Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 25 EV

Jam di dinding sudah melewati tengah malam. Sepasang mata Harris masih segar melayan lencongan fikiran. Kedinginan malam membuai-buai rentak cinta di jiwa. Malam yang menggamit sepi bagaikan menderu rasa rindu di hati. Cinta dan rindu yang bercantum menjadi satu. Sesak nafasnya menahan gelora perasaan.
Seraut wajah polos ‘Aisy yang sedang nyenyak disapa mimpi ditenung penuh asyik. Bibir Harris menguntum senyum bahagia. Tangan kasarnya mengelus lembut pipi mulus si isteri. Jari jemarinya dibawa menjelajahi di segenap roman muka dan akhirnya terhenti pada dua ulas bibir merah bak delima milik ‘Aisy. Cukup seksi dan indah pada kaca mata seorang suami, menjentik naluri lelakinya.
Tidak semena-mena kekhilafan lalu menjengah ruang ingatan. Senyuman Harris mati dan serentak khayalan indahnya hilang berlalu pergi. Terimbau-imbau di layar matanya peristiwa pahit yang mengundang rasa sesal yang tidak bertepi.
“Maafkan abang, sayang.” Kata maaf meniti di bibirnya. Walaupun berulang kali ucapan itu dilafazkan, namun masih tidak mampu membuang rasa bersalah yang bersarang di hati. Bibir ‘Aisy dikucup lembut penuh dengan rasa kasih yang menggunung. Seakan ingin merawat kelukaan yang pernah singgah di situ. Bibir merekah yang pernah luka berdarah dek baran nya yang gagal dikawal.
Pandangannya jatuh pula pada sekujur tubuh ‘Aisy yang berselimut separas pinggan. Lama renungannya terkaku pada perut kempis isterinya yang pernah terisi dengan satu nyawa. Penyesalan bertubi-tubi menyerang hati dan perasaannya. Penyesalan yang tidak mungkin dapat ditebus dan ditukar ganti biarpun dengan seribu maaf yang diberi. Ego lelakinya kalah apabila setitik mutiara jernih gugur dan mengenai pelupuk mata ‘Aisy.
Lena ‘Aisy terganggu. Terpisat-pisat dia membuka mata. Suasana bilik yang diselubungi cahaya lampu tidur yang malap membiaskan pandangan kelam. Dalam kepayahan, dia mencerna ingatan dan memusatkan pemerhatian.
Tatkala penglihatannya bertembung dengan anak mata Harris yang berkaca, hatinya dilontar tanda tanya. Dia meraba-raba kelopak matanya yang dirasakan basah.
“Abang, kenapa ni?” Suara ‘Aisy serak. Kerut di dahi menandakan dia berusaha mencerna situasi yang sedang berlaku.
“Ampunkan abang, sayang. Ampunkan abang. Abang berdosa pada sayang.” Desis Harris perlahan. Tubuh kaku ‘Aisy dirangkul erat.
‘Aisy terpegun. Tindakan Harris mengundang rasa pelik di hatinya. Semakin sarat rasa keliru yang bermain di benaknya. Namun dia tetap membalas pelukan lelaki itu. Dirinya bagai diruntun untuk menenangkan Harris. Lalu tangannya mengusap lembut belakang suaminya.
“Kenapa minta maaf dengan ‘Aisy? Abang tak ada buat salah apa pun.” Pertanyaan tulus ‘Aisy dibisikkan di cuping telinga Harris.
Hati lelaki Harris makin tersentuh. Jelas terpancar kesayuan di wajahnya. Tiada kata yang mampu diungkapkan untuk memaknakan perasaannya.
“Kenapa ni, abang?” ‘Aisy mengulangi soalan dalam nada yang lebih lembut setelah pertanyaannya hanya berlalu. Pelukan dileraikan. Matanya memanah tepat ke dalam anak mata hitam Harris. Sabar menanti sebuah penjelasan.
Tiba-tiba tangan kasar Harris terketar-ketar menyentuh bibir ‘Aisy. Setitik manik putih menitis di pipinya.
“Di sinilah, tamparan abang pernah singgah sehingga melukakan bibir indah sayang. Maafkan abang, sayang.” Ungkap Harris sayu. Pernah tanpa belas dia menjatuhkan hukuman pada isterinya sebelum dibicarakan. Semuanya kerana rasa cemburu yang beraja di hati.
Kemudian tangannya mengusap lembut lengan ‘Aisy.
“Lengan ini pernah dicengkam kuat tangan kasar abang. Berbirat lebam lengan sayang kan? Maafkan abang kerana menyakiti tubuh yang sepatutnya abang belai dengan penuh kasih sayang.” Tambah Harris membuatkan ‘Aisy terkesima.
“Abang, kenapa perlu minta maaf lagi ini? ‘Aisy dah ikhlas maafkan abang.”
Kata-kata ‘Aisy tidak berjaya menjernihkan wajah Harris. Sebaliknya, jari jemari Harris bergerak dan melekap pada perut ‘Aisy. Sentuhan itu mengingatkannya pada sepak terajangnya yang bertubi-tubi ke perut itu.
