Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Showing posts with label Aku Memilih Setia. Show all posts
Showing posts with label Aku Memilih Setia. Show all posts

Thursday, 4 September 2014

Aku Memilih Setia - Bab 5 (Version 2.0)

Arianna gelisah di dapur. Sejak beberapa minit yang lalu, dia hilang tumpuan terhadap kerja yang sedang dilakukannya. Serba tak kena bila sepasang mata milik Affan ralit memerhati gerak-gerinya. Panahan mata itu bagaikan sang helang yang sedang mengawasi mangsa.
“Nak masak lauk apa dulu ni?” Affan menyoal.
“Errr…masak lemak…eh tak..rasanya baik I masak kari ikan dulu,” balas Arianna menggelabah.
Dia bergerak ke peti ais. Cuba menyembunyikan rasa gugup. Seekor ikan merah yang sudah siap diproses dikeluarkan dari ruang sejuk beku.
 “Astaghfirullah.” Arianna urut dada bila tiba-tiba Affan sudah berdiri di sebelah peti ais berpintu dua itu.
“Sayang nak abang tolong bersihkan ikan ni ke?”
Affan sembunyi senyum dengan tingkah si isteri yang canggung semacam. Arianna nampak comel sekali bila kalut begitu. Semakin Arianna gelisah, semakin galak matanya merenung wanita itu.
“Tak perlu. I dah bersih ikan ni.” Arianna menggeleng. Dia bergerak ke arah singki yang berada di tengah-tengah ruang dapur. Affan turut membuntuti langkahnya.
“Biar abang tolong defrost ikan ni,” ujar Affan menawarkan bantuan. Pantas saja tangannya mengambil ikan merah dari tangan Arianna.
Arianna terkebil-kebil memandang Affan yang sedang memasukkan ikan yang beku itu ke dalam ketuhar gelombang mikro. Perubahan sikap Affan yang begitu ketara membuatkan dia kembali teringatkan kata-kata lelaki itu sebentar tadi. Benarkah Affan begitu bersungguh-sungguh mahukan mereka hidup sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenar?
“Kenapa?” Affan angkat kening bila sedar yang dirinya sedang diperhatikan.
“Err…tak…tak ada apa-apa.” Cepat-cepat Arianna mengalihkan pandangan ke arah lain. Janganlah Affan fikir yang bukan-bukan.
“Sayang tahu tak yang sayang ni comel sangat?” usik Affan. Dia gelak nipis. 
Arianna telan liur dengan pujian Affan. Gelak lelaki itu membuatkan hatinya semakin dihambat gelisah. Dia bukan buta untuk menilai tingkah Affan. Suaminya itu terang-terang sedang berusaha untuk berbaik dengannya. Membuatkan dia makin tidak senang.
Dari ekor mata, dia melihat kelibat Affan yang sedang mendekatinya. Untuk menutup keresahan, dia mencapai sebilah pisau dari dalam laci. Beberapa ulas bawang merah diambil untuk dikupas kulitnya.  
“Nak abang tolong?” Affan berdiri rapat di sebelah Arianna. Matanya dihalakan pada selonggok bawang di atas kabinet dapur.
“Tak payah.” Arianna geleng kepala sambil tangannya mula mengupas bawang.
“Kejap, sayang.” Suara Affan menghentikan pergerakan Arianna.
“Kenapa?” Arianna panggung wajah.
“Boleh tak pegang pisau ni elok-elok sikit?” tegur Affan kemudiannya.
“Apa yang tak kenanya?” Arianna kerut dahi. Dia sudah terbiasa memegang pisau dengan mata pisau menghadap ke arahnya. Memang begitu cara dia memegang pisau selama ini.
“Ibu jari ni jangan letak depan mata pisau. Bahaya. Patutnya sayang kena pegang pisau macam ni,” ujar Affan sambil membetulkan letak duduk pisau di tangan Arianna.
Sentuhan tangan Affan bagaikan renjatan elektrik yang mengalir ke seluruh tubuh Arianna. Sesak nafasnya menahan degupan jantung yang mula berentak tidak sekata. Dia tak selesa dengan kedudukan mereka yang terlalu rapat itu.
“Errr…I dah biasa pegang pisau macam tu.” Nada suara Arianna bergetar. Dia jarakkan sedikit tubuhnya.
“Mana ada orang kupas bawang macam tu. Bahaya, sayang.”
“Tapi I tak biasalah.” Arianna pusing balik mata pisau menghadap ke arahnya.
“Hishhh…degil betul sayang ni. Ikut macam abang ajar ni,” suruh Affan. Sekali lagi dia membetulkan kedudukan pisau di tangan Arianna. Kali ini telapak tangannya terus melekap pada tangan Arianna.
 “I nak kupas bawang macam mana kalau you pegang tangan I?” Arianna mendengus.
“Sorry. Tersyok pula pegang tangan isteri abang ini. Maklumlah bukan selalu dapat pegang.” Affan sengih sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Dia  melepaskan pegangan.
