatikan Wazien dalam diam.
Boleh tahan juga aura aku ini kan? Hehehehe…
“Jadi, kali pertama
awak nampak saya bukan dekat pusat servis Toyota?” tebak aku menghantar
pertanyaan.
Dengan senyuman yang
meleret, Wazien menggelengkan kepala. “Kali pertama, masa dekat traffic light. Ada seorang perempuan tu
asyik benar pandang saya atas bawah dari dalam kereta.”
Berderau darah aku
dengan kata-kata Wazien. Terasa macam nak menyorok bawah meja. Tak sangka dalam
helmet full face itu, dia perasan!
“Errr..saya oder makan
dulu. Lapar..” tingkah aku kalut menahan malu. Setelah memilih makanan, kami
mengambil tempat duduk. Seketika suasana sepi apabila masing-masing menghayati kelazatan
makanan. Nampak lapar benar kami berdua ini.
“Semalam awak cakap nak
bincang sesuatu. Apa dia?” Soal Wazien apabila kami berdua selesai menjamu
selera.
“Saya tak cakap, tapi
saya taip,” balas aku sambil tersengih nakal. Sengaja aku hendak ciptakan
suasana ceria dan memberikan mood yang
baik kepada Wazien. Bimbang juga jika apa yang bakal aku cakapkan bakal
menggores hatinya.
“Nakal awak ini, ya. Buat
saya makin sayang,” bicara manis Wazien membuatkan aku tersipu.
“Saya harap awak tak
akan kecil hati dengan apa yang saya akan cakapkan ini” tutur aku memulakan
bicara yang serius. Aku berdeham beberapa kali cuba mencari intonasi suara yang
sesuai.
“Bunyi macam serius je
ini. Saya akan cuba kekalkan hati saya ini dalam saiz yang asal. Don’t worry dear,” gurau Wazien. Kagum
aku dengan gurauan dia. Ingatkan spesies hati kayu, tidak tahu bergurau.
“Err..sebelum itu,
boleh tak awak ambil ini dulu,” ujar aku
sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Wazien. Dia menyambut sampul
coklat itu dengan wajah yang tertanya-tanya.
“Apa ini, Maya?” Aku
perasan riak wajah Wazien berubah bila dia melihat beberapa puluh keping not RM
100 di dalam sampul itu.
“Itu untuk belanja
barang hantaran semalam. Barang untuk dihantar ke pihak awak, biar saya yang
bayarkan. Awak pula bayarkan barang-barang yang dibeli untuk dihantar kepada
saya. Takkan semuanya awak seorang je yang kena tanggung,” tekan aku mengharapkan
pengertian dari Wazien.
“Kan saya dah cakap tak
apa. Saya mampu bayar semuanya,” tolak Wazien dengan nada suara yang sedikit
tinggi. Aku tahu dia ada egonya sebagai seorang lelaki.
“Ini bukan soal mampu
atau tak. Cuma saya rasa dalam sesebuah hubungan, mesti perlu ada sikap memberi
dan menerima. Mesti ada tolak ansur dan perkongsian. Kesusahan, kesenangan
biarlah kita sama-sama rasa. Saya tak sedap hati biar awak seorang yang
tanggung kesusahan. Lagipun, saya tak naklah awak berhabis simpanan awak semata-mata
kerana majlis perkahwinan kita,” tutur aku dengan lembut. Sebaik mungkin aku
menggunakan patah perkataan yang sesuai agar Wazien tidak berkecil hati.
“Kenapa? Salah ke kalau
saya berhabis duit untuk perempuan yang saya cinta? Selama ini saya bekerja pun
untuk pastikan awak dan bakal anak-anak kita hidup selesa,” luah Wazien seperti
berjauh hati. Tersentuh hati aku dengan kata-katanya. Tak sangka aku sudah
menjadi sebegini penting dalam hidup Wazien.
“Tak salah. Cuma saya nak
awak tahu, wang ringgit dan kemewahan bukan satu-satunya cara untuk buat saya
bahagia. Dan saya tak nak keringat dan usaha yang awak kumpul bertahun-tahun
habis dalam sekelip mata, hanya kerana sebuah perkahwinan. Kan lebih baik kita
besederhana. Kita berbelanja ikut kemampuan.” Bicara aku penuh makna. Semoga
Wazien tidak salah mentafsir apa yang aku cuba sampaikan.
