Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday 18 September 2014

Kalau Aku Cinta - Bab 7

        Usai berbuka puasa, Arianna hanya memerap di dalam bilik. Sementara menunggu Affan dan keluarga mertuanya selesai menunaikan solat terawih di masjid, dapatlah dia merehatkan diri sekejap. Melepaskan lelah setelah berhempas pulas menyiapkan hidangan berbuka tadi. Tubuh yang keletihan dicampur dengan emosi yang terdera dek penangan Affan menjadikan dirinya bertambah lelah. 
        Arianna merebahkan tubuh di atas tilam empuk milik Affan. Sungguh selesa bila dia dapat baring di atas katil canggih yang lengkap dengan fungsi urutan itu. Affan memang punya cita rasa yang tinggi. Jadi tidak hairanlah jika tatarias bilik tidur lelaki itu persis hotel lima bintang.
        Mengenangkan tingkah Affan, hati Arianna mendongkol geram. Hari ini percuma saja dia dikenakan dan dimalukan Affan berulang-kali di hadapan keluarga mertua. Sungguh bijak suaminya itu mengambil kesempatan ke atas dirinya. Terngiang-ngiang perbualannya dengan Puan Rose ketika di dapur tadi.
        “Sedap Anna masak semua lauk kegemaran Affan tu. Macam tulah isteri yang baik. Pandai Anna tambat hati suami,” puji Puan Rose dengan bibir yang tersenyum bangga.
        “Lauk kegemaran abang Affan?” Arianna angkat wajah. Tangannya yang sedang mengelap pinggan terus terhenti.
         “Hmmm…Affan tu kalau hari-hari makan nasi berlaukkan kari pun tak apa. Tambah lagi kalau lauk kari tu memang kena dengan selera dia. Berpinggan-pinggan dia boleh habiskan nasi macam tadi tu.” Ramah Puan Rose bercerita sambil tangannya lincah mencuci pinggan kotor di dalam singki.
        “Tapi abang Affan cakap lauk kari tu lauk favourite mama dan papa.”
        Arianna mengetap bibir. Patutlah berbuka tadi Affan bukan main berselera menjamah makanan. Siap menambah nasi sampai tiga kali.
        “Affan cakap macam tu?” soal Puan Rose. Sebelah keningnya naik.
        Arianna angguk sekali.
        “Hmmm..sebab tulah abang Affan minta Anna masakkan lauk kari tu. Ikan merah masak lemak cili padi tu pula katanya kegemaran tok wan,” balas Arianna berterus-terang.  
        “Budak bertuah. Nakal tak habis-habis si Affan ni. Sajalah tu dia gunakan kami semua supaya Anna masak lauk-lauk kegemaran dia tu,” omel Puan Rose sambil menggelengkan kepalanya perlahan.
        Arianna diam tidak membalas. Senang-senang Affan telah menggula-gula dirinya. Demi menutup rasa geram yang bermukim di hati, dia kembali menyambung kerja mengelap pinggan mangkuk.
        Puan Rose menjeling Arianna yang sedang ralit dengan kerjanya. Biarpun wajah itu sentiasa mekar dengan senyuman manis, tetapi dia dapat rasakan senyuman itu kadang-kadang seperti dipaksa. Ingin dia menebak apa yang sedang bersarang di jiwa menantunya itu, tetapi dia bukanlah ahli nujum yang mampu meneka. Biarpun jauh di dasar hati, nalurinya dapat merasakan hubungan anak dan menantunya yang dingin.
        “Anna bahagia dengan Affan?”
        Arianna terpempan dengan pertanyaan Puan Rose. Langsung terhenti pergerakan tangannya. Dia mendongak wajah.
        “Errr…Anna…” Kata-katanya mati. Dia menelan liur yang tiba-tiba terasa pahit. Serba-salah. Andai dia jujur memberikan jawapan, pasti mama mertuanya  kecewa. Namun untuk menipu dia juga tidak berdaya.
        “Anna sedang cuba untuk bahagia, mama.” Sebuah senyuman yang kaku terukir di bibirnya.
        Bahagia. Perkataan itu sebenarnya sudah lama hilang dalam kamus hidupnya. Bahagianya sudah lama dibawa pergi bersama Lutfan. Lelaki yang pernah dicintainya separuh mati. Dan kerana cinta lelaki itu jugalah yang membuatnya tersungkur rebah berkali-kali.
        Puan Rose senyum kelat. Jawapan selamat yang diberikan Arianna menambah gusar di hatinya. Sebuah keluhan panjang meletus di bibir.
        “Affan ada berkasar dengan Anna lagi? Ada dia pukul Anna?” selidik Puan Rose.
