Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Sunday 27 November 2011

Lebih Indah Dari Dongeng

Perjalanan kisah cinta aku ini bermula pada malam Nisfu Syaaban. Malam itu aku bersama dengan teman baik aku, Qurratu’ain ke Masjid Al-Hidayah. Tidak mahu melepaskan peluang berjemaah dan menghadiri majlis bacaan Yasin di sana. Yalah, siapa yang tak nak pahala dilipat gandakan sebanyak 27 kali kan? Lagipun, malam yang penuh dengan rahmat ini hanya akan datang setahun sekali. Emak aku pula setiap hari tidak pernah jemu mengingatkan aku untuk ke masjid pada malam pengampunan ini. Sejak seminggu yang lalu emak tidak pernah gagal menghubungi aku menyampaikan pesanannya, sampaikan aku dah boleh hafal ayat yang akan keluar dari mulut emak. Memang sejak dari kecil aku telah dididik untuk menghormati malam Nisfu Syaaban. Jika emak aku tidak menyuruh pun, aku memang sudah pasang niat hendak mengimarahkan masjid. Siapa yang tidak ingin mendapatkan permaafan dan keredaan sang Pencipta kan? Dalam keterujaan aku menyambut kedatangan malam yang penuh keberkatan itu, rupa-rupanya aku bakal dititipkan dengan satu musibah.
“Dumm..” serta merta aku menekan brek kereta aku saat bunyi dentuman memecah keheningan malam. Hentaman yang agak kuat, membuatkan tubuh aku terhumban ke depan. Hampir sahaja kepala aku yang bertelekung ini mencecah stereng kereta. Nasib baiklah awal-awal aku telah memakai tali pinggang keledar. Melalui cermin sisi, aku dapat melihat sebuah kereta sedan hitam tersadai di belakang kereta Kenari ku. Aku tidak dapat mengenal pasti jenis kereta yang telah ku langgar kerana keadaan persekitaran yang agak kelam. Yang aku pasti, ia adalah sebuah kereta mewah! Aku menggigit bibir. Saat itu, dapat aku rasakan degupan jantung aku telah berubah rentak. Wajah aku berubah pucat. Jika ditoreh dengan mata pisau yang tajam, pasti tiada darah merah yang mengalir. Silap-silap darah aku telah bertukar warna menjadi putih. Sejuk dan beku. Yang aku ini perasan seolah-olah keturunan Mahsuri ni apa hal?
“Allah..” hanya kalimah suci itu yang meniti di bibir aku. Entah bagaimana aku langsung tidak menyedari kedatangan kereta hitam itu saat aku sedang mengundurkan kereta. Silap aku juga kerana tergesa-gesa menekan gear reverse tanpa betul-betul memandang kiri dan kanan berulang kali. Lagipun keadaan kawasan meletak kereta di perkarangan masjid itu memang gelap, hanya disirami lampu jalan dalam jarak lebih kurang 10 meter. Sekarang, lampu pula yang aku salahkan.
“Ain, kau ok tak?” aku memandang ke arah Qurratu’ain yang masih tidak berkutik di tempat duduknya. Riak wajah teman aku itu jelas terkesima dengan insiden perlanggaran yang baru menimpa kami. Aku menggoncang lembut bahu Qurratu’ain.
“Aku tak apa-apa” akhirnya Qurratu’ain menjawab.
“Betul ke ni? Kau tak cedera?” sekali lagi aku bertanya inginkan kepastian.
“Betul, aku ok. Aku rasa alignment tulang dan sendi aku ini tak ada yang lari. Kau?” soal Qurratu’ain pula kepada aku.
“Tubuh aku ok. Tapi yang bakal tak ok, poket aku ni” nada suara aku sudah berbaur gelisah. Dalam otak, aku sedang mencongak baki simpanan aku di dalam bank. Mengenangkan kemalangan ini berlaku disebabkan oleh kealpaan aku sendiri, maka sudah pasti aku yang perlu membayar ganti ruginya.
“Relaks, Nuha. Kau ini cepat betul gabra tak tentu fasal. Kita tengok dulu teruk tak kerosakan kereta tu. Nanti, kita bincanglah baik-baik dengan tuan kereta tu. Apa-apa hal aku akan sentiasa menyokong kau” tingkah Qurratu’ain tenang memberikan aku semangat.
“Aku takutlah, Ain. Bagaimana kalau tuan kereta tu nak aku bayar ribu-ribu? Mana aku nak cekau duit, Ain?” tutur aku panik. Aku ini memang berdarah gemuruh. Kalau ditimpa sesuatu malapetaka, mulalah otak aku ini fikir yang bukan-bukan. Memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku, hatiku dipagut resah.
“Kau kan boleh claim insurance” balas Qurratu’ain menenangkan aku.
“Kau dah lupa ke? Kereta aku ini kan third party
“Ya tak ya juga. Aku lupa lah”
“Aku gerun lah, ‘Ain. Manalah tahu tuan kereta tu gangster ke. Mesti teruk aku kena bambu nanti. Silap-silap habis patah riuk tulang aku dikerjakannya” aku masih lagi menyuarakan kebimbangan aku.
“Mengarutlah. Kau ni Nuha, runsing tak bertempat langsung. Tuan kereta itu mesti orang baik-baik punya. Orang yang kaki masjid ini, mesti bertimbang rasa. Jangan fikir yang bukan-bukan” kata-kata Qurratu’ain berjaya meredakan sedikit gelodak yang sedang bermain di jiwa aku. Ada benarnya juga kan! Hampir aku terlupa yang aku telah melanggar kereta orang di kawasan masjid. Manusia yang sering meletakkan dirinya menjadi tetamu rumah Allah, pasti lebih bersikap tenang, tawaduk dan lebih rasional. Aku cuba berfikiran positif.
“Jom, Ain” setelah mengumpul sedikit kekuatan, akhirnya aku mengajak Qurratu’ain untuk menemani aku. Pintu kereta aku buka. Dengan lafaz bismillah, aku melangkah ke belakang kereta untuk melihat kerosakan kereta aku dan kereta yang dilanggar. Qurratu’ain turut mengikuti langkah aku dari belakang.
Di belakang kereta, aku melihat susuk tubuh seorang lelaki yang sedang duduk mencangkung di antara kereta aku dan kereta hitam itu. Aku perhatikan dia sedang khusyuk meneliti tahap kerosakan keretanya. Dari cara pemakaiannya yang lengkap berkopiah lembik dan berkain pelekat, aku mengagak lelaki itu mungkin berusia dalam lingkungan 40-an atau 50-an. Hati aku sedikit lega melihat perwatakan lelaki itu. Harap-haraplah pakcik ini orang baik-baik. Beberapa ahli kariah masjid yang kebetulan berada di situ turut mengerumuni kami.
“Saya minta maaf, pakcik. Saya mengaku silap saya kerana tak perasan kereta pakcik sebelum mengundur tadi” aku terus membuka mulut, tidak berniat untuk menyembunyikan kesalahan aku. Lelaki itu berdiri dan kemudian berpaling ke arah aku dan Qurratu’ain. Lama dia pegun memandang ke arah kami berdua. Wajah lelaki itu tidak dapat aku lihat dengan jelas kerana keadaan yang agak gelap membataskan pandangan aku. Tambah menyukarkan penglihatan aku apabila aku tidak memakai kaca mata rabun jauh aku. Aku bukannya gemar sangat memakai cermin mata terutamanya bila hendak solat.  Lagipun darjah kerabunan aku bukanlah tinggi sangat, tidaklah sampai aku teraba-raba.
“Memang salah saya kerana tak berhati-hati. Saya ini memang cemerkap sikit. Mak saya pun selalu bengang dengan perangai careless saya ini. Pakcik tahu tak, masa sekolah dulu, kerana tergesa-gesa nak sampai ke sekolah, saya pernah terlupa nak pakai kain. Mujurlah waktu tu saya dah pakai seluar sukan kat dalam. Sampaikan saya dipanggil guru disiplin kerana tak pernah lagi pelajar datang ke sekolah berbaju kurung dan berseluar. Dahlah, hari itu ada perhimpunan mingguan. Teruk saya kena gelak dengan semua pelajar. Itu belum lagi cerita…” aku tidak jadi meneruskan kata apabila Qutratul’ain menyiku aku. Aku mengetap bibir menyedari keterlanjuran kata-kata aku. Inilah satu lagi masalah aku. Rasa gabra boleh membuatkan mulut aku yang kurang bercakap ini bertutur bak bertih jagung. Sementelah, sikap berdiam diri lelaki itu menyebabkan aku menjadi teramat cuak. Sambil berpeluk tubuh, mata lelaki tua itu terus tunak memerhatikan kami berdua tanpa menyisipkan sebarang kata. Entah apalah yang sedang difikirkan oleh lelaki itu. Suasana yang gelap itu menyukarkan aku untuk mentafsir riak wajahnya.
“Err, saya minta maaf” sekali lagi ungkapan maaf ku ulangi. Aku pandang Qurratu’ain di sebelah aku, cuba mendapatkan sokongan dari teman aku pula setelah lelaki tua itu masih tidak menunjukkan sebarang reaksi. Marah sangat kah pakcik ini pada aku? Terlalu bengang kah dia pada aku? Gulp! Aku menelan liur.
“Saya minta maaf bagi pihak kawan saya, pakcik. Kami memang tak sengaja. Kami harap kita boleh selesaikan perkara ini elok-elok. Pakcik beritahu kami berapa ganti rugi yang pakcik mahu” Qurratu’ain bersuara dengan yakin, mengerti isyarat yang aku berikan. Qurratu’ain memang lebih berani dan tenang berbanding aku jika berhadapan dengan situasi yang genting. Aku hanya mengangguk mengiakan kata-kata teman aku itu.
 “Kita bincang kemudian. Ini kad saya. Awak boleh hubungi saya untuk tetapkan temu janji” akhirnya lelaki itu bersuara mendatar sambil mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya. Teragak-agak aku menyambut huluran kad itu.
“Tapi, kereta pakcik…” belum sempat aku menyudahkan ayat, aku lihat lelaki itu tergesa-gesa masuk ke dalam keretanya dan memandu laju meninggalkan aku dan Qurratu’ain yang masih termangu-mangu. Orang ramai yang berkumpul turut bersurai.
“Macam tu saja?” aku menggaru kepala yang tidak gatal. Hairan bin ajaib pula aku rasakan. Tanpa pamitan, lelaki tua itu telah hilang dari pandangan kami dengan sekelip mata. Sia-sia aku terketar-ketar di hadapannya kalau aku tahu semudah ini reaksi balas lelaki tua itu.
“Aku pun pelik dengan pakcik tu, Nuha. Kereta pakcik tu bukan calang-calang kereta tu, kereta Mercedes tu. Tapi cool betul pakcik tu macam tak kisah saja kereta dia kena langgar” ujar Qurratu’ain sambil mengerutkan kedua belah keningnya, seperti sedang berfikirkan sesuatu.
“Senang betul pakcik tu percayakan kita kan? Agaknya dia tak nak kecoh-kecoh depan orang ramai kot. Lagipun, kita kan berada di kawasan masjid. Tak hormat pula kalau dia bising-bising dekat sini” aku menyuarakan pendapat aku. Namun, jauh di sudut hati aku memanjatkan kesyukuran kerana keadaan yang genting tadi tidak bertukar menjadi lebih rumit. Haru juga jika pakcik tua itu memarahi aku di depan orang ramai. Silap hari bulan setahun aku tidak keluar rumah kerana malu.
“Aku rasa pakcik tu mesti OKT” tebak Qurratu’ain.
“OKT?” tanya aku hairan.
“Orang Kaya Terlampau. Tengok sajalah kereta dia pakai tu pun dah boleh agak kan. Sebab itu dia nampak tak kisah dengan ganti rugi tu. Syukurlah dia tak minta ganti rugi dengan kau. Sekurang-kurangnya selamat duit kau buat masa sekarang” aku tergelak mendengar jawapan teman baik aku itu. Qurratu’ain memang pakar dalam mereka cipta singkatan. Ada-ada saja ideanya. Tetapi, berasas juga telahan Qurratu’ain itu. Orang kaya terlampau. Ngeri pula bunyinya. Sejak dua menjak ini semua orang nak guna perkataan ‘terlampau’.
