Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 17 EV

Setelah sejam ‘Aisy tertidur, dia terjaga apabila sayup-sayup azan Zuhur kedengaran. Serentak itu, gegendang telinganya disapa dengan bunyi deringan telefon bimbitnya. Dengan kepala yang masih lagi berdenyut-denyut, terkial-kial ‘Aisy mencapai telefon bimbit yang diletakkan di dalam tas tangan. Belum sempat dia mengangkat panggilan, deringan telah terputus. Beberapa saat kemudian, telefon di tangannya berbunyi lagi. Dia menjawab panggilan tanpa melihat nama pemanggil terlebih dahulu.
“Assalamualaikum.” Sapa ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak. Matanya dipejamkan cuba meredakan sakit di kepalanya.
“Waalaikumsalam. Kau sihat ke tak ni? Lain macam je aku dengar suara kau.” Suara Sakeena runsing di hujung talian.
“Aku sakit kepala sikit. Lepas makan ubat nanti baiklah. Kenapa kau call aku ni?” ‘Aisy menyoal sambil tangannya ligat memicit dahinya. Beginilah kalau migrain menyerang. Senak mencucuk sehingga ke bebola mata.
“Aku call ni nak tanya kau dah boleh balik ke petang ni? Kalau dah, petang nanti aku gerak terus ke hospital dari tempat kerja. Tengah hari ni aku dan Feeza tak datanglah jenguk kau.”
Jawapan Sakeena membuatkan ‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Dia terlupa memaklumkan Sakeena yang dia telah keluar hospital pagi tadi. Mujur Sakeena menelefonnya terlebih dahulu.
Sorry, Keena. Aku lupa nak beritahu kau. Sebenarnya aku dah keluar hospital. Pagi tadi Harris jemput aku.” Beritahu ‘Aisy dengan suara yang lemah. Memikirkan perihal Harris membuatkan denyutan di kepalanya semakin kuat.
“Harris jemput kau?” Sakeena meninggikan sedikit suaranya. Ada nada terkejut di situ. Semalam bukan main lagi temannya itu menceritakan tentang rajuk Harris. Cepat benar rajuk Harris hilang. Mungkin benar lelaki itu sudah jauh berubah. Tidak lagi mudah melatah dan baran seperti dahulu.
“Ha’ah, aku pun pelik bila dia tiba-tiba muncul. Sekarang ini dia paksa aku pindah tinggal dengan dia.” Adu ‘Aisy. Dia menjadi serba salah. Bimbang keputusan drastik yang dibuat Harris bakal menyusahkan kedua-dua teman serumahnya yang mungkin terpaksa mencari penyewa lain.
“Pindah? Oh, patutlah kawan aku ini migrain. Rupanya sedang fikirkan masalah negara.”
Meletus tawa kecil dari mulut Sakeena. Sempat lagi dia mengusik ‘Aisy. Namun di dalam hati, dia gembira dengan perkembangan yang disampaikan. Mungkin ini akan menjadi titik tolak kebahagiaan rumah tangga Harris dan ‘Aisy.
“Ini bukan masalah negara, tapi masalah dunia. Harris dah tak nak bertolak-ansur dengan aku.” Bisik ‘Aisy memancing sokongan Sakeena. Selama ini hanya pada Sakeena lah tempat dia meluahkan segala masalah dan kesedihan.
“Mungkin Harris buat macam itu supaya kau setuju pindah duduk dengan dia. Agaknya dia tak nak kau main tarik tali dengan dia, sebab itu dia bertegas.”
‘Aisy tergamam mendengar kata-kata Sakeena. Sejak bila Sakeena mula menyebelahi Harris? Semalam bukan main lancang mulut temannya itu mengkritik.
