Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Friday 3 May 2013

Temuduga Cinta Bab 9


Ikram memandang ku dengan wajah yang serius. Tajam anak matanya memanah diriku yang sedang tercegat di depannya. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Uzair yang turut berdiri di sebelah aku. Sudahlah tadi mamat ni main aci redah je masuk ke dalam bilik Ikram. Bukan ke kalau nak jumpa bos kena buat temu janji dengan setiausaha Ikram terlebih dulu?

Yalah. Menurut Uzair, Ikram ni bos besar di Jabatan Logistik. Sebab itulah dia bawa aku berjumpa terus dengan Ikram. Kononnya untuk mendapatkan budi bicara Ikram atas kegagalan aku untuk melaporkan diri mengikut masa yang ditetapkan bahagian Sumber Manusia.

“Kenapa ni, Uzair?” Ikram menyoal dengan dahi yang sedikit berkerut. Pen yang sedang dikepit dua jarinya diletakkan di atas meja. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi.

Uzair melabuhkan duduk. Selamba mak inang sungguh lelaki ini duduk tanpa disuruh. Siap menyilang kaki lagi tu. Berlagak macam bos besar. Bos besar pun tak berlagak macam dia ni. Tengok Ikram tu, relaks dan tenang saja.

Have a seat.” Ikram menjemput ku duduk dengan sopan.

Aku mengangguk lalu menarik kerusi bersebelahan Uzair sebelum berhati-hati melabuhkan punggung di situ. Bimbang juga kalau tragedi jatuh tersungkur dalam bilik temu duga tempoh hari  bakal berulang.

You ingat this girl? Tanya Uzair. Gaya dia macam dah kenal lama dengan Ikram.

“Mestilah I ingat. The one yang I interview tempoh hari kan?” Ikram merenung wajah ku.

 “Hmmm..dialah..” Uzair mengangguk mengiakan pertanyaan Ikram.

How could I forget Cik Qurratul ‘Ain. The one yang ada mak bekerja sebagai…ermmm..nurse village, right?” Giat Ikram menyembunyikan senyum.

Wajah ku membahang bila mengingatkan susunan ayat-ayat Inggeris yang aku main belasah semasa temu duga beberapa hari yang lepas. Muka ni macam kena rendam dalam sebesen cili boh. Pijar dan panas! Terasa peluh mula merenek di dahi. Bilik yang dingin membeku itu ternyata tidak mampu menyejukkan rasa malu yang sedang bertapak di taman hati.

“Err…saya nak buat sikit pembetulan fasal temu duga tempoh hari.” Ujar ku menelan liur pahit. Aku cuba menarik bibir untuk mengukirkan senyum biarpun aku rasa senyuman aku kala itu plastik habis. Urat-urat di pipi habis menegang. Macam selepas kena suntik Collagen.

My mother job is traditional midwife..not nurse village.” Aku menyambung bicara untuk membetulkan kesilapan. Pulang saja ke rumah dari temu duga tempoh hari, aku terus menerkam kamus dwibahasa untuk mencari terjemahan bidan kampung dalam bahasa Inggeris.

Uzair tergelak kuat. Bila menyedari aku menjelingnya tajam, tawanya mengendur diganti senyuman sinis. Memerli aku lah tu. Seronok sungguh dia ketawakan aku. Tak apa. Naik lori, naik bas. Lain hari, aku balas. Huh!

“Oh..Macam mana you tahu yang you tersilap?” Ikram menyoal ku lembut. Sejuk sikit hati aku yang tengah panas membara dengan sikap Uzair. Beria-ia gelakkan aku sedangkan Ikram sendiri relaks saja.

“Saya belek kamus Dwibahasa Oxford Fajar.” Jawab ku penuh.

Really? That’s good. At least you did learn something. Semangat macam inilah yang bagus. Sentiasa belajar untuk memperbaiki kesilapan. I like it!” Puji Ikram bersungguh-sungguh.

Aku senyum nipis. Sedikit sebanyak terasa juga kembang kempis lubang hidung ku ini bila dihargai begitu. Mahunya tak bangga bila yang memuji itu bakal bos aku. Bakal boslah sebab aku masih tak tahu status kerja sebagai penyimpan stor yang ditawarkan pada aku. Takut juga kalau dah dibatalkan secara automatik sebab kelewatan aku hampir tiga jam untuk melaporkan diri.

 “Err..encik Ikram..” Aku berdeham beberapa kali cuba menyusun kata. Sebenarnya aku ingin bertanya pada Ikram berkenaan tawaran kerja itu.

