Apa yang dibimbangkan akhirnya terjadi. Belum pun sampai beberapa
jam’Aisy menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, pandangan matanya disajikan dengan
seraut wajah yang paling ingin dihindarinya. Retina matanya masih belum buta
dan otaknya masih cekap memproses isyarat yang dihantar oleh mata.
Umayr Harris! Nama itu kembali bergema. Empat tahun dia mengumpul
kekuatan untuk melenyapkan nama itu, namun kini dia tewas lagi.
“Harris…” Tanpa sedar bibir ‘Aisy menyebut nama itu. Mujurlah
panggilan itu cukup perlahan untuk didengari lelaki itu.
Sebaik ‘Aisy melangkah keluar dari rest room, pandangannya terpaku
pada susuk tubuh tegap milik Harris. Dia tergamam seketika. Bebola matanya
menari-nari menyaksikan lelaki yang sedang leka berbual dengan seorang wanita
cantik di sisinya.
‘Aisy segera berpaling membelakangkan tubuhnya tatkala dirasakan
Harris mula mengangkat wajah dan mengalihkan pandangan ke arahnya. Pantas
cermin mata hitam dicapai dan disangkutkan di celah telinga sebagai perisai
untuk menyembunyikan wajah. Dia membetulkan langkah mengayun laju menuju ke
satu arah yang dia sendiri tidak pasti. Apa yang dia tahu dia perlu melarikan
diri. Harris tidak boleh tahu kepulangannya ke sini. Sekurang-kurangnya tidak
buat masa ini kerana dia masih belum bersedia untuk bertemu empat mata dengan
lelaki itu.
‘Aisy menghelakan nafas lega sebaik terpandangkan kelibat Sakeena
yang sedang menunggunya di meja makan. Bayangan Harris hilang entah ke mana.
Dia yakin Harris tidak menyedari kehadirannya. Mujur dia cepat bertindak tadi.
Tidak pasti bagaimana harus dihadapinya andai Harris perasan dengan
kehadirannya tadi. Melihat susuk tubuh lelaki itu dalam jarak sejauh lima meter
pun sudah cukup mengundang rasa gentar di jiwa.
Dengan perasaan gugup yang masih tebal bersarang, ‘Aisy menarik
kerusi dan duduk di hadapan Sakeena yang sedang menikmati nasi goreng.
“Kau ni kenapa, ‘Aisy? Macam terserempak hantu je.” Kedua-dua
belah kening Sakeena hampir bertaut saat terpandangkan wajah pucat ‘Aisy.
‘Aisy hanya menyepikan diri, langsung tidak menunjukkan sebarang
tindak balas terhadap soalannya.
“Hei, kau ini kenapa?” Sakeena meninggikan sedikit suaranya sambil
menggoncang lembut tangan ‘Aisy yang sedang tertunduk kaku.
‘Aisy mengangkat kepalanya sedikit. Dua ulas bibirnya menahan
ketar untuk memulakan bicara.
“Err.. Umayr Harris.. aku.. aku nampak dia.” Buat kali kedua nama
itu meniti di bibirnya.
Sakeena terpempan. “Harris? Macam mana dia boleh ada kat sini?”
Soal Sakeena separuh percaya.
‘Aisy menggelengkan kepala. Dia tiada jawapan untuk persoalan sama
yang turut berlegar di benak fikirannya. Mustahil Harris datang untuk
menyambut kepulangannya. Lelaki itu cukup hebat membenci dirinya. Dan dia
sendiri tidak mengharapkan kehadiran Harris.
“Dia..dia tahu ke flight aku hari ini?”
‘Aisy memandang Sakeena dengan riak wajah yang keliru. Tidak
mungkin Sakeena yang menyampaikan berita kepulangannya kepada Harris. Sakeena
sendiri seolah-olah turut melancarkan perang dingin terhadap Harris setelah apa
yang dilakukan lelaki itu terhadap dirinya.
Sakeena menjongketkan bahu tanda tidak tahu. “Siapa lagi tahu kau
balik ke sini?”
