Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 12 EV

Sepanjang penerbangan mata Harris tidak lepas merenung gambar wanita bertudung yang menghiasi skrin telefon bimbitnya. Menatap seraut wajah cerah milik ‘Aisy mengundang rasa bahagia di hati. Kadang-kadang jari-jemarinya bermain-main di skrin telefon seolah-olah seperti dia sedang benar-benar menyentuh wajah itu.
Sesekali senyuman terukir di pinggir bibir apabila fikiran menerawang mengingati setiap kenangan indah tentang ‘Aisy. Leka benar Harris melayan perasaan indahnya. Pemangkin untuk dia terus bersemangat meniti kehidupannya. Menjadikan dia seorang pencinta yang setia. Cinta yang suatu ketika dulu pernah dimungkiri dan dikhianati. Dan kini cinta itulah yang dia kejar dan dia akan terus mengejar sampai mati.
Lima hari Harris berada di New York atas urusan perniagaan. Jarak masa yang membuatkan segenap ruang hatinya sarat dengan rasa rindu yang menggebu terhadap ‘Aisy, menjadikan dirinya tidak betah berlama di tempat orang. Lantaran itu dia memendekkan lawatan kerja yang sepatutnya berakhir lusa.
Sejak akhir-akhir ini ingatannya pada ‘Aisy sangat kuat. Setiap waktu dia memikirkan ‘Aisy. Layanan dingin yang diterimanya tidak pernah membuatkan cinta dan rindunya berkurang. Malah semakin hangat dan membara. ‘Aisy benar-benar membuatkan perasaannya menjadi semakin parah. Harus diakui dia angau pada isteri sendiri!
Sebaik sahaja Harris menjejakkan kaki di KLIA, nombor telefon bimbit ‘Aisy terus didail. Tidak sabar dia ingin mendengar suara isterinya. Rindu serindu-rindunya! Bukannya dia tidak cuba membuat panggilan pada ‘Aisy ketika berada di New York tetapi panggilannya tidak pernah diangkat. Jauh sekali hendak membalas panggilannya semula. 
“Kenapa tak nak angkat phone ni ‘Aisy?”
Keluh Harris sendirian. Setelah beberapa kali mencuba, panggilannya masih tidak berjawab. Hatinya dipagut resah. Bermacam-macam andaian negatif mula menerjah fikiran. Namun, akhirnya Harris tersenyum lega apabila penantiannya membuahkan hasil.
“Assalamualaikum, sayang. Mana sa…”
“Encik Harris. Saya Hafeeza, teman serumah ‘Aisy. ‘Aisy tumpah darah. Dia dalam wad kecemasan sekarang ni.” Pangkah Hafeeza yang menjawab panggilan Harris di hujung talian.
Senyum Harris mati. Wajahnya berubah pucat. Bagaikan nak terputus nyawanya dengan perkhabaran yang terima. “Ya ALLAH! Dekat hospital mana?” Tanya Harris.
“Hospital Serdang.” Jawab Hafeeza pendek.
“Okay, saya datang sekarang!” Harris segera mematikan talian tanpa menunggu balasan Hafeeza. Di kala itu, otaknya hanya memikirkan keselamatan ‘Aisy. Hatinya resah dan gelisah. Detak jantungnya bagaikan kehilangan rentak. Sungguh dia risau.
Di luar balai ketibaan, Harris melilau pandang mencari kelibat seseorang. Mujurlah Pak Mat, pemandu syarikatnya sudah sedia menanti untuk menjemputnya pulang. Panjang langkahnya menghampiri Pak Mat.
“Pak Mat, tolong bawa saya ke Hospital Serdang.” Tanpa lengah dia mengarahkan lelaki yang berusia pertengahan 50-an itu. Tubuh yang penat setelah mengharungi penerbangan hampir 21 jam langsung tidak terasa. Apa yang penting dia mahu ke hospital dengan segera.
“Sekarang ke, tuan?” Soal Pak Mat inginkan kepastian. Bagasi Harris dimasukkan ke dalam bonet kereta.
“Ya, Pak Mat. Sekarang!” Gesa Harris. Tubuhnya lolos ke dalam perut kereta.
“Baik, tuan.” Pak Mat mengangguk. Tanpa banyak soal dia memulakan pemanduan ke destinasi yang dimaksudkan. Di dalam hatinya sarat dengan tanda tanya. Sakitkah tuannya itu?
