PEMBACAAN
Arianna terganggu dengan kemunculan Mira. Terkocoh-kocoh gadis genit itu
menghampirinya dengan senyuman lebar yang terukir di wajah. Wajah yang sentiasa
mempamerkan roman ceria. Bagaikan langsung tiada masalah yang singgah di jiwa.
Kadang terdetik juga di hati alangkah indah kalau dia juga mampu menjadi seperti Mira.
“Kak Anna, Mira
ada good news ni,” bisik Mira
perlahan. Dia melabuhkan duduk, bersila di sebelah Arianna di atas lantai.
“Good news?” Arianna mengangkat kedua-dua
belah keningnya.
“Ha’ah. Pasal
novel terbaru Luna Jiwa