“Tak ada siapa. Cuma kau dan family aku je yang tahu aku pulang ke
Malaysia hari ini.” Beritahu ‘Aisy dengan kedua belah keningnya berkerut.
Masakan Haji Hilmi atau Hajah Maryam yang memberitahu Harris tentang
kepulangannya. Awal-awal lagi dia sudah menitipkan pesanan untuk merahsiakan
kepulangannya terutama daripada pengetahuan Harris. ‘Aisy melepaskan keluhan
yang panjang. Gagal mendapatkan jawapan yang pasti.
“Ini kan tempat awam. Mungkin dia pun baru balik dari mana-mana.”
Putus ‘Aisy sendiri membuat kesimpulan. Dia cuba berfikir dengan lebih
rasional. Sebagai ahli lembaga pengarah Indah Puncak Corporation, salah sebuah
syarikat konglomerat Malaysia yang terbesar, pasti Harris di antara orang yang
sentiasa perlu mengembara atas urusan kerja. Lapangan terbang ini sudah
diibaratkan seperti rumah keduanya mungkin.
“Boleh jadi juga.” Sakeena menganggukkan kepala mengiakan.
“Habis tu dia nampak kau tak?” Wajah teman yang sedikit terusik
itu dipandang. Kesian ‘Aisy. Pasti wanita ini sedang berperang hebat dengan
perasaannya sendiri.
“Aku rasa tak. Lagipun waktu tu dia tengah bercakap dengan
seseorang.”
‘Aisy menelan liur pahit. Dia pasti Harris tidak menyedari
kehadirannya. Apatah lagi ketika itu Harris sedang asyik memberikan tumpuan
terhadap wanita cantik di sisinya. Mungkin teman istimewa lelaki itu. Nampak
begitu mesra sekali. Pasangan yang sanat sepadan. Hatinya mengakui.
“Mujurlah. Kau okay tak ni, ‘Aisy?” Diperhatikan wajah ‘Aisy yang
seakan hilang dalam dunianya sendiri.
“Aku.. aku okay. Kau jangan risau.” Ujar ‘Aisy tersekat-sekat.
Senyuman nipis diukirkan demi untuk meyakinkan Sakeena. Pada masa yang sama dia
cuba meyakinkan diri sendiri juga. Aku okay. Mesti okay.. Getus hatinya.
“Betul ni? Are
you sure?” Tanya Sakeena
berulang kali.
Entah kenapa hati Sakeena berat untuk mempercayai kata-kata ‘Aisy.
Biarpun beribu kali bibir ‘Aisy mengungkapkan yang dirinya tidak apa-apa,
tetapi ‘Aisy bukanlah seorang pelakon yang hebat dalam menyembunyikan keperitan
yang sedang dirasainya. Ternyata tempoh empat tahun masih tidak mampu membuang
beban derita yang terpaksa ditanggung selama ini.
“Betul aku tak apa-apa. Jomlah kita makan. Perut aku dah lapar
ni.” Nada suara ‘Aisy berubah ceria. Dia menguntumkan senyuman nipis sebelum
mengalihkan pandangan pada makanan yang sedang terhidang di atas meja. Sudu dicapai
dan laksa disuap ke dalam mulut. Walaupun seleranya bagaikan mati namun suapan
diteruskan jua.
‘Aisy langsung tidak menghiraukan renungan pelik Sakeena. Dia
tahu, di depan temannya itu dia tidak mampu untuk berselindung namun dia tidak
mahu bayangan Harris terus membelenggu ruang ingatannya.
“Kot iyapun dah lapar benar, tanggalkanlah dulu cermin hitam kau
tu. Laksa tu bercahaya sangat ke sampai silau mata kau?”
Sakeena ketawa kecil. Faham dengan kehendak temannya yang enggan
memanjangkan perbualan berkaitan Harris. Dia tidak mahu memaksa dan membuatkan
‘Aisy semakin terbeban.
