Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 4 EV

“Jauhnya isteri abang ini mengelamun…”
Desah nafas yang menyapa cuping telinga ‘Aisy membawanya ke alam nyata. ‘Aisy berpaling ke kanan. Bulat matanya memandang wajah Harris yang hanya beberapa inci saja dari wajahnya. Entah sejak bila lelaki itu masuk ke dalam bilik tidurnya.
Terkejut dengan situasi itu, ‘Aisy bingkas bangun dari perbaringan. Namun belum sempat dia berjaya menjarakkan diri, pinggangnya dirangkul kemas oleh tangan sasa milik Harris. Tubuhnya kembali dibaringkan dan kini Harris selesa berbaring bertongkatkan siku di sebelahnya.
“Awak ini kenapa? Dah buang tabiat?” Suara ‘Aisy sedikit meninggi. Namun cuba dikawal agar tidak didengar ahli keluarga yang lain. Kesabaran yang dipertahankan sejak dalam penerbangan tadi dirasakan semakin menipis. Harris semakin melampau dan berani.
Get your hand off me!
Sekuat tenaga ‘Aisy menepis kasar tangan kanan Harris yang kemas melingkari pinggangnya. Namun dengan mudah Harris mematahkan serangannya. Kemas jari-jemari ‘Aisy berada di dalam genggamannya. Keadaan itu membuatkan pergerakan ‘Aisy terkunci, lalu memberi peluang kepada Harris untuk merapatkan tubuhnya.
“Salah ke abang nak bermanja dengan isteri sendiri?” Serak suara Harris menggambarkan perasaan yang sedang menggelodak di jiwa.
“Tepilah! Awak tak ada hak buat saya macam ini!” Tolak ‘Aisy. Matanya mencerlung tajam ke arah Harris. Sungguh dia geram dengan tindakan Harris.
Of course abang ada hak, sayang. I’m your husband.” Tenang bicara Harris. Jelingan tajam ‘Aisy langsung tidak berbekas di hatinya. Malah semakin mengocak hebat debaran di dadanya. Keinginannya tambah membuak.
“Awak bukan suami saya lagi…” Suara ‘Aisy mengendur. Dia tahu kata-kata penafiannya itu hanyalah sia-sia biarpun berulang kali dia mengungkapkannya.
Penafian ‘Aisy hanya mengundang senyuman sinis di wajah Harris. ‘Aisy adalah isterinya dan sebagai suami dia punya hak ke atas ‘Aisy.
“Sayang pun tahu hakikat yang sebenarnya kan?” Tanpa mengendahkan penolakan ‘Aisy, Harris mendekatkan wajahnya. Jari-jemarinya mengusap lembut pipi gebu milik ‘Aisy. Setiap inci wajah isterinya diperhatikan dengan penuh kasih. Pandangannya terhenti pada seulas bibir merah ‘Aisy. Gelora di jiwanya semakin membara. Lantas dirapatkan bibirnya mendekati bibir basah ‘Aisy.
Ciuman Harris hanya sipi mengenai rambut ‘Aisy apabila wanita itu bertindak melarikan wajah. Keadaan itu membuatkan Harris bertambah tidak keruan. Haruman rambut ‘Aisy semakin menyemarakkan keinginannya untuk mengisi kesepian seorang suami  yang telah lama kosong. Rindu dendam yang terpendam sudah tidak mampu disimpan.
“Lepaskan saya, Harris! Awak tak boleh paksa saya macam ni.” Gumam ‘Aisy sambil menolak tubuh Harris sekuat hatinya. Namun apalah sangat kudrat seorang perempuan yang dimilikinya.
Jantungnya berdegup kencang menahan debar. Keberaniannya sedikit pudar tatkala Harris memeluknya erat. Seram sejuk tubuhnya berada dalam dakapan lelaki itu sehingga membuatkan nafasnya mula tersekat.