“Entahlah, Keena. Kalaulah aku masih seorang wanita normal seperti dulu, semua masalah ini pasti tak akan berlaku.” Keluh ‘Aisy. Sukarnya dirasakan untuk membina kembali keyakinan diri yang menghilang. Satu persatu peristiwa yang menguji hidupnya sejak empat tahun yang lalu membuatkan dia seakan hilang jati diri, hilang ketabahan dan semangat untuk hidup. Sebaliknya, dia menjadi seorang wanita yang lebih banyak mengalah dengan nasib diri.
“’Aisy, tak baik mengeluh. Kau dah lupa apa yang Feeza cakap semalam? Semua yang berlaku inikan ujian dari ALLAH. Dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Titian perjalanan hidup kita ini disusun dan diatur baik oleh-Nya. Lengkap dengan sebab dan musababnya sekali. Sama ada nampak ataupun tidak. Dan apa yang lebih penting Harris tak tinggalkan kau walau apa pun yang telah menimpa kau. Cubalah kau beri peluang kepada Harris dan diri kau sendiri. Aku yakin korang berdua mampu mencari bahagia bersama.”
‘Aisy terdiam mendengar butir bicara Sakeena. Sedikit demi sedikit kata-kata Sakeena mula terkesan di hatinya. Namun tidak cukup untuk menghilangkan kerisauan yang merantai hati.
“Tapi, macam mana dengan nenek Harris? Papa dan mama Harris? Harris anak tunggal dan dia cucu lelaki tunggal. Mesti mereka inginkan zuriat dari keturunan Harris. Lagipun kau tahu sajalah macam mana penerimaan papa dan mama Harris terhadap aku. Perkara ini pasti akan mengeruhkan lagi keadaan.” Hujah ‘Aisy dengan kebimbangannya yang tak pernah surut. Pasti bukan mudah untuk ahli keluarga Harris menerima kekurangannya itu.
“Itulah silapnya kau. Dalam kepala itu asyik fikirkan kebahagian dan kepentingan orang lain saja. Kita tak mampu nak puaskan hati semua orang, ‘Aisy. Sekarang ini, apa yang penting kau fikirkan kebahagiaan kau bersama Harris dulu. Cubalah pentingkan diri sendiri itu sikit. Tak sudah-sudah nak korbankan perasaan sendiri. Kau tu cuma manusia biasa. Bukannya bidadari dari kayangan.” Nasihat Sakeena. ‘Aisy memang terlalu baik dan lembut hati. Dan kerana kebaikan itulah dia sanggup membiarkan diri sendiri terluka dan kecewa demi melihat orang lain gembira.
“Tapi aku bakal ketua bidadari di syurga buat…” Sela ‘Aisy. Namun kata-katanya terhenti tatkala lidahnya mahu melantunkan nama Harris. Menyedari keterlanjuran katanya, dia jadi termalu sendiri.
“Ya, aku tahu. Kau bakal ketua bidadari Harris di syurga nanti.” Sahut Sakeena sambil tergelak kuat.
‘Aisy tersenyum nipis. Terasa wajahnya hangat. Mujur Sakeena tidak ada di depannya. Jika tidak pasti lagi galak temannya itu mentertawakannya.
“Sakan kau gelakkan aku ya.” Marah ‘Aisy.
“Kau ni, ‘Aisy. Selalu sangat fikir payah. Jalan yang lurus dah di depan mata, kau pilih juga jalan yang bersimpang siur. Jangan tolak peluang kau nak meraih bahagia.” Ujar Sakeena sebaik tawanya kembali reda.
“Tapi…”
“Tapi apa lagi? Fasal mertua kau? Kisah tu empat tahun lebih dah kan, ‘Aisy. Entah-entah mereka semua dah sedar dengan kesilapan masing-masing. Harris yang ego dan panas baran tu pun dah jauh berubah. Masa boleh merubah segala-galanya. Kau kena optimis, ‘Aisy. Mana sikap juang yang selalu ada dalam diri kau? Dulu kau selalu nasihatkan aku, berusaha dan bertawakal. Ini belum apa-apa kau dah mengaku kalah. Bukankah kau selalu kata gagal setelah berjuang lebih baik daripada tewas tanpa usaha.” Pangkah Sakeena panjang lebar membuatkan ‘Aisy terkedu.