        Sejak kejadian tempoh hari, pelbagai andaian negatif yang sering bermain di fikirannya. Entah kenapa Affan boleh hilang pertimbangan pada malam itu. Kalaulah tamparan anaknya itu hinggap di wajah Arianna, dia sendiri tak tahu macam mana hendak menjawab kata dengan Puan Zainab, ibu Arianna merangkap teman baiknya sendiri.
        “Tak...tak ada.” Laju Arianna menggelengkan kepala.
        “Betul tak ada? Anna terus-terang je dengan mama,” desak Puan Rose separuh percaya.
        “Betul, mama. Abang Affan tak pernah berkasar dengan Anna. Marah Anna pun tak pernah. Kejadian hari tu sebenarnya kali pertama dan kali terakhir abang Affan macam tu. Silap Anna juga,” tekan Arianna merujuk hari di mana dia nyaris ditampar Affan. Dia tidak boleh salahkan Affan sepenuhnya. Dia juga silap kerana mencabar kesabaran Affan sebagai seorang suami.
        Puan Rose menarik nafas lega. Syukurlah. Sekurang-kurangnya Affan belum pernah menyakiti tubuh Arianna. Jauh di dasar hati, dia berdoa semoga anak dan menantunya itu dapat bertahan dalam menongkah arus dugaan berumah tangga.
        “Anna sayangkan Affan?” duga Puan Rose seraya menyudahkan bilasan pinggan yang terakhir. Tuala kering dicapai untuk mengelap tangannya yang basah.
        Arianna terkesima. Lama dia berjeda membiarkan pertanyaan itu sepi tanpa jawapan. Sukarnya dia untuk membalas soalan yang melibatkan hati dan perasaan.
        “Anna tak sayangkan Affan ke?” Sekali lagi soalan itu diulang. Jelas suara Puan Rose bernada kecewa. Riak Arianna yang teragak-agak sudah cukup memberinya jawapan.
        Arianna menekur wajah. Dia mengetap bibir kuat. Kedua-dua belah tangannya bercantum resah.
        “Anna…Anna sedang cuba, mama.” Arianna bersuara perlahan.
        Puan Rose menarik nafas dalam sebelum menghembus perlahan. Wajah resah Arianna direnung lama.
        “Mari kita duduk sekejap. Mama ada perkara nak berbual dengan Anna,” ajak Puan Rose. Dia melabuhkan duduk di atas bangku bulat.
        Arianna mengangguk. Tanpa banyak bicara dia hanya menurut ajakan Puan Rose.
        “Anna…” Puan Rose membawa jari-jemari Arianna ke dalam genggamannya. Belakang tangan menantunya itu diusap perlahan. Menyalurkan rasa kasih seorang ibu.
        “Mama tahu perkahwinan ini bukan mudah untuk Anna dan Affan. Yalah, bukan senang nak cari kesesuaian untuk hidup dengan seseorang yang datang dari latar belakang yang berbeza dan gaya hidup yang tak sama. Lagilah Anna dan Affan tak pernah kenal dan bercinta sebelum kahwin. Nak pupuk rasa kasih dan sayang tu mungkin ambil masa sikit.” Puan Rose menghentikan bicaranya seketika untuk melihat reaksi Arianna yang diam tak berkutik.
        “Apa yang penting, Anna jangan mudah mengalah. Apatah lagi awal-awal kahwin ni memang banyak dugaan yang datang. Masing-masing masih tercari-cari titik persamaan antara satu sama lain. Jadi, Anna kena banyak bersabar dan bertolak ansur dengan kerenah Affan. Mama tahu anak mama tu banyak kekurangan. Tapi mama harap sangat Anna dapat terima Affan dan sayangkan Affan selayaknya sebagai suami Anna,” sambung Puan Rose penuh harapan. Setiap hari dia tak pernah jemu mengutus doa. Semoga rumah tangga Affan dan Arianna kekal sehingga ke syurga hendaknya.  
        Arianna tertunduk diam. Dia tak sanggup menentangi mata Puan Rose yang nampak berharap itu. Sungguh berat permintaan mama mertuanya biarpun dia tahu sebagai isteri sewajarnya itulah yang patut dilakukannya. Tetapi rasa sayang itu bukan boleh dipaksa-paksa.
        “Boleh, Anna?”
        Arianna telan liur. Dia tidak mampu menipu perasaannya sendiri tetapi untuk merumitkan lagi keadaan dia juga tidak mahu.
        “Anna cuba, mama.” Sudahnya hanya itu yang mampu diungkap bibirnya. Dia akan cuba sebagaimana dia sedang cuba untuk menerima hakikat perkahwinannya ini.   