I miss you so much, sayang.” Semakin galak Harris menggoda dengan kata-kata romantis. Dia semakin terbuai asyik dalam kerinduan dan keinginannya yang menggebu.
Anak rambut ‘Aisy yang berjuraian di dahi diseka perlahan. Jari-jemari Harris kembali meniti di setiap inci wajah ‘Aisy dan kemudian turun ke pangkal leher.
“Jangan buat saya macam ni, Harris.” Pohon ‘Aisy dalam suara yang sedikit bergetar. Ketakutan mula menguasai diri. Sedaya upaya dia menepis tangan Harris yang semakin galak merayap di segenap tubuhnya.
I love you so much, sayang. Please be mine.” Bisik Harris lembut. Desah nafasnya beralun tidak sekata. Detak jantungnya sudah kehilangan rentak. Menggambarkan gelodak di jiwa yang semakin gagal membendung rasa.
‘Aisy menelan liur pahit. Perlakuan Harris benar-benar mengundang gigil ke segenap urat nadinya. Mampukah dia memenuhi keinginan Harris setelah apa yang telah dilakukan lelaki itu padanya? Pantas dia menggelengkan kepalanya berulang kali.
“Saya tak boleh…Saya..saya tak boleh. Jangan layan saya macam ni, Harris.” Ujar ‘Aisy separuh merayu. Dia berusaha meraih simpati Harris, mengharapkan pengertian lelaki itu. Namun ternyata cubaannya gagal.
Harris semakin hilang dalam kerinduannya yang tidak bertepi. Dia mengelus lembut rambut ikal milik ‘Aisy dan dibawa ke hidungnya. Sungguh mengasyikkan!
“Tolong jangan paksa saya, Harris.”
‘Aisy terperangkap. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Tidak mungkin dia bisa menjerit kerana jeritannya pasti hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Abang tak memaksa sayang. Abang cuma menuntut hak abang sebagai suami. Abang ada hak kan?” Harris menyoal sambil membenamkan wajahnya ke leher jinjang ‘Aisy. Semakin galak bibir itu bermain di situ.
‘Aisy mengetap bibir. Kata-kata Harris mengundang bara di jiwa. Semakin hangat mencengkam dada. Mudah sungguh Harris berbicara soal hak. Menuntut hak hanya semata-mata untuk melunaskan keinginannya. Hanya demi untuk memuaskan nafsu lelaki yang satu itu! 
“Hak apa lagi yang tinggal apabila awak sendiri sanggup membuang saya dalam hidup awak? Dan hak apa lagi yang awak ada saat awak menghina zuriat awak sendiri semahunya?” ‘Aisy menolak kasar tubuh Harris. Berombak dadanya menahan amarah. Tajam anak matanya memanah sepasang mata helang milik Harris sebelum menyambung kata.
“Awak dah lama hilang hak itu, Harris! Sebesar kuman pun awak tak ada hak ke atas saya.” Herdik ‘Aisy dengan pandangan mata yang berapi. Kerana dendam dan benci yang tertulis kemas dalam catatan sejarah hidupnya, dia tega menafikan kewajipannya sebagai seorang isteri. Meletakkan dirinya dalam keadaan yang cukup berdosa.
Harris mendengus kasar. Penolakan demi penolakan membuatkan egonya tercabar. Maruah lelakinya dirasakan bagai diinjak tatkala ‘Aisy berterusan menolaknya dengan hamburan kata sindiran yang cukup pedas. Memang silap besar apabila ‘Aisy mempersoalkan tentang haknya sebagai suami. ‘Aisy adalah isterinya yang sah dan halal buatnya.
“Jangan pandai buat hukum sendiri, ‘Aisy. Hak abang kekal ada dan akan tetap ada sampai bila-bila. Biarpun sejuta kali bibir ‘Aisy menafikan.” Harris mengeraskan suara.
Don’t be so sure, Harris.” Bangkang ‘Aisy tidak mahu mengalah.