“Besok, kau teman aku jumpa pakcik ini. Lagipun aku tak sedap hati kalau berhutang dengan orang lama-lama. Dalam kes ini, aku kena bertanggungjawab sebab memang aku yang salah” akhirnya aku memutuskan. Walau kaya macam mana pun lelaki itu, tidak bermakna aku boleh mengambil kesempatan untuk lepas tangan. Prinsip hidup aku, pantang berhutang. Lagipun lelaki tua itu telah memberikan aku alamat dan nombor telefonnya untuk dihubungi. Itu bermakna urusan aku dengannya masih belum selesai.
“Yalah, berhutang dengan manusia ini, kalau tak selesai di dunia, bawa sampai mati” balas Qurratu’ain turut menyetujui keputusan aku.
“Dahlah, jom kita balik” Qurratu’ain hanya menurut ajakan aku. Sebelum memasuki kereta, sempat aku memerhatikan kerosakan bumper kereta aku. Teruk juga kereta aku kemik. Mujurlah, perlanggaran itu tidak melibatkan kerosakan enjin kereta.
“Hai kenari, kenapalah kereta mewah juga yang nak kau langgar. Kalau kau cari yang sekufu dengan kau, taklah seteruk ini kau cedera. Tak lah teruk sangat kau kena tibai” aku mengeluh. Di ruang mata aku sekarang ini, hanya terbayang simbol RM saja. Oh duit , di mana kau duit!


Sudah hampir seminggu aku cuba menghubungi telefon bimbit lelaki bernama Irfan Abdul Baqi, pemilik kereta Mercedes C300 Sport Sedan yang telah menjadi mangsa langgar Kenari EZ Aero sport milik ku.  Namun, setiap kali panggilan dibuat, hanya suara mesin yang menjawab. Irfan Abdul Baqi. Sekali lagi nama yang terukir indah di atas kad berwarna putih itu ku tilik. Cantik nama ini. Ringkas tetapi bermakna.
Hi, I’m not reachable at the moment. Please leave your message” suara garau pakcik Irfan yang telah diprogramkan menyapa telinga aku. Aku hanya mampu meninggalkan mesej pesanan buat pakcik Irfan, tetapi sehingga hari ini dia masih tidak membalas pesanan aku. Pakcik Irfan oh pakcik Irfan. Ke mana lah pakcik menghilangkan diri. Aku menggerutu di dalam hati.
Setiap hari aku mendail nombor telefon pakcik Irfan tanpa jemu, menandakan aku benar-benar bersungguh-sungguh ingin menyelesaikan kes kemalangan kami. Namun, balasan yang aku terima ternyata mengecewakan aku. Makin lama dibiarkan, makin hati aku ini dipagut rasa serba salah. Aku akhirnya mengeluh berat.
“Kenapa, Nuha? Tak dapat contact pakcik tu lagi?” Qurratu’ain yang mendengar keluhan aku bertanya.
“Belum” jawab aku lemah sambil menggelengkan kepala.
“Agaknya pakcik tu dah halalkan bayaran ganti rugi tu kot” ujar Qurratu’ain cuba menyedapkan hati aku.
“Kalaulah perkataan agak itu maksud dia pasti, mesti aku dah sujud syukur dah sekarang ni. Tak adalah aku terhegeh-hegeh nak call pakcik ni lagi” balas aku. Aku mengetap bibir. Sebenarnya aku tak suka apabila diletakkan di dalam keadaan berhutang. Terasa seperti di bahu aku tergalas satu beban yang berat dan menyesakkan. Memang sejak dari kecil aku tidak diajar untuk meminta-minta walaupun sewaktu aku dalam kesusahan. Dan ia kekal menjadi prinsip hidup aku sehingga sekarang.
“Biarlah, Nuha. Lagipun dalam keadaan ekonomi kita sekarang ini, mungkin ada hikmah-Nya kenapa kau tak dapat hubungi Pakcik Irfan tu” tukas teman baik aku yang bermata galak itu. Memang tidak dapat aku nafikan kebenaran kata-kata Qurratu’ain itu. Keadaan ekonomi aku, Quratul’ain dan teman-teman sepejabat aku di syarikat Saujana Software Centre ini memang agak kritikal. Sudah hampir dua bulan kami yang bekerja di sini tidak dibayar gaji kerana konflik dalaman yang sedang melanda syarikat. Bukan aku tidak mahu mencari kerja lain, tetapi aku sebenarnya sukakan persekitaran kerja di sini dengan kawan-kawan yang sememangnya satu kapal. Itu yang membuatkan aku masih bertahan.
“Entahlah, Ain. Aku takut jika urusan aku dengan Pakcik Irfan tak diselesaikan cepat-cepat, nanti bila sampai masa aku kena bayar ganti rugi, simpanan aku tinggal negatif. Kau tahu sajalah dah dua bulan aku bernafas guna duit simpanan aku tu” inilah sebenarnya perkara yang aku takutkan. Bagaimana nanti jika orang yang tidak suka berhutang ini akhirnya gagal membayar hutang?
Tiba-tiba telefon bimbit aku nyaring berbunyi minta diangkat. Aku melihat paparan yang tertera di skrin telefon aku.
Private Number” siapa pula yang telefon aku ini? Teragak-agak aku hendak menjawab panggilan itu. Kebiasaannya kalau nombor-nombor begini, mesti daripada perkhidmatan kad kredit. Sibuk mempengaruhi orang ramai untuk melanggan perkhidmatan mereka yang menawarkan kredit dalam bentuk wang tunai. Aku memang malas nak mendengar perkara yang berkait dengan unsur-unsur riba ini.
Aku hanya memandang sepi telefon bimbit sehingga nada bunyi itu berhenti. Namun, apabila telefon aku kembali berdering buat kali kedua, aku tanpa teragak terus menyambut panggilan. Bimbang juga jika ada perkara penting yang ingin disampaikan. Mana tahu kalau-kalau aku telah memenangi hadiah wang tunai ke. Boleh juga aku gunakan untuk tampung kewangan aku yang kian meruncing ini.
“Assalamualaikum, Cik Qaisara Nuha” sayup-sayup aku mendengar suara garau seorang lelaki menyapa di hujung talian. Aku gagal menebak milik siapakah suara itu.
“Waalaikumsalam, siapa ini?” aku bertanya setelah gagal meneka. Suara itu seperti biasa aku dengar tapi di mana?
“Irfan, Irfan Abdul Baqi” balas lelaki itu memperkenalkan diri. Patutlah macam pernah aku dengar suara itu. Hari-hari pendengaran aku disuakan dengan suara ini tatkala panggilan yang aku buat ke telefon bimbit pakcik Irfan tidak berangkat. Saat itu, hati aku sedikit lega kerana akhirnya penantian aku berhasil. Pakcik Irfan Abdul Baqi akhirnya membalas panggilan aku.
“Hello, are you still there?”
“Ya, pakcik Irfan”
“Saya minta maaf kerana tak dapat membalas panggilan saudari lebih awal. Saya ada di Montreal, Canada sekarang ini. Once, I landed in Kuala Lumpur, I’ll call you” terang pakcik Irfan dalam nada yang cukup sopan. Padanlah suaranya kedengaran tenggelam timbul dalam talian. Rupanya dia membuat panggilan dari luar negara.
“Oh, jauhnya. Tak apa, pakcik. Bila pakcik akan balik ke Malaysia?” aku menyoal untuk mendapatkan kepastian. Sekurang-kurangnya dalam tempoh itu, aku boleh memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar ganti rugi.
“Saya tak pasti lagi. Paling cepat seminggu. Or it could be longer!
“Baiklah, pakcik. Saya akan tunggu panggilan daripada pakcik untuk selesaikan urusan kita”
Okay, dear. I’ve to go. See you very soon. Take care. Bye” klik! Belum sempat aku membalas pamitan pakcik Irfan, dia telah mematikan talian. Sopan dan lembut tutur kata pakcik Irfan menyerlahkan ciri-ciri kebapaan. Kalaulah pakcik ini ada anak lelaki bujang, boleh juga aku buat permohonan jadi calon menantunya. Aku mengukirkan senyum sumbing di bibir dengan fikiran nakal aku. Sempat lagi berangan!
“Amboi, dapat panggilan daripada pakcik Irfan, senyum sampai ke telinga” teguran Qurratu’ain mematikan senyuman aku. Kalaulah kawan aku ini tahu apa yang sedang bermain di fikiran aku, mesti seronok aku diketawakan.
“Aku senyum ini sebab lega. Masalah aku dengan pakcik Irfan bakal diselesaikan. Harap-harap pakcik Irfan itu tak minta nilai ganti rugi di luar kemampuan aku” tingkah ku sambil menyandarkan tubuhku di sofa. Lega! Satu masalah hampir selesai.
“Apa dia kata? Bila nak jumpa?”
“Dia sekarang ni ada dekat Canada. Maybe next week dia balik sini. Kalau tak pun bulan depan. Tak kisah lah, yang penting sekarang ini aku masih ada sedikit masa untuk berusaha” aku mengukirkan senyuman nakal.
“Usaha apa?” tanya Qurratu’ain ingin tahu.
“Usaha macam mana nak lembutkan hati pakcik Irfan tu. Supaya bila dia tengok aku, terus dia jatuh kasih dan tak jadi nak caj tinggi-tinggi dekat aku” jawapan aku yang lebih berbaur usikan itu berjaya mengundang gelak Qurratu’ain.
“Kalau macam tu, kau kena cari minyak senyonyong. Aku ada kenal seorang bomoh ni. Kau nak?” gurau Qurratu’ain membuatkan aku turut tergelak besar.
“Payah pula nanti kalau aku terpaksa jadi bini kedua dia” tukas aku masih lagi dalam mood bergurau.
“Entah-entah bini ketiga atau keempat kot” telahan Qurratu’ain membuatkan aku membulatkan mata. Eiii..nauzubillah…  


“Salam, saya Irfan Abdul Baqi. Minta maaf jika mengganggu Cik Qaisara Nuha. Boleh saudari datang jumpa saya hari ini, pukul 12 pm” Aku menerima khidmat pesanan ringkas daripada pakcik Irfan sewaktu sedang bermalas-malas di rumah di hujung minggu. Nampaknya, dia benar-benar telah mengotakan janjinya tepat satu minggu lewat panggilannya tempoh hari. Aku dapat mengagak yang pakcik Irfan ini memang seorang yang sibuk dan berpengaruh. Yalah, jika tidak masakan hari minggu begini baru lelaki itu mempunyai masa untuk menyelesaikan urusan kemalangan kereta kami. Itu pun setelah hampir dua minggu perkara ini dibiarkan sepi.
“Skema betul pakcik ini bersms. Serupa macam ayah. Tak ada langsung short form. Rajin betul taip perkataan penuh” sempat aku mengomel apabila sekali lagi aku membaca mesej yang terpapar di skrin telefon bimbit cabuk ku itu. Agaknya lelaki yang berumur baya-baya ayah aku memang begitu tidak biasa dengan penggunaan singkatan perkataan ketika menghantar mesej melalui telefon. Lainlah budak-budak remaja zaman sekarang yang memang membesar dengan teknologi. Macam-macam singkatan pelik yang mereka wujudkan. Kadang-kadang aku yang muda belia ini pun tidak faham. Muda lagi ke? Muda lah juga sebab baru mencecah suku abad. Lagilah kalau orang tua macam pakcik Irfan ni yang baca, bertambah berkerut dahi dia agaknya.
“Waalaikumsalam, boleh. Nak jumpa di mana, ya?” aku membalas mesej tersebut dengan menaip setiap patah perkataan tanpa menggunakan sebarang singkatan. Kemudian, aku menekan butang send.
“Rumah saya. Alamatnya ada dalam kad yang saya bagi pada saudari tempoh hari. Masih simpan kad itu?” seminit kemudian, mesej aku dibalas oleh pakcik Irfan. Hebat betul lelaki tua ini. Tangkas membalas mesej seperti orang muda.
