Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 26 EV

Gegaran yang tidak henti-henti di telefon bimbit ‘Aisy sedikit mengganggu tumpuannya di skrin komputer. Di kerling sekilas ke arah telefon yang sudah senyap dan dia kembali meneruskan kerjanya yang terhenti. Sejak dari pagi lagi dia bertungkus-lumus menyiapkan slaid pengajaran dan merangka soalan tugasan untuk diberikan kepada para pelajarnya. Dek begitu terleka dengan kerja yang bertimbun, akhirnya dia terlupa untuk melihat pesanan mesej yang masuk.
Setelah urusan kerjanya disiapkan, barulah dia mencapai telefon yang diletakkan di sisi meja pejabatnya. Lagipun, waktu rehat tengah hari sudah hampir menjengah. Bibirnya menguntumkan senyum saat matanya dihalakan pada skrin telefon. Terdapat tiga mesej yang dihantar oleh Harris. Tidak sibuk kah lelaki itu dengan kerja? Bukankah pada waktu-waktu begini Harris tidak menang tangan berurusan dengan rakan perniagaan korporatnya.
‘Sayang! Kenapa sukar sangat sayang nak berterus-terang dengan abang? Dah lupa janji sayang?’
Terpapar kiriman mesej pertama daripada Harris di skrin telefon. Senyuman ‘Aisy mati. Dahinya berkerut cuba mencerna ayat yang baru dibacanya. Apa yang dimaksudkan Harris? Berterus-terang tentang apa? Seingatnya segala-galanya telah dirungkaikan dengan penyatuan kasih di antara mereka. Hatinya merasa tidak enak.
How could you do this to me, sayang? It causes me so much pain.
Mesej kedua dibaca kali ini dengan debaran di dada. Semakin sesak benaknya dengan pelbagai andaian. Dugaan apakah kali ini yang datang menguji rumahtangga mereka? Fitnah apakah lagi yang sampai ke telinga Harris? Otaknya mula memikirkan bermacam-macam kemungkinan yang bukan-bukan.

‘Sayang! Where are you? Why don’t you answer me? Jangan dera perasaan abang, sayang. Sakitnya jiwa abang ini, sayang.’
Saat dia membaca mesej yang ketiga, perasaannya sudah dipagut resah yang tidak bertepi. Hatinya benar-benar tidak keruan dengan bait-bait ayat yang ditaip Harris. Sesungguhnya dia tidak mengerti dan buntu. Apakah kesalahan yang telah dilakukannya? Sedangkan pagi tadi hubungan mereka masih lagi hangat dengan kemesraan.
Terketar-ketar tangannya mendail nombor telefon Harris. Hendak membalas mesej suaminya dirasakan terlalu sukar untuk merungkaikan segala persoalan melalui khidmat pesanan ringkas. Dia menunggu panggilannya diangkat namun hampa.
‘Aisy mengeluh lemah. Dalam diam dia menyalahkan dirinya sendiri kerana membiarkan sahaja mesej yang bertubi-tubi masuk. Dia cuba mendail buat kali kedua. Bunyi deringan menandakan panggilannya masuk namun tiba-tiba talian diputuskan membuatkan debaran di dadanya semakin kencang. Kenapa Harris memutuskan talian? Marah benarkah suaminya saat itu sehingga langsung tidak mahu bercakap dengannya?
‘Aisy sudah tidak betah duduk. Dia mundar-mandir di dalam bilik pejabatnya. Peluh renek memercik di dahi. Penyaman udara yang terpasang seakan tidak dapat menenangkan kegusaran di hati.
‘Apa maksud abang? Berterus-terang tentang apa? ‘Aisy tak faham.’
Tidak menunggu lama dia menaipkan mesej dan pantas butang hantar ditekan. Satu minit, dua minit, tiga minit sehinggalah sepuluh minit berlalu, namun tiada balasan daripada Harris.
“Abang, jangan buat ‘Aisy takut macam ni.” Gugup lontaran suara ‘Aisy bercakap seorang diri. Air mata sudah mula bermain di tubir. Ligat akalnya memikirkan cara untuk menghubungi Harris. Dia tidak rela membiarkan Harris terus dihambat prasangka yang bukan-bukan terhadapnya.