“Err..err…” Suara ku bagaikan tersekat. Berat pula mulut aku ini.

Aku menjeling Uzair untuk mendapatkan sokongan lelaki itu. Tadi dia juga yang beria tawarkan diri kononnya nak membela aku di depan Ikram. Sekarang boleh pula dia senyap sambil buat muka tidak berperasaan tu.

“’Ain nak cakap sesuatu ke dengan I?” Suara Ikram prihatin. Hampir tersedak aku  bila Ikram mula memanggil nama panggilan ku. Macam dah kenal lama pula.

“Boleh kan I panggil you ‘Ain? Terasa dekat je kalau panggil macam tu.” Soal Ikram bagaikan dapat membaca kata hatiku. Lenggok suara dia manja semacam je. Ke aku yang terlebih perasan?

“Boleh..boleh..” Aku mengangguk laju. Takkan nak jawab tak boleh pula. Permintaan bakal bos mana boleh ingkar.

So, ‘Ain nak cakap fasal apa?”

“Errr…” Aku menggaru kepala. Sekali lagi aku menjeling Uzair yang senyap membisu di tempat duduknya. Manalah tahu kalau dia nak memulakan cerita. Tapi menunggu Uzair membuka mulut ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

“Err..pasal tawaran kerja untuk saya tu..” Akhirnya aku terpaksa bersuara sendiri. 

“Kenapa?”

“Err…saya minta maaf sebab lambat lapor diri, Encik Ikram. Sebenarnya saya bukan sengaja lambat. Tadi saya kemalangan masa dalam perjalanan nak ke sini.” Beritahu ku sedikit teragak-agak.

“Kemalangan?” Soal Ikram terperanjat. Dia bingkas bangun dan menerpa ke arah aku.

“’Ain tak apa-apa?” Nada suara Ikram berbaur risau. Dia duduk bertinggung di depan ku membuatkan aku menggerakkan sedikit kerusi ke belakang. Meremang bulu roma aku. Buang tabiat ke apa Ikram ni.

“Err..kemalangan kecil je tadi. Saya tak apa-apa.” Balas ku serba salah. Pelik aku dengan Ikram yang tiba-tiba prihatin semacam pada aku. Tak ke dia ni macam terlalu berlebih-lebihan menunjukkan ekspresi? Kalau orang putih cakap over-reacting.

“Ada luka tak kat mana-mana? Mari sini I tengok.” Matanya tunak mengimbas tubuh ku atas bawah. Canggung aku bila ditenung begitu oleh seorang lelaki ajnabi. Serba tak kena aku rasa.

“Tak apa, Encik Ikram. Saya okay. Saya tak ada apa-apa..” Elak ku dengan berhemah bila Ikram ingin memegang tangan ku. Dia ni mengambil berat ke mengambil kesempatan? Nak berkeras kan bos besar. Nanti terus aku tak dapat kerja langsung.

“Nak abang bawa ke hospital ke?”

Erk! Aku tersentak bila Ikram mula membahasakan diri dia abang. Lain macam sungguh lelaki ini. Seram sejuk pula aku berada dalam bilik ni.

‘Ehem…” Uzair berdeham kuat tiba-tiba. Mungkin dia nak beritahu Ikram yang dia masih wujud dalam bilik itu. Agaknya telinga dia pun berbulu mendengar ayat-ayat romeo si Ikram ni.

She’s okay, Encik Ikram. Tak ada calar sikit pun kat tubuh Cik ‘Ain ni.” Uzair bersuara senada.

Are you sure, ‘Ain?” Ikram memandang ku inginkan kepastian.

“Betul tu. Saya okay.” Aku mengangguk mengiakan kata-kata Uzair.

“Syukurlah..” Ikram mengeluh lega. Dia berdiri dan kembali mengambil tempatnya semula.

“Cuma…saya nak minta maaf sebab kemalangan itu saya terlewat sampai. Saya harap Encik Ikram boleh berikan saya peluang kedua.” Tutur ku. 

Jauh di dasar hati aku mengharapkan jawatan penyimpan stor itu masih menjadi milik aku. Sungguh aku sangat memerlukan kerja ini untuk membayar segala hutang piutang aku yang dah keliling pinggang ni.

“Terlewat? Siapa yang lewat?” Ikram menyoal ku dengan dahi yang berkerut.

“Errr..bukan ke saya sepatutnya lapor diri pukul lapan pagi tadi di bahagian Sumber Manusia?” Soalan dijawab dengan soalan.