Arianna menjeling Affan sekilas. Biarpun kekok, dia terpaksa juga mengupas bawang mengikut cara Affan. Malas hendak mendengar omelan suaminya lagi. Kalau macam ini entah bilalah dia boleh siap memasak.  
“Hati-hati, sayang. Pelik je abang tengok sayang pegang pisau tu. Nampak kekok je,” pesan Affan seraya melabuhkan duduk di atas bangku bar yang betul-betul menghadap Arianna. Tangan diletakkan di bawah dagu. Matanya terus memerhati si isteri melakukan kerja.
Arianna diam tidak membalas. Dia tetap meneruskan kerjanya.
“Jaga jari tu, sayang. Dekat sangat dengan mata pisau tu.” Affan menegur bimbang.
Arianna menarik nafas dalam. Sungguh dia rimas bila setiap pergerakannya menjadi perhatian Affan. Ada saja yang mahu dikomen suaminya. Tak sangka rupanya lelaki yang dia sangka pendiam ini boleh tahan juga mulutnya bila dapat berkicau.
“You nak tolong I kan?” soal Arianna menahan rasa.
“Yup.” Affan mengangguk yakin.
Arianna bergerak semula ke peti ais. Dia mengeluarkan ubi kentang, kacang panjang, kubis dan lobak merah. Semua sayur-sayuran itu dilonggokkan di hadapan Affan.
“Boleh you potong semua sayur ni?” Arianna menghalakan jari telunjuknya ke arah sayur-sayuran tersebut.
“Boleh. Tapi…” Suara Affan meleret. Ada senyum nakal yang tersisip di tubir bibir.
“….what will I get in return?” sambung Affan menduga.
Arianna terkedu. Air liur yang ditelan terasa tersekat di celah kerongkong.
“Apa yang abang dapat kalau abang tolong sayang?” Sekali lagi Affan mengulang soalan. Kedua-dua belah keningnya dijongket nakal.
Arianna mengetap bibir. Dia jadi geram tiba-tiba dengan pertanyaan Affan yang seolah-olah sengaja nak memerangkapnya.  
“Pahala.” Tiba-tiba perkataan itu meluncur dari mulutnya.
“Apa dia sayang?” Affan bulat mata.
“You dapat pahala kalau tolong I. Itu pun kalau you betul-betul ikhlas,” sindir Arianna.
Meletus tawa besar dari bibir Affan. Dia menggeleng kepala separuh percaya. Dalam dia hendak menduga, akhirnya dia pula yang dikenakan Arianna.
“Good answer. Tapi itu bukan jawapan yang abang nak dengar dari sayang.” Dalam tawa yang masih bersisa dia mencuit hidung Arianna.
Arianna diam tidak membalas. Semakin menjadi-jadi perangai pelik Affan. Kemesraan yang ditunjukkan lelaki itu cukup melemaskannya.
“Sayang tahu tak apa yang abang nak in return?” soal Affan lembut. Cuba memancing bicara Arianna.
Arianna geleng kepala. Cekap tangannya mengupas bawang. Kali ini dia mengupas bawang dengan cara dia sendiri. Kalau ikut cara Affan mahunya berkurun baru selesai kerja yang mudah itu.
“Abang nak sayang,” bisik Affan perlahan.
Arianna tersentak. Tiga patah perkataan itu berjaya membuatkan perasaannya libang-libu tidak menentu. Tiga patah perkataan yang akhirnya berjaya membuatkan dia terhiris jarinya sendiri.
“Auchh…” Arianna menjerit sakit. Terlepas pisau tajam di tangannya.
 Bulat mata Affan memandang ibu jari Arianna yang berdarah. Pantas dia bangkit menerpa ke arah isterinya.
“Kan abang dah pesan tadi suruh sayang hati-hati,” gumam Affan. Tangan Arianna dipegang lembut.
“Tak apa. Sikit je ni.” Arianna menarik tangannya. Dia tak suka dengan getaran yang bermain di jiwanya setiap kali dia bersentuhan kulit dengan Affan.
“Biar abang tengok,” tekan Affan. Dia mengemaskan pegangan.  
“Banyak darah ni.” Affan mengambil beberapa helai tisu lalu ditekapkan pada bahagian jari Arianna yang terluka itu.
“Ssssss..” Arianna berdecit menahan sakit. Pedih.
“Tekan tempat luka ni. Abang nak ambil first aid,” suruh Affan sebelum susuk tubuh lampai itu hilang ke dalam bilik air. Beberapa ketika dia muncul semula dengan membimbit kotak putih berpalang merah.
“Mari abang letak ubat.” Affan menarik lengan Arianna.
“Tak apa..tak apa..I..boleh buat sendiri,” tolak Arianna. Layanan Affan buat dia rasa tak selesa. Apatah lagi untuk berada dalam jarak yang cukup dekat begitu.