“I am damn sure, sayang. And tonight I’m going to prove it!” Tekad Harris bertegas. Dek hanyut dalam rindu yang menggebu dan ego yang tercabar membuatkan Harris semakin rakus. Semakin jauh tersasar dari landasan pertimbangan. Dia hilang kawalan diri. 
Seluruh wajah ‘Aisy menjadi sasaran cumbuan Harris. Mengundang getar di tubuh ‘Aisy dek ketakutan yang mula sarat bersarang di jiwa. Matanya mula basah dengan takungan air mata. Bayang kenangan empat tahun lalu kembali terlakar di ruang mata. Dia memejamkan mata ingin menghalau kenangan itu daripada terus bertamu. Namun, kenangan itu semakin rapat menghimpit ruang ingatannya.
“Jangan buat saya macam ni. Saya merayu, Harris.” Air mata mula menitis di pipi ‘Aisy. Menyedari dia sudah mencabar kesabaran Harris.
Rayuan ‘Aisy tidak dipedulikan Harris. Bagaikan mencurahkan air di atas daun keladi. Langsung tidak meninggalkan kesan. Kasih sayangnya yang menggunung membuatkan dia bertekad untuk membuktikan ‘Aisy masih hak miliknya yang sah. Sehingga tanpa sedar dia semakin menyakiti hati yang sepatutnya diubati. Dia lupa kasih sayang hadir dengan kerelaan dan bukannya paksaan.
‘Aisy semakin hebat meronta tatkala tingkah Harris semakin berada di luar batas kawalan. Dia benci dengan sejarah pahit yang pernah dilakarkan Harris dalam hidupnya. Dan dia tidak tega membiarkan rasa benci dan dendam itu terus mekar bercambah dek palitan kenangan hitam yang lain pula. Cukuplah sekali dia perlu melalui saat kesakitan itu. Tidak sanggup dia mengulanginya lagi.
Dalam cumbuan Harris yang semakin menggila, ‘Aisy tidak berputus asa mencari peluang untuk melepaskan diri dari pelukan suaminya. Sedaya upaya dia meronta mengerahkan seluruh kudratnya.
Pang! Harris terkaku. Entah dari mana ‘Aisy memperoleh kekuatan melepaskan tamparan ke pipi Harris. Dada bidang Harris ditumbuk dan ditolak kuat. Tubuh Harris yang kaku membuatkan pelukan terlerai dan dia berjaya meloloskan diri.
“Cukuplah sekali awak pijak maruah saya, Harris. Cukuplah awak hina saya selama ini. Jangan layan saya seperti barang. Hati dan tubuh saya bukan punching bag. Hanya berguna saat awak perlukan untuk lepaskan geram dan nafsu awak. Tapi bila dah tak diperlukan awak campak ke dalam tong sampah.” Terketar-ketar ‘Aisy menuturkan kata di dalam tangis. Hatinya cukup tergores dengan layanan Harris. Benarlah dirinya tidak pernah ada harga di mata lelaki itu. Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelannya. Kenyataan yang membuatkan hatinya semakin parah terluka.
“Maa..maafkan abang…”
Harris meraup mukanya kasar. Tuhan, apa yang telah aku lakukan? Bagaikan baru terjaga dari mimpi, pandangannya jatuh pada susuk tubuh ‘Aisy yang sedang memeluk lutut di hujung katil. Terenjut-enjut bahu ‘Aisy menahan tangis. Hiba sekali tangisan itu di pendengarannya.
“Awak adalah lelaki yang hanya tahu bercakap tentang hak seorang suami. Tapi bagaimana dengan hak saya? Hak seorang isteri yang teraniaya? Hak seorang isteri yang tak pernah selayaknya dihargai di mata seorang suami?” Hambur ‘Aisy penuh sebak. Air matanya makin laju turun membasahi pipi.
“Sayang, maafkan abang. Please stop crying.
Harris menghampiri ‘Aisy dan melutut seperti seorang pesalah di sisi katil. Bahu isterinya diusap lembut. Hatinya pedih mendengar tangisan ‘Aisy yang mendayu-dayu.
