Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday 18 September 2014

Kalau Aku Cinta - Bab 7

        Usai berbuka puasa, Arianna hanya memerap di dalam bilik. Sementara menunggu Affan dan keluarga mertuanya selesai menunaikan solat terawih di masjid, dapatlah dia merehatkan diri sekejap. Melepaskan lelah setelah berhempas pulas menyiapkan hidangan berbuka tadi. Tubuh yang keletihan dicampur dengan emosi yang terdera dek penangan Affan menjadikan dirinya bertambah lelah. 
        Arianna merebahkan tubuh di atas tilam empuk milik Affan. Sungguh selesa bila dia dapat baring di atas katil canggih yang lengkap dengan fungsi urutan itu. Affan memang punya cita rasa yang tinggi. Jadi tidak hairanlah jika tatarias bilik tidur lelaki itu persis hotel lima bintang.
        Mengenangkan tingkah Affan, hati Arianna mendongkol geram. Hari ini percuma saja dia dikenakan dan dimalukan Affan berulang-kali di hadapan keluarga mertua. Sungguh bijak suaminya itu mengambil kesempatan ke atas dirinya. Terngiang-ngiang perbualannya dengan Puan Rose ketika di dapur tadi.
        “Sedap Anna masak semua lauk kegemaran Affan tu. Macam tulah isteri yang baik. Pandai Anna tambat hati suami,” puji Puan Rose dengan bibir yang tersenyum bangga.
        “Lauk kegemaran abang Affan?” Arianna angkat wajah. Tangannya yang sedang mengelap pinggan terus terhenti.
         “Hmmm…Affan tu kalau hari-hari makan nasi berlaukkan kari pun tak apa. Tambah lagi kalau lauk kari tu memang kena dengan selera dia. Berpinggan-pinggan dia boleh habiskan nasi macam tadi tu.” Ramah Puan Rose bercerita sambil tangannya lincah mencuci pinggan kotor di dalam singki.
        “Tapi abang Affan cakap lauk kari tu lauk favourite mama dan papa.”
        Arianna mengetap bibir. Patutlah berbuka tadi Affan bukan main berselera menjamah makanan. Siap menambah nasi sampai tiga kali.
        “Affan cakap macam tu?” soal Puan Rose. Sebelah keningnya naik.
        Arianna angguk sekali.
        “Hmmm..sebab tulah abang Affan minta Anna masakkan lauk kari tu. Ikan merah masak lemak cili padi tu pula katanya kegemaran tok wan,” balas Arianna berterus-terang.  
        “Budak bertuah. Nakal tak habis-habis si Affan ni. Sajalah tu dia gunakan kami semua supaya Anna masak lauk-lauk kegemaran dia tu,” omel Puan Rose sambil menggelengkan kepalanya perlahan.
        Arianna diam tidak membalas. Senang-senang Affan telah menggula-gula dirinya. Demi menutup rasa geram yang bermukim di hati, dia kembali menyambung kerja mengelap pinggan mangkuk.
        Puan Rose menjeling Arianna yang sedang ralit dengan kerjanya. Biarpun wajah itu sentiasa mekar dengan senyuman manis, tetapi dia dapat rasakan senyuman itu kadang-kadang seperti dipaksa. Ingin dia menebak apa yang sedang bersarang di jiwa menantunya itu, tetapi dia bukanlah ahli nujum yang mampu meneka. Biarpun jauh di dasar hati, nalurinya dapat merasakan hubungan anak dan menantunya yang dingin.
        “Anna bahagia dengan Affan?”
        Arianna terpempan dengan pertanyaan Puan Rose. Langsung terhenti pergerakan tangannya. Dia mendongak wajah.
        “Errr…Anna…” Kata-katanya mati. Dia menelan liur yang tiba-tiba terasa pahit. Serba-salah. Andai dia jujur memberikan jawapan, pasti mama mertuanya  kecewa. Namun untuk menipu dia juga tidak berdaya.
        “Anna sedang cuba untuk bahagia, mama.” Sebuah senyuman yang kaku terukir di bibirnya.
        Bahagia. Perkataan itu sebenarnya sudah lama hilang dalam kamus hidupnya. Bahagianya sudah lama dibawa pergi bersama Lutfan. Lelaki yang pernah dicintainya separuh mati. Dan kerana cinta lelaki itu jugalah yang membuatnya tersungkur rebah berkali-kali.
        Puan Rose senyum kelat. Jawapan selamat yang diberikan Arianna menambah gusar di hatinya. Sebuah keluhan panjang meletus di bibir.
        “Affan ada berkasar dengan Anna lagi? Ada dia pukul Anna?” selidik Puan Rose.
