Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 25 April 2013

Temuduga Cinta Bab 7


Jalan Ampang penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan yang bertali arus. Panorama biasa di waktu pagi, di kala umat manusia berlumba-lumba untuk sampai ke tempat kerja. Beginilah keadaan hiruk pikuk kota yang bakal ku lalui hari-hari mendatang. Berulang-alik dari tempat tinggal di Titiwangsa ke tempat kerja di Jalan Ampang.

Seawal tujuh pagi lagi, aku menapak keluar dari rumah untuk memulakan cabaran berjalan kaki ke Gemilang Holding. Bila hanya beberapa sen saja yang tinggal di dalam poket, jadi terpaksalah aku bergantung pada kudrat kaki untuk meredah perjalanan selama lima puluh minit ini. Tak apalah. Sekurang-kurangnya boleh juga aku membakar kalori. Anggap sajalah ini sebagai cabaran dalam mendapat rezeki yang halal dan diredai Ilahi. Hidup harus positif!

Aku memanjangkan langkah bila jarum pendek di jam tangan ku menghampiri angka lapan. Bayang bangunan Gemilang Holding masih sayup dari pandangan. Arghhh..aku sudah lambat ni!

Peluh yang merenek di dahi ku usap dengan hujung lengan baju kurung. Pagi itu aku memilih baju kurung satin dari rona biru gelap dan berbunga halus berwarna kuning cair dipadankan dengan tudung bawal dari warna yang sama.

Laju kaki ku menapak ke arah lampu isyarat di hujung jalan. Butang yang tersedia pada batang lampu isyarat ku tekan berkali-kali. Nafas yang sedikit mengah tidak aku pedulikan. Jam di pergelangan tangan ku kerling sekali lagi. Lima minit sebelum pukul lapan pagi.

“Cepatlah hijau..” Gumam ku sambil memandang lampu isyarat pejalan kaki yang masih merah menyala.

Usai lampu bertukar hijau, aku segera berlari anak melintasi jalan tanpa melihat kiri kanan. Tiba-tiba bunyi tayar kereta berdecit kuat mencengkam lantai jalan. Serentak itu hon kereta bergema panjang. Bumper sebuah kereta Honda City hampir mengena tubuh ku yang terjelepok kaku di atas jalan yang berturap tar. Degup jantung melantun kuat di dada. Aku ke yang terlalu teruja nak melintas atau kereta ini yang tak tahu nak berhenti bila lampu isyarat bertukar merah?

“Woi! Buta ke?” Aku terdengar satu suara menengking kuat. Marah sungguh.

Orang ramai mula mengelilingi aku. Aku mendongakkan wajah bila terasa lengan ku dipegang seseorang. Uzair! Bibir aku terketar-ketar menyebut nama itu dalam bahasa bisu. Peti suara ku bagaikan tenggelam dalam kekagetan.

“Awak okay?” Soalnya pendek. Tajam matanya meratah wajah aku yang pasti pucat lesi kala itu. 

Aku bangkit dengan bantuan Uzair. Pertanyaannya ku balas dengan anggukan.

“Boleh jalan tak ni?”

Aku mengangguk lagi sambil berdeham kecil untuk menghilangkan rasa gigil yang menjalar di seluruh urat nadi. 

“Masuk ni dah tiga kali awak jatuh. Rasanya elok awak scan rahim awak. Manalah tahu kot-kot bukan rahim awak je yang jatuh tapi usus awak pun terburai sekali. Silap hari bulan boleh jadi buasir tu.” Bisik Uzair di telinga ku.

Aku mengangkat wajah. Uzair senyum senget pada ku. Sempat lagi lelaki ini memerli aku.

“Amoi, lu okay ka?” Seorang lelaki berbangsa Cina menghampiri aku dan Uzair yang masih berdiri di tengah jalan. Lengkap dengan tatu di kiri dan kanan lengannya. Seram.

 “You buta ke apek? Apa pasal you langgar lampu merah?" Keras nada suara Uzair. Berani sungguh mamat ni. Eh, tadi yang menjerit kuat marah-marah tu suara encik sarkastik ni ke? Mati-mati aku ingatkan apek ini yang menengking aku.