“Habis itu, Qaisara Nuha. Kau ingat orang muda saja ke yang mengikuti perkembangan teknologi terkini? Berbeza pula dengan ayah. Kalau menaip mesej, dekat 10 minit baru siap” ujar aku bercakap seorang diri. Kalau Qurratu’ain tengok keadaan aku waktu ini, mesti dia ingat ada skru longgar dekat kepala aku. Butang reply di telefon bimbit ku tekan untuk membalas mesej pakcik Irfan sekali lagi.
“Ada. Okay, nanti saya akan ke tempat pakcik. Terima kasih” perbualan ringkas di antara kami itu tamat di situ. Pantas aku menyelongkar dompet aku untuk mendapatkan sekeping kad yang telah diberikan oleh pakcik Irfan tempoh hari. Alamat yang tertera di atas kad itu ku tenung. Kawasan perumahan mewah Beverly Heights. Mujurlah tempat yang perlu aku tuju itu tidak jauh dari rumah sewa aku. Namun, tiba-tiba terbit rasa gerun di dalam hati. Bimbang jikalau pakcik Irfan menuntut ganti rugi di luar kemampuan aku. Semoga lelaki itu dilembutkan hati untuk bertimbang rasa dengan aku. Nampak gayanya aku terpaksa meminta pertolongan Qurratu’ain untuk menemani aku ke sana. Sekurang-kurangnya kehadiran sahabat aku itu akan mengurangkan rasa gabra di dalam diri ini.


Tepat jam 12 tengah hari, aku dan Qurratu’ain sudah terpacak di depan sebuah rumah agam tiga tingkat yang tersergam indah. Sengaja aku mengajak Qurratu’ain menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke mari. Bimbang jika tersesat.
Aku menjalarkan pandangan di segenap sudut rumah itu. Air liur ku telan perit. Matahari yang tegak berdiri di atas kepala seakan tidak aku rasakan bahang nya. Hati aku yang semakin dipagut resah membuatkan peluh makin merecik-recik di dahi.
“Cantiknya rumah ini. Betul ke pakcik tu tinggal dekat sini?” tutur Qurratu’ain terlopong.
“Woit, mulut tu tutup sikit. Kau jangan ingat kawasan rumah mewah tak ada lalat” sengaja aku mengusik, sebenarnya untuk mengurangkan rasa cuak di dalam diri. Pantas, Qurratu’ain menutup mulutnya.
Teratak Impian Kasih. Tertera nama rumah mewah ini di pintu pagar batu. Memang inilah alamat yang tertera di atas kad yang berada di dalam genggaman aku.
“Kalau mengikut alamat di kad, memang betul lah ini rumah pakcik Irfan” aku menghulurkan kad itu kepada Qurratu’ain, ingin mendapatkan kesahan gadis itu pula.
“Betullah ni. Jom lah kita bagi salam. Assalamualaikum” laung Qurratu’ain dengan nyaring. Teman aku ini memang dianugerahkan dengan oktaf suara yang cukup tinggi.
“Aku tahulah suara kau tu kuat, Ain. Tapi, takkan berjaya menembusi tembok batu teratak besar ini. Sebab itulah loceng ini ada” aku memerli sambil tangan aku menekan punat loceng yang disediakan di pagar batu. Qurratu’ain tersengih mempamerkan giginya yang dipasang dengan pendakap besi, menyedari kesilapan diri. Beberapa saat kemudian, pintu pagar besi terbuka secara automatik. Teragak-agak aku dan Qurratu’ain mengayun langkah memasuki halaman rumah agam itu. Sempat mata aku menangkap sebuah taman mini di sudut kiri halaman. Luar biasa cantiknya! Hanya itu yang mampu diungkapkan oleh aku. Sememangnya aku mudah takjub dengan kecantikan alam flora. Sungguh mendamaikan!
Tumpuan aku teralih pada seorang lelaki muda yang sedang menuju ke arah kami berdua. Dari figura lelaki itu yang mirip seperti pakcik Irfan, aku mengagak mungkin dia adalah anak kepada pakcik Irfan.
“Aku rasa macam berada dalam kisah dongeng. Ada istana cantik dan mewah. Lepas itu, muncul pula putera raja yang kacak” sempat Qurratu’ain berbisik di telinga aku. Memang aku akui ketampanan lelaki yang telah berada di depan kami. Yang paling menawan di mata aku adalah sepasang mata coklat nya. Tapi mengapa wajah cerah itu kelihatan dingin di mata aku? Anaknya sudah kacak, mesti pakcik Irfan lagi segak bergaya orangnya. Sempat lagi hatiku berdetik.
“Assalamualaikum. Boleh kami berjumpa dengan Encik Irfan Abdul Baqi?” aku memberi salam, langsung  menyatakan tujuan kedatangan kami kepada lelaki muda itu.
“Waalaikumsalam. Awak ini Qaisara Nuha?” tanya lelaki itu sambil matanya memandang aku atas bawah. Nampaknya pakcik Irfan awal-awal sudah memaklumkan temu janji aku dengannya. Jika tidak masakan anaknya ini boleh mengetahui nama aku.
“Ya, saya Qaisara Nuha dan ini kawan saya Qurratu’ain. Encik Irfan ada kan?” soal aku inginkan kepastian. Dalam hati, aku tidak begitu selesa dengan pandangan lelaki ini. Perlakuan lelaki muda ini seperti mempunyai ciri-ciri lelaki bermata keranjang. Yalah, tengok orang serupa nak makan saja. Menakutkan.
“Ada” jawab lelaki itu sepatah. Aku menjeling Qurratu’ain yang hanya membisu di sisi aku. Dia ini pantang kalau jumpa dengan lelaki tampan, mulalah tersipu-sipu diam seribu bahasa persis gadis Melayu terakhir. Tak padan dengan  diri yang sudah terikat menjadi tunangan orang.
“Boleh saya jumpa dengan Encik Irfan?” aku mengulangi soalan yang sama.
“Sure. You are looking at him now” balas lelaki itu sambil memeluk tubuh dengan selamba.
“Mana?” aku melilau pandangan mencari-cari kelibat lelaki separuh abad yang dimaksudkan namun tidak aku temui. Perlakuan aku itu membuatkan lelaki itu tergelak. Entah apa yang lucu, aku pun tidak tahu. Aku melemparkan pandangan pelik pada Qurratu’ain, cuba mendapatkan jawapan. Sebaliknya, sahabat aku itu mengangkat bahu tanda dia juga tidak mengerti.
“Sini, saya Irfan” tutur lelaki itu sebaik tawanya reda sambil menuding jari telunjuk ke arah dirinya sendiri. Aku mengerutkan kening tanda tidak faham.
“Err..maksud saya, Encik Irfan Abdul Baqi, bukan anak Encik Irfan” tukas aku menjelaskan.
“Sejak bila pula saya ini ada anak. Kahwin pun belum lagi” lelaki itu menyambung gelak. Aku dan Qurratu’ain saling berbalas pandang.
“Tapi, bukankah pemilik kereta yang kawan saya langgar ini…” kata-kata Qurratu’ain terhenti. Mulutnya sudah dibulatkan membentuk huruf O.
“Sayalah lelaki tua yang awak berdua panggil pakcik tempoh hari. Saya pun pelik hari itu. Nampak tua sangat kah saya ini?” ujar lelaki itu sambil tersenyum lucu. Aku menggaru-garu kepala aku yang dilitupi tudung bawal. Aku keliru. Macam mana otak aku boleh salah mentafsir isyarat yang dihantar oleh retina mata aku tempoh hari? Baru aku teringat. Cara pemakaian lelaki ini yang berkopiah lembik dan berkain pelekat membuatkan aku mengandaikan dia sebagai lelaki separuh abad. Lagipun tumpuan aku lebih memikirkan tentang kemalangan membuatkan aku hanya memandang sekilas padanya. Ditambah pula dengan penglihatan aku yang agak terhad pada waktu malam.
“Betul ke encik ini Irfan Abdul Baqi?” tanya aku sekali lagi inginkan kepastian. Dalam hati ini tak tahu nak gambarkan dah bagaimana perasaan aku. Malu teramat sangat! Selama ini dengan penuh yakin aku memanggil lelaki muda ini dengan panggilan pakcik.
Yes, I’m Irfan Abdul Baqi. Just call me Irfan” yakin lelaki itu menjawab sambil menganggukkan kepalanya.
“Irfan, kenapa tak jemput tetamu kita masuk lagi tu?” celah satu suara. Seorang wanita bertudung kemas melemparkan senyuman lembut ke arah kami. Wanita itu walaupun melalui pengamatan aku sudah berusia lebih dari separuh abad tetapi kejelitaannya masih terserlah. Aku dan Qurratu’ain turut membalas senyuman itu. Nanti kan tak fasal-fasal dilabelkan sombong pula.
Come, masuk dulu. Mummy saya dah bising tu. Kita bincang dekat dalam” aku dan Qurratu’ain hanya menurut sahaja ajakan Irfan. Setelah menyalami tangan wanita itu, kami dipersilakan untuk duduk di atas sofa empuk berwarna biru gelap.
“Mak Jah…” sebaik nama itu dipanggil, muncul seorang wanita yang aku kira merupakan pembantu rumah mereka.
“Ya, Datin”
“Tolong buatkan air, ya” pinta wanita itu dengan sopan. Tidak aku sangka masih ada lagi orang-orang berada yang tidak sombong dan membezakan hubungan sesama insan.
“Baik, Datin” pembantu rumah yang bernama Mak Jah itu berlalu ke dapur.
“So, yang mana satu Qaisara Nuha ni?” soal wanita itu dengan nada yang mesra memandang ke arah kami berdua silih berganti.
“Saya, Datin. Ini kawan saya Qurratu’ain” sahut ku sambil melemparkan senyuman tipis. Mujurlah tadi telinga aku sempat mendengar panggilan yang digunakan oleh Mak Jah. Tidak sanggup jika aku mengulangi kesalahan kali kedua, tersilap menggunakan panggilan.
“Oh, inilah orangnya” ujar wanita yang bergelar Datin itu tersenyum simpul. Aku hanya menganggukkan kepala. Inilah orangnya yang melanggar kereta anak Datin itu. Aku menyambung di dalam hati. Mesti sudah berbakul-bakul aduan Irfan pada ibunya tentang aku. Gadis cemerkap yang melanggar kereta mewah kesayangannya!
“Mak ayah Nuha ada lagi?” tanya Datin lagi. Kali ini hanya nama panggilan aku sahaja yang digunakan. Ramah-tamah betul Datin ini.
“Ada, Datin. Dekat kampung”
“Tak perlulah berdatin-datin dengan mummy. Panggil mummy saja. Lagi mesra. Kampung Nuha dekat mana?” tegur Datin itu dengan mesra. Baik betul Datin ini. Tidak megah dengan pangkat dan darjat. Hati aku berdetik.
“Kampung saya tak jauh. Di Banting” jawab aku sekadar berbasa-basi.
“Mak ayah kerja apa?” Datin itu terus menyoal aku. Semakin pelik aku rasakan dengan setiap persoalan yang keluar dari mulut Datin ini. Apa kaitan soalan-soalan Datin ini dengan tujuan sebenar aku ke mari sehingga asal usul aku ingin diselidiknya? Kesalahan aku cuma melanggar kereta anaknya secara tidak sengaja.
“Ayah saya dah pencen. Kerja kerajaan. Sekarang ini full time jadi imam dekat Masjid di kampung. Mak pula suri rumah” aku jawab juga pertanyaan Datin itu walaupun dalam otak aku dah berlegar-legar macam-macam tebakan. Mungkin Datin ini sengaja ingin berbual-bual kosong dengan aku.
“Adik-beradik berapa orang?”
“Empat orang, Datin”
“Mummy, panggil mummy saja. Nuha anak sulung?” teguran Datin membuatkan aku menjadi serba salah.
“Ya, saya anak sulung dan tunggal perempuan”
“Oh, begitu. Macam mana kenal dengan Irfan?” aku mengerutkan kening kehairanan. Qurratu’ain yang sedari tadi hanya memasang telinga mendengar perbualan di antara aku dan Datin turut melemparkan pandangan pelik kepada aku. Semakin aneh aku rasakan dengan setiap soalan Datin ini.
“Mummy ini dah rupa polis pencen. Macam-macam disoalnya” akhirnya Irfan bersuara menyelamatkan aku dari terus menjadi mangsa edisi siasat ibunya.
