Jam di dinding yang sudah melepasi angka 11.30 malam ditenung
gelisah. Sekejap-sekejap pandangan mata ‘Aisy beralih ke arah susuk tubuh
Harris yang sedang bersandar di kepala katil. Ralit benar lelaki itu menghadap
skrin komputer riba Apple miliknya. Harris dan kerja memang
tidak dapat dipisahkan.
‘Aisy mengusap matanya yang berair kerana sedari tadi dia menahan
rasa mengantuk. Mulutnya juga sudah beberapa kali ditekupkan dengan telapak
tangan. Jika diikutkan matanya yang sudah hampir separuh terpejam, ingin saja
dia membaringkan tubuhnya di atas katil bertilam empuk itu dan berlabuh ke alam
mimpi. Namun, hasratnya terbantut apabila Harris turut berada di atas katil
yang sama. Apatah lagi lelaki itu dengan selamba tidak berbaju. Seolah-olah
seperti sengaja ingin menduga dan menggodanya! Jika itu yang Harris harapkan
memang dia telah berjaya membuatkan hati ‘Aisy menjadi tidak keruan.
‘Aduh, kenapa aku rasa segan sangat ni? Dia cuma tak pakai baju
saja. Bukannya tak pakai apa-apa langsung! Yang aku nak gelabah tak tentu fasal
ni kenapa? Baring dan pejam mata saja, bukannya susah pun.’ Monolog ‘Aisy
kepada dirinya sendiri, cuba menitipkan sedikit keberanian dan menepis rasa
malu yang kuat bersarang dalam diri. Walaupun dia pernah berkongsi hidup dengan
lelaki itu suatu ketika dulu, namun perpisahan yang terjadi di antara dia dan
Harris dalam tempoh yang bukannya singkat membuatkan dirinya masih dihambat
dengan rasa kekok.
Dia cuba beriak selamba dan melabuhkan punggung di birai katil.
Duvet yang terlipat kemas di
hujung katil ditarik menyelimuti badannya yang mula terasa kesejukan penghawa
dingin. Tubuhnya dibawa mengiring membelakangi Harris. Pelik juga dia melihat
Harris yang masih tenang memandang komputer ribanya. Malam-malam begini dengan
tidak berbaju, tidak terasa sejuk kah?
“Sayang dah nak tidur ke?” Pertanyaan Harris membuatkan mata ‘Aisy
yang sedikit terpejam terbuka luas. Rasa mengantuk hilang terbang entah ke
mana. Dekat sekali sapaan itu di cuping telinganya sehingga dia dapat merasakan
dengus nafas Harris. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang apabila dirasakan
pergerakan tubuh Harris semakin menghampirinya.
“Hmmm..” Balas ‘Aisy menahan debar di dada. Detak nadinya bagaikan
hilang rentak apabila dia merasai kehangatan tubuh Harris di belakangnya.
“Sampai hati sayang tidur tak minta izin abang dulu. Sudahlah tu
tidur membelakangi abang pula.” Bisik Harris ke telinga ‘Aisy dalam nada rajuk.
“Kena minta izin ke? Selama ini tak perlu pun.” Omel ‘Aisy
perlahan.
Kata-kata Harris membuatkan ‘Aisy memalingkan tubuhnya menentangi
Harris. Tindakannya tanpa sedar membuatkan wajah mereka berdua hanya dipisahkan
dalam jarak satu inci sahaja. Pandangan mata mereka bertaut lama. Situasi itu
membuatkan ‘Aisy hilang arah dan segera dia menjarakkan tubuhnya.
“Selama ini memang tak. Tapi mulai hari ini abang nak sayang
beritahu abang dulu kalau nak tidur. Sekurang-kurangnya ucapkan selamat malam
ke atau bisik I love you ke. Apa yang penting sebelum tidur,
abang mesti dengar suara sayang dulu. Barulah abang dapat tidur dengan lena.”
Beritahu Harris.
‘Aisy tersenyum nipis. Entah kenapa permintaan itu mendatangkan
rasa bahagia di hatinya. Dan sudah pasti dengan senang hati dia akan turutkan
kemahuan itu. Apalah sangat dengan ucapan selamat malam yang didambakan jika ia
mampu menggembirakan hati seorang suami.
“Baiklah. Kalau macam tu, saya minta izin tidur dulu ya. Selamat
malam.” Ucap ‘Aisy lembut mengundang senyum lebar di wajah Harris. Dia senang
sekali dengan perubahan positif yang ditunjukkan ‘Aisy. Sikap isterinya yang
semakin berlapang dada menerima kehadirannya kembali cukup dihargainya.