Don’t you ever touch me!
Sentuhan Harris ditepis kasar. Tajam panahan anak mata ‘Aisy merenung tepat ke arah Harris. Dasar lelaki hipokrit. Cukup bijak bermain sandiwara untuk meraih simpati. Benarlah telahannya. Perubahan sikap dan pujuk rayu Harris hanyalah permainan lelaki itu semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsunya.
Please, sayang. I am so sorry. I didn’t mean to hurt you. Abang tak sengaja, sayang.” Seribu penyesalan jelas terpancar di raut wajah Harris. Dia dihimpit rasa bersalah yang teramat sangat lantaran gagal mengawal keinginan diri.
Air mata semakin laju jatuh membasahi pipi ‘Aisy. Sedu yang berlagu bagaikan tidak bertepi. Dia tenggelam dalam kekecewaan dan kekesalan yang sangat dalam. Rasa pedih dan perit silih berganti mengisi ruang hati. Dia harus segera tamatkan jerat perasaan yang semakin menghiris jiwa.
Let me go, Harris. Kita berpisah.” Pinta ‘Aisy dengan suara yang bergetar. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia menuntut sebuah penceraian. Tuntutan yang bakal menggoncangkan tiang Arash. Namun dia terpaksa kerana kesabarannya dirasakan sudah tidak dapat dibendung oleh perasaan yang berterusan memakan dirinya sendiri. Dia mahu Harris segera menamatkan permainan yang dimulakan lelaki itu sendiri.
 “Berpisah? No way, sayang!” Tolak Harris tegas. Permintaan ‘Aisy benar-benar menyentap jantungnya.
“Saya hanya tuntut hak saya yang awak dah  janjikan empat tahun dulu. Saya tak pernah lupa. Sampai sekarang saya masih tunggu surat cerai daripada awak, Harris.” Talar ‘Aisy nekad menyampaikan keinginan. Tetapi entah kenapa ada rasa sakit yang bertamu di hati dengan permintaannya sendiri. Kosong dan sepi.
Harris terkedu dengan perpisahan yang diminta ‘Aisy. Menuntut sebuah janji yang tanpa sedar pernah dilafazkannya suatu waktu dulu dek rasa amarah yang tidak terbendung.
“Tidak, sayang. Abang takkan lepaskan sayang. Never!” Harris menekankan suaranya, menggambarkan ketegasan hatinya. Dia pernah melakukan kesilapan dengan membuang ‘Aisy dalam hidupnya. Dan dia tidak mahu mengulangi kekhilafan nya yang dulu.
“Awak dah janji nak ceraikan saya. Buat apa awak simpan perempuan kotor macam saya ni, Harris?” Desak ‘Aisy memulangkan paku buah keras. Satu persatu kata penghinaan yang pernah dihamburkan Harris diluahkan. Tidak satu pun dia lupa. Kekal tersimpan dalam ingatannya sampai bila-bila.
“Sudah! Abang tak nak bincang lagi pasal ni. Jangan sekali-kali ungkit tentang perpisahan. Abang tak suka!” Cantas Harris memberikan amaran keras. Kedua-dua rahangnya diketap kuat.
“Kenapa awak buat saya macam ni, Harris? Kenapa awak tak nak lepaskan saya? Kenapa awak masih nak simpan perempuan macam saya ni lagi? Tak puas lagi ke awak nak seksa saya?” ‘Aisy menyoal sinis dalam sendu yang tidak berpenghujung. Sakit hatinya.
Harris menarik nafasnya dalam. Dia bangkit dari keadaan melutut dan melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy di atas katil. Tangan ‘Aisy dibawa ke dalam genggamannya.
Because I love you so much, sayang. You are everything to me.” Harris jujur mengakui perasaannya. Rasa indah yang hanya disedarinya setelah ‘Aisy berlalu pergi dari hidupnya.