        Sejak kejadian tempoh hari, pelbagai andaian negatif yang sering bermain di fikirannya. Entah kenapa Affan boleh hilang pertimbangan pada malam itu. Kalaulah tamparan anaknya itu hinggap di wajah Arianna, dia sendiri tak tahu macam mana hendak menjawab kata dengan Puan Zainab, ibu Arianna merangkap teman baiknya sendiri.
        “Tak...tak ada.” Laju Arianna menggelengkan kepala.
        “Betul tak ada? Anna terus-terang je dengan mama,” desak Puan Rose separuh percaya.
        “Betul, mama. Abang Affan tak pernah berkasar dengan Anna. Marah Anna pun tak pernah. Kejadian hari tu sebenarnya kali pertama dan kali terakhir abang Affan macam tu. Silap Anna juga,” tekan Arianna merujuk hari di mana dia nyaris ditampar Affan. Dia tidak boleh salahkan Affan sepenuhnya. Dia juga silap kerana mencabar kesabaran Affan sebagai seorang suami.
        Puan Rose menarik nafas lega. Syukurlah. Sekurang-kurangnya Affan belum pernah menyakiti tubuh Arianna. Jauh di dasar hati, dia berdoa semoga anak dan menantunya itu dapat bertahan dalam menongkah arus dugaan berumah tangga.
        “Anna sayangkan Affan?” duga Puan Rose seraya menyudahkan bilasan pinggan yang terakhir. Tuala kering dicapai untuk mengelap tangannya yang basah.
        Arianna terkesima. Lama dia berjeda membiarkan pertanyaan itu sepi tanpa jawapan. Sukarnya dia untuk membalas soalan yang melibatkan hati dan perasaan.
        “Anna tak sayangkan Affan ke?” Sekali lagi soalan itu diulang. Jelas suara Puan Rose bernada kecewa. Riak Arianna yang teragak-agak sudah cukup memberinya jawapan.
        Arianna menekur wajah. Dia mengetap bibir kuat. Kedua-dua belah tangannya bercantum resah.
        “Anna…Anna sedang cuba, mama.” Arianna bersuara perlahan.
        Puan Rose menarik nafas dalam sebelum menghembus perlahan. Wajah resah Arianna direnung lama.
        “Mari kita duduk sekejap. Mama ada perkara nak berbual dengan Anna,” ajak Puan Rose. Dia melabuhkan duduk di atas bangku bulat.
        Arianna mengangguk. Tanpa banyak bicara dia hanya menurut ajakan Puan Rose.
        “Anna…” Puan Rose membawa jari-jemari Arianna ke dalam genggamannya. Belakang tangan menantunya itu diusap perlahan. Menyalurkan rasa kasih seorang ibu.
        “Mama tahu perkahwinan ini bukan mudah untuk Anna dan Affan. Yalah, bukan senang nak cari kesesuaian untuk hidup dengan seseorang yang datang dari latar belakang yang berbeza dan gaya hidup yang tak sama. Lagilah Anna dan Affan tak pernah kenal dan bercinta sebelum kahwin. Nak pupuk rasa kasih dan sayang tu mungkin ambil masa sikit.” Puan Rose menghentikan bicaranya seketika untuk melihat reaksi Arianna yang diam tak berkutik.
        “Apa yang penting, Anna jangan mudah mengalah. Apatah lagi awal-awal kahwin ni memang banyak dugaan yang datang. Masing-masing masih tercari-cari titik persamaan antara satu sama lain. Jadi, Anna kena banyak bersabar dan bertolak ansur dengan kerenah Affan. Mama tahu anak mama tu banyak kekurangan. Tapi mama harap sangat Anna dapat terima Affan dan sayangkan Affan selayaknya sebagai suami Anna,” sambung Puan Rose penuh harapan. Setiap hari dia tak pernah jemu mengutus doa. Semoga rumah tangga Affan dan Arianna kekal sehingga ke syurga hendaknya.  
        Arianna tertunduk diam. Dia tak sanggup menentangi mata Puan Rose yang nampak berharap itu. Sungguh berat permintaan mama mertuanya biarpun dia tahu sebagai isteri sewajarnya itulah yang patut dilakukannya. Tetapi rasa sayang itu bukan boleh dipaksa-paksa.
        “Boleh, Anna?”
        Arianna telan liur. Dia tidak mampu menipu perasaannya sendiri tetapi untuk merumitkan lagi keadaan dia juga tidak mahu.
        “Anna cuba, mama.” Sudahnya hanya itu yang mampu diungkap bibirnya. Dia akan cuba sebagaimana dia sedang cuba untuk menerima hakikat perkahwinannya ini.   