“Abang tak nak izinkan sayang tidur lagi. Abang nak pinjam
sekejap masa dan tenaga sayang untuk abang malam ni, boleh?” Soal Harris sambil
melirik matanya nakal.
Senyuman yang tergaris di bibir merah lelaki itu dirasakan semakin
menggoda. Membuatkan jiwa ‘Aisy semakin kacau. Apa maksud Harris? Tidak mungkin
suaminya itu sedang menuntutnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai
seorang isteri. Apatah lagi dalam keadaannya yang masih belum sihat sepenuhnya.
Semakin serba salah dan resah menggamit jiwa.
“Kalau kita tangguh ke hari lain tak boleh ke? Saya dah
mengantuk ni.” Helah ‘Aisy dalam kiasan. Dia sebenarnya ingin mengelak. Sejujur
nya dia masih belum bersedia. Empat tahun berlalu tanpa belaian kasih seorang
suami membuatkan dirinya sedikit kekok untuk membawa hubungan itu lebih jauh.
Namun, seandainya itu yang diharapkan oleh Harris, dia tidak mampu menolak kerana Harris berhak sepenuhnya ke
atas dirinya.
“Mana boleh tangguh-tangguh. Apa yang berlaku hari ini mana sama
dengan apa yang bakal terjadi besok hari. Lagipun dah lama abang pendamkan
hasrat abang ini. Abang dah tak tahan nak
bertangguh lagi. Rindu sangat saat indah itu.” Bicara Harris tersirat seribu
makna.
Terasa pahit liur yang ditelannya tatkala mendengar kata-kata yang
meniti di bibir Harris. Saat Harris
merangkul erat tubuhnya, sesak nafas di dadanya semakin menghimpit. Jelas
wangian Calvin Klein Eternity yang dipakai Harris menyapa rongga
hidungnya. Perasaannya bercampur baur. Dalam bahagia yang bertamu, tersisip
rasa resah. Tipulah jika dia tidak merasa bahagia dengan setiap sentuhan dan
layanan romantis Harris. Namun rasa resah turut merantai jiwa dengan keinginan
yang didambakan Harris.
“I miss you so much sayang. Damn much.” Desis Harris dalam nada yang cukup
romantik. Dirapatkan wajahnya dan sebuah kucupan hangat singgah di pipi bersih
milik ‘Aisy. Dielus lembut pipi itu dengan penuh kasih sayang. Tangannya
kemudian bermain-main di bibir merekah ‘Aisy.
Perbuatan Harris membuatkan ‘Aisy terkaku. Lidahnya kelu tanpa
sebutir bicara. Ciuman yang diterima membuatkan rona wajahnya berubah merah.
Harris tergelak kecil. Tercuit lucu di hatinya
dengan perubahan raut wajah isterinya.
“You never change, sayang. Isteri abang ini masih seorang pemalu
seperti dulu. But I love to see
you blush like this. So cute. Buat abang makin geram.” Usik Harris dengan
ledakan tawa yang masih bersisa. Hidung ‘Aisy dicuit mesra.
“Itu baru cium pipi, belum cium dekat tempat lain lagi.” Giat
Harris. Semakin galak dia mengusik, semakin tebal kulit muka ‘Aisy menahan rasa
malu.
“Err, dah lewat ni. Lebih baik awak tidur. Besok awak kerja, kena
bangun awal pagi.” Dalih ‘Aisy mengubah topik perbualan, cuba mengurangkan
gelora yang hebat menyerang perasaannya. Pada masa yang sama dia mengharapkan
Harris berhenti daripada terus mengusiknya dengan kata-kata dan perlakuan yang
mampu membuatkan dirinya terbuai asyik.
“Suka sangat ubah tajuk bila sayang blushing. Kali ini abang takkan
terpengaruh dengan helah sayang lagi dah.” Sela Harris semakin mengeratkan
rangkulannya. Malam itu, dia ingin membuang jauh rasa segan ‘Aisy bila bersamanya. Tembok yang
menghalang akan dirobohkan dan jurang yang terbina akan dirapatkan.
“Sayang ingat tak malam pertama kita dulu?”