“Pergi jahanam dengan cinta palsu dan kasih sayang awak yang penuh pura tu. Hentikan lah sandiwara mengarut awak ini.” Cemuh ‘Aisy kasar lantas menepis pegangan tangan Harris. Dia tidak akan termakan lagi dengan kata-kata Harris.
“Demi Allah, sayang. Abang ikhlas dengan perasaan abang. Abang sungguh cintakan sayang.” Ungkap Harris lirih. Tidak tahu harus bagaimana lagi untuk meraih kembali kepercayaan isterinya. Setiap kesungguhan kata yang dilafazkan hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy.
“Cukuplah, Harris. Terimalah hakikat yang kita memang tak ada masa depan bersama. Berpisah adalah jalan terbaik untuk kita bawa haluan masing-masing.” Suara ‘Aisy sedikit mengendur. Degil dan nekad biarpun hatinya sakit dengan kata-katanya sendiri.
Harris mendengus geram. Dia menggelengkan kepalanya menolak permintaan ‘Aisy. Sesak jiwanya dipalu rasa yang tidak keruan. Tidak akan sekali-kali dia menunaikan permintaan ‘Aisy. 
“Dengar sini, sayang. Walau apa pun yang berlaku, hatta dunia ini kiamat sekalipun, abang tak akan ceraikan sayang!” Suara Harris meninggi. Dia merenung tajam ke dalam anak mata ‘Aisy. Kedegilan ‘Aisy benar-benar mencabar kesabarannya.
“Tapi saya tetap akan tuntut cerai daripada awak, Harris. Kita ada mahkamah. Biar mahkamah yang menentukan pengadilannya!” Tingkah ‘Aisy dengan berani. Langsung tidak mempedulikan pandangan cerlung suaminya.
Kata-kata itu semakin menyemarakkan api kemarahan Harris. Berombak dadanya menahan rasa geram. Kedua-dua tangannya dikepal kuat sehingga bergetar. Jangan berani cabar kesabarannya.
Don’t you dare, ‘Aisy!” Gumam Harris memberikan amaran. Tanpa sedar tangan kasarnya mencengkam kuat bahu ‘Aisy. Memaknakan keengganan hatinya. Tidak! Dia tidak akan benarkan semua itu berlaku.
‘Aisy membalas renungan Harris. Wajah merah lelaki itu ditatap dengan penuh berani. Namun, kekuatan tangan Harris yang mencengkam bahunya membuatkan dia tidak mampu menahan sakit.
“Lepaskan saya, Harris!” ‘Aisy mengetap bibir. Dia menepis tangan Harris.
No!” Tolak Harris semakin gagal mengawal rasa marah. Cengkaman tangannya semakin dikuatkan.
“Harris, lepaskan saya. Saakkitt…” ‘Aisy masih berusaha menepis kedua-dua belah tangan Harris yang melekat kemas di bahunya namun kudratnya terlalu nipis untuk melawan tenaga lelaki itu.
“Harris, lepaskan tangan awak. You are hurting me!” Tekan ‘Aisy. Nada suaranya naik satu oktaf.
Harris melepaskan pegangan tatkala menyedari ‘Aisy sedang mengongoi menahan kesakitan. Dia mengundur sedikit menjauhi ‘Aisy lalu menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Pasti bahu isterinya yang beralas baju itu berbirat dengan kesan merah.
“Astagfirullah…” Harris menghela nafas panjang sambil beristighfar. Dia cuba meniupkan ketenangan dalam diri.
“Maafkan abang.” Lontaran suara Harris kembali kendur.
Sayang boleh minta apa saja daripada abang. Apa saja abang sanggup tunaikan. Tapi satu yang abang pinta. Tolonglah jangan minta abang lepaskan sayang.”
