‘Aisy berusaha bangkit dari perbaringannya biarpun payah. Kesan
pembedahan laparoscopic yang telah dijalani petang semalam
sedikit membataskan pergerakannya. Namun
dia menggagahkan dirinya untuk ke bilik air dek rimas dengan tubuh badannya
yang melekit. Sudah lebih sehari dia tidak mandi.
Dengan berhati-hati ‘Aisy menuruni katil. Kesakitan yang mencucuk
di bahagian perutnya kesan pembedahan cuba ditahan sekuat hati. Sesekali
mulutnya berdecit menahan rasa pedih setiap kali tubuhnya bergerak. Setiap kali
itulah juga langkah yang diatur terhenti.
“Sayang nak ke mana ni?” Soal Harris sebaik melangkah ke dalam wad
kelas pertama itu. Bulat matanya memandang ‘Aisy yang sedang berdiri dalam
keadaan yang sedikit membongkok menahan kesakitan. Baru sekejap dia meninggalkan
‘Aisy sendirian untuk mengambil air. Termos yang baru diisi dengan air panas
segera diletakkan di atas meja di tepi katil.
“Bilik air.” Beritahu ‘Aisy pendek. Dia meneruskan langkah biarpun
perlahan. Tidak mahu menunjukkan yang dia lemah di hadapan Harris.
“Kalau nak ke bilik air pun, tak boleh tunggu abang ke? Abang kan
dah pesan tadi, kalau nak apa-apa tunggu abang. Sayang masih tak larat nak
bergerak sendiri. Kalau jadi apa-apa kan susah.” Nada suara Harris sudah naik
satu oktaf. Dia menghampiri ‘Aisy dan memaut bahu isterinya.
“Saya boleh buat sendiri.” Jawab ‘Aisy dingin. Tangan Harris
ditepis lembut. Dikeraskan hatinya daripada menerima pertolongan Harris. Tidak
mahu mengajar dirinya untuk terlalu bergantung. Empat tahun dia telah melatih
dirinya untuk tabah mengharungi hidup sendirian. Dan pasti dia boleh
melakukannya tanpa bantuan sesiapa.
“Sayang jangan degil. Berdiri pun tak seimbang, macam mana nak
buat semuanya sendiri. Mari abang papah ke bilik air.” Tingkah Harris kembali
melingkarkan tangannya di lengan ‘Aisy. Penolakan isterinya langsung tidak
dihiraukan.
“Saya kata saya boleh buat sendiri. Awak tak faham ke?” ‘Aisy
menjeling tajam ke arah Harris. Sengaja dia mengeraskan suara.
“Awak baliklah, Harris.” Sekali lagi dia menepis tangan Harris.
Maafkan saya, Harris. Bisik hati ‘Aisy. Dia tidak mahu Harris
berterusan melayannya dengan baik. Bimbang setiap kebaikan Harris membuatkan
hatinya bertambah berat untuk melepaskan lelaki itu pergi dari hidupnya.
“Kenapa keras kepala sangat ni? Dah tak sayang diri sendiri ke?”
Wajah Harris berubah tegang. Dia mula merasa geram dengan
kedegilan ‘Aisy. Namun disabarkan hatinya biarpun bukan mudah. Dia tahu ‘Aisy
tertekan.
“Tubuh saya, saya tahu macam mana nak jaga. Awak tak perlu
bersusah payah. Baliklah, Harris. Saya tahu awak sibuk. Jangan sebab saya awak
terpaksa tanggung kerugian pula. Saya tak mampu nak bayar ganti rugi pada
awak.” Sinis ‘Aisy.
Harris mendengus kasar. Kedinginan ‘Aisy yang semakin menjadi-jadi
membuatkan hatinya sedikit terkilan. Kesabarannya dirasakan semakin menipis.
Apatah lagi dia lelaki baran yang punya kesabaran yang tidak banyak.
Namun melihat kepayahan ‘Aisy menapak ke arah bilik air sendirian
membuatkan hati Harris turut sakit. Mana mungkin dia tega membiarkan isterinya
keseorangan menanggung penderitaan. Apatah lagi dalam keadaan emosi ‘Aisy yang
agak terganggu. Dia tidak boleh cepat melatah dan perlu terus menyokong ‘Aisy.