Pertanyaan Harris membuatkan ‘Aisy tersentak. Sebenarnya dia tidak
mengerti dengan tujuan Harris membangkitkan ingatan terhadap kenangan malam
pertama mereka sebagai suami isteri. Baginya tiada apa yang indah dalam
kenangan itu. Namun terukir senyuman nipis di bibirnya apabila mengingati
betapa polos dan bodoh dirinya waktu itu dalam mendefinisikan erti cinta.
Kotak ingatannya masih jelas terakam kenangan malam itu.
Bersungguh-sungguh dia mempersiapkan diri secantik mungkin selayaknya sebagai
seorang isteri. Buat pertama kali dia sanggup menepis rasa malu dengan memakai
baju tidur nipis sehingga menampakkan susuk tubuhnya. Hanya semata-mata kerana
seorang suami. Segala petua yang dititipkan untuk kebahagiaan rumah tangga
diikuti tanpa rungutan.
Usai terungkap lafaz ijab dan kabul di bibir Harris, hatinya telah
bertekad untuk hanya mencintai lelaki itu. Bukankah Harris sebagai suami
selayaknya mendapat tempat yang teristimewa di hatinya. Sangkanya, Harris turut mempunyai rasa
yang sama. Merasai nikmat cinta setelah terjalinnya sebuah ikatan yang suci dan
diredai Ilahi.
Beria-ia dia menahan debar seorang isteri menanti kedatangan
seorang suami. Namun sebaliknya pula yang terjadi. Kehadirannya langsung tidak dipandang Harris biarpun dengan
sebelah mata. Malam pertamanya hanya berlalu sepi ditemani linangan air mata
dek rasa sakit di hati.
“Sombong dan ego betul abang waktu itu kan? Sanggup biarkan isteri
abang yang cukup menggoda malam itu tidur seorang diri. Malah abang marah-marah
sayang tak tentu fasal kan?” Luah Harris sambil melemparkan senyuman kelat.
“Menggoda? Awak jangan bohonglah. Badan saya kan berisi macam
karung beras. Hanya layak duduk di dapur, bukannya berdamping di sisi awak yang
tampan bergaya tu kan.” Tingkah ‘Aisy mencebik, memulangkan paku buah keras. Perkataan
‘karung beras’ sengaja ditekankan. Itulah ayat sindiran yang dituturkan Harris
pada malam itu. Memang dia cukup berkecil hati dengan kata-kata itu.
Dia kecewa dengan penilaian Harris terhadap dirinya yang hanya
bersandarkan pada kecantikan lahiriah semata. Cinta baginya bukan kerana rupa
yang cantik atau bentuk badan yang menarik. Itu hanyalah bonus dalam sesebuah
perhubungan dan bukan jaminan kebahagiaan sesebuah ikatan kerana sesuatu yang
cantik dan menarik hanyalah bersifat sementara.
“I’m sorry, sayang. Teruk betul mulut abang waktu tu kan. I did that on purpose but I never
meant it. I was trying hard to
hide my feeling. Melihat sayang
dalam keadaan seksi macam tu, hanya lelaki bodoh macam abang saja yang
buat-buat tak nampak. Apatah lagi perempuan itu halal untuk disentuh. Padahal
dalam hati abang ni, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya menahan
gelora. Terus terang jika diingat, memang menyesal tak sudah abang rasa.
Maafkan abang, ya.” Beritahu Harris berkali-kali menyatakan penyesalannya
dengan ungkapan maaf.
“Tak perlulah awak minta maaf lagi. Itu kan semua kenangan lama.
Dah jadi sejarah pun.” Balas ‘Aisy perlahan.
“Habis tu abang tengok muncung sayang tu dah panjang semacam.
Abang cuma suruh sayang ingat bukannya merajuk bila ingatkan kenangan itu.”
Tutur Harris sambil tersenyum nipis. Bukan niat di hatinya untuk membuat ‘Aisy
berjauh hati dengan mengingati kenangan itu. Dia cuma ingin berkongsi rasa
dengan menjelaskan perkara yang tidak terluah sebelum ini.
“Dah awak suruh saya kenang peristiwa yang tak berapa manis. Cuba
awak suruh saya ingat kenangan indah kita. Contohnya fasal…” Kata-kata ‘Aisy
terhenti di situ. Otaknya tidak dapat mengingati kenangan manis yang pernah
mereka kongsi berdua.
Harris mengeluh. Padam terus senyuman yang terukir di bibirnya.
“Kita memang tak ada
kenangan manis bersama kan. Selama ini, abang hanya tahu buat hidup sayang
menderita saja.” Suara Harris bernada kecewa.