“No…no. Biar abang yang tengok. Sayang duduk sini,” arah Affan sambil memimpin Arianna ke arah bangku.  
“Luka sikit je ni. I boleh letak ubat sendiri.” Arianna tetap menolak.
“Jangan degil boleh tak? Let me handle this. Now you just sit here.” Nada suara Affan naik satu oktaf. Dia menarik bangku berbentuk bulat itu untuk memberi ruang kepada Arianna melabuhkan duduk.
“I’ll be your good doctor. I promise,” sambung Affan.
Arianna terpaksa akur. Darah yang tidak henti keluar dari tempat luka membuatkan dia tidak kuasa lagi untuk menolak. Jarinya juga semakin kuat berdenyut. Akhirnya dia melabuhkan duduk di atas bangku berwarna merah itu.
“Good girl,” puji Affan persis memujuk anak kecil. Dia duduk melutut di depan Arianna. Kotak bantuan kecemasan yang diletakkan di atas lantai dibuka.
“Abang nak tengok luka dekat jari sayang ni,” beritahu Affan seolah-olah meminta kebenaran. Berhati-hati dia membuka tisu lembap yang hampir keseluruhannya sudah dibasahi  darah. Begitu teliti dia membelek luka di jari Arianna.
 “Dalam juga luka ni,” Affan mengambil kapas untuk mengelap sisa darah. Ditekapkan beberapa saat di tempat luka untuk mengurangkan pendarahan.
“Abang nak sapu iodin ni,” ujar Affan. Dia mengambil larutan Flavin dari kotak bantuan kecemasan.
Arianna angguk perlahan. Tiada sepatah kata yang mampu meniti di bibirnya. Hanya bebola mata yang berbicara memerhati gerak-geri Affan yang begitu tekun merawat luka di jarinya.
“Tahan sikit.” Kapas yang sudah dibasahkan dengan cecair berwarna kuning itu disapukan di tempat luka.
Arianna mengetap bibir menahan pedih.
“Sakit?” soal Affan. Wajah Arianna yang sedikit berkerut direnung dalam.
“Sikit je.” Arianna ukir senyum tawar. Cuba menyembunyikan rasa sakit. Dia tak mahu nampak cengeng di depan Affan. Jauh sekali untuk meraih simpati lelaki itu.
“Fuuhhh…” Affan meniup lembut jari Arianna yang terluka itu.
Arianna tergamam. Nafas hangat Affan yang menghembus lembut di jarinya mengundang satu perasaan yang cukup asing di hatinya. Sungguh dia bagaikan terpukau dengan keikhlasan yang terpancar di raut wajah tampan itu. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh juga dengan layanan Affan biarpun berkali-kali dia cuba menidakkan rasa itu.
“Sekarang abang nak balut jari ni.” Affan mengangkat wajah. Untuk beberapa saat, matanya beradu dengan anak mata coklat milik Arianna yang sedang tunak merenungnya.
“Errr..okey.” Bagaikan baru tersedar, Arianna kalut melarikan pandangan ke arah lain. Apa yang berlaku pada dirinya ini? Dia tak boleh terus hanyut dengan kebaikan Affan. Ada kesetiaan yang harus dipertahankan. Kesetiaan yang pastinya bukan milik Affan.
Affan menyembunyikan senyum sambil membalut jari Arianna dengan kain kasa. Dia sedar dengan kegelisahan Arianna. Jari-jemari Arianna yang sejuk cukup menggambarkan gelodak yang sedang bermain di jiwa isterinya itu. 
“Dah siap,” tutur Affan sebaik menyudahkan lilitan yang terakhir. Sempat dia menghadiahkan sebuah kucupan pada bahagian jari yang berbalut itu.
“Apa you buat ni?” Cepat-cepat Arianna menarik tangannya. Dia mendengus dengan tindakan Affan.
“Hai..nak cium jari isteri sendiri pun salah ke? Sayang tahu tak ciuman suami ni penawar. Mana tahu dengan ciuman abang tu cepat sikit jari sayang ni sembuh.” Affan berlelucon.
“Apa yang you merepek ni? Dahlah..I nak sambung masak,” sela Arianna menahan getar suara. Dia bangkit dari duduk untuk menyambung kembali kerjanya yang terhenti. Namun langkahnya mati bila tiba-tiba Affan menarik lengannya.
 “I’m expecting something in return from my lovely wife. A kiss, perhaps?” Affan pandang Arianna tajam.
Arianna telan liur dengan permintaan Affan. Cepat-cepat dia melepaskan tangan Affan yang melilit di lengannya. Dia berpaling membelakangi lelaki itu.
“Haihh…I guess the answer is no,” keluh Affan perlahan pada dirinya sendiri.
“At least a thank you would be nice too.” Affan menjeling Arianna. Ingin melihat reaksi si isteri.
Kata-kata Affan berjaya membuatkan Arianna memusingkan kembali tubuhnya menghadap Affan. Bibirnya bergerak-gerak untuk bersuara.