Terngiang-ngiang di telinganya pesanan Doktor Asyraff. Mengingatkan itu rasa
panas hatinya kembali sejuk.
“Sayang ingat dengan kepala batu sayang ni akan buat abang putus
asa menjaga sayang? Sayang ingat abang akan benarkan sayang sakiti tubuh sayang
sendiri kerana kedegilan sayang ni? Never, sayang. Dan jangan sekali-kali
bandingkan diri sayang dengan wang ringgit. You
are worth more than millions ringgit that I might loss. Diri sayang tiada
tukar gantinya dengan apa-apa pun dalam dunia ini. Cukuplah abang pernah
kehilangan sayang sekali and I
won’t let it happen again. Tiada
siapa lagi yang dapat pisahkan sayang daripada abang melainkan mati!”
Ketegasan bicara Harris membuatkan ‘Aisy terkesima. Kata-kata yang
mampu membuatkan matanya berkaca. Dia terharu.
Harris mengangkat tubuh ‘Aisy dan diletakkan di atas kerusi roda.
Kali ini tiada lagi penolakan daripada ‘Aisy. Terbias segaris senyuman puas di
wajah Harris. Tanpa menunggu lama dia menolak ‘Aisy ke bilik air.
Sedaya upaya ‘Aisy menahan air jernih yang sarat bertakung di
kelopak matanya daripada gugur. Namun setitik air matanya menitis jua. Hati
wanita mana yang tidak akan tersentuh mendengar luahan ikhlas daripada seorang
suami. Kenapa di saat hatinya telah membulatkan tekad untuk melangkah jauh dari
hidup Harris, semakin kuat kakinya diikat dengan kesucian kasih sayang yang
dicurahkan lelaki itu. Kenapa setiap kali dia sengaja membuatkan Harris lelah
dengan sikap dinginnya, lelaki itu dengan sabar meladeninya tanpa jemu. Kenapa
sukar benar untuk dia lari daripada Harris?
Kuatkan hati, ‘Aisy. Kau harus tetap dengan apa yang telah kau
rancang! Pantas dia menyeka air mata yang mula menitik membasahi pipi.
Kehadiran air mata hanya akan menampakkan perasaannya yang semakin tidak
ketentuan.
“Okay, sekarang kita dah di bilik air ni. Sayang nak buat apa?”
Soal Harris dengan suara yang ceria. Kemarahannya terus lenyap apabila ‘Aisy
tidak lagi berkeras menolak bantuannya. Dia tersenyum lalu duduk dia
mencangkung di hadapan ‘Aisy.
“Sayang nak mandi ke? Kalau nak mandi abang ambilkan tuala.”
Sekali lagi pertanyaan dilontarkan Harris setelah ‘Aisy masih diam tidak
berkutik. Jari-jemari ‘Aisy digenggam erat.
‘Aisy memejamkan mata saat sentuhan tangan kasar Harris melingkar
kemas di celah jari-jemarinya. Dia cuba mencari sisa kekuatan yang masih
tertinggal di dalam dirinya untuk membunuh kebaikan Harris.
“Sudahlah, Harris. Sama ada saya nak mandi ke atau nak buat apa
saja dalam bilik air ini tak ada kaitan dengan awak. Awak tak perlu sibuk.
Tolonglah keluar dari sini.” ‘Aisy menjawab kasar sengaja menjentik api
kemarahan Harris. Dia merentap kuat genggaman Harris. Nyata tindakannya itu
hanya mengundang rasa ngilu di bahagian insisi kecil yang telah ditebuk pada
abdomennya sewaktu pembedahan semalam. Spontan dia menekan perutnya.
“Kenapa ini, sayang? Kenapa jadi kasar macam ini? Sikap sayang ini
hanya buat tubuh sayang makin sakit.” Harris menahan nada suaranya.
Kesabarannya sekali lagi tercabar.
