Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 2 April 2013

Titian Cinta 21 EV

“Kenapa lama sangat kamu nak buka pintu?!” Sergah Puan Sri Nora kasar. Dia melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menunggu pelawaan ‘Aisy. Wajah itu masam tanpa segaris senyuman. Pandangan matanya melilau ke sekeliling ruang rumah. Lagaknya seperti warden yang sedang melakukan pemeriksaan mengejut!
Sofia yang berada di belakang Puan Sri Nora sempat melemparkan senyuman sinis kepadanya. Dia turut melangkah masuk membuntuti langkah Puan Sri Nora.
“’Aisy minta maaf, mama.” Ucap ‘Aisy serba salah.
‘Aisy bagaikan dapat menghidu suatu yang tidak kena dengan kedatangan mengejut Puan Sri Nora dan Sofia. Berani Sofia muncul di depannya lagi setelah apa yang telah terjadi. Dia tidak mahu mendidik hatinya untuk berburuk sangka, tetapi apa yang telah berlaku selama ini membuatkan dia perlu berhati-hati dan berwaspada.
“Kamu ini sengaja nak biarkan aku berpanas dekat luar tu kan? Sepuluh minit lebih aku tercegat kat luar tu macam peminta sedekah. Tangan ini dah naik kematu duduk menekan loceng. Menantu jenis apa kamu ini ‘Aisy? Dari dulu sampai sekarang tak pernah tahu nak menghormati orang tua.” Leter Puan Sri Nora dengan nada suara yang dikeraskan. Sekali lagi tanpa diundang, dia dan Sofia melabuhkan duduk di atas sofa.
‘Aisy terpisat-pisat. Setiap butir bicara kasar yang dihambur keluar dari mulut  ibu mertuanya ditelan perit. Ternyata tempoh empat tahun tidak dapat merubah persepsi buruk dan layanan dingin Puan Sri Nora terhadapnya. Tidak salah tanggapan ‘Aisy tempoh hari sewaktu dia menerima kunjungan Hajah Mariah. Puan Sri Nora berpura-pura baik dengannya di hadapan Hajah Mariah.
“Er…maaf, mama..” Sekali lagi ‘Aisy mengungkapkan kata maaf. Silapnya juga kerana tadi dia sedikit teragak-agak hendak membuka pintu.
Puan Sri Nora menjeling tajam ke arah ‘Aisy. Mulutnya dicebikkan tanda dia benar-benar meluat dengan menantu yang menjadi pilihan ibu mertuanya itu. Sehingga kini dia masih tidak dapat menerima hakikat yang menantunya hanyalah seorang gadis kampung. Disebabkan perempuan kampung inilah dia terpaksa berputih mata untuk bermenantukan Sofia.
“Nama saja belajar tinggi sampai ke luar negara tetapi perangai serupa orang sekolah pondok.” Tempelak Puan Sri Nora.
‘Aisy mengetap bibir menahan geram. Ringan mulutnya hendak menjawab namun mengenangkan wanita di depannya itu adalah seorang manusia yang berpangkat ibu, disabarkan hatinya yang mula membahang. Rasa hormatnya masih bersisa.
“Sabarlah auntie, agaknya ‘Aisy tengah tidur tadi kot. Sebab itulah dia tak dengar bunyi loceng tu. Salah kita juga datang rumah orang pagi-pagi buta ni.” Lemah-lembut bicara Sofia menenangkan Puan Sri Nora. Dia mengusap sopan lengan Puan Sri Nora.
Tingkah laku Sofia mengundang cebikan di wajah ‘Aisy. Dia tahu segala-gala yang dituturkan gadis itu hanyalah pura-pura. Setiap perbuatan baik yang ditunjukkan Sofia hanyalah lakonan semata. Hipokrit! Sinis ‘Aisy di dalam hati.