“Errr…terima kasih sebab you tolong I tadi,” ucap Arianna perlahan sedikit teragak-agak.
Affan ukir senyum. “My pleasure sayang. Abang sentiasa akan sambut kasih daripada isteri abang ni. Always.”  
Arianna tidak membalas kata-kata Affan. Sebaliknya dia terus menyambung kerjanya yang terhenti tadi.
“Tak payah masak. Nanti abang beli je semua lauk tu,” tegah Affan bila dia melihat Arianna yang sedang terkial-kial melakukan kerja dengan jari yang berbalut.
“Tak apa. I boleh masak lagi ni.”
“Nak masak macam mana dengan jari berbalut tu? Abang takut kalau luka tu melarat nanti. Lagipun tempat yang luka tu tak boleh selalu kena air. Mudah kena infection.” Risau Affan mengalahkan doktor.
Arianna mendengus. Entah kenapa dia rasa cukup terganggu dengan sikap Affan yang terlalu mengambil berat. Dia bukannya cedera parah pun. Cuma sebatang jarinya saja yang terluka.
“I boleh masak. Yang luka cuma ibu jari I. Bukannya sebelah tangan I ni patah pun,” bidas Arianna.
“Abang kata tak payah.” Affan sudah mengambil pisau yang berada di tangan Arianna. Bersungguh-sungguh dia mahu Arianna menghentikan kerjanya.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi. Sayang pergi je berehat dalam bilik. Semua ini biar abang yang kemaskan.”
Arianna mengetap bibir. Melihat Affan yang sedang bersungguh mengemas dapur, hatinya sekali lagi tersentuh. Seumur hidup dia tidak biasa dilayan begitu. Malah dia tidak mahu Affan melayannya sebaik itu. Tidak ada apa yang mampu dibalasnya untuk setiap kebaikan lelaki itu. Apa yang tinggal hanyalah sebuah kekecewaan. 
“Tolonglah jangan layan I macam ni.” Tanpa sedar dia mengungkapkan kata-kata yang separuh merayu itu. Matanya dah bertakung dengan mutiara jernih.
“Apa maksud sayang? Abang tak faham.” Affan angkat kepala. Berkerut dahinya memandang Arianna.
“Tolonglah jangan terlalu baik dengan I. I tak mampu….I takut…” Bicara Arianna mati tanpa noktah. Setitis air matanya jatuh membasahi pipi.
“Sayang, kenapa menangis ni?” Affan mampir ke arah Arianna. Bahu isterinya disentuh lembut lalu dihadapkan tubuh itu agar berhadapan dengannya.
Dengan mata yang basah, Arianna memandang wajah Affan yang penuh berharap itu. Bagaimana untuk dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya? Andai dia menceritakan tentang cinta dan kesetiaannya yang terlebih dulu dimiliki lelaki lain, mampu kah Affan menerimanya?
“I sakit hati sebab you tak bagi I memasak. Bukan you tak tahu tok wan tak suka makan lauk kedai. I takut tok wan marah I nanti.” Lain yang bermain di fikiran, lain yang dimuntahkan di bibir.
Tajam anak mata Affan singgah di wajah Arianna. Dia tahu Arianna sekadar berdalih. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan Arianna. Tok wan hanyalah sekadar alasan sang isteri untuk menutup tangis.
“Sorry, mungkin abang terlalu memaksa sayang.” Affan mengeluh perlahan. Mungkin juga Arianna terlalu terkejut dengan perubahan sikapnya. Langsung mengundang rasa takut di hati isterinya itu.
“Kalau sayang nak terus memasak, abang izinkan. Tapi tolong hati-hati guna pisau tu. Jaga jari yang luka tu jangan bagi kena air. Nanti lambat baik luka tu,” pesan Affan.
“Terima kasih.” Arianna mengesat air mata yang mengalir. Dia mengangguk perlahan.
Affan senyum nipis.
“Boleh I minta sesuatu dengan you?” Arianna bersuara. 
“Sure. Anything, sayang.”
Arianna tarik nafas dalam.
“Boleh tak lepas ni you jangan panggil I sayang,” pinta Arianna. Sepanjang hari ini, entah berapa ratus kali dia terpaksa menadah telinga dengan perkataan sayang yang diungkapkan Affan.
“Habis tu abang nak panggil apa?”
“Apa-apa je asal bukan sayang, darling, baby, manja atau apa-apa panggilan yang cheesy.” Arianna buat muka.
“Kalau macam tu abang panggil sweetheart, boleh?” Affan angkat kening.
“Tak boleh!” Laju Arianna memangkah. Matanya dibulatkan.
“Panggil je I Anna. Semua orang panggil I macam tu,” sambung Arianna.
Affan menggelengkan kepala. “Rie…I’ll call you Rie.”
“Rie?” Arianna buat muka pelik. Selama dua puluh enam tahun dia hidup di muka bumi ini, belum ada sesiapa lagi yang pernah memanggilnya dengan panggilan itu.