“Maksud awak, saya ini
tak mampu nak berikan awak kemewahan? Sebab awak rasa saya ini hanya kerja biasa?
Gaji kecil? Macam tu?” soal Wazien bertubi-tubi.
Aku menarik nafas dalam.
Adoi, payah juga hendak buat lelaki ini mengerti. Lain yang aku maksudkan, lain
pula yang Wazien faham. Kalau berterus-terang takut dia kecil hati. Tetapi
kalau cakap berlapik, dia pula yang salah erti.
“Bukan macam tu. Saya tak
pernah memperkecilkan kerja awak sebagai mekanik. Itu semua tak penting. Saya
tak pernah ambil kisah pun. Saya terima awak seadanya diri awak ini di depan
saya. Jadi, awak tak perlulah bersusah-payah buat sesuatu di luar kemampuan
awak.” Aku memandang wajah Wazien dengan pandangan yang redup.
“Luar kemampuan?
Contoh?” Tajam anak mata Wazien merenung ke wajah aku.
“Contohnya, macam
kereta Toyota Camry tu. Tak perlulah sampai awak terpaksa meminjam kereta
dengan kawan awak semata-mata nak saya selesa bila keluar dengan awak. Awak
datang dengan menunggang motosikal Yamaha Lagenda awak itu pun saya tak kisah.
Kita boleh keluar dengan kereta saya. Nanti selepas kita kahwin, apa yang jadi
milik saya pun akan jadi hak awak juga,” terang aku dengan bersungguh-sungguh.
“Sampai macam itu
sekali awak pandang rendah pada kemampuan saya, ya?” balas Wazien dengan wajah
yang cemberut masam. Aku salah cakap lagi ke? Nampaknya perbincangan kami ini
tak akan ke mana. Bukannya Wazien ini makin faham. Tengok saja bibirnya, dah
serupa muncung itik.
“Tak apalah, awak.
Lupakan saja apa yang saya cakap tu. Saya minta maaf kalau kata-kata saya buat
awak terasa. Saya sebenarnya ikhlas menerima awak seadanya. Tak perlu berubah
kerana saya. Jadilah diri awak sendiri kerana setiap kelebihan dan kekurangan
yang ada dalam diri awak itu, saya suka,” tukas aku berputus asa untuk
meneruskan perbualan. Bimbang makin tersinggung pula lelaki ini nanti.
Sudahnya, perbualan kami habis di situ saja.
@@@
Siang tadi telah
berlangsung majlis perkahwinan aku dan Wazien. Majlis yang cukup meriah. Semua
sanak saudara, rakan taulan dan orang kampung berkumpul bergotong royong membantu
persiapan kenduri aku. Meriahnya sampai ke malam. Dekat luar rumah, masih riuh lagi
dengan suara tetamu yang duduk bergelak ketawa walaupun jam sudah menginjak
pukul 9 malam. Gembira benar mereka apabila aku akhirnya bertemu jodoh.
Sepatutnya aku turut serta bersama mereka. Sebaliknya, aku memilih untuk
memerapkan diri di dalam bilik pengantin melayan tangis kerana sakit hati.
Aku menghempaskan tubuh
aku di atas katil pengantin yang dihias cantik. Inai yang merah di jari aku
renung satu persatu. Pandangan mata aku menjadi kabur dek takungan air mata.
Sensitif betul jiwa aku hari ini. Walaupun mulut aku ini kadang-kadang main
cakap lepas saja, tapi dalam hati aku ada taman bunga. Semuanya gara-gara satu
penipuan yang terbongkar siang tadi. Hidup-hidup aku ditipu dan dipermainkan.
Hari ini selepas Wazien
sah bergelar suami aku, barulah aku tahu lelaki yang aku nikah ini bukanlah
seorang mekanik. Rupanya dia adalah pemilik pusat servis kereta yang aku selalu
hantar servis kereta aku itu. Lebih mengejutkan lagi, Wazien ini merupakan anak
tunggal Haji Ibrahim, orang kaya di kampung aku yang memiliki beberapa buah
stesen minyak. Dua puluh tahun yang lepas, seluruh kampung bersedih dengan
berita kematian Haji Ibrahim dan isterinya kerana kemalangan jalan raya. Wazien
dibesarkan oleh neneknya di Singapura. Aku pun sudah ingat-ingat lupa dengan
cerita itu. Yalah, masa itu aku pun masih kecil lagi. Patutlah aku rasa lain
macam betul meriahnya kenduri aku tadi. Berderet-deret orang kampung datang nak
tengok pengantin. Macam kahwin dengan anak raja pula aku rasa.
