ARIANNA
memandang kosong bangunan pencakar langit yang tersergam indah di depan mata. Bangunan
yang suatu ketika dulu pernah diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia. Kesepian
telah membawa langkah kakinya sehingga ke KLCC. Di sinilah dia menghabiskan
waktu senggangnya sehari-hari. Di sinilah tertinggal sebuah kenangan. Kenangan
yang membuatkan dia terus hidup sehingga kini.
Langkah diatur
memasuki gedung buku Kinokuniya. Satu-satunya tempat yang mampu membuatkan dia
hilang dalam dunia indah ciptaannya sendiri. Buku adalah dunianya. Buku jugalah
yang telah mengajarnya banyak perkara. Dan kerana buku jugalah dia mengenal
erti cinta.
“Kak Anna, lambat
hari ini?” sapa Mira yang merupakan salah seorang pembantu kedai di situ.
Arianna
menggariskan senyum di bibir. Kekerapannya mengunjungi kedai buku itu
membuatkan hampir kesemua pekerja di situ mengenalinya.
“Ada hal sikit
pagi tadi,” balas Arianna seraya mampir ke arah Mira yang sedang lincah
menyusun timbunan buku di atas rak.
“Mira, novel
yang akak tempah minggu lepas dah ada belum?” soal Arianna kemudiannya.
“Emmm…novel yang
mana satu?” Dahi Mira sedikit berkerut. Dia cuba mengingat.
“Aku Memilih Setia. Novel terbaru Luna
Jiwa tu,” terang Arianna. Wajah Mira dipandang dengan penuh berharap.
“Oh..novel tu.
Belum masuk kedai lagilah, kak.” Mira menggelengkan kepala.
“Hai..terpaksa
tunggu lagilah,” keluh Arianna. Wajahnya beriak hampa.
“Hmmm..nampaknya
macam tulah. Kak Anna ni peminat setia Luna Jiwa ya?” Ramah Mira bertanya.
“Minat. One of my favourite author,” akui
Arianna.
“Patutlah Mira tengok
akak selalu kelek novel Luna Jiwa. Best
sangat ke novel Luna Jiwa ni kak?” tanya Mira tulus.
“Kalau tanya
akak memanglah best jawapannya. Tapi kalau Mira ni jenis yang tak suka
baca kisah yang berat, I don’t think you will
like Luna Jiwa’s artwork.” Arianna ukir senyum nipis.
“Mira ada
dengar juga ramai yang komen novel Luna Jiwa ni banyak bermain dengan emosi.
Memang bukan taste Mira lah sebab
Mira lebih suka novel yang santai-santai. Mira membaca untuk hilangkan stres.
Novel berat ni makin stres adalah,” omel Mira ramah.
“Hmmm....
Selera masing-masing kan berbeza. Novel Luna Jiwa ni walaupun berat tapi sangat
terkesan di jiwa akak. Bila baca karya Luna Jiwa, akak rasa dekat sangat dengan
diri sendiri. Macam nampak bayang-bayang sendiri dalam setiap cerita dia.
Kata-kata yang dia cuba nak sampaikan banyak buat akak berfikir. Banyak ilmu
yang akak boleh kutip. Dia tak menulis kisah cinta yang kosong. Kadang-kadang
akak rasa kerana novel-novel Luna Jiwa inilah akak masih ada di sini,
meneruskan hidup dengan sisa semangat yang tinggal,” luah Arianna sepenuh hati.
Bila berbicara tentang karya-karya Luna Jiwa, rasa terujanya menjadi luar
biasa.
“Wah…memang
peminat tegar Luna Jiwa lah, Kak Anna ni. Mira tak nafikan dia seorang penulis
yang hebat. Mira rasa suatu hari nanti nama dia boleh berdiri sebaris dengan penulis-penulis
lelaki terkenal tanah air macam Ramlee Awang Murshid dan Faisal Tehrani.” Kata-kata
Mira membuatkan Arianna mengerutkan dahinya.
“Oh..Luna Jiwa
tu lelaki rupanya?”
Mira mengangguk
laju. “Akak tak tahu ke?”
“Tak.” Arianna geleng
kepala.
Sebenarnya tak
banyak pun yang dia tahu tentang latar belakang Luna Jiwa. Mungkin penulis itu
lebih senang untuk tidak dikenali. Dan dia pun tak adalah kisah mana. Baginya
dia hanya meminati karya penulis berbakat itu. Jadi cukuplah kalau dia sekadar mengambil
tahu tentang karya-karya penulis itu saja.
