“Sayang…”
‘Aisy tersentak dengan sapaan Harris sebaik kakinya melangkah
keluar dari bilik air. Tidak menyangka lelaki itu masih setia menunggunya di
depan bilik air. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia bertapa di situ.
Malas dia hendak menghadap muka Harris. Namun, bimbang pula jika tindakannya
itu bakal mengundang rasa pelik ahli keluarganya yang lain. Maklumlah, bilik
air itu berada di luar bilik tidur dan dikongsi ramai.
Tanpa menghiraukan Harris, ‘Aisy berlalu ke bilik tidur. Badannya
benar-benar penat. Hati dan perasaannya benar-benar jerih. Mata yang membengkak
seakan tidak mampu dicelikkan lagi. Dia sudah tidak berminat untuk bertikam
lidah dengan Harris.
“Kenapa ambil comforter tu?” Soal Harris apabila ‘Aisy
mencapai sebiji bantal dan menghamparkan comforter di atas lantai. Sedari tadi dia hanya
memerhatikan gerak-geri ‘Aisy. Hati lelakinya runtun melihat keadaan ‘Aisy yang
tidak bermaya.
“Saya nak tidur.” Ringkas balasan ‘Aisy dengan suara yang sedikit
serak.
“Kenapa nak tidur dekat bawah? Katil kan ada.” Bicara Harris
lembut.
“Awak tidurlah atas katil. Saya dah biasa susah. Tidur atas lantai
pun tak apa.” Ujar ‘Aisy sinis. Dia menepuk-nepuk bantal kekabu sebelum
membaringkan kepalanya di situ. Badannya diiringkan membelakangi Harris, cuba
mencari keselesaan dan menghilangkan lenguh di badan.
“Degil isteri abang ni.”
Serentak itu Harris mengambil bantal dan turut berbaring di
sebelah ‘Aisy membuatkan wanita itu tidak jadi memejamkan mata.
“Awak buat apa baring kat sini?” Getus ‘Aisy. Serta-merta dia
bingkas bangun dan duduk tercongok.
“Tidurlah.” Harris menjawab sepatah. Riak wajahnya selamba.
“Tempat awak kat sana, bukan kat atas lantai ini. Nanti habis
lenguh tubuh awak, saya juga yang dipersalahkan.” Tukas ‘Aisy sambil
menudingkan jari telunjuknya ke arah katil.
“Abang akan tidur di mana isteri abang tidur. Kalau lenguh, kita
lenguh sama-sama.”
‘Aisy mendengus geram dengan kedegilan Harris. Lantas, dia bangun
dan menuju ke arah katil. Tubuhnya dihempaskan di atas tilam empuk. Selesa!
Harris turut bangkit dan baring di sebelahnya di atas katil. ‘Aisy
memalingkan tubuhnya membelakangi Harris. Dia tahu dia tidak akan menang dengan
kedegilan Harris. Lagipun badannya sudah tidak larat untuk berkalih tempat
tidur lagi. Diletakkan bantal panjang sebagai benteng di antara dia dan Harris.
Bimbang jika Harris cuba mengambil kesempatan seperti petang tadi.
“Jangan risau, abang akan berpegang pada janji abang.” Bisik
Harris lembut memberikan jaminan. Begitu dekat di telinga ‘Aisy. Dia seakan
mengerti gelodak perasaan yang sedang bermain di fikiran isterinya.
“Tidurlah, Harris. Saya penat sangat ni.” Lemah suara ‘Aisy sudah
tidak mampu menahan rasa mengantuknya.
“Selamat malam, sayang.”
Cup! Ciuman Harris yang hinggap di pipi ‘Aisy membuatkan wanita
itu membuka mata semula. Geram dengan kesempatan yang diambil Harris.
“Awak…”
‘Aisy tidak jadi menghamburkan amarah saat melihat Harris sudah
memejamkan mata. Dengkuran halus menunjukkan yang Harris sudah terlena. Cepat
betul dia ini tidur? ‘Aisy mengomel di dalam hatinya. Matanya yang kian
memberat turut membawa dirinya ke alam separa sedar.
***
Azan subuh yang berkumandang mengejutkan ‘Aisy dari lena. Jika
diikutkan rasa mengantuk, ingin terus disambung tidurnya yang dirasakan baru
sekejap itu. Namun, tuntutannya sebagai hamba kepada sang Pencipta perlu
ditunaikan. Tatkala ‘Aisy bangun dari perbaringannya, matanya bertembung dengan
susuk tubuh Harris yang hanya bertuala. Rambut basah Harris menandakan lelaki
itu baru selesai mandi.