“Kejamnya abang sanggup letakkan kaki abang ke dinding rahim sayang yang sedang dihuni anak kita. Suami dan bapa jenis apakah abang ini sehingga sanggup membunuh zuriat sendiri?” Air mata Harris jatuh berlinangan.
“Abang…bukan abang yang sebabkan anak kita mati.” Nafi ‘Aisy. Dia menggelengkan kepala. Matanya turut lebat mengalirkan air mata. Selama ini dia telah membiarkan dirinya hanyut dalam dendam. Tegar menyalahkan Harris. Dia terlupa yang semuanya adalah percaturan takdir Ilahi yang tidak mampu ditolak kehebatan-Nya.
“Kalaulah abang tak termakan dengan fitnah dan menghalau sayang dari rumah kita, pasti kita sedang berbahagia dengan zuriat kita. Abang sepatutnya melindungi sayang, bukan buat sayang menderita. Ya ALLAH! Abang berdosa pada anak kita. Abang berdosa pada sayang.” Sesalan Harris bagaikan tidak berpenghujung.
“Shhh…tak perlu diungkit lagi apa yang telah terjadi. Jangan sekali-kali bercakap tentang kalau. Ia sama seperti kita mempersoalkan takdir. Seolah-olah kita ni tak yakin dengan perjalanan yang ditakdirkan untuk hidup kita. Sedangkan hanya pada ALLAH tempat kita bergantung harap..” Jari telunjuknya pantas di bawa ke bibir Harris.
Harris menggenggam jari-jemari ‘Aisy erat.
“Kerana bertuankan baran, abang memperhambakan cinta abang sendiri. Sehinggakan abang tewas pada rasa curiga. Setiap kali abang gagal mengawal baran dan menyakiti hati sayang, setiap kali itulah sayang memaafkan abang, sayang beri abang peluang. Kadang-kadang abang rasa abang dah tak layak nak dapatkan kemaafan sayang. Terlalu banyak dosa abang pada sayang.” Talar Harris.
“Demi ALLAH, ‘Aisy dah maafkan abang dunia akhirat. ‘Aisy terima semuanya sebagai qada’ dan qadar ALLAH.” Beritahu ‘Aisy meyakinkan Harris. Genggaman tangan suaminya dibalas kemas. Sakit hatinya menyaksikan kesedihan Harris.
“Memaafkan lebih mudah daripada melupakan. Ibarat seperti menyapu ubat pada tempat yang terluka. Luka yang sembuh pasti meninggalkan parut walaupun sakitnya sudah hilang. Abang kesal, sayang. Kesal kerana perbuatan abang tetap akan kekal sebagai kenangan hitam di hati sayang.” Lirih Harris mengeluh berat.
“Memang ‘Aisy akui apa yang berlaku sukar untuk dilupakan. Tetapi, suatu hari nanti pasti semua itu akan berlalu pergi seiring dengan masa yang beranjak ke depan. Parut jika disapu minyak, lama-lama akan hilang juga, kan?” Sinar mata ‘Aisy menatap Harris dengan sebuah pengharapan.
“Usah diungkit lagi segala kekhilafan yang telah menyakitkan kita berdua. ‘Aisy takut kesakitan itu akan menjadi api di dalam sekam. Membunuh kita berdua dalam diam.” Sambung ‘Aisy. Dia hanyalah manusia biasa yang juga perlukan kekuatan. Memaafkan dengan seikhlas hati merupakan langkah pertamanya untuk membuang jauh keperitan yang pernah dilaluinya.
“Maafkan abang, sayang.” Sekali lagi Harris mengungkapkan pernyataan itu, mengundang keluhan di bibir ‘Aisy. Lalu tangannya memegang kedua-dua belah pipi Harris.
“’Aisy dah maafkan abang seikhlas dan setulus cinta ‘Aisy pada abang. Jangan diungkapkan lagi kata-kata maaf kerana sudah tiada salah untuk dimaafkan. ‘Aisy reda dengan semuanya. Cuma, ‘Aisy harap abang bantu ‘Aisy untuk melupakan semua ini.” Luah ‘Aisy membuatkan Harris terkesima. Seakan tidak percaya dengan kata cinta yang keluar dari mulut isterinya. Matanya berkaca-kaca memancarkan sinar bahagia.
I will, sayang. I will..” Ikrar Harris sepenuh hati. Sekali lagi tubuh ‘Aisy dirangkul ke dalam pelukannya. Bersaksikan cinta kita, abang janji takkan sakiti sayang lagi. Detik kata hati Harris.
Thanks for everything, sayang. I love you so much.” Bisik Harris sepenuh perasaan. Cinta di hati kian membara.
I love you too.” Balasan perlahan ‘Aisy mengundang senyuman di bibir Harris. Dia mengemaskan pelukannya. Kehangatan tubuh ‘Aisy membuatkannya tenggelam dalam lautan cinta yang tidak bertepi. Mengundang ketenangan di jiwa. Tiada lagi ungkapan kata yang menemani bicara mereka. Hanya gerak tubuh yang menggambarkan hangat nya sentuhan cinta bersulam rindu yang terpendam di antara mereka sejak sekian lama.
Awan kedukaan yang lalu biarkan ia berarak pergi. Dendam yang terpendam biarkan ia terlerai. Kasih sayang yang terputus biarkan ia bertaut kembali. Diikat dengan tali cinta yang bersimpul mati.