“Cepat sikit, Pak Mat.” Pinta Harris kurang sabar. Entah kenapa perjalanan yang ditempuhinya dirasakan terlalu lama. Padahal dari KLIA ke Hospital Serdang hanya mengambil masa  lebih kurang tiga puluh minit.
Pak Mat menekan pedal minyak untuk menambahkan kelajuan. Melalui cermin pandang belakang, dia melihat Harris sedang kegelisahan. “Err..tuan sakit ke?” Soal Pak Mat prihatin.
“Bukan saya tapi isteri saya. Dia kat wad kecemasan sekarang ni. Tumpah darah.” Lancar mulut Harris memberitahu.
“Isteri tuan mengandung ke?” Pertanyaan Pak Mat membuatkan Harris terkesima.
“Mengandung?”
 “Yalah, tuan. Kalau orang perempuan tumpah darah ni selalunya sebab ada masalah dengan kandungan. Tapi tuan jangan risau. Kadang-kadang perkara macam ni biasa berlaku. Nak-nak semasa awal kandungan. Isteri saya masa mengandung anak yang ketiga, pernah juga tumpah darah. Alhamdulillah selepas dirawat, kandungannya selamat. Sekarang dah besar panjang pun anak kami tu.” Ramah Pak Mat bercerita untuk meredakan kegelisahan Harris. Dia tahu tuannya sedang risaukan keselamatan isterinya. Yalah, suami mana yang tak sayangkan isteri. 
Harris diam tidak membalas. Masakan ‘Aisy mengandung sedangkan mereka sudah lama tidak bersama. Tidak mungkin ‘Aisy curang padanya. Tapi kalau benar ‘Aisy curang dan anak yang dikandung itu anak siapa? Astaghfirullah… Harris meraup wajahnya. Segera menghalau fikiran negatif yang mula bersarang di benaknya.
Kereta BMW 5 Series berwarna perak metalik menderu laju memasuki perkarangan hospital. Pantas Harris melangkah keluar sebaik kereta tersebut berhenti di hadapan lobi hospital.
“Pak Mat balik dulu. Hantar beg-beg saya ke rumah. Nanti apa-apa hal saya call. Cemas Harris memberikan arahan kepada Pak Mat.
“Baik, Encik Harris” Balas Pak Mat sambil menganggukkan kepala.
Tanpa berlengah, Harris melangkah dengan tergesa-gesa menuju ke bahagian kecemasan. Perasaannya libang-libu. Risau, bimbang, runsing dan takut bercampur baur menjadi satu. Hatinya risaukan keselamatan ‘Aisy. Pada masa yang sama jauh di dasar hati dia takut andai apa yang dikatakan Pak Mat benar-benar terjadi.
Sampai di wad kecemasan, pandangan matanya melilau mencari kelibat Hafeeza. Harap-harap otaknya masih dapat mengecam teman serumah ‘Aisy yang baru beberapa kali ditemuinya itu. Itu pun sekadar terserempak dan berbalas senyuman.
“Assalamualaikum. Hafeeza? Saya Harris.” Harris menghampiri seorang gadis bertudung labuh yang sedang berteleku menundukkan wajah.
Hafeeza memanggung kepala. Salam Harris dijawab dengan segaris senyuman nipis di bibir. “Ya, saya.”
“Macam mana keadaan ‘Aisy?” Harris serius bertanya perkhabaran isterinya. Saat itu dia sudah tidak mampu menyembunyikan kebimbangan yang bermukim di hati. Sudah tidak mampu membalas senyuman sesiapa.
“’Aisy masih kat dalam. Belum dapat apa-apa berita lagi, Encik Harris.” Beritahu Hafeeza. Risau juga di hati memikirkan nasib teman serumahnya itu. Keadaan ‘Aisy cukup lemah ketika dibawa ke sini tadi. Wajahnya pucat tidak berdarah. Tubuhnya lesu tidak bermaya.
“Kenapa boleh tumpah darah?” Soal Harris lagi. Sesekali matanya mengerling ke arah pintu bilik kecemasan yang tertutup rapat.
“’Aisy jatuh tangga.”
“Jatuh tangga?? Ya ALLAH, macam mana dia boleh jatuh tangga?” Keluh Harris.
