Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 5 EV

‘Aisy menggenyeh matanya yang masih mengantuk. Cahaya lampu yang menerangi di segenap ruang menyilaukan pandangannya. Suasana sekeliling dirasakan sedikit asing. Dia cuba memusatkan fikirannya yang agak keliru. Setelah beberapa saat, barulah otaknya dapat memproses dengan betul. Dia bukan lagi berada di apartmen sewaannya di pinggir kota London. Susun atur perabot dalam bilik itu menunjukkan yang dia kini berada di kampung halamannya.
‘Aisy bangkit. Namun, pergerakannya terhenti apabila denyutan di kepalanya hebat menyerang. Dia mengetap bibir menahan sakit. Tubuhnya disandarkan di kepala katil untuk mendapatkan sokongan.
Harris yang lengkap berbaju Melayu biru turquoise menggamit pandangannya yang berbalam. Lunak sekali bacaan ayat suci al-Quran yang sedang dilagukan lelaki itu. Mengundang rasa damai di jiwa. Terlalu banyak kejutan yang diberikan Harris biarpun belum sampai sehari dia dipertemukan kembali dengan lelaki itu.
Perubahan yang ditunjukkan Harris membuatkan dia bagaikan tidak mengenali suami yang berada di depannya kini. Atau adakah ini juga sebahagian daripada lakonan yang sedang dipentaskan Harris? Jika benar, untuk apa sebenarnya lakonan ini semua?
“Sayang dah bangun?”
Sapaan Harris membuatkan ‘Aisy menjeling sekilas ke arahnya. Sengaja dia membiarkan sepi pertanyaan Harris. Hatinya masih sakit dengan peristiwa yang berlaku lewat petang tadi. Menambah rasa sebu di sanubari.
Harris menamatkan bacaannya dan meletakkan al-Quran di atas meja di tepi katil. Sejadah dilipat dan dia bingkas bangun menuju ke arah almari pakaian. Pantas tangannya mencapai tuala bersih yang berlipat kemas dan meletakkannya di sebelah ‘Aisy. Lagak lelaki itu seperti sudah biasa dengan setiap susun atur yang ada di dalam bilik tidur itu.
‘Aisy mengerutkan dahi kehairanan. Semakin ligat otaknya berfikir semakin kuat denyutan di kepalanya. Matanya dikecilkan menahan rasa yang mencucuk-cucuk.
“Sayang kenapa? Tak sihat ke?” Soal Harris apabila dilihatnya ‘Aisy sedang memicit kepala. Jelas suaranya bernada risau. Dia melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy. Lalu dahi isterinya disentuh lembut.
“Saya tak apa-apa.”
Tangan Harris ditepis perlahan. ‘Aisy bingkas bangun. Tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Harris. Namun pening di kepalanya menyebabkan pandangannya semakin kabur, lalu dia gagal mengimbangi diri. Lantas, dia memegang bucu katil untuk menghalang dirinya daripada jatuh.
“Okay apa kalau nak bangun pun tak larat ni?” Gumam Harris. Dia turut bangun. Tanpa menghiraukan bantahan ‘Aisy, dia memaut bahu isterinya. Mendudukkan ‘Aisy kembali di birai katil.
 “Sayang sakit kepala? Abang picit kan?” Wajah pucat ‘Aisy ditatap dengan rasa bimbang. Tangan Harris memicit-micit belakang tengkuk ‘Aisy, cuba untuk melegakan denyutan di kepala isterinya.
“Tak payah nak concern lebih-lebih. Saya belum nak mati lagi.” Sinis ‘Aisy sambil menolak kasar tangan Harris. Dia ingin bangun namun pandangannya yang berpusing-pusing menyebabkan dia hilang daya keseimbangan.
Mujurlah Harris bergerak tangkas dengan bertindak memegang lengan ‘Aisy untuk menampung tubuh isterinya daripada jatuh.
“Tak guna kalau dalam keadaan macam ni pun sayang masih nak tunjukkan keras kepala sayang tu. Kita pergi klinik, ya sayang?” Harris mengawal oktaf suaranya. Kesabarannya sedikit tercalar dengan kedegilan ‘Aisy.
“Tak perlu.” ‘Aisy menggelengkan kepalanya sebelum menyambung kata.
“Tolong ambilkan ubat dalam handbag saya kat atas meja.” Kesakitan yang semakin menggila membuatkan dia terpaksa juga meminta pertolongan Harris. Dia terduduk lemah di birai katil.