“Bukan gua langgar lampu isyarat lorr. Ini pelempuan arr jalan manyak laju. Talak tengok kiri kanan bila mahu melintas. Nasib baik gua sempat tekan itu brek ooo. Hayya..” Keluh lelaki itu dalam pelat bahasa Cina yang sedikit pekat.

Melampau apek ini. Ada ke aku pula yang disalahkan. Mata aku ini belum buta warna lagi. Memang sah-sah aku nampak lampu isyarat pejalan kaki dah bertukar hijau tadi.

You jangan nak kelentong, apek. I nampak you bawak kereta laju tadi.” Pertahan Uzair.

Aku mengetap bibir. Geram dengan ketidakjujuran apek ini. Senang-senang nak lepaskan diri dengan meletakkan kesalahan di bahu orang lain.

“Mana ada. Cuba lu tengok kereta gua. Kereta gua arr duduk belakang itu garisan berhenti lorr..” Nafi lelaki Cina itu memanahkan jari telunjuk ke arah kereta Honda hitam miliknya.

“Hello, apek. You jangan ingat I tak nampak you reverse kereta you tadi.” Suara Uzair melengking tinggi.

“Hayya..lu mana boleh tuduh gua tanpa usul peliksa. Gua boleh saman fitnah sama lu.” Lelaki Cina itu berkeras. Turut tidak mahu mengaku kalah.

“Apek, you nampak tak bangunan tu?” Uzair menunjuk ke arah bangunan Gemilang Holding yang berada beberapa meter di hadapan. Aku turut menghala pandangan ke arah yang sama.

You tahu tak yang bangunan tu ada pasang CCTV. You tak tahu kan?” Lelaki Cina itu menggeleng perlahan. Berubah air mukanya. Jelas aku nampak kamera hitam yang melekat pada dinding bangunan itu, betul-betul menghala ke arah kami.

“Sekarang I dah beritahu you. I nak kasi tahu you juga yang I kerja kat situ. Kalau I nak, I boleh dapat pita rakaman CCTV tu sebagai bahan bukti.” Ugut Uzair.

“Macam ni lah, apek. Senang cerita kita settle perkara ni kat balai.” Kata-kata Uzair membuatkan lelaki Cina itu semakin menggelabah.

“Err..err..jangan. Kita settle sini saja lorr.” Suara lelaki Cina itu takut-takut.

 “Jom awak. Kita ke balai. Biar polis je yang decide siapa salah. Orang macam ini kita tak boleh biar. Sekurang-kurangnya biar kena gantung driving license orang macam ni.” Ujar Uzair mula memimpin lengan ku ke bahu jalan. Orang ramai mula bersurai meninggalkan lelaki Cina itu gelisah di tengah jalan.

Wait..wait..” Lelaki Cina itu mengejar kami.

“Err..no need police. Lagipun bini lu talak cedera apa-pa.” Bersungguh-sungguh apek yang berbadan gempal itu mengibas-ngibas tangannya kiri kanan. Bila masa pula lelaki sarkastik ni jadi suami aku?

“Apek, saya bukan bi..”

“Tapi you cederakan emosi dia. You tengok muka dia, pucat macam zombie.” Bentak Uzair memangkah kata-kata ku.

Aku menjegilkan mata pada Uzair. Suka hati dia cakap muka aku macam zombie. Aku tahulah pagi tadi aku terlebih sapu bedak nyonya kat muka aku ni.

“Err..ini macam lah..gua mengaku gua pun salah juga tadi. Gua manyak sorry aarr.” Akui lelaki Cina itu akhirnya.

“Err..gua bayar bini lu ganti rugi.” Tambah lelaki Cina itu mengeluarkan dompet. Sekeping not lima puluh ringgit dikeluarkan dan dihulurkan kepada aku.

Terkebil-kebil aku memandang lelaki Cina itu. Biarpun not berwarna biru itu cukup menggoda mata ku yang tengah sengkek ini, tetapi aku masih belum tergamak nak membaham duit apek ini.

“Saya tak nak duit ni…” Aku menolak.

“Hayya..gua tambah lagi lima puluh ringgit kasi sama lu.” Sekeping lagi duit lima puluh ringgit dikeluarkan.

“Apek, lu sudah salah faham. Saya tak..”

