PROLOG
Patah-patah kata yang ditaip kemas pada sekeping kertas putih itu ku tenung bagai nak tembus. Berulang-ulang kali ayat itu ku baca.
Harap maaf. Permohonan anda tidak berjaya.
“Aduii..kau gagal lagi, Qurratul 'Ain!” Aku mengeluh.
Kertas putih itu ku renyuk geram. Lalu aku gumpal menjadi bulat dan ku humbankan ke dalam bakul sampah. Masuk kali ini sudah lima permohonan kerja ku gagal. Ada ijazah pun bukannya jaminan untuk dapat pekerjaan. Yalah, semuanya nak cari pekerja yang dah berpengalaman. Jadi, graduan segar a.k.a fresh graduate macam aku ni siapa yang nak ambil kerja?
Tubuhku rebahkan di atas tilam usang. Dengan tangan yang melekat di atas kepala, aku memerhatikan sekeliling bilik tidur ku yang berkeluasan 64 kaki persegi itu. Bilik yang telah ku sewa hampir enam bulan yang lalu dengan nilai dua ratus ringgit sebulan.
Aku hulurkan tangan ke bawah bantal kekabu yang menjadi alas kepala ku. Buku bank Maybank yang ku letak di bawah bantal ku capai.
“19.90.” Bulat mata ku melihat baki wang simpanan ku. Tak sangka, dalam berbilion-bilion duit manusia yang disimpan di bank, bahagian aku cuma tinggal 19.90 je? Macam mana aku nak teruskan kelangsungan hidup dengan baki sebanyak ini?
Aku menggaru kulit kepala yang tiba-tiba gatal. Mesti dah berkerak dengan kelemumur. Hampir dua minggu rambut hitam ku ini tidak dicuci gara-gara aku kehabisan stok syampu Rejoice-guna jari pun boleh. Nak beli baru memang sah aku tak mampu dengan baki wang yang aku ada itu. Silap hari bulan perut sendiri pun aku hanya mampu cuci dengan air paip keluaran SYABAS saja.
Arghh..tak boleh jadi ni. Aku perlu lakukan sesuatu. Walau macam mana sekalipun aku perlu dapatkan duit. Aku perlu keluar dari kepompong kemelesetan ekonomi yang kronik ini. Duduk termenung dalam bilik sempit ini bukan boleh buat duit keluar dari atas syiling pun. Desis ku di dalam hati.
Buku bank yang masih di tangan ku campakkan ke tepi. Aku bingkas bangun menapak ke almari kain. Sepasang baju kurung kapas dengan corak polka dot yang bersangkut ku ambil. Baju yang ku beli hasil duit biasiswa ku itu ku bawa ke hidung dan harumannya ku cium. Mujur baunya neutral. Tak wangi dan tak juga hapak. Akibat sabun buku Fab Perfect-saya-tak-perlu-sental-lagi yang dah makin menipis, aku terpaksa berjimat-cermat ketika mencuci pakaian.
Aku menyarung baju kurung tersebut ke tubuh. Warna kelabu yang melatari baju itu tampak sedikit lusuh. Mana tak lusuhnya kalau aku hanya ada lima pasang baju kurung yang terpaksa aku gilirkan setiap hari. Kemudian aku capai kain tudung putih yang dah berubah warna kekuningan lalu ku lilitkan di kepala.
Wajah ku yang kelihatan kusam ku tempek sedikit dengan bedak nyonya. Sikit saja cukuplah sebab bukannya aku nak pergi buat pertunjukan opera cina. Aku mengetap bibir ku yang ku oles dengan gincu Mekah yang berwarna hijau. Sekelip mata warna bibir ku bertukar mengikut warna darah dan kelihatan sedikit segar.
Setelah berpuas hati dengan penampilan ku yang serba ringkas, aku menapak ke pintu bilik. Sebelum tombol pintu dipulas, aku capai beg kain lalu ku galaskan menyilang tubuhku.
“Bismillahirrahmanirrahim…”
Aku memulakan langkah dengan mengayun kaki kanan. Meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki Tuhan. Kali ini aku tak peduli. Apa-apa kerja yang halal aku akan terima. Yang penting, hujung bulan ini aku mempunyai gaji. Kalau tidak bersiap sedialah untuk berumah di bawah titi!
BAB 1
Aku berdiri betul-betul di hadapan bangunan Gemilang
Holdings. Kaki yang sedikit melecet menghentikan langkah ku. Hampir tiga jam
aku berjalan tidak henti-henti, menerjah dari satu bangunan ke bangunan yang
lain namun satu kerja kosong pun tidak aku temui. Aduh! Jerihnya nak mendapatkan
kerja yang halal.