        “Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci. Melalui perkahwinan manusia diizinkan ALLAH untuk berkasih sayang secara halal. Sesuatu perkahwinan itu terjadi atas iradat ALLAH. Ia bukan sekadar untuk menyatukan dua hati, tapi perkahwinan itu sendiri dapat melahirkan kebahagiaan dan ketenangan,” nasihat Puan Rose lembut.
        Arianna resah sendiri dengan bicara Puan Rose. Bagaimana dia dapat merasa bahagia sedangkan kebahagiaannya ada bersama orang lain? Bagaimana dia mampu hidup tenang kalau sehari-hari jiwanya begitu kosong dan sepi?   
        “Perkahwinan ini…macam mana Anna nak rasa bahagia dengan perkahwinan ini, ma?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Arianna.
        Puan Rose tersenyum nipis.
        “Reda. Bila hati Anna reda dengan perkahwinan ini, insya-ALLAH jiwa Anna akan jadi lebih tenang untuk menyemai bahagia bersama Affan.”   
        Sinar matanya merenung Arianna dengan penuh kasih. Kali pertama melihat Arianna dulu, hatinya sudah terpaut sayang. Sikap hormat pada orang tua yang dimiliki Arianna memikat hatinya. Disebabkan itulah dia segera mengikat janji dengan Puan Zainab untuk menjodohkan Arianna dengan Affan. Puan Zainab juga terus bersetuju. Berkenan sangat dengan Affan katanya.
        “Macam mana nak pujuk hati ni untuk reda?” soal Arianna perlahan.
        Memujuk hati untuk menerima jodoh ini bukanlah semudah menuturkan kata di bibir. Bukannya dia tak pernah cuba untuk menerima Affan. Tetapi dia tak mampu mengubah pintu hatinya yang terlebih dulu mencintai lelaki lain. Sungguh sukar untuk dia membuang bayang-bayang Lutfan.
        “Percaya dengan kasih sayang ALLAH. Anna kena ingat, ALLAH yang tetapkan jodoh Anna dengan Affan. Perkahwinan Anna dan Affan ni terjadi bukan atas kemahuan mama, papa, tok wan mahupun ayah atau ibu semata-mata. Kami mungkin jadi penyebab atau pembuka jalan tapi perkahwinan ni takkan terjadi tanpa izin dan restu dari ALLAH. Anna fahamkan kata-kata mama ni?” ujar Puan Rose tenang.
        Arianna mengangguk sekali. Dia faham. Cukup faham dengan percaturan Ilahi. Tetapi dia hanyalah manusia biasa yang sering tewas dengan kehendak akal dan hati. Sakitnya bila takdir dan kehendak hati tak bergerak seiring.
        “Bahagia itu perlu dicari dan diusahakan. Sama ada dari pihak Anna atau Affan, dua-dua kena sama-sama belajar untuk mencari bahagia dalam rumah tangga. Masing-masing kenalah saling menerima dan memberi. Dan sebagai isteri, tugas Anna adalah untuk membahagiakan suami. Begitulah juga sebaliknya. Boleh?” tanya Puan Rose penuh makna.
        “Huh?” Arianna panggung wajah.
        “Boleh Anna janji dengan mama untuk bahagiakan anak mama tu?” Redup pandangannya menikam anak mata Arianna.
        “Insya-Allah, ma.” Arianna melarikan pandangan ke arah lain. Berat bibirnya untuk berjanji. Tetapi untuk mengecewakan wanita yang telah dianggap seperti ibunya sendiri itu, dia juga tidak berdaya.
        “Anna kena pandai tawan hati Affan tu. Orang lelaki ni, ada dua cara kita nak tambat hati dia. Anna tahu tak?” soal Puan Rose memancing perhatian Arianna.
        Arianna menggelengkan kepala. “Apa dia, ma?”
        “Satu, tawan perut dia melalui masakan. Dan satu lagi, tawan nafsu dia semasa di bilik tidur. Kalau bab memasak tu mama boleh ajar Anna macam mana nak tambat selera Affan tapi kalau bab bilik tidur tu kena pandai-pandai sendirilah. Tak ada praktikal tapi banyak buku Anna boleh rujuk,” beritahu Puan Rose sambil tergelak kecil.
        Mendengarkan kata-kata mama mertuanya itu, wajah Arianna terasa berbahang. Mula dia rasa tak senang duduk. Sungguh dia tak pernah terfikir sehingga sejauh itu.
        “Ehemm…rancak mama berborak dengan isteri Affan ni. Bergosip ke?” tegur Affan yang sedang berdiri di muka pintu dapur sambil berpeluk tubuh.