Tanpa lengah, Harris segera menyelongkar tas tangan hitam milik isterinya. Satu-satunya botol ubat yang berada dalam tas tangan itu dicapai. Dia membaca deskripsi pada label botol tersebut. Imitrex. Ini ubat migrain. Gumam Harris di dalam hati.
“Tunggu, abang ambilkan air.” Pesan Harris sebaik botol ubat bertukar tangan. Seminit kemudian, dia muncul dengan segelas air. Dihulurkan gelas tersebut kepada ‘Aisy. Tunak matanya memerhati setiap inci pergerakan isterinya daripada membuka botol ubat sehinggalah dua biji pil selamat ditelan.
‘Aisy menyandarkan tubuhnya di birai katil. Matanya dipejamkan. Denyutan di kepalanya semakin berkurangan, kesan tindak balas daripada ubat yang dimakan.
“Sejak bila sayang ada migrain ni?” Soal Harris mengambil berat sambil melabuhkan duduk di sisi ‘Aisy.
“Tak penting untuk awak tahu.” Jawab ‘Aisy dingin. Dia rimas dengan perhatian yang diberikan Harris. Dengan renungan lelaki itu yang tidak jemu-jemu memandang wajahnya membuatkan dia gelisah sendiri.
“Sayang kan isteri abang. Mestilah abang kena ambil tahu kan?” Balas Harris lembut sambil mengukirkan senyuman nipis di bibir.
“Buat apa? Kita dah nak berpisah pun tak lama lagi kan. Ambil tahu hal sendiri sudah.” Bentak ‘Aisy kasar. Dia memang sengaja mengungkapkan ayat yang mampu membangkitkan kemarahan Harris.
Senyum di wajah Harris mati. Degupan jantungnya berdetak hebat setiap kali ungkapan perpisahan meniti di bibir ‘Aisy. Kedegilan ‘Aisy benar-benar mencabar kesabarannya.
“Abang tak suka sayang cakap macam tu. Abang harap ini kali terakhir sayang bangkitkan pasal ini. Dan keputusan abang tetap sama. Abang tak bersetuju dan takkan pernah bersetuju dengan permintaan sayang itu!” Keluh Harris dengan intonasi suara tegas.
“Untuk apa kita teruskan ikatan yang tak pernah membahagiakan ini?” Soal ‘Aisy lirih.
Harris menelan liur pahit. Sepahit setiap patah kata yang dihamburkan keluar dari mulut ‘Aisy yang terpaksa ditelannya. Kata yang diungkap dek kebencian yang telah dipendam sekian lama. Kebencian yang akhirnya bertukar menjadi dendam.
“Abang akan bahagiakan sayang. Sayang akan bahagia. Dan kita mesti bahagia kerana sayang adalah jodoh abang. Sayang cuma perlu berikan abang peluang untuk buktikan.” Tajam renungan mata Harris bersatu dengan anak mata ‘Aisy. Memaknakan keyakinan dalam kata-katanya.
Kesungguhan Harris sedikit mengusik tangkai hati ‘Aisy. Cepat-cepat ‘Aisy mengalihkan pandangannya ke arah lain. Bimbang andai panahan sepasang mata hitam pekat itu bisa mencairkan tembok kebencian yang telah dibinanya.
 “Abang janji, abang akan buat sayang bahagia sehingga sayang lupakan segala penderitaan yang pernah sayang harungi kerana abang.” Janji Harris.
‘Aisy terkedu. Separuh hatinya ingin percaya. Kenapa dengan dirinya ini? Adakah rasa sayang masih tersisa buat Harris? Tidak mungkin! Lelaki ini hanya pandai berjanji kosong. Suara hatinya mengingatkan.
“Tolong keluar, Harris. Saya nak bersendirian. I need rest.” Pinta ‘Aisy sambil memejamkan matanya rapat.
Saat itu, dia sudah tidak sanggup untuk mendengar pujuk rayu Harris. Ingin diusir rasa serba salah yang mula membelenggu dirinya. Dia takut hatinya akan tewas. Sedangkan keperitan yang pernah dihadiahkan Harris masih kuat terasa. Namun, kenapa dia masih tidak mampu membenci Harris secara total? Kenapa harus hatinya berbolak-balik?
