Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 20 August 2013

Titian Cinta 32 EV

‘Aisy merenung imbasan dirinya yang dipantulkan melalui cermin meja solek. Tudung Pashmina berwarna hijau pucuk pisang dengan corak abstrak hitam dililit kemas di kepalanya. Sesuai dipadankan dengan baju kurung berkain kapas yang berlatarkan rona warna yang sama.
Dia memusingkan badannya ke sisi bagi memastikan jatuhan hujung selendang seimbang menutupi bahagian dada. Masih terngiang-ngiang di telinganya ceramah Ustaz Don yang banyak memberikannya input berguna tentang kaedah pemakaian tudung yang betul mengikut syariat Islam. Peraturan mudah yang kadangkala dipandang enteng oleh golongan wanita.
Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, ‘Aisy mencapai tas tangan kulit berjenama Coach. Lantas digantung di bahu kanannya. Kunci kereta yang terletak elok di atas meja diambil. Pantulan wajahnya yang bermekap tipis dipandang sekali lagi sebelum mengatur langkah menuruni tangga. Ingin sekali dia memastikan kesempurnaan pada dirinya untuk tatapan seorang lelaki bergelar suami.
Sudah hampir seminggu Harris berada di Switzerland atas urusan perniagaan. Tempoh waktu yang berjaya menghimpunkan bunga-bunga rindu yang kian kembang subur di kelopak hati. Jangka masa yang benar-benar meyakinkan dirinya dengan rasa cinta yang sedang mengalir hangat dalam setiap urat nadi. Membuatkan diri tidak lagi betah ditinggalkan bersendirian.
Dek rasa cinta yang semakin menyubur inilah yang kadangkala mengundang debar di dada dan memanggil gentar bersarang di jiwa. Bimbang andai derita kembali menyapa, mampu kah dia kembali bangkit menongkah arus sengsara?
Hari ini Harris akan pulang. Pulang ke pangkuannya bersama cinta dan rindu. Separuh dirinya yang bagaikan hilang dibawa pergi bersama Harris bakal dikembalikan. Sejak dari tadi bibirnya tidak lekang daripada mengukirkan senyuman bahagia. Rindu!
“‘Aisy nak ke mana hari-hari minggu ni?” Sapa Mak Timah, pembantu rumah separuh masa yang sudah hampir dua puluh tahun berkhidmat dengan keluarga Harris. Langkah ‘Aisy yang sedang melangkah ke pintu utama pegun.
“’Aisy nak ke airport. Jemput abang Harris.” Tutur ‘Aisy dalam nada yang cukup ceria. Senyuman di bibirnya melebar. Jelas terpancar sinar kebahagiaan di wajah itu.
“Eh, bukan ke Harris balik lusa kan?” Soal Mak Timah pelik, inginkan kepastian. Seingatnya itulah yang diberitahu Harris kepadanya.
“Memang sepatutnya abang Harris balik lusa. Tapi semalam dia call ‘Aisy beritahu yang dia tukar flight.” Beritahu ‘Aisy memberikan penjelasan. Sepanjang seminggu berjauhan, hanya panggilan telefon yang menjadi pengubat rindu. Tidak pernah walau sehari Harris gagal menghubunginya. Sebelum tidur pasti dia akan setia berada di sisi telefon bimbitnya menanti panggilan sang suami.
“Oh, ini mesti sebab tak tahan menanggung rindu lama-lama lah ni.” Usik Mak Timah menyimpulkan senyum. Seronok dia melihat hubungan Harris dan ‘Aisy yang semakin pulih.
‘Aisy hanya diam tersenyum seakan mengiakan usikan nakal Mak Timah. Terasa kebas pula wajahnya diusik begitu.
“Padanlah Mak Timah tengok muka ‘Aisy berseri-seri bukan main lagi. Rupanya, orang yang merindu dan dirindu dah nak balik, ya” Sambung Mak Timah semakin giat mengenakan ‘Aisy.
“Nampak sangat ke, Mak Timah?”
Tanpa sedar, ‘Aisy menjatuhkan kedua belah telapak tangannya ke pipi. Begitulah kalau hati sudah terlalu cinta dan jiwa sarat melagukan rindu.
