Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday 24 August 2014

Aku Memilih Setia - Bab 3 (Version 2.0)

SEBAIK tapak kakinya melangkah masuk ke dalam rumah banglo yang didiami bersama Affan, jam sudah menginjak ke pukul dua petang. Arianna segera bergegas ke ruang atas. Laju kakinya mendaki anak tangga satu persatu menuju ke bilik tidurnya.
Segala pakaian dan barang keperluannya dipunggah dan diangkut ke bilik tidur Affan yang terletak bertentangan dengan bilik tidurnya. Perkara pertama yang perlu dibereskan sebelum keluarga mertuanya datang bertandang. Bagai lipas kudung dia melaksanakan kerja itu.
Selesai memunggah, Arianna melabuhkan duduk di atas katil besar milik Affan untuk melepaskan lelah. Peluh yang merenek di dahi dikesat dengan belakang tapak tangan. Longgokan pakaian miliknya yang tersadai di atas katil dipandang dengan keluhan. Buntu hendak menyusun pakaiannya di dalam almari yang sudah penuh dengan pakaian Affan.
Kalau dia ubah susun atur di dalam kabinet itu, pasti Affan akan bising. Lelaki itu memang pantang kalau barangnya diusik. Masih dia ingat kata-kata pedas Affan pada malam pertama selepas mereka diijabkabulkan.
“You buat apa ni?” Suara beku Affan memecahkan kesunyian yang menghuni segenap ruang kamar yang cukup luas itu. Matanya tajam merenung Arianna yang sedang membelakanginya.
“Err...kemas pakaian.” Arianna tetap menjawab pertanyaan Affan biarpun dia pasti Affan tahu dan nampak apa yang sedang dilakukannya. Lincah tangannya menyusun pakaian miliknya ke dalam almari pakaian.
“Siapa bagi kebenaran untuk usik wardrobe I?” soal Affan dingin.
Arianna tergamam.
“Err…errr…” Lidahnya kehilangan kata. Dia menundukkan wajah.
“I tak suka orang usik barang I sesuka hati tanpa kebenaran I,” tekan Affan. Tegas.
Arianna menelan liur yang terasa kelat tiba-tiba. Rasa serba-salah menghurung jiwa. Silapnya juga memandai-mandai.
“Errr..maaf.” Hanya itu yang mampu diungkapkan Arianna.
Perlahan-lahan dia mengeluarkan kembali pakaiannya yang telah digantung pada ruang kiri almari. Sebaik tangannya menyentuh sepasang kurung merah pemberian Lutfan, hatinya menjadi pilu.
Lutfan. Dialah lelaki pertama yang mengenalkannya pada erti sebuah cinta. Cinta antara Adam dan Hawa. Lelaki pertama yang berjaya menggetarkan jiwanya dengan irama rindu. Andai Lutfan yang berada di tempat Affan saat ini, pasti dirinya tidak dilayan sedingin ini. Pasti dirinya menjadi wanita yang cukup bahagia. Tanpa sedar dia membuat perbandingan.
“Yang you nak buat drama air mata depan I malam-malam buta ni kenapa?” Teguran keras Affan mematahkan ingatan Arianna pada Lutfan.
“Errr…maaf.” Arianna semakin menikus. Cepat-cepat dia menyeka mutiara jernih yang singgah di tubir mata.
Affan mendengus. Dengan kasar, dia merebahkan tubuhnya di atas tilam. Panas hatinya tiba-tiba bila terpandangkan kurung merah yang elok tergantung di sebelah pakaiannya. Makin bertambah sakit hatinya bila melihat Arianna menyentuh baju kurung itu dengan penuh perasaan. Bukannya dia tak tahu siapa yang menghadiahkan baju kurung itu. Lutfan Dato’ Othman, bekas kekasih perempuan yang kini sudah sah menjadi isterinya.
“Tolong tutup lampu. I nak tidur,” arah Affan. Dia memejamkan mata. Moodnya benar-benar terganggu. Sudahlah penat seharian melayan tetamu yang hadir meraikan majlis perkahwinannya siang tadi belum hilang, ditambah pula dengan rasa sakit hati dengan sketsa air mata yang disajikan Arianna. Jadi lebih baik dia tidur untuk menghilangkan rasa sebal di hati.
Arianna terkulat-kulat.
“Err..aw..errr..sa…er..I nak turun ke bawah sekejap.” Dalam takut-takut Arianna meminta kebenaran. Perlahan sekali nada suara itu.
“Nak turun ke bawah buat apa?” Affan buka mata. Anak matanya mencerlang bagai panahan helang. Memandang sekujur tubuh Arianna yang sedang berdiri di hadapannya.