“Okay. Sayang berehatlah. Nanti, jangan lupa mandi. Segarkan sikit badan tu. Sayang boleh solat kan? Waktu Isyak pun dah nak masuk ni. Jangan lupa jamak sekali dengan solat Maghrib.” Pesan Harris satu persatu sambil meletakkan tuala yang telah diambilnya tadi di sebelah ‘Aisy. Biarlah dia beralah menuruti permintaan ‘Aisy walaupun di dalam hatinya bimbang untuk meninggalkan wanita itu berseorangan. Sedar yang dia tidak boleh terlalu memaksa.
“Boleh tak awak berhenti panggil saya sayang. Makin sakit kepala saya ini dengar perkataan tu.” Pinta ‘Aisy dalam sindiran. Sengaja dia mengeraskan hatinya biarpun keprihatinan Harris sedikit sebanyak membuatkan hatinya goyang.
Nope! Abang tak boleh tunaikan.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy mendengus.
“Ingat pesan abang tadi?” Tanya Harris inginkan kepastian sebelum berlalu. Dia menyembunyikan senyum memandang wajah kelat ‘Aisy.
‘Aisy hanya menganggukkan kepala perlahan. Tidak kuasa untuk bertekak. Matanya dipejamkan. Derap tapak kaki Harris semakin menghilang. Kemudian, dia mendengar bunyi pintu ditutup. Setelah setengah jam, sakit di kepala sudah hampir hilang sepenuhnya. Cepat-cepat ‘Aisy mencapai tuala dan berlalu ke bilik air.

***

Selesai membersihkan diri, ‘Aisy kembali ke dalam biliknya. Badannya terasa segar. Dia menguak pintu bilik dengan perasaan gugup. Mulutnya melepaskan keluhan lega apabila kelibat Harris tidak lagi kelihatan di situ. Beg pakaiannya dibuka dan dia mengeluarkan sehelai baju tidur kaftan. Dia menyalin dan menggantikan blaus dan seluar yang membaluti tubuhnya. Silapnya tadi kerana dalam kalut-kalut dia terlupa untuk membawa baju bersih untuk disalin di dalam bilik air.
‘Aisy membentangkan sejadah dan menyarung telekung sembahyang. Bersedia untuk menunaikan solat jamak takhir. Keindahan hikmah dalam Islam yang diberikan kepada setiap musafir. Masih berbaki perjalanannya sebagai musafir kerana destinasi sebenar dia akan bermastautin adalah di Kuala Lumpur. Apatah lagi tempoh masa dia berada di kampung halamannya kurang daripada tiga hari.
Ketukan perlahan di pintu mengejutkan ‘Aisy yang sedang berteleku di atas tikar sejadah. Dia mengalihkan pandangannya ke arah pintu yang sedang terkuak dari luar.
“Sayang, mak ajak makan malam.”
Harris menjengukkan kepalanya di sebalik pintu. Lelaki itu segak tersenyum manis ke arahnya.
‘Aisy mengalihkan pandangan. Hanya mempamerkan wajah tanpa reaksi. Malah bibir mungil itu langsung tidak memberikan sebarang respons terhadap ajakan Harris. Lambat-lambat dia mencabut telekung dan melipatkan sejadah.
“Kepala sayang macam mana? Dah baik?”
Harris melangkah ke arah ‘Aisy yang sedang menyidai telekung sembahyang dan sejadah di rak ampaian. Wajah ‘Aisy yang sedikit segar ditatap dengan penuh kasih. Sungguh, sepenuh hati dia mencintai wanita di depannya itu.
‘Aisy menjawab pertanyaan Harris dengan anggukan perlahan. Sengaja dia kaku dan beku begitu. Menyampaikan rasa meluatnya dengan kehadiran lelaki itu.
“Jom, sayang. Semua orang dah tunggu sayang tu. Tak sabar nak makan malam dengan sayang. Abang pun dah lama tak makan bersama sayang…” Ajak Harris tidak mengendahkan reaksi dingin ‘Aisy. Lembut dia menyentuh jari jemari ‘Aisy untuk memimpinnya ke ruang makan.
“Nak ke awak makan malam dengan perempuan sundal macam saya ni?” Sekali lagi dia menjadi sarkastik. Mengulang kembali ayat yang pernah dilafazkan Harris padanya suatu masa dulu.
“Sayang, janganlah cakap macam tu…” Riak wajah Harris berubah. Matanya berkaca.