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengundang keluhan ‘Aisy. Sebolehnya dia tidak ingin diganggu, apatah lagi di saat hatinya disapa gundah. Namun, mengingatkan dia sedang berada di pejabat, kakinya tetap melangkah malas ke arah pintu biliknya. Tombol pintu dipulas.
“Abang!” Jerit ‘Aisy tatkala melihat wajah Harris yang tersembul di hadapan biliknya. Menyedari keterlanjurannya, dia segera menutup mulut. Bimbang jika suaranya mengundang tumpuan rakan-rakan sepejabat di aras yang sama.
Bulat matanya seakan tidak percaya kelibat Harris di depan mata. Pandangan matanya bersabung dengan anak mata Harris. Buat beberapa detik, tiada bicara yang mengiringi kata. Kesempatan itu diambil untuk menebak riak muka Harris yang keruh.
Akhirnya, sebuah keluhan dilepaskan Harris sebelum lelaki itu memulakan bicara.
 “Kenapa sayang tak nak beritahu abang?” Persoalan sama yang telah diutarakan dalam pesanan ringkas kini meniti di bibir Harris membuatkan ‘Aisy terasa sesak. Apa sebenarnya yang Harris ingin tahu darinya.
“Beritahu apa?” Sungguh benaknya buntu untuk menebak maksud kata-kata Harris. Terlalu banyak andaian tanpa satu kesimpulan yang pasti. Keadaan Harris yang masih tegak terpaku memandangnya membuatkan dia semakin diragut risau.
“Abang? Abang hendak tahu tentang apa sebenarnya?” Ulangnya sekali lagi apabila persoalannya hanya dijamah sepi. Sesungguhnya dia tidak tegar membiarkan kebahagiaan yang baru dinikmatinya kembali dilanda badai. Dia sudah tidak sanggup untuk melalui kepedihan saat kesetiaannya dicurigai suami sendiri.
“Tentang hubungan kita...” Serius kedengaran suara Harris semakin membuatkan ‘Aisy terpinga-pinga.
“Kenapa dengan kita?”
‘Aisy melongo. Ingin segera dirungkaikan segala persoalan yang bermain di benaknya. Namun, Harris tidak terus menjawab apabila menyedari keadaan mereka berdua yang sedang berdiri di muka pintu.
“Abang rasa lebih baik kita cakap di dalam.” Pinta Harris sambil menarik tangan sejuk ‘Aisy masuk ke dalam bilik pejabat isterinya. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Tidak sesuai jika perbualan mereka berdua hanya berlangsung di muka pintu. Tambahan pula, kelibat pelajar yang lalu-lalang di koridor mengganggu privasi mereka berdua.
Harris melabuhkan duduk di atas sofa yang berada di hujung bilik dan ‘Aisy mengambil tempat di sisi suaminya.
“Kenapa dengan hubungan kita? ‘Aisy ada sakitkan hati abang ke?” Soal ‘Aisy lembut. Wajah Harris yang sukar diteka reaksinya direnung dengan penuh asyik, memohon sebuah penjelasan.
“Ha’ah, sayang dah buat hati abang ini sakit. Kerana sayang, fikiran abang terganggu, jiwa abang terseksa.”
Jawapan lemah Harris menjentik rasa kurang senang di hati ‘Aisy. Ligat otaknya memutarkan ingatan, mencari-cari kesalahan yang mungkin dilakukan di luar sedar sehingga menggores perasaan Harris. Namun, dia gagal temui.
“Sepanjang hari abang cuba bertahan. Abang cuba buat tak peduli. Abang cuba sibukkan diri dengan kerja tapi abang tak mampu. Sakitnya dada abang ini, sayang. Sesak nafas abang seperti tak cukup oksigen.” Ujar Harris menyambung kata.
‘Aisy semakin dihimpit rasa bersalah. Tetapi, apakah sebenarnya kekhilafan yang telah dilakukannya sehingga mengundang ketidakpuasan hati Harris? Sehingga saat itu dia buntu untuk memikirkannya.