“Sayang dah bangun? Pergilah mandi dulu. Abang tunggu sayang, kita
solat jemaah sama-sama.”
Sapaan Harris mengejutkan ‘Aisy yang sedang terleka merenung
suaminya. Pantas dia menghalakan pandangan ke arah lain.
“Tak salah kalau sayang nak tenung abang lama-lama. Abang kan hak
sayang.” Usik Harris.
Rona wajah ‘Aisy berubah warna. Ditambah dengan gelagat Harris
yang begitu selamba berpakaian di hadapannya membuatkan dia semakin tersipu.
“Saya mandi dulu.”
Tidak betah untuk terus berlama di situ, ‘Aisy pantas mencapai
tuala dan baju bersih. Dia berlalu ke bilik air. Namun begitu, telinganya masih
sempat menangkap tawa nipis Harris. Pasti lelaki itu sedang mentertawakannya.
Usai mandi dan berwuduk, Harris sedang menunggunya di tikar
sejadah. Tanpa berlengah telekung sembahyang disarungkan ke tubuh. Pagi itu
buat pertama kali ‘Aisy bersolat dengan berimamkan suaminya sendiri. Sebuah
impian yang pernah disuarakannya di awal usia perkahwinan mereka. Sebuah
angan-angan yang dulu hanya dipandang sepi oleh Harris. Tetapi di saat semuanya
sudah terlambat, kenapa lelaki ini mula berubah?
Selesai menunaikan solat, Harris memimpin bacaan wirid. Saat
Harris menadahkan kedua belah tangannya untuk memanjatkan doa, ada satu
perasaan halus mula merantai hati ‘Aisy. Sebuah perasaan indah dan bahagia.
Namun, cepat-cepat dia mengusir perasaan yang bertamu itu. Penghayatan dipusatkan
pada doa yang dibaca Harris.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Indahkan lah rumah tangga kami
dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkan lah kami dengan keturunan yang
membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal soleh yang Engkau redai. Jadikan
kami teladan yang baik bagi manusia.” Mendayu suara Harris melafazkan bait-bait
ayat yang penuh pengharapan. Menjentik rasa sayu di hati ‘Aisy.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Damaikan lah pertengkaran di
antara kami, tautkan hati kami dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan yang
benar. Engkau limpahkan lah kami dengan kesabaran yang tiada terbatas.
Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelikan yang
tampak dan tersembunyi.” Harris berjeda seketika menahan sebak. Satu persatu kesilapan
yang pernah dilakukannya terlakar di ruang mata.
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Berkatilah pendengaran kami,
lindungi lah penglihatan kami, peliharalah lidah kami, kuatkan lah hati kami
dan Engkau ampuni lah kami. Sesungguhnya, Engkau maha pengampun lagi maha
penyayang. Amin..”
Tatkala mengaminkan bait-bait doa itu, ‘Aisy merasa damai yang
cukup luar biasa menjengah di jiwanya. Huluran salam Harris disambut biarpun
dia sedikit teragak-agak dan kekok. Perlahan-lahan tangan kanan Harris dicium.
Dapat dirasakan tangan kiri Harris mengusap lembut kepalanya dan sebuah kucupan
hangat singgah di ubun-ubun nya.
‘Aisy memanggung kepala. Pandangan matanya bersabung dengan anak
mata hitam Harris. Saat bibir Harris jatuh di dahinya, dia memejamkan mata
membiarkan. Mengundang getaran yang cukup indah di jiwa. Sudah lama dia tidak
merasai perasaan indah begini. Rasa bahagia di kala hati sarat dengan cinta dan
rindu yang menggebu. Dan kini rasa itu hadir lagi.
Tetapi sayang. Hadirnya sudah terlewat. Di kala dia sudah tidak
mampu melakukan apa-apa. Hanya mampu memendamkan rasa itu diam-diam di dasar
hatinya. Yang masih tersisa hanyalah kenangan manis saat bahagia yang pernah
dikecapi bersama Harris biarpun hanya seketika cuma.
“Sayang, abang nak cakap sesuatu dengan sayang, boleh?” Serak
suara Harris memulakan bicara.