“Sayang, kenapa ini?
Marahkan abang lagi ke?” Bahu aku disentuh lembut. Dekat benar aku rasa suara
Wazien di cuping telinga aku sehingga aku dapat rasa hembusan nafasnya. Aku
tidak menjawab pertanyaannya. Sebaliknya, air mata aku makin laju pula
membasahi pipi. Sampai dah terenjut-enjut bahu aku.
“Sayang, janganlah
menangis macam ni,” pujuk Wazien lembut. Dia menarik tangan aku perlahan agar
bangkit dari baring. Pantas jari jemarinya menyeka air mata aku yang mengalir
laju. Semakin dikesat, semakin banyak air jernih yang menitik. Semakin mendayu-dayu
pula esak tangis aku. Sudah bunyi macam enjin motor bot pula aku rasa.
“Sayang, janganlah buat
abang macam ini. Abang minta maaf, okey? Janganlah menangis. Nanti orang
dengar, dorang fikir yang bukan-bukan pula. Sudahlah malam ini malam pertama
kita,” Wazien ukirkan senyuman manis pada aku. Dia membawa aku ke dalam
pelukannya. Belakang tubuh aku diusap perlahan.
“Kenapa awak tipu
saya?” tanya aku dalam sendu yang tertahan-tahan. Kepala aku sandarkan ke dada
bidangnya.
“Abang tak pernah tipu
sayang,” bela Wazien.
Aku mengangkat wajah. Pelukan
aku leraikan. Tengok itu, dah terang lagi bersuluh pun masih dia tak mahu
mengaku. Masih lagi nak menegakkan benang yang basah.
“Habis tu, selama ini
yang awak cakap awak kerja mekanik tu bukan menipu?” soal aku geram. Sakit hati
aku ini.
“Cuba sayang bagi tahu
abang. Bila abang mengaku yang abang ini mekanik? Ada pernah abang mengaku?”
tanya Wazien lembut.
“Habis yang selama ini
awak buat kerja menservis kereta di bengkel tu, bukan kerja mekanik? Awak dah
lupa yang awak pernah mengaku dengan encik Fahim yang awak senior mekanik?” soal
aku sebagai jawapan kepada pertanyaan Wazien. Lelaki itu tersenyum lebar.
“Sayang ini mudah
sangat percaya apa yang sayang nampak. Abang buat kerja dekat bengkel tak
semestinya abang kerja mekanik. Kadang-kadang sengaja abang turun padang buat
kerja bersama-sama dengan staf abang. Yang fasal senior mekanik itu, waktu itu kan
kita berlakon. Kalau nak kata abang menipu, sayang pun berbohong juga waktu itu
kan,” beritahu Wazien tenang.
Aku terdiam. Bibir yang
basa aku ketap kuat. Betul ke selama ini aku suka membuat kesimpulan daripada
apa yang aku nampak?
“Habis tu, kenapa awak
tak berterus terang masa kita bertunang? Awak biar saya salah sangka sampai
hari kita bernikah,” bahas aku.
“Sayang pun tak pernah
tanya kan? Takkanlah abang nak beritahu sayang fasal diri abang dari A sampai Z.
Nanti sayang cop abang nak menunjuk pulak,” tingkah Wazien mematikan kata-kata
aku. Silap aku lagi. Selama ini aku ingat cukuplah aku tahu serba sedikit
sahaja tentang Wazien. Nanti lepas kahwin barulah kenal betul-betul. Tapi
rupa-rupanya aku yang makan hati sebab terasa diperbodohkan.
“Lagipun masa merisik
sayang, abang dah ceritakan semuanya fasal abang pada mak dan bapak. Abang
ingat mak ada beritahu sayang tentang abang,” tambah Wazien lagi. Oh, barulah
aku teringat. Emak ada beritahu aku lelaki yang datang merisik aku ini tinggi,
cerah, muka pun lawa dan ada syarikat sendiri. Waktu itu aku ingat lelaki yang
emak maksudkan adalah encik Fahim.
“Jadi, Toyota Camry tu
memang kereta awak? Bukan pinjam dari kawan?”