“Lapan pagi? Betul ke ‘Ain kena lapor diri pukul lapan pagi? Siapalah yang ada kat pejabat seawal tu. ‘Ain tahu tak waktu kerja di Gemilang Holdings ni bermula jam sembilan pagi.”

Rahang ku jatuh mendengar penjelasan Ikram. Sempat aku mengerling sekilas ke arah Uzair yang sedang berpeluk tubuh. Muka dia langsung tak tersimpan riak bersalah.

“Tapi Uzair yang..”

“Agaknya Cik ‘Ain ni salah dengar kot. Mesti Cik ‘Ain ni excited sangat sampai tak sabar nak mulakan kerja.” Cepat Uzair mencantas ayat ku. Dia pamerkan riak wajah bangga. Bangga dapat kenakan aku. Aku pasti telinga aku ini tak salah dengar kata-kata Uzair tempoh hari. Aku menahan rasa geram yang membuak-buak dalam hati aku ni.

Apalah dosa aku pada lelaki bernama Uzair ni. Dia tak tahu pagi tadi kalut aku bersiap macam lipas kudung gara-gara terbabas tidur sebab jam loceng aku kehabisan bateri. Tak sempat tekak ini nak bersarapan hatta menelan seteguk air kosong sekalipun sebab bimbang terlewat sampai sebelum pukul lapan pagi.

“Emmm..kalau ikut jadual I ni, our appointment should be on 11 am, right after ‘Ain lapor diri di bahagian HR. So, ‘Ain dah ke HR belum?” Pertanyaan Ikram hanya mampu ku balas dengan gelengan. Dalam hati ini menahan rasa geram yang meluap-luap pada Uzair.

“Kalau macam tu I bawak ‘Ain ke HR dulu.” Sambung Ikram.

“Err..tak apa Encik Ikram. Saya boleh pergi sendiri.” Aku menolak. Takkan bos besar nak mengiring aku semata-mata untuk melaporkan diri.

It’s okay. Kebetulan I pun tengah free sekarang ni.” Ikram mendesak.

Tiba-tiba perbualan kami diganggu dengan deringan interkom. Ikram menekan butang.

Yes Suraya dear...” Sahut Ikram mesra.

“Encik Ikram, maaf mengganggu. Dato’ Rashid nak jumpa Encik Ikram di biliknya sekarang.” Suara Suraya, setiausaha Ikram jelas kedengaran di hujung talian.

“Kenapa?”

“Dato’ nak bincang fasal tender Alpha Beta.”

“Bukan ke sepatutnya tender tu diuruskan Encik..err..never mind. Okay, I’ll be there in a minute. You dapatkan file berkaitan projek Alpha Beta tu. Thanks.” Balas Ikram memberi arahan sebelum memutuskan talian interkom.

“Uzair, you tolong bawak ‘Ain ke bahagian HR dan tolong ‘Ain selesaikan urusan dia apa yang patut.” Suruh Ikram. Dia berpusing ke belakang untuk mencapai beberapa dokumen yang tersusun.

Uzair hanya diam tidak membalas. Mengangguk tidak mengiakan pun tidak. Wajah itu kelat semacam. Macam tak reda je dengan suruhan Ikram.

Sorry, ‘Ain. I ada urgent meeting pula.” Ikram berpaling padaku sebelum dia bingkas berdiri. Aku dan Uzair turut bangkit.

“Tak apa, Encik Ikram.” Senyuman ku ukirkan.

“Anyway, selamat datang ke Syarikat Gemilang Holdings. I’m sure you’ll enjoy working here.” Ikram mengangkat tangan menghulurkan salam.

Aku serba salah nak menyambut huluran tangan Ikram. Dia ni tak tahu ke yang bersalaman dengan perempuan bukan muhrim hukumnya haram.

“Ehem…” Sekali lagi Uzair berdeham. Kali ini dengan nada yang lebih kuat.

“Opps..sorry. Errr.. hope we’ll have a better chance to know each other after this.” Sempat Ikram mengenyitkan matanya pada ku. Tangannya dijatuhkan.

“Jadi saya betul-betul diterima bekerja kat sini ke, Encik Ikram?” Soal ku inginkan kepastian.

Yes. Uzair akan bawa ‘Ain ke bahagian HR untuk report duty. Then, you’ll be officially Gemilang Holding staff.

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak, Encik Ikram.” Ucap ku teruja. Senyuman di bibir ku mekar.

“Sama-sama kasih.Balas Ikram. Dia mengiringi langkah aku dan Uzair sehingga ke muka pintu. Baik sungguh layanan bos aku ini.