“Tapi masih belum terlambat untuk kita ciptakan sesuatu yang manis
bersama kan?” Pujuk ‘Aisy tenang. Tidak mahu Harris berterusan menyalahkan
dirinya
“Insya-Allah, sayang. Abang tak akan berhenti berusaha sehabis
daya untuk menghadirkan sebanyak mungkin kenangan yang akan membahagiakan
sayang.” Ucap Harris seraya mengucup lama dahi ‘Aisy. Dia semakin mengeratkan
pelukan.
‘Aisy mengukirkan senyuman bahagia. Kehangatan yang datang dari
tubuh sasa milik Harris membuatkannya merasa selesa dan selamat.
“Dahlah. Tak guna kita kenang perkara-perkara sedih ni. Hari pun dah lewat malam ni.
Kita tidur, ya.” Pinta ‘Aisy sambil mengerling jam di meja. Sudah hampir pukul
12.00 malam! Padanlah kelopak matanya kembali memberat. Dia cuba merungkaikan
pelukan, namun Harris kembali menariknya rapat ke dalam rangkulan
“Nantilah dulu. Jom temankan abang ambil angin kat balkoni.”
Ajak Harris sambil turut melirik pandangannya ke arah jam. Permintaan Harris
mengundang rasa pelik di hati ‘Aisy.
“Malam-malam macam ini?” Soalan ‘Aisy dijawab dengan anggukan.
“Jomlah.” Desak Harris.
Entah angin apa yang merasuk Harris. Malas hendak berfikir
panjang, akhirnya ‘Aisy menuruti ajakan Harris. Lagi cepat dia menurut, lagi
cepat dia boleh tidur. Mata pun sudah terasa berat benar untuk dibuka.
“Sekejap, sayang.” Harris melangkah ke kabinet pakaian dan
mencapai sehelai kemeja-T berleher bulat.
‘Aisy tergelak kecil melihat Harris menyarungkan kemeja itu ke
tubuhnya.
“Ingatkan kulit awak ini spesies reptilia tadi. Dari tadi
tak berbaju, tak sejuk ke?” Perli ‘Aisy dengan gelengan di kepala. Tawanya
masih bersisa.
“Sejuk, tapi sengaja abang tahan. Susah payah abang duk tayangkan six-packs abang ni pada sayang. Ingatkan
dapatlah goda sayang, tapi orang tu buat tak faham aje.” Giat Harris sambil
mengenyitkan matanya nakal. Sengaja dia ingin menduga reaksi isterinya.
Terus terhenti tawa ‘Aisy tatkala mendengar jawapan Harris yang
tidak disangka-sangka. Lidahnya menjadi kelu tiba-tiba. Sempat lagi lelaki itu
mengenakannya.
“Sayang ini tak habis-habis lagi malu dengan abang, ya. Tak apa,
lepas ini tahulah abang nak buat
macam mana pada isteri abang ini. Jom, sayang. Kita memadu kasih di bawah
pancaran cahaya bulan yang dikelilingi taburan bintang yang berkelipan.” Suara
Harris dengan lenggok bahasa yang puitis membuatkan ‘Aisy semakin menundukkan
wajahnya.
Dengan senyuman yang meleret, Harris menghampiri ‘Aisy.
Jari-jemari isterinya yang sedikit dingin dicapai dan digenggam erat. Mereka
beriringan melangkah ke arah beranda.
Di balkoni, hanya suasana sepi yang mengiringi bicara mereka
berdua. Kedudukan rumah agam milik Harris yang berada di kawasan bukit
membolehkan mereka menikmati panorama malam yang cukup indah dan bercahaya. Kelihatan kerlipan cahaya-cahaya lampu
dari deretan rumah mengindahkan lagi pemandangan
Tiba-tiba langit yang hitam pekat disimbah dengan percikan cahaya
bunga api. Cukup membuatkan pandangan mata ‘Aisy terpesona dengan keindahan
pelbagai corak bunga api berwarna-warni yang mengisi ruang udara silih berganti.
“Cantiknya.” Satu perkataan yang muncul di mulutnya. Matanya masih
lagi tunak memerhatikan setiap pancaran bunga api yang terbentuk di udara.
“Happy 5th Anniversary,
sayang.” Bisik Harris di telinganya sambil merangkul erat tubuh ‘Aisy dari
belakang.
