Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 29 EV

Berhati-hati ‘Aisy memarkir kereta Proton Gen2 milik Sofia di anjung rumah sewanya. Selesai menghadiri kuliah lewat petang tadi, Sofia memintanya memandu pulang keretanya ke rumah.
Tanpa dirancang, Sofia dijemput makan malam bersama dengan keluarga Harris, lelaki yang telah sah menjadi tunangannya. Oleh kerana senja sudah hampir menjengah tiba, Harris bersetuju untuk menjemput Sofia di universiti sahaja. Lebih mudah dan menjimatkan masa kerana kebetulan jarak rumah keluarga Harris lebih dekat dengan universiti berbanding rumah sewa mereka.
Setelah memastikan kereta berwarna ungu itu diparkir elok, ‘Aisy menapak keluar sambil menggalas beg sandang yang sarat dengan nota kuliah. Dia menekan alarm untuk mengunci kereta. Kemudian, dia segera melangkah ke arah pintu pagar untuk menutupnya. Dalam suram dan remang-remang senja itu, dia melilau pandang ke sekeliling kawasan perumahan. Entah kenapa hari itu, dia merasa tidak sedap hati. Terasa seperti ada mata-mata yang sedang memerhatikannya. Sebelum bulu roma nya naik meremang, dia cepat-cepat mengayunkan kaki masuk ke dalam rumah.
Sebaik menjengah ke ruang tamu, dia segera menekan semua suis lampu. Sekelip mata, segenap ruang tamu cerah diterangi cahaya neon.
“Astagfirullahalazim..” ‘Aisy tersentak dan mengucap panjang tatkala telinganya disapa dengan bunyi deringan telefon bimbit. Dia mengurut dada yang sudah mula kehilangan tempo. Terpapar nama Sofia di skrin telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum, Sofia.” Salam dihulur dan kedengaran Sofia menjawab salamnya di hujung talian. Beg sandangnya yang berwarna biru gelap diletakkan di atas meja kabinet.
“Kau dah sampai rumah?” Tanya Sofia ingin tahu.
“Dah. Baru saja sampai ini.” Balas ‘Aisy. Dia melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu. Tubuhnya disandarkan pada belakang sofa, mencari keselesaan setelah seharian berpenat lelah menghadiri kuliah.
“Aku nak beritahu kau ini. Mungkin aku tak balik rumah malam ini.”
Perkhabaran yang disampaikan Sofia membuatkan ‘Aisy terkedu. Kalau Sofia tidak balik bermakna dia terpaksa tidur di rumah seorang diri. Sudahlah rumah sewa itu hanya dihuni oleh mereka berdua sahaja. Kerana mahukan privasi Sofia enggan berkongsi sewa dengan pelajar lain biarpun rumah itu masih berbaki dua bilik kosong yang tidak berpenghuni. Disebabkan itu Sofia sanggup menanggung sendiri sejumlah besar sewa rumah. Anak orang berada seperti Sofia mampu mendapatkan apa sahaja. Kalau hendak harapkan dia, dengan duit biasiswa yang sekadar cukup itu mana mampu untuk menyewa rumah teres sederhana besar yang telah siap dilengkapi dengan perabot itu.
“’Aisy, are you there? Kau dengar tak apa aku cakap ini?” Sayup suara Sofia menyedarkan ‘Aisy yang sedang termangu-mangu.
“Aku dengar.” Perlahan ‘Aisy membalas.
“Tak apa kan kalau kau tidur sorang malam ini?” Tanya Sofia seolah-olah dapat mengesan kerisauan temannya itu. Terbit juga rasa bersalah hendak membiarkan ‘Aisy seorang diri di rumah kerana dia tahu temannya itu memang terkenal dengan sikap penakut. Tetapi hati keluarga bakal mertuanya juga perlu dijaga.
“Tak apa…” Leret jawapan ‘Aisy membuatkan Sofia tergelak kecil. Dia tahu ‘Aisy sedang menyembunyikan keresahan biarpun ternyata nada suara gadis itu jelas menggambarkan sebaliknya. Berkawan baik sejak mereka belajar di sekolah berasrama penuh lagi membuatkannya cukup mengenali ‘Aisy.
Sorry ya, ‘Aisy. Aku tak ada pilihan. Mama Harris beria-ria ajak aku tidur di sini. Tak sedaplah kalau aku tolak pelawaan bakal mak mertua aku tu.” Beritahu Sofia serba salah.