“Err…nak tolong apa yang patut. Rasanya banyak lagi yang tak dikemas dekat bawah tu,” ujar Arianna beralasan. Sebenarnya dia tidak betah untuk terus berlama di dalam bilik itu. Affan terlalu dingin dengannya. Nampak sangat yang kehadirannya di situ tak disenangi lelaki itu.
“Tak payah. Semua kerja mengemas bibik dah siapkan. Lagipun dah malam. Semua orang dah tidur,” tegah Affan.
Arianna bungkam. Wajahnya ditekurkan ke lantai. Sungguh dia tidak berani hendak membalas pandangan Affan.
“Kalau you kat bawah sorang-sorang buat kerja nanti apa orang lain fikir pula. Mesti papa, mama dan tok wan pelik. Bukankah sepatutnya malam pertama ni pengantin perempuan berada di sisi pengantin lelaki di dalam bilik,” sambung Affan.
Air liur yang melalui kerongkong terasa tersekat tiba-tiba. Sungguh kata-kata Affan yang terakhir itu mengundang gusar di hati Arianna. Apa maksud Affan? Adakah Affan sedang menuntut layanan yang sepatutnya dari seorang isteri? Kalau itu yang diharapkan Affan, sungguh dia belum bersedia.
“Tolong Bagi I masa,” pinta Arianna.
“Apa maksud you?” Affan menjongket sebelah keningnya.
“Errr…kalau…kalau you nak I jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, I…I belum bersedia.” Arianna bersuara gugup.
Affan bangkit dari baring lalu menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Dia mengetap gigi kuat. Sakit hati yang mula reda kembali menghunjam jiwa. Dia tahu kenapa Arianna berkata begitu. Sebab yang membuatkan hatinya semakin mendongkol geram.
“Sebelum kita dinikahkan tadi, siapa pengantin perempuan yang sign borang permohonan nikah? You kan?” Nada suara Affan kembali dingin.
Arianna panggung wajah. Dia pelik dengan pertanyaan Affan.
“You yang sign borang permohonan nikah tu kan?” Affan mengulangi pertanyaan.
“Ya.” Arianna angguk.
“Ada sesiapa yang paksa you tandatangan borang tu?” soal Affan lagi.
Arianna menggelengkan kepala.
“Bila you dah tandatangan borang tu dengan kerelaan you sendiri, bermakna you bersetuju untuk dinikahkan dengan I,” hujah Affan. Dia pandang Arianna yang sudah berubah riak di depannya.
“Errr…secara teknikalnya ya tapi…” Kata-kata Arianna tersekat di celah kerongkong.
Come on, Arianna. You graduan undang-undang kan? Takkan you tak tahu tentang nilai sesuatu tandatangan tu?” sinis Affan.
Arianna bungkam. Dia hilang kosa kata untuk mematahkan hujah Affan. Dari segi undang-undang, memang apa yang dikatakan Affan itu benar belaka. Tetapi sejujurnya dia tak pernah rela untuk menjadi isteri Affan. Hatinya hanya milik Lutfan. Dia bersetuju dengan pernikahan itu pun kerana tidak mahu ayah dan ibu menanggung malu. Cukuplah sekali arang yang terpalit di muka ayah dan ibu angkara perbuatan anak-anak. Dia tak sanggup menambahnya lagi.
“Jadi sekarang ni sepatutnya you dah cukup bersedia untuk laksanakan tugas you sebagai isteri I. Sebab you sendiri yang dah setuju untuk jadi isteri I,” tambah Affan. Dia bangkit menghampiri tubuh Arianna yang sedang mematung di depannya.
“You hak I, Arianna,” bisik Affan. Jari-jemarinya mengelus lembut pipi Arianna. Berada dalam jarak yang begitu dekat dengan Arianna membuatkan detak jantungnya mula kehilangan rentak. Apatah lagi di depannya ini seorang wanita yang telah halal untuk disentuhnya.
“A..aaa…apa..apa yang you buat ni, Affan?” Bibir Arianna bergetar. Pandangan mata Affan benar-benar menakutkannya. Dia menapak selangkah ke belakang. Namun belum sempat dia memalingkan tubuh, lengannya ditarik Affan dengan sedikit kuat. Keadaan itu  membuatkan dirinya tersembam ke dalam pelukan Affan.
“I nak you, Arianna. You tahu kan berdosa seorang isteri yang menidakkan hak seorang suami. Mulai sekarang kesetiaan you sepatutnya hanya untuk I, suami you yang sah,” tekan Affan. Kata-katanya begitu dekat menampar telinga Arianna.