“Tak adalah, Irfan. Mummy cuma nak kenal dengan lebih dekat lagi bakal menantu mummy ni. Pandai Irfan pilih calon isteri ya” ayat yang keluar dari mulut Datin itu membuatkan aku hampir tercekik. Aku salah dengar ke? Tetapi rasanya telinga aku ini belum tuli lagi. Sejak bila pula cerita ini sudah bertukar menjadi lain. Mesti Datin ini sudah tersilap orang. Aku menggaru kepala aku yang tidak gatal. Satu tabiat spontan apabila aku berada dalam kegelisahan.
“Err..rasanya Datin dah salah faham…”
“Minta maaf, Datin. Datuk telefon” sapaan Mak Jah yang muncul menarik tumpuan kami semua kepadanya.  
“Mummy ke dalam sekejap ya” pamit Datin dengan lembut.
“Rasanya, ibu encik dah salah faham” ujar ku memandang tepat ke arah Irfan yang sedari tadi hanya berpeluk tubuh memerhati.
“Sebenarnya tak ada salah faham di sini. Apa yang mummy cakap tu betul. Awak adalah bakal menantu dalam keluarga ini” beritahu Irfan dalam nada suara yang mendatar.
“Apa??!” serentak aku dan Qurratu’ain bersuara. Dongeng apakah yang sedang aku lalui sekarang ini? Aku rasakan seperti ingin pengsan waktu itu.
“Bila masa pula saya bercinta dengan orang dalam rumah ini?” aku bertanya polos. Soalan itu sebenarnya lebih ditujukan kepada diri aku sendiri. Seingat fikiran aku yang masih waras ini, aku hanya berhutang dengan salah seorang penghuni rumah ini. Berhutang duit, bukan berhutang kasih sayang.
“Dua orang manusia yang telah ditakdirkan untuk bersama tidak semestinya perlu bercinta untuk berkahwin, tapi mereka perlu berkahwin untuk bercinta” puitis Irfan sambil memandang ke arah aku dengan satu pandangan yang sukar aku tafsirkan. Tiba-tiba aku rasakan lelaki di depan aku ini cukup menyeramkan. Meremang bulu roma aku.
“Minta maaf, Encik Irfan. Lebih baik kita terus kepada tujuan sebenar perjumpaan kita ini. Kemalangan tempoh hari memang salah saya. Jadi, Encik Irfan beritahu saya berapa ganti rugi yang perlu saya bayar” tingkah aku cuba membawa perbualan kepada tujuan asal kedatangan ku. Aku sebenarnya sudah tidak betah berlama di situ. Ingin segera aku selesaikan masalah yang tertunggak di antara kami berdua. Lebih cepat selesai lagi baik.
“Awak tak perlu bayar saya satu sen pun. Tapi dengan syarat, awak terima lamaran saya” Irfan memandang aku dengan serius. Rentak jantung aku saat itu berdegup kencang. Suhu tangan aku sudah di paras sejuk beku. Permainan apakah yang sedang dipentaskan di hadapan aku ini? Langsung tidak masuk akal. Terdesak sangat kah lelaki ini sehinggakan sanggup mengajak aku berkahwin dengannya. Seorang gadis yang langsung tidak dikenalinya
“Mengarut. Saya tak boleh terima lamaran awak” aku menggeleng laju. Qurratu’ain di sisi aku masih terpaku mendengar perbualan di antara aku dan Irfan. Nyata, dia juga sama terkejut seperti aku. Jika tidak, masakan hilang terus suara teman aku ini.
“Jadi, awak memilih untuk membayar pampasan atas kerosakan kereta saya itu?” soal Irfan tanpa reaksi.
“Ya, beritahu saya berapa harga yang saya perlu bayar” tegas ku. Aku memberanikan diri menentang matanya. Geram juga dengan tindakan lelaki itu yang seolah-olah begitu mudah memperdagangkan cinta.
“RM 10,000.00” tenang jawapan Irfan namun angka yang disebut membuatkan aku hampir pengsan. Sepuluh ribu ringgit? Mahalnya! Mana aku nak cari duit sebanyak itu. Jika dicongakkan simpanan yang aku ada baru mencecah lima ribu ringgit. Mana aku nak cari baki lima ribu lagi?
“Apa? Biar betul Encik Irfan. Takkan rosak sikit macam itu pun sampai 10 ribu ringgit?” tiba-tiba Qurratu’ain bersuara setelah mendiamkan diri dari tadi, cuba membela aku apabila dia melihat aku yang sudah terkelu.
“Saudari Qurratu’ain, kereta yang kawan saudari langgar itu adalah kereta Mercedes Sport. Bukannya kereta labi. Kalau tak percaya, ini dia resit baiki kereta” tutur Irfan kedengaran sedikit angkuh sambil menghulurkan sekeping resit. Terketar-ketar aku menyambut huluran itu.
“Megah Mewah Fix and Drive? Padanlah mahal. Encik Irfan tahu tak kedai ini cekik darah” beritahu aku tidak puas hati. Mak ai, mekanik yang dia upah pun bukan sembarangan. Dulu, memang aku dah pernah terkena. Tampung tayar kereta Kenari aku yang bocor tu pun dia boleh caj sampai RM30. Memang bengang betul aku. Itulah kali pertama dan kali terakhir aku jadi pelanggan kedai itu. Lagipun, tengok nama pun dah boleh agak. Hanya sesuai dikunjungi oleh orang-orang mewah sahaja. Kalau aku tahu, boleh aku rekomen bengkel baiki kereta adik aku, Helmi. Tak adalah kena caj sampai 10K. Awal-awal aku dah risik dengan Helmi, anggaran harga untuk membaiki kerosakan yang pada hemat aku tak adalah teruk sangat pun. Hanya pecah lampu depan dan kemik sedikit di sebelah pintu penumpang.
“Itu saya tak peduli. Macam mana? Boleh bayar ke tak ni? Kalau tak boleh, tawaran saya masih terbuka. Jadi permaisuri di hati saya. FOC” sempat lagi Irfan mengenyitkan matanya pada aku. Gatal merenyam betul mata dia. FOC – Free of Charge. Tak ingin!
“Boleh. Saya boleh bayar. Tapi, saya tak bawa duit sekarang. Beri saya nombor akaun bank encik. Nanti saya bank in” mendengarkan ugutan Irfan, aku segera bersetuju tanpa membuat sebarang rundingan untuk mengurangkan harga bayaran ganti rugi terlebih dahulu.
“Mana kau nak cari duit sebanyak itu?” bisik Qurratu’ain sambil menyiku aku.
“Nanti aku fikir” balas aku juga dalam bisikan.
“Boleh percaya ke ni, sayang?” soalan Irfan mengejutkan aku. Bulat mata aku memandangnya. Gulp! Sayang? Irfan ini spesies skru otak longgar ke? Kenal aku pun tidak, tiba-tiba nak bersayang-sayang. Geli geleman aku rasa.
“Boleh percaya ke yang awak akan masukkan duit ke dalam akaun saya?” ulangi Irfan setelah dia menyedari aku yang sedang terkaku.
“Tempoh hari masa kemalangan encik boleh percaya. Takkan kali ini tak boleh?” celah Qurratu’ain menjawab bagi pihak aku. Aku mengangguk mengiakan. Qurratu’ain mula menunjukkan kepetahannya berhujah. Nasib baik ada kawan aku itu.
“Yalah. Tempoh hari awak tak tahu lagi berapa yang awak kena bayar kan” sindir Irfan menyentap tangkai hati aku.
Excuse me, Encik Irfan. Mak dan ayah saya tak pernah ajar saya menjadi manusia yang tak amanah. Walaupun saya tak kaya dan berharta macam encik tapi saya tetap akan bayar duit encik. Dengan apa cara sekalipun, encik akan dapat balik wang 10K encik itu. Ini janji saya” bentak aku dengan nada yang sedikit tinggi.
“Baik, in one week from now. Tepat seminggu saya akan hubungi awak. Kalau awak tak sediakan duit itu, maknanya awak tak ada pilihan lain. Awak kena kahwin dengan saya” putus Irfan berbaur ugutan membuatkan aku tersentak.
“Mummy minta maaf. Lama pula mummy berbual dengan papa Irfan” tiba-tiba Datin muncul dan duduk di depan aku. Secara automatik perbualan hangat di antara aku dan Irfan terhenti. Sesuka hati dia saja nak paksa aku kahwin.
“Oh ya, papa kirim salam pada Nuha. Dia minta maaf tak dapat join sekali hari ini. Dia masih kat Singapore, flight pula delay” sambung Datin. Papa? Mungkin Datin ini maksudkan Datuk Abdul Baqi. Kemesraan Datin ini terhadap aku memang membuatkan aku pening. Dia layan aku macam kami ini dah kenal lama. Sedangkan nama Datin ini pun aku tidak tahu.
“Waalaikumsalam” aku terpaksa mengukirkan senyum. Niat untuk membalas sindiran Irfan yang telah membakar perasaan, aku batalkan. Bengkak di hati aku cuba sabarkan.
“Eh, Mak Jah dah siap hidang makanan tengah hari. Jom, kita ke meja makan, Nuha. Mari Qurratu’ain” ajak Datin. Tangan aku sudah dipimpinnya. Hendak tak hendak terpaksalah aku berdiri dan mengikuti langkah Datin ini. Takkan aku hendak merentap tangan Datin ini. Nanti dikatakan tidak menghormati orang tua pula. Dalam diam aku mengharapkan buah fikiran Qurratu’ain untuk memberi alasan menolak ajakan Datin ini. Aku memberikan isyarat mata kepada sahabat ku itu.
“Tak apalah, Datin. Buat susah-susah, Datin sekeluarga saja” tolak Qurratu’ain dengan lembut. Lemah sangat alasan penolakan Qurratu’ain. Agaknya kawan aku itu juga serba salah. Tidak sampai hati hendak menolak apabila melihat kesungguhan wanita itu.
“Apa yang susahnya. Marilah. Macam-macam Mak Jah masak tau. Lagipun, besok kita dah mula berpuasa. Hari ini last kita boleh makan tengah hari bersama” pelawa wanita itu bersungguh-sungguh. Aku dan Qurratu’ain memang tiada pilihan. Akhirnya kami akur. Tak apalah, dah rezeki depan mata.


Pagi-pagi hari aku sudah tercongok di pejabat. Berlama-lama di rumah pun tiada guna juga. Hati ini tidak tenang. Aku menghempaskan punggung ku di atas kerusi. Kalendar di atas meja pejabat ku tenung lama. Hari ini adalah hari penentuannya! Bila-bila masa sahaja Irfan pasti akan menghubungi aku menuntut janji. Tapi, duit yang aku ada masih belum cukup. Aku buntu. Sudah puas berfikir tapi aku masih tidak jumpa jalan penyelesaiannya.
Pinjam dengan mak dan ayah? Aku tidak sampai hati nak menyusahkan mereka. Berapalah sangat kalau nak diharapkan dengan duit pencen pembantu tadbir ayah aku itu. Dua orang adik aku pula masih di universiti. Sudah lah hampir dua bulan duit belanja yang sepatutnya aku berikan pada mereka setiap bulan tertunggak gara-gara duit gaji aku yang tak masuk-masuk lagi. Lepas itu, nak pinjam pula duit dengan mereka? Memang tak patut. Adik aku? Si Helmi itu baru mula bertatih membuka bengkel membaiki kereta. Duit yang dia pinjam dengan aku pun masih belum mampu bayar, ini kan aku nak pinjam balik dengan dia? Memang tiada harapan lah.
Pinjam dengan Qurratu’ain? Tak sempat aku nak minta, dia dah awal-awal tawarkan pada aku. Tapi, aku pula tak sanggup nak ambil. Memang tabiat aku tak suka meminjam, tapi kalau dalam keadaan terdesak begini terpaksalah aku korbankan prinsip aku tu. Namun, apabila mengenangkan yang ekonomi kawan aku itu sama saja macam aku yang tengah tertunggak gaji ini, aku tak sanggup nak menyusahkan dia. Tambah-tambah lagi, Qurratu’ain sedang membuat persiapan untuk menyambut hari bahagia bergelar isteri. Lagilah banyak duit yang diperlukannya. Kawan-kawan sepejabat yang lain? Tengok muka masing-masing pun aku dah tahu. Gawat!