***

Sayup azan Subuh yang berkumandang mengejutkan ‘Aisy dari mimpi indahnya. Dengkuran halus Harris menandakan lelaki itu masih dibuai lena. Tangan suaminya sedang elok memaut pinggangnya. Wajah yang sedang tidur pulas di sebelahnya ditatap dengan penuh kasih. Comel! Bisik hati ‘Aisy sambil mengukir senyum. Peristiwa semalam terakam di ruang ingatan. Penyatuan di antara dua keping hati yang telah melunaskan rindu rawan yang tersimpan.
Perlahan-lahan ‘Aisy menggerakkan tubuhnya ingin bangkit untuk membersihkan diri. Bimbang jika pergerakannya mengganggu tidur Harris. Tangan Harris yang melingkar kemas cuba diangkat perlahan, namun entah kenapa tangan itu dirasakan semakin memberat. Sebaliknya pelukan Harris semakin kejap.
“Sayang nak pergi mana?” Suara serak basah Harris menyapa gegendang telinganya. Lelaki itu menongkatkan sikunya dan merenung nakal wajah ‘Aisy yang sedang berbaring. ‘Aisy terkaku. Wajahnya berona merah.
“Err..dah Subuh. ‘Aisy nak solat.” Beritahu ‘Aisy teragak-agak. Tidak tahan dengan panahan mata Harris, dia memalingkan wajah ke arah lain. Apatah lagi rasa malu sarat bersarang di jiwanya dengan apa yang telah terjadi di antaranya dan Harris semalam.
“Kenapa palingkan wajah dari abang? Tak sudi nak tengok wajah handsome abang waktu bangun tidur ke?” Soal Harris dalam nada mengusik.
“Mana ada…” Kata-kata ‘Aisy mati di situ. Tidak tahu bagaimana hendak membalas.
“Sayang malu ya?” Tebakan Harris membuatkan wajah ‘Aisy semakin pijar. Senyuman mengusik jelas terukir di bibir Harris. Senyuman tampan yang membuatkan ‘Aisy terbuai asyik.
“Nak malu fasal apa?” Tanya ‘Aisy pura-pura tidak mengerti.
About what happened last night. Our intimate relationship.” Selamba Harris menjawab disulami dengan tawa kecil. Membuatkan ‘Aisy semakin tidak keruan menahan kehangatan di wajahnya. Ingin segera disembunyikan dirinya ke dalam bilik air.
“Err..’Aisy nak ke bilik air dulu.” Sengaja dia mengalih topik sambil menepis tangan Harris. Anak matanya dijeling ke arah Harris, mengharapkan suaminya melonggarkan rangkulan tangannya.
“Nantilah dulu. Sayang jeling abang macam tu buat abang terasa hendak sambung balik yang tertinggal semalam.” Semakin galak Harris menduga apatah lagi melihatkan ‘Aisy yang sedang tersipu.
“Abang rindulah dengan belaian sayang. Kemanjaan..kemesraan…”
“Eii..gatal! Geli anak tekak ‘Aisy ni dengan perangai merenyam abang.” Gumam ‘Aisy memintas percakapan Harris. Dia menjegilkan matanya. Ditolak lembut tubuh suami yang menempel.
Harris hanya ketawa lepas sambil merapatkan kembali tubuh ‘Aisy ke badannya.