“Saya memang macam ini. Sekarang awak dah tahu kan? Saya seorang
perempuan yang kasar. Dan sebelum saya menjadi kurang ajar dengan awak, lebih
baik awak tinggalkan saya sendirian di sini!” Dikuatkan suaranya sambil
memandang tajam ke arah Harris. Bisanya kata-kata yang meniti di bibir ‘Aisy
bagaikan minyak gas yang dicurahkan ke dalam api.
“Rahadatul Aisy!” Bulat mata Harris memanggil nama penuh
isterinya. Dada lelaki itu mula berombak deras.
‘Aisy tahu apabila nama penuhnya mula disebut Harris, dia telah
berjaya menjentik api kemarahan suaminya. Langkah seterusnya dia hanya perlu
membuat Harris membenci dirinya.
“Just go home, Harris. I
don’t need you here. Kehadiran awak hanya menambahkan kesakitan dalam hati
saya ni. Dada saya ini sakit sangat, Harris. Macam ditoreh dengan pisau tanpa
ubat bius. Lebih hebat dari sakit yang saya tanggung kat perut ni.” Tutur ‘Aisy
pilu. Ya, bertambah sakit hatinya apabila terpaksa menuturkan ayat-ayat
penipuan ini.
Saya sangat-sangat perlukan awak, Harris. Kehadiran awak menemani
saya di sini cukup membahagiakan saya. Indahnya perasaan ini apabila mengetahui
diri saya ini lebih penting daripada urus niaga awak yang bernilai jutaan ringgit
itu. Tetapi saya terpaksa, Harris. Awak perlukan zuriat untuk menyambung
keturunan awak di dunia ini. Satu-satunya hadiah yang saya tak mampu berikan
pada awak. Maafkan saya, Harris. Rintihan itu hanya bergema sayu di dalam hati
‘Aisy.
“Sayang, abang cuma jalankan tanggungjawab abang sebagai suami. I know I have made a lot of
mistakes before. Please, give me a chance to fix everything.” Rayu Harris
dengan suara yang serak.
‘Aisy mengalihkan pandangannya ke arah lain. Tidak sanggup dia
melihat mata Harris yang berkaca bening.
“There is nothing to fix, Harris. Tak mungkin awak dapat
padamkan apa yang dah berlaku. Semuanya tetap kekal sebagai kenangan hitam.
Kalaulah saya mampu nak buang semua kenangan itu tapi saya tak boleh. Makin
saya cuba makin kuat hati saya membenci awak, Harris. Sebab awaklah penyebab
kenangan pahit itu. Bagaimana saya mampu nak teruskan hidup dengan orang yang
saya benci?” Bohong ‘Aisy. Dia mengetap bibirnya kuat menahan kepedihan untuk
setiap kata pembohongan yang dilafazkan bibirnya.
“Kenangan tak mungkin boleh diubah tapi hanya boleh diingat. Dan
setiap kali saya ingat semua kenangan pahit itu, hidup saya jadi tak tenang.
Tolonglah pergi, Harris. Berilah ruang untuk saya bina hidup yang lebih tenang
dengan melupakan awak. Berilah peluang saya mencari bahagia hidup saya
sendiri.” Sambung ‘Aisy. Digagahi jua bibirnya menuturkan pembohongan demi
pembohongan. Bicara pedih yang pasti membuatkan Harris berhenti dari terus
mengejar cintanya.
“Terima kasih sayang sebab sedarkan abang. Walaupun pahit tapi
memang itu kebenaran yang abang harus telan. Nampaknya kesilapan abang dulu
benar-benar dah campakkan abang jauh dari hidup sayang. Benci sungguh sayang
pada abang, ya.” Sebak Harris. Setitis air mata lelakinya gugur. Pedihnya
hakikat yang terpaksa diterimanya.
“Dahlah, Harris. Saya dah penat dengan semua ini. Tolonglah
keluar. Saya nak mandi.” Dengan cara yang lembut dia menghalau Harris pergi.
Sengaja dia menunjukkan wajah yang beku. Hakikat sebenarnya, dia tidak sanggup
untuk menatap wajah sedih Harris. Andai ditunggu lebih lama bimbang hatinya
yang akan kalah. Keegoan yang dipertahankan akan rapuh.