Takkan aku hendak pergi pinjam dengan ah long? Silap-silap hari bulan, kena gadai bodi, aku juga yang meraung. Kalau difikir-fikirkan, ah long dan Irfan tak jauh beza pun. Dua-dua menggunakan konsep peras ugut. Aku melepaskan keluhan berat sambil menyandarkan tubuh aku di kerusi. Tangan aku diletakkan di atas dahi.
Aku lontarkan pandangan di segenap ruang bilik pejabat aku yang sederhana besar itu. Jawatan aku sebagai System Analyst melayakkan aku untuk memiliki bilik pejabat sendiri. Tetapi, bilik besar pun tiada guna kalau gaji tak masuk! Bilalah agaknya masalah syarikat ini akan selesai. Masalah aku juga akan selesai jika aku mendapat bayaran tunggakan gaji ku itu.
“Woit, menung panjang nampak” sergahan Qurratu’ain mengejutkan aku. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang berada di depan meja pejabat ku.
“Kau ni, tak reti nak bagi salam ke? Main sergah-sergah pula. Nasib baik jantung aku ini sihat walafiat. Kalau tak, tak fasal-fasal roh aku tak aman. Mati dalam keadaan berhutang” marah aku pada Qurratu’ain. Dia tersenyum langsung tidak mengambil hati dengan teguran aku. Sudah biasa.
“Kau ini, melalut sampai ke situ pula. Itulah kau, aku suruh kau guna duit simpanan aku dulu kau tak nak” bentak Qurratu’ain seakan merajuk. Wajahnya mencuka.
“Bukan aku tak nak pinjam dengan kau. Aku tahu kau lebih perlukan duit itu. Lagipun kenduri kahwin kau tak sampai sebulan pun lagi. Mesti banyak nak guna duit” ujar ku memujuk.
“Duit boleh carilah. Kalau terpaksa aku boleh tangguh kenduri kahwin aku tu demi kawan baik aku ini” bentak Qurratu’ain membuatkan hati aku tersentuh. Mana nak cari kawan sebaik ini. Kawan di saat susah dan senang. Bergenang kelopak mata aku. Tetapi aku tidak bolehlah pentingkan diri sendiri.
Thanks but no thanks. Aku tahu kau kawan sejati aku. Tapi, aku tak nak kau korbankan hari bahagia kau kerana masalah aku yang tak seberapa ini. Kau tak perlulah risau. Tahulah aku nak cari duit dekat mana. Lagipun apalah sangat Irfan tu boleh buat kalau aku tak mampu nak bayar lagi sekarang. Takkan dia nak heret aku jumpa tok kadi. Wali tak ada tak jadi juga kan” sambung aku cuba menyedapkan hati Qurratu’ain.
“Macam mana aku tak risau. Tengok kau termenung macam orang hilang anak. Payah-payah kau kahwin sajalah dengan Irfan tu” tukas Qurratu’ain.
“Tak nak aku! Buat apa aku pertaruhkan masa depan aku kahwin dengan orang yang aku tak kenal” aku menggelengkan kepala deras.
“Apa salahnya. Kau tengok sajalah orang tua kita. Masa kahwin tak kenal pun pasangan masing-masing. Tapi kekal juga sampai beranak cucu. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang bercinta bagai nak rak. Kau tak nak ke bercinta selepas kahwin. Klasik tu” usik Qurratu’ain sambil mengangkatkan kedua belah keningnya nakal.
“Itu lain. Walaupun masing-masing tak kenal, tapi sekurang-kurangnya jodoh itu adalah pilihan orang tua mak bapak kita. Dalam keadaan aku ini, mak ayah aku pun tak kenal siapa Irfan tu. Yang paling haru, aku tak kenal dia, dia pun tak kenal aku. Tiba-tiba boleh pula dia ajak aku kahwin. Tak ke meroyan namanya tu” tingkah ku.
“Yalah kan. Aku pun pelik juga. Tapi, cinta ini memang misteri kan. Dia boleh datang dalam macam-macam cara. Sesekali bila aku fikir kisah kau ini macam kisah dogeng pun ada. Kalaulah kisah kau ini berakhir ke jinjang pelamin, aku ingat aku nak buat novel lah” gurau Qurratu’ain membuatkan aku menjegilkan mata padanya. Seronok betul dia mengenakan aku.
“Banyaklah kau punya novel. Dahlah, tak payah cakap lagilah fasal benda ini. Ngeri aku rasa” kata-kata aku itu mengundang tawa Qurratu’ain. Aku tidak mengendahkannya. Dalam saat-saat macam ini, aku memang tidak ada mood untuk melayan Qurratu’ain melalut.  
“Muka kau ni Nuha, dah macam ayam berak kapur” tunak wajah Qurratu’ain memerhatikan wajah aku. Aku sebenarnya memang tidak pandai menyembunyikan emosi aku.
”Nak buat macam mana, ‘Ain. Banyak benda dalam kepala otak aku ini. Fasal Irfan tu dah satu hal. Yang lebih merunsingkan aku fasal kerja kita ini. Kau tahu-tahu sajalah syarikat yang kita makan gaji ini ibarat hidup segan mati tak mahu” luah aku mengalih topik perbualan.
“Oh, fasal tu kau tak perlu risau. Aku dengar cerita dari Nancy. Company ini dah ada ahli lembaga pengarah baru. Lebih separuh saham syarikat dibeli oleh orang luar. CEO pun bakal bertukar. Nampaknya, akan ada perubahan besar-besaran terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi” beritahu Qurratu’ain. Minah ini memang CNN bergerak. Cepat dan tangkas dia mendapat berita.
“Siapa yang beli? Syarikat mana?” tanya aku separuh berminat. Otak aku sebenarnya masih lagi runsing memikirkan tentang duit ganti rugi yang belum mencukupi itu.
“Itu aku tak pasti. Tapi, kita kena bersiap sedia sentiasa. Anytime meeting tergempar akan dibuat untuk memperkenalkan ahli lembaga pengarah baru” Qurratu’ain mengingatkan.
“Harap-harap adalah perubahan yang baik dibuat. Jangan sampai keluar mulut buaya masuk mulut harimau sudahlah”  aku membalas. Aku akui tampuk pemerintahan dan pengurusan syarikat aku bekerja ini memang bermasalah dan terlalu banyak penyelewengan. Harap-harap, kedatangan ketua pengarah eksekutif yang baru dapat membela nasib kami pekerja-pekerja yang setia ini. Tiba-tiba telefon di atas meja pejabat ku berbunyi.
“Hello” sapa aku sebaik mengangkat gagang telefon.
“Hello, Cik Qaisara Nuha?” kedengaran suara seorang wanita di hujung talian.
“Ya, saya”
“CEO nak jumpa cik sekarang” beritahu wanita itu.
“CEO?” aku bertanya pelik. Tak pernah-pernah dalam sejarah aku bekerja di sini, CEO hendak bertemu dengan aku. Kebiasaannya, ketua-ketua jabatan sahaja yang dipanggil mengadap.
“Yes, he’s waiting in his room
Okay, I’ll be there. Thanks” jawab aku sedikit gugup sebelum mematikan talian.
“Kenapa, Nuha?” soal Qurratu’ain yang memasang telinga mendengar perbualan pendek aku di telefon.
“Aku kena naik tingkat 13 sekarang. Mr. Teoh nak jumpa aku” beritahu aku.
“Mr. Teoh? CEO? Buat apa dia nak jumpa kau?”
“Aku tak tahu. Entah-entah dia nak pecat aku tak?” tebak aku. Kalau betul telahan aku, memang bertimpa-timpa lah ujian yang aku terima di bulan Ramadan ini. Nak menguji sejauh mana keimanan aku. Sabar, Qaisara Nuha.
“Biar betul. Takkanlah kot” tolak Qurratu’ain
“Aku pergi jumpa Mr. Teoh dulu. Suspens betul aku rasa ini” ujar ku sambil berlalu menuju ke lif.
Good luck” sempat lagi Qurratu’ain menunjukkan ibu jarinya kepada aku sebelum pintu lif ditutup.
Ting! Aku melangkah keluar dari lif dengan perasaan yang berbaur-baur. Namun, sempat lagi mata aku ini melilau memerhatikan ruang pejabat di tingkat 13 itu yang pada pengamatan aku sudah banyak berubah. Yang paling menarik perhatian aku adalah air terjun buatan yang dibina di sudut kiri pejabat menjadikan suasana baru yang lebih tenang. Lama benar rupanya aku tidak menjejakkan kaki ke aras ini. Maklumlah ruang kerja aku di tingkat 5. Jarang benar aku mempunyai urusan kerja di tingkat 13 yang merupakan pejabat bagi ahli pengurusan tertinggi syarikat.
“Hai, I’m Qaisara Nuha” sapa aku memperkenalkan diri. Sempat aku membaca tag namanya. Janice. Nampaknya, bukan setakat keadaan pejabat yang berubah, setiausaha pun bertukar baru.
“Hai, I’m Janice. Sekejap ya” Janice melemparkan senyuman kepada aku. Kemudian dia mengangkat gagang telefon.
Boss, Miss Qaisara Nuha is here
“Okay, miss. Boss suruh masuk” sopan Janice menunjukkan aku arah ke bilik CEO. Dalam gentar aku mengayunkan langkah. Aku mengetuk pintu dan memulas tombol pintu.
“Hello, Mr. T…” sapaan aku terhenti tatkala melihat wajah CEO di depan mata aku. Sejak bila Mr. Teoh bertukar wajah menjadi Irfan Abdul Baqi? Aku mengelipkan mata berulang kali.
“Assalamualaikum, sayang” saat mendengar suara garau itu, memang tak syak lagi itu adalah Irfan. Salamnya ku jawab di dalam hati. Tak mampu nak mengeluarkan suara kerana terkejut.
“Macam mana encik Irfan  boleh ada di sini?” terpacul soalan bodoh dari mulut aku. Soalan yang berjaya mengundang gelak tipis di bibirnya.
Because, I’m the new CEO here” balas Irfan mudah.
Come, have a seat” pelawa Irfan. Teragak-agak aku melabuhkan duduk di atas kerusi di depan lelaki itu. 
“Okay, kita straight to the point saja. Dah sediakan duit 10 ribu tu?” pertanyaan Irfan ternyata membuatkan aku bertambah kelu. Nada suara lelaki ini juga berubah serius.
“Err..duitnya ada cuma boleh tak kalau saya bayar separuh saja dulu?” ujar ku teragak-agak. Saat itu aku rasakan muka aku ini sudah tebal berinci-inci. Bukan mudah sebenarnya untuk aku menghadapi situasi ini.
“Maknanya awak tak adalah duit yang saya minta tu?” Irfan memandang ku tajam.
“Bukan tak ada, Encik Irfan. Duit itu ada, tapi bukan dengan saya” tukas ku membela diri. Walaupun gugup dengan pandangan cerlung Irfan, aku terpaksa memberanikan diri.
“Habis tu duit tu ada dengan siapa?”
“Dengan Encik Irfan” aku menjawab dengan suara yang perlahan.
What???” intonasi suara Irfan yang agak tinggi benar-benar menyentakkan aku.
“Mma...macam ini, Encik Irfan. Gaji saya sudah dua bulan tertunggak” aku menelan liur gugup.
“So? Apa kaitannya dengan saya?” lelaki itu mengerutkan kedua-dua belah keningnya yang lebat itu.
“Encik Irfan kan, CEO syarikat ini. Jadi, secara automatik tugas encik Irfan adalah untuk melunaskan gaji saya yang tertunggak itu. Jika dicampur dengan duit simpanan yang saya ada dan dua bulan gaji saya itu, memang dah terlebih cukup untuk bayar duit encik Irfan” terang aku senafas. Logik juga alasan yang aku beri. Nasib baik otak ini bergeliga mencipta alasan. Aku menyembunyikan senyum.
“Apa yang berlaku sebelum saya ambil alih syarikat ini, tiada kaitan dengan saya” tingkah Irfan tegas.
“Tapi..”