“Sebagai kawan baik kau, aku inginkan kau bahagia dengan orang yang kau cinta. Kalau kau sakit aku pun terasa tau. Hanya Harris yang mampu membuatkan kau bahagia kerana hanya dia yang berjaya mencuri hati kau. Jadi, sebagai kawan aku akan sentiasa menyokong dan mendoakan kebahagiaan kau bersama Harris. Sekarang, Harris dah bawa kau duduk bersama dengan dia. Ini langkah yang terbaik untuk memperbaiki hubungan korang berdua.” Tekan Sakeena. Memang dulu dia pernah marah dengan apa yang telah berlaku antara dia dan Harris. Namun, penyesalan Harris telah mengubah persepsinya terhadap lelaki itu.
‘Aisy terharu. Satu persatu ayat yang dituturkan Sakeena masuk ke gegendang telinga dan melekat di hati. Membuka mindanya untuk melihat hidupnya dari sudut yang berbeza. Mungkin benar dia masih punya peluang untuk mengecap bahagia bersama Harris.
“Thanks, Keena. Kau selalu ada bila aku perlukan kau.” Ucap ‘Aisy sebak.
“Dah, tak nak sedih-sedih. Kebahagiaan memang dah terbentang di depan kau, ‘Aisy. Tinggal kau nak atau pun tak nak saja. Janji dengan aku kau kena bahagia. Janji?”
“Ya, aku janji.” Lambat-lambat ‘Aisy membalas.
“Okaylah, aku nak drive ni. Jangan lupa makan ubat migrain tu. And one more thing, jangan lawan cakap suami lagi, tak baik.” Pesanan Sakeena membuatkan ‘Aisy tersenyum kecil.
“Okay, bawak kereta hati-hati. I love you, darling. Thanks for everything.”
“I love u too. Tapi aku cintakan tunang aku, Raziq. Hahaha…Okay, aku chow dulu. Salam.”
Tergelak kecil ‘Aisy mendengar cara pamitan Sakeena sebelum mematikan talian telefon. Keceriaan temannya itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya terhibur. Hilang sedikit denyutan di kepalanya.
“Padanlah abang mesej tak balas, call tak berangkat. Rupanya tengah seronok bergayut.”
‘Aisy tersentak dengan sapaan Harris. Serta-merta senyuman di wajahnya mati. Terlalu leka berbual dengan Sakeena membuatkan dia langsung tidak mendengar bunyi enjin kereta Harris.
‘Aisy merenung skrin telefonnya. Ada 15 mesej dan 20 panggilan tidak berjawab! Dia menelan liur. Teringat pesanan Harris yang memintanya menjawab setiap panggilan dan mesej daripada lelaki itu. Wajah Harris yang kelat dipandangnya dengan rasa gugup.
“Err.. saya minta maaf. Saya tak sedar tadi. Saya ti…”
“Yalah, nak sedar macam mana kalau tengah asyik memadu asmara kat telefon.” Sampuk Harris sambil menjeling 'Aisy tajam. Perasaaan cemburu meluap-luap apabila telinganya sempat menangkap perbualan telefon ‘Aisy yang sedang mengungkapkan kata-kata cinta. Makin panas cuping telinganya mendengar gelak kecil isterinya itu.
Sudahlah sepanjang satu jam dia tidak senang duduk apabila mesej dan panggilannya tidak dijawab ‘Aisy. Langsung dia hilang fokus terhadap perbincangan dengan Dato’ Bakri, pelanggan penting syarikatnya. Mujur Dato’ Bakri juga terpaksa cepat beredar kerana ada urusan lain. Tidak tunggu lama dia segera memecutkan keretanya pulang ke rumah, bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini.