        “Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci. Melalui perkahwinan manusia diizinkan ALLAH untuk berkasih sayang secara halal. Sesuatu perkahwinan itu terjadi atas iradat ALLAH. Ia bukan sekadar untuk menyatukan dua hati, tapi perkahwinan itu sendiri dapat melahirkan kebahagiaan dan ketenangan,” nasihat Puan Rose lembut.
        Arianna resah sendiri dengan bicara Puan Rose. Bagaimana dia dapat merasa bahagia sedangkan kebahagiaannya ada bersama orang lain? Bagaimana dia mampu hidup tenang kalau sehari-hari jiwanya begitu kosong dan sepi?   
        “Perkahwinan ini…macam mana Anna nak rasa bahagia dengan perkahwinan ini, ma?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari mulut Arianna.
        Puan Rose tersenyum nipis.
        “Reda. Bila hati Anna reda dengan perkahwinan ini, insya-ALLAH jiwa Anna akan jadi lebih tenang untuk menyemai bahagia bersama Affan.”   
        Sinar matanya merenung Arianna dengan penuh kasih. Kali pertama melihat Arianna dulu, hatinya sudah terpaut sayang. Sikap hormat pada orang tua yang dimiliki Arianna memikat hatinya. Disebabkan itulah dia segera mengikat janji dengan Puan Zainab untuk menjodohkan Arianna dengan Affan. Puan Zainab juga terus bersetuju. Berkenan sangat dengan Affan katanya.
        “Macam mana nak pujuk hati ni untuk reda?” soal Arianna perlahan.
        Memujuk hati untuk menerima jodoh ini bukanlah semudah menuturkan kata di bibir. Bukannya dia tak pernah cuba untuk menerima Affan. Tetapi dia tak mampu mengubah pintu hatinya yang terlebih dulu mencintai lelaki lain. Sungguh sukar untuk dia membuang bayang-bayang Lutfan.
        “Percaya dengan kasih sayang ALLAH. Anna kena ingat, ALLAH yang tetapkan jodoh Anna dengan Affan. Perkahwinan Anna dan Affan ni terjadi bukan atas kemahuan mama, papa, tok wan mahupun ayah atau ibu semata-mata. Kami mungkin jadi penyebab atau pembuka jalan tapi perkahwinan ni takkan terjadi tanpa izin dan restu dari ALLAH. Anna fahamkan kata-kata mama ni?” ujar Puan Rose tenang.
        Arianna mengangguk sekali. Dia faham. Cukup faham dengan percaturan Ilahi. Tetapi dia hanyalah manusia biasa yang sering tewas dengan kehendak akal dan hati. Sakitnya bila takdir dan kehendak hati tak bergerak seiring.
        “Bahagia itu perlu dicari dan diusahakan. Sama ada dari pihak Anna atau Affan, dua-dua kena sama-sama belajar untuk mencari bahagia dalam rumah tangga. Masing-masing kenalah saling menerima dan memberi. Dan sebagai isteri, tugas Anna adalah untuk membahagiakan suami. Begitulah juga sebaliknya. Boleh?” tanya Puan Rose penuh makna.
        “Huh?” Arianna panggung wajah.
        “Boleh Anna janji dengan mama untuk bahagiakan anak mama tu?” Redup pandangannya menikam anak mata Arianna.
        “Insya-Allah, ma.” Arianna melarikan pandangan ke arah lain. Berat bibirnya untuk berjanji. Tetapi untuk mengecewakan wanita yang telah dianggap seperti ibunya sendiri itu, dia juga tidak berdaya.
        “Anna kena pandai tawan hati Affan tu. Orang lelaki ni, ada dua cara kita nak tambat hati dia. Anna tahu tak?” soal Puan Rose memancing perhatian Arianna.
        Arianna menggelengkan kepala. “Apa dia, ma?”
        “Satu, tawan perut dia melalui masakan. Dan satu lagi, tawan nafsu dia semasa di bilik tidur. Kalau bab memasak tu mama boleh ajar Anna macam mana nak tambat selera Affan tapi kalau bab bilik tidur tu kena pandai-pandai sendirilah. Tak ada praktikal tapi banyak buku Anna boleh rujuk,” beritahu Puan Rose sambil tergelak kecil.
        Mendengarkan kata-kata mama mertuanya itu, wajah Arianna terasa berbahang. Mula dia rasa tak senang duduk. Sungguh dia tak pernah terfikir sehingga sejauh itu.
        “Ehemm…rancak mama berborak dengan isteri Affan ni. Bergosip ke?” tegur Affan yang sedang berdiri di muka pintu dapur sambil berpeluk tubuh.