“Jelas sangat-sangat. Mak Timah tengok macam seri pengantin baru pun ada. Berkepit sajalah Harris nanti dengan ‘Aisy selepas ini. Macam belangkas tu.” Giat Mak Timah sambil menghamburkan gelak kecil. Tercuit hatinya melihat perlakuan spontan ‘Aisy. Walaupun isteri majikannya itu agak pemalu orangnya, tetapi kadang-kadang manjanya terserlah juga tanpa sedar.
“Ada-ada saja Mak Timah ni. Pengantin yang dah basi macam ‘Aisy ini mana nak datang serinya lagi, Mak Timah.” ‘Aisy tersengih sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan. Ada-ada sahaja idea Mak Timah hendak menyakatnya.
Mujur juga ada Mak Timah yang sudi menemaninya sepanjang ketiadaan Harris. Semuanya gara-gara Harris yang begitu risau untuk membenarkan dia tinggal seorang diri di rumah terutamanya pada waktu malam. Jika tidak, wanita separuh abad itu hanya datang mengemas rumah seminggu sekali sahaja.
Sebenarnya jika diikutkan, dia sendiri tidak kisah. Bimbang menyusahkan Mak Timah. Biarpun suatu ketika dulu dia memang seorang penakut, tetapi perit getir yang terpaksa diharungi berseorangan ketika di luar negara menjadikannya seorang yang lebih berani. Kala itu kesepian adalah teman yang paling setia. Ketabahan menjadi tongkat untuknya terus mengorak langkah. Tidak lagi takut pada kegelapan malam dan bayangan masa silam.
“Pukul berapa Harris sampai?” Pertanyaan Mak Timah sedikit menyentakkan ‘Aisy yang mula melayarkan fikirannya entah ke mana.
“Dalam pukul 10 pagi.” Jam Calvin Klein di pergelangan tangan kirinya dikerling sekilas. Masih berbaki satu jam lagi sebelum kapal terbang yang dinaiki Harris dijadualkan mendarat.
Tanpa membuang masa, dia menuju ke arah rak kasut dan sepasang sandal Scholl berwarna hitam ditarik keluar.
“’Aisy tak nak sarapan dulu ke?” Mak Timah turut mengekori langkah ‘Aisy.
“Tak apalah, Mak Timah. Tak rasa lapar lagi.” Balas ‘Aisy bersiap sedia untuk melangkah keluar. Perutnya terasa kenyang sedangkan sebiji nasi pun belum dijamah pagi itu. Mungkin kenyang dengan rasa cinta dan rindu yang menggebu dalam dada. Kau dah parah benar, ‘Aisy!
“Kalau iya pun dah rindu, perut itu jangan dibiarkan kosong. Nanti kalau kena gastrik kan susah.” Nasihat Mak Timah mengambil berat. Dia seakan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran ‘Aisy. Agaknya beginilah yang dimaksudkan dengan pepatah makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Semuanya kerana penangan cinta.
“Nanti kalau lapar, ‘Aisy sarapan dekat airport saja. Lagipun, ‘Aisy dah lewat ini. Nak sampai ke sana pun dah setengah jam lebih memandu. ‘Aisy pergi dulu, ya.” Tolak ‘Aisy sopan. Dia tidak mahu Harris ternanti-nanti kehadirannya di sana.
“Yalah, bawak kereta tu hati-hati.” Pesan Mak Timah.
‘Aisy melebarkan senyum sebelum melangkah ke arah kereta MyVi putihnya. Tidak lama selepas itu, kereta itu bergerak menghala ke lebuh raya, menuju ke destinasi yang bakal menyaksikan kembali pertemuannya dengan kekasih hati.
Entah kenapa berjauhan dengan Harris kali ini benar-benar membuatkan dirinya menjadi seorang perindu. Dia rindu dengan usikan nakal Harris, dia rindu pada renungan tajam lelaki itu, dan dia rindukan kemanjaan suaminya yang semakin terserlah. Segala-galanya tentang Harris membuatkan dia rindu. Mengingati lelaki itu, bibirnya tidak pernah lekang daripada mengukirkan senyum.