“Errr…saya pun tak pasti. Masa ‘Aisy jatuh tu semua orang tak ada kat rumah. Saya jumpa dia pun masa tu dia dah terbaring kat atas lantai dalam keadaan separuh sedar.” Tenang Hafeeza bercerita. Kebetulan dia ditugaskan untuk menjalani kursus di Genting Highlands. Itu pun mujur dia pulang awal daripada dijadualkan kerana kursusnya dipendekkan sehingga ke tengah hari saja. 
“Kenapalah cuai sangat..” Desis Harris. Dia menarik nafas dalam.
“Sabarlah, Encik Harris. Insya-Allah, ‘Aisy selamat.” Lembut bicara yang dituturkan Hafeeza. Namun, tidak mampu membuang gelisah yang melanda perasaan Harris. Macam mana dia mampu bertenang. Isteri yang amat dicintainya sedang bertarung nyawa di dalam sana.
Penat berdiri akhirnya Harris duduk di salah sebuah kerusi yang disediakan di ruang menunggu. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi. Dia meraup rambutnya sambil melepaskan keluhan lemah. Setiap detik yang berlalu dirasakan terlalu perlahan. Memang benar penantian itu suatu penyeksaan. Dan di kala ini hatinya benar-benar dihambat resah yang bukannya sedikit.
“Ya ALLAH, Engkau selamatkan isteri aku.” Bisik Harris memanjatkan doa. Matanya dipejamkan rapat.
Kata-kata itu didengari Hafeeza. Sedari tadi ekor mata Hafeeza memerhati tingkah laku Harris yang sedang gelisah. Jelas terpancar sinar kasih yang membukit di wajah lelaki itu buat ‘Aisy. Yalah, suami mana yang tidak sayangkan isteri. Tetapi, baginya cinta Harris terhadap ‘Aisy cukup luar biasa. Pernah beberapa kali dia terserempak dengan Harris sewaktu lelaki itu singgah menjenguk ‘Aisy di rumah sewa. Dari jauh dia sering memerhatikan pasangan itu. Dalam diam, Hafeeza mengagumi layanan Harris terhadap isterinya. Walau sedingin mana balasan layanan yang diberikan ‘Aisy, tetapi lelaki itu tetap bersabar. ‘Aisy memang cukup bertuah! Semoga pasangan ini terus diberikan peluang untuk bersama-sama mengecap bahagia sampai ke syurga.
Kemunculan seorang doktor lelaki yang lengkap dalam seragam putih memintas lamunan Hafeeza. Dia dan Harris serentak bangkit menghampiri doktor itu.
“Encik suami Puan Rahadatul ‘Aisy?” Soal doktor muda itu pada Harris.
“Ya. Macam mana keadaan isteri saya, doktor?” Tanya Harris tanpa lengah.
“Mari kita ke bilik saya. Come.” Ajakan serius doktor itu membuatkan Harris tidak senang duduk. Dengan langkah yang berat dia mengekori doktor itu.
“Sila duduk, Encik….”
“Umayr Harris, just call me Harris.” Harris melabuhkan duduk di hadapan doktor yang memakai tag nama Asyraff itu.
How’s my wife, doctor?” Sekali lagi dia mengulang soalan yang sama. Hatinya sudah tidak mampu menahan debar.
“Tenang, encik Harris.” Sempat Doktor Asyraff mencatat sesuatu sebelum dia memanggungkan wajah. Dia menarik nafas dalam sebelum menyambung bicara.
“Dari pemeriksaan awal, kami dapati ada kesan luka pada bahagian abdomen isteri encik yang mungkin menjadi punca pendarahan yang agak serius itu. Tapi alhamdulillah, kami berjaya hentikan pendarahan tersebut. Her condition is stabilized now.” Dengan penuh berdiplomasi Doktor Asyraff menjelaskan. Kata-kata Doktor Asyraff sedikit melegakan ketegangan yang dirasakan Harris sejak beberapa jam yang lalui.
“Maksudnya bukan sebab keguguran?” Soal Harris inginkan kepastian. Dia perlu tahu keadaan sebenar yang telah menimpa ‘Aisy. Dia mahu hilangkan rasa curiga yang bersarang di lubuk hatinya.
