Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 20 EV

‘Aisy mengacau nasi goreng di dalam kuali sambil berlagu kecil. Begitu asyik sehingga tidak sedar sepasang mata Harris sedang memerhatikannya. Aroma nasi goreng kampung yang memenuhi setiap ruang benar-benar membangkitkan selera. Kecur liurnya menahan lapar. Sejak semalam lagi tekaknya begitu teringin hendak menjamah nasi goreng kampung. Resipi turun temurun yang diwarisi daripada arwah neneknya.
Hampir dua minggu dia terpaksa berpantang akibat luka pembedahan yang dialaminya. Selama itu jugalah, dia terpaksa mengikat perut dengan menu nasi putih dan sup ikan haruan. Dia terpaksa akur kerana Harris benar-benar menjaga ketat diet pemakanannya. Tetapi pagi itu dia sudah tidak dapat menahan dirinya dengan menu yang disediakan Harris.
“Sayang, kenapa masak sarapan ni?” Tegur Harris setelah beberapa minit berdiri sambil berpeluk tubuh di belakang ‘Aisy.
Suara serak Harris sedikit mengejutkan ‘Aisy. Dijelingnya sekilas ke arah Harris yang segak berkemeja dan bertali leher. Bersiap sedia untuk ke pejabat. Daripada raut wajah lelaki itu jelas terpancar riak kurang senang.
“Selamat pagi, abang.” Sapa ‘Aisy. Dimaniskan wajah dengan senyuman. Sengaja dia tidak mengendahkan pertanyaan Harris. Dia tahu Harris tidak benarkannya melakukan kerja-kerja rumah termasuklah memasak.
“Sayang mana boleh buat kerja-kerja berat ni. Kan abang dah suruh sayang berehat je. Tubuh tu mana sihat lagi.” Leter Harris tanpa membalas sapaan ‘Aisy.
Tajam panahan mata Harris merenung ‘Aisy yang masih tidak lekang dengan senyuman di bibir. Biarpun dia rasakan senyuman ‘Aisy sedikit luar biasa manisnya pada pagi itu tetapi dia tahu isterinya sengaja menggunakan senyuman itu untuk menyejukkan hatinya. Padanlah, usai solat subuh lagi kelibat ‘Aisy sudah menghilang dari bilik tidur. Rupa-rupanya isterinya sedang berperang di dapur, menyediakan sarapan.
“’Aisy dah sihatlah, abang. Setakat masak nasi goreng ni tak ada apalah. Lagipun hari ini last day ‘Aisy MC. Besok ‘Aisy dah masuk kerja pun, maknanya ‘Aisy dah okay.” Jawab ‘Aisy dengan suara yang sedikit manja, ingin mengambil hati Harris. Pada masa yang sama, tangannya ligat mencedok nasi goreng yang sedang berasap ke dalam mangkuk untuk dihidangkan.
“Sayang masuk kerja besok. Hari ini sayang masih cuti sakit lagikan. Orang yang diberi cuti sakit, kenalah berehat. Bukannya sibukkan diri dengan kerja rumah.” Tegas bicara Harris masih tidak berpuas hati. Namun masih sempat dia mengambil mangkuk yang berisi nasi goreng di tangan ‘Aisy. Diletakkan mangkuk itu di atas meja makan.
“Doktor kan suruh ‘Aisy banyak bergerak. Sekurang-kurangnya dengan memasak ni, bolehlah ‘Aisy aktifkan diri sikit.” Dalih ‘Aisy.
Sepanjang seminggu ‘Aisy bercuti sakit di rumah pelbagai pantang larang yang telah ditetapkan Harris. Apa yang boleh dimakan, apa yang tidak boleh dimakan, apa yang boleh dibuat, apa yang tidak boleh dibuat, semuanya telah disenaraikan Harris dengan rapi. Sangat ketat. Memang dirinya tidak betah untuk mengikuti segala-galanya, namun apabila mengenangkan kesungguhan Harris dia tetap sabarkan dirinya untuk menuruti.
“Ada saja yang hendak dijawabnya. Memasak satu hal. Masak nasi goreng pula tu. Sayang mana boleh makan makanan berminyak ni. Dahlah dalam nasi ini sayang letak telur. Sayang kan alah pada protein telur. Nanti luka yang baru hendak baik tu, bernanah pula.” Omel Harris sambil memandang semangkuk nasi goreng yang sedang berasap.