Peluh yang merenek di dahi ku kesat dengan belakang
telapak tangan. Sesekali mulut ku berdecit menahan pedih di kaki. Tekak yang
kehausan hanya mampu ku basahkan dengan air liur. Bahang cahaya matahari yang
betul-betul tegak di atas kepala buat aku rasa seperti hendak terbakar. Itu
baru panas matahari. Kalau panas api neraka macam manalah agaknya ya?
Nauzubillah…
Fail yang berada di tangan ku angkat untuk
memayungkan kepala dari terik mentari. Aku dongak kepala sedikit merenung
bangunan dua puluh tingkat yang tersergam megah di depan ku ini sebelum menapak
masuk ke dalam. Bolehlah aku bertumpang teduh buat seketika. Sekurang-kurangnya
dapat aku keringkan baju kurung ku yang dah lencun dengan air peluh ini sebelum
aku menyambung semula misi aku dalam mencari kerja.
“Arhhh..nyamannya…” Bibir ku mengeluh lega sebaik
menjejakkan kaki ke ruang lobi yang berhawa dingin itu. Aku melilau pandangan ke
sekeliling. Bangku kosong yang terletak tidak jauh dari kaunter pertanyaan menarik
perhatian aku. Sebelahnya pula ada disediakan mesin minuman water cooler. Port yang sangat strategik
untuk aku hilangkan dahaga dan rehatkan kaki sekejap.
Aku melintasi kaunter pertanyaan. Sempat mata ku
kerling pada lelaki yang berada di kaunter itu. Penyambut tetamu mungkin. Boleh
tahan kacak dan macho. Pelik. Bukan ke selalunya lelaki tampan ni tempatnya
sebagai bos dalam bilik besar. Itulah yang selalu aku tonton dalam drama bersiri
pun. Tapi realiti yang di depan mata aku sekarang ni, lelaki ini hanyalah
seorang penyambut tetamu. Alah..apa sangat yang nak dikisahkan. Asal kerja
halal cukuplah. Dalam keadaan ekonomi sekarang ni, nak dapat satu kerja pun
payah.
“Cik nak cari siapa?”
Langkah kaki ku mati sebaik ditegur penyambut tetamu
lelaki itu. Wajahnya serius dan aku perasan pandangan matanya curiga merenung
ku. Macam nak telan orang pun ada.
“Errr..saya..” Aku kehilangan kata. Sebenarnya aku
tengah cari alasan untuk diberikan pada lelaki ini. Takkan aku nak cakap yang
aku datang ke mari sebab nak basahkan tekak aku dengan minuman sejuk percuma di
mesin water cooler yang nampak
sungguh menyelerakan itu.
“Saya..saya datang untuk temu duga!” Lancar mulut
aku berbohong.
Aku mengetap bibir kesal. Terlajak perahu boleh
diundur tapi kalau terlajak kata tak fasal-fasal malaikat A’tib dah catatkan
dosa di bahu kiri aku ini. Sungguh bukan tabiat aku bercakap bohong ni tapi
entah kenapa di depan lelaki ini aku tergamak pula jadi seorang penipu. Habis
tu takkan aku nak tunjuk yang aku sekarang ni tengah pokai sampaikan sebotol
air mineral pun aku berkira nak beli. Harga diri aku depan lelaki kacak kenalah
jaga juga.
“Temu duga?” Lelaki itu menyoal pelik.
“Ya!” Aku kuntumkan senyum dan mengangguk sedikit
kepala agar tampak yakin di mata lelaki itu. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu keresahan
aku.
“Jabatan mana?” Tanya lelaki itu lagi. Pandangannya
dialihkan pada skrin komputer.
Aku menelan liur pahit. Otak aku ligat memikirkan
jawapan yang sepatutnya aku berikan. Manalah aku tahu jabatan apa yang ada di
bangunan itu. Aduh! Masak aku kali ini. Tiba-tiba pandangan mata aku tertancap
pada papan organisasi yang tergantung di dinding, betul-betul di belakang
lelaki itu. Lengkap dengan maklumat setiap bahagian yang ada dalam bangunan
tersebut.
“Jabatan Logistik.” Beritahu ku serius. Berlagak
sehabis yakin kononnya. Hentam sajalah asalkan jabatan tu wujud dalam bangunan
ini.
Lelaki itu mengangkat wajahnya merenung aku tajam.
Cepat-cepat aku larikan pandangan ke arah lain. Silap-silap hari bulan boleh
terpanah jantung aku dengan lirikan matanya. Dengan alis keningnya yang panjang
dan lebat mampu membuatkan mana-mana gadis menoleh dua kali. Tubuh yang tinggi
dan tegap ala-ala model melengkapkan pakej lelaki ini. Tapi satu je yang
kurang. Senyuman! Kenapalah wajah yang tampan ni masam dan serius je? Bukankah sebagai
penyambut tetamu, sepatutnya wajah itu perlu sentiasa dimaniskan dengan
senyuman yang menawan.