Di sepanjang perjalanan, ‘Aisy asyik melayan fikirannya. Lagu instrumental gesekan pemain viola terkenal Vanessa May bagaikan membuai rasa bahagia di hati. Akhirnya setelah memandu lebih setengah jam, keretanya diparkir di paras bawah tanah. Setelah memastikan pintu kereta dikunci, langkah diatur laju ke arah lif bertingkat.
Setibanya di paras tiga, ‘Aisy menuju ke balai ketibaan dengan tergesa-gesa. Jarum pendek pada jam tangannya yang semakin menghampiri pukul sepuluh setengah pagi membuatkan dia mempercepatkan langkah. Dia sudah terlewat hampir setengah jam gara-gara kesesakan akibat kemalangan yang berlaku di lebuh raya utara-selatan.
Dalam keasyikan ‘Aisy mencari arah, tiba-tiba tubuhnya terlanggar seseorang. Pelanggaran yang agak kuat itu membuatkan tubuh kecilnya terjelepok jatuh. Terasa sengal tulang pinggulnya menahan hentakan pada lantai simen itu. Silapnya juga kerana berjalan tidak memandang ke hadapan. Asyik melilau memerhatikan papan tanda.
“Cik, maafkan saya. Cik tak apa-apa?” Tegur satu suara garau.
“Err..saya tak apa-apa.” Balas ‘Aisy. Tatkala dia terkial-kial ingin bangkit dari jatuh, terasa lengannya yang beralaskan kain dipegang kejap oleh satu tangan kasar.
“Terima kasih. Salah saya juga.” Sambungnya segera bangkit sambil dibantu lelaki itu. Dia mengangkat wajah untuk melihat tuan empunya diri. Tubuhnya seakan kaku tatkala matanya bertembung dengan sepasang mata hazel milik lelaki itu.
“’Aisy!”
“Rayyan!”
Serentak ‘Aisy dan Rayyan bersuara. Masing-masing bagaikan terkejut dengan pertemuan yang tidak disangka itu. Setelah hampir tujuh tahun, dia dipertemukan kembali dengan lelaki yang pernah suatu ketika menjadi pemilik hatinya.
“Err..saya pergi dulu. Maafkan saya.”
Kalut ‘Aisy meminta diri. Dia menarik perlahan lengannya yang masih kejap dipegang Rayyan. Walaupun sentuhan itu berlapik, namun perlakuan itu dirasakannya tidak sopan, apatah lagi dengan statusnya sebagai isteri. Buru-buru dia melangkah meninggalkan Rayyan yang masih tercegat memandangnya tidak berkelip.
“Tunggu, ‘Aisy!” Panggil Rayyan dengan nada yang sedikit tinggi.
‘Aisy berpura-pura tidak mendengar dan dia meneruskan langkah. Semakin laju dia mengayunkan kakinya. Sayup panggilan lelaki itu langsung tidak dihiraukan. Setibanya di hadapan pintu ketibaan, dia menghela nafas lega setelah bayang Rayyan tidak lagi kelihatan. Dada yang masih menahan hentakan kuat itu dilurut dengan jari-jemarinya.
Kepalanya tertoleh-toleh ke arah pintu balai ketibaan, mencari-cari kelibat Harris yang masih tidak kelihatan. Jam di pergelangan tangan di pandang. Sepatutnya, pada waktu ini Harris sudah sampai.
Setengah jam berlalu. Namun bayangan Harris belum muncul-muncul lagi. Bimbang juga kelewatannya tadi menyebabkan Harris sedang menunggunya di tempat lain. Segera dia ingin mencapai telefon bimbit yang berada di dalam tas tangan untuk membuat panggilan terhadap Harris. Saat itu barulah dia tersedar yang tas tangannya tiada.
“Awak cari ini, ‘Aisy?”
Dalam kekalutan dia mencari tas tangannya, ada satu suara yang menyapanya di sisi. Sekali lagi matanya bertembung pandang dengan anak mata Rayyan yang sedang menghulurkan tas tangan hitam miliknya. Mesti tas tangan ini tercicir ketika dia terjatuh tadi. Apatah lagi dia terburu-buru ingin melarikan diri daripada Rayyan.
“Err..terima kasih.” Ucap ‘Aisy. Tas tangan itu bertukar tangan. Dia dihambat rasa malu kerana tidak menghiraukan panggilan Rayyan tadi. Sombong tak bertempat! Dalam diam dia memarahi diri sendiri.