“Nak buat macam mana. Aku kalau nampak laksa Penang ni, memang tak
pandang kiri kanan dah.” Balas ‘Aisy sambil turut ketawa kecil menyembunyikan
kesilapan diri. Cermin mata hitam yang menutupi anak matanya yang berwarna
coklat ditanggalkan dan diletakkan di tepi.
Suasana dibiarkan sepi. Hanya kedengaran bunyi sudu dan garpu yang
berlaga dengan pinggang kaca. Sengaja Sakeena memberikan waktu untuk ‘Aisy
menenangkan dirinya.
***
‘Aisy membalas lambaian Sakeena sebelum melangkah masuk ke balai
berlepas. Kakinya bergerak pantas ke kaunter pemeriksaan imigresen. Agak leka
berbual dengan Sakeena sehinggakan tidak sedar waktu untuk menaiki pesawat
semakin hampir. Mujurlah pengumuman yang berkumandang menyedarkan dirinya
daripada terlewat.
Perpisahan selama empat tahun membangkitkan pelbagai cerita dan
gossip yang ingin dikongsi. Apatah lagi Sakeena memang seorang penglipur lara
yang hebat. Tidak kering gusi dia mendengar bicara sahabatnya itu.
Sekurang-kurangnya kehadiran Sakeena menemaninya petang itu berjaya membuang
bayangan Harris daripada terus menghantui benaknya.
Langkahnya dibesarkan apabila melihat hampir semua penumpang telah
bergerak memasuki perut pesawat.
“Selamat petang, puan.” Ucap pramugara menyambut kedatangannya
dengan senyuman manis.
“Selamat petang.” ‘Aisy turut membalas senyuman itu sambil
menundukkan kepalanya sedikit.
Setelah selesai urusan pemeriksaan tiket ‘Aisy melangkah ke arah
tempat duduknya berpandukan arah yang ditunjukkan pramugara tadi. Dia
melepaskan lelah sebaik melabuhkan duduk di kerusi penumpang. Tali pinggang
keselamatan dipakai. Perkara pertama yang akan dilakukan setiap kali dia
menaiki penerbangan tanpa perlu menunggu arahan daripada atendan penerbangan.
Matanya melilau sekeliling. Masih banyak kerusi yang kosong tidak
terisi menandakan tidak ramai penumpang dalam penerbangan petang itu. Begitu
juga kerusi di sebelahnya. Sekurang-kurangnya keadaan itu memberikan sedikit
kebebasan untuknya bergerak. Maklum sajalah, berapa sangatlah keluasan tempat
duduk di kelas ekonomi itu.
‘Aisy menyandarkan badannya mencari keselesaan. Dia menarik nafas
dalam. Kedua-dua belah tangan yang sudah dibasahi peluh digenggam erat. Kelopak
matanya dipejamkan rapat sambil mulut terkumat-kamit membaca doa menaiki
kenderaan. Menghilangkan rasa cuak yang mula bertandang. Rasa fobia yang
terpaksa ditempuhinya setiap kali menaiki kapal terbang.
‘Aisy membuka mata apabila menyedari kerusi di sebelahnya telah
diduduki penumpang. Sebaik dia menoleh kepalanya ke sebelah kanan, pandangannya
sekali lagi disapa wajah Harris. Kenapa wajah putih lelaki itu juga yang
menjelma ke mana-mana saja dia pergi?
Pandangannya dikalihkan ke depan. Dia menepuk kedua belah pipinya
dengan telapak tangan. Seolah-olah ingin menyedarkan dirinya ke alam nyata. Dan
bila dia berpaling ke kanan sekali lagi, bayangan itu tidak juga hilang. Parah!
“Apa khabar, ‘Aisy?” Lelaki itu menyapa tenang. Tidak pula menoleh
ke arah ‘Aisy.
Gegendang telinga ‘Aisy jelas menangkap suara garau itu. Tidak
berubah langsung. Barulah dia sedar, bukan pandangan matanya yang menipu. Bukan
juga fikirannya yang berhalusinasi. Semuanya adalah realiti. Harris benar-benar
berada di depannya kini!
“Aa..awak buat apa kat sini?”