“I want to have the privilege of calling you something different yet special,” beritahu Affan penuh makna.
“Okey.” Arianna terdiam beberapa saat sebelum akhirnya dia mengangkat bahu. Sekurang-kurangnya ganti nama itu berkali-kali lebih baik daripada panggilan sayang.
 “Tapi dengan satu syarat.” Affan mengangkat jari telunjuknya separas dada sebelum dia kembali menyambung bicara.
“Selepas ini jangan guna you dan I bila bercakap dengan abang.”
“Nanti bila papa, mama dan tok wan sampai I tukar lah. Kan I dah janji tadi.” Arianna menggumam.
“Abang tak nak hanya depan papa, mama dan tok wan je Rie tukar panggilan tu. I want you to call me abang forever,” pinta Affan.
“Kenapa tiba-tiba nak tukar pula?” soal Arianna tak puas hati.
“Abang rasa macam dekat pejabat je kalau ber’I’ dan ber’you dengan sayang. You’re my soul mate not my officemate. You’re my life partner not my share partner.” Sinar mata Affan memandang tepat ke dalam anak mata Arianna.
Arianna terkedu.
“Boleh?” soal Affan meminta kepastian.
Arianna mengangguk juga akhirnya.
“Okey, starting from now, I’ll call you Rie. And you must call me abang. Promise?” Affan mengangkat sebelah tangannya tinggi.
“Promise,” balas Arianna.
Affan ukir senyum puas hati.
“Remember, that call only belong to me. Just me. Jangan sesekali benarkan orang lain panggil Rie. Abang tak suka berkongsi hak abang dengan orang lain.” Pandangan Affan berubah serius. Di sebalik kata-katanya itu dia mengharapkan Arianna mengerti. Sememangnya dia serius menerima Arianna sebagai isteri.


P/S

Buai laju-laju sampai pohon dara
Komen laju-laju kasi semangat penulis siap AMS segera


Wednesday, 27 August 2014

Aku Memilih Setia - Bab 4 (2.0)

“Sayang! Abang dah balik!”
Suara Affan yang melaung kuat dari arah bawah menyedarkan Arianna dari menungannya yang panjang. Jauh dia membawa fikirannya mengingati kenangan bila dia hampir saja mendapat tamparan sulung Affan. Kenangan yang menyebabkan hubungannya dan Affan yang sedia dingin menjadi semakin beku. Sebeku salji yang luruh pada musim sejuk di puncak Alps.
“Here you are. Patutlah abang cari kat dapur tak ada.” Tersembul wajah ceria Affan di muka pintu.
Arianna kaku di birai katil. Hanya sorotan matanya memerhati susuk tubuh Affan yang sedang mampir ke arahnya. Terkedu lidahnya dengan tingkah mesra Affan yang berubah tiga ratus enam puluh darjah itu. Tiba-tiba juga panggilan abang lancar meniti di bibir itu. Tersampuk hantu ke dalam perjalanan pulang dari pejabat tadi?
“Tak siap lagi ke kemas pakaian ni?” soal Affan lembut. Dia melabuhkan duduk di sebelah Arianna.
Bibir Arianna tetap membisu. Keramahan Affan bagaikan membunuh suaranya. Mana Affan yang selama ini begitu dingin dengannya? Lelaki di depannya ini seolah-olah bukan Affan yang dinikahinya tiga bulan yang lalu.
“Sayang nak abang tolong ke?” Affan bertanya lagi. Sengaja dia tak hiraukan pandangan pelik Arianna. Dia dah bertekad untuk memperbaiki hubungannya dan Arianna.
“Errr…tak apa,” balas Arianna akhirnya. Kepalanya menggeleng perlahan.
Dalam rasa gamam yang masih kuat menghurung perasaan, Arianna bangkit mengambil sebiji bagasi besar yang turut diheret dari biliknya tadi. Cadangnya dia mahu masukkan semua pakaiannya ke dalam bagasi itu. Cukuplah kalau bagasi itu menjadi almari pakaiannya buat sementara waktu.
“Sayang nak buat apa tu?” soal Affan sebaik Arianna membuka bagasi kelabu itu.
“Nak simpan baju-baju I,” beritahu Arianna.
“Kenapa masukkan semua pakaian dalam beg tu?” Tajam anak mata Affan memerhati tingkah Arianna yang sedang menyusun satu persatu pakaiannya ke dalam bagasi itu.
“I tak tahu nak letak semua ni dekat mana. Nanti kalau I sangkut sesuka hati you tak suka pula. So, I letak dalam beg je. Harap you tak kisah beg I ni menyemak dalam bilik you,” tempelak Arianna. Lincah tangannya mencapai sehelai baju kurung yang digantung pada penyangkut baju.
Affan menyembunyikan senyum. Dia tahu Arianna masih berjauh hati dengan sikap garangnya pada malam perkahwinan mereka. Sehingga ke hari ini isterinya itu masih tersangat dingin dengannya. Lama betul merajuk.