“Baiklah, sayang. Abang akan pergi jika itu akan membuatkan sayang
bahagia dan gembira.” Harris mengangguk lemah. Akhirnya dia kalah dalam perjuangannya
untuk meraih kembali cinta si isteri. Longlai langkahnya diatur keluar dari
bilik air, meninggalkan ‘Aisy keseorangan di situ menjeruk rasa.
‘Aisy memejamkan matanya rapat sebaik kelibat Harris hilang di
sebalik pintu bilik air yang sudah tertutup rapat. Air mata yang ditahan sedari
tadi menitis laju membasahi pipi. Pantas tangannya menekup mulutnya agar
tangisan itu tidak didengari oleh Harris. Terenjat-enjut bahunya menahan
tangis. Segala kesakitan, kepedihan dan keperitan yang ditanggung dihamburkan
dalam esakan yang mendayu-dayu.
Ya ALLAH, tabahkanlah hatiku ini. Engkau titipkanlah kebahagiaan
dalam hidup Harris. Semoga dia bertemu dengan pengganti diriku. Seorang
perempuan yang lebih baik dan sempurna daripada diriku. Doanya di dalam hati.
Hampir setengah jam ‘Aisy berteleku di atas kerusi roda melayan
perasaannya sendiri. Dia mengesat sisa tangisan yang semakin reda dengan
belakang telapak tangan. Mata yang membengkak dan hidung yang tersumbat
membuatkan dirinya tidak selesa. Perlahan-lahan dia cuba bangun dari kerusi
roda untuk membasuh mukanya. Tetapi dia terlupa untuk mengunci roda kerusi dan
dek lantai bilik air yang sedikit licin membuatkan tubuh lemahnya hilang
pertimbangan dan jatuh tersembam.
“Auch!” Terpacul jeritan kesakitan di bibirnya.
“Sayang!” Pantas Harris menerpa ke arah ‘Aisy yang sedang
terjelepok di lantai. Dengan mudah lelaki itu mencempung tubuh ‘Aisy dan
meletakkannya kembali di atas kerusi roda.
Sedari tadi Harris cuma memasang telinga mengawasi di sebalik
pintu bilik air, risau jika berlaku perkara yang tidak diingini. Sayup dia
mendengar tangisan isterinya yang mendayu. Jika diturutkan rajuk di hatinya
memang dia ingin melenyapkan diri dari pandangan ‘Aisy. Tetapi, kebimbangan
terhadap keselamatan isterinya mengatasi egonya sendiri.
“Sayang okay tak ni?” Tanya Harris dalam nada yang mendatar, masih
berjauh hati.
“Okay” Balas ‘Aisy pendek dan perlahan. Wajahnya sedikit menunduk.
Dia tidak menyangka Harris masih berada di situ.
Harris merenung wajah ‘Aisy yang sembap. Kesan air mata dan hidung
yang sedikit memerah jelas menunjukkan yang isterinya baru reda dari tangis.
Kenapa harus menangis? Bukankah dia sepatutnya gembira kerana aku bersetuju
untuk pergi jauh dari hidupnya?
“Sayang tak boleh buat semuanya seorang diri. Kalau sayang benci
kan abang sekalipun, kali ini tolonglah benarkan abang bantu sayang. Berilah
abang peluang tunaikan tanggungjawab abang buat kali terakhir. Nanti abang akan
minta tolong Sakeena atau Hafeeza temankan sayang di sini.” Tekan Harris
perlahan.
‘Aisy hanya bungkam tanpa kata. Dia tahu saat itu hatinya sudah
tidak sanggup untuk menolak permintaan Harris.
“Sayang nak mandi kan? Kejap abang ambilkan tuala dan kain
basahan.” Tanpa menunggu balasan daripada ‘Aisy, Harris melangkah keluar menuju
ke arah almari pakaian.
Petang itu, akhirnya ‘Aisy merelakan dirinya dimandikan oleh
suaminya sendiri. Layanan Harris dengan menyabun badan dan mensyampu rambutnya
tanpa rasa kekok membuatkan perasaannya semakin dihambat rasa serba salah.
