Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 16 EV

“Harris!” Bulat mata ‘Aisy merenung susuk tubuh Harris yang tercegat di hadapan pintu wad. Seakan tidak percaya dengan bayangan yang terbias oleh kornea matanya. Memang dia terperanjat dengan kehadiran Harris, namun ada kelegaan yang mengisi ruang hatinya kerana masih berpeluang menatap wajah yang dirindu itu.
“Kenapa tak siap kemas lagi?” Pertanyaan Harris dengan suara yang mendatar membuatkan ‘Aisy terpinga-pinga.
“Kemas?” Soalan Harris dibalas dengan pertanyaan. ‘Aisy memandang Harris dengan kerutan di dahi. Namun, riak selamba yang dipamerkan Harris langsung tidak memberikannya sebarang jawapan.
Kemunculan Harris membuatkan bertubi-tubi persoalan menyerang benaknya. ‘Aisy keliru. Masakan kehadiran Harris seawal pagi ini semata-mata untuk menjemputnya keluar dari hospital.
Namun sedikit sebanyak kehadiran Harris berjaya menghalau resah yang mengundang sesak di dada. Semalaman dia tidak dapat tidur kerana dihambat dengan rasa bersalah. Memikirkan keterlanjuran dirinya berkasar dengan Harris membuatkan hatinya ditimpa kekesalan yang bertubi-tubi. Selama ini dia terlalu mengikut kata hati sehingga tega mendidik diri menjadi seorang isteri yang berdendam pada suami sendiri.
Nasihat Hafeeza tentang dosa isteri yang menderhaka terngiang-ngiang di telinganya. Dia sedar dia tidak sepatutnya menghukum Harris atas dosa silam lelaki itu. Dia tidak berhak berdendam dan membenci Harris disebabkan kehilangan yang pernah dirasainya. Apa yang berlaku adalah takdir dan seharusnya dia reda.
“Sayang dah boleh keluar wad. Abang datang nak bawa sayang balik.” Nada suara Harris masih dingin. Tiada langsung walau segaris senyuman di wajah itu. Jelas dia masih berjauh hati.
‘Aisy tergamam seketika. Namun dalam hati tersisip rasa bahagia. Dalam kedinginan Harris dan dalam rajuk yang masih belum terbujuk, lelaki itu masih berusaha untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
“Balik? Tapi, Doktor Asyraff beritahu paling awal saya boleh keluar pun petang nanti.” Tingkah ‘Aisy separuh ragu. Memang semalam Doktor Asyraff ada memaklumkan kepadanya yang urusan pendaftaran keluar hospital mungkin hanya dapat diselesaikan lewat petang kerana beberapa orang pegawai perubatan yang bertugas di wad itu terlibat dengan pembedahan major sepanjang hari.
“Abang dah minta Doktor Asyraff benarkan sayang keluar pagi ini juga. Petang nanti abang sibuk, ada meeting penting dengan client. Dari minggu lepas meeting ni tertangguh. Leceh bila banyak hal yang berlaku.” Keluhan Harris sedikit menggarit luka di hati ‘Aisy. Langsung dia tidak memandang ke arah ‘Aisy.
‘Aisy menundukkan wajah. Sedar dengan keadaan dirinya yang telah banyak menyusahkan orang sekeliling. Rasa rendah diri semakin menebal. Mudah benar jiwanya menjadi sensitif.
“Awak tak perlu uruskan hal saya kalau awak sibuk. Lagipun…”
“Habis tu, sayang nak orang cakap yang abang ini suami tak bertanggungjawab? Seronok bila dengar orang tuduh abang begitu?” Sergah Harris keras memotong percakapan ‘Aisy. Baran yang ditunjukkan Harris membuatkan ‘Aisy tersentak.
“Err..bukan maksud saya macam tu. Saya cuma tak nak awak rasa terbeban.” Tergagap-gagap ‘Aisy menyampaikan kata. Pelik dengan dirinya sendiri yang kala itu seakan tidak mempunyai kekuatan untuk melawan.
“Sayang takut abang rasa terbeban ke atau sebenarnya sayang sengaja cari alasan untuk mengelak daripada abang?” Tuduh Harris membawa pandangannya tajam ke arah ‘Aisy.
‘Aisy sedikit menikus. Terketar-ketar dia membalas pandangan Harris. Entah kenapa dia bagaikan terlihat bayangan Harris yang dikenalinya empat tahun yang lalu. Harris yang baran, kaku dan dingin. Dia menjadi gerun.