        “Kus semangat. Budak bertuah ni! Terkejut mama.” Puan Rose mengurut dada. Entah sejak bila anaknya itu berada di situ, langsung tak disedarinya.
        “Mama gossip apa dengan isteri Affan?” Sambil tersenyum nipis, Affan mengulang pertanyaannya. Malam itu dia segak dalam baju Melayu berwarna kuning dan berkain pelekat. Wajahnya tampak segar dengan rambut yang masih basah.
        “Gossip apa bulan-bulan puasa ni. Itu hal orang perempuan. Mana boleh beritahu kamu. Yang kamu ni menyibuk dekat dapur ini buat apa?” balas Puan Rose.
        “Affan datang ni sebab nak panggil mama, solat Maghrib berjemaah sekali. Papa dah lama tunggu dengan Tok Wan dalam bilik solat tu,” beritahu Affan.
        “Ya ALLAH. Ralit sangat berborak dengan Anna sampai lupa mama tak solat Maghrib lagi. Dahlah...mama nak masuk bilik dulu.” Kalut Puan Rose melangkah ke tingkat atas, meninggalkan hanya Affan dan Arianna di ruang dapur.
        Arianna bingkas bangkit. Renungan tajam Affan membuatkan dia jadi tak senang duduk. Dia benci dengan panahan mata helang itu. Terasa seperti dirinya seperti sedang diimbas luar dan dalam.
        “Abang tak tahu pun yang Rie pandai masak lauk kari.” Suara Affan tenang. Selama ini kesibukannya di pejabat membuatkan dia jarang menjamah masakan di rumah. Lagipun dia tak pernah sangka Arianna pandai memasak. Kalau dia tahu hari-hari dia sanggup ulang-alik dari pejabatke rumah semata-mata untuk menjamah air tangan isteri.
        “Dah abang tak tanya. Takkan Rie nak cerita pula,” jawab Arianna menutup gugup di hati.
        “Sedap lauk Rie masak tadi. Semuanya kena dengan selera abang terutamanya lauk kari tu,” puji Affan.
        “Hmmm…”  Dia jadi kekok dengan pujian Affan. Lalu dipalingkan tubuh agar membelakangi lelaki itu. Pura-pura sibuk mengelap permukaan meja kabinet yang dah sedia bersih itu.
        “Lepas ni, Rie masak untuk abang setiap hari ya. Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam semuanya abang nak dari air tangan isteri abang ni,” pinta Affan lembut.
        “Huh?” Arianna terkesima. Dia panggung wajah.
        “Boleh kan?”
        “Errr…” Arianna tiada jawapan.
        “Lepas Raya nanti, abang nak Rie masak untuk abang. Sebelum abang pergi kerja, Rie siapkan sarapan. Kemudian tengah hari abang akan balik rumah untuk makan tengah hari. Malam abang akan makan di rumah kalau abang tak ada dinner atau appointment dengan client. Dan untuk bulan puasa ni, Rie masakkan lauk sahur dan berbuka. Lepas ni abang tak nak lagi beli lauk kedai,” atur Affan.
        “Tapi…” Arianna telan liur dengan kata-kata Affan. Dia mencari-mencari alasan untuk menolak tetapi satu pun tak muncul di benak fikirannya.
        “Betul cakap mama tadi. Langkah pertama Rie kena tawan hati abang melalui masakan dulu. I think we should give a try for the sake of our marriage.
        Kata-kata Affan sekali lagi membuat Arianna terkedu. Mesti lelaki ini mengintip perbualannya tadi.
        “Pasal tips di bilik tidur tu, maybe you should consider to move in my bedroom after this, hmmm? Tak payah pindah balik ke bilik tidur Rie tu.” Ada senyum sinis yang herot di pinggir bibirnya. Melihat kegusaran Arianna, semakin galak dia mengusik si isteri.
        “Rie tak…”
        “Abang nak solat dulu,” pangkah Affan sebelum sempat Arianna meningkah. Cepat-cepat dia berpaling untuk berlalu ke bilik solat. Namun dia tiba-tiba menghentikan langkah dan memusingkan tubuh ke arah Arianna.
        “Masak lauk kari setiap hari untuk abang. Abang rasa abang dah jatuh cinta…dengan lauk kari Rie tu. Mana tahu selepas ni abang jatuh cinta dengan tukang masaknya pula.” Affan kenyit mata sebelum dia kembali meneruskan langkahnya.
        Dan abang juga akan buat Rie jatuh cinta dengan abang. Bisik hatinya.
        Arianna mengetap bibir kuat. Bicara Affan yang terakhir itu benar-benar membuat jiwanya jadi tidak keruan. Hatinya semakin dihambat resah.