“Apa yang awak merepek ni, Harris? Saya cuma berbual dengan Sakeena tadi.” ‘Aisy menyangkal tuduhan Harris. Dia buntu melihat Harris yang pulang dengan wajah yang merah padam. Tiba-tiba baran tidak tentu fasal. Baru tadi hatinya menanam azam untuk berbaik-baik dengan Harris. Kalau beginilah perangai Harris, dia perlu fikir beribu-ribu kali dengan keputusannya. Tak habis-habis dengan cemburu buta.
“Jangan bohong abang. Takkan cakap dengan Sakeena sampai perlu bersayang-sayang bagai?” Soal Harris tidak percaya.
‘Aisy mendengus perlahan. Sejak dari dulu Harris memang tidak pernah percayakannya seratus peratus. Ada sahaja rasa curiga terhadap kesetiaannya sebagai seorang isteri di hati Harris. Dia sendiri tidak faham kenapa Harris perlu berperasaan begitu. Hendak dikatakan dia mempunyai wajah secantik ratu atau tubuh langsing persis model jauh sekali. Perwatakannya pun tidaklah menarik sehingga mampu membuatkan hati mana-mana lelaki cair dengannya. Semakin serabut kepalanya memikirkan kerenah Harris.
“Sakeena kawan baik saya. Salah ke kalau saya sayangkan kawan saya sendiri?" Suara ‘Aisy lemah mempertahankan. Dia memejamkan matanya. Serangan migrain di kepala yang sudah reda kembali menggila.
“Abang tak percaya. Cakap, siapa lelaki yang call ‘Aisy tadi?” Desak Harris mengeraskan suaranya. Semakin hangat hatinya melihat ‘Aisy yang bagaikan tidak acuh dengan pertanyaannya.
“Mana ada lelaki, Harris. Sakeena yang call saya. Kalau awak tak percaya sangat awak check call register dalam telefon saya ini. Tengok siapa orang terakhir yang call.” Ujar Sakeena seraya mengunjukkan telefonnya kepada Harris. Tidak larat hendak berlawan tekak dengan Harris.
Harris menyambut telefon bimbit yang dihulurkan ‘Aisy. Air mukanya berubah apabila terbukti kebenaran kata-kata ‘Aisy. Dia meraup rambutnya dan beristighfar di dalam hati. Sekali lagi dia tewas untuk berfikir dengan waras akibat cemburu yang dibiarkan menguasai diri.
“Awak memang tak pernah percayakan saya kan? Dari dulu sampai sekarang. Walaupun saya ini isteri awak yang derhaka, tapi saya masih belum tergamak nak menduakan awak.” Balas ‘Aisy berkecil hati seraya menuruni katil dan melangkah lemah ke arah pintu bilik. Dia rimas melayan cemburu Harris yang tidak pernah habis.
“Sayang nak ke mana tu?”
Pertanyaan Harris hanya dibiarkan sepi. Rajuk di hati membuatkan mulutnya berat untuk menjawab. Di tangannya tergenggam botol ubat migrain. Dia ingin ke dapur untuk mendapatkan air. Sudah tidak tahan menanggung sakit yang semakin menyenakkan kepala.
Perlahan-lahan ‘Aisy melangkah menuruni tangga. Walaupun pandangan matanya berpinar-pinar, dia tetap menggagahkan diri. Rasa sakit di hati menjadikan dia degil untuk meminta pertolongan Harris. Namun, pandangan matanya yang berpusing-pusing menyukarkan dirinya untuk mengagak tinggi rendah anak tangga yang dipijak. Hampir sahaja dia terjatuh bila langkah kakinya hilang pertimbangan.
Harris yang mengekori ‘Aisy dari belakang pantas memaut bahu isterinya. Di cempung tubuh ‘Aisy sehingga ke ruang tamu, lalu dibaringkan di atas sofa. Matanya sempat menangkap ubat migrain yang sedang digenggam isterinya.