“Saya tanya awak sekali lagi. Sekarang ini, awak ada tak duit 10 ribu ringgit yang saya minta itu?” soal Irfan memotong kata ku. Aku mengetap bibir geram.
“Ada ke tak ada?” ulang Irfan sekali lagi.
“Tak ada” balas ku perlahan dalam paksaan.
“So, awak cuma ada satu pilihan sahaja sekarang ini. Kahwin dengan saya” putus Irfan. Mustahil!
“Kalau saya tak nak, apa awak boleh buat?” cabar aku. Rasa geram dengan sikap diktator Irfan menjadikan aku berani untuk melawan. Aku perlu mempertahankan hak asasi aku. Mana ada dalam rang undang-undang atau mana-mana peraturan seorang gadis boleh dipaksa kahwin oleh pihak lelaki. Kalau emak dan ayah aku yang paksa, lainlah cerita.
“Saya akan buat sampai awak bersetuju untuk berkahwin dengan saya” tutur Irfan sambil mengukirkan senyuman menggoda. Tiba-tiba aku menjadi gerun melihat senyuman Irfan yang penuh keyakinan itu. Lelaki ini psiko ke?
“Saya perlukan cinta untuk berkahwin. Tapi, saya tidak cintakan encik” aku bersuara sambil memberanikan diri memandangnya. Dengan wajah yang tampan dan kekayaannya, memang dia mampu mencairkan hati mana-mana gadis yang diinginkannya. Tapi itu semua bukannya tiket untuk aku jatuh cinta dan menerima lamarannya secara drastik begini. Bagaimana dua keping hati yang tidak disuburkan dengan cinta boleh mencapai bahagia dalam sebuah perkahwinan?
“Saya perlukan perkahwinan untuk bercinta secara halal. Cinta tulus yang dilahirkan berlandaskan ikatan pernikahan yang suci. Tunas cinta untuk seorang gadis bernama Qaisara Nuha sudah tumbuh di hati saya. Dan saya ingin bajai dan suburkan tunas cinta itu dengan jalinan percintaan yang direstui Ilahi” pengakuan Irfan yang romantis membuatkan wajah aku berubah rona menjadi merah. Sebuah pengakuan yang ternyata berjaya mengundang getar di hati.
“Tapi kenapa saya? Encik tak kenal pun saya siapa dan saya pun tak kenal encik” aku melontarkan soalan yang selama ini bermain di fikiran ku.
“Melihat wajah awak sudah cukup memberikan keyakinan kepada saya untuk memilih awak. Cinta saya pada awak adalah untuk mendapatkan keredaan Ilahi. Biarlah perkenalan kita berpandukan kecintaan kita kepada Allah, kerana itu yang akan membahagiakan hati dan menenangkan jiwa kita. Kita akan saling kenal-mengenali luar dan dalam, tapi selepas kita nikah” bicara Irfan sekali lagi membuatkan aku terpegun. Bait-bait ayat indah yang meniti di bibir lelaki ini membuatkan hati aku makin terpaut dan kagum.
“Encik mahukan cinta yang berlandaskan syariat. Tapi cara encik dapatkan cinta itu salah. Kalau encik benar-benar yakin dengan jodoh yang ditakdirkan oleh Allah, tidak perlu encik gunakan duit sebagai tukar ganti untuk mendapatkan cinta. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara” kata-kata aku itu berjaya membuatkan Irfan terkesima. Hanya anak matanya yang tunak merenung aku sehinggakan aku jadi tidak keruan. Meletakkan aku kembali dalam keadaan cuak. Aku ini pun bukannya berani sangat. Lagi lama aku biarkan nanti menjadi zina mata pula.
“Err.. saya rasa lebih baik saya keluar dulu. Fasal duit itu, saya janji saya akan bayar. Saya minta maaf, encik Irfan” tanpa menunggu kebenaran dari lelaki itu, aku mengorak langkah laju keluar dari bilik besar itu. Tidak sanggup berlama di situ. Aku menjadi tidak selesa dan kekok berada di situ. Malu? Ya, aku malu! Belum pernah lagi seumur hidup aku mendengar pengakuan cinta seorang lelaki terhadap aku.


Sepanjang hari selepas pertemuan itu, telinga aku asyik diputarkan dengan bait-bait indah luahan perasaan Irfan terhadap aku. Sebenarnya, pengakuan itu telah menjentik rasa indah dan bahagia di jiwa ini. Tetapi, aku tidak mahu terus terbuai dengan keasyikan cinta duniawi. Bimbang jika hati aku tersilap dalam memilih. Aku tidak mahu jatuh cinta kerana wajahnya yang kacak. Aku tidak perlu kasih yang bertunas kerana hartanya yang berlambak. Aku tidak ingin rasa sayang aku bercambah kerana ayat-ayat cinta indah yang meniti di bibir Irfan. Aku mencari cinta yang suci, cinta yang wujud tanpa sebab dan syarat. Cinta yang lahir sebagai jaminan dan bekal aku untuk di bawa ke alam satu lagi.
Malamnya, hatiku tergerak untuk menunaikan solat Istikharah. Tiga malam aku tidak gagal untuk bangun malam memohon petunjuk dari Ilahi. Menyerahkan takdir jodoh aku di tangan-Nya. Sejak itu, aku semakin yakin dengan perasaan aku. Walaupun cinta Irfan hadir secara terburu-buru, tapi kini aku tidak lagi ragu dengan rasa kasih yang mula mekar menjalar di hatiku buat lelaki bernama Irfan Abdul Baqi. Peristiwa yang berlaku di surau pejabat semakin menguatkan perasaan aku terhadapnya.
Tepat pukul satu petang, aku mengajak Qurratu’ain untuk ke surau syarikat yang berada di tingkat satu bangunan. Lagipun, sekarang ini bulan Ramadan. Jadi, tidak perlulah kami terkejar-kejar untuk makan tengah hari. Sekarang ini waktu Zuhur agak awal. Aku dan Qurratu’ain memang lebih suka menunaikan solat di surau kerana ruangnya agak luas dan yang penting berhawa dingin. Maklumlah musim-musim panas macam ini kan. Lagipun, ruang solat lelaki dan perempuan sudah siap-siap diasingkan dengan tirai kain. Siap lengkap dengan tempat berwuduk lagi. Amat jarang sebenarnya sebuah syarikat yang diterajui oleh golongan bukan Islam yang menyediakan kemudahan yang cukup selesa begini. Salah satu lagi sebab kenapa aku suka bekerja di syarikat ini. Namun, malangnya hanya beberapa orang sahaja yang sudi mengimarahkan surau ini. Mungkin masing-masing lebih gemar bersolat di ruang pejabat masing-masing. Tak apalah. Sekurang-kurangnya masih ada aku, Qurratu’ain dan beberapa kakitangan yang menjadi pengunjung setia surau ini. Jadi, tidaklah sempat labah-labah membina sarangnya.
Sedang aku dan Qurratu’ain menunggu masuknya waktu solat Zuhur, tiba-tiba kami mendengar laungan azan yang cukup merdu di ruang solat bahagian lelaki. Aku pasti suara itu datang dari sana kerana bunyinya sangat jelas menyapa telinga. Yalah, nak kata laungan dari muazin masjid, mana ada masjid berdekatan bangunan pejabat.
“Sejak bila surau kita ini ada tukang bang?” soal Qurratu’ain dalam nada bisikan usai laungan azan. Berkerut-kerut wajahnya memandang aku.
“Entah, aku pun tak tahu” bisik aku sambil mengangkat bahu. Kebiasaannya, hanya kesunyian yang menyambut kehadiran kami di surau.
“Sedap pula suara tu. Siapa ye?” kepala Qurratu’ain dijengahkan ke ruang sebelah namun gagal untuk melihatnya.
“Memang sedap. Biarlah, ‘Ain. Tak penting siapa yang azankan. Yang penting, ada orang yang nak mengimarahkan surau kita ini” aku malas hendak ambil pusing. Memang terdetik juga rasa ingin tahu tapi takkanlah aku nak pergi mengintai pula.
“Aku tak puas hatilah, Nuha. Aku nak tengok juga siapa” tidak semena-mena Qurratu’ain menghampiri tirai dan mengintai di celah tirai. Mujurlah hanya aku dan dia saja yang berada di situ. Sebab itulah Qurratu’ain berani. Aku hanya menggelengkan kepala melihat telatah teman aku itu. Memang berani dan nakal.
“Nuha…” tiba-tiba Qurratu’ain menggamit aku untuk mendekatinya. Riak wajahnya jelas terperanjat seperti ternampak hantu. Takkanlah yang azan tadi bukan manusia. Terbit rasa seram di dalam hati. Ishh, takkanlah. Mana ada hantu dalam surau. Di bulan puasa pula tu, yang mana semua syaitan iblis dirantai. Mengarut betul kau ni, Qaisara Nuha!
“Marilah sini, Nuha” lambai Qurratu’ain mengajak aku mendekatinya setelah melihat aku masih tidak berganjak.
“Apa dia?” tutur aku dalam bisikan. Bimbang juga jika didengari oleh orang sebelah. Aku menghampiri Qurratu’ain.
“Itu bukan Irfan ke?” bisik Qurratu’ain. Aku membulatkan mata tidak percaya. Pantas aku turut mengintai. Ini dah kira sama-sama bersubahat dah dengan Qurratu’ain. Saat nama Irfan disebut oleh Qurratu’ain, aku memang tidak dapat menahan diri dari rasa ingin tahu.
Di ruang solat lelaki itu, aku nampak tiga orang lelaki yang berada di situ. Susuk tubuh seorang lelaki yang sedang bersedia untuk melaungkan iqamat ku perhatikan. Walaupun figura itu membelakangi aku, tapi aku memang pasti itu adalah Irfan. Tiba-tiba terbit rasa bersalah di dalam hati dengan keterlanjuran perbuatan aku memata-matai di celah tirai. Ini semua Qurratu’ain punya fasal. Tiba-tiba pula nak salahkan teman aku itu pula. Kau yang gagal kawal diri bila dengar nama Irfan. Aku memarahi diri ku sendiri.
“Dahlah, ‘Ain. Tak baiklah kita buat kerja macam ni. Terasa berdosa pula aku” aku menarik tangan Qurratu’ain kembali ke tikar sejadah. Irfan pun sudah melaungkan iqamat, tanda solat Zuhur akan dimulakan sebentar lagi.
“Tapi, aku kagum lah, Nuha. Aku bagi sokongan penuh kalau kau pilih dia, Nuha. Dia memang calon yang terbaik” sempat Qurratu’ain berbisik di telinga aku sambil mengenyitkan matanya. Tidak jadi aku membalas kata-kata teman aku itu apabila aku mendengar takbir pertama yang telah diangkat oleh Irfan. Memang aku kenal sekali dengan suara garau itu. Dialah muazin dan dia jugalah imam pada solat Zuhur itu.
Usai solat, Irfan membacakan doa dengan lancar dan jelas membuatkan hati aku benar-benar terpegun. Saat itu, hanya Irfan Abdul Baqi yang aku inginkan menjadi muazin dan imam memimpin solat-solat aku di sepanjang hidup ku di dunia ini. Detik itu, cukuplah hanya bacaan doa yang dialunkan oleh Irfan Abdul Baqi yang menjadi santapan halwa telinga aku di sepanjang hayat ku.  Mak, ayah. Anak mu ini sudah jatuh cinta!
 “Woit, mengelamun saja kerja kau!” tepukan Qurratu’ain di bahu aku benar-benar mengejutkan aku dari lamunan. Aku mengurut dada ku perlahan.
“Kau ini, ‘Ain. Suka benar buat aku terperanjat. Kan lebih elok kalau kau beri salam ke” marah aku. Saat aku baru nak melayan perasaan, ada saja yang mengganggu.
“Aku dah bagi salam tadi. Kau tu yang tak dengar. Ingatkan Irfan ke?” telah Qurratu’ain tersengih. Sakan aku mengelamun sampai tak sedar langsung kedatangan Qurratu’ain ke bilik pejabat aku.