        “Kus semangat. Budak bertuah ni! Terkejut mama.” Puan Rose mengurut dada. Entah sejak bila anaknya itu berada di situ, langsung tak disedarinya.
        “Mama gossip apa dengan isteri Affan?” Sambil tersenyum nipis, Affan mengulang pertanyaannya. Malam itu dia segak dalam baju Melayu berwarna kuning dan berkain pelekat. Wajahnya tampak segar dengan rambut yang masih basah.
        “Gossip apa bulan-bulan puasa ni. Itu hal orang perempuan. Mana boleh beritahu kamu. Yang kamu ni menyibuk dekat dapur ini buat apa?” balas Puan Rose.
        “Affan datang ni sebab nak panggil mama, solat Maghrib berjemaah sekali. Papa dah lama tunggu dengan Tok Wan dalam bilik solat tu,” beritahu Affan.
        “Ya ALLAH. Ralit sangat berborak dengan Anna sampai lupa mama tak solat Maghrib lagi. Dahlah...mama nak masuk bilik dulu.” Kalut Puan Rose melangkah ke tingkat atas, meninggalkan hanya Affan dan Arianna di ruang dapur.
        Arianna bingkas bangkit. Renungan tajam Affan membuatkan dia jadi tak senang duduk. Dia benci dengan panahan mata helang itu. Terasa seperti dirinya seperti sedang diimbas luar dan dalam.
        “Abang tak tahu pun yang Rie pandai masak lauk kari.” Suara Affan tenang. Selama ini kesibukannya di pejabat membuatkan dia jarang menjamah masakan di rumah. Lagipun dia tak pernah sangka Arianna pandai memasak. Kalau dia tahu hari-hari dia sanggup ulang-alik dari pejabatke rumah semata-mata untuk menjamah air tangan isteri.
        “Dah abang tak tanya. Takkan Rie nak cerita pula,” jawab Arianna menutup gugup di hati.
        “Sedap lauk Rie masak tadi. Semuanya kena dengan selera abang terutamanya lauk kari tu,” puji Affan.
        “Hmmm…”  Dia jadi kekok dengan pujian Affan. Lalu dipalingkan tubuh agar membelakangi lelaki itu. Pura-pura sibuk mengelap permukaan meja kabinet yang dah sedia bersih itu.
        “Lepas ni, Rie masak untuk abang setiap hari ya. Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam semuanya abang nak dari air tangan isteri abang ni,” pinta Affan lembut.
        “Huh?” Arianna terkesima. Dia panggung wajah.
        “Boleh kan?”
        “Errr…” Arianna tiada jawapan.
        “Lepas Raya nanti, abang nak Rie masak untuk abang. Sebelum abang pergi kerja, Rie siapkan sarapan. Kemudian tengah hari abang akan balik rumah untuk makan tengah hari. Malam abang akan makan di rumah kalau abang tak ada dinner atau appointment dengan client. Dan untuk bulan puasa ni, Rie masakkan lauk sahur dan berbuka. Lepas ni abang tak nak lagi beli lauk kedai,” atur Affan.
        “Tapi…” Arianna telan liur dengan kata-kata Affan. Dia mencari-mencari alasan untuk menolak tetapi satu pun tak muncul di benak fikirannya.
        “Betul cakap mama tadi. Langkah pertama Rie kena tawan hati abang melalui masakan dulu. I think we should give a try for the sake of our marriage.
        Kata-kata Affan sekali lagi membuat Arianna terkedu. Mesti lelaki ini mengintip perbualannya tadi.
        “Pasal tips di bilik tidur tu, maybe you should consider to move in my bedroom after this, hmmm? Tak payah pindah balik ke bilik tidur Rie tu.” Ada senyum sinis yang herot di pinggir bibirnya. Melihat kegusaran Arianna, semakin galak dia mengusik si isteri.
        “Rie tak…”
        “Abang nak solat dulu,” pangkah Affan sebelum sempat Arianna meningkah. Cepat-cepat dia berpaling untuk berlalu ke bilik solat. Namun dia tiba-tiba menghentikan langkah dan memusingkan tubuh ke arah Arianna.
        “Masak lauk kari setiap hari untuk abang. Abang rasa abang dah jatuh cinta…dengan lauk kari Rie tu. Mana tahu selepas ni abang jatuh cinta dengan tukang masaknya pula.” Affan kenyit mata sebelum dia kembali meneruskan langkahnya.
        Dan abang juga akan buat Rie jatuh cinta dengan abang. Bisik hatinya.
        Arianna mengetap bibir kuat. Bicara Affan yang terakhir itu benar-benar membuat jiwanya jadi tidak keruan. Hatinya semakin dihambat resah.