Sebenarnya bukan dia sengaja hendak berkira dengan Arianna. Dia tahu malam itu dia telah silap percaturan. Dek terlalu menurut rasa cemburu, dia hampir saja hilang pertimbangan. Cemburu yang hampir saja berjaya merobek ketenangannya.
Sepatutnya sebagai suami dia perlu lebih sabar. Sementelah dia menikahi seorang perempuan yang tak mencintainya. Sikapnya yang terburu-buru malam itu mudah saja mengundang kebencian Arianna. Seharusnya dia perlu perbetulkan kesilapannya sebelum hubungannya dan Arianna menjadi semakin pincang. 
“Compartment kat sebelah kiri wardrobe tu kosong. Letak jelah baju sayang kat situ,” pelawa Affan.
Pergerakan tangan Arianna terhenti. Dia pandang Affan beberapa saat sebelum kembali meneruskan kerjanya.
“Err…tak payahlah. I rasa lebih baik simpan dalam beg ni je. Buat sementara je pun. Nanti mudah I nak angkut balik ke bilik tidur I.” Arianna menolak.
“Abang tak suka bilik tidur abang bersepah dengan bagasi ni. Rimas. Dalam bilik ni semua barang perlu berada di tempat yang sepatutnya. So, pakaian yang bersih sepatutnya disusun kemas dalam wardrobe. That’s my rule,” tutur Affan. Laju bibirnya mencipta alasan.
“Errr…bukan ke you tak suka kalau barang you diusik sesuka hati? Nanti bersepah pula wardrobe you yang kemas ni.” Arianna memulangkan paku buah keras.
Affan memang agak cerewet dengan kebersihan dan kekemasan bilik. Pantang kalau mana-mana ruang dalam bilik tidurnya bersepah. Hidup sebumbung dengan lelaki ini membuatkan dia sedikit sebanyak tahu dengan kepantangan lelaki ini. Nanti tak fasal-fasal dia disindir lagi.
“I’ve learnt that the principle of a marriage is sharing. Perkahwinan itu satu perkongsian hidup antara lelaki dan perempuan. Jadi apalah sangat kalu abang kena berkongsi wardrobe dengan sayang. Malah abang sanggup kongsi segala-galanya yang abang ada dengan isteri abang ini including myself.” Bicara Affan lembut sambil mengenyitkan matanya.    
Arianna terkedu lagi. Banyak sungguh kata-kata Affan yang berjaya mendiamkan lidahnya hari ini. Malah mengganggu gugah ketenangannya.
“Come, I’ll help you,” tambah Affan seraya bangkit. Dia mengambil beberapa helai blouse milik Arianna yang terdampar di atas katil, lalu menyangkut nya satu persatu di dalam almari.
“I boleh buat sendiri,” halang Arianna. Dia cuba mengambil blouse yang berada di tangan Affan.
Kekok benar dirasakannya dengan perubahan drastik Affan. Keramahan dalam layanan Affan buat dia rasa tidak selesa. Dia lebih suka Affan yang sebelum ini beku dan dingin. Dia lebih suka Affan yang tidak pernah ambil peduli dengan kehadirannya selama ini.
“Tak apa. Biar abang tolong. Cepat sikit siap. Lagipun nanti sayang nak kena masak lagi.” Affan berkeras hendak membantu.
Aksi tarik menarik blouse berlaku untuk beberapa saat yang kesudahannya menyaksikan Arianna yang terpaksa mengalah. Affan ukir senyum. Lincah tangannya menyusun segala pakaian Arianna ke dalam almari.
“Err…yang tu biar I yang buat,” tegah Arianna bila melihat Affan dengan selamba mula menyusun pakaian dalam miliknya ke dalam laci. Cepat-cepat dia merampas pakaian yang berada di tangan Affan itu. Wajahnya dah merah padam.
“Kenapa? Sayang malu?” Affan senyum simpul. Matanya sedikit nakal merenung Arianna. Dia suka melihat wajah Arianna yang sedang menahan malu itu. Comel.
“Errr…I tak biasa.” Arianna sedikit gugup. Belum pernah seumur hidupnya membenarkan lelaki melihat apatah lagi menyentuh barangan yang sangat peribadi bagi dirinya itu.
“Selepas ni kena biasa-biasakanlah,” balas Affan. Seluar kecil yang berada di tangan Arianna diambilnya semula sebelum dia menyambung kata.
“Macam abang cakap tadi. Suami isteri sepatutnya share everything. So, apalah sangat if you share this little ‘thing’ dengan abang kan?” Affan angkat sedikit seluar itu. Dia kembali menyambung kerjanya yang terhenti. Menyusun satu persatu pakaian kecil Arianna dengan teratur.
“Apa yang tak kena dengan you ni, Affan?” soal Arianna. Matanya memandang Affan penuh curiga.