“Mira sebenarnya
tak pelik pun kalau akak tak tahu. Luna Jiwa tu agak misteri sikit. Dia tak nak
reveal diri dia siapa. So, sampai sekarang tak ada siapa yang
tahu siapa Luna Jiwa ni melainkan pihak publisher,”
celoteh Mira.
“Hmmm..mungkin
dia nak jaga privasi,” komen Arianna ringkas. Kalau dia di tempat Luna Jiwa pun
dia pasti melakukan perkara yang sama. Privasi adalah nilai yang terlalu mahal
untuk diperdagangkan.
“Errr…Kak Anna,
kalau Mira bagi tahu akak satu rahsia ni, akak nak dengar tak?” Tiba-tiba intonasi
suara Mira berubah perlahan. Matanya meliar ke kiri dan kanan sebelum
mendekatkan sedikit tubuhnya pada Arianna.
“Rahsia apa?”
Arianna angkat kening.
“Sebenarnya,
Mira pernah terserempak beberapa kali dengan Luna Jiwa ni. Dia pernah datang ke
sini untuk urusan buku dia dengan boss,” bisik Mira.
“Ooohh..ye ke?”
soal Arianna turut memperlahankan suaranya.
“Iya.
Kebetulan, Kak. Itu pun Mira tahu lelaki tu adalah Luna Jiwa bila tak sengaja
terdengar perbualan dia dengan bos Mira tu. Muda lagi orangnya. Handsome pula tu.” Bersungguh Mira
bercerita. Ada gelak nakal yang tersisip di hujung kata-katanya.
Arianna menyembunyikan
senyum. Hatinya tercuit lucu melihatkan telatah Mira. Keramahan gadis yang
keletah itu sedikit menghiburkan hatinya yang galau.
“Pssttt…nanti Mira
cuba korek lagi maklumat pasal Luna Jiwa ni,” sambung Mira. Dengan sukarela dia
menawarkan diri.
“Tak payah
susah-susah, Mira. Akak ni cuma minat novel dia je.” Arianna ketawa kecil.
“Mana ada
susahnya. Lagipun Mira suka buat edisi siasat ni.” Mira mengenyitkan matanya.
“Macam-macamlah
awak ni, Mira. Dah..akak nak ke sana dulu,” pamit Arianna seraya mengangkat
jari telunjuknya ke arah ruang yang biasa menjadi tempatnya melepak. Kalau
dilayan Mira ini, entah sampai besok pun belum tentu habis.
“Kali ini novel
Luna Jiwa yang mana pula jadi pilihan akak?” soal Mira.
“Sepi Sebuah
Rindu,” ujar Arianna seraya menayangkan novel yang berada di tangannya.
“Melankolik
nya…” Mira buat muka.
Arianna hanya
melemparkan senyum.
“Kalau novel
baru Luna Jiwa dah sampai, tolong simpan satu copy untuk akak, ya,” pesan Arianna. Sudah lama sebenarnya dia menantikan
kemunculan novel terbaru daripada Luna Jiwa. Seingatnya hampir setahun juga penulis
itu sepi tanpa sebarang karya.
“No problem. Mira rasa dalam minggu depan
mesti novel tu dah masuk bookstore,”
balas Mira sambil mencantumkan ibu jari dengan jari telunjuknya sebagai isyarat
‘OK’.
“Mudah-mudahan.
Akak dah tak sabar nak peluk ni,” tutur Arianna penuh harapan.
“Kalau peluk
novel okey, kak. Jangan tak sabar nak peluk Luna Jiwa sudahlah.” Mira mengusik.
“Hishh..peluk
Luna Jiwa buat apa.” Kata-kata Arianna disambut dengan gelak nakal Mira.
“Manalah tahu…”
Suara Mira meleret.
Arianna senyum
nipis. Ada-ada saja Mira ini. Keceriaan yang ditunjukkan gadis genit ini
sedikit sebanyak menghiburkan hatinya.
“Akak pergi
dulu.” Sekali lagi Arianna meminta diri.
Langkahnya
diatur ke ruang belakang. Di bahagian yang sedikit tersorok itulah menjadi
tempat kegemarannya untuk menghabiskan masa dengan membaca karya Luna Jiwa.
Satu-satunya penulis yang berjaya membuatnya tenggelam dalam dunianya sendiri.
“Happy reading, Kak,” laung Mira kuat. Matanya
menyoroti kelibat Arianna sehingga hilang dari pandangan. Mengenali Arianna
lebih tiga bulan yang lalu membuatkannya faham dengan kebiasaan wanita muda
itu. Dia tidak pelik kalau Arianna boleh menghabiskan masa berjam-jam semata-mata
membaca buku yang sama berulang kali. Terutamanya karya nukilan istimewa Luna
Jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan jejak anda..