“Yalah, sayang. Abang
beli cash tau,” giat Wazien sudah
tergelak-gelak. Hangat pula aku rasa wajah aku. Alamak, malunya. Mana aku
hendak sorok muka aku ini. Bawah bantal aci tak? Sudahlah berbesen-besen air
mata aku tumpah. Dengan hingus yang dah berlengas-lengas meleleh lagi.
“Sayang, mari dekat
abang.” Wazien menggamit aku untuk menghampirinya yang sudah menyandarkan
badannya di kepala katil. Dengan wajah yang masih membahang aku mendekatinya.
Kemudian, dia menarik tubuh aku untuk menyandar ke dadanya. Pinggang aku
dirangkulnya erat dari belakang. Seram sejuk aku dengan tindakan Wazien. Biarpun
jauh di dasar hati terasa syok juga. Kenikmatannya memang tidak dapat diucapkan
dengan kata-kata apabila semuanya telah dihalalkan syarak.
“Kenapa wajah merah ini,
sayang? Malu dengan abang? Tak usah malulah. Kita pun dah selamat jadi suami
isteri. Lepas ini kita bakal berkongsi semuanya. Luar dan dalam sayang akan
menjadi milik abang. Begitu juga apa yang abang ada, akan menjadi milik sayang”
tutur Wazien perlahan di telinga aku. Dia mengeratkan pelukannya.
“Apa yang berlaku
sebelum ini, ada hikmah di sebaliknya. Sewaktu sayang bersusah payah nak
fahamkan abang di restoran tempoh hari, abang nampak kejujuran sayang yang
menerima abang seadanya. Abang bersyukur abang dapat seorang isteri yang
sanggup bersusah dan bersenang sama-sama dengan abang. Yang memilih abang bukan
kerana harta dan rupa. Tetapi memilih abang hanya kerana sebuah motosikal
Yamaha Lagenda,” sambung Wazien nakal sambil mengucup pipi aku lama. Terasa
kerjung tubuh aku bila diperlakukan begitu.
“Kenapa senyap ni
sayang? Sayang masih marahkan abang? Kalau apa yang berlaku selama ini buat
sayang tersinggung, abang minta maaf,” pohon Wazien. Saat ini aku nampak
kebaikan dan kesabaran suami aku dalam meladeni aku.
“Saya pun nak minta
maaf dengan awak sebab buat tuduhan melulu.” Akhirnya aku bersuara perlahan. Hari
pertama bergelar isteri, aku sudah buat perangai dengan si suami.
“Abang akan maafkan
kalau sayang tukar panggilan awak itu dengan abang. Bila dah kahwin, panggilan
manja ini akan mengeratkan hubungan suami isteri. Boleh?” Aduh, bikin cair
betul hati aku dengan suara lembut suami aku ini. Tak tunggu lama, aku terus
mengangguk laju.
“Abang maafkan saya,
ya” pinta aku. Melalui ekor mata aku dapat melihat Wazien tersenyum lebar
dengan panggilan yang aku gunakan untuk dirinya.
“No problem, sayang. Abang sentiasa ampunkan kesalahan sayang sama
ada yang dah lepas atau yang akan datang.” Semakin erat rangkulan tangan Wazien
di pinggang aku.
Untuk beberapa detik,
suasana menjadi bisu antara kami berdua. Hanya desah nafas yang menyapa deria
dengar. Kehangatan sentuhan Wazien membuatkan aku tenggelam dalam dunia indah
ciptaan kami berdua. Sentuhan yang mengalirkan haba cinta yang membara.
Indahnya perasaan ini hanya yang berkahwin saja dapat merasa.
“Sayang,” panggil
Wazien memecah kesunyian.
“Emm..” Aku menyahut
pendek, masih memejamkan mata.
“Tak nak beritahu abang
ke rahsia hati sayang?” soal Wazien. Aku membuka mata. Rahsia? Rahsia apa? Keliru.
“Saya mana ada rahsia”
balas aku polos.
“Dah lupa ke hari itu
masa abang tanya sayang tentang perasaan sayang pada abang. Sayang cakap
biarlah rahsia. Sekarang, kongsilah rahsia itu dengan abang” terang Wazien
membuatkan aku tersenyum simpul. Oh, rahsia itu rupanya.
“Oh..” Hanya itu yang
terpacul di bibir aku. Malu pula aku hendak mengaku perasaan aku ini.