“Maksud sayang?” Affan mengerutkan keningnya. Hampir bertaut kedua belah kening lebat itu.
“Kenapa tiba-tiba you layan I macam ni?” Arianna mendengus perlahan.
“Layan macam mana?” Soalan tetap berbalas soalan.
“Layanan yang macam sekarang inilah. Tak pernah-pernah you ringan tulang nak menolong I sebelum ini,” terang Arianna.
Selama ini apa saja perkara yang melibatkan dirinya, Affan tidak pernah ambil pusing. Urusan mengemas, membasuh, menjemur, melipat dan memasak semuanya dia sendiri yang selesaikan setiap hari.
“Kenapa? Salah ke?” pangkah Affan. Sengaja dia hendak menduga sang isteri yang jelas tampak resah di depannya.
“Tak salah. Cuma…” Arianna jadi bungkam. Dia kehilangan kata. Memang dia akui apa yang Affan lakukan itu tidak salah. Cuma dia rasa janggal bila tiba-tiba Affan melayannya dengan baik. Dia tak mahu harapkan apa-apa dari perkahwinan ini.  
“Salah ke kalau abang nak tolong isteri abang sendiri dalam urusan rumahtangga? Dekat luar sana berapa ramai suami yang malas tolong isteri. Sayang sepatutnya bersyukur dapat suami yang rajin macam abang ni.” Affan gelak nipis di hujung kata-katanya.
“But your sudden change ni buat I rasa…pelik,” luah Arianna. Dia tak suka bila Affan seolah-olah mahu merapatkan jurang kemesraan antara mereka berdua.   
“Pelik?” Sebelah kening Affan terangkat.
“You sendiri tahu what we’re going through in our marriage. I lebih selesa kalau you layan I macam biasa. Macam you layan I sebelum ini. Let it just be that way. And please stop berabang-sayang dengan I,” pinta Arianna dingin. Tiba-tiba nak berabang dan bersayang dengan dia tak tentu fasal.
Affan senyum kelat. Cepat-cepat dia menepis rasa hati yang sedikit terkilan dengan permintaan Arianna. Dia menutup laci apabila selesai memasukkan semua pakaian kecil Arianna. Kemudian, dia bangkit menghampiri tubuh lampai si isteri.
“What’s wrong with that call?” soal Affan. Lama anak matanya merenung Arianna.
“I tak selesa you panggil I macam tu.” Arianna membalas. Cepat-cepat dia melarikan pandangan ke arah lain. Renungan mata Affan cukup merimaskannya. Buat dia rasa seram sejuk saja. 
Affan menarik nafas panjang.
“Look, sayang. Sekejap lagi papa, mama dan tok wan dah nak sampai. Kenalah kita biasakan diri panggil macam tu. Nanti depan mereka tak adalah kita tersasul.” Affan memberi alasan.
“Selama ini kita ber’I’ dan ber‘you’ depan dia orang tak ada masalah pun,” bantah Arianna tak puas hati. Spontan dia memuncungkan mulutnya sedikit.
Affan telan liur dengan reaksi Arianna yang nampak sedikit manja itu. Tajam anak matanya memanah pada bibir mungil yang sedikit basah itu. Namun cepat-cepat dia alihkan pandangannya ke arah lain. Tidak mahu terus terbuai dalam keasyikan. Dia berdeham beberapa kali.
“Tak salah kala kita ubah sesuatu untuk jadi lebih baik kan? Terutamanya kalau kebaikan itu untuk perkahwinan kita sendiri. Dah lebih tiga bulan kita kahwin, sayang. Sampai bila kita nak jadi orang asing dalam rumah tangga kita sendiri?” Bicara Affan sekali lagi membuatkan Arianna gamam. Tiba-tiba dia rasakan Affan cukup petah bermain dengan kata-kata.
“Sayang tak rasa penat ke bila terpaksa berpura-pura setiap kali di depan papa, mama, ibu, ayah dan tok wan?” Pertanyaan Affan mengundang keluhan di bibir Arianna.
“Awak tahu kita tak ada pilihan kan? Kita berdua terperangkap dalam perkahwinan yang tak pernah membahagiakan ini,” tukas Arianna.
Demi untuk membahagiakan kedua orang tuanya, dia bersetuju untuk terikat dengan ikatan pernikahan ini. Affan juga senasib dengannya. Terpaksa akur dengan pilihan keluarganya.
 “Bahagia itu kita boleh cari. Takdir dah menolak kita untuk hidup bersama sebagai suami isteri. Kenapa perlu menongkah arus sedangkan kita boleh hidup bahagia dengan takdir ini? Dah sampai masanya kita fikirkan masa depan perkahwinan kita ni, sayang.” Affan pandang Arianna dengan sepenuh harapan.
“Maksud you?” Dadanya mula berdegup laju. 