Sorotan mata Rayyan yang sedang asyik merenungnya tidak dipedulikan. Tanpa lengah, dia segera mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon Harris. Namun, dia mengeluh hampa tatkala panggilannya hanya bersambut dengan suara operator. Bermakna Harris belum menghidupkan telefon bimbitnya lagi.
Matanya kembali meninjau-ninjau ke arah balai ketibaan. Sesekali dia menjengkitkan kakinya apabila pandangannya terhalang oleh timbunan manusia yang sedang menunggu sepertinya juga.
“Tunggu siapa?” Soal Rayyan dengan suara yang mendatar.
‘Aisy menjeling sekilas ke arah batang tubuh yang masih setia berdiri di sebelahnya.
“Harris.” Jawab ‘Aisy sepatah. Tidak berminat untuk menjadi terlebih mesra dengan lelaki itu.
“Ke mana?” Tanya Rayyan.
“Siapa?” Soalan berbalas soalan. Pertanyaan Rayyan membuatnya keliru.
“Suami awak, Harris. Dia ke mana?” Ujar Rayyan menjelaskan maksud soalannya.
“Geneva.” Balas ‘Aisy pendek. Entah kenapa dia merasa janggal dan tidak selesa untuk berbual panjang dengan Rayyan. Mungkin setelah apa yang terjadi membuatkan rasa hormat nya pada lelaki itu hilang.
“Naik Emirates Airline ke?”
‘Aisy hanya mengiakan dengan anggukan kepalanya.
“Oh, flight tu delay. Pukul 12.00 tengah hari nanti baru sampai.” Beritahu Rayyan tenang. Kata-katanya membuatkan ‘Aisy melemparkan pandangan tidak percaya.
“Kebetulan, saya pun sedang tunggu seseorang yang menaiki penerbangan yang sama. Kalau awak tak percaya, awak boleh tengok maklumat di skrin.” Ujar Rayyan sambil menunjukkan ke arah skrin hitam yang dilekatkan pada sebatang tiang.
“Tak apalah. Terima kasih.” Ucap ‘Aisy sambil berlalu pergi tanpa sebarang pamitan. Jam di tangan dipandang lama. Dia mempunyai hampir satu jam untuk berlegar-legar di kawasan lapangan terbang bertaraf antarabangsa itu. Ke mana harus dia tuju?
Dalam termangu-mangu memikirkan arah tujuan, perut yang berkeriuk minta diisi memberikannya idea. Lantas dia membawa kaki ke arah medan selera yang di tingkat dua. Dia lebih selesa mencari makan di sana berbanding restoran segera. Tekak orang kampung sepertinya pasti mencari nasi lemak juga.
Selesai membeli sepinggan nasi lemak sambal bilis dan secawan teh O sejuk, ‘Aisy menghampiri meja makan yang agak tersorok kedudukannya. Cadangnya ingin berlama di situ sementara menunggu Harris sambil membaca novel. Mujurlah dia tergerak hati untuk membawa novel Terlerai Kasih, garapan menarik karya penulis kegemarannya Rehan Makhtar. Setelah melabuhkan duduk, dia mula menjamu selera.
May I join you?”
Suara Rayyan yang menyapa membuatkan suapan ‘Aisy terhenti. Terkebil-kebil dia memerhatikan wajah lelaki yang sedang mengusung dulang berisi makanan itu.
“Duduklah.” ‘Aisy memberikan kebenaran. Dengan tersenyum manis Rayyan mengambil tempat duduk di depannya.
Tanpa menghiraukan Rayyan, ‘Aisy menundukkan wajah meneruskan suapan. Ketenangannya mula goyah dengan kemunculan Rayyan. Saat itu, dia ingin segera menyudahkan sarapan paginya dan berlalu pergi.
Suasana berlalu sepi. Keadaan medan selera yang tidak begitu ramai pengunjung di kala itu menjadikan suasana bertambah sunyi. Hanya kedengaran bunyi sudu yang sekali-skala berlaga dengan pinggan.
“Apa khabar, ‘Aisy?” Soal Rayyan akhirnya membuatkan ‘Aisy mengangkat mukanya. Baru kini dia berpeluang bertanyakan khabar wanita itu. Dia perasan yang sedari tadi ‘Aisy seperti ingin mengelakkan diri daripadanya.