         

25 comments:

  1. Go affan go.....yup, love after marriage is a lifetime discovery 😉

    ReplyDelete
  2. Yay! Nak lagi pls (dgn muka kesian) ;)

    ReplyDelete
  3. Hi Ridhya.. Maaf kalau saya tanya, 'reda' ke 'redha'? Rasanya perkataan paling tepat 'redha' kot. Saya merujuk pada perbualan mama Affan dengan Anna tu.. Maaf kalau saya salah :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ikut kamus dewan edisi empat, perkataan 'Redha' tak wujud. Yang ada cuma 'reda' yang bermaksud bersedia dgn ikhlas hati :)

      Delete
    2. Bahasa Melayu mmg REDA....tp ramai org mula eja REDHA sebab nk bunyi huruf dhot sb prkataan ni asal Bahasa Arab (REDO)

      Delete
    3. Ya..betul tu. Sy mmg suka eja redha. Bunyi lebih bermakna kan. Tp nak wat camne dbp suruh guna reda. So terpaksalah reda guna word ni. Huhuhu

      Delete
    4. Reda ejaan Kamus Dewan..

      Delete
  4. Best3
    cerita yg menarik..
    Bercinta selepas kahwin...

    ReplyDelete
  5. Rid...

    Semoga sinar bahagia menjenguk Affan dan Rie... semoga Rie reda dgn kehendak takdir bahawa jodoh itu sudah termetri nama Affan untuk dia... bahawa dia pelengkap tulang rusuk Affan

    Thanks Ridh

    Kak itasukri

    ReplyDelete
  6. Yup, its reda. Not redha. Knpa la arianna ni keras hati sgt. --,--

    ReplyDelete
  7. xsabarvnkntggu arianna trima affan

    ReplyDelete
  8. Next chap plez ^^

    ReplyDelete
  9. Hope to see next n3 soon. Jln cerita semakkn menarik.... tq

    ReplyDelete
  10. cepat writer sambung lagiii dah tak sabr nk peluk nih....

    ReplyDelete
  11. Replies
    1. Sambungan dalam novel, boleh dptkan Kalau Aku Cinta di pasaran

      Delete
  12. Published by who?? N bookstore mana yg ada novel ni??? Is it the title still same???

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hope u reply it A.S.A.P., cause I'm in love with your writing...

      Delete
    2. Kalau aku cinta, publisher IKP. BOLEH CONTACT fb penerbitan Idea kreatif

      Delete
  13. Minimal depo 50rb wd minimal 100rb, menangkan uang ratusan juta rupiah bersama
    kami WWW.MGMCASH88.COM buruan jangan sampai anda ketinggalan.
    Terjamin dan terpecaya....
    - SBOBET
    - MAXBET
    - 368BET
    - Tangkas
    - Livecasino
    - Sabung Ayam
    (Baccarat,Sicbo/Dadu,Slot)

    Info lengkap hubungi live support custumer service 24 jam di :
    PIN BBM : 7B2EC260
    PIN BBM : D8796C4C
    WHATSAAP : +66615620266
    LINE : mgmcash88

    ReplyDelete
  14. Salam sy ada dm instagram cik... appreciate it if you could reply..

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..