“Abang nak kita sama-sama bawa hubungan kita ini ke satu fasa yang baru. Buka hati itu untuk abang. Biar abang pimpin tangan sayang ini. Kita bersama-sama melangkah ke mana saja arah takdir bawa kita.” Affan bersuara perlahan seraya menundukkan sedikit wajahnya menghampiri Arianna. Tangan sejuk Arianna digenggam erat.
Bulat mata Arianna membalas pandangan Affan yang kelihatan begitu tenang di depannya. Genggaman hangat Affan memakukan bicaranya.
“Kita mulakan hidup sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenar,” bisik Affan rapat ke telinganya. Tangan Arianna dibawa rapat ke dada. Dia mahu Arianna dengar bisikan hatinya. Bisikan hatinya yang mahukan Arianna. Mampukah isteriya itu mengerti apa yang hatinya rasa?
“You..you merepek apa ni, Affan?” Suara Arianna bergetar gugup.
“Abang..no more you or Affan. Just abang.” Ibu jarinya menekap bibir merah Arianna. Diusap dua ulas bibir sensual itu.
“You...ingat sikit ni bulan puasa.” Arianna memalingkan wajah. Dia menarik tangannya yang berada di dalam genggaman Affan. Pegangan terlepas, namun tiba-tiba tangan kiri Affan memaut pinggangnya pula. Menariknya rapat ke dalam pelukan.
“Abang ingat, sayang. Kalau abang tak ingat, dah lama abang tarik sayang ke katil tu,” usik Affan. Semakin nakal dan berani. Dia merapatkan pelukan.
Arianna telan liur kelat. Kalau tak difikirkan yang jeritannya hanyalah sia-sia di dalam rumah besar ini, sudah lama dia menjerit sekuat hati untuk menyelamatkan diri.
“Lepaslah, Affan. I nak pergi masak ni.” Arianna bersuara rimas. Dia berusaha merungkaikan pelukan. Entah angin apa yang merasuk Affan sehingga berkelakuan pelik begitu.
“Abang takkan lepas selagi sayang tak tukar panggilan tu. Call me abang first,” ucap Affan separa mengugut.
“Nanti bila papa, mama dan tok wan sampai, I tukar lah,” dalih Arianna.
“Tak boleh. Abang nak dengar sekarang,” desak Affan.
Arianna mendengus. Melayan degil Affan, memang tidak akan ke mana. Hanya menambah rasa bengang di hati.
“I janji I akan tukar panggilan tu bila dia orang dah sampai nanti. Now, please lepaskan tangan you tu. I nak kena masak ni,” pujuk Arianna separuh merayu.
“Janji?”
“Janji.” Arianna angguk sekali sambil membuat isyarat pengakap.
“Okey. I take your word, sayang.” Affan melepaskan pegangannya. Jari telunjuknya mencuit hidung mancung Arianna.
Arianna menarik nafas lega. Buru-buru dia memanjangkan langkah ke arah pintu bilik. Bimbang kalau-kalau Affan sekali lagi bertindak di luar batas. Namun sempat juga dia berpaling ke belakang untuk menghadiahkan kerlingan yang cukup tajam buat Affan.
“Sayang!” Affan memanggil.
Langkah Arianna mati di muka pintu. Sebelah keningnya dijongket. Menunggu bicara Affan.
“Kita sama-sama cari bahagia dalam rumah tangga kita ya. Abang dah tak sabar nak bina keluarga dengan sayang. You, me and ana-anak,” pesan Affan. Dia membalas jelingan Arianna dengan kenyitan nakal.
 Cepat-cepat Arianna menutup pintu bilik. Dia sandarkan tubuhnya di belakang pintu. Ayat Affan yang terakhir itu menyesakkan dadanya. Habis meremang seluruh tubuhnya. Tanpa sedar, bibirnya melepaskan keluhan berat. Bagaimana dia bisa mencari bahagia sedangkan bahagianya tertinggal bersama orang lain?
Sebaik tubuh Arianna hilang di sebalik pintu, Affan merebahkan tubuhnya di atas katil. Dia menarik nafas dalam dan menghembus perlahan. Dia tahu bukan mudah untuk dia menawan hati Arianna. Nampaknya terpaksalah dia belajar cara-cara untuk memikat hati si isteri selepas ini.
“Amsyar!” Bibirnya melantun sebaris nama itu. Ustaz Amsyar, teman rapat yang dikenalinya ketika sama-sama belajar di United Kingdom dulu. Teman yang sarat dengan ilmu dan pendapat bernas.

Telefon bimbit di dalam poket dicapai. Nama Ustaz Amsyar dicari. Laju tangannya menekan butang dail. Dia perlu dapatkan sokongan dan bimbingan daripada teman baiknya itu. Dia mahu perkahwinannya dan Arianna berakhir dengan bahagia. Jadi dia perlu berusaha untuk meraih bahagia kerana dia yakin bahagia itu perlu dicari. Bukan untuk dinanti. Jauh sekali untuk dijual beli.
P/S Drop your comments. Though jarang balas tapi saya baca setiap komen tu. Hihihihi...