“Baik.” Balas ‘Aisy sepatah. Dia kembali meneruskan suapan walaupun seleranya seakan mati. Butir nasi yang lembut itu dirasakan seperti pasir.
Telinga ‘Aisy menangkap sebuah keluhan meniti di bibir Rayyan. Dari ekor matanya, dia dapat melihat Rayyan menghentikan suapannya dan bersandar lemah di belakang kerusi. Pandangan lelaki itu terarah kepadanya membuatkan dia semakin hilang arah.
“Awak masih marahkan saya, ‘Aisy?”
Pertanyaan Rayyan membuatkan ‘Aisy tersedak. Hampir separuh gelas air teh O disedut untuk melegakan anak tekaknya. Mujur tekaknya tidak tercekik dengan nasi lemak yang ditelannya.
“Maafkan saya kalau soalan saya tak menyenangkan awak. It just I couldn’t hide my curiosity. Sejak tadi awak terlalu dingin dengan saya. Kenapa?” Soal Rayyan kembali menyambung bicara. Wajah putih kemerahan itu dipandang dengan penuh minat.
‘Aisy berdeham beberapa kali membetulkan suaranya. Sudu yang dipegang di jari kanannya diletakkan di dalam pinggan.
Past is past, Rayyan. Rasa marah itu dah lama tiada. Sejak saya sah menjadi isteri Harris, saya dah serahkan kesetiaan cinta dan rasa kasih saya hanya untuk dia. Jadi, tak perlu saya menyimpan rasa marah pada lelaki yang dah tiada maknanya lagi dalam hidup saya.” Sinis ‘Aisy. Buat pertama kali sejak terserempak dengan Rayyan, dia bertutur panjang lebar.
“Tapi, tindakan awak menggambarkan sebaliknya. Kalau benar awak dah tak marah, kenapa melarikan diri daripada saya tadi?” Duga Rayyan membuatkan ‘Aisy sedikit tersentak. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Entah kenapa hatinya yakin wanita di hadapannya ini masih menyimpan perasaan terhadapnya.
“Mengelak dan melarikan diri adalah dua benda yang berbeza, Rayyan. Ya, saya mengaku saya cuba mengelakkan diri daripada awak. Sebabnya, saya seorang isteri yang perlu menjaga maruah suami saya. You are my past, Rayyan. Seandainya pertemuan kita boleh menimbulkan fitnah dan salah faham, mengelak itu adalah lebih baik kan? After what has happened, do you expect me to treat you nicely? Banyak yang dah berubah dan keadaan dah tak sama seperti dulu.” Tingkah ‘Aisy dingin. Sengaja dia mengeraskan sedikit suaranya untuk menyatakan ketegasannya.
Riak Rayyan sedikit berubah. Ada rasa hampa yang mengisi tangkai hatinya. Kedinginan yang dipamerkan ‘Aisy membuatkan dia mengeluh lemah. 
I know you’d never forgive me, ‘Aisy.” Ungkap Rayyan dalam nada suara yang berubah kendur.
“Tak ada apa yang nak dimaafkan, Rayyan. Macam yang saya cakap tadi. Yang lepas tu sudahlah. Tak perlu diingat. Dan usah diungkit.”
‘Aisy memandang sekilas ke arah Rayyan. Dia menarik nafas dalam. Sesungguhnya dia sudah lama meredakan apa yang telah terjadi. Kerana dengan belajar memaafkan hatinya menjadi lebih tenang.
“Tapi saya tahu hati awak terluka. Saya bersalah kerana telah mengecewakan awak. Saya bersalah kerana mengkhianati kepercayaan awak. Tapi itu semua terjadi bukan atas kemahuan saya.” Tukas Rayyan sambil melemparkan sebuah senyuman kelat.
“Itu semua dah tak penting, Rayyan. Sejujur nya, saya dah lama reda menerima semuanya sebagai takdir dalam hidup saya. Saya percaya, apa yang berlaku adalah di bawah perancangan-Nya. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita.” Putus ‘Aisy sambil menghabiskan air teh O. Nasi lemak yang masih berbaki separuh sudah tidak mampu dihabiskan.
“Tapi, saya perlu beritahu awak, ‘Aisy. Saya perlu betulkan salah faham kita. Saya tak nak awak terus beranggapan buruk terhadap saya.” Sela Rayyan bersungguh-sungguh.