“Sudahlah. Abang dah lambat ni. Cepat bersiap. Abang dah uruskan bil hospital. Ubat pun abang dah ambil dekat farmasi.” Sambung Harris sambil menunjukkan satu plastik ubat di tangannya. Dia melembutkan suara apabila melihat ‘Aisy yang agak ketakutan di depannya.
Harris mendengus berat tatkala ‘Aisy hanya mendiamkan diri. Dia menuju ke arah almari pakaian. Bagasi sederhana besar dicapai dan dia mula memasukkan semua pakaian dan barang keperluan ‘Aisy ke dalam beg dengan rakus.
“Err..tak apalah. Nanti saya kemaskan sendiri. Lagipun Sakeena dah janji nak jemput saya petang nanti.” Teragak-agak ‘Aisy menghalang Harris daripada terus mengemas pakaiannya. Pergerakan tangan Harris terhenti dan sekali lagi dia melemparkan pandangan tajam ke arah ‘Aisy.
Melihatkan wajah Harris yang sukar dibaca air mukanya membuatkan ‘Aisy semakin cuak. Apatah lagi rasa segan yang menerpa tatkala Harris dengan selamba memasukkan pakaian dalamnya dan beberapa barang keperluan wanita miliknya ke dalam beg.
No, abang tak nak dengar apa-apa alasan pun. Sekarang abang arahkan sayang ikut abang balik dan selepas ini abang nak sayang tinggal bersama abang di rumah kita.” Putus Harris tegas membuatkan ‘Aisy melongo kebingungan. Dia menelan liurnya pahit.
“Tapi...” ‘Aisy ingin membantah tapi entah kenapa suaranya tenggelam.
“Sayang jangan lupa. Abang suami ‘Aisy. Seorang isteri wajib mentaati perintah suami selagi tak bercanggah dengan hukum syarak. Mulai hari ini abang tak nak dengar apa-apa alasan lagi. And no more compromise from me!” Keras nada suara Harris memangkas. Kedua-dua belah rahangnya bergerak-gerak. Serius.
‘Aisy terkedu. Dia sebenarnya cukup sedar dengan kebenaran yang diungkapkan Harris.
“Saya tahu, tapi bukan ke dulu awak juga yang izinkan saya tinggal bersama Sakeena dan Hafeeza.” Tingkah ‘Aisy lemah dan takut-takut. Terbit rasa gerun melihatkan ketegasan Harris. Setiap ayat yang terpacul keluar juga  kedengaran cukup dingin. Harris di depannya kini cukup berbeza.
“Itu dulu. Sekarang tak lagi. Dahlah, cepat tolong abang kemaskan semua barang-barang sayang ni.” Pangkah Harris mudah sambil tangannya lincah menyumbat semua pakaian ke dalam beg.
“Tapi…”
“Apa lagi yang tak puas hati ini? I don’t want to hear any excuses. Either you like it or not, you have to stay with me. This is my final decision. T. I. T. I. K.” Intonasi suara Harris kembali meninggi.
‘Aisy menggaru-garu kepalanya serba salah.
“Apa tunggu lagi tu. Now!” Sergah Harris membuatkan ‘Aisy semakin kecut. Dalam terpaksa, dia akhirnya akur dengan kemahuan Harris. Dengan wajah yang cemberut dia turut sama mengemas barang-barangnya.
“Hujung minggu ini kita ambil semua barang sayang dekat rumah sewa.” Beritahu Harris tentang perancangannya. Langsung dia tidak mengendahkan ketegangan di wajah ‘Aisy.
‘Aisy tidak membalas kata-kata Harris. Rasa sebal yang semakin merajai hati membuatkan dia memilih untuk berdiam diri. Tindakan ‘Aisy membuatkan Harris semakin geram.
“Dengar tak abang cakap ni?” Tanya Harris kuat.
“Ya, dengar.” Gumam ‘Aisy antara dengar dan tidak. Langsung dia tidak memandang wajah Harris.
Setelah selesai menguruskan pendaftaran keluar hospital, ‘Aisy terpaksa mengikut Harris pulang ke banglo mewah milik lelaki itu. Audi S8 berwarna hitam metalik mengaum laju meninggalkan perkarangan hospital.
Sepanjang perjalanan Harris dan ‘Aisy hanya mendiamkan diri. Tiada walau sebutir bicara yang keluar dari mulut masing-masing. Hanya alunan lagu sentimental yang berkumandang memecah kesunyian.