“Hah, elok sangatlah tu. Dah bertahun jadi bini orang pun masih nak membuta sampai matahari meninggi. Suami kamu bertungkus lumus cari rezeki kat luar, kamu pula boleh bersenang lenang buat tahi mata kat rumah. Itulah suruh beranak tak mahu. Sibuk nak menjaga badan kononnya. Kalau ada anak tak adalah kamu jadi pemalas macam ni.” Bertubi-tubi tuduhan dilemparkan kepada ‘Aisy tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan menantunya itu. Panas hatinya.
‘Aisy beristighfar di dalam hati. Semakin dibiarkan, semakin kencang pula tuduhan tidak berasas Puan Sri Nora terhadapnya. Jika boleh, setiap inci kesalahannya walau sebesar zarah sekalipun mahu diungkit. Yang tiada pun diada-adakan, apatah lagi yang ada.
“Tak adalah, mama. Sebenarnya tadi, ‘Aisy kat dapur. Bersarapan. Mama dah makan? ‘Aisy ada masakkan nasi goreng. Jomlah sarapan sekali.” Ajak ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman kelat. Pedih sindiran pedas yang meniti di bibir Puan Sri Nora. Namun dia harus menghadapinya dengan sabar. Selagi dia mampu bertahan, dia akan cuba. Meskipun dia tahu kesabarannya tidaklah setinggi mana, terutamanya apabila menyentuh tentang isu anak. Mudah sekali hatinya tersentuh dan tercalar.
“Tak payah, kami datang sini bukannya nak makan masakan orang kampung macam kamu ni.” Tolak Puan Sri Nora dingin.
 ‘Aisy mengangkat wajah. Sarat benaknya dengan tanda tanya. Mustahil Puan Sri Nora tahu tentang pembedahannya. Dia sendiri yang meminta Harris untuk merahsiakan kerana tidak mahu masalah kesihatannya mengganggu emosi Hajah Mariah. Hakikat yang dia tidak mampu melahirkan zuriat pasti akan membuatkan keluarga mertuanya kecewa. Sekurang-kurangnya biarlah berita itu disimpan buat sementara waktu kerana dia juga perlukan masa dan ruang untuk mengumpul kekuatan dalam menerima takdir hidupnya. Suatu hari nanti, lambat laun berita itu akan terbongkar juga. Cuma apa yang diharapkan, andai waktu itu tiba biarlah dirinya sudah cukup tabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Mama tak sangka, ya. Dalam lembut-lembut kamu ini, terselindung perangai busuk hati.” Kata-kata kasar Puan Sri Nora memangkas lamunan pendek ‘Aisy. Fikirannya kembali mendarat di atas realiti.
“Apa maksud mama? ‘Aisy tak faham.”
‘Aisy mengerutkan dahi. Wajah ibu mertuanya yang elegan berbaju sutera merah dipandang. Puan Sri Nora memang seorang wanita yang berkarisma dan sentiasa menjaga penampilan dirinya bersesuaian dengan status yang disandangnya.
“Kamu tak usah berpura-pura tak faham pula, ‘Aisy. Aku takkan termakan dengan lakonan polos kau ni. Sofia dah ceritakan semuanya pada aku.” Beritahu  Puan Sri Nora sambil tepat memanahkan jari telunjuknya ke arah ‘Aisy.
Mata ‘Aisy mencerlung ke arah Sofia yang segera menundukkan wajah. ‘Aisy tahu Sofia sengaja melarikan anak matanya daripada menjadi mangsa panahannya.
Auntie, tak payahlah ungkit lagi benda yang dah lepas. Lagipun Sofia tak apa-apa. Terseliuh sikit je pun..” Pujuk Sofia dengan mempamerkan wajah yang naif. Namun dsempat dia menghadiahkan senyuman sinis kepada ‘Aisy. Mengejek dalam diam.
“Seminggu kamu terlantar kat rumah dengan kaki berbalut kamu kata tak apa-apa? Kamu jangan lembut hati sangat, Sofia. Auntie tahu perempuan ni pernah jadi kawan baik kamu. Tapi takkanlah setelah apa yang dia dah buat pada kamu, kamu masih nak pertahankan perempuan tak guna ni.” Tegas Puan Sri Nora membuatkan Sofia menekur wajah ke lantai. Di dalam hati dia bersorak gembira. Rasakan kau, ‘Aisy.