“Saya tahu jalan sendiri. Tak perlu pimpin.” Keras suara ‘Aisy. Pantas ‘dia merentap pegangan itu. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada Harris sebelum mengorak langkah meninggalkan lelaki itu.
Harris menyeka setitis air mata yang mengalir di tubir mata. Dia hanya mampu memandang tubuh kecil ‘Aisy yang sedang menuju ke meja makan. Dalam keluhan dia melangkah membuntuti isterinya.
“Sedapnya. ‘Aisy minta maaf tak sempat nak tolong mak di dapur tadi. Penat sangat.” ‘Aisy menceriakan suaranya memecah keheningan suasana di meja makan. Dia menarik salah satu kerusi di meja makan dan melabuhkan duduk.
Harris menarik kerusi dan duduk di sebelah ‘Aisy.
“Mak tahu kamu penat. Lagipun Suraya dan Maya ada bantu mak kat dapur. Hari ini mak masak semua lauk kegemaran ‘Aisy. Mak tahu ‘Aisy dah lama tak makan lauk-lauk ini kan?” Riang suara Hajah Maryam. 
‘Aisy mengukirkan senyum. Anak matanya menjamah pelbagai juadah yang terhidang di atas meja.
“Banyaknya lauk mak masak. Kalau macam ni boleh gemuk ‘Aisy.” Komen ‘Aisy. Kecur liurnya dengan aroma kuah singgang ikan tongkol, kangkung goreng, budu, ikan tenggiri masak lemak, kerabu pucuk paku, kacang botol, pegaga dan ulam raja. Hampir penuh meja yang boleh memuatkan lapan kerusi itu.
“Baguslah, biar berisi sedikit badan tu. Baru cantik.” Sampuk Harris tenang.
‘Aisy menjegilkan matanya mendengarkan ayat yang keluar dari mulut Harris.
“Betul kata Harris tu. Dah susut benar tubuh ‘Aisy mak tengok. ‘Aisy kena makan banyak sikit.” Sahut Hajah Maryam.
Harris hanya tersenyum simpul apabila kata-katanya mendapat sokongan ibu mertuanya itu.
“Kalau berisi macam karung beras tu mana nak datang cantiknya lagi, mak.”
Kata-kata perli yang dituturkan ‘Aisy memadamkan senyuman di bibir Harris. Tidak menyangka ‘Aisy masih mengingati ejekan yang pernah dihamburkan nya pada ‘Aisy suatu waktu dulu.
“Kamu ni ‘Aisy, macam-macam. Tak kisah lah gemuk ke kurus ke...yang penting tubuh badan tu sihat. Tapi, kalau nak menyeksa diri semata-mata untuk cantik, mak memang tak setuju.” Omel Hajah Maryam sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan Hajah Hilmi.
Bagi Hajah Maryam, bentuk tubuh ‘Aisy dahulu bukanlah dikategorikan sebagai gemuk. Anaknya memiliki badan yang sedang elok. Tidak kurus dan tidaklah terlalu berisi. Tetapi, ‘Aisy yang ada di hadapannya kini terlalu jauh berbeza bentuk fizikalnya. Tubuh yang kurus melidi dengan wajah yang cengkung membuatkan hati tuanya sedikit runsing. Terlalu berat sangat kah penderitaan yang sedang ditanggung anak perempuannya itu?
“Yam, hulurkan mangkuk nasi tu. ’Aisy, sendukkan nasi untuk Harris.” Arahan Haji Hilmi mencantas lamunan pendek Hajah Maryam. Dia menghulurkan mangkuk yang berisi nasi kepada ‘Aisy.
Dengan wajah yang kelat, ‘Aisy meletakkan dua senduk nasi ke dalam pinggan kosong di hadapan Harris. Nampak sangat dia melayan Harris dalam keadaan terpaksa dan tidak ikhlas.
“Terima kasih, sayang. Tapi kalau bibir itu senyum sikit kan lebih manis.” Desis Harris membuatkan ‘Aisy sedikit terkaku. Didekatkan sedikit bibirnya ke telinga kiri ‘Aisy.
‘Aisy berdeham perlahan. Dia menjeling tajam sambil menyendukkan sesenduk nasi ke dalam pinggannya.
“Kenapa sikit sangat nasi tu, sayang?” Tegur Harris..
“Tengok muka awak buat selera saya mati.” Gumam ‘Aisy berbisik. Namun kata-kata itu masih mampu didengari Harris.