‘Aisy tercengang sambil melirik pandang ke arah Harris. Hari ini
ulang tahun perkahwinan mereka? Macam mana dia langsung tidak mengingati tarikh
yang telah mengangkat martabatnya sebagai isteri di sisi Harris. Mungkin kerana
selama ini dia tidak pernah meraikan hari istimewa ini bersama dengan Harris
sehingga membuatkan dia semakin melupai tarikh keramat yang telah menyatukan
mereka berdua.
“Semoga ikatan pernikahan kita terus berada dalam keberkatan dan
keredaan-Nya, kekal sehingga ke Jannah.” Tutur Harris penuh berharap. Syahdu.
Perasaan ‘Aisy terusik. Matanya mula digenangi manik-manik kaca.
“Awak rancang semua ini?” Tanya ‘Aisy usai bunga api terakhir
dilepaskan ke udara.
Harris mengangguk perlahan. “Abang ingin ciptakan kenangan
yang indah buat sayang. Ini adalah langkah pertama abang. What do you think, sayang?”
Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy cukup tersentuh. Air mata mula
menitik membasahi pipi. Dia sebak. “Kenangan yang pasti ‘Aisy takkan lupakan
untuk seumur hidup ini. Terima kasih, abang.”
“Apa yang sayang cakap tadi?” Harris menyoal sambil memalingkan
tubuh ‘Aisy ke arahnya. Di sebalik luahan isterinya itu, ada perkara lain yang
lebih menarik pendengarannya.
“Terima kasih kerana sanggup rancang semua ini.” Ulang ‘Aisy
sambil menyeka kelopak matanya.
“No, no. Bukan itu. You just called me abang, right?” Soal Harris dalam nada teruja.
‘Aisy mengukir senyum. Dia sendiri tidak menyangka setelah sekian
lama, ringan bibirnya memanggil Harris dengan panggilan yang telah lama
ditinggalkan. Mungkin sudah tiba masanya dia membetulkan apa yang silap selama
ini.
“Awak tak suka ke?” Sengaja dia menduga.
“Suka! Mestilah abang suka sangat. In fact, this is what I’ve been
waiting for all this while. Alhamdulillah, sayang. The best gift for me ever. Lepas ini, no more saya-awak. From now, keep calling me abang,
okay?” Pohon Harris sambil membawa tubuh ‘Aisy ke dalam dakapannya.
“Sayang, I’m soo
happy..” Tambah Harris
mengeratkan pelukan.
‘Aisy turut membalas pelukan itu. Hangat! Jauh di sudut hati dia
turut bersyukur kerana tindakan spontannya tadi menggembirakan Harris.
“I have something for you. Come, ikut
abang.” Beritahu Harri. Pelukan dileraikan. Tangan ‘Aisy dituntun masuk ke
dalam bilik dan didudukkan di birai katil. Laci meja tidur dibuka dan Harris
mengeluarkan sebuah kotak baldu berwarna biru gelap.
“Bukalah.” Huluran kotak bersaiz segi empat tepat itu disambut
‘Aisy dengan teragak-agak. Dia bagaikan dapat meneka isi di sebalik kotak itu.
Perlahan-lahan dia membuka kotak itu dan pandangan matanya terpanah dengan
kilauan satu set rantai emas 916 bersama dengan loket yang terukir indah
namanya.
“Terima kasih, abang. Cantik sangat.” Ungkap ‘Aisy dengan
pandangan mata yang kembali berkaca. Dia benar-benar terharu dengan ingatan
Harris.
“Rantai ini sebagai tanda kasih abang pada sayang. Tanda terima
kasih abang pada sayang kerana sudi berikan abang peluang kedua untuk merasai
nikmat bahagia ini. Sayang suka?” Soal Harris dengan senyuman puas. Puas kerana
buat pertama kali dia berpeluang menggembirakan hati wanita kesayangannya.
“Suka.” Balas ‘Aisy sepatah.
“Oh, sebelum abang lupa.” Harris bangkit menuju ke arah meja
kerjanya yang diletakkan di ruang kiri bilik. Tidak lama dia kembali melabuhkan
duduk di sisi ‘Aisy bersama sebuah beg bimbit di tangan. Harris membuka beg bimbit itu perlahan.
‘Aisy merenung Harris pelik. Namun tatkala pandangannya jatuh pada
isi di dalam beg itu, air matanya mula menitis.
“Ini hadiah yang abang beli semasa ulang tahun perkahwinan kita
yang lepas. Empat hadiah untuk empat tahun yang kita dah terlepas..” Beritahu
Harris sambil menghulurkan empat bungkusan hadiah yang masih elok berbalut.