“Untuk apa? Sudahlah, Rayyan. Let bygone be bygone. Perkara itu dah lama berlaku. Dah lama pun berkubur. Dah tak ada siapa pun ingat.”
“Tapi awak tak pernah lupakan?” Pertanyaan Rayyan membuatkan ‘Aisy separuh terkedu.
“Memang benar saya tak pernah lupa kerana apa yang berlaku adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Tapi, itu tak bermakna saya masih marah atau berdendam. Lagipun, masing-masing dah ada kehidupan sendiri dan bahagia dengan cara masing-masing.” Balas ‘Aisy. Walaupun apa yang telah terjadi sudah tidak berbekas di hatinya, tetapi untuk membuang terus dari kotak ingatannya amatlah sukar. Apa yang berlaku telah menjadi sebahagian daripada sejarah hidupnya. Sejarah yang tidak mungkin dapat padamkan.
“Tapi saya tak pernah bahagia, ‘Aisy. Mana mungkin saya akan bahagia apabila awak pergi dari hidup saya. Apabila semua orang menuding saya dengan kesalahan yang tak pernah saya lakukan, hidup saya menderita. Dan lebih perit bila awak sendiri tak mahu percayakan saya. Perempuan yang paling saya sayang…” Bait bicara Rayyan semakin membuatkan ‘Aisy tidak senang duduk. Inilah sebab kenapa dia tidak mahu bertemu mata dengan Rayyan.
“Sama ada saya percaya atau tidak dah tak membawa apa-apa makna. Apa yang berlaku biarlah ALLAH yang menilai. Saya dah lama reda, Rayyan.” Pangkas ‘Aisy. Dia mencapai tas tangannya. Ingin segera menamatkan perbualan dan berlalu dari situ. Namun, masih sempat dia menyambung kata sebelum mengorak langkah.
“Apa yang pernah terjadi antara kita adalah sejarah. Sekarang, saya adalah milik suami saya dan akan kekal begitu selamanya. Anggaplah pertemuan kita ini pertemuan yang terakhir. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Pamit ‘Aisy tergesa-gesa berlalu meninggalkan Rayyan yang masih termangu-mangu.
‘Aisy melangkah ke arah lif untuk menuju ke balai ketibaan. Baki masa lima belas minit membuatkan dia memutuskan untuk menunggu di situ, bersama dengan timbunan manusia yang lain. Mengharapkan keadaan itu bisa menipiskan peluangnya untuk terserempak buat kali kedua dengan Rayyan. Namun, dalam kelompok manusia yang sedang menunggu, ekor matanya masih sempat menangkap kelibat Rayyan yang sedang merenungnya dalam jarak lebih kurang lima meter.
Sedaya upaya ‘Aisy berlagak selamba. Matanya meninjau ke balai ketibaan mengharapkan Harris segera memunculkan diri. Di dalam hati dia berdoa agar Rayyan kekal berada dalam jarak itu. Bimbang juga andai Harris turut menyedari kehadiran Rayyan di situ.
Tidak lama selepas itu, Harris muncul di sebalik pintu balai ketibaan sambil menolak troli yang berisi dengan bagasi miliknya. Terpancar riak kelegaan di wajahnya. Belum pun sempat dia ingin melambaikan tangan ke arah Harris, lelaki itu terlebih dahulu memandangnya dengan senyuman yang sangat menawan. Senyuman yang sering menemani mimpi indahnya di malam hari. Harris melangkah menghampirinya yang sedang setia menanti.
“Abang…” Hanya nama panggilan itu yang mampu terluah dari bibirnya. Tubir matanya mula menggenangi mutiara jernih. Memaknakan rasa rindu yang cukup hebat menggebu di dalam hati. Pantas tangan Harris dicapai dan dikucup mesra. Setitis air matanya jatuh membasahi tangan lelaki itu. Terasa ubun-ubun kepalanya diusap lembut.
“Abang sihat?” Soalnya dalam sebak. Wajah kacak Harris ditenung lama. Rindunya dia untuk menatap raut wajah maskulin ini.