Sapaan Harris tidak dijawab sebaliknya dibalas dengan pertanyaan
spontan. Matanya memandang Harris tidak berkelip.
Meletus tawa kecil daripada mulut Harris. Wajahnya beriak tenang.
“Abang rasa semua orang dalam flight ni ada sebab yang sama kenapa mereka
berada di sini.” Bisik Harris perlahan. Senyuman sinis jelas tersungging di
tubir bibirnya seolah-olah memerli ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Dia melarikan pandangannya ke luar jendela
pesawat. Pasti lelaki itu sedang mentertawakan kebodohannya. Arghhh…kenapa
secepat ini dia harus dipertemukan dengan lelaki ini? Itu pun di dalam pesawat
berkelas ekonomi. Bukankah lelaki berpengaruh seperti Harris sepatunya duduk di
kelas perniagaan? Jika tadi dia masih berpeluang meloloskan diri daripada
Harris tetapi kini mana mungkin dia mampu untuk melarikan diri keluar dari
perut pesawat. Apatah lagi kapal terbang sudah mula bergerak perlahan ke
landasan pelepasan.
‘Aisy menjeling sekilas ke arah Harris yang sedang memberikan
perhatian terhadap pramugari yang sedang tangkas melakukan demonstrasi
keselamatan. Dasar lelaki memang pantang jika dihidangkan dengan makhluk Tuhan
yang cantik dan seksi di depan mata. Apatah lagi perempuan yang berdahi licin.
‘Aisy menggumam jengkel di dalam hati.
Harris tiba-tiba menoleh ke arahnya. Sepantas itu juga ‘Aisy
mengalihkan pandangan ke arah lain.
“So, where have you been for the last four years?”
Pertanyaan Harris lama dibiarkan sepi. Langsung dia tidak
mengendahkan pandangan Harris yang sedang merenung setiap inci wajahnya dari
sisi.
“Nowhere…” ‘Aisy menjawab malas seolah-olah ingin menutup
pertanyaan lanjut daripada lelaki itu.
“Tak baik seorang isteri menipu suaminya sendiri. Berdosa..”
Bulat mata ‘Aisy memandang Harris. Berdesing telinganya tatkala
mendengar perkataan ‘isteri’ yang keluar dari mulut lelaki itu. Begitu mudah
melafazkan kata seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka
berdua sebelum ini. Semudah itu Harris melupakan apa yang telah terjadi.
“Minta maaf Encik Umayr Harris Tan Sri Hakim. Saya bukan lagi
isteri sesiapa.” Sengaja ‘Aisy menekankan perkataan ‘bukan’ walaupun sebenarnya
dia sendiri tidak yakin dengan kata-katanya itu. Ego membuatkan dia menuturkan
kenyataan yang dia sendiri tidak pasti.
Tetapi bukankah Harris sendiri yang telah membuang jauh dirinya
sebagai seorang isteri. Di saat dia sepatutnya dilindungi seorang suami,
dirinya dicampak keluar dari mahligai mewah milik lelaki itu. Di kala
sepatutnya dia dibelai dengan kasih sayang seorang suami, Harris hanya menghadiahkan
tubuhnya dengan sepak terajang dan cacian. Dia bagaikan seorang wanita yang
langsung tiada maruah apabila selayaknya dilayan seperti seekor kucing kurap.
Mengenangkan itu semua, hatinya pedih dan sakit.
“Dan untuk pengetahuan Puan Rahadatul ‘Aisy Hilmi, talak berada di
tangan suami. Seingat akal abang yang masih waras ini, abang tak pernah
ceraikan ‘Aisy.” Tegas dan padat bicara Harris. Namun riak wajah itu masih
tenang. Bijak mengawal emosinya.