‘Aisy tergamam. Dia tidak menyambut huluran itu. Sebaliknya dia
menerpa dan merangkul erat tubuh Harris. Bahu lelaki itu basah dengan esakan
tangisannya.
“Kenapa abang buat semua ini?” Tanya ‘Aisy dalam sendu. Lembut
tangan Harris mengusap belakangnya.
“Shhh.. jangan menangis, sayang.” Pujuk Harris meleraikan pelukan.
Air mata ‘Aisy diseka lembut dengan tangannya.
“Abang buat semua ini sebab abang nak tebus kegagalan abang yang
lalu. Abang gagal menghargai sayang selama ini. Kita tak pernah sambut anniversary sepanjang perkahwinan kita. Malah ini
kali pertama selepas lima tahun kita bersama meraikan hari bersejarah kita
berdua. Abang hanya sedar kesilapan abang setelah sayang pergi dari hidup
abang. Sejak itu abang berazam untuk memperbaiki diri abang sebagai seorang
suami. Sebab itu abang tak pernah lupa sediakan hadiah setiap kali ulang tahun
pernikahan kita dan menyambutnya biarpun sendirian.”
Ketulusan bicara Harris membuatkan ‘Aisy kehilangan kata. Tidak
menyangka sebanyak itu Harris menghargai dirinya. Terbit rasa malu dalam diri
kerana di kala hatinya subur dengan dendam dan benci pada Harris, di kala
itulah Harris menganyam hatinya sendiri dengan cinta dan rindu terhadapnya.
“Sayang tak nak tengok ke hadiah-hadiah ni?”
‘Aisy mengangguk perlahan sambil menyapu air mata yang membasahi
pipi dengan belakang tapak tangannya. Dia mengambil hadiah pertama yang
berbentuk empat segi. Balutan pada kotak tersebut dibuka dengan jari yang
terketar-ketar. Kotak baldu yang agak ringan itu membuatkan ‘Aisy gagal menelah
isi yang ada di dalamnya.
“Gambar apa ni?” Aisy mengerutkan kening sebaik dia melihat
beberapa keping gambar yang tersusun di dalam kotak. Gambar yang merakamkan
wajah-wajah warga tua yang ditempatkan di sebuah rumah penjagaan orang-orang
tua. Matanya terpaku pada sekeping gambar yang tertera tulisan ‘Titian Cinta
Sakinah’.
“Abang bina rumah ni?” ‘Aisy memandang Harris tidak percaya.
Harris mengerdipkan matanya sambil tersenyum nipis.
“Ini impian sayang kan? Untuk membina sebuah pusat jagaan warga
emas yang tak terbela nasib mereka. Titian Cinta Sakinah nama yang sayang
selalu sebut pada abang. Abang tak pernah lupa biarpun kadang-kadang abang
seperti tak peduli. Kehilangan sayang membuatkan abang tergerak hati untuk
melaksanakan impian sayang. Semua ini buat abang terasa makin dekat dengan sayang.”
Beritahu Harris.
Ternyata gerak hatinya memang tepat. Semasa menyiapkan projek ini,
dia mendapat kepuasan yang tidak terhingga. Puas kerana dia belajar sesuatu
yang sangat bernilai. Sesuatu yang membuat dia lebih bersyukur dengan nikmat
rezeki yang ALLAH kurniakan padanya.
‘Aisy menekup mulutnya. Tidak tergambar perasaannya saat itu.
“No..no..no. Tak
mahu menangis lagi. Ini baru hadiah pertama, sayang. Ada tiga kotak lagi yang
sayang belum tengok. Kalau asyik menangis, bila nak habis buka semua ni. Kenapa
cengeng sangat isteri abang ni?” Halang Harris sebelum air mata ‘Aisy tumpah
buat sekian kalinya. Bahu ‘Aisy diusapnya lembut.
“Kalau tak nak ‘Aisy cengeng, lain kali abang belikan lollipop
saja sebagai hadiah.” Tempelak ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak. Dia
menarik nafasnya dalam.
“Hemm..bagus juga idea tu. Next
anniversary kita abang buat macam
tu.” Usik Harris menceriakan suasana. ‘Aisy tergelak kecil.
“Cepatlah buka hadiah yang kedua pula. Lagi cepat buka lagi cepat
kita boleh tidur. Abang dah mengantuk ni.” Gesa Harris sambil berpura-pura
menguap.