‘Aisy hanya mampu mengerling dari tepi. Wajah tegang Harris membuatkan dia tidak berani untuk bersuara. Biarpun banyak persoalan yang mengasak di benaknya. Sudahnya dia termangu-mangu sendirian dengan pelbagai teka-teki yang tiada jawapan. Kemunculan Harris secara tiba-tiba dan perubahan mendadak lelaki itu semakin mengusutkan fikiran.
Kereta yang dipandu Harris memasuki perkarangan rumah. Setelah mematikan enjin, Harris menuruni kereta. Dia menuju ke arah bonet. Dengan membimbit beg milik ‘Aisy di tangan dia menonong masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan ‘Aisy yang masih kaku di dalam kereta. Geram di hatinya masih berbekas.
‘Aisy mengeluh lemah. Terguris juga hatinya bila tidak dipedulikan begitu. Dengan rasa berat, dia membuka tali pinggang keledar yang masih membelit tubuhnya. Perlahan-lahan dia menapak keluar dari perut kereta. Kakinya diatur berhati-hati melangkah masuk ke dalam banglo yang tersergam indah itu. Baru dua kali dia menjejakkan kaki ke situ. Berada di dalam rumah agam yang serba mewah itu membuatkan dia terasa canggung. Apatah lagi bila dia hanya berdua bersama Harris di situ.
Langkahnya kaku sebaik tiba di ruang tamu. Matanya menangkap tubuh Harris yang sedang bersandar lesu pada sofa sambil matanya terpejam rapat. Senyap-senyap ‘Aisy mencuri pandang pada seraut wajah tampan milik Harris. Setiap inci wajah itu diterokai dengan penuh asyik. Wajah lelaki itu yang sedikit pucat. Tampak sedikit penat.
“Kenapa tercegat lagi itu? Pergilah masuk bilik. Sayang kena banyak berehat.”
Teguran Harris tanpa membuka mata membuatkan ‘Aisy serta-merta mengalihkan pandangannya ke arah lain.  
“Hmmm.” Balas ‘Aisy sepatah.
‘Aisy melangkah perlahan menaiki tangga yang menghubungkan ruang tamu dan bilik tidur yang berada di tingkat atas. Dia segera menuju ke arah bilik kedua yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur utama. Bilik yang menjadi tempat beradunya sewaktu kali pertama dia dipaksa Harris untuk bermalam di situ.
“’Nak masuk bilik mana tu?” Pertanyaan Harris dari arah belakang mengejutkan ‘Aisy. Dia langsung tidak sedar Harris mengekorinya naik ke tingkat atas. Sangkanya Harris masih berada di ruang tamu.
‘Err..bilik inilah. Kenapa? Ada orang lain guna ke?” Soal ‘Aisy dengan kening yang berkerut. Dia berpaling ke arah Harris yang sedang menyandarkan tubuhnya ke dinding.
“Semua bilik dalam rumah ini dah occupied kecuali master bedroom.” Beritahu Harris tenang sambil berpeluk tubuh. Tiada lagi riak tegang di wajah itu.
Kata-kata Harris membuatkan ‘Aisy semakin keliru. Setahu dia penghuni rumah itu hanyalah Harris. Bagaimana semua bilik lain boleh penuh? Buat stor ke? Atau ada tetamu halus yang tidak diundang menghuni bilik-bilik lain. Mungkin juga. Rumah besar selalu dikaitkan dengan unsur-unsur paranormal ini. Tiba-tiba bulu romanya meremang.
“Kalau macam tu, lebih baik saya tinggal dengan Sakeena dan Hafeeza saja.” Putus ‘Aisy mula terasa seram sejuk.
“Jangan harap. Abang tak benarkan. Sayang masuk master bedroom. Mulai hari ini sayang akan tidur di situ. Semua barang kelengkapan sayang ada dalam bilik itu.” Arah Harris mengundang debar di dada ‘Aisy. Kata-kata Harris itu lebih menakutkan daripada khayalan seram yang difikirkannya tadi.
“Habis tu awak pula nak guna bilik mana?” Soalan polos ‘Aisy mengundang senyuman sinis di bibir Harris.
Master bedroom lah mana lagi.” Jawab Harris selamba. Namun jawapan itu membuatkan ‘Aisy tidak senang duduk.
“Takkan saya kena kongsi bilik dengan awak?” Bentak ‘Aisy. Dia menelan air liurnya pahit.