No worry. Aku tak apa-apa. Aku bukannya budak kecil nak kena tidur berteman. Lagipun, mati nanti pun seorang diri juga dalam kubur.” Tingkah ‘Aisy cuba menutup keresahan di hati. Menuturkan kata-kata yang lebih ditujukan kepada dirinya sendiri.
“Betul ini?” Soal Sofia menduga.
“Betullah. Apa yang tak betulnya.” Sehabis daya dia cuba meyakinkan Sofia. Dia memahami keadaan Sofia. Tidak wajar jika dia mementingkan diri sendiri semata-mata melayan rasa takutnya.
“Itulah kau. Tadi aku ajak kau join sekali, kau tak nak.” Tempelak Sofia membuatkan ‘Aisy tersengih.
“Aku bukannya apa, Sofia. Seganlah nak pergi ke rumah mewah bakal mertua kau tu.” Ujar ‘Aisy merendah diri. Terasa dirinya tidak cukup layak untuk menjejakkan kaki ke mahligai indah milik Tan Sri Hakim dan Puan Sri Nora itu.
“Mengada-ngada lah kau ini. Bukannya kau tak biasa datang ke sini. Nak segan buat apa.” Sela Sofia.
‘Aisy hanya tersenyum pahit. Memanglah dia pernah beberapa kali bertandang ke rumah agam itu. Namun, entah kenapa dia dapat merasakan kehadirannya tidak begitu disenangi bakal mertua Sofia. Hanya Hajah Mariah iaitu nenek Harris yang melayannya dengan mesra. Harris? Anehnya dia memang tidak pernah bertemu dengan Harris. Kesibukan lelaki itu yang sering berulang-alik ke luar negara membataskan masanya untuk berada di rumah. Dia hanya mengenali lelaki itu melalui gambar yang ditunjukkan Sofia saja.
“Nenek pun sejak aku sampai tadi tak sudah-sudah bertanyakan kau. Khabar aku yang di depan mata dia ini langsung tak peduli.” Rungut Sofia sambil mengeluh kecil.
“Perasaan kau je tu. Dah kau memang depan mata dia, segar bugar nak tanya buat apa.” Nafi ‘Aisy tidak mahu temannya itu berkecil hati.
“Kadang-kadang aku rasa nenek macam tak suka aku saja. Cakap dengan aku pun macam nak tak nak saja melayan. Aku tanya sepatah, dia jawab sepatah. Aku tanya berpatah-patah, dia jawab sepatah juga. Sama saja dengan Harris, cucu kesayangan dia tu. Tapi, yang aku peliknya, nenek tu bila dengan kau ramah bukan main. Entah-entah nenek tu tak suka aku bertunang dengan Harris.”
‘Aisy hanya mampu tersenyum kecil mendengar omelan Sofia. Dia juga perasan dengan layanan Hajah Mariah itu. Entah kenapa hubungan Sofia dan Hajah Mariah kurang mesra. Mungkin kerana perwatakan Sofia yang gemar berpakaian menjolok mata itu mengundang rasa tidak senang di hati Hajah Mariah. Maklumlah orang tua lebih menjunjung tinggi adat ketimuran yang penuh dengan kesopanan.
“Pandai lah kau buat cerita.” Sangkal ‘Aisy cuba memadam dakwaan Sofia. Dia tidak mahu Sofia menebak perkara yang bukan-bukan.
“Eh, okay lah. Mama Harris dah panggil aku tu. Sebelum tidur kau jangan lupa, pastikan semua pintu dan tingkap berkunci. Pintu pagar sekali. Okay, bye.” Pesan Sofia prihatin seraya tergesa-gesa dia mematikan talian telefon.
Bye.” ‘Aisy mengukirkan senyum. Cukup senang dengan sikap mengambil berat yang ditunjukkan Sofia.
Bagi yang tidak mengenali Sofia, ramai yang akan melabelkan gadis cantik itu sebagai sombong dan manja. Malah, ramai kawan yang menjauhkan diri daripada Sofia dek tidak tahan dengan perangai keras kepala gadis itu. Perwatakannya sebagai anak manja yang mudah mendapatkan apa sahaja yang diidamkan kadang-kadang menjadikan Sofia seorang yang mementingkan diri sendiri. Tidak gemar berkongsi.