 “By the way..cantik baju ‘Ain. One of my favorite color. Dan makin manis bila ‘Ain yang memakainya.” Tegur Ikram bermulut manis sambil mengukirkan senyuman manis. Kesimpulannya semua yang manis-manis sajalah tentang lelaki ini.

 “Ohh…errr..terima kasih.” Balas ku malu-malu seraya melangkah keluar dari bilik Ikram. Mahunya tak malu bila kali pertama dipuji begitu. Biarpun dia hanya sekadar puji baju yang ku pakai. Kalau dia puji aku yang cantik, harus tiga hari tiga malam aku tidur dalam senyuman.

Ikram membalas senyum ku sebelum menggamit Suraya masuk ke dalam bilik pejabatnya. Sempat aku berbalas senyum dengan Suraya bila kami berselisih bahu.

Di luar pintu bilik Ikram, aku menilik baju kurung yang tersarung di tubuh ku. Baju kurung yang terpaksa aku beli setelah didesak dan dipaksa Uzair. Sudahnya terpaksa aku berhutang dengan Uzair beberapa belas ringgit untuk menampung harga baju kurung RM 99.00 ini. Timbus hutang lama, hutang baru muncul pula. Itu pun sebab aku tak tahan dengan desakan Uzair yang berkali-kali merungut fasal kot mahal dia yang berada di pinggang aku. Ditambah pula dengan pandangan kakak jurujual yang tengok aku semacam saja tadi. Salah aku juga pergi ringan mulut buat tawar menawar dalam butik eksklusif. Harus tak pernah dibuat orang.  

“Sudahlah tenung baju baru awak tu. Ingat sikit awak berhutang dengan saya sebelas ringgit lima puluh sen.” Suara sinis Uzair memangkas lamunan pendek aku.

Aku mengetap bibir. Ada perhitungan yang masih belum aku selesaikan dengan lelaki sarkastik ini.

“Kenapa awak tipu saya?” Aku menyoal geram.

“Bila saya tipu awak?” Uzair menyoal ku balik.

“Yang awak suruh saya datang lapor diri pukul lapan pagi tu padahal pejabat pukul sembilan pagi baru buka. Awak memang sengaja nak saya tercongok macam orang bodoh depan bangunan ni kan?” Tuduh ku dalam nafas yang turun naik.

“Ooo..biasalah. Junior kenalah datang awal jumpa senior dulu. Sesi suai kenal.” Balas Uzair selamba.

Amboi! Sesuka hati saja dia ni cipta undang-undang sendiri. Kan aku dah cakap. Aku tak silap dengar. Memang dia ni sengaja salah bagi waktu kepada aku.

“Awak ingat ini sekolah ke? Perlu minggu suai kenal bagai.” Aku mencebikkan bibir.

“Perlulah. Ini prosedur biasa untuk pekerja baru di Gemilang Holding. Tugas saya sebagai pegawai khas adalah untuk mengenali awak atas kapasiti pekerja baru, untuk menilai sejauh mana kesetiaan dan integriti awak pada syarikat.” Beritahu Uzair membuatkan aku terkedu. Dia tampak yakin dalam penerangannya tetapi entah kenapa hati ini rasa cukup ragu. Sungguh ada ke prosedur begitu di sesebuah syarikat? Lelaki ini boleh percaya ke?

“Awak jangan ingat saya buat semua ini sebab nak mengurat awak pula. Saya profesional dengan kerja saya.” Bidas Uzair menambah.

“Kalau ada prosedur begitu, kenapa Encik Ikram tak tahu?” Pertanyaan ku membuatkan wajah Uzair sedikit berubah. Namun tak lama bila dia kembali bersuara dengan yakin.

“Cik ‘Ain, bidang kerja pegawai khas tidak ada kaitan dengan pengurus besar macam Encik Ikram. Saya menerima arahan terus daripada Dato’ Rashid, CEO Gemilang Holdings. Sebab itulah kadang-kadang ada perkara yang berlaku dalam syarikat ini di luar pengetahuan pekerja lain.” Terang Uzair. Aku mengangguk kecil. Masuk akal juga dengan kata-kata lelaki ini.

“Maksud awak Dato’ Rashid yang arahkan awak untuk menyiasat saya?”  Aku telan liur. Terdetik rasa gerun di dalam hati. Terasa macam bertugas di PULAPOL pula. Padahal jawatan aku cuma penyimpan stor saja.

“Bukan menyiasat tapi melakukan penilaian awal. Jangan salah faham tu.” Uzair membetulkan kata-kata ku.