         

Tuesday 9 September 2014

Kalau Aku Cinta (AMS 2.0) ~ Bab 6

Arianna tersenyum bangga melihat lauk-pauk yang dihidangkan di atas meja makan. Puas hatinya bila berjaya menyiapkan hidangan berbuka puasa untuk dijamu pada keluarga mertuanya.
Aroma ikan merah masak lemak cili padi dan kari ikan ala-ala mamak semerbak memenuhi ruang makan. Kecur air liurnya. Perutnya yang kosong tiba-tiba berdondang sayang minta diisi. Seharian dia tidak menjamah sebarang makanan. Hanya sempat dialas dengan air kosong. Padahal dia tak boleh berpuasa kerana uzur syarie.
“Sakit pula perut ni,” omel Arianna sendirian.
Dia menggosok perutnya yang terasa pedih. Terasa pedih sampai ke hulu hati. Sebelum penyakit gastriknya teruk menyerang, lebih baik dia jamah sesuatu untuk mengalas perutnya.  
Arianna kerling jam yang dipaku di dinding. Masih ada lebih kurang sejam lagi sebelum waktu berbuka. Sudahlah sahur tadi dia hanya menjamah sebiji kurma saja. Itu pun sekadar nak mengaburi mata Affan. Segan kalau Affan tahu yang dia tak berpuasa.
“Susu semalam ada lagi,” bisik Arianna perlahan. Dia berjingkit-jingkit melangkah ke dapur.
Sekotak susu segar yang dah luak separuh dikeluarkan dari peti ais. Perlahan-lahan dia menutup pintu peti ais. Kemudian dia berjingkit lagi untuk mencapai mug yang tersusun di atas rak keluli tahan karat. Matanya meliar ke kiri kanan.
“Hisshhh...kenapa gaya aku dah macam pencuri pula ni?” Arianna senyum lucu sambil menuangkan susu ke dalam mug.
Bukannya ada sesiapa di dapur waktu itu. Affan pun baru saja masuk ke dalam bilik solat. Usai membantunya memasak, bergegas suaminya itu menunaikan solat Asar yang sudah berada di penghujung waktu.
“Bismillahirrahmanirrahim.” Arianna teguk susu sejuk sedikit demi sedikit. Setiap kali diserang gastrik, minuman itulah yang menjadi penawar untuk meredakan sakitnya itu. Sempatlah perutnya bertahan sebelum tiba waktu berbuka nanti.
“Sayang…” sapa Affan yang tiba-tiba muncul di belakang.
Spontan susu yang berada di dalam mulut Arianna tersembur keluar. Dia terbahak-bahak kuat. Susu yang masih banyak berbaki di dalam mug segera dituang ke dalam singki. Dia tak mahu Affan tahu yang dia tak puasa.
What’s wrong with you?” soal Affan. Dia bergegas mendapatkan Arianna yang sedang membelakangi dirinya.
Uhuk…nothing.” Suara Arianna tenggelam timbul dalam batuk yang ditahan. Salur kerongkongnya terasa perit. Cepat-cepat dia mengelap mulutnya dengan belakang tapak tangan.
“Kenapa buang susu tu?” Affan sudah berada di sebelah Arianna. Bulat matanya melihat singki yang penuh dengan air susu.
“Ooo…Rie tak puasa ya? Bibirnya menyungging senyum senget kemudiannya.
“Errr…” Arianna terpempan. Merah padam wajahnya.
You’re blushing, honey.” Senyuman di bibir Affan semakin melebar. Ada tawa kecil yang meletus.
“Biasalah orang perempuan kalau tak boleh puasa.” Arianna memberanikan diri menentang anak mata Affan. Cuba menutup rasa malu yang beraja di hati.
“Abang suka tengok Rie malu-malu macam ni. Rie nampak...”
Suara Affan meleret. Sengaja dia biarkan ayat itu tergantung. Dia rapatkan bibirnya ke telinga Arianna sebelum menyambung bicara seterusnya.
“…menggoda sangat.”
Gulp. Arianna telan liur yang terasa kelat tiba-tiba. Kata-kata Affan hampir saja membuatnya tersedak buat kali kedua. Bahunya yang bersentuh dengan dada Affan biarpun dalam keadaan berlapik mengundang rasa yang tidak keruan di jiwa. Dia tahu Affan sengaja mencipta sentuhan itu. Sengaja merapatkan kedudukan mereka.
“Abang tak tahu pula pipi dan hidung pun minum susu juga.” Serentak ibu jari Affan menyapu lembut kesan susu yang melekat di pipi Arianna.