“Apa yang ‘Aisy dah buat pada abang?” ‘Aisy menelan liur pahit.
“Takkan sibuk sangat bekerja sampai sayang langsung tak ingat?” Soalan sinis yang diutarakan Harris hanya menambahkan teka-teki di benak ‘Aisy. Sejujur nya dia langsung tidak dapat mengingati apa-apa kesilapan yang pernah terjadi.
“Sungguh ‘Aisy betul-betul tak ingat.” ‘Aisy menggelengkan kepalanya. Dia mengelipkan matanya yang mula digenangi mutiara putih. Sedaya upaya dia cuba menahan gelodak perasaan yang kian kuat berkocak.
“Sampai hati sayang dera perasaan abang. Sayang dah lupa janji sayang pada abang?” Intonasi suara Harris yang berbaur rajuk membuatkan ‘Aisy kaget.
“Janji?”
“Pagi tadi, sebelum ke pejabat, apa yang sayang janji dengan abang?” Tutur Harris mengingatkan.
Kerutan di dahi ‘Aisy menandakan yang dia masih gagal mengingati sebarang janji yang telah dibuat. Harris mendengus perlahan.
You promised me to made a confession, remember?” Beritahu Harris sambil menjeling tajam kepadanya.
‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Dia mula mengerti apa yang dimaksudkan Harris. Lelaki itu mahukannya membuat pengakuan tentang perasaannya terhadap Harris.
Dia sendiri pelik dengan kemahuan Harris yang mahukannya untuk mengungkapkan kata cinta dan rindu setiap hari. Padahal bukannya tidak pernah bibirnya mengakui cinta pada lelaki itu sebelum ini, cuma baginya kata-kata itu tidak perlulah diucapkan selalu. Bimbang jika semakin kerap disebut, rasa itu semakin hilang kehangatannya.
“Sayang juga janji nak inform abang bila dah sampai pejabat. But you never did.
‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Macam mana dia langsung tidak teringat tentang itu. Kali ini dia benar-benar bersalah kerana dia sendiri yang mengikrarkan janji itu. Janji yang dibuat semata-mata untuk memujuk Harris membenarkannya memandu sendiri ke tempat kerja.
Sudah hampir dua minggu dia telah memulakan kerja setelah pulih daripada pembedahan. Untuk tempoh itu, pergi dan pulangnya dari pejabat berjemput. Jika Harris tidak dapat mengambilnya, dihantar Pak Mat sebagai ganti. Dia rimas dengan keadaan itu. Mata-mata yang memandang juga membuatkan hatinya tidak senang.
“’Aisy minta maaf. ‘Aisy terlupa.” Beritahu ‘Aisy dengan rasa bersalah.
“Sepanjang pagi abang tunggu mesej atau panggilan daripada sayang. Jawab mesej dan panggilan abang pun tak. I’m worried sick about you. Sampaikan satu kerja pun abang tak dapat fokus. Dalam kepala ini asyik teringatkan sayang.” Keluh Harris sambil menyandarkan tubuhnya ke belakang kerusi.
“Penantian itu memang suatu penyeksaan. Apatah lagi menantikan sesuatu daripada orang yang tersayang. Sayang buat dada abang berdegup kencang kerana risaukan keselamatan sayang.” Kendur suara Harris membuatkan ‘Aisy bungkam.
“Jantung abang ni..Cuba sayang rasa. Kuat hentakan dia, sakit sayang.” Bisik Harris sambil menggenggam tangan ‘Aisy dan dibawa ke dadanya. Dapat dirasakan ritma denyutan jantung suaminya agak luar biasa.
“Maafkan ‘Aisy kerana buat abang risau. ‘Aisy benar-benar terlupa tadi.” Tunak anak mata Harris direnungnya. Sinar mata lelaki itu jelas memancarkan cahaya cinta yang sarat. Hatinya tersentuh.