“Tambah sikit lagi ya, sayang.” Sengaja Harris tidak mempedulikan kata-kata ‘Aisy. Tangannya mencapai mangkuk yang berisi nasi dan menambah satu senduk nasi lagi ke dalam pinggan ‘Aisy.
‘Aisy ingin membantah. Namun dia hanya mampu membiarkan apabila menyedari semua pasang mata yang sedang memandang ke arah mereka sambil tersenyum-senyum.
Haji Hilmi membacakan doa setelah semua ahli keluarganya berada di meja makan, mensyukuri dengan nikmat rezeki yang diberikan untuknya sekeluarga pada hari itu.
“Harris, jemput makan, nak. Jangan malu-malu.” Pelawa Hajah Maryam dengan mesra.
“Kalau malu depan rezeki alamatnya kelaparan lah saya malam ini. Air tangan mak, mana boleh saya tolak.” Lembut pujian Harris membuatkan Hajah Maryam tersenyum lebar.
‘Aisy mencebik di dalam hati. Entah sejak bila lelaki ini berselera dengan lauk masakan kampung.
“Abang tahu, these are your favorites kan? Makanlah…” Bisik Harris seakan mengerti pandangan ‘Aisy tatkala dia mencedok kuah singgang bersama dengan sepotong ikan tongkol dan kangkung goreng ke dalam pinggan isterinya. Kemudian Harris meletakkan lauk yang sama ke dalam pinggannya. Budu turut digaul bersama nasi.
‘Aisy masih merenung Harris sekilas sebelum memulakan suapan. Sejak bila Umayr Harris Tan Sri Hakim makan budu? Dulu, bukankah dia orang pertama yang akan menutup hidung jelik dengan aroma budu, sos bilis yang menjadi makanan wajib rakyat pantai timur itu. Tetapi kini, Harris cukup berselera sekali meratah setiap lauk yang dulu tidak mungkin akan dijamah oleh tekaknya.
“Senang hati mak tengok kamu berdua macam ni. Bertuah ‘Aisy dapat suami yang penyayang macam Harris.” Bicara Hajah Maryam dengan senyuman lebar di bibir. Sedari tadi dia memerhatikan layanan Harris terhadap anak perempuannya. Hilang kerisauan yang bersarang di lubuk hatinya selama ini.
Suapan ‘Aisy terhenti. Tersedak dia mendengar ayat yang dikeluarkan Hajah Maryam. Dia menepuk dadanya menahan rasa perit.
Harris menghulurkan segelas air kepada ‘Aisy. Belakang isterinya digosok lembut.
“Sayang okay?” Harris menyoal. Wajah ‘Aisy yang sedikit kemerahan dipandang prihatin.
“Oo..okay..” ‘Aisy berdeham menahan rasa perit. Habis separuh gelas air masak diteguknya.
“Saya hanya ada ‘Aisy, mak. Lagipun saya dah janji dengan nenek, nak jaga dan hargai ‘Aisy sebaik mungkin sehingga hujung nyawa saya.” Ujar Harris sambil melirik matanya ke arah ‘Aisy.
‘Aisy membuat muka. Sebal hatinya mendengar kata-kata manis suaminya itu. Nasi yang ditelan dirasakan pahit. Mati terus seleranya.
Mak tak pernah tahu, sebenarnya Harris tak pernah menyayangi dan menghargai ‘Aisy. Mak tak pernah tengok, layanannya yang sebenar terhadap diri ‘Aisy. Mak tak pernah sedar, sebenarnya dia sedang hebat mementaskan watak sebagai suami mithali untuk mengaburi mata semua orang. Ungkapan itu tersekat di kerongkongnya. Tiada kekuatan untuk menuturkan kata-kata yang bakal membuka lembaran sejarah hitam di antara dia dan Harris yang selama ini berjaya disimpan kemas daripada pengetahuan Haji Hilmi dan Hajah Maryam.
“Eloklah kalau kamu fikir macam tu, Harris.” Sampuk Haji Hilmi sambil turut menguntumkan senyum. Dia bersyukur melihat hubungan anak dan menantunya kembali rapat. Walaupun dia mengambil sikap berkecuali dan tidak mencampuri urusan rumah tangga anak perempuan dan menantunya itu, namun rajuk yang berpanjangan ‘Aisy selama ini amat menggusarkan hatinya.