“Baik, kali ini you selamat.” Sekali lagi Uzair memotong kata-kata aku. Dengan selamba dia mengambil duit yang dihulurkan lelaki itu.

Bulat mata ku memandang Uzair. Boleh dia buat tidak peduli dengan jegilan mata aku. Aku tahulah mata aku ini sepet. Tak cukup bulat. Mata duitan rupanya encik sarkastik ini.

Good..good..telima kasih..manyak sorry aaar..” Lelaki Cina itu mengeluh lega.

Next time be a careful driver.” Pesan Uzair sebelum lelaki Cina itu menghilang ke dalam perut kereta.

“Nah..” Uzair menghulurkan dua not lima puluh ringgit itu kepada aku.

“Saya tak nak duit ni. Bukan duit saya ni..” Tolak ku sambil menggeleng laju.

“Dah apek tu bagi kat awak. Jadi duit awak lah. Takkan duit saya pula.” Tempelak Uzair.

“Tapi bukan saya yang ambil. Awak yang ambil kan?”

“Saya ambil bagi pihak awak.” Tingkah Uzair.

“Saya tak suruh pun. Yang awak ambil tu kenapa?” Soal ku tidak puas hati.

“Saya ambil sebab saya tahu awak tengah pokai sekarang ni.” Sinis Uzair pedas.

“Kenapa awak peduli kalau saya tak ada duit pun? Saya tak hadap lah duit orang. Tulang empat kerat saya ni masih kuat lagi. Saya ni bukannya pengemis nak harapkan duit ihsan orang.” Balas ku bengang.

Uzair terdiam. Terdengar keluhan lemah meniti keluar dari bibirnya.

“Memanglah saya harus peduli..” Suara Uzair berubah nada. Perlahan. Redup matanya beradu pandang dengan anak mata ku. Panahan matanya membuatkan jantung ini tiba-tiba berdegup kencang pula. Apa kena dengan jantung aku ni? Nak kena buat medical checkup ni.

“…sebab awak hutang saya dua belas ringgit lima puluh sen.” Sambung Uzair. Ceh! Kelajuan jantung ku jatuh merudum dengan kata-kata Uzair.

“Cepatlah ambil duit ni. Hutang lama-lama pun tak baik juga. Bayangkan kalau besok lusa ditakdirkan nyawa awak ditarik, tak bau syurga nanti.” Gertak Uzair memulangkan paku buah keras. Tangannya masih setia menghulurkan not biru itu kepada ku.

Aku menelan liur kelat. Terngiang-ngiang ceramah agama Ustaz Azhar Idrus.

Rasulullah S.A.W. bersabda kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas”

“Kalau awak nak duit tu awak ambil je lah. Anggap sajalah hutang saya pada awak dah langsai. Selebihnya awak sedekah pada sesiapa yang memerlukan.” Aku masih berkeras menolak.

“Tadi beria-ria kata tak nak.” Sindir Uzair sambil tersenyum senget. Aku merenungnya tajam. Berasap telinga aku dengan ayat pendek tetapi pedas yang diungkapkan Uzair.

“Siapa kata saya nak?” Gumam ku menahan rasa.

“Awaklah yang kata.”

“Bila?”

“Baru kejap tadi.”

“Apa yang awak merepek ni, Uzair???” Suara ku meninggi. Beberapa orang yang lalu lalang menjeling-jeling ke arah kami semacam. Jangan mereka ingat aku dan Uzair laki bini yang tengah berkrisis rumah tangga sudahlah.

“Kalau hutang awak langsai dengan duit ni maknanya awak terimalah duit apek tu.” Kata-kata Uzair membuatkan aku terkedu. Betul juga tu. Erk..tiba-tiba aku jadi keliru.

“Macam nilah. Saya rasa awak ambil je duit ni dulu sebab awak pun memang perlukan duit. Kalau kata awak tak nak, anggap jelah awak pinjam duit ni. Dah dapat gaji nanti, bayarlah balik. Awak boleh sedekah duit tu ke tabung masjid ke.” Cadang Uzair.

Bernas juga cadangan lelaki ini. Sekurang-kurangnya kalau aku guna duit apek ini untuk bayar hutang Uzair, tak perlu dah aku hadap lagi muka encik sarkastik ini. Kalau tidak, mesti tiap-tiap hari dia duk kejar aku minta bayar hutang. Tengok gaya pun macam ada potensi nak jadi along. Sudahlah aku bakal bekerja sebumbung dengan dia ini.