Harris melurut rambutnya yang jatuh ke dahi. Memang dia yang bertanggungjawab dengan setiap penderitaan dan keperitan yang dilalui ‘Aisy. Untuk itu, dia mahu menebus kekhilafan nya dulu. Tetapi bukan dengan perpisahan. Bukan dengan memutuskan sebuah ikatan pernikahan yang terlalu suci.
You have everything, Harris. Wang ringgit, kuasa, kedudukan, rupa. Apa lagi yang tak cukup? Apa lagi yang awak nak daripada saya, Harris? Saya dah tak ada apa untuk berikan pada awak.” Keluh ‘Aisy semakin berat.
“Cinta. Abang perlukan cinta sayang. Kekayaan, kuasa semua itu tak bermakna andai hidup abang ini kosong tanpa sayang. Abang perlukan sayang untuk menemani hidup abang. Berilah abang peluang kedua. Just once. Abang akan buktikan kesucian cinta abang terhadap sayang. Abang akan jaga dan lindungi sayang dengan kasih yang tak berbelah bagi.” Rayu Harris bersungguh-sungguh.
Kegelisahan jelas terpeta di wajah Harris. Sungguh dia benar-benar ingin menakluki kembali hati ‘Aisy. Ingin memiliki kembali kasih sayang dan meraih cinta isterinya yang pernah disia-siakan.
“Wujud ke perasaan cinta dalam hati lelaki ego seperti awak ni, Harris?” Cebik ‘Aisy tersenyum mengejek. Separuh hatinya ingin percaya namun ingatan pada kenangan lalu yang menyakitkan terlalu kuat membuatkan hatinya kembali membeku.
“Empat tahun cukup mengajar abang tentang erti cinta. Membuatkan abang sedar betapa sakitnya menanggung rindu. Betapa sengsara hati ini apabila abang hanya mampu melihat dari jauh isteri yang abang cintai. Abang nak tebus balik semua yang kita pernah hilang, sayang. Maafkan abang atas segala dosa abang pada sayang.” Ungkap Harris sayu. Demi Tuhan tidak tergambar penderitaan yang terpaksa dilaluinya. Saban waktu dia menanggung rasa kesal di atas perbuatannya yang lalu.
“Tak semudah itu saya dapat lupakan apa yang dah berlaku, Harris. Pintu hati saya dah tertutup buat awak. Saya mohon pada awak. Tolong lepaskan saya. Saya dah tak sanggup nak jadi isteri yang berdosa kerana saya tahu saya tak mungkin kembali dalam hidup awak.”
Mata ‘Aisy kembali berkaca. Nusyuzkah dia jika dia memilih untuk meninggalkan suami yang telah banyak melukakan hatinya? Nusyuz kah dia jika dia ingin lari dari beban derita yang sarat ditanggung hatinya?
Harris menggelengkan kepalanya laju.
“Kita bina hidup baru, sayang. Abang sedar, dulu abang tak pernah layan sayang dengan baik. Banyak peluang yang abang persiakan kerana keegoan dan kebodohan abang sendiri. Tapi abang mohon, untuk kali ini. Berilah peluang pada abang untuk menjadi seorang suami yang terbaik. Seorang suami yang akan meminjamkan senyum ketika sayang bersedih, yang akan memujuk apabila sayang merajuk, yang akan berkongsi rasa bahagia apabila sayang gembira. Abang nak hidup bahagia dengan sayang.” Kedua-dua belah tangan ‘Aisy digapai dan digenggam erat.
“Bahagia saya bukan dengan awak, Harris. Cukuplah sekali hati saya awak sakiti. Apa yang berlaku dah cukup untuk saya nilai harga cinta awak.”
Ditambak tembok kebenciannya setinggi mungkin. Diyakinkan hatinya yang pujuk rayu Harris hanya penuh dengan kepura-puraan. Janji manis lelaki itu hanya dusta semata. Dia tidak akan terpedaya dengan tipu muslihat Harris.
“Demi Allah, I love you so much, sayang. I really do!” Luah Harris buat kali kedua bersungguh-sungguh mempertahankan isi hatinya. Dia menggoncang lembut bahu ‘Aisy.