“Hey, sayang. Kenapa menangis ni?” Lenggok suara Harris berubah apabila menyedari setitis air mata gugur membasahi pipi ‘Aisy. Air mata wanita yang bisa mengalahkan ego lelakinya. Pantas tangan kirinya merangkul erat pinggang ‘Aisy dan dibawa tubuh kecil isterinya rapat ke sisi.
‘Aisy bungkam. Dia hanya membiarkan perlakuan Harris. Entah kenapa hatinya benar-benar terharu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Harris terhadapnya. Adakah itu tanda cintanya yang semakin mendalam buat Harris? Dia sendiri tidak ada jawapan untuk persoalan itu.
“Shh..abang tak marahkan sayang. Abang cuma luahkan apa yang abang rasa supaya sayang mengerti. You are everything to me. Nama sayang terpahat dalam setiap hembusan nafas dan denyutan nadi abang. Lagipun, ugutan Sofia tempoh hari buat abang tak senang hati.”
Air mata ‘Aisy disapu dengan ibu jari Harris. Kejadian yang telah menimpa ‘Aisy angkara Sofia membuatkan dia sentiasa berhati-hati memantau keselamatan isterinya. Disebabkan itulah dia enggan membenarkan ‘Aisy memandu sendirian ke tempat kerja. Namun, pada masa yang sama dia tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan ‘Aisy. Dia tahu ‘Aisy kurang selesa dihantar dan dijemput pulang dari kerja.
‘Aisy melentokkan kepalanya ke dada Harris. Perlakuan manja isterinya membuatkan dia tersenyum senang.
“’Aisy sayangkan abang.” Luah ‘Aisy tanpa dipinta. Tangannya melingkar di pinggan Harris.
“Abang pun sayangkan sayang sangat-sangat. Tapi, janji dengan abang jangan buat abang risau macam tu lagi. Keep updating me wherever you go.” Harris mengingatkan sambil melebarkan senyuman di bibirnya.
“’Aisy janji.” Suara ‘Aisy manja.
Harris mengusap lembut bahu ‘Aisy. Dia menghembuskan nafas lega. Langkahnya untuk mengembalikan semula ‘Aisy yang pernah dikenalinya lebih empat tahun yang lalu semakin membuahkan hasil. Seorang isteri yang manja dan penuh dengan cinta yang membara. Dia tahu kerana kenangan silam yang menyakitkan, ‘Aisy berubah menjadi seorang yang kaku dan beku dalam berkasih sayang.
“Hem..nasib baik abang jumpa sayang. Kalau tak, entah di mana abang nak merawat sakit di dada abang ni.” Sela Harris dalam nada ceria.
“Doktor kat hospital kan ramai. Carilah doktor yang lawa-lawa. Mesti cepat baik jantung abang tu.” Balas ‘Aisy sambil memainkan tangannya di dada Harris.
“Tak ada gunanya, sayang. Doktor perubatan tak boleh rawat sakit abang ni. Tetapi hanya seorang Doktor saja yang boleh…” Kata-kata Harris membuatkan ‘Aisy tidak senang duduk. Dia melonggarkan pelukan dan wajah Harris dipandang tajam.
“Siapa?” Gumam ‘Aisy.
Harris tersenyum simpul. Kini sudah pandai cemburu juga isterinya.
“Doktor yang tengah cemburu buta di depan abang ni, Dr. Rahadatul ‘Aisy Hilmi” Bisik Harris sambil mengenyitkan matanya. Sempat dia mencuit nakal hidung ‘Aisy sehingga membuatkan wanita itu terkesima.
“Mana ada ‘Aisy cemburu.” Marah ‘Aisy sehingga tanpa sedar dia mencubit lengan Harris. Dia mengetap bibir geram apabila Harris mula meledakkan ketawa. Sedar yang dirinya telah dipermainkan.
“Aduh, sayang! Sejak bila isteri abang ini ada sepit ni.” Usik Harris diiringi tawa kecil. Sempat dia menangkap jari-jemari ‘Aisy yang galak merayap mengetil lengannya.
“Mengaku sajalah yang sayang cemburu. Dahsyat juga isteri abang ini bila cemburu ya, merah muka tu.” Tambah Harris tidak mahu kalah. Semakin galak tawa Harris.