Namun, bagi ‘Aisy, Sofia mempunyai sisi kebaikannya yang tersendiri. Dalam sikapnya yang perengus, gadis itu boleh berubah menjadi seorang kawan yang cukup mengambil berat dan penyayang. Dari segi duit, gadis itu memang tidak pernah lokek dan berkira dengannya. Setiap kali dia kekurangan duit kerana biasiswa yang lambat masuk, pasti Sofia tidak teragak-agak menghulurkan bantuan walaupun dia tidak pernah meminta. Jauh sekali untuk merungut di hadapan temannya itu. Banyak budi yang telah ditaburkan Sofia kepadanya. Disebabkan kebaikan itulah membuatkan dia kekal bertahan berkawan dengan gadis itu.
‘Aisy melurut tangannya lurus ke depan, membetulkan urat-urat yang dirasakan berselirat. Keadaan luar yang gelap gelita menandakan waktu Maghrib telah lama masuk. Dia segera bangkit, sedar yang dia perlu menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta. Langkah yang sedikit longlai disusun ke kamar beradu. Badan yang melekit-lekit perlu segera dibersihkan dan disegarkan sebelum mengadap Tuhan.
Selesai menunaikan solat dan mengaji kitab suci Al-Quran, perutnya mula berkeriuk minta diisi. Bermakna dia harus ke dapur dan memasak. Jika diturutkan rasa gentar, dia lebih rela memerapkan diri di bawah selimut di atas katilnya. Namun, dengan perut yang kosong pasti sukar untuk dia memejamkan matanya.
Dengan keberanian yang masih tersisa, ‘Aisy melangkah ke dapur. Rasa takut yang menjentik tangkai hatinya ditepis dengan bacaan zikir. Dia berura-ura untuk menggoreng baki nasi yang ditanak pagi tadi. Nasi goreng ringkas dicampur dengan telur hancur sudah memadai untuk mengisi perut kosongnya.
Di ruang dapur, ‘Aisy segera mengeluarkan bahan masakan. Bawang putih dan bawang merah dibuang kulitnya dan dimayang halus. Nasi sejuk di dalam periuk dileraikan. Kemudian, dia mengambil kuali dan diletakkan di atas dapur gas. Belum sempat dia menghidupkan api, tiba-tiba pinggangnya dipaut kasar dari belakang. Spontan dia menjerit kuat kerana terlalu terkejut. Serentak itu mulutnya ditekupkan dengan telapak tangan besar seorang lelaki yang sedang berdiri di belakangnya.
“Diam dan jangan bergerak!” Suara seorang lelaki yang cukup asing menyapa gegendang telinga ‘Aisy. Desah nafas di cuping telinga gadis itu mengundang debar yang maha hebat di dada. Dia menganggukkan kepalanya tanda bersedia memberi kerjasama untuk tidak menjerit. Lelaki itu kemudian mengalihkan tangannya.
“Apa..apa..apa awak nak?” Soal ‘Aisy dalam nada bergetar. Dia ingin meronta untuk melepaskan diri, namun pergerakannya dihalang oleh pisau tajam yang sedang mencengkam lehernya. Pisau itu berjaya memegunkan dirinya. Keadaan itu membuatkan dia langsung tidak dapat melihat wajah lelaki yang sedang menyerangnya itu.
“Kau tak perlu tahu.” Balas lelaki itu keras.
“Kau tunggu apa lagi, Jib? Cepat ikat dia. Kita tak banyak masa ni.” Arah lelaki itu. Melalui ekor matanya, ‘Aisy perasan dengan kelibat seorang lagi lelaki berbaju dan berseluar hitam. Tangannya dibawa ke belakang dengan rakus dan diikat dengan tali oleh lelaki yang dipanggil Jib itu.
“Apa yang awak semua nak buat dengan saya ini? Tolonglah jangan apa-apakan saya.” Dalam takut-takut, ‘Aisy merayu. Hatinya dapat meneka sesuatu yang buruk bakal menimpanya.
“Awak ambil lah apa pun yang ada dalam rumah ini, tapi tolong jangan apa-apakan saya.” ‘Aisy terus merayu dan merintih.
“Diam kalau kau nak hidup lama!” Lelaki pertama yang menghunuskan pisau di lehernya memberi amaran. Jiwanya semakin dicengkam ketakutan. Di dalam hati tidak putus dia memanjatkan doa supaya ALLAH memelihara keselamatan dan maruah dirinya. Bacaan surah yang dihafal meniti di bibirnya. Hanya itulah perisai yang dia ada saat itu.