“Tak ada maknanya aku nak ingatkan Irfan. Dia bukannya ingatkan aku pun” sangkal aku. Mana boleh tunjuk sangat rasa hati aku ini. Padahal tadi memang aku duduk mengelamun tentang Irhan pun. Sejak pertemuan aku dengan Irfan di bilik CEO tempoh hari, Irfan seakan menyepikan diri. Bila hati ini dah mula suka, lelaki itu pula seakan menjauh. Cuma sekali aku berjumpa dengan lelaki itu. Sewaktu mesyuarat tergempar semua staf dengan CEO baru. Siapa lagi CEO nya kalau bukan Irfan Dato’ Abdul Baqi. Namun, kehadiran aku langsung tidak mendapat perhatiannya. Yalah, dalam himpunan kakitangan seramai 500 orang, macam mana dia nak perasan kehadiran aku kan?
“Aku rasa kau ini dah parah. Itulah, masa Irfan terhegeh nak kan kau, kau jual mahal. Sekarang mulalah jadi penunggu cinta yang setia. Hari-hari duduk termenung” tutur Qurratu’ain. Tidak sukar untuk dia membaca riak wajah aku walaupun aku cuba sorokkan. Selaku teman baiknya, segala rahsia aku memang tidak boleh disembunyikan dari pengetahuan Qurratu’ain. Lambat laun pasti dia akan dapat meneka.
“Siapa yang tak ngeri kalau lelaki yang kita tak pernah kenal tiba-tiba ajak kahwin. Masa itu, manalah aku nak tahu yang aku boleh jatuh suka dengan Irfan” aku membela diri aku.
“Apa kata kau call dia? Luahkan perasaan kau pada dia” cadang Qurratu’ain.
“Tak nak lah aku. Aku tak berani” tolak aku keras. Aku bukannya seperti perigi yang mencari timba nya. Mustahil aku mampu untuk meluahkan perasaan aku dulu. Tak pernah aku amalkan dalam hidup aku ini.
“Kalau kau tak berani cakap, kau mesej dia. Lagi mudah” usul Qurratu’ain lagi.
“Tak nak. Aku malu lah” aku menggelengkan kepala ku laju.
“Zaman sekarang, Nuha. Orang dah tak kisah siapa yang mula dulu. Sedangkan Siti Khadijah pun melamar Nabi Muhammad SAW” hujah Qurratu’ain.
“Aku tak sekuat dan sehebat Siti Khadijah, ‘Ain. Entah-entah Irfan tu main-mainkan aku saja tak?” ujar ku mula berfikiran negatif. Yalah, apa sajalah yang ada pada diri aku ini sehingga berjaya membuatkan lelaki itu sukakan aku. Nak kata aku ini cantik dan sopan seperti peserta gadis Melayu itu jauh sekali. Nak kata aku ini berharta, punya rumah mewah seperti yang dipertontonkan dalam Astana idaman tu pun tidak. Nak kata aku ini petah berhujah seperti peserta Ustazah Pilihan itu pun tidak. Entah-entah lelaki itu hanya mengisi masa lapang untuk menjadi aku bahan tawanya.
“Itulah, aku pun pelik juga. Mula-mula dulu tiba-tiba beria-ia dia lamar kau. Siap nak tukar ganti dengan duit lagi. Sekarang, senyap pula” tingkah Qurratu’ain membuatkan aku mengeluh perlahan. Baru sekarang aku rasakan sakitnya cinta dan rindu yang tidak berbalas. Inikah yang turut dirasakan oleh Irfan saat aku menolak lamaran dia?
“Biarlah, ‘Ain. Andai tiada jodoh aku dengan dia nak buat macam mana” tutur aku separuh reda.
Speaking about duit. Duit ganti rugi baiki kereta Irfan tu macam mana? Dah cukup?” soal Qurratu’ain menukar topik perbualan. Aku tahu, teman aku itu pasti tidak mahu aku terlalu memikirkan perkara itu.
“Belum lagi. Hujung bulan ini, Insya-Allah cukup. Lagipun CEO baru dah berjanji nak bayar tunggakan gaji semua kakitangan kan” beritahu aku. Itulah pengumuman yang dibuat oleh Irfan sewaktu mesyuarat tergempar tempoh hari. Pengumuman yang berjaya membuatkan semua kakitangan menarik nafas lega.
“Baguslah tu. Eh, sekarang dah break ni. Kalau kau nak solat, aku teman kan kau”
“Aku pun dah angkat bendera merah pagi tadi” sengih aku pada Qurratu’ain yang juga sudah beberapa hari ABC – Allah bagi cuti.
“Ok, tapi aku nak minta tolong kau ni” ujar Qurratu’ain.
“Tolong apa?” aku mengangkatkan kedua belah kening ku.
“Iqbal nak datang jumpa aku sebentar lagi dekat lobby. Kami ada hal sikit nak bincang fasal majlis kahwin tu. Jadi, macam biasa kau kenalah teman aku” beritahu Qurratu’ain tersengih macam kerang busuk. Padanlah gembira semacam. Rupanya nak berjumpa dengan tunang tersayang. Dan, selalunya memang akulah yang menjadi orang ketiga. Bukan perampas, ya tapi peneman setia. Perjumpaan di antara dua orang yang bukan muhrim seelok-eloknya perlu ditemani dengan orang lain. Untuk mengelakkan fitnah.
“Amboi, bulan-bulan puasa macam ini pun nak dating juga ke?” perli aku lebih bertujuan untuk mengusik teman aku itu.
“Aku bukan nak jumpa suka-suka lah. Kau kan tahu prinsip aku” balas Qurratu’ain. Aku tahu Qurratu’ain dan Iqbal tidak pernah menjadikan alasan tunang untuk melanggar hukum agama. Untuk itu aku memang cukup respek dengan pendirian Qurratu’ain dan Iqbal. Walaupun, teman aku itu kadang-kadang ada nakalnya, tapi dia cukup menjaga kehormatan diri dan batas pergaulannya.


Aku menyandar malas di sofa yang memang disediakan di ruang lobby syarikat yang berada di aras paling bawah. Aku hanya mendengar bosan perbincangan di antara Qurratu’ain dan Iqbal. Di depan aku terdapat beberapa contoh story album perkahwinan untuk sama-sama dipilih oleh Qurratu’ain dan Iqbal. Banyak betul perkara remeh temeh yang perlu diuruskan demi sebuah majlis perkahwinan. Aku memandang jam di tangan. Masih ada 20 minit sebelum waktu rehat tamat.
“Nuha, aku nak ke toilet sekejap lah. Iqbal, kejap ya. ‘Ain nak ke toilet” aku dan Iqbal hanya mengangguk. Qurratu’ain berlalu meninggalkan aku berdua bersama Iqbal di situ. Waktu-waktu macam inilah kau nak melepaskan hajat, ‘Ain. Gumam aku di dalam hati.
“Nuha, kau rasa yang mana cantik antara dua ini?” soal Iqbal meminta pendapat aku tentang dua contoh story album yang menjadi pilihannya. Aku membelek kedua-dua album itu dengan khusyuk.
“Aku rasa yang ini kot. Susunan gambar dia kemas dan nampak dia punya penceritaan itu” aku menunjukkan ke arah album yang menjadi pilihan aku.
Taste kau ini memang sama je dengan ‘Ain. Aku lebih suka yang ini pula sebab pencahayaan gambarnya lebih cantik. Nampak natural” tingkah Iqbal menunjukkan ke arah album yang satu lagi.
“Ya, gambar dia memang cantik tapi…”
“Assalamualaikum” sapa satu suara garau menghentikan perbualan kami. Aku mendongakkan kepala. Saat itu mata aku bersatu dengan pandangan mata Irfan yang sedang memandang aku dengan senyuman nipis.
“Waalaikumsalam Encik Irfan” salamnya ku jawab sambil turut melemparkan senyuman kepadanya. Di dalam hati, gembira tidak kepalang melihat wajah pujaan hati di depan mata. Macam mana hari ini boleh pula aku terserempak dengan kelibat lelaki yang telah mendapat tempat di hatiku ini.
“Kenalkan, ini Iqbal. Iqbal, ini CEO baru kami, Encik Irfan Dato’ Abdul Baqi” aku memperkenalkan kedua-dua lelaki itu apabila menyedari pandangan ingin tahu Irfan. Pantas Irfan dan Iqbal berjabat tangan. Mereka berbalas senyuman mesra.
“So, buat apa dekat sini?” soal Irfan kepada ku lagi. Saat pandangan matanya terhala pada deretan album perkahwinan yang berselerak di atas meja, aku dapat mengesan perubahan pada wajahnya. Tiada lagi senyuman, sebaliknya riak wajahnya berubah serius.
“Err, tak buat apa. Cuma berbual kosong” jawab aku serba salah.
“Oh. By the way, nice to meet you, Iqbal. And congratulation.  I presume akan ada majlis perkahwinan dalam waktu terdekat ini?” ucap Irfan sambil kembali menyalami tangan Iqbal. Namun, pandangan matanya tajam menjeling ke arah aku. Sebuah pandangan yang aku sukar untuk mengerti.
“Eh, encik Irfan. Kebetulan pula kita berjumpa di sini” tiba-tiba Qurratu’ain menyapa, baru muncul dari bilik air.
“Saya baru nak masuk office. Kebetulan terserempak dengan Cik Nuha and her fiancée” Irfan membalas sapaan Qurratu’ain dengan melemparkan senyuman lemah. Suaranya jelas berbunyi kecewa di pendengaran aku.
“Fiancée? Saya tahulah, saya dan Nuha ini kawan baik. Tapi takkanlah sampai nak berkongsi tunang pula, encik Irfan” tingkah Qurratu’ain pelik. Aku memang terkejut dengan kata-kata yang keluar dari mulut Irfan. Mesti dia sudah salah sangka sewaktu dia melihat timbunan album kahwin ini. Adakah kerana menyangka aku yang bakal berkahwin, wajahnya berubah sedih dan kecewa? Jika benar, adakah bermakna aku masih mempunyai harapan? Dalam hatiku berbunga-bunga cinta. Wah, terkedik nya kau, Qaisara Nuha.
“Apa maksud you? Saya tak faham”
“Iqbal ini tunang saya, Encik Irfan. Bukan tunang Nuha. Nuha ini masih single and available” tukas Qurratu’ain. Aku menjegilkan mata kepadanya. Namun, kata-kata Qurratu’ain berjaya mengundang gelak Irfan. Apa yang kelakar pun aku tidak tahu.
Oh, I’m sorry. By the way, congratulation to both of you” balas Irfan tenang sambil mengukirkan senyuman lebar. Cepat betul angin lelaki ini berubah.
“Ok, saya masuk office dulu. Cik Nuha, datang ke bilik saya sekarang. We need to discuss something” pamit Irfan. Sempat lagi dia meninggalkan pesanan buat aku membuatkan aku tercengang.
“Sekarang?” tanya aku dalam nada suara berubah gentar. Kenapa lelaki ini nak jumpa dengan aku?
Yes, now!” tegas Irfan sambil dia melangkah ke arah lif.
“Kau pergilah, Nuha. Urusan aku dan Iqbal pun dah nak selesai ini. Good luck” sempat lagi Qurratu’ain menunjukkan ibu jarinya pada aku. Aku menjadi serba salah. Aku melihat Irfan sudah berada di dalam lif. Namun pintu lif itu dibiarkan terbuka. Lelaki itu menghalakan pandangannya pada aku. Eh, dia tunggu aku ke? Pantas, langkah ku lajukan.
Di dalam lif, kami hanya mendiamkan diri. Dalam hati, aku sudah cuak. Kekok berdua-duaan dengan Irfan. Aku menjadi gelisah apabila menyedari pandangan mata lelaki itu yang langsung tidak berganjak ke arah aku. Kenapa saat ini aku rasakan pergerakan lif ini sangat perlahan? Hai, Nuha. Bila Irfan tiada di depan mata, kau duduk merindu. Bila dah di depan mata begini, kenapa lidah kelu dan hati membisu?
“Janice, please hold any calls. Kalau ada panggilan penting, you ambil pesanan. I tak nak diganggu petang ini” arah Irfan kepada setiausahanya. Aku yang dari tadi membuntuti Irfan dari belakang hanya menundukkan wajah. Tidak berani menentang pandangan pelik Janice.
“Ok, Boss” turut Janice sepatah tanpa banyak soal.