“Cinta? Cinta awak hanya untuk dapatkan tubuh saya ini kan? Kasih awak hanya untuk menyakiti hati saya kan? Kalau awak jujur dan ikhlas dengan perasaan awak, tadi tu apa?”
‘Aisy menepis kasar tangan Harris yang mendarat di bahunya. Sebak rasa hati mengenangkan perlakuan Harris yang hilang kawalan diri sebentar tadi. Sesak nafasnya menahan tangis yang kembali melebat.
I know I lose control, but…”
Harris kematian kata. Dalam diam dia memarahi diri sendiri dengan tindakan buru-burunya. Kerinduan dan rasa kasih yang tidak tertahan terhadap ‘Aisy membuatkan dia hilang pertimbangan. Dan kini dia terpaksa membayar di atas keterlanjurannya tadi.
“Sebenarnya awak tak pernah menyayangi saya, Harris. Awak cuma mahukan tubuh saya kan? Saya benci awak, Haris. Saya benci!” Herdik ‘Aisy. Berombak dadanya menahan rasa marah dan kecewa. Jauh di dasar hati, ada kepedihan yang terselit. Mampukah hatinya membenci Harris seperti apa yang telah ditasdikkan oleh lidahnya sendiri?
“Begitu sekali sayang menilai cinta abang. Kasih abang pada sayang tak serendah itu, sayang. Cinta abang pada sayang bukan untuk diperdagangkan. Ikatan pernikahan kita terlalu suci, sayang. Abang benar-benar sayangkan rumah tangga kita. Walaupun seribu kali sayang ungkapkan kata benci, abang tak akan mengalah mengejar cinta sayang. I really mean it, sayang.” Bicara Harris sayu. Dia menarik nafas dalam mengumpul kekuatan. Tidak sekali-kali dia akan mengaku kalah biarpun berkali-kali hatinya tergores dengan penolakan ‘Aisy.  
“Look into my eyes, sayang. Tolong lihat dan nilai dengan pintu hati. Mata abang tak mungkin dapat menipu. Abang sungguh-sungguh cintakan sayang. Cinta, kasih dan sayang abang hanyalah milik Rahadatul ‘Aisy Hilmi, satu-satunya isteri abang dunia dan akhirat.” Sambung Harris meluahkan rasa, mengharapkan kata-katanya mampu menautkan kembali simpulan kasih yang telah lama terlerai.
‘Aisy terkedu. Bebola matanya menari-nari di atas wajah Harris. Mencari kebohongan yang sedang disembunyikan Harris di sebalik kata-kata yang diungkapkannya. Tetapi kenapa dia hanya nampak sinar kejujuran di situ? Arghh..lelaki ini memang bijak bersandiwara. Akalnya yakin Harris hanya bersandiwara, tapi kata hati berbisik sebaliknya. Tiba-tiba kepalanya berdenyut hebat. Dia keliru!
“Abang janji, abang takkan sentuh ‘Aisy selagi ‘Aisy sendiri tak relakan. Tadi, memang abang tersilap langkah, abang bertindak di luar kawalan. But it won’t happen again, you can mark my words.” Janji Harris hanya dipandang sepi oleh ‘Aisy. Dalam diam dia cuba mencari titik rasional di sebalik luahan suaminya.
Harris menjarakkan diri ke jendela membawa kekecewaan tatkala melihat kesepian ‘Aisy. Fikirannya tenggelam dalam remang-remang senja. Kesuraman malam yang mula membiaskan diri bagaikan sedang menggambarkan gelodak perasaannya yang kelam.
Harris melepaskan keluhan berat. Entah kenapa dia mula merasakan kesukaran untuk mendapatkan kembali kepercayaan ‘Aisy. Hatinya semakin dipagut bimbang mengenangkan penerimaan ‘Aisy. Sering kali wajah itu mempamerkan riak penuh curiga tatkala lafaz maaf meniti di bibirnya.