“Comotnya isteri abang ni.” Tangannya merayap ke hidung Arianna pula. Dia merenung dalam ke dalam anak mata si isteri.
Bagaikan orang bodoh, Arianna hanya mampu diam terkaku. Dia tenggelam dalam panahan mata helang Affan. Oksigen bagaikan tersekat dalam salur darah. Sesak nafasnya kalau terus berlama begini.
Ting Tong!
Deringan loceng yang berbunyi nyaring menyedarkan Arianna dari terus larut dalam renungan tajam itu. Spontan dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya keadaan itu dapat meredakan sedikit degupan jantungnya yang berlari laju sedari tadi.
“Errr…papa, mama, tok wan dah sampai agaknya. Biar Rie bukakan pintu.” Arianna mencari peluang untuk melepaskan diri.
“Tak apa. Abang bukakan. Rie minum susu tu dulu. Abang tahu perut Rie kosong tak jamah apa-apa pun sejak semalam. Dahlah sahur tadi Rie cuma alas dengan kurma je,” tegah Affan seraya memuncungkan mulutnya pada kotak susu segar di atas kabinet dapur.
“Lain kali kalau terkantoi minum depan abang, janganlah sampai nak buang susu tu dalam singki pula. Susu tu tak bersalah tau, sayang.” Affan kenyit mata sebelum tubuh itu menghilang ke ruang tamu.
“Malunyaa…” Arianna mengetap bibir. Dia menepuk kedua belah pipinya untuk mengurangkan rasa kebas di wajah.
Kedengaran suara papa, mama dan tok wan riuh di ruang tamu. Cepat-cepat Arianna menghabiskan baki susu di dalam kotak. Usai membersihkan mug, dia bergegas ke ruang tamu.
“Anna…cucu tok wan. Anna apa khabar?” Ceria suara Hajah Habsah menyapa Arianna.
“Alhamdulillah. Tok wan sihat?” Arianna tunduk menyalami wanita yang dipanggilnya tok wan itu. Dengan penuh hormat dia mengucup tangan tua itu.
“Tok wan macam inilah. Dah nama pun orang tua. Lagilah bila berjalan jauh macam ni. Tubuh mudah penat,” balas Hajah Habsah.
Kalau tak kerana aduan menantunya si Rose yang risaukan rumah tangga Affan dan Arianna yang baru setahun jagung itu, tak adanya dia sanggup meredah perjalanan jauh dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Biarpun menaiki kapal terbang tapi kepenatan itu tetap terasa.
“Kesian tok wan. Tak apa, malam nanti Anna urut tok wan ya.”
“Tok wan memang suka sangat kalau Anna boleh urutkan tubuh tok wan ni.” Hajah Habsah ketawa senang dengan tawaran Arianna. Cucu menantunya itu memang pandai mengurut. Kadang-kadang sampai terlena dibuatnya dengan penangan urutan lembut Arianna.
“Okey! Sebagai balasan Anna nak tidur dengan tok wan malam ni. Nanti bolehlah tok wan bacakan bedtime story untuk Anna, boleh?” Arianna angkat kening. Dia suka mendengar kisah dulu-dulu yang sering diceritakan Hajah Habsah. Lagipun bolehlah dia jadikan alasan mengurut tok wan untuk mengelak daripada tidur sebilik dengan Affan malam ini.
“Tok wan boleh je tapi suami Anna tu tak kisah ke? Boleh ke dia tidur kalau bantal peluk dia ni tak ada?” usik Hajah Habsah. Mata tuanya melirik ke arah Affan. Sengaja ingin menduga reaksi si cucu.
 “Mana boleh, tok wan.” Cepat Affan memangkah. Bukan senang dia nak dapat peluang tidur sebilik dengan Arianna. Lagipun dia dah rancang sesuatu untuk berbaik-baik dengan isterinya itu.
Arianna bulat mata dengan jawapan selamba Affan. Melihat papa, mama dan tok wan yang dah senyum lain macam membuatkan dia malu sendiri.
“Kedekut betul cucu tok wan ni. Tapi tak apa. Tok wan faham perasaan pengantin baru macam kamu tu.” Hajah Habsah berterusan menyakat.
Affan sengih selamba. 
Arianna ketap bibir. Dia bangkit menyalami Encik Ridhwan dan Puan Rose untuk menutup rasa malunya. Tangan mama dan papa mertuanya itu dikucup lembut.
“Macam mana kehidupan Anna dengan Affan? Okey?”
Arianna panggung wajah dengan pertanyaan Puan Rose.
“Errr…okey,” jawab Arianna perlahan. Sempat dia mengerling sekilas ke arah Affan yang sedang menyandarkan tubuh pada dinding. Suaminya itu nampak kacak dengan tangan yang dimasukkan ke dalam kedua-dua belah poket seluar jeans.