“Duduk” arah Irfan pendek kepada ku apabila kami berdua sudah berada di dalam biliknya. Aku menuruti arahannya. Mata lelaki itu tunak memandang aku. Aku cuba memberanikan diri membalas pandangannya. Namun tidak lama, aku akhirnya tewas dan mengalih pandangan aku ke arah lain. Kesepian Irfan meletakkan aku dalam kegelisahan. Aku cuba beriak selamba walaupun nampak canggung. Aku cuba melemparkan senyum walaupun aku tidak tahu bagaimana rupa senyum ku saat itu.
“Err..ada apa encik Irfan nak jumpa saya?” aku perlu bersuara. Tidak betah berada dalam keadaan sunyi sepi itu. Namun, Irfan hanya membiarkan pertanyaan aku sepi di bawa angin yang lalu. Hanya matanya yang cerlung memandang aku berbicara.
“Kalau fasal duit itu, hujung bulan ini saya akan bayar. Encik jangan risau” tutur aku lagi cuba menebak perkara yang ingin dibincangkan oleh lelaki ini.
“Sudah terlambat. Sekarang saya nak menuntut janji saya” akhirnya Irfan memulakan bicaranya.
“Jumaat ini, mummy dan papa akan menyertai rombongan merisik awak untuk saya. Jangan awak pandai-pandai nak menolak pinangan saya pula” sambung Irfan dengan nada yang cukup tegas membuatkan aku terlopong. Aku terkejut tapi dalam waktu yang sama hati berbunga indah. Walaupun, kata-katanya seakan seperti memaksa tapi aku tetap suka!
“Tutup mulut tu, sayang” gelak nipis Irfan membuatkan aku cepat-cepat merapatkan bibir aku.
“Encik Irfan benar-benar serius ke?” terpacul soalan itu dari mulut ku.
“Ada nampak saya main-main ke? Kalau tak percaya awak tunggu hari Jumaat ini” dari tutur katanya yang serius itu aku tahu memang dia tidak main-main dengan hasratnya.
“Jumaat nanti kita bertunang dan seminggu selepas raya, majlis pernikahan kita” beritahu Irfan membuatkan aku membulatkan mata. Cepatnya. Sempat ke nak siapkan semuanya dalam masa sebulan ini? Aku tengok Qurratu’ain itu dah berbulan-bulan ke hulu ke hilir untuk mempersiapkan majlisnya. Terasa hendak pengsan saat itu juga. Dah nasib dapat bakal suami ala-ala diktator. Hendak tak hendak terpaksalah terima.


“Assalamualaikum, sayang” aku sudah cukup kenal dengan suara garau itu. Pantas senyuman bahagia terukir di wajah aku. Derap tapak kakinya perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik tidur ku mengundang getar di dada. Inilah pertama kali aku bakal berduaan dengan seorang lelaki bukan muhrim di kamar beradu ku sendiri.
 “Waalaikumsalam” salamnya ku jawab. Aku mendongakkan wajah memandang ke arah suami ku. Dia menghampiri aku yang sedang duduk di birai katil. Walaupun raut wajahnya kelihatan agak penat, namun pada pandangan mata sang isteri ini, lelaki di hadapan ku ini cukup segak dengan baju Melayu nya. Isteri? Ya, aku kini telah selamat menjadi isteri kepada Irfan Abdul Baqi. Semalam, dengan sekali lafaz kami telah selamat dinikahkan di Masjid Al-Hidayah, tempat yang menjadi saksi pertemuan pertama di antara dua hati. Hari ini pula berlangsungnya majlis kenduri kahwin di pihak aku.
“Penat juga kenduri kahwin, ya. Siang hari berpeluh-peluh dalam baju pengantin melayan tetamu. Malam hari, melayan isteri pula” bisik Irfan nakal sambil menggenggam jari jemari aku yang masih merah berinai. Aku tertunduk malu. Seram sejuk pula aku rasakan tatkala desah nafas Irfan begitu hampir dengan telinga ku.
“Terima kasih, sayang kerana sudi menjadi milik abang” ujar Irfan sambil membawa tangan ku ke bibirnya. Perlakuan romantisnya membuatkan bulu roma ku meremang. Sesungguhnya memang aku tak biasa dengan semua ini. Hilang sudah sikap diktator yang ditunjukkan Irfan kepada aku sebelum aku sah menjadi isterinya. Mana tidaknya, setiap keputusan tentang urusan perkahwinan kami hanya dia yang akan putuskan, tanpa merujuk kepada aku langsung! Daripada urusan kad kahwin, baju pengantin, pelamin, gambar, lauk pauk, cenderahati tetamu, semua dia yang tentukan. Sampaikan siapa yang akan memekapkan aku juga dia yang pilih. Memang cerewet! Tapi hendak buat macam mana. Hati dah sayang kan…
“Saya juga nak berterima kasih pada abang kerana memilih saya menjadi permaisuri di hati abang” tutur aku perlahan.
“Sama-sama kasih, sayang” Irfan menyentuh dagu ku dengan jari-jemarinya. Dia mendongakkan muka aku yang dari tadi hanya tertunduk malu. Malu tapi mahu!
“Sayang tahu tak, sayang dah curi hati abang ini sejak pertama kali abang tatap wajah sayang malam kemalangan itu. Sayang memang benar-benar cantik di mata abang. Dan bertambah kiut lagi bila sayang panggil abang, pakcik” dia mencuit hidung ku. Bicara Irfan itu berjaya membuatkan wajah aku berubah rona merah. Memang aku rasa malu setiap kali teringat kenangan aku tersilap memanggil Irfan sebagai pakcik. Kenangan indah yang pasti aku akan simpan untuk diceritakan pada anak cucu ku nanti. Wah, jauhnya aku sudah berangan!
“Tapi kenapa abang tergesa-gesa beredar?” dalam malu-malu itu sempat juga aku bertanya. Dah lama aku simpan rasa ingin tahu ini.
“Abang sengaja buat macam tu. Abang nak tengok sejauh mana kejujuran sayang. Bila sayang bersungguh-sungguh hubungi abang untuk bertanggungjawab membayar ganti rugi, abang semakin yakin dengan pilihan hati abang. Masa itu, rasa nak terus terbang balik ke Malaysia, jumpa dengan sayang” terang Irfan panjang lebar. Masih aku ingat waktu dia menghubungi aku dari Canada.
“Kenapa abang pilih saya? Sedangkan ramai lagi gadis-gadis cantik dan hebat yang boleh jadi pasangan abang” tanya aku sedikit merasa rendah diri.
“Cinta itu kan rahsia Allah. Dia yang menitipkan rasa cinta, kasih dan sayang di hati abang ini buat sayang. Bagi abang, kita tidak perlukan sebab untuk tulus mencintai seseorang. Sudah ditakdirkan sayang adalah jodoh abang. Dan, sayang tak perlu cantik buat pandangan mata orang lain. Cukuplah hanya abang sorang yang sedar tentang kecantikan sayang luar dan dalam. Abang ni kuat cemburu tau” ujar Irfan sambil mengucup dahi ku. Aku memejamkan mata, menghayati keindahan sentuhan itu.
“Abang ini ada perasaan cemburu juga ke? Bukan ke abang ni cold hearted man?” tanya aku mengusik. Irfan memang dianugerahkan dengan sikap tenang. Dan ketenangan yang sering ditunjukkannya itu membuatkan aku sering gagal menebak reaksinya.
“Hati beku bila depan orang lain. Kalau dengan isteri abang nak berhati beku juga, meranalah abang. Sayang tahu tak, masa abang nampak sayang berdua dengan Iqbal di lobby, waktu tu tak tahu abang nak gambarkan rasa cemburu dalam hati ini. Bila terpandang saja deretan album kahwin dekat atas meja, jantung abang ini rasa nak tercabut. Kecewa tahap menonggeng dah waktu itu” cerita Irfan. Tubuh aku sudah dibawa ke dalam dakapan. Dan aku senang dengan setiap tingkahnya itu.
“Saya perasan perubahan pada wajah abang. Masa itu saya jadi serba salah. Macam mana saya nak terangkan supaya abang tak serba salah. Mujurlah. ‘Ain muncul tepat pada masanya” luah aku sambil membalas pelukan suami ku.
“Jadi, jangan ingat abang ini tak ada perasaan ya” aku hanya tersenyum mendengar kata-kata Irfan. Sebenarnya aku langsung tidak kisah kerana cemburunya itu membuktikan yang dia menyayangi aku sungguh-sungguh.
“Saya tak kisah abang ada rasa cemburu. Tapi, jangan biarkan diri abang dikuasai cemburu. Kerana manusia yang menang adalah manusia yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa nafsunya” balas aku menasihati.
“Petahnya isteri abang ini berkata. Makin buat abang kagum. Tak sia-sia abang paksa mummy dan papa cepat-cepat pinang sayang” Irfan menghadiahkan aku sebuah senyuman yang cukup menawan. Bikin hati ini makin cair. Nasib baik dah sah jadi suami aku.
“Kadang-kadang saya rasa kisah kita ini macam kisah dongeng. Macam mimpi. Jumpa sekejap dan terus kahwin. Abang ibaratkan seorang putera raja tampan yang hidup mewah di istana. Sedangkan saya hanyalah gadis biasa yang tak punya apa-apa. Yang saya ada cuma sekeping hati yang suci“ luah ku sambil membalas senyumannya.
“Sebenarnya, kisah cinta kita lebih indah dari kisah dongeng. Kerana cinta kita adalah simpulan ikatan kasih yang diamanahkan Ilahi. Sesungguhnya, cinta abang pada sayang adalah untuk mendapatkan keredaan dari-Nya. I love you so much, sayang” intonasi suara Irfan berubah romantis membuatkan aku terpegun dengan kata-katanya. Dia memperkemaskan pelukannya. Aku juga dapat mendengar degupan jantung Irfan yang berdetak kencang. Kemudian, dia mengucup lembut ubun-ubun aku. Tindakan Irfan yang semakin berani mencumbui segenap wajah aku mengundang debar di hatiku. Saat itu, aku rasakan wajah ku sudah tiada warna. Layanan Irfan itu benar-benar membuatkan aku terbuai dalam kasih sayangnya. Namun, dalam keasyikan itu, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
“Abang dah solat?” tanya aku mengingatkan.
“Sudah. Berjemaah dengan ayah tadi” balasnya sambil merebahkan tubuh aku ke katil.
 “Tapi abang belum mandi lagi kan?” soal ku lagi. Irfan kembali mengangkatkan wajahnya sambil melemparkan senyuman nakal.
“Tak payah mandilah, sayang. Petang tadi abang dah mandi. Lagipun dah jauh malam. Besok sajalah abang mandi. Sekali dengan mandi wajib” jawapan Irfan benar-benar membuatkan aku terkedu. Memang tak senonoh betul laki aku ini. Tapi nak buat macam mana. Dah jadi suami aku pun. Tangannya sudah melingkar kemas di pinggang ku. Dia mengucup bibir aku lembut. Akhirnya, aku hanya merelakan setiap perlakuan Irfan. Malam itu, kami melayari bahtera indah sebagai suami isteri dengan ikatan yang sah dan halal.
Akhirnya, aku telah mempunyai kisah cinta aku sendiri. Sebuah kisah yang bagi aku lebih indah dari dongeng. Siapa sangka, bermula dengan musibah kecil telah menemukan aku dengan teman hidup aku. Kehadiran seorang suami yang telah melengkapi dan menutupi segala kekurangan diri ini. Benarlah semua yang berlaku pasti ada hikmah dan sebab musababnya. Dan yang paling tidak pernah aku duga, akhirnya duit gaji aku yang tertunggak selama dua bulan telah selamat aku gunakan untuk belanja kenduri di majlis perkahwinan ku sendiri! Irfan sememangnya memang tidak pernah berniat untuk menuntut sebarang pampasan akibat kerosakan keretanya. Lagipun aku ini dah jadi bini dia kan, kira halal sajalah. Kesusahan sedikit yang diuji oleh-Nya ternyata membawa seribu kebahagiaan dalam hidup ku. Dan pasti kebahagiaan dan kesenangan yang aku nikmati ini juga adalah bentuk ujian yang didatangkan oleh-Nya untuk menilai sejauh mana kesyukuran kita kepada-Nya.