“You tak boleh paksa I, Affan!” ronta Arianna dengan suara yang naik satu oktaf. Segera dia menolak dada bidang Affan untuk merungkaikan pelukan namun gagal. Apalah sangat kudrat yang dimiliki seorang wanita sepertinya berbanding tenaga lelaki seperti Affan.
“Shhh…jangan menjerit.” Affan menekup mulut Arianna. Sebelah tangannya lagi memeluk pinggang Arianna. Bimbang suara nyaring isterinya akan mengejutkan lena penghuni lain di dalam rumah itu. Tadi menikus bukan main. Sekali menjerit boleh tahan juga kuatnya.
“Lepaskan I! Lepaslah!!!” bentak Arianna. Sehabis kuat dia melantunkan suara yang akhirnya tenggelam dalam telapak tangan Affan yang berada di mulutnya.
Never. You nak I biarkan suara you tu mengganggu semua orang?” Affan berkeras. Kemas dia mendakap tubuh Arianna yang semakin kuat meronta.
Arianna mendengus geram. Dia benci lelaki yang memaksa dan sekarang Affan sedang memaksa dirinya atas tiket seorang suami. Dia mungkin nampak lemah, tetapi dia takkan benarkan dirinya dilayan sebegitu oleh Affan. Kalau Affan bertegas mempertahankan haknya sebagai suami, dia juga ada hak sebagai seorang wanita!
“You tak boleh buat I macam ni. Let me go, Affan. Sakit!” Kedua-dua belah tangan Arianna menarik lengan Affan dengan sehabis daya.
Affan melonggarkan sedikit pegangannya bila Arianna mendengus sakit.
“I akan lepas kalau you janji takkan menjerit,” tutur Affan mula berkompromi.
Laju Arianna mengangguk sambil mengangkat tangannya menunjukkan isyarat okey.
“Kalau you menjerit, tahulah I nak diamkan you macam mana.” Sekali lagi Affan  memberikan amaran.
Namun belum  sempat Affan melepaskan tangannya, Arianna telah bertindak terlebih dahulu. Kelekaan lelaki itu membuka peluang kepada Arianna menggigit kuat tangan Affan.  
“Aucch!” Affan mendesis kesakitan.
Kesempatan itu membuka ruang kepada Arianna untuk melepaskan dirinya. Buru-buru dia menuju ke pintu bilik. Tombol pintu dipulas.
“Arianna!” Affan mendengus geram. Dia mengejar langkah Arianna. Berdecit mulutnya menahan pedih dengan kesan gigitan Arianna.
Sempat dia menyambar lengan Arianna yang baru beberapa langkah menapak keluar dari bilik tidurnya. Bergerak-gerak rahangnya menahan hati yang sedang panas membara dengan tingkah isterinya. Tangan yang berdenyut sakit semakin menambahkan rasa marahnya. Di luar sedar, dia mengangkat tangan tinggi. Arianna perlu diajar! Itulah bisikan yang sedang menghasut perasaannya.
“Affan!" Jeritan kuat Puan Rose menghentikan tangan Affan yang hanya beberapa inci saja lagi mahu hinggap di pipi mulus Arianna.
“Astagfirullahalazim. Apa kena dengan kamu ni, Affan?” Puan Rose mampir mendekati Affan dan Arianna. Tajam matanya memanah ke wajah Affan. Bagai nak luruh jantungnya melihatkan perlakuan Affan sebentar tadi. Mujur juga dia cepat menghalang. Kalau tidak, entah macam mana dia nak menjawab dengan Puan Khadijah, besan yang merangkap kawan baiknya itu. 
Affan menarik nafas dalam. Kedua-dua belah tangan meraup kasar wajahnya. Lidahnya kelu. Dia sendiri tak menyangka yang dirinya hampir hilang pertimbangan tadi.
“Kenapa ni, Anna?” Puan Rose menyoal Arianna bila Affan hanya membisu. Wajah takut Arianna dipandang dengan belas.
Arianna menggelengkan kepala. Dia memilih untuk tidak menjawab pertanyaan ibu mertuanya itu.
“Boleh Anna tidur di bilik tetamu malam ni?” pinta Arianna.
Puan Rose pandang Arianna. Kemudian anak matanya singgah ke wajah Affan. Dia melepaskan keluhan.
“Kamu berdua ikut mama ke bilik studi,” arah Puan Rose. Tegas. Nampaknya malam ini dia terpaksa memberi tazkirah panjang pada pasangan pengantin baru itu. 

3 comments:

Tinggalkan jejak anda..