Tanpa membuang masa, lelaki yang bernama Jib itu terus mengikat mulut ‘Aisy dengan sehelai sapu tangan. Kepala gadis itu diserkup dengan serkap kain berwarna hitam langsung menggelapkan pandangan matanya.
Kemudian, ‘Aisy merasakan tubuhnya diangkat tinggi dan diletakkan di atas bahu. Dalam keadaan tangan yang terikat itu, dia menggunakan kakinya untuk meronta-ronta, namun apalah sangat daya dan kudratnya sebagai seorang perempuan.
“Cepat masuk!” Sergah satu suara lain. Suara itu seakan biasa didengarinya. Namun dia gagal menebak. Bermakna ada tiga orang lelaki yang sedang berkomplot menculiknya. Tubuhnya kemudian dihumbankan ke dalam kereta.
“Masuk ke dalam.” Arah lelaki pertama membuatkan dirinya mengengsot ke dalam kereta. Tidak lagi berani untuk melawan kerana saat itu dirasakan dirinya sudah sepenuhnya ditawan.
Telinganya jelas menangkap bunyi pintu kereta ditutup dan tidak lama selepas itu kereta itu menderu laju menuju destinasi yang dia tidak pasti. ‘Aisy hanya mampu diam tidak berkutik.
“Kus semangat, boleh tahan berat juga buah hati kau ini. Sakit bahu aku pikul perempuan ini.” Rungut lelaki pertama memecah kesunyian.
Mendengarkan kata-kata itu membuatkan benak ‘Aisy diserang tanda tanya. Buah hati? Seingatnya, dia tidak pernah menjadi kekasih sesiapa pun. Dan dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa pun. Kenapa mereka bertiga menculiknya?
“Kau nak buat apa dengan buah hati kau ini?” Soal lelaki kedua pula.
“Aku akan pastikan malam ini dia jadi milik aku yang mutlak! Selepas ini, dia tak akan berani mempermainkan aku lagi.” Balas lelaki yang ketiga membuatkan ‘Aisy terpempan. Ugutan yang meniti di bibir lelaki itu benar-benar membuatkan dia menjadi tidak keruan. Peluh di dahi menitik laju. Air matanya sudah bertakung menunggu masa untuk gugur. Apalah dosa yang telah dilakukannya pada lelaki itu sehingga berdendam dengannya? Siapa ketiga-tiga lelaki ini? Bertubi-tubi benaknya diterjah dengan persoalan.
‘Aisy tahu dia perlu melarikan diri. Dia tidak bersalah dan dia tidak mahu menjadi mangsa kerakusan lelaki yang tidak berperikemanusiaan. Dalam diam, dia cuba merungkaikan tali yang mengikat tangannya. Dia dapat rasakan ikatan tali yang melilit di pergelangan tangannya tidak begitu kemas. Mungkin kerana lelaki kedua tadi agak tergesa-gesa menyudahkan ikatan.
“Lepas kau dah makan dia, jangan lupa pass dekat kita orang pula. Hahahaha…” Ujar lelaki kedua dan disambut dengan tawa kuat lelaki pertama. 
“Aku tak suka berkongsi dengan lelaki lain. Perempuan yang jadi milik aku akan kekal menjadi milik aku seorang. Hanya aku yang layak memilikinya.” Balas lelaki ketiga dengan nada suara yang cukup tegang. Entah kenapa kata-kata lelaki itu benar-benar membuatkan hati ‘Aisy membisikkan satu nama. Dan suara itu seakan membenarkan tebakan nya.
‘Aisy semakin menggandakan usaha untuk meleraikan ikatan di pergelangan tangannya. Rasa pedih tangan yang melecet akibat bergesel dengan tali guni itu tidak dihiraukan. Semangatnya terus membara untuk meloloskan diri. Sedikit lagi dia yakin ikatan itu mampu dibuka.
“Takkan nak makan sorang saja kot. Aku nak juga merasa anak ayam gebu ni.” Suara lelaki pertama pula dengan tawa yang masih kuat. ‘Aisy segera mengengsotkan tubuhnya apabila dia merasakan ada tangan yang mula menjalar di paha kirinya. Mujurlah malam itu, hatinya terdetik untuk mengenakan tracksuit dan t-shirt. Dia tidak dapat membayangkan nasibnya jika dia hanya memakai baju kain kaftan. Pasti mudah lelaki di sebelahnya itu mengambil kesempatan.