‘Aisy mengeluh perlahan. Kadang-kadang dia rasakan Harris terlalu cerewet dalam menjaga kesihatannya. Kebimbangan yang langsung tidak berasas. Sedangkan sudah hampir dua minggu dia menjalani pembedahan. Luka pembedahan pun sudah baik sepenuhnya.
“Abang ini risau sangatlah. Luka di perut ‘Aisy ini dah pulih 100%. Kesan parut pun dah tak nampak. Lagipun ‘Aisy bosan hari-hari terpaksa telan nasi dan sup ikan haruan.” Adu ‘Aisy sambil meletakkan sesenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Sudah tidak sabar mahu menjamah nasi goreng kampung yang diidam-idamkannya. Menu nasi putih kosong dan sup ikan haruan benar-benar telah membuatkan dia muak. Bayangkanlah dalam tempoh seminggu, hanya itulah makanan ruji yang terpaksa dijamahnya. Jika tidak pasti panjang bebelan Harris yang terpaksa ditadah telinganya.
“Nasi putih dan sup ikan haruan tu kan untuk cepat sembuhkan luka dalaman sayang. Dah, sayang jangan degil. Abang tak nak tanggung risiko dengan benarkan sayang makan nasi goreng ni.”
Halang Harris membuatkan suapan ‘Aisy terhenti. Nasi goreng yang terhidang di dalam pinggan hanya mampu dipandang sepi. Bertambah kelat wajahnya tatkala melihat Harris yang sedang menjinjing semangkuk sup ikan haruan.
“Ini abang dah masak pagi-pagi tadi sup ikan haruan. Nanti, bila sayang dah betul-betul sihat barulah makan nasi goreng ni ya.” Pujuk Harris lembut. Dia meletakkan semangkuk sup di hadapan ‘Aisy. Pinggan nasi goreng di hadapan ‘Aisy dialihkan ke tengah meja.
Sebelum Subuh lagi Harris telah bangun menyiapkan sup ikan haruan. Dia terpaksa menyediakan sarapan pagi lebih awal kerana terpaksa bergegas ke pejabat untuk menghadiri mesyuarat dengan Maju Holdings, pelabur terpenting syarikatnya. Sebelum ini sudah beberapa kali dia menangguhkan perjumpaan dengan syarikat itu kerana menjaga ‘Aisy.
Hampir seminggu Harris mengambil cuti. Hatinya tidak betah untuk meninggalkan isterinya keseorangan di rumah. Kebetulan pula, Mak Timah pembantu rumah separuh masanya sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan anak perempuannya. Jika tidak boleh juga dia harapkan wanita itu untuk menjaga ‘Aisy.
Sejak itu, rutin hariannya berubah 360 darjah. Setiap hari, dia mengambil tugas menyediakan sarapan. Mujurlah dia masih tidak lupa dengan kemahiran memasak yang diasahnya sewaktu menuntut di luar negara.
“Tapi tekak ‘Aisy ni dah tak boleh nak jamah sup ikan haruan ni lagi dah.” Beritahu ‘Aisy dengan muka yang cemberut. Mangkuk sup yang terhidang di depannya ditolak ke tengah sedikit. Bau sup ikan haruan yang agak hanyir memualkannya.
Perlakuan ‘Aisy buat Harris berkecil hati. ‘Aisy bagaikan langsung tidak menghargai penat lelahnya yang telah bersusah payah bangun awal pagi semata-mata untuk menyediakan sup tersebut. Sudahlah otaknya berserabut dengan kerenah yang ditimbulkan Maju Holdings yang mengugut untuk membatalkan kontrak pelaburan mereka. Dia tidak menyangka tindakannya yang banyak kali menangguhkan perjumpaan dengan wakil Maju Holdings membuatkan syarikat itu beranggapan yang dia tidak serius dengan kerjasama mereka dalam pelaburan hartanah.
“Sayang ni degil sangat kenapa? Selama ini boleh je sayang telan sup ini. Kenapa hari ini tiba-tiba keras kepala pula?” Suara Harris sudah ditinggikan satu oktaf.
‘Aisy menekur wajah. Terasa hati dengan pertanyaan Harris yang agak kasar.
“Bukan niat ‘Aisy nak berdegil dengan abang. ‘Aisy cuma dah tak larat nak hirup sup ikan haruan yang hanyir ini. ‘Aisy takut nanti termun..”
“Sekarang sup ini hanyir pula? Ohh, jadi sayang nak cakap yang sayang geli nak makan sup ini sebab abang cuci ikan tak bersih? Macam tu?” Potong Harris dengan emosi.