‘Aisy menelan liur pahit. Empat tahun lalu, Harris dengan angkuh
telah memintanya untuk menunggu surat cerai melalui peguam yang dilantik
Harris. Memang surat yang dimaksudkan tidak pernah sampai ke tangannya. Apatah
lagi ketika itu dia terlalu sibuk dengan segala urusan persiapan berkaitan
pengajiannya ke luar negara. Langsung dia tidak pernah ambil peduli untuk
bertanyakan perihal Harris termasuklah urusan penceraiannya. Pada waktu itu,
apa yang ada dalam fikirannya hanyalah dia ingin segera terbang ke bumi
England. Ingin ditinggalkan dan dikuburkan segala memori pahit bersama lelaki
itu.
“Apa yang awak mengarut ni?” Soal ‘Aisy sedikit gugup.
Harris hanya ketawa sinis. Dia tahu keyakinan ‘Aisy mula goyah.
“Abang tak mengarut, sayang. ‘Aisy masih isteri abang yang sah.
Masih hak abang. Dan abang nak ‘Aisy kembali ke rumah kita. Hidup bersama
abang. Cukuplah empat tahun abang izinkan ‘Aisy pergi jauh daripada abang.”
Pujukan Harris seakan-akan menjerut leher ‘Aisy. Permainan apakah
yang sedang diatur Harris ini? Masih tidak puas lagikah lelaki ini menyeksanya
dulu?
“Awak dah lupa ingatan agaknya.” ‘Aisy menjeling tajam ke arah
Harris. Dia menghentikan kata-katanya untuk melihat reaksi Harris. Namun wajah
Harris masih kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi, menambahkan rasa sakit di
hati.
“Tapi saya takkan lupa apa yang awak dah putuskan empat tahun
lepas. Ingatan saya ini masih segar saat awak menghalau saya keluar dari hidup
awak. Awak jelik dengan diri saya yang kotor ini. Malah memandang keturunan
saya pun awak jijik.” Sambung ‘Aisy menghamburkan satu persatu bicara keramat
yang pernah dilafazkan Harris suatu waktu dulu. Kata-kata pedih itu kembali
terngiang-ngiang di cuping telinganya bagaikan pita rakaman. Air mata yang mula
bertakung di tubir mata ditahan. Dia tidak boleh menangis!
Riak wajah tenang Harris sedikit berubah. Terkesan juga hatinya
dengan bicara yang meniti di bibir ‘Aisy. Sedar dirinya telah banyak melakukan
kekhilafan pada ‘Aisy. Khilaf kerana dulu dia tidak pernah menghargai kehadiran
‘Aisy sebagai seorang isteri. Dia menarik nafas panjang sebelum menyusun kata.
“Maafkan abang, sayang. I
was wrong about you. Abang tahu abang silap. Tapi berilah abang peluang
untuk tebus semua kesalahan abang. Please,
come back into my life.”
‘Aisy mencebik. Rayuan Harris langsung tidak berbekas di hatinya.
Sebaliknya hanya menambahkan rasa bengkak di hati. Apatah lagi dengan ungkapan
sayang yang kerap meniti di bibir lelaki itu, membuatkan telinganya seperti
bernanah.
“Tak mungkin!” Putus ‘Aisy sambil menggelengkan kepalanya berulang
kali. Tidak semudah itu untuk dia memaafkan dan melupakan apa yang telah
dilakukan Harris. Lelaki itu telah merampas satu-satunya anugerah terindah yang
pernah hadir dalam hidupnya. Tidak cukup dengan itu, dirinya kini hilang
kesempurnaan sebagai seorang wanita.
“Saya tak cukup baik nak maafkan awak, Harris. Kembali hidup
dengan awak, that the last
thing I will do. Takkan jadi kenyataan. Not
even in your dream. And don’t you dare to call me sayang!” Suara ‘Aisy
sedikit meninggi. Nafasnya turun naik menahan rasa sebal yang terbuku di hati.
Puas dia dapat menuturkan kata-kata sinis itu.
Biar Harris sedar yang dia bukan lagi seorang wanita yang lemah.