“Abang merenyam dengan isteri abang seorang ni saja. Lagipun, dah lama abang puasa tau. Bila dah dapat sekali, itu yang buat abang rasa hendak lagi.” Nakal sekali Harris menggoda ‘Aisy. Sengaja dirapatkan wajah ke muka isterinya. Tegak bulu roma ‘Aisy apabila sebuah kucupan hangat singgah di kawasan pertengahan lehernya.
“Dah hilang dah rasa geli dekat tekak? Kalau rasa geli dekat tempat lain, mari sini abang ubatkan.” Kenyitan mata Harris membuatkan ‘Aisy mengetap bibir. Bijak suaminya itu mengambil kesempatan.
“Eiii..tak sukalah abang buat ‘Aisy macam ni. Ambil kesempatan ya!” Dada Harris ditolak lembut. Walaupun terasa geram namun dia tidak dapat menidakkan rasa bahagia yang bermain di hati. Setiap perlakuan nakal Harris begitu menyenangkannya.
“Abang cuma cium saja. Semalam, lebih daripada tu sayang tak cakap pun tak suka.” Lagi-lagi perkara tentang semalam yang diungkit Harris.
“Malas lah nak layan abang. Makin dilayan makin menjadi-jadi. ‘Aisy nak ke bilik air ini. Lepaslah.” Sengaja dia mengeraskan suaranya. Kalau tidak bertegas, jangan harap Harris akan melepaskan rangkulan.
“Nak buat apa ke bilik air?” Tanya Harris polos dengan mempamerkan sengihan.
“’Aisy nak mandilah, waktu Subuh pun dah lama masuk.” Jawapan ‘Aisy mengundang sengihan Harris yang semakin melebar.
“Mandi apa, sayang?” Saat soalan itu diutarakan, Harris tergelak kuat. Tercuit hatinya melihat ‘Aisy yang terpisat-pisat.
“Eii..abang ini teruklah. Menyampah!” Serentak itu, ‘Aisy bangkit dan meloloskan diri daripada rangkulan Harris yang telah dilonggarkan.
Tanpa memandang Harris dia terus mengambil tuala yang tersidai di rak ampaian dan menuju ke arah bilik air.
“Jangan lupa niat mandi wajib, ya sayang.” Sayup-sayup dia mendengar suara Harris tatkala melangkah masuk ke dalam bilik air. Tawa Harris masih bersisa. Dalam diam dia turut mengukirkan senyum sambil menggelengkan kepala. Dia tahu suaminya sengaja mengusiknya. Usik-usik yang membawa bahagia!


P/S Bab terakhir di blog. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, dapatkan novel Titian Cinta, terbitan Idea Kreatif


9 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Ala npe xhbiskan aje. Tgh Best ni.

    ReplyDelete
  3. Cmne nk bli?kne abeskn bce..best!

    ReplyDelete
  4. Masih ada stok ke kalau nak beli hurmmm :'(

    ReplyDelete
  5. huhuuu..bestnyee..minggu depan baru dpt novel..x sabarnye..nk abis membaca..

    ReplyDelete
  6. Saya dari Indonesia, saya suka baca novel-novel Malaysia, tapi tak tahu macam mana nak belinya.
    Kalau saya mau beli novel ini dimana ya?

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..