“Tak kuasalah ‘Aisy nak cemburu.” Sangkal ‘Aisy. Tanpa sedar, dia menyentuh pipinya. Nampak sangat ke? Soalnya di dalam hati.
“Tapi abang suka sayang cemburu. Cemburukan tandanya sayang. It shows that you do really love me so much, right?” Bisikan romantis Harris membuatkan wajah ‘Aisy berubah merah.
You look so sexy when you are blushing.” Pujian Harris yang kedengaran begitu nakal membuatkan ‘Aisy menghadiahkan jelingan tajam kepadanya.
“Jangan jeling abang macam tu, sayang. Panahan mata sayang yang menggoda tu buat abang rasa nak terkam sayang sekarang juga.” Gurauan Harris yang semakin menjadi-jadi membuatkan ‘Aisy menjegilkan matanya yang tidak berapa luas itu.
“Eii..malas ‘Aisy nak layan abang.” Getus ‘Aisy sebal sambil cuba merenggangkan rangkulan. Namun, tindakannya hanya membuatkan Harris semakin mengemaskan tangannya di pinggang ‘Aisy.
“Pandai mengelat nak larikan diri daripada abang ya.” Kemas tubuh ‘Aisy dibawa menghimpit ke dadanya. Dia bahagia dengan sentuhan hangat itu.
“Bukan larikan diri tapi nak selamatkan diri daripada raksasa yang mula nak menggatal.” Jawapan ‘Aisy membuatkan Harris membulatkan matanya. Suatu perkembangan yang baik apabila isterinya sudah mula berani bergurau begitu dengannya.
“Ooo.. mengata abang raksasa gatal, ya. Mari abang tunjukkan macam mana raksasa menggatal dengan isteri raksasa.” Harris mula ingin menggeletek tubuh ‘Aisy apabila isterinya berjaya meloloskan diri.
“Abang, stop it.” Tindakan Harris membuatkan ‘Aisy terjerit halus. Dia menutup mulutnya bimbang jika didengari oleh teman-teman pejabat yang lain walaupun bilik mereka dipisahkan dengan tembok batu yang kedap bunyi.
“Janganlah, abang. Nanti kalau ‘Aisy jerit semua orang dengar, malu!” Tegah ‘Aisy sambil cuba melarikan diri. Namun ke mana sangatlah dia boleh pergi dalam keluasan bilik yang hanya sekangkang kera itu.
“Okay, abang tak buat lagi dah. Semua aksi melampau akan disambung di rumah nanti.” Ujar Harris sambil mengangkat kedua belah tangannya. Sempat dia mengangkat keningnya nakal.
Akhirnya, ‘Aisy membiarkan tubuhnya kembali berada di dalam dakapan Harris. Masing-masing mendiamkan diri, menikmati rasa cinta yang mengalir melalui sentuhan hangat dua jiwa.
I love you so much, sayang. Terima kasih kerana memberi abang peluang kedua untuk merasa bahagia ini.” Bicara Harris mengusik tangkai hati ‘Aisy.
“Terima kasih juga pada abang kerana tak jemu manjakan ‘Aisy dengan cinta dan kasih sayang abang.”
Entah kuasa apa yang merasuk, ‘Aisy menghadiahkan sebuah ciuman hangat di pipi Harris membuatkan suaminya tercengang. Tidak lama selepas itu, dia mengukirkan senyuman yang cukup lebar dengan keberanian isterinya.
“Err.. jom kita makan tengah hari. ‘Aisy lapar.” Rengek ‘Aisy mengalih topik. Di dalam hati, terbuku rasa malu yang masih menebal dengan tindakan spontannya tadi.

Harris yang menyedari wajah ‘Aisy yang sedang pijar hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju. Makan tengah hari berdua bersama ‘Aisy merupakan suatu perkara yang sering ditunggu-tunggunya. Senyuman bahagia terus diukir di wajahnya. Lebar dan semakin melebar.

2 comments:

Tinggalkan jejak anda..