“Bukan. Memang pada awalnya kami juga suspect isteri encik keguguran. But the result of pregnancy test was negative. Instead, through ultrasound, we have found some bruises on your wife’s internal abdomen. She might be suffering from abdominal trauma.” Terang Doktor Asyraff panjang lebar. Dia merenung Harris sebelum menyambung kata.
“Ada tak isteri encik terlibat dalam kemalangan sebelum ini?” Pertanyaan daripada Doktor Asyraff membuatkan Harris bungkam seketika.
“Ada. Dia pernah terlibat dalam kemalangan langgar lari. It was more than four years ago.” Beritahu Harris. Dia mengetap bibir perlahan. Setiap kali kenangan itu diungkit, pasti dirinya dihambat rasa bersalah.
I see. Tapi kemalangan itu dah agak lama. Kesan trauma yang kami nampak pada abdomen isteri encik ni masih baru. Atau mungkin baru-baru ini isteri encik pernah terhentak pada fizikal keras?” Pertanyaan Doktor Asyraff tidak mampu dijawab Harris.
I’m not sure, doctor. I just came back from New York this morning. Sebelum saya ke sana tak ada pula dia mengadu apa-apa. Tapi dia ada jatuh tangga..”
Harris teringatkan cerita Hafeeza. Kalau nak diharapkan dirinya, mana mungkin dia mengetahui setiap perkara yang menimpa isterinya sedangkan mereka tidak tinggal sebumbung. Keredaannya merestui keengganan ‘Aisy untuk tinggal bersama ternyata merumitkan lagi keadaan. Sekurang-kurangnya jika ‘Aisy di depan mata, dia boleh memantau keselamatan isterinya itu.
“Itu mungkin boleh menjadi punca. Anyway, saya akan cuba dapatkan rekod perubatan pesakit terlebih dahulu. Sebarang perkembangan mengenai isteri encik Harris, saya akan maklumkan. Insya-Allah, everything will be fine. Don’t worry much.” Ujar Doktor Asyraff tenang.
Namun, kata-kata itu tidak mungkin mampu melegakan Harris. Bermacam-macam andaian yang bermain di benaknya ketika itu. Jika apa yang sedang menimpa ‘Aisy disebabkan oleh kesan kemalangan itu, sudah pasti dia semakin berdosa dengan isterinya sendiri. Seandainya, malam itu dia tidak berlaku kejam dengan menghalau ‘Aisy pasti kemalangan itu tidak akan berlaku. Malam itu juga dia telah berlaku kasar pada tubuh ‘Aisy. Mengingati itu semua membuatkan nafasnya menjadi sesak.
“Err, doktor pasti kemalangan itu bukan penyebab?” Laju bibir Harris menyoal Doktor Asyraff.
“Besar kemungkinan bukan. But as I said before, we need to do further inspection.”
“Selain kemalangan, apa lagi yang boleh menyebabkan abdominal injury?” Ada getar dalam nada suara Harris.
“Sebarang serangan atau hentakkan dalam bentuk fizikal boleh menjadi faktor kepada blunt abdominal trauma. Contohnya terlanggar benda yang keras, short distance fall seperti jatuh katil atau tangga, tendangan atau pukulan menggunakan objek tumpul.”
Penjelasan Doktor Asyraff membuatkan wajah Harris berubah pucat. Dia meraup wajahnya. Ya Allah, apa yang telah aku buat pada isteriku? Terlalu besar penderitaan yang aku berikan padanya. Harris memejamkan matanya. Peristiwa empat tahun yang lalu di saat dia tanpa belas menendang tubuh ‘Aisy kembali terlakar di ruang matanya.
Are you okay, Encik Harris?” Pandangan tajam Doktor Asyraff tidak dihiraukan Harris.
Yeah, I’m okay. Boleh saya jumpa isteri saya sekarang?”
“Sekejap lagi isteri encik akan dipindahkan ke wad. Buat masa sekarang dia masih belum sedarkan diri. Seeloknya let her rest..” Beritahu Doktor Asyraff.

Harris mengangguk lemah. “Thanks, doctor. Anything, please inform me.” Ucap Harris sekali gus meminta diri untuk keluar dari bilik rawatan. Saat itu dia merasakan dirinya telah gagal sebagai seorang suami.

2 comments:

  1. kesiannya to both of them..sorang menderita sakit, sorang lg menderita sesalan..

    ReplyDelete
  2. He is in pain n he deserved for it cant imagine all he has done

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..