Sebut fasal kerja. Bukan ke aku sepatutnya melapur diri sebelum pukul lapan pagi? Aku mengerling jam. Dah lewat lima belas minit!

“Lagipun saya rasa awak perlu duit untuk beli baju baru.” Tambah Uzair sambil memandang ku atas bawah.

“Apa yang tak kena pula dengan pakaian saya?” Tanya ku pelik. Berkerut dahi ku. Baju kurung yang tersarung di tubuh aku ini baju raya tahun lepas. Boleh dikatakan antara koleksi baju ku yang paling baru. Takkan baju ini pun nampak buruk dan lusuh di mata Uzair?

“Tu..kain awak tu. Panjang sungguh terbelah. Koyak sampai ke betis. Kalau betis tu putih gebu tak apalah juga. Ini parut kudis sana sini.” Tempelak Uzair sambil menjuihkan mulutnya.

Aku terkesima. Bulat mata ku memandang kesan koyak pada tengah-tengah  kain. Ya ALLAH! Macam mana aku boleh tak sedar yang kain aku koyak rabak semasa jatuh tadi? Bukannya aku kisah soal betis aku yang berparut ini, tapi aku lebih runsingkan aurat aku ni. Aku nak tutup dengan apa tempat yang terkoyak ni? Besar pula tu lubangnya.

Tanpa berfikir panjang, aku segera melabuhkan duduk di birai jalan. Duduk mencangkung. Dengan cara itu saja aku dapat menyembunyikan bahagian kain yang berlubang tu. Kedua-dua belah lutut ku kepit rapat. Tapi macam mana aku nak jalan dalam kedudukan mencangkung ni?

“Yang awak duduk mencangkung kat tengah-tengah orang lalu-lalang ni kenapa pula?” Gumam Uzair menyoal ku. Wajahnya menunduk memandang ku pelik.

“Habis tu takkan saya nak berdiri untuk awak tonton percuma betis saya pula?” Aku menyoal balik.

“Awak ingat saya berselera sangat nak tengok betis awak yang berbunga-bunga tu?” Uzair mencebikkan bibirnya. Gayanya macam jijik sangat dengan aku.

“Ini bukan soal betis saya cantik ke, gebu ke,  macam bunting padi ke, tapi ini soal aurat saya. Maruah saya. Nak suruh saya dapat dosa kering?” Aku menjawab pertanyaannya dengan sinis.

Uzair senyap. Untuk mendiamkan lelaki yang sarkastik harus dibalas dengan kata-kata yang sarkastik juga. Huh!

Aku menongkat kepala ku dengan tangan kanan. Ligat mencari penyelesaian. Bagaimana aku nak selesaikan urusan kain ku yang terkoyak rabak ni bila berada di tengah ibu kota yang penuh dengan ribuan manusia?

“Nah..” Uzair menghulurkan kot hitam yang dipakainya kepada ku. Aku memanggungkan kepala.

“Ambil kot ni buat cover tempat yang koyak tu.” Ujar Uzair.

“Err…terima kasih.” Aku menyambut kot itu.

“Jangan tengok ya.” Aku memberikan amaran sebelum bangkit dari duduk.

“Saya tak hadap lah benda yang haram ni. Lainlah kalau halal..” Balas Uzair sedikit meleret seraya memalingkan wajahnya ke arah lain. Tersungging senyuman nipis di pinggir bibirnya.

Aku lilitkan kot itu di sekeliling pinggang ku biarpun fesyen itu tampak sedikit pelik.

“Dah?”

Aku angguk setelah pasti bahagian yang terkoyak telah ditutup sepenuhnya.

“Jom ikut saya.” Arah Uzair.

Aku membuntuti Uzair menapak ke arah bangunan Gemilang Holding. Hampir setengah jam aku dah terlewat untuk melapur diri di Jabatan Sumber Manusia. Harap-harap tawaran kerja untuk aku masih belum terbatal. Kalau masin mulut Uzair, nampaknya lepas ini aku terpaksa mencari kerja lainlah.