“Kau jangan nak melebih-lebih, Shah. Aku tak suka. Tak cukup ke upah yang aku dah beri dekat kau orang berdua?” Tengking lelaki ketiga membuatkan suasana menjadi sunyi. Dua orang lelaki yang beria bergelak ketawa tadi senyap tidak membalas. Jadi, lelaki ketiga ini adalah dalang yang mengetuai penculikannya?
“Rilekslah, bro. Takkan itu pun kau nak angin. Kami bergurau je.” Akhirnya lelaki yang dipanggil Jib itu bersuara. Suasana kembali menjadi sepi.
Tali yang mengikat pergelangan tangan ‘Aisy berjaya dirungkaikannya. Dalam debar, dia menunggu detik waktu yang sesuai untuk meloloskan diri. Dia sudah tidak peduli andai terpaksa membahayakan dirinya dengan tindakannya nanti. Dia lebih rela mati daripada membiarkan maruahnya tercalar.
‘Aisy merasakan peluangnya sampai sebaik sahaja kereta itu berhenti tanpa mematikan enjin.
“Apa hal jammed pula ni? Ada road block ke?” Soal lelaki yang bernama Jib dalam nada risau.
“Kau tak nampak dekat depan tu lampu isyarat warna merah, ngok!” Balas seorang lagi lelaki.
‘Aisy tidak mahu menunggu lebih lama. Berhenti di lampu isyarat dengan kereta yang penuh sesak pasti mencerahkan peluangnya untuk melepaskan diri. Dengan mata yang tertutup, perlahan-lahan tangan kanannya meraba pembuka pintu kereta. Setelah yakin menemui apa yang dicarinya, dengan tangkas dia segera menarik picu pembuka kereta. Pintu ditolak kuat sehabis tenaga dan dia meloloskan dirinya keluar. Sarung yang menutup kepalanya dibuka. Dia melarikan diri sepantas mungkin tanpa arah tujuan.
“Weh, Daniel, perempuan tu dah lepaskan diri!” Jerit salah seorang lelaki di dalam kereta itu.
“Tak guna! Cepat, kejar dia!” Arah satu suara lagi dengan lantang.
‘Aisy semakin melajukan lariannya apabila menyedari yang dirinya sedang diburu. Dia perlu mendapatkan pertolongan. Tanpa berfikir panjang, dia berhenti pada sebuah kereta yang betul-betul berada berhampirannya. Tingkap gelap kereta Porsche Cayenne itu diketuk berulang kali. Lelaki yang mengejarnya semakin menghampiri dan dia tahu dia tidak mempunyai banyak masa. Degup jantungnya semakin pantas.
“Masuk cepat.” Pintu kereta Porsche itu dibuka dari dalam. Tanpa menunggu walau sesaat, pantas dia masuk ke dalam kereta mewah itu.
Lock kereta cepat.” Pinta ‘Aisy dengan nada suara yang sangat cemas. Serentak pintu kereta itu dikunci secara automatik. Saat itu, tiada apa yang ada di dalam fikirannya melainkan dia perlu menyelamatkan diri daripada lelaki yang mengejarnya. Air mata merembes laju membasahi pipinya. Dadanya berombak kencang. Bibirnya bergetar hebat menahan ketakutan.
Lelaki yang mengejar ‘Aisy memberhentikan lariannya setelah menyedari gadis itu berjaya menyelinap masuk ke dalam sebuah kereta Porsche.
Kereta Porsche yang dinaikinya mula bergerak perlahan apabila lampu isyarat bertukar hijau. Sebaik kereta yang dinaikinya melepasi kereta kancil yang membawanya bersama dengan tiga penculik tadi, matanya jelas menangkap kelibat pemandu kereta itu. Apatah lagi, telinganya masih sempat menangkap nama yang dilaungkan oleh salah seorang penculik itu tadi sebaik menyedari dia berjaya melepaskan diri. Memang benar tekaannya. Lelaki ketiga yang menjadi dalang penculikannya adalah Daniel Haiqal!
“Cik tak apa-apa?” Pertanyaan lelaki yang sedang berada di kerusi pemandu itu dibiarkan tidak berbalas.