“Pendekatan Dato’ dalam mentadbir syarikat adalah berkonsepkan mesra kakitangan. So, Dato’ nak kenal setiap pekerjanya luar dan dalam melalui saya sebagai pegawai khasnya.” Sambung Uzair.

“Kenapa Dato’ tak buat sendiri? Yalah, awak ni boleh dipercayai ke? Maksud saya, manalah tahu kalau-kalau awak sampaikan maklumat salah pada Dato’, kesianlah kakitangan tu.”

Aku mengetap bibir. Pertanyaan aku yang tidak berlapik mengundang jelingan tajam Uzair. Kenapalah mulut ini tak pandai nak tapis ayat dulu sebelum bercakap.

“Untuk pengetahuan Cik ‘Ain, Dato’ Rashid is the busiest person in Gemilang Holdings. Dan untuk mentadbir sebuah syarikat yang besar dengan beribu-ribu kakitangan bukan kerja yang mudah. Jadi tugas saya adalah untuk membantu Dato’ dalam urusan ini. Jangan bimbang, saya profesional dengan kerja saya.” Balas Uzair serius. Dia menundukkan sedikit wajahnya dan mendekatkan mulutnya ke telinga ku sebelum menyambung kata.

“Boleh dikatakan saya adalah mata-mata Dato’ di Gemilang Holdings. So, be nice to me and I’ll be nice to you.” Bisik Uzair dengan senyuman sinis.

Bulat mata ku memandangnya. Adakah dia sedang memberikan amaran pada ku secara halus? Chit! Profesional tahi kucing kalau macam tu!

One more thing..bahagian HR di tingkat lima. Arahan Encik Ikram di luar skop kerja saya. So, sila cari sendiri tempat tu ya. Bye!”

Uzair mengangkat tangan tanda pamitan. Dia berjalan meninggalkan ku dengan mulut yang sedikit terlopong.     


P/S: Saya perlukan positif kritik.. Kalau sudi tinggalkan komen ya. Thanks.

19 comments:

  1. Eee.. Gatal sungguh si ikram tu.. Cam jeles je si uzair tu pd ikram..
    Selamat lapor diri ain!
    Mesti byk adegan lucu lps ni.. Nak part 10..
    Overall best!!

    ReplyDelete
  2. Mmg gatai...cer garu dgn garfu sikit si ikram tu. uzair pun sama jugak! I smelll something fishy here... Uzair...

    ReplyDelete
  3. Suka...smbg pnjg skit nati...

    ReplyDelete
  4. Amboiiii ikram mulut manis tak bertapis....siap bahasakan diri abg tu..terkejut si ain tau..jgn wat ain terperasan lebih2 udahla...hehehe...

    ReplyDelete
  5. Ain ni ank dato" ke?
    Mana lah tahu...uzair tu tgglkn mesyuarat smata2 nk usha ain

    ReplyDelete
  6. Uzair tu adik Ikram ke? rasanya Uzair tak mahu ke HR takut orang kenal tak? Si Ikram kena uruskan tender Uzair yg sepatutnya buat...hehehe

    ReplyDelete
  7. Hahahaha..tungguuu...jawapannya akan ditemui dlm next2 chapter..hehehehe

    ReplyDelete
  8. hmmmmm makin best criter nie..
    Uzair jelous dgn ikram ke sebab "mesra" dgn ain
    Ain nie kelakarlahhhh hehehhe
    cepat222 sambung... jod job :)

    ReplyDelete
  9. best citer nie..kelakar la... keep it up writer!

    ReplyDelete
  10. sangat suka cerita ni...cepat2 sambung dan bg diorg lagi hot...sweet plak kan

    ReplyDelete
  11. ikram gatai.. tetiba bahasa diri tuu abg kat ain... uzair mcm jeles.. apakah... hehehe.. jahat uzair ni buli ain... eee

    ReplyDelete
  12. best!! something wrong with uzair....hehe

    ReplyDelete
  13. ei...rs nk buat guali je uzair ni

    ReplyDelete
  14. baru bace smp bab ni..rase cite ni cm ada byk misteri..x sabo nk tau

    ReplyDelete
  15. Nak lagi! Best..
    Hazalina burahan

    ReplyDelete
  16. ikram mcm nak menggatal je...uzair ni sapa sebenarnya? aduhhh...tak sabar nak tau..

    ReplyDelete
  17. Yg bukan muhrim tu salah , sptutnya bukan mahram... muhrim maksud org yg sdg mlakukan ihram haji @ umrah

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..