“Cepatlah beritahu
abang” gesa Wazien.
“Err.. dari pandangan
mata saya, layanan saya, tutur kata saya, takkan abang tak boleh teka lagi apa
perasaan saya pada abang?” kias aku sambil menjeling manja pada suami aku. Sengaja
aku lunakkan sikit alunan suara aku ini.
“Itu abang tahu, tapi
telinga abang ini terasa gatal nak dengar tiga patah perkataan keramat itu dari
mulut sayang sendiri,” balas Wazien romantik. Aku masih tersenyum-senyum. Malulah
sangat kononnya.
“Cepatlah sayang. Abang
tunggu ini” desak Wazien kurang sabar apabila mulut aku seakan terkunci.
“Saya sayang abang.” Dengan
senafas tiga patah perkataan yang diminta meniti laju di bibir aku.
“Sayang je?” tanya
Wazien tidak puas hati. Alamak, tak cukup ke?
“Habis itu? Tadi kata
hendak dengar tiga patah je kan? Cukuplah tu” balas aku pula.
“Bukan itu yang abang nak
dengar,” rajuk Wazien dengan mulut yang muncung ke depan.
“Saya cintakan abang
sangat-sangat. Sekali abang cintakan saya, berkali-kali saya cintakan abang,”
tutur aku lancar satu persatu. Wazien meleret senyum sampai ke telinga.
“Terima kasih, sayang.
Abang pun cintakan sayang sangat-sangat. Truly
madly deeply in love with you, sayang,” luah Wazien sambil mengucup pipi
aku. Semakin kemas pelukannya di tubuh aku. Aku hanya tersipu malu mendengar
kata-kata Wazien. Terbuai-buai perasaan ini dengan ayat-ayat indah yang menyapa
gegendang telinga aku.
“Sayang…” panggil
Wazien lagi.
“Emm..” sahut aku pula.
“Abang sukalah dengar
celoteh sayang” beritahu Wazien.
“Saya ingat, lepas
kahwin saya nak pencen bercakap. Nanti, kalau banyak cakap abang naik bosan
pula. Tak fasal-fasal nanti saya asyik kena cium dengan abang,” usik aku
teringat kembali ayat yang pernah dituturkannya kepada aku dulu.
“Yang itu, kalau mulut
sayang tak pot pet pun abang akan cium juga,” ujar Wazien dengan melemparkan
pandangan nakal kepada aku. Kemudian, dia mendekatkan wajahnya ke bibir aku
sebelum bibirnya yang basah jatuh di situ, lama. Seterusnya? Faham-faham
sendirilah. Takkan itu pun nak cerita kot.
Akhirnya, aku mengecap
bahagia dengan cinta jejaka Yamaha Lagenda. Sebuah kisah cinta biasa milik aku
dan Wazien. Kisah cinta yang bakal kami kongsi buat anak cucu-cicit
kami. Mudah-mudahan bisa menjadi pedoman dan lagenda untuk mereka zaman
berzaman.
best…a sweet story
ReplyDeleteTq!
Deletemissed your stories Ridhya!!! love Wazien and Maya...err, tak nak sambung ke?
ReplyDeleteSambung? Jadikan novel ke? Hahaha..terus pitam.. :P
Deletebest ! (Y)
ReplyDeleteTq
Deletebestttttttttt.............
ReplyDeleteTq
DeleteBEST GILERR..
ReplyDeleteTq
Deletedah komen kat fb. BEST! BEST! BEST!, short, simple but oh so sweet and awesome ... thank u.
ReplyDeleteTq! Tq! Tq!
DeleteDah pernah bc kat mana yer..?..
ReplyDeleteIni cerpen lama sy yg dah diedit. Hehehehe..
DeleteBestttttttttt.....suwetttttt sgttttt
ReplyDeleteSaya suka...saya suka...♡♡♡♡
ReplyDeleteperghhh....!!!!!!!!!!!best giler bro!!!!!!!!!!!!!!!!-iezahtakuya
ReplyDeleteJom singgah baca and jangan lupa tinggalkan comments http://balqisluv99.blogspot.my/2016/03/gred-for-exam-2016.htm
ReplyDeleteCerita yg best....terima kasih Cik Ridhya (:
ReplyDeleteCerita yg best....terima kasih Cik Ridhya (:
ReplyDeleteKeep up a good work
ReplyDelete