“Cik tak apa-apa?” Ulang lelaki itu sekali lagi. Kali ini bahu ‘Aisy disentuh perlahan membuatkan gadis itu tersentak. Dalam ketakutan yang masih menebal, dia segera menjarakkan diri menjauhi lelaki itu. Matanya memerhatikan setiap pergerakan lelaki itu dengan penuh waspada.
“Maaf.” Pinta lelaki itu dengan sopan. Mungkin menyedari keadaan ‘Aisy yang masih trauma, lelaki itu akhirnya mendiamkan diri. Keretanya terus dipandu dengan kelajuan sederhana menyusuri jalan raya.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Terpacul soalan itu dari bibir pucat ‘Aisy. Setelah hampir setengah jam melayan perasaan, barulah dia mampu bersuara. Barulah dia menyedari yang kini dia berada di dalam sebuah kereta mewah bersama dengan seorang lelaki asing. Menyedari hakikat itu, rasa ketakutan yang mula mereda kembali menggila.
“Awak nak buat apa dengan saya? Tolong…tolong jangan apa-apakan saya!” Rayu ‘Aisy separuh menjerit. Dalam kekalutan itu, dia cuba membuka pintu namun gagal. Kecanggihan kereta itu membuatkan dia tidak menemui jalan keluar.
“Cik, bertenang. Saya takkan apa-apakan cik” Ujar lelaki itu dengan nada suara yang lembut. Keretanya sudah diberhentikan di bahu jalan.
“Awak nak bawa saya ke mana?” Tanya ‘Aisy. Melihatkan seraut wajah tenang yang dimiliki oleh lelaki yang berada di sebelahnya itu mengundang sedikit kelegaan di hatinya.
“Saya pun tak tahu. Sudah tiga kali saya pusing tempat yang sama. Sepatutnya saya yang tanya cik…” Suaranya terhenti sambil menguntumkan sebuah senyuman mesra, menampakkan kedua belah lesung pipit nya yang dalam. Senyuman itu membuatkan ‘Aisy yakin dengan kebaikan yang ditunjukkan lelaki itu.
“‘Aisy… Nama saya Rahadatul ‘Aisy Hilmi. Panggil saja ‘Aisy.” Beritahu gadis itu memperkenalkan diri.
“Rayyan Smith. Just call me Rayyan.” Lelaki itu turut memperkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya. Namun, dia segera menjatuhkan tangannya apabila huluran salamnya tidak bersambut.
“Boleh saya tahu apa yang berlaku tadi? Maaf, saya bukannya hendak menyibuk. Tapi memandangkan awak dah menjadikan kereta saya ini tempat persembunyian awak, jadi saya rasa saya berhak tahu.” Terang Rayyan panjang lebar membuatkan ‘Aisy merasa lucu. Tersungging senyuman nipis di bibirnya.
“Saya diculik!” Kata-kata ‘Aisy itu berjaya membuatkan raut wajah tampan Rayyan terkesima. Akhirnya, satu persatu peristiwa yang menimpanya diceritakan kepada lelaki itu.
I think you should file a police report.” Cadang Rayyan sebaik ‘Aisy selesai menyampaikan cerita. Saranan Rayyan itu membuatkannya termenung panjang. Memang itulah yang sepatutnya dia lakukan. Tetapi ada sesuatu yang mengganggu fikirannya saat itu.
I’ll drive you to the police station.” Putus Rayyan seraya memberikan signal ke kanan untuk memulakan pemanduan.
“Tak boleh. Saya tak rasa itu idea yang baik.” Bantah ‘Aisy menggelengkan kepalanya laju.
“Kenapa?” Tanya lelaki itu sepatah, tidak jadi meneruskan pemanduannya. ‘Aisy tidak terus menjawab. Sebaliknya, dia menarik nafas dalam.
“Daniel Haiqal.” Nama itu meniti di bibirnya perlahan. Rasa kecewa menyerbu di dalam dada mengenangkan perbuatan lelaki itu kepadanya.
“Siapa Daniel Haiqal?” Wajah ‘Aisy dipandang pelik.
“Dalang yang merancang penculikan saya.” Beritahu ‘Aisy dengan perasaan yang sebal.
“Awak kenal lelaki yang menculik awak? Itu lebih baik. Lagi memudahkan kerja polis untuk melakukan tangkapan.” Tingkah Rayyan.