Ternyata ‘Aisy yang pernah dikenalinya empat tahun yang lalu telah banyak berubah. ‘Aisy yang ada di hadapannya kini penuh dengan kedinginan. Sarat dengan api dendam yang bersarang dalam jiwa. Dan Harris tahu tindakannya yang terlalu menurut kehendak hati sebentar tadi  membuatkan ‘Aisy semakin jauh daripadanya. Semakin membunuh peluangnya.
Azan Maghrib yang dilaungkan bilal dari surau Ibn Haytham mencantas lamunan Harris. Dia meraup rambutnya dan beristighfar perlahan. Jauh benar dia melayan fikiran membiarkan keadaan menjadi sunyi sepi. Esak tangis ‘Aisy juga sudah tidak kedengaran lagi.
Senyuman terukir di pinggir bibir Harris sebaik terpandangkan ‘Aisy yang tertidur kepenatan dalam keadaan merekot. Hilang seketika ketegangan yang melanda di jiwa saat melihatkan wajah polos itu. Tidurnya begitu lena, mungkin kesan gangguan ritma harian atau jet lag akibat pertukaran zon waktu.
Harris menghampiri wajah polos itu. Perlahan-lahan dia mengangkat tubuh ‘Aisy dan membetulkan pembaringan isterinya agar lebih selesa. Dengan berhati-hati dia memanjat katil dan turut berbaring di sisi ‘Aisy, bimbang jika pergerakannya akan mengganggu lena ‘Aisy.
Peluang itu diambil Harris untuk merenung wajah ‘Aisy tanpa jemu. Anak-anak rambut ‘Aisy yang menutupi mata di selak. Jelas kelihatan sisa air mata yang berkumpul di tubir mata yang sedang terpejam rapat. Kasih sayangnya pada wanita itu semakin menebal. Tidak pernah berkurang. Dahi ‘Aisy dikucup dengan penuh rasa cinta. Maafkan abang, sayang. Rintih Harris di dalam hati.
Setelah beberapa minit berteleku di sisi ‘Aisy, Harris bangun mencapai tuala. Dia perlu membersihkan diri untuk menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Esa. Nyenyak sekali tidur ‘Aisy menjadikannya serba salah untuk mengejutkan lena isterinya. Dia berkira-kira untuk mengejutkan ‘Aisy usai dia menunaikan solat nanti. Lagipun dia tidak perlu bimbang andai ‘Aisy terlepas waktu Maghrib kerana seorang musafir diberikan kelebihan untuk menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di dalam waktu Isyak.

5 comments:

  1. ada sedikit kekeliruan... bukankah Aisy dah sampai ke rumahnya sendiri,,, secara hukumnya kelonggaran jamak dan qasar terluput dengan sendirinya... tlg cari pencerahan ye RI? maaf kalau sy tersilap...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks for ur concern. I've double checked. Heheeh..dasar jamak ni berdasarkan mukim di mana tempat kita bermastautin. Dlm TC ni tempat bermastautin aisy adalah di bangi sbb dia kerja di ukm. Dia pulang ke ktrg sbb disitu adalah kampung halaman dia. Kg halaman bukan tempat tinggal atau tempat di mana dia bermastautin. Walaupun aisy transit di klia dr uk utk ke ktrg tp dia masih lagi seorg musafir (klia sepang mukim lain dr bangi). Dan aisy blk ke kg xlweih dr 3 hari atas dasar menjenguk parents dia n bkn dgn niat nk bermastautin di situ. Jd dia masih boleh jamak solatnya...

      Delete
  2. thnks sebab response.. coz pernah perang dingin dgn encik asben sbb dia tak bagi sy jamak ketika balik rumah mak di kampung... huhuhu

    ReplyDelete
  3. Saya sama berpendapat dgn hijab kalbu..kerana perjalanannya jauh dr perantauan dan telah selamat sampai di kampung..bangi belum diduduki.

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..