Tidak sekali-kali dia akan menyerah dan tunduk mengalah dengan pujuk rayu
lelaki itu. Kembali hidup bersama Harris seolah-olah merelakan dirinya
terpenjara di dalam sangkar emas yang berduri. Indah mungkin hanya pada
pandangan mata orang luar yang melihat tetapi sengsara dan derita yang
ditanggung hanya dia yang merasainya. Cukuplah sekali dia pernah terseksa dan
terluka kerana Harris.
Harris terdiam menelan setiap bait bicara yang dilontarkan ‘Aisy.
Jelas kelihatan kedua-dua belah rahang lelaki itu bergerak-gerak menahan rasa.
“Well, we will see.” Ringkas tutur Harris seakan memberi
amaran. Lelaki itu menghadiahkan senyuman sinis.
‘Aisy mendengus geram. Dia mengalihkan pandangannya ke luar
tingkap pesawat. Tiada guna dia terus membalas kata-kata Harris untuk
memanjangkan pertikaman lidah di antara mereka. Yang penting dia perlu
bertindak untuk menghentikan permainan Harris. Hanya satu perkataan yang ligat
bermain di kotak fikirannya. Penceraian! Ya, dia tidak boleh tunggu lama. Dia
akan berjuang untuk mendapatkan haknya. Haknya untuk bebas daripada cengkaman
Harris.
Pengumuman kapten juruterbang yang meminta anak pesawat bersiap
sedia untuk berlepas bagai menyelamatkan keadaan. Lampu di dalam kapal terbang
dipadamkan tanda bersedia untuk melakukan penerbangan.
‘Aisy membetulkan duduknya. Enjin kuat pesawat yang menderum
membuatkan jantungnya berdegup pantas. Perbualan tegang dengan Harris sebentar
tadi langsung tidak mampu mengatasi rasa fobianya. Aerophobia, perasaan takut
ketika menaiki penerbangan. Tiba-tiba
dia merasakan tangan sejuknya digenggam kemas.
“Let me ease your fear, sayang.” Harris berbisik lembut di
telinga ‘Aisy sambil mengemaskan genggaman. Cukup rapat sehingga ‘Aisy dapat
merasakan desah nafas lelaki itu.
“I don’t need your help.” Gumam ‘Aisy menahan suara.
Tangan Harris yang melingkar kemas di celah jari-jemarinya cuba
dilepaskan. Namun usahanya sia-sia. Mana mungkin kudrat wanitanya mampu melawan
tenaga seorang lelaki angkuh seperti Harris. Sudahnya dia terpaksa membiarkan
tangannya berada dalam genggaman lelaki itu. Beralah tak bermakna kalah.
Dalam diam Harris tersenyum menang. Ibu jarinya mengusap perlahan
belakang tangan ‘Aisy. Dia pasti akan dapat menawan kembali hati ‘Aisy. Sekeras
mana hati isterinya, pasti akan dilembutkan. Sepetah mana kata yang meniti di
bibir comel itu, pasti akan didiamkan. Dia sudah bersedia memulakan misinya.
Sudah lama dia menunggu saat ini. Senyumnya semakin lebar tatkala mengingati
segala perancangan yang telah disusun rapi. Harris yakin dia akan berjaya dan
‘Aisy tidak akan pergi jauh dari hidupnya lagi!
bagus... so smooth wlupun sedikit clithe.. menarik...
ReplyDeleteowhh... sy baru je jumpa blog ni dan hasilnya sya mmg tertarik dgn permulaan cerita
ReplyDeleteCerita ini memang menarik
ReplyDeletebest la citer ni.. sy bru tgk drama dia ep. 6...tk sbr nk tgu ep 7..tu trus cr novel dia..bc online.. πππ
ReplyDeletebest la citer ni.. sy bru tgk drama dia ep. 6...tk sbr nk tgu ep 7..tu trus cr novel dia..bc online.. πππ
ReplyDeleteBest sgt. Tahniah
ReplyDeleteBest sgt ..Harris so sweet walaupun agak tegas pd mulanya...Gud job & tahniah kpd penulis....
ReplyDeleteBab 32 mcm mna...
ReplyDeleteEmmm...sedapp
ReplyDeleteStory is the best RIDHYA IMAN
ReplyDelete