‘Aisy mengangkat wajah. Bulat matanya memandang ke arah Harris. Sama sekali tidak menyangka begitu tanggapan suaminya terhadap penolakannya.
“Bukan. ‘Aisy tak kata macam tu. Memang selama ini pun bau sup ikan haruan ini hanyir. Maksud ‘Aisy…”
“Kenapa sayang tak beritahu abang awal-awal yang sayang tak sanggup nak telan sup yang abang masak ni? Kalau tak, boleh abang minta tolong dekat nenek saja untuk masakkan. Abang minta maaf, sayang. Abang ingatkan abang dah cuci ikan tu bersih-bersih.” Ujar Harris dengan suara yang kendur. Sekali lagi dia memangkas percakapan ‘Aisy.
‘Aisy mendengus geram. Entah kenapa pagi itu Harris begitu mudah tersalah faham dengan kata-katanya. Ada saja yang tidak kena dengan setiap butir bicara yang meniti di bibirnya.
“Bukan itu maksud ‘Aisy. Sup ikan haruan ini memang baunya hanyir tak kiralah siapa pun yang memasaknya. Dah memang begitu baunya. Lagipun, kalau abang tak cuci bersih dah lama ‘Aisy kena cirit birit.” Terang ‘Aisy dengan lembut dan teratur. Nada suaranya sengaja diceriakan. Dia mengukirkan sebuah senyuman manis buat Harris mengharapkan rajuk suaminya akan berpujuk.
“Dahlah, sayang. Kalau sayang jijik sangat nak telan sup tu, sayang buangkan je ke dalam sink. Abang gerak ke pejabat dulu.” Bentak Harris benar-benar berjauh hati. Dia mengatur langkah ke ruang tamu.
Dengan tergesa-gesa, ‘Aisy mengekori Harris. Jauh di sudut hati dia merasa sesal kerana terlalu menurut kehendak tekaknya untuk menikmati nasi goreng. Jika dia memaksa dirinya menelan sup ikan haruan itu, pasti pagi mereka akan dilalui dengan ceria dan usik tawa.
“Abang, kalau nak ke pejabat pun makanlah sarapan pagi tu dulu. ‘Aisy masak banyak tu. Tak baik biarkan perut masuk angin.” Pujuk ‘Aisy lembut. Tangan Harris dicapai dan digenggam namun ditepis. Tindakan Harris membuatkan wajah ‘Aisy berubah.
“Abang dah lewat ini. Abang kena kejar masa yang dah terbuang semata-mata kerana melayan kerenah mengada-ngada ‘Aisy tu.” Tolak Harris dingin. Ayat sindiran yang dituturkan Harris membuatkan ‘Aisy terasa. Namun ditepis rasa terkilan di hati tatkala mengenangkan perut Harris yang masih kosong tidak terisi.
“Kalau macam tu, abang tunggu sekejap ‘Aisy bekalkan nasi goreng tu. Nanti sampai di ofis, abang makanlah.” Beritahu ‘Aisy seraya mengatur langkah untuk ke ruang dapur.
“Abang cakap tak payah. Abang ada urgent meeting pagi ini. Nanti tak fasal-fasal disebabkan nasi goreng sayang tu, abang hilang kontrak pula.” Perli Harris membuatkan langkah ‘Aisy terhenti.
“Kalau macam tu, tak apalah. ‘Aisy minta maaf sebab dah susahkan abang. Nanti ‘Aisy minum sup tu. Abang bawa kereta hati-hati, ya.” Dicapai tangan Harris yang sudah berada di anjung pintu lalu dikucupnya dengan penuh hormat.
Walang hatinya dengan kata-kata pedas yang dihamburkan Harris. Hanya kerana keengganannya untuk menjamah sup ikan haruan, Harris boleh berubah laku sebegitu dingin.
“Errr..abang…”
Harris mengetap bibir. Dia kehilangan kata. Entah kenapa pagi itu dia bagaikan hilang kawalan diri. Sepatutnya dia perlu lebih bijak beriak berdasarkan akal fikirannya yang waras. Bukan hanya menurut rasa hati dan emosi marah yang membuak-buak.
“’Aisy masuk dalam dulu.”
Cepat-cepat ‘Aisy menutup pintu utama biarpun Harris masih tercegat di hadapan pintu. Dia sudah tidak mampu menahan tubir matanya yang sedang digenangi air jernih. Bimbang jika air mata itu mengalir di depan Harris.