“Wah, romantiknya abang Harris ni. Maya pun nanti nak cari suami macam abang Harris lah. Dahlah handsome, kaya, penyayang, bertanggungjawab pula tu..” Becok mulut Sumayyah berbicara meluahkan rasa teruja. Sejak dari lapangan terbang lagi, dia asyik memerhatikan gelagat kakak dan abang iparnya yang pada pandangannya seperti merpati dua sejoli.
“Amboi, sekolah tak habis lagi dah pandai nak menggatal.” Rizal meluku kepala adiknya.
Suraya yang sibuk menyuapkan nasi ke mulut Mia Sara hanya tersenyum geli hati. Rizal dan Sumayyah memang pantang kalau duduk semeja. Ada sahaja perkara yang ingin digaduhkan. Marah-marah sayang lah katakan.
“Maya bukan menggatal lah abang Riz. Maya cuma memasang impian.” Sumayyah menjawab sambil mencebikkan bibir. Tidak puas hati dengan tindakan Rizal yang sesuka hati meluku kepalanya.
“Muka macam lipan ada hati nak berangan. Ayah, budak ni kalau dapat banyak cangkul dalam SPM nanti kita kahwinkan saja.” Usikan Rizal membuatkan Sumayyah merasa tidak puas hati.
“Abang Riz ni jahat tau!” Tangan Sumayyah sudah singgah di pinggang abangnya.
“Auch… macam spesies ketam. Nak menyepit aje kerjanya. Malanglah suami kau nanti Maya.” Rizal menggosok pinggangnya yang terasa pedih kesan cubitan adiknya.
“Mak, ayah..tengok abang ni..” Adu Sumayyah manja untuk mendapatkan sokongan. Rizal sudah ketawa mengekek melihat wajah adiknya yang mencuka.
“Kamu berdua ni kalau tak bercakar tak sah.” Akhirnya Haji Hilmi bersuara mendamaikan keadaan. Hatinya berbunga bahagia kerana semua anak-anaknya dapat berkumpul dalam suasana yang cukup meriah.
‘Aisy juga terhibur dengan telatah kedua-dua adiknya. Sudah lama dia tidak merasai suasana ceria begitu. Alangkah indahnya perasaan apabila dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta.
“Bila kamu berdua nak balik ke KL?” Hajah Maryam bertanya sambil matanya memandang ‘Aisy dan Harris silih berganti.
“Hari Sabtu ini. Saya ingat nak bawa ‘Aisy balik jumpa mama, papa dan nenek dulu. Dia orang dah rindu sangat dengan ‘Aisy terutamanya nenek. Lagipun hari Isnin ‘Aisy dah kena lapor kerja. Betul kan, sayang?” Jawab Harris. Wajah ‘Aisy dipandang untuk mendapatkan kepastian.
“Huh?” ‘Aisy terkesima. Terperanjat dengan perancangan Harris.
Flight kita ke KL Sabtu ini, pukul 10.00 pagi kan?” Ulang Harris sekali lagi. Lambat-lambat ‘Aisy menganggukkan kepala mengiakan. Macam mana Harris tahu tentang jadual perjalanannya? Hatinya sudah tidak keruan. Dijeling wajah Harris yang masih beriak selamba.
“Kenapa kamu tak bawa ‘Aisy melawat Tan Sri dan Puan Sri dulu sebelum balik ke sini? Kamu pun satu ‘Aisy, kenapa tak jenguk mertua kamu dulu? Kesian dia orang.”
Pertanyaan Hajah Maryam membuatkan ‘Aisy hilang punca. Sudi kah Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora bertemu dengannya? Sedangkan selama ini mereka tidak pernah menerima kehadirannya dalam keluarga mereka.
“Sebenarnya, papa dan mama ada kat US sekarang ini.” Balas Harris menyelamatkan ‘Aisy yang sedang terpinga-pinga.
“Oh begitu. Kamu ini bercuti lama-lama tak apa ke, Harris?” Soal Hajah Maryam sekadar ingin tahu. Selama ini, menantunya itu memang jarang dapat bercuti panjang. Selalunya, jikalau Harris balik menjenguk mereka, paling lama dia hanya dapat bermalam sehari dua sahaja. Itu pun setiap masa telefonnya asyik berdering. Maklumlah, tugas sebagai ahli perniagaan yang mempunyai banyak anak syarikat memang menuntut pengorbanan masa dan perhatian sepanjang masa.