‘Aisy mengetap bibir. Matanya menghantar kelibat Harris yang sedang melangkah ke ruangan dapur. Setiap kali dia cuba menjadi kuat di depan Harris, pasti sebaliknya yang berlaku.
Harris muncul dengan sepinggan nasi dan segelas air di tangan.
“Sayang, makan nasi ni.” Intonasi suara Harris berubah kendur. Tidak lagi dingin seperti tadi.
 “Saya tak ada selera.” Tolak ‘Aisy. Sepinggan nasi putih yang berlaukkan ikan panggang dan sayur air hanya dikerling sekilas. Macam lauk orang berpantang.
“Sayang nak makan ubatkan? Kenalah alas perut tu dulu.” Sela Harris sambil menyuakan sesudu nasi ke mulut ‘Aisy.
“Saya boleh suap sendiri.” Gumam ‘Aisy tanpa memandang ke arah Harris. Dia rimas dengan dengan layanan lelaki itu.
Harris mengalah dengan keengganan ‘Aisy. Hanya bebola matanya yang asyik memerhatikan pergerakan isterinya. 
“Kenapa makan sikit sangat?” Soal Harris apabila ‘Aisy berhenti setelah tiga sudu nasi masuk ke perutnya
Tanpa menghiraukan pertanyaan Harris, ‘Aisy menelan dua biji ubat migrain. Disandarkan badannya pada bahu sofa. Beberapa minit kemudian kepalanya yang berat terasa sedikit ringan.
“Dah okay sikit?” Tanya Harris sambil memandang isterinya. Riak risau jelas terpeta di wajahnya.
‘Aisy hanya membalas dengan anggukan. Masih berkecil hati dengan sindiran yang dihamburkan Harris. Dia bingkas bangun. Rimas dengan renungan Harris.
Harris menggenggam tangan ‘Aisy untuk menghalang langkah isterinya.
“Sayang, abang minta maaf fasal tadi.” Mohon Harris dengan rasa bersalah. Sesal dengan tindakannya yang terburu-buru. Kadang-kadang dia gagal mengawal barannya.
“Please forgive me.” Rayu Harris lagi sambil menarik rapat ‘Aisy ke tubuhnya.
‘Aisy mengeluh lemah.
“Tak perlu awak ragu kesetiaan saya pada awak, Harris. Kalau saya nak curang, empat tahun dulu saya dah buat. Tak perlu saya tunggu sekarang dan di depan awak. Lagipun, saya tahu status saya sebagai seorang isteri.” Desis ‘Aisy perlahan.
“Betul sayang tak pernah curang pada abang?” Soal Harris curiga dengan pandangan yang sukar dimengerti. Riak wajahnya kembali berubah tegang.
“Tak pernah, Harris. Tak pernah walaupun sekali.” Tegas dan yakin dia membalas. Tidak pernah walaupun sekali hatinya berkalih untuk lelaki lain.
“Sayang pasti? Cuba sayang fikirkan betul-betul. Maybe you’ve got something to confess” Sinis Harris.
“What do you mean? Apa lagi yang awak nak tuduh saya kali ini, Harris? Apa yang dah berlaku selama ini tak cukup ke untuk buat awak percayakan saya?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut ‘Aisy. Sindiran Harris benar-benar mencabar kesabarannya. Bagaikan bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletus.
Takkan Harris masih tidak berpuas hati dengan fitnah video yang memaparkan wajah perempuan mirip sepertinya. Bukankah semua fitnah itu sudah terjawab dan dijelaskan. Malah, Sakeena dan Raziq sendiri yang berjumpa dengan Harris untuk menunjukkan alibi bagi membuktikan bukan dia yang berada dalam video itu.