“Jawatan apa?”
“Err..err…” Aku tergagap-gagap nak menjawab. Selalunya
jawatan apa yang ada di jabatan logistik tu? Adoi..manalah aku tahu. Kalau
tanya fasal bidang teknologi maklumat bolehlah juga aku menggoreng apa yang
patut sebab itu bidang yang aku ambil masa dekat universiti. Kenapalah aku tak cakap
yang aku ada temu duga di jabatan IT tadi? Terasa nak hempuk saja kepala otak
aku ni. Itulah cerdik tak bertempat sangat!
“Distribution
manager or store keeper?”
“Huh??” Aku tersentak dengan pertanyaan lelaki itu.
Terkebil-kebil memohon penjelasan. Kabur.
Dia menarik nafas perlahan. Mungkin sedikit kurang
sabar dengan wajah blur aku. “Mengikut
jadual, ada dua temu duga yang akan berlangsung petang nanti. Satu untuk
jawatan Distribution Manager dan satu
lagi untuk jawatan Store Keeper. So,
cik datang untuk temu duga yang mana satu?”
Memang ada temu duga rupanya! Fuh..I’m saved by the
coincidence! Dalam hati aku mengeluh lega. Secara tak langsung dia telah
memberikan aku pilihan jawapan. Hmmm..mana satu yang patut aku pilih? Pengurus atau
Penyimpan Stor?
“Store keeper!”
Balas ku laju. Jawapan yang aku rasa paling logik dan boleh diterima akal. Dengan
hanya berbaju kurung kapas yang sudah sedikit pudar dan berkasut BATA memang
tak sesuai langsung untuk jawatan pengurus tu. Kalau nak ukur baju haruslah di
badan sendiri. Alang-alang kalau nak kelentong, biarlah nampak realistik.
Lelaki itu mengangguk perlahan. “Yalah..takkan
jawatan pengurus pula kan?”
Sempat telinga aku menangkap omelan halus lelaki
itu. Amboi mulut…boleh tahan pedas juga mamat ni. Tapi aku buat-buat tak dengar
sudahlah. Sabar..sabar… Mak aku selalu pesan, sabar itu separuh daripada iman.
“Ikut saya..” Arah lelaki itu.
“Ikut? Ke mana?” Soal aku tiba-tiba menggelabah.
Lelaki itu mengerutkan keningnya sambil memandang
aku pelik. “Ikut saya ke tempat temu duga lah. ”
“Err…maksud saya, encik tunjuk saja tingkat berapa
dan arah ke mana saya harus tuju. Selebihnya saya cari sendiri.. Encik kan kena
jaga kaunter ni. Nanti mengganggu pulak kerja encik..” Aku mencipta dalih.
Sebenarnya aku sedang cari jalan untuk meloloskan diri aku ini. Kalaulah aku
ikut naik ke tempat temu duga nanti lain pula cerita jadinya.
“Temu duga tu di tingkat tiga belas. Kebetulan saya memang
nak ke tingkat yang sama. Jadi, mari…” Kata-kata lelaki itu terhenti bila tiba-tiba
seorang gadis berusia dalam lingkungan 20-an menghampiri kaunter dalam keadaan
yang termengah-mengah. Mana tak termengahnya kalau melangkah laju macam lipas
kudung. Nampak kalut semacam je.
“Kenapa lambat?” Lelaki itu menyoal serius. Tumpuannya
teralih pada gadis itu.
“Errr…maaf..uhuk..uhuk..” Perempuan itu terbatuk-batuk
mencuri nafas. Dia menekan-nekan perutnya.
“Tahu tak sekarang dah pukul berapa?” Soal lelaki
itu lagi. Tegas semacam.
Aku mengerling sekilas ke arah jam tangan jenama Swatch
tiruan yang melekat di pergelangan tangan ku. Jam yang ku beli di pasar malam setahun
yang lalu.
“2.05 petang..”
Aku tersengih bila sepasang mata helang lelaki itu memandang
aku tajam. Oops! Mulut aku ini tersampuk pula dalam drama sebabak yang sedang
ditontonkan di hadapan ku ini. Namun tak lama bila mata lelaki itu kembali
memandang tajam gadis yang sedang tunduk di hadapannya.
“Errr…maaf. Saya
stuck dalam jammed on the way balik dari makan tengah hari.” Beritahu gadis itu
senafas.