“Hish…awak ni, Yam. Dia kan bos besar. Ikut suka dialah nak cuti berapa lama pun. Tak ada siapa yang nak marah.” Sokong Haji Hilmi mengundang senyum di wajah Harris.
“Tak ada masalah, mak. Lagipun dah lama saya tak bercuti panjang. Buat masa ini kerja tak penting bagi saya. Apa yang paling utama saya nak habiskan masa yang berkualiti bersama ‘Aisy. Bukannya sekejap dia tinggalkan saya seorang diri di Malaysia.” Ujar Harris sambil melirik manja ke arah ‘Aisy. Wang dan harta boleh dicari tapi jika dia kehilangan ‘Aisy lagi pasti hidupnya nanar.
“Mak pun tak faham kenapa ‘Aisy ni beria sangat nak sambung belajar kat UK. Padahal universiti dalam negara pun banyak. Sanggup tinggalkan suami lama-lama.” Tiba-tiba Hajah Maryam membangkitkan persoalan yang selama ini sering dielak ‘Aisy.
“Mak kan tahu, sejak dulu memang cita-cita ‘Aisy untuk belajar di UK. Semasa degree dan master ‘Aisy tak ada peluang. Jadi, bila kerajaan dah nak taja, takkanlah ‘Aisy nak menolak tuah.” Tingkah ‘Aisy membela diri. Jawapan yang sama diberikan setiap kali soalan yang sama dibangkitkan.
“Mak tahu kamu memang bercita-cita tinggi. Tapi, yang menjadi mangsa cita-cita kamu tu suami kamu ni. Makan pakai dia tak terjaga. Sepatutnya tempat seorang isteri di sisi suami.” Kata-kata Hajah Maryam menggambarkan yang dia tidak pernah bersetuju dengan tindakan anaknya menyambung pengajian di London.
Mak dah mula dah. ‘Aisy gelisah. Kata-kata inilah yang sering diluahkan emaknya setiap kali mereka berhubung di talian telefon. Dia memang tiada kudrat untuk membalas. Membalas kata-kata Hajah Maryam ibarat seperti berhujah dengan seorang peguam. Mudah-mudah alasan dan jawapannya akan dipatah-patahkan ibunya.
“Sebenarnya, saya izinkan ‘Aisy sambung belajar. Lagipun, zaman sekarang, Kuala Lumpur dengan London bukannya jauh sangat. Masa ‘Aisy kat sana, tiap-tiap bulan saya jenguk dia.” Bela Harris tenang.
Bulat anak mata ‘Aisy memandang suaminya. Harris datang menjenguk nya di London sebulan sekali? Kalaulah hendak mempertahankan dirinya sekalipun, tidak perlulah mereka cerita begitu. Apa yang ingin dibuktikan oleh Harris? Hendak beritahu kepada semua yang dialah seorang suami yang bertanggungjawab?
“Kamu ni, Yam. Anak kita kan dah balik. Dah habis pun belajar. Yang awak duduk ungkit perkara lepas tu buat apa?” Tegur Haji Hilmi seakan mengerti gelodak yang bermain di jiwa anak perempuannya itu.
Harris meneruskan suapan nasi yang sudah hampir dihabiskan. Dia perasan mata ‘Aisy asyik tajam memandangnya.
 “Abang tahulah muka abang ni handsome. Tapi perut tu takkan kenyang kalau asyik tenung wajah abang je.” Perli Harris. Dibisikkan kata-kata itu perlahan di telinga ‘Aisy sambil tersenyum mengusik. Geram dengan kata-kata itu, spontan kaki Harris dipijak ‘Aisy.
“Hebat awak ye. Agak-agak dah boleh ganti Aaron Aziz ke?” Tanya ‘Aisy mengejek dalam nada rendah.
Harris memandang wajah kelat ‘Aisy. Sedaya upaya dia mengukir senyuman. Walaupun dia tidak tahu bagaimanakah rupa senyumnya kala itu kerana pada waktu yang sama wajahnya berkerut menahan sakit. Api tidak boleh disiram dengan minyak gas.

“Lebih daripada itu lagi abang boleh buat, sayang.” Kata-kata itu membuatkan ‘Aisy terkesima. Apa maksud Harris?

1 comment:

  1. Menarik Dan Inspiratif sekali cerita ini, untuk para pencinta sepakbola bisa Gabung Disini untuk dapat update serta informasi terbaru mengenai Sepakbola >_<

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..