Tidak lama selepas itu, dia mendengar ngauman enjin kereta Harris keluar dari perkarangan rumah. Langkahnya diatur lemah ke ruang dapur. Nasi goreng di dalam pinggan yang masih belum terusik kembali diletakkan ke dalam mangkuk. Seleranya yang benar-benar membuak tadi kini terpadam. Nampaknya nasi goreng itu bakal menjadi hidangan tong sampah.
Dia duduk di atas kerusi makan. Perlahan-lahan sup ikan haruan dicapai. Lama dia memandang sup itu menahan rasa mual. Dia bukannya sengaja mereka alasan. Jauh sekali hendak mengada-ngada dengan Harris. Memang betul tekaknya sudah tidak mampu menelan.
Dengan kesan air mata yang masih bersisa, dia menghirup sup itu. Sedaya upaya dia memaksa dirinya menelan sup biarpun dirasakan tekaknya menolak. Setelah beberapa suap, dia tergesa-gesa menuju ke sink. Segala isi perut dimuntahkan. Sudahnya sup itu tidak mampu dihabiskan.
Tubuh yang lesu dibawa berehat ke meja makan. Sebu perutnya akibat memuntahkan segala yang dimakan. Terngiang-ngiang sindiran tajam yang dituturkan Harris sebentar tadi. Entah kenapa sekelip mata layanan Harris berubah. Sedangkan beberapa hari yang lalu Harris melayannya dengan cukup romantik. Hubungan mereka cukup indah disulami dengan gelak tawa dan usik mengusik bahagia.
‘Aisy menghela nafas. Mungkin Harris tertekan dengan urusan kerjanya. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan oleh suaminya itu. Adatlah dalam rumah tangga ada pasang surutnya. Dia cuba menyedapkan hati.
Dalam keasyikannya melayan fikiran, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi loceng yang bertalu-talu. Pagi-pagi begini siapa pula yang datang bertandang. Apatah lagi ketika Harris tiada di rumah. Sepanjang dia pindah tinggal bersama Harris, belum pernah lagi dia menerima sebarang kunjungan daripada sanak saudara mahupun kenalannya. Lagipun, tiada kenalannya yang tahu di mana tempat tinggalnya melainkan Hafeeza dan Sakeena.
Dalam kehairanan ‘Aisy menjengah ke luar jendela. Dia tergamam sebaik melihat kelibat seorang perempuan cantik yang sedang berdiri di luar pagar rumah. Dia cukup kenal dengan susuk tinggi lampai itu. Musibah apakah yang dibawa oleh perempuan itu kali ini. Debaran di dadanya kian berkocak.
Sharifah Sofia Dato’ Syed Jamal, bekas tunang Harris! Calon menantu yang menjadi pilihan mertuanya. Pertama kali mengenali Sofia, dia pernah menyimpan rasa kagum terhadap gadis bertudung litup itu. Sofia bukan sahaja cantik malah kesudian Sofia bersahabat dengannya tanpa memandang pangkat dan harta membuatkan dia merasa bangga memiliki kawan sebaik itu.
Namun, rasa kagumnya semakin lama bertukar menjadi ngeri. Di sebalik wajah lembut itu, Sofia bijak memanipulasikan keadaan. Licik mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain. Sofia mampu melakukan apa sahaja asalkan hasrat dan impiannya terlaksana.
Assalamualaikum. Anybody home?” Berkali-kali salam yang dihulurkan suara lembut itu.
‘Aisy menelan liur perit. Di dalam hatinya berkira-kira hendak membiarkan sahaja keadaan itu sehingga gadis itu berlalu pergi. Sangkanya berapa lama sangatlah Sofia mampu bertahan di bawah terik cahaya matahari yang mula memancarkan bahang.
Namun dalam ‘Aisy sedang berkira-kira untuk tidak menghiraukan kedatangan Sofia, dia sekali lagi tergamam. Kemunculan seorang wanita elegan di sisi Sofia mengundang degupan yang semakin kuat di dada.

I know you are in the house, ‘Aisy. Let us in!” Wanita itu pula menjerit, membuatkan ‘Aisy semakin tidak keruan. Adakah wajar dia menghindari kehadiran kedua-dua orang perempuan itu? Adakah wajar dia berbuat demikian sedangkan salah seorang perempuan itu adalah ibu mertuanya sendiri!

7 comments:

Tinggalkan jejak anda..