“Affan layan Anna dengan baik tak? Dia ada memaksa Anna lagi? Atau ada dia buat tak senonoh pada Anna?” soal Puan Rose bertubi-tubi.
Arianna terkedu. Tidak tahu mana satu soalan yang harus dijawabnya dulu.
“Mama, kenapa tanya macam tu?” Affan membantah tak puas hati dengan wajah yang serius. Namun tak lama bila senyuman senget tersungging di pinggir bibir kemudiannya.
“Kalau buat tak senonoh pun apa salahnya. Dah halal,” gumam Affan perlahan.
Cukup perlahan namun masih mampu didengar Arianna. Bulat matanya memandang Affan dengan wajah yang merah padam. Malu dan bengang bercampur-baur menjadi satu. 
“Awak ni, Rose. Kenapa tanya macam tu pada Anna? Macam awak tak kenal Affan tu. Takkanlah dia nak buat bukan-bukan pada isteri sendiri,” sampuk Encik Ridhwan.
“Saya kenalah tanya, abang. Anna ni bukan sekadar menantu kita, tapi anak perempuan tunggal kawan baik saya. Kalau apa-apa jadi pada Anna, apa saya nak jawab dengan Nab?” ujar Puan Rose menyatakan kebimbangannya.
Dia jeling Affan tajam. Matanya menyaksikan sendiri telapak tangan Affan yang hampir mencecah ke pipi Arianna. Kalau bukan disebabkan dia menjerit masuk campur, mahunya berbirat merah pipi putih Arianna.
“Awak ni berlebih sangat risaunya,” sela Encik Ridhwan tenang.
“Tu haa...jari Anna tu, kenapa berbalut pula?” Puan Rose bersuara kuat. Semua mata dihalakan ke arah Arianna yang sedang terpisat-pisat.
“Errr…tadi masa kupas bawang, terkena pisau.” Arianna menjelaskan.
“Kenapa boleh cuai sangat ni? Mari sini tok wan tengok.” Hajah Habsah menggamit Arianna melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Sikit je ni, tok wan. Abang Affan dah tolong letak ubat tadi,” beritahu Arianna serba-salah.
See, ma. I do care for my wife.” Affan tenang mempertahankan diri.
Dia tahu sejak mama melihat pertelingkahannya dan Arianna tempoh hari, mama bagaikan hilang kepercayaan padanya. Silapnya kerana gagal mengawal baran. Tapi barannya takkan terusik kalau Arianna tak mencabar keegoannya. Sudahnya hampir sepanjang malam dia dan Arianna terpaksa menadah telinga mendengar khutbah Puan Rose.
You better do.” Puan Rose memberi amaran.
Affan hanya mampu ukir sengih dengan peringatan keras daripada Puan Rose.
You know, ma? Balutan dekat jari Anna tu Affan yang buatkan. Pakej lengkap dengan extra tender loving kiss lagi.”
Kata-kata Affan yang terakhir itu membuatkan Arianna hampir tercekik air liur sendiri. Bulat matanya memandang Affan yang sedang tenang berpeluk tubuh. Sempat lagi lelaki itu mengenyitkan mata kepadanya.
“Astagfirullahalazim. Apa kamu cakap, Affan? Kiss?” Puan Rose beristighfar panjang sambil mengurut dada.
Hajah Habsah dan Encik Ridhwan sudah tersenyum simpul. Arianna pula sudah merah padam wajahnya.
“Kamu jangan pandai-pandai nak buat yang bukan-bukan dengan isteri kamu siang-siang hari dalam bulan puasa ni.” Intonasi suara Puan Rose naik satu oktaf.
“Mana ada. Affan cuma cium je,” balas Affan lambat-lambat. Sengaja.
“Kamu tahu tak cium isteri siang-siang hari di bulan puasa ni makruh hukumnya. Dari ciuman tu macam-macam boleh jadi,” pangkah Puan Rose laju.
“Affan tak tahu pula yang cium ja…”
“Astagfirullahalazim.” Sekali lagi Puan Rose memotong kata-kata Affan.
“Takkan ustaz tak pernah ajar kamu apa yang boleh dan tak boleh buat dalam bulan puasa?” Puan Rose mengurut dahi. Semput dadanya mengenangkan kedangkalan Affan.
“Anna pun tak tahu juga ke?” Puan Rose pandang pula Arianna yang terkedu.
“Anna…bukan..errr..Anna tahu tapi...” Tersekat-sekat suara Arianna menjawab pertanyaan Puan Rose. Tidak tahu bagaimana untuk menyusun ayat.