“Mengada-ngada.” ‘Aisy menjeling manja sambil tangannya mengambil
bungkusan yang dibalut dengan kertas hadiah berwarna biru.
“Sayang buka besok sajalah. Abang rasa dah tergoda dengan jelingan
sayang tu. Jom tidur.” ‘Aisy menjegilkan mata dengan kata-kata nakal Harris.
Tanpa mempedulikan tawa lepas Harris, lincah tangannya membuka
balutan hadiah. Seutas jam tangan berjenama Omega yang disaluti berlian putih di
sekelilingnya.
“Kenapa bazirkan duit beli jam mahal macam ni.” Komen ‘Aisy. Dia
memang penggemar jam. Namun dia tidak pernah bermimpi untuk memiliki jam
semahal ini.
“Sebab isteri abang ini peminat jam tangan. Kebetulan semasa abang
ke Swiss abang ternampak jam ini. Kalau sayang
pakai mesti cantik. Lagipun jam ini didatangkan sepasang. Jadi abang beli juga
untuk diri abang. Kita tak pernah ada barang yang sedondon kan? I think this is a good starter.” Penjelasan
Harris membuatkan ‘Aisy menarik nafas menahan sebak.
“Terima kasih, abang. Tapi ‘Aisy tak layak nak pakai jam semahal
ni.” Beritahu ‘Aisy merendah diri. Bukan dia tidak menghargai pemberian Harris
tetapi dia hanyalah kakitangan berkolar biru. Tidak sanggup dia memakai jam
tangan yang berharga puluhan ribu ringgit itu.
“Sayang tak suka ke?” Soal Harris sedikit berjauh hati. ‘Aisy
mengetap bibir serba salah.
“Bukan tak suka. Tapi ‘Aisy takut nanti ada orang potong tangan
‘Aisy semata-mata nak dapatkan jam mahal ni.” Gurau ‘Aisy agar Harris tidak
terasa hati.
Harris datang daripada keluarga korporat yang hidupnya sentiasa
dilimpahi kemewahan. Sehelai kemejanya kadang-kandang mencecah hingga ratusan
ringgit. Mungkin harga jam semahal itu bagi Harris adalah biasa. Sedangkan
‘Aisy datang daripada dunia yang berbeza. Dia dibesarkan dalam persekitaran
yang cukup sederhana. Punya kawan yang sederhana. Makan pakainya juga sederhana.
“Nakal isteri abang sekarang ni ya.” Harris mengukirkan senyum.
Dia membawa ‘Aisy rapat ke sisinya lalu dia mengucup lembut ubun-ubun ‘Aisy.
“Okay, ‘Aisy buka hadiah yang seterusnya, ya.” Tidak mahu
memanjangkan cerita, ‘Aisy meminta kebenaran untuk membuka balutan hadiah yang
ketiga.
Harris mengangguk. Lebar senyuman di bibirnya menyaksikan ‘Aisy
yang sedang teruja mengoyakkan pembalut hadiah.
“Cantiknya kain ni.” Puji ‘Aisy sambil menggayakan kain sutera
digital berwarna biru turquoise ke badannya.
“Hadiah untuk anniversary kita yang ketiga. Ingat tak sayang
pernah cakap biru turquoise warna kegemaran sayang dan sayang pilih tema warna
ini untuk raya pertama kita. Tapi kita tak sempat nak sambut raya bersama kan,
sayang.” Ujar Harris kesal. Terlalu banyak perkara indah yang dia terlepas.
“Insya-Allah, ada rezeki tahun ini kita raya bersama dan pakai
baju warna ni. Tak kiralah raya yang ke berapa pun. Yang penting kita patut
bersyukur kerana masih berpeluang memperbetulkan apa yang silap. Abang juga
yang cakap kan.” ‘Aisy menyentuh tangan Harris menenangkan lelaki itu. Tidak
menyangka saat itu dirinya mempunyai kekuatan untuk lebih bersikap positif.
“Insya-Allah, sayang.” Harris membalas sentuhan ‘Aisy.
“Hadiah yang terakhir.” ‘Aisy mencapai satu-satunya hadiah yang
belum dibuka balutannya.
“Apa ya kat dalam ni?” Soal ‘Aisy sambil menggoncangkan hadiah itu
perlahan. Harris hanya mengangkat bahu enggan memberitahu.