“Alhamdulillah, sihat.” Balas Harris seraya menjatuhkan sebuah kucupan di dahi ‘Aisy. Rindu yang tertahan selama ini bagaikan terlerai dengan sentuhan hangat itu.
“Sayang abang sihat? Kenapa menangis ni?” Tanya Harris sambil menyeka air mata yang mula gugur membasahi pipi isterinya.
“’Aisy rindukan abang.” Ucap ‘Aisy manja. Sebuah ucapan yang begitu bermakna di pendengaran Harris. Mengukirkan rasa bahagia yang tidak terhingga.
“Abang pun rindu sayang sangat-sangat.” Balas Harris lalu sekali lagi dia menghadiahkan kucupan di dahi ‘Aisy. Tubuh si isteri dibawa kemas ke dalam pelukannya.
Lama mereka dalam keadaan begitu sehingga mengundang beberapa pasang mata memandang. ‘Aisy yang mula tersedar dengan keterlanjuran mereka di khalayak ramai mula meleraikan rangkulan. Semakin dia cuba leraikan, semakin kejap pula tangan Harris melingkar di pinggangnya.
“Err..abang..” Panggil ‘Aisy dalam serba salah.
“Hemmm..” Sahut Harris dalam dengar tak dengar.
“Err..abang…dah lah tu.” Gumam ‘Aisy cuba merungkaikan pelukan. Dia mengerling sekilas ke arah mata-mata yang memandang dengan senyuman simpul.
“Sekejaplah sayang.” Tahan Harris masih belum puas merasa kehangatan pelukan sang isteri.
“Errr…abang…” Wajah ‘Aisy sudah tidak mampu menahan malu.
“Hemm…abang tak puas lagi nak peluk sayang ni.” Balas Harris semakin leka memeluknya kemas.
“Abang…Kalau kita sambung dekat rumah boleh tak?” Soalan ‘Aisy itu berjaya membuatkan Harris meleraikan rangkulannya.
“Peluk dekat rumah? Ayat sayang tu macam nak memancing abang saja.” Usik Harris sambil menjongketkan kedua-dua belah kening lebatnya.
“Dah mulalah tu nak melalut. Jom lah kita balik. Abang tak nampak ke semua orang sedang tengok kita semacam. Malu lah.” Tegur ‘Aisy sambil memeluk lengan Harris. Mereka melangkah perlahan ke arah lif untuk turun ke tingkat bawah tanah.
“Biarlah dia orang nak tengok. Kita bukannya buat salah, nak malu buat apa.” Jawab Harris mudah.
“Memanglah tak salah. Tapi, dalam Islam walaupun suami isteri kita ada adab yang perlu kita ikuti terutamanya bila di tempat awam. Bimbang akan menimbulkan fitnah dan tanggapan buruk orang yang melihat.” Beritahu ‘Aisy membuatkan Harris terdiam.
“Macam itu ya, sayang? Okay, next time aksi melampau kita hanya di dalam bilik ya. Jom, tak sabar abang nak balik ke rumah ni.” Ujar Harris mengenyitkan matanya nakal.

‘Aisy hanya menggelengkan kepala tersenyum dengan kenakalan suaminya itu. Semakin hari semakin kuat mengusik!

16 comments:

  1. dah keluar versi novel ke blom ni?

    ReplyDelete
  2. Nak n3 lagi....

    ReplyDelete
  3. X sbarnya nak tunggu novel..agak2 bila nak publish ya..heheheh

    EL

    ReplyDelete
    Replies
    1. very soon insyaAllah..sabar sikit je lagi..

      Delete
  4. Makin hari makin sweet jer aisy n harris... ;)

    ReplyDelete
  5. Tak sabar nak tunggu novel nya! 2 minggu lagikan?

    ReplyDelete
  6. walaupun novel ni akn launch 28th sept..24th sept sy dh purchase online..xsbr nya nk baca..sgt best cite ni..keep up the good work ridhya..i hearted ur writing la :) all the best..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah..thank you sudi dptkan TC. Terharu neh..

      Delete
  7. Sory nk tanya. Temuduga cinta tu sampai bab 13 je ke? 😢

    ReplyDelete
  8. assalamualaikum.... nk tny novel titian cinta nie ad lagi x...klu ad saya nk beli la...sbb sya cari kat popular dh x jmpa...

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..