“Sebab saya kenal dialah, saya tak boleh buat laporan polis.” Kata-kata ‘Aisy semakin membuatkan Rayyan tidak mengerti.
But why?” Pertanyaan Rayyan membuatkan ‘Aisy mengeluh.
He’s your boyfriend?” Tebakan Rayyan dinafikan oleh ‘Aisy dengan gelengan.
Or, because you love him?” Sekali lagi soalan lelaki itu dibalas dengan gelengan.
“Dia adalah kawan sekampung saya. Saya tak mahu emak dan ayahnya di kampung kecewa dengannya.”
Terbayang di ruang mata wajah tua milik Mak Nab dan Pak Usop yang benar-benar mengharapkan kejayaan anak lelaki sulungnya itu. Masa depan Daniel pasti gelap seandainya dia mempunyai rekod jenayah.
“Tapi awak juga yang dalam keadaan bahaya jika dia terlepas bebas.” Ujar Rayyan mengingatkan.
“Sebenarnya bukan saya yang menjadi sasarannya. Penculikan ini berlaku kerana salah faham. Orang yang sepatutnya dia culik adalah Sofia. Daniel ingin membalas dendam terhadap Sofia kerana cintanya ditolak. Sofia! Saya perlu berjumpa dengan Sofia.” Kerutan di wajah Rayyan jelas menunjukkan yang dia semakin tidak mengerti dengan omelan ‘Aisy.
“Sofia?” Tanya Rayyan ingin tahu. Semakin lama dia merasakan kisah yang didengarinya itu semakin rumit.
“Sofia, kawan baik saya dan juga bekas kekasih Daniel. Cepat, encik Rayyan. Saya perlu jumpa Sofia sekarang juga.” Gesa ‘Aisy. Dia bimbang seandainya Sofia diapa-apakan Daniel.
I’ll explain to you everything on the way.” Janji ‘Aisy membuatkan Rayyan mengalah. Kereta mewahnya dipandu laju menuju ke destinasi yang sedang dipetakan oleh ‘Aisy.
Sepanjang perjalanan, dia menceritakan segala yang telah berlaku kepada Rayyan. Tidak satu pun yang tertinggal. Entah kenapa ringan mulutnya untuk berkongsi rasa dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. Seperti lelaki itu benar-benar dekat dengan dirinya.
‘Aisy meleretkan matanya ke arah Rayyan yang sedang tenang memandu. Di dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran kerana ALLAH menghantar seorang penyelamat untuk membantu di saat dia benar-benar berada dalam kesukaran. Dia meraup muka sehingga menyentuh rambut ikal nya yang agak tidak terurus.
“Ya ALLAH” Jeritan kecil ‘Aisy membuatkan Rayyan berpaling ke arahnya.
“Kenapa?” Wajah cemas ‘Aisy dipandang tunak.
“Rambut saya. Saya tak sepatutnya dedahkan rambut saya. Encik Rayyan ada scarf atau selendang tak?” ‘Aisy mengetap bibir menyedari kesilapannya. Soalan yang langsung tidak berlandaskan logik akal. Lelaki pakai skarf? Tidak mungkin.
“Maksud awak tudung kepala?” Soal Rayyan.
“Ya.” ‘Aisy mengiakan pertanyaan lelaki itu dengan mengangguk perlahan. Rayyan tersenyum kecil melihat kekalutan gadis itu. Cukup menarik dan istimewa pada pandangan matanya.
“Saya ini lelaki. Of course I don’t have any scarf or selendang but wait a minute. I think this will help you.” Ujar Rayyan sambil menghulurkan tangannya ke arah tempat duduk belakang. Mafela coklat berjalur merah hitam itu dihulurkan kepada ‘Aisy.
Thank you so much.” Ucap ‘Aisy menyambut mafela yang dihulurkan. Tanpa lengah, dia segera melilitkan kain itu di kepalanya.
“Awak tahu tak yang awak sebenarnya sangat comel, ‘Aisy.” Kata-kata pujian yang meniti di bibir Rayyan membuatkan ‘Aisy kehilangan kata. Wajahnya berubah merah. Dalam rasa malu yang menjengah, ada rasa bahagia yang menjalar.
Rayyan hanya tersenyum simpul. Hatinya turut mengukirkan rasa bahagia.


1 comment:

Tinggalkan jejak anda..