“Kenapa? Berdosa ke suami isteri berkongsi bilik yang sama? Setahu abang, isteri yang mengabaikan suami itu yang berdosa.” Perli Harris memangkas pertanyaan ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Sedar yang dia tidak mempunyai alasan yang bernas untuk menjawab soalan Harris. Biarpun dia memberikan seribu alasan untuk menolak sekalipun, nyata alasannya hanyalah seperti benang yang basah. Benang basah yang tidak mungkin dapat ditegakkan.
“Sebagai isteri sayang ada tanggungjawab. Jangan nafikan tanggungjawab sayang pada abang hanya semata-mara kerana dendam dan benci yang menguasai diri. Jangan pandai-pandai sendiri mencipta peraturan yang dimurkai Tuhan!” Kata-kata Harris memberi tamparan kepada ‘Aisy. Langsung dia kematian kata.
“Saya sedar cuma saya belum bersedia. Saya perlukan masa.” Tutur ‘Aisy perlahan. Sudah terlalu lama dia hidup bersendirian. Jadi untuk kembali tidur sekatil dengan seorang lelaki yang bergelar suami, dia perlukan kekuatan diri. Terlalu banyak kisah silam yang membuatkan dirinya menjadi trauma. Memanglah hatinya telah reda memaafkan tetapi untuk melupakan semua kisah hitam itu, dia perlukan masa. Luka biarpun sudah sembuh masih lagi meninggalkan parut yang cukup dalam.
“Sampai bila? Empat tahun lebih kita mensia-siakan hidup kita. Abang rasa dah sampai masanya abang tuntut hak abang sebagai seorang suami. Like I said before, I won’t compromise anymore!
Harris menarik tangan ‘Aisy masuk ke dalam bilik utama. Tersentap jantung ‘Aisy dengan tindakan Harris. Namun tarikan kuat itu memaksanya untuk menuruti langkah Harris. Lelaki ini penuh dengan sikap yang tidak terduga.
This is our bedroom. Abang tak izinkan sayang tidur kat tempat lain melainkan di sisi abang.” Tegas Harris membawa ‘Aisy ke birai katil.
‘Aisy menundukkan wajahnya resah. Tidak berani menentang mata Harris.
“Baringlah kalau penat.” Arah Harris senada.
‘Aisy hanya diam tidak berkutik. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Memang tubuhnya terasa agak penat. Penat dengan semua perubahan yang terpaksa dia hadap dalam sekelip mata.
“Abang kena gerak jumpa client sekarang. Kalau hendak mandi, toiletries abang dah sediakan dalam bilik air. Baju dalam beg tu biarkan saja. Nanti abang uruskan. Dalam tengah hari nanti abang balik. I’ll call or text you every 10 minutes. Jangan tak angkat atau tak balas mesej abang pula.” Bertalu-talu pesanan yang dititipkan Harris seraya melihat jam di pergelangan tangannya. Tanpa berlengah dia tergesa-gesa menghampiri pintu bilik.
One more thing. Jangan pandai-pandai nak keluar dari rumah ni. Kalau nak ke mana-mana tunggu sampai abang balik. Anything just call me.” Tambah Harris menyambung pesanannya sebelum tubuh tegap itu hilang di sebalik pintu. Tidak lama selepas itu terdengar enjin kereta dihidupkan dan ngauman Audi S8 menderu keluar dari kawasan rumah itu.

‘Aisy mendengus lemah. Emosinya tertekan dengan ketegasan Harris. Kepalanya dirasakan pening tiba-tiba. Semua objek yang dipandang dirasakan berpusing-pusing. Mungkin migrainnya kembali menyerang. Lantas dia membaringkan tubuhnya di atas tilam empuk itu. Cuba mencari keselesaan. Akhirnya dengan kepala yang memberat dengan pelbagai masalah, dia terlena.

6 comments:

  1. apsal si harris ni buat2 garang dingin plak nih..

    ReplyDelete
  2. Biasa lah main tarik tali. .trick. .

    ReplyDelete
  3. aduh.. wat blik prngai dia..mn la si aisy ni tk terase.. tkde cr lain ke mr Harris😕

    ReplyDelete
  4. aduh.. wat blik prngai dia..mn la si aisy ni tk terase.. tkde cr lain ke mr Harris😕

    ReplyDelete
  5. lain dr yg lain watak haris. i like 😉

    ReplyDelete
  6. He is missed her and she did but they are shy to eachother hahahaha

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..