‘Aisy membuka mata. Redup renungan Harris yang menjamah
setiap inci wajahnya bagaikan memukau dirinya. Dia mengangguk perlahan.
Harris menghela nafas yang panjang. Dia berjeda seketika menyusun
patah perkataan yang sesuai untuk dituturkan. “Semalam abang terlalu mendesak
sayang. Abang minta maaf.”
Harris mencapai tangan ‘Aisy dan dibawa kemas ke dalam
genggamannya. Bebola matanya yang berkaca menari-nari di atas wajah ‘Aisy.
Kesal kerana terlalu terburu-buru mengikut perasaannya sendiri. Tindakan yang
hampir membunuh peluangnya untuk meraih kembali kasih si isteri.
“Abang minta maaf dengan apa yang dah berlaku selama ini. Jujur
dari lubuk hati abang yang paling dalam abang sangat menyesal. Sangat sesal
dengan setiap kekhilafan abang. Empat tahun abang hidup dengan rasa bersalah. And everyday this guilt keep
hurting me deeper and deeper.” Ucap Harris lirih. Tangan ‘Aisy dibawa ke
dadanya. Mengharapkan ‘Aisy dapat mendengar kesakitan yang sarat ditanggung
selama ini dalam setiap degupan jantungnya.
‘Aisy terkesima. Pandangannya dijatuhkan ke bawah. Bibirnya
langsung tidak mampu mengungkapkan sebarang kata. Sungguh hatinya tersentuh.
Bersaksikan tikar sejadah ini, dia tidak mampu lagi menidakkan keikhlasan hati Harris.
Saat ini, hati dan akalnya bertindak seiring dalam menilai kejujuran Harris.
Harris semakin dihimpit rasa bersalah dengan kebisuan ‘Aisy. Dagu
‘Aisy disentuh dan diangkatkan sedikit ke atas. Matanya tepat memanah ke dalam
anak mata coklat ‘Aisy.
“Abang tahu penyesalan abang tak mungkin dapat mengembalikan anak
kita. Seribu kata maaf yang terucap tak akan dapat membetulkan kesilapan yang
telah abang lakukan. Abang sedar sikap abang selama ini buat sayang hidup
menderita. Sehingga meninggalkan luka yang cukup dalam di hati isteri abang
ini.” Bicara Harris terhenti. Dia menelan liurnya pahit sebelum kembali
menyambung kata.
“Tapi abang mohon pada sayang. Tolong benarkan abang merawat luka
itu. Beri abang peluang untuk tebus kesilapan abang. Abang akan bahagiakan
sayang sehingga nafas abang terhenti.”
Janji Harris dengan penuh harapan. Dia bertekad untuk memadamkan
kelukaan dan kedukaan yang pernah terlakar dalam coretan sejarah hidup ‘Aisy.
Dia perlukan kesudian ‘Aisy untuk membuktikan tekadnya itu.
“Saya..saya..”
‘Aisy kematian kata. Dia mengalihkan pandangannya ke arah lain.
Tidak sanggup untuk terus menatap mata bening milik Harris. Separuh hatinya
meronta untuk memberi peluang kepada Harris tetapi separuh hatinya lagi
menolak. Ada sesuatu yang menyekat. Sesuatu yang dia langsung tiada daya
untuk menghalang.
“Saya tak mampu, Harris.” Gumam ‘Aisy. Kepalanya di gelengkan
perlahan. Maafkan saya, Harris. Bisik hatinya pedih.
Harris mengeluh berat. Ada rasa perit yang terpahat di hati saat
menerima penolakan ‘Aisy.
“Sayang, tiada ruang langsung ke di hati sayang untuk maafkan
abang? Abang tak kisah kalau sayang perlukan lebih masa. Ambillah selama mana
pun masa yang sayang perlukan. Abang sanggup tunggu sampai saat itu tiba.”
Kesungguhan Harris membuatkan hati ‘Aisy semakin terusik.
“Tak perlu, Harris. Tak ada gunanya awak buang masa menunggu saya.
Semuanya dah terlambat.” Bantah ‘Aisy pilu.
Sengaja dia menarik kasar tangannya yang berada dalam genggaman
Harris. Mengharapkan tindakannya itu mampu menguatkan hatinya yang semakin
rapuh. Dia perlu bertahan dan harus kuat kerana kata-kata yang bakal dilafazkan
bibirnya bakal mengundang luka di hatinya sendiri.