Tiba-tiba ‘Aisy tergelak lucu. Perlahan dan lama-lama semakin kuat. Mula dapat membaca sandiwara yang sedang diarah dan dilakonkan Sofia. Memang kelas lakonan kau Sofia.
Sofia mengangkat wajah. Dia mengetap bibir. Terasa sakit hatinya dengan gelak sinis ‘Aisy.
“Yang kau tiba-tiba tergelak ni kenapa pula? Dah putus fius?” Tempelak Puan Sri Nora menyindir.
‘Aisy menghentikan tawanya seraya mengesat air mata di tubir matanya. Dia tersenyum sinis kepada Sofia. Hanya kerana ingin memiliki, kau dah berubah sejauh ini, Sofia. Kau bukan lagi Sofia yang pernah menjadi sahabat baik aku. Baiklah, kalau kau ingin sangat bermain dengan api, kita tengok siapa yang akan terbakar nanti. Bisik hati ‘Aisy sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
 “Cerita rekaan yang macam mana pula Sofia dah beritahu mama kali ini? Setelah apa yang dah berlaku sebelum ni, takkan mama masih nak percayakan dia ni?” Soal ‘Aisy.
Puan Sri Nora sedikit terkedu dengan pertanyaan ‘Aisy. Senyap.
“Kali ini apa pula yang aku dah buat pada kau, Sofia?” Jelas suara ‘Aisy bernada sindiran. Dia menantikan buah jawapan Sofia namun mulut gadis itu bagaikan terkunci rapat. Ingin dia melihat sejauh mana wayang yang sedang dipentaskan Sofia. Saat itu, dia pasti Sofia sengaja mengada-adakan sebuah cerita untuk mengenakannya. Dengan bermodalkan wajah lembut dan sopan, tidak sukar bagi Sofia untuk meyakinkan Puan Sri Nora dengan cerita palsunya.
“Kamu jangan pandai-pandai nak menuduh Sofia pula. Kalau dah bersalah tu, mengaku sajalah. Tak perlu berpura-pura nak menyindir segala.” Tingkah Puan Sri Nora membela dengan riak wajah kelat.
Sofia tersenyum sinis. Jelas terpancar riak kemenangan di wajahnya kerana berjaya membuatkan Puan Sri Nora berpihak kepadanya.
“’Aisy minta maaf kalau pertanyaan ‘Aisy tadi buat mama terasa. Cuma ‘Aisy tak faham bila mama nak ‘Aisy mengaku kesilapan yang ‘Aisy sendiri tak tahu. Sedangkan ‘Aisy tak pernah buat apa-apa salah pun pada Sofia.” Balas ‘Aisy mempertahankan diri dengan suara yang tertahan-tahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal oktaf suaranya. Bimbang jika dianggap kurang ajar terhadap ibu mertuanya sendiri.
“Singkat sangat ingatan kamu ni ya ‘Aisy. Kalau kamu lupa biar aku yang ingatkan kamu balik. Dua minggu lepas, Sofia ada datang jenguk kamu di rumah sewa kamu kan?” Pandangan mata Puan Sri Nora tepat merenungnya.
‘Aisy mengangguk. Dengan berani dia membalas pandangan itu. Dia tidak salah dan kerana itu dia berani mempertahankan kebenarannya.
“Ya, betul. Memang Sofia ada datang ke rumah ‘Aisy. Tapi ‘Aisy tak tahulah apa tujuan kedatangan dia sebenarnya. Sama ada atas nak menziarah kawan lama ke atau sekadar nak mencarik luka di parut lama.” Perli ‘Aisy. Dia perasan wajah yakin Sofia sedikit berubah riak.
‘Sampai hati kau cakap aku macam tu, ‘Aisy. Aku memang ikhlas datang melawat kau. Lagipun kita dah lama sangat tak jumpa. Niat aku cuma nak sambung balik persahabatan kita yang dah terputus tu. Aku tak ada niat lain.” Sebak suara Sofia.