Tidak cukup dengan itu, selesai mandi Harris turut mengelap rambut dan tubuhnya
dengan penuh sabar. Kemudian rambut basahnya disisir rapi.
‘Aisy mengetap bibir terharu. Mana hilangnya sikap panas baran
Harris? Mana perginya ego yang selalu dipertahankan lelaki itu? Kenapa begitu
tenang Harris melayani dirinya biarpun dia berulang kali tegar menyakiti hati
Harris dengan pelbagai cara? Berdosakah dirinya andai apa yang dia lakukan ini
semata-mata untuk kebahagiaan Harris?
“Sayang pakai yang warna pink ye.”
Suara Harris mengejutkan ‘Aisy dari menungannya. Wajahnya berona
merah tatkala melihat kedua-dua pakaian dalamnya yang berada dalam genggaman
Harris.
“Ini je yang abang jumpa dalam almari.” Ujar Harris menghulurkan
pakaian dalam itu.
Tanpa banyak soal, ‘Aisy menyambut huluran Harris. Dia
menundukkan sedikit wajahnya.
“Kenapa tak pakai lagi tu? Nak abang pakaikan juga ke?” Usikan
nakal Harris membuatkan wajah ‘Aisy semakin membahang. Terubat hatinya melihat
‘Aisy yang sedang tersipu malu. Seakan terbang rasa sayu yang mengisi di
segenap ruang hati.
“Macam mana saya nak pakai kalau awak tercegat depan saya?”
Harris tergelak kecil dengan pertanyaan ‘Aisy.
“Sayang segan ya? Nak malu buat apa. Macam tak biasa. Lebih dari
itu pun abang dah tengok sayang.” Usik Harris lagi, cuba mencipta suasana
ceria. Sekurang-kurangnya detik-detik terakhir bersama ‘Aisy akan menjadi
kenangan bahagia yang akan dibawa menemani hidupnya.
“It was four years ago, Harris. Awak dah lupa ke? Sekarang
ini awak bukan siapa-siapa pun dalam hidup saya. Tubuh saya bukan untuk
tontonan lelaki yang dah tiada makna dalam hidup saya lagi!”
Sekali lagi ‘Aisy terpaksa berlaku kejam dengan menghamburkan
kata-kata pedas yang mampu menghancurkan hati Harris.
Senyuman di bibir Harris mati. Wajahnya berubah riak.
“Not again, sayang. Please, don’t start it. Abang tahu
abang tak penting dalam hidup sayang. But,
please izinkan abang mencipta
sedikit memori indah bersama sayang untuk abang kenang.” Pinta Harris syahdu.
“Tak apalah, abang tunggu di luar. Kalau ada apa-apa, panggil
abang ya.” Sambung Harris sebelum melangkah keluar.
‘Aisy menarik
nafasnya panjang. Dan dia menghela nafas itu berat. Sakit sungguh dadanya saat
itu. Pedih bagai ditusuk belati yang cukup tajam. Maafkan saya, Harris! Untuk
ke sekian kali air matanya menitis lagi.
kesian aisy..perkara yg paling wanita takut, tak boleh beri zuriat pd suami dh tak boleh melayan suami..
ReplyDeletesdihla...kesian kat aisy.... dlm ms yg sm bperang dgn prasaan sndiri..😢
ReplyDeletesdihla...kesian kat aisy.... dlm ms yg sm bperang dgn prasaan sndiri..😢
ReplyDeleteAduhai...sedihnya..kesian sangat kat aisy..bertimpa-timpa dugaan yg ditanggung..Tak sabar nak tak tunggu next episod..semakin best jalan cite ni.
ReplyDeleteAdoi berkecamuk perasaan..sian ade sedih ade....sempit dada kite bace
ReplyDeleteSedih nya.... Mengalir air mata ni.. Babak ni betul2 tersentuh hati... Xsbaar nk tgk the real action
ReplyDeleteSedih nya.... Mengalir air mata ni.. Babak ni betul2 tersentuh hati... Xsbaar nk tgk the real action
ReplyDeleteKenapa sedih sangat niii....
ReplyDelete2025 here
ReplyDelete