“Makan kat mana?” Lelaki itu terus menyoal siasat tak
ubah macam polis pencen. Mungkin gadis ini kekasih atau isteri dia agaknya. Oooh..agaknya
ini kes cemburu lah ni. Telah aku di dalam hati melencong jauh.
“Errr…Sogo..” Gadis itu tampak teragak-agak.
“Lain kali kalau dah tau jammed, makan je tengah hari kat kantin. Tak pun bawak bekal.”
Sinis lelaki itu garang.
“Err..maaf. Lain kali saya tak buat lagi.” Akur
gadis itu berulang kali memohon maaf.
“Ingat sikit yang awak makan gaji kat sini dan
kaunter ini adalah tanggungjawab awak. Awak tahu kan yang big boss pantang kalau pekerja tak berdisiplin ni. Tak fasal-fasal saya
terpaksa cover untuk awak.” Rungut
lelaki itu marah-marah.
“Saya tahu. Saya minta maaf.”
Kesian pula aku tengok budak perempuan yang bermekap
tebal ni. Terangguk-angguk macam buat kesalahan besar. Padahal dia cuma lewat
lima minit je pun. Satu lagi, yang lelaki ini nak bengang terlebih-lebih pasal
apa pula? Apa salahnya kalau terpaksa buat kerja lebih bagi pihak rakan
sekerja. Tolong-menolong kan dapat pahala. Kalau manusia tak nampak, Tuhan nampak
cukuplah kan. Tapi kalau dah mengungkit apa yang dibuat, nak dapat pahala macam
mana? Silap-silap dapat dosa kering je. Aduhai Qurratul ‘Ain, cakap fasal dosa
orang pandai sangat. Dosa sendiri menipu orang ni apa cerita?
“Mari ikut saya.” Kata-kata lelaki itu memangkas
lamunan pendek aku.
“Huh?” Aku melongo. Terpinga-pinga bila aku sedar
yang gadis itu dah tiada di depan ku. Sempat mata aku mengesan tubuh kecil
molek sedang melangkah ke pintu utama.
“Macam mana nak jadi pekerja berdedikasi kalau asyik
berangan je?”
Dush! Kulit muka ku terasa seperti dipalit cili boh.
Panas dan pedas kata-kata yang diungkapkan lelaki itu. Memang mulut cap
longkang betullah.
“Saya bawa cik ke tempat temu duga tu. Ikut saya.”
Ulang lelaki itu lagi sekali seraya melangkah ke arah lif yang berada pada
sebelah kiri bangunan.
Kaki aku kaku untuk melangkah. Terkebil-kebil mata
ku menyaksikan batang tubuh lelaki itu yang kian menjauh. Sungguh aku tak
sangka yang pembohongan aku dah semakin melarat pula. Aku kena segera hentikan
semua ini.
“Err..nanti dulu encik!” Panggilan aku berjaya
menghentikan langkah lelaki itu. Dia berpusing 180 darjah menghadap ku.
“Temu duga tu sebelah petang kan? Saya belum solat
Zuhur lagi ni. Tak baik melewat-lewatkan solat. Saya ke surau sekejap.” Dalih
ku berterusan mencipta pembohongan. Ada hati nak solat kononnya. Padahal
bendera merah sedang berkibar megah. Itulah orang tua-tua selalu cakap. Siakap
senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri! Erks..apa
kaitannya? Maknanya kalau sekali buat kesalahan, kebarangkalian untuk ulang balik
kesalahan yang lebih teruk tu tinggi.
“Sekarang memang dah petang pun, cik.” Perli lelaki
itu memandang aku atas bawah. Dia mengerling jam di tangannya sekilas sebelum
menyambung kata.
“Surau ada di tingkat 13. I think you have fifteen minutes before the interview starts. Come,
I’ll show you the prayer room.”
Lelaki itu menyambung
langkah. Dan kali ini aku terpaksa juga memajukan langkah ke arah yang sama. Aku
menggaru kepala. Habislah aku kali ini. Memang aku cari penyakit. I’m dead meat!
Wow ada citer br..bc bab awal menarik. x sbr nk tgu bab 2.
ReplyDeleteMenarikks! ... Hopefully more to come...
ReplyDeletemacam bestt...;-)
ReplyDeleteLama tak buka blog ridya ni..
ReplyDeleteRupanya dh ada crita baru..
Tak sabar rasanya nak tunggu titian cinta diterbitkan..
Rasa mcm ringan crita baru ni.. Santai je ayatnya.. Pape pn best..
best.
ReplyDeletemenarik... ;)
ReplyDeleteBahasa yg sempoi tp menarik...seronok nak baca...
ReplyDeleteitu la...menipu lg..
ReplyDeleteafter TC...you make me influence with TDC and AMS. Haha :)
ReplyDeletemacam best...
ReplyDelete