Mujurlah pada tarikh dan waktu video lucah tersebut dirakamkan, dia sedang mengikuti bengkel di Hotel Pan Pasific, Johor Baru. Kebetulan, aktiviti peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut turut dirakam dalam bentuk gambar dan video. Sakeena dan Raziq lah yang bersusah payah mendapatkan salinan video daripada pihak penganjur. Semata-mata ingin membersihkan nama baiknya.
“How about Jason Alexander Carter? Didn’t you remember those 33 roses that he gave you on your convocation day?”
Pertanyaan sinis Harris benar-benar membuatkan ‘Aisy terpempan. Dia sangat terkejut dengan nama yang disebut Harris. Dan apa yang lebih mengejutkannya macam mana Harris boleh mengetahui semua itu. Sedangkan semua itu berlaku ketika dia berada di London.
“Macam mana awak tahu tentang Jason?” Tajam anak mata ‘Aisy memandang Harris.
Jason merupakan teman baik ‘Aisy ketika dia sedang menuntut di London. Kebetulan Jason merupakan pegawai penyelidik yang banyak membantunya dalam kajian yang dilakukannya. Malah, hubungan mereka semakin rapat apabila Jason sering bertanyakan padanya tentang Islam. Pemikiran Jason yang terbuka membuatkan dia selesa berbincang dan bertukar pendapat dengan lelaki British itu. Tetapi keakraban mereka tidak pernah melebihi batas sebagai kawan.
“Macam mana abang tahu itu tak penting. Yang penting sekarang ini abang nak tahu apa sebenarnya hubungan sayang dengan mat salleh tu. You never confess anything about Jason to me.” Tekan Harris.
“Apa yang saya nak confess? Saya tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa dengan Jason. He just my best buddy in London. Nothing more!” Balas ‘Aisy geram. Curiga Harris memang melampau. Semakin sakit hatinya melihat senyuman sinis di bibir lelaki itu.
“Best buddy sampaikan sanggup hadiahkan bunga ros. 33 kuntum. Sayang tahu tak apa simbolik 33 kuntum tu? It means I LOVE YOU.” Bentak Harris membuatkan ‘Aisy semakin rimas.
“For God sake, ia hanyalah bunga. Lagipun perkataan love itu luas maknanya. Mungkin itu sebagai tanda sayang untuk persahabatan kami.” Pertahan ‘Aisy. Dia memang tidak pernah tahu apa makna di sebalik bilangan kuntum bunga ros yang dihadiahkan oleh Jason. Dia tidak pernah ambil kisah. Dia menerima pemberian Jason atas dasar kawan. Tidak pernah langsung dia merasa ragu. Tetapi, kenapa Harris perlu mempersoalkan kejujurannya dengan membangkitkan sekecil-kecil perkara. Hanya kerana bunga ros boleh membuatkan Harris cemburu padanya!
“Abang tak sangka taste sayang berciri antarabangsa juga ya.” Pedas sindiran Harris membuatkan hati ‘Aisy tergores. Begitu sekali Harris menilai kejujurannya. Dek gagal mengawal rasa marah dan kecewa yang membuak-buak, air matanya tumpah jua.

“Cukuplah, Harris. Tak guna saya bertekak dengan awak.” ‘Aisy bangun menuju ke tingkat atas. Rawan hatinya dengan tuduhan Harris membuatkan dia tidak betah lagi berada di situ. Lagipun ada tanggungjawab yang belum ditunaikan. Lebih baik dia menunaikan solat Zuhur yang telah banyak masuk waktu. Sekurang-kurangnya dengan mengadu kepada Tuhan, hatinya yang sakit sedikit terubat dan kembali tenang.

5 comments:

  1. ish..harris ni..ketuk kepala tu karang..haish..tak serik2

    ReplyDelete
  2. geram pulak dgn harris ni..buat salah minta buat salah minta maaf.senang betol

    ReplyDelete
  3. msh tk insaf lg si harris ni... 😬

    ReplyDelete
  4. Eiiii haris ni, kecik besor je menengoknyeee.

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..