 “Mama tahulah kamu berdua ni baru kahwin. Rasa teruja tu tengah hangat membara lagi. Tapi sebagai orang Islam kita hidup berlandaskan hukum. Dalam bulan puasa ni, nafsu tu kenalah control sikit. Siang hari je pun. Malam kamu berdua nak summersault atas katil pun tak apa,” tegur Puan Rose telus tanpa berselindung. Dia menarik nafas dalam.
Arianna menundukkan wajah. Perasaan malunya sudah bertingkat-tingkat menguasai diri.
“Lain kali Anna jangan biarkan je Affan buat yang bukan-bukan pada Anna. Runsing betul mama,” pesan Puan Rose. Dia pandang Arianna dengan riak risau.
“Err...” Arianna kehilangan kata. Dia mahu bersuara tapi entah kenapa akhirnya dia hanya mampu mengangguk seperti seorang pesalah. Dalam hati dia menahan geram pada Affan. Dia tahu Affan sengaja membuatkan mama mertuanya salah sangka. Bergurau tak kena tempat.
Affan meledakkan tawa kuat tiba-tiba. Semua mata memandangnya pelik.
“Mama ni janganlah overacting sangat. Affan cuma cium jari Anna je. Takkan itu pun salah?”
“Hah?” Kata-kata Affan membuatkan Puan Rose tercengang.
“Affan cuma letakkan bibir ni dekat tempat yang berbalut tu je. Bukannya cium dekat tempat lain,” terang Affan dalam tawa yang masih bersisa.
Encik Ridhwan yang menjadi pemerhati turut ketawa kecil. Hajah Habsah pun sama. Cuma Arianna yang masih merah wajahnya menahan malu dan geram yang bercampur-baur.
“Kenapa kamu tak cakap awal-awal?” Wajah Puan Rose berubah cemberut.
“Dah mama tak tanya,” jawab Affan mudah.
“Budak bertuah! Kamu sengaja nak kenakan mama kan? Abang tengoklah anak kita ni,” adu Puan Rose pada suami yang duduk di sisinya.
 “Dah awak juga yang cepat melatah. Yang awak terus potong cakap Affan tadi tu kenapa?” tegur Encik Ridhwan lembut.
“Kamu pun Affan, dah tahu mama kamu ni cepat melatah, lagi nak cakap macam tu. Mujur mama kamu ni tak ada sakit jantung. Kalau tak, ada peluang kamu nak dapat mak tiri baru nanti.” Lelucon Encik Ridhwan. Dia tidak berpihak pada sesiapa.
“Apa, abang?”
“Tak ada apa. Esok abang teringin nak makan ikan tenggiri.” Encik Ridhwan memesongkan kata.
Puan Rose menjeling separuh percaya. Kemudian jelingannya itu berpindah ke wajah Affan.
“Dah jadi suami orang pun nakal tak berubah juga. Ingatkan dah matang lah sikit,” marah Puan Rose tak berpuas hati.
“Affan matang bila dengan Anna je. Nak-nak kalau dalam bilik.” Sungguh selamba Affan mengungkapkan kata-kata nakal itu.
Arianna dah tak mampu untuk berlama di situ lagi. Dah tak tahu nak sorok wajahnya ke mana dengan senyum simpul yang tersungging di bibir keluarga mertuanya.
“Err…papa, mama, tok wan. Duduklah dulu ya. Anna nak ke dapur. Nak siapkan apa yang patut. Kejap lagi dah nak berbuka ni.” Tanpa menunggu jawapan, cepat-cepat Arianna memajukan langkahnya ke dapur.
“Kamu ni Affan, cakap tu tak berlapik langsung. Tengok tu Anna dah malu. Kesian dia.” Suara Hajah Habsah yang disulami dengan gelak kecil masih sempat ditangkap telinga Arianna.
“Depan mama, papa dan tok wan je dia malu. Kalau dengan Affan, tak malu pun.”
Ya Allah. Arianna mengetap bibir geram dengan kata-kata suaminya itu. Kalaulah dia punya kuasa saat ini untuk diamkan mulut Affan, sudah lama dia sumbatkan mulut itu dengan cili yang paling pedas di dunia.
Di dapur, Arianna menyandarkan tubuhnya di dinding kabinet. Dia menarik nafas dalam untuk menyabarkan hati. Hari itu dia dapat melihat satu sisi baru dalam diri Affan. Sungguh dia tak sangka lelaki yang dianggapnya seorang yang serius itu rupanya nakal dan tak tahu malu.
P/S Secara rasminya AMS telah ditukar tajuknya kepada Kalau Aku Cinta...