Sesiapa yang tidak pernah mendengar kelembutan bicaranya pasti akan mudah terpedaya. Tetapi tidak bagi ‘Aisy. Cukuplah sekali dia tertipu dengan sandiwara Sofia. Jadi, dia tidak akan membiarkan perempuan itu menindas nya sesuka hati.
“Ya ke? Tapi aku rasa apa yang berlaku hari tu tak menggambarkan langsung niat kau yang ikhlas tu. Kalau kau betul-betul ikhlas, kau takkan tolak aku sampai jatuh tangga kan? Kalaulah kau tak sengaja sekalipun, kenapa kau tergamak biarkan aku sendirian dalam kesakitan?”
Hamburan berani ‘Aisy membuatkan Sofia terpempan. Bibirnya terketar-ketar, sedikit terkejut dengan sikap agresif yang ditunjukkan ‘Aisy. Wanita yang pernah menjadi teman baiknya itu ternyata sudah jauh berubah. Suaranya seakan tidak terkeluar untuk membalas kata-kata ‘Aisy.
Namun reaksi itu hanya seketika. Sofia kembali bijak melakonkan wataknya tbila dia menyedari perubahan pada wajah Puan Sri Nora yang sedang menagih sebuah penjelasan darinya.
“Sanggup kau letakkan kesalahan kau sendiri pada aku, ‘Aisy. Kau yang tertolak aku jatuh dari tangga. Aku tahu kau tak sengaja. Aku tak pernah salahkan kau walaupun seminggu aku terlantar kat atas katil. Kau tahu betapa aku sayangkan persahabatan kita ini. Jika ini harga yang perlu aku bayar untuk kembalikan persahabatan kita, aku tak kisah. Tapi aku sedih bila kau tuduh aku yang tolak kau.” Bohong Sofia dalam esakan yang dibuat-buat. Pipinya sudah dibasahi air mata.
Pandangan Puan Sri Nora mencerlung ke arah ‘Aisy. Ternyata drama air mata yang ditayangkan nya berjaya mengundang simpati Puan Sri Nora. Kebenciannya terhadap ‘Aisy semakin meluap-luap.
“Kamu jangan putarbelitkan cerita, ‘Aisy. Sekarang ini kamu nak letakkan kesalahan kamu pada Sofia pula? Kejamnya kamu ni, ‘Aisy. Kamu tahu tak perbuatan kamu ni boleh didakwa! Mujurlah Sofia ni masih ada belas kasihan pada kamu lagi. Aku nak kamu melutut minta maaf dengan Sofia sekarang!” Perintah Puan Sri Nora keras.
‘Aisy mengeluh berat. Bulat matanya memandang wajah Puan Sri Nora dan Sofia silih berganti. Jika diikutkan rasa hati, ingin sahaja dia membentak dengan tuduhan dan permintaan tidak masuk akal Puan Sri Nora. Dia tidak akan sekali-kali memohon maaf pada sebuah kesilapan yang tidak pernah dilakukannya. Namun dia perlu bertenang. Dia harus bijak menangani tohmahan yang sengaja diada-adakan Sofia. Dia tahu tujuan gadis itu hanyalah untuk meraih simpati dan perhatian daripada Puan Sri Nora.
“Mama, mama. Takkan semudah itu mama boleh percayakan Sofia ni? Apa yang buatkan mama terlalu yakin ‘Aisy yang menolak Sofia sedangkan mama tak ada pun masa kejadian tu kan? Sofia ni ada bukti ke?” Soal ‘Aisy bertalu-talu dengan tertawa sinis. Entah kenapa tangkai hatinya digeletek dengan rasa lucu. Lucu dengan sikap manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan peribadi. Sofia memang seorang yang oportunis. Bijak memanipulasikan keadaaan dan mengambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. 