Sebuah kotak baldu berwarna merah. Tangannya lincah membuka kotak
baldu tersebut. Di dalamnya terdapat empat keping tiket penerbangan untuk
mengerjakan umrah.
“Impian ‘Aisy untuk bawa mak dan ayah bersama mengerjakan umrah
kan? Abang dah tempah open ticket dari tahun lepas lagi. Lepas ni
bolehlah ‘Aisy pilih tarikh yang sesuai dan kita sama-sama pergi ke tanah suci
Mekah.” Terang Harris tenang. Satu lagi hadiah yang berjaya membuatkan mata
‘Aisy berkaca bening.
“This is priceless, abang. Terima kasih, abang.” Ujar ‘Aisy
terharu. Tidak menyangka dia bakal dijemput menjadi tetamu di rumah ALLAH.
Impiannya untuk menunaikan umrah bersama dengan suami dan kedua orang tuanya
bakal terlaksana.
“And this is my priceless moments when you are standing right here
by my side.” Luah Harris romantis. Luahan yang semestinya mampu mencairkan hati
‘Aisy.
“Tapi ‘Aisy minta maaf. ‘Aisy tak sediakan apa-apa hadiah untuk
abang.” Beritahu ‘Aisy berterus-terang. Masakan dia mampu menyediakan hadiah
sedangkan tarikh ulang tahun perkahwinannya pun dia tidak teringat langsung.
“Tak apa, sayang. Sayang ada di sisi abang sama-sama menyambut
ulang tahun perkahwinan kita pun dah merupakan hadiah yang cukup bermakna buat
abang.” Balas Harris sambil menyeka air mata yang tumpah di pipi isterinya.
Malam itu Harris benar-benar telah berjaya membuat hati ‘Aisy
tersentuh. Namun, dalam diam sekali lagi dia dihambat dengan rasa bersalah
kerana dia tiada apa-apa untuk diberikan kepada Harris sebagai galang gantinya.
“’Aisy minta maaf kerana lupa anniversary kita.” Pohon ‘Aisy buat sekian kalinya
sambil menundukkan wajah bersalah.
“Hey, it’s ok sayang. Abang
faham. After all what has
happened to us, abang takkan sekali-kali salahkan sayang bila sayang terlupa.
Tapi, kalau tahun depan sayang tak ingat juga, siap sayang.” Usik Harris sambil
memicit lembut pipi ‘Aisy.
“Terima kasih abang untuk semua ini. ‘Aisy bahagia sangat, abang.”
Luah ‘Aisy. Kembang hati Harris mendengar ungkapan yang dibisikkan. Dia akan
pastikan hari-hari mendatang yang dilaluinya bersama ‘Aisy akan terus diterangi
cahaya kebahagiaan.
“Tapi abang, kenapa bunga api?” Pertanyaan ‘Aisy membuatkan Harris
terpinga-pinga. Dia sendiri tiada jawapan yang pasti.
“Mak dan ayah pernah beritahu abang, sewaktu sayang kecil mereka
selalu bawa sayang tengok pertunjukan bunga api. And you love it so much. So, idea bunga api ni terlintas di kepala
abang masa tu.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy tergelak lucu.
“Kenapa sayang?” Soal Harris pelik.
“Tak adalah. ‘Aisy ingatkan abang cilok idea dari filem Hindustan.
Bunga api kan sangat sinonim dalam budaya mereka. Terutamanya ketika perayaan
besar dan perkahwinan.” Semakin galak ‘Aisy menghamburkan tawa.
“Nonsense! Sayang kan tahu abang tak tengok
cerita Hindustan.” Sangkal Harris sedikit geram. Dia bukanlah seorang yang
punya banyak masa untuk duduk di hadapan televisyen menyaksikan aksi
guling-guling hero dan heroin di atas salji atau padang pasir. Akhirnya dia
turut menghamburkan tawa.
best,,,
ReplyDeleteOsem !!! ��
ReplyDeletekak best gilar la certa akk nie .. dh bsah bntal sya nie dok feeling2 mbca .. uhuks
ReplyDeletespeechless... aduyai.. so romantik.. harris harris... mla la tsgih2 bc novel ni😄
ReplyDeletespeechless... aduyai.. so romantik.. harris harris... mla la tsgih2 bc novel ni😄
ReplyDeleteAlhamdullah....dah bersatu semula...ni yang tengok tv3 ni...tak sabar wei..
ReplyDeleteI love to read this story . Full of sweet moments .
ReplyDelete