“Terimalah hakikat yang kita tak berjodoh untuk bersama. Perpi...”
Bicara ‘Aisy terhenti tatkala jari telunjuk Harris melekap di bibirnya.
“Tak, sayang. Tak mungkin.” Harris menggeleng laju memangkas
kata-kata ‘Aisy. Tidak rela perkataan keramat itu sekali lagi meniti di bibir
‘Aisy.
“Abang tahu…mungkin sekarang ni hati sayang masih sukar nak terima
abang kembali. Abang takkan paksa sayang untuk itu. Cuma satu yang abang pinta.
Tolong jangan sebut tentang perpisahan. Hati abang ini sakit setiap kali
mendengar perkataan itu. Bagai disiat-siat dada ini. Janji dengan abang, ya
sayang.” Rayu Harris. Dia kembali menggenggam tangan ‘Aisy lalu dibawa ke
bibirnya. Setitik air mata lelakinya jatuh membasahi belakang tangan ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Sekali lagi dia hilang bicara. Titisan mutiara
jernih yang mengalir di pipi Harris menjadikan hatinya berbelah bahagi. Di antara
kehendak hati dan tuntutan keadaan membuatkan jiwanya semakin tidak keruan.
Tanpa sedar, dia membiarkan pandangan matanya berbicara dalam linangan air
mata.
“Janji dengan abang ya, sayang.” Ujar Harris penuh mengharap.
Berkali-kali tangan ‘Aisy yang berada di dalam genggamannya dikucup lembut.
‘Aisy memejamkan matanya. Kesungguhan Harris benar-benar
melemaskannya. Benar-benar meletaknya dalam keadaan serba salah. Hakikatnya,
dia tidak sanggup memberi Harris harapan. Harapan untuk menggarap impian yang bakal
kecundang kesudahannya.
Seteguh mana pun keikhlasan kasih sayang Harris padanya, tidak
mampu menjadikan dia seorang isteri yang sempurna. Dia sudah lama hilang
kesempurnaan itu. Pasti andai dia kembali bersama Harris, terlalu banyak liku
yang akan ditempuh. Terlalu banyak hati yang bakal disakiti. ‘Aisy menghela
nafasnya berat.
“Mungkin suatu hari nanti hati saya yang retak ini akan bercantum
semula. Mungkin suatu masa nanti jiwa saya yang remuk ini akan sembuh kembali.
Tapi, buat masa ini, permintaan awak tu terlalu tinggi untuk saya tunaikan,
Harris.” Tukas ‘Aisy pasrah. Hakikatnya, dia tidak mungkin akan kembali untuk
hidup bersama Harris. Buat apa diteruskan andai hanya kecewa dan sengsara yang
tinggal kesudahannya.
“Tapi kalau dalam tempoh itu awak bertemu dengan seorang perempuan
yang berjaya mengisi kekosongan hati awak, saya akan mengundur diri dengan rela
hati.” Sambung ‘Aisy. Kepiluan yang terasa perlu ditelan biarpun payah.
“Takkan ada perempuan lain dalam hidup abang melainkan sayang.
Hanya sayang isteri abang dunia dan akhirat.” Tingkah Harris serius dan yakin.
“Dengan izin Allah, Harris. Semuanya di bawah ketentuan-Nya.”
Balas ‘Aisy.
“Ya, sayang. Dengan izin-Nya, tapi kita dituntut untuk berusaha
kan? Kita sama-sama usaha ya, sayang..” Tulus pengharapan yang diungkapkan
Harris
‘Aisy terkedu.
Kesungguhan Harris sering kali membuatnya kehilangan kata. Dalam diam sebuah
keluhan berat dilepaskan.
bringing out my tears dowhhhh.. awatlah aisy ni keras sangat... adehhh
ReplyDeleteKenapa cerita ni melompat��
ReplyDeleteBukan melompat..tapi plot flashback..
DeleteBukan melompat..tapi plot flashback..
DeleteDari bab satu smpai sini keja nangis he mata ni😭😭😭
ReplyDeleteAlahai. Air mata x berhenti-henti keluar... Uwaaaaa
ReplyDeleteMenarik Dan Inspiratif sekali cerita ini, untuk para pencinta sepakbola bisa Gabung Disini untuk dapat update serta informasi terbaru mengenai Sepakbola >_<
ReplyDelete