“Tak perlu kamu persoalkan kepercayaan aku pada Sofia. Aku kenal Sofia ini macam mana. Dia daripada keturunan baik-baik. Mustahil dia sengaja mereka-reka cerita. Kalau kamu, aku tak tahulah. Anak nelayan yang entah dari mana-mana asalnya.” Hambur Puan Sri Nora dengan pedas.
Tersentap hati ‘Aisy dengan penghinaan ibu mertuanya. Hatinya sudah tidak mampu disabarkan terutama apabila melibatkan nama mak dan ayahnya sendiri. Itu bukan kali pertama dia menerima penghinaan sebegitu daripada Puan Sri Nora. Sejak dari awal pernikahannya dengan Harris lagi dia terpaksa menebalkan telinga dan mengebalkan hati dengan setiap sindiran pedas. Jika dulu dia mampu bertahan demi cintanya pada Harris tetapi tidak kini.
“‘Aisy juga dah cukup lama kenal siapa Sofia ini. Hampir lima belas tahun, mama. Dia pernah menjadi kawan baik yang sangat ‘Aisy percayai. Kawan yang berkongsi suka duka bersama. Tetapi akhirnya dia berubah menjadi kawan yang sanggup menikam ‘Aisy dari belakang. Hanya semata-mata untuk memenuhi kehendaknya.” Luah ‘Aisy tanpa berselindung.
Rasa terkilan yang dipendamkan selama ini membuatkan dia melepaskan perasaan. Setitis air matanya gugur. Namun, cepat-cepat dia menyeka mutiara jernih itu. Tidak pernah sekali-kali dia melupakan pengkhianatan Sofia terhadapnya. Sebuah pengkhianatan yang telah membuka matanya untuk mengenali siapa sebenarnya Sofia. Sakit hatinya masih terasa sehingga kini.
“Apa yang kau merepek ini, ‘Aisy? Kau tuduh aku mengkhianati persahabatan kita? How could you, ‘Aisy. I’m so disappointed with you!” Bantah Sofia dalam sendu. Semakin kuat pula esakan gadis itu.
Puan Sri Nora menghampiri Sofia dan menenangkan gadis itu di dalam pelukannya.
“Dan aku juga dah lama kecewa dengan kau, Sofia. Selama ini aku cuba bersabar dengan setiap perbuatan kau kerana mengenangkan secebis kenangan yang tinggal buat persahabatan kita. Jadi sebelum mulut aku ini mengungkit setiap perbuatan keji kau yang tidak sepatutnya dibangkitkan, lebih baik kau balik. Sementara sisa kesabaran aku ini masih ada.” Balas ‘Aisy tanpa perasaan. Sengaja dipamerkan wajah tanpa reaksi, tidak mahu menjadikan dirinya lemah dengan permainan Sofia. Namun, jauh di sudut hatinya dia tidak mampu lari daripada rasa terkilan dengan apa yang telah berlaku.
“Kita balik, auntie. Sofia dah tak tahan nak dengar segala tuduhan ini semua.” Ajak Sofia masih dalam esak tangisnya.
Sekali lagi ‘Aisy tersenyum sinis. Dia tahu Sofia sudah mula mengaku kalah dengan permainan yang dimulakannya sendiri. Tidak mungkin Sofia sanggup membenarkannya menghitung setiap kesilapan yang pernah dilakukannya terutama di hadapan Puan Sri Sofia.
“Kau halau kami, ‘Aisy? Perempuan kurang ajar!” Jerit Puan Sri Nora sambil mengangkat tangannya tinggi, bersedia untuk menghadiahkan tamparan ke pipi ‘Aisy.
“Mama!”
Kemunculan Harris di muka pintu benar-benar membuatkan Puan Sri Nora terkesima. Tangannya yang sedang terawang di udara terhenti dan akhirnya dijatuhkan.

Tajam anak mata Harris memerhatikan satu persatu wajah yang berada di ruang tamu. Sorotan matanya semakin cerlung apabila singgah di seraut wajah milik ‘Aisy yang sedang mempamerkan wajah tanpa reaksi. Kosong!

1 comment:

Tinggalkan jejak anda..