“Eh..awak nak ke mana ni?” Soal ku bila menyedari Uzair melangkah laju melepasi bangunan Gemilang Holding. Aku melajukan ayunan kaki agar dapat menyaingi langkah Uzair.

“Kat depan sana ada butik pakaian perempuan.” Jawab Uzair.

“Butik? Nak buat apa?”

“Beli bajulah. Takkan nak breakfast pula kat sana.” Sinis Uzair.

Aku mengetap bibir. Dia ni kan tak boleh ke jawab soalan aku dengan elok-elok, tertib, sopan dan santun?

“Kalau macam tu saya masuk ke dalam dululah.” Aku memusingkan tubuh ku kembali menghala ke arah bangunan Gemilang Holding.

“Awak nak ke mana tu?” Langkah Uzair terhenti.

“Lapor diri. Saya dah lambat setengah jam ni.” Beritahu ku gusar. Beberapa kali dah mata ini asyik duk melirik pada jam di tangan.

“Nanti saya bawa awak ke sana. Sekarang ikut saya dulu.”

“Tapi saya dah lambat ni. Ni pun saya tak tahu tawaran kerja tu masih ada ke tidak untuk saya.”

“Jangan risau. Nanti saya backup awak depan big boss.”

“Tapi..”

“Saya kata ikut, awak ikut jelah.” Tekan Uzair memangkah kata ku. Tidak cukup dengan itu, dia mengheret aku dengan memegang hujung lengan baju ku.

"Lepaslah. Saya tahu jalan sendiri." Aku tarik lengan. Tidak ada pilihan. Nampaknya terpaksalah aku ikut Uzair. Lagipun dialah satu-satunya saksi yang melihat kemalangan kecil yang aku lalui tadi sehingga menyebabkan kelewatan aku.

“Awak nak buat apa beli baju perempuan?”

“Bukan saya yang nak beli tapi awak.” Bicara Uzair. Serta-merta langkah kaki ku terhenti. Brek mengejut.

“Saya?” Aku menunjuk pada diri ku sendiri. Aku? Beli baju kat butik? Memang buang tabiat lah kalau aku buat kerja macam tu. Seumur hidup butik pun aku tak pernah jejak. Apa dia ni ingat baju kat butik tu murah?

“Yalah..takkan awak nak pakai macam ni sepanjang hari? Dah macam orang sakai saya tengok..” Dia senyum mengejek.

“Saya lebih rela jadi orang sakai daripada buang duit kat tempat mahal macam tu. Lagipun saya mana ada duit!" Lancar bibir ku menolak.

"Duit ni kan ada. Tolak hutang saya ada lagi baki RM 87.50. Cukuplah tu." Uzair menggawangkan dua keping not lima puluh ringgit di depan ku.

"Cepatlah." Gesanya menyambung langkah. Meninggalkan aku tengadah di belakang.

15 comments:

  1. hahaha... Uzair.. Uzair..eh.. tapi mana nak cari Hero cam Uzair nie ek???

    ReplyDelete
  2. Aduhh. Kelakar la ridhya... Mulut tader insurance betul la uzair ni..sarcastic giler.. Tapi comel la jugak sb hati dia baik dlm jahat dok perli kata betis ain berbunga2... Kah..kah..kah....gila!

    ReplyDelete
  3. Uzair....uzair...ain...ain...mmg diaorg ni kelakar la....thanks krn updated cpt utk chapter ni...tak sabar utk chpater seterusnya...tak boleh blah bile uzair ckp betis yg berbunga2 tu...kahkahkah...cite yg sempoi n menarik utk terus follow..

    ReplyDelete
  4. mcm dh blh agaklah sape big boss....best !!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Erkss..kita tgk betul tak agakan awak tu nnt ye..ahaks..

      Delete
  5. hahahaha! kebetulankah?? dimana2 'ain jatuh disitu ade uzair.. wehuu... XD

    ReplyDelete
  6. hahaha.. betis berbunga-bunga yang tak tahan tu... hahaha..

    ReplyDelete
  7. alahai uzair... caring nyer dia kat ain... mulut pun laser ya ampun!!! errmm ke uzair ni yg bos???

    ReplyDelete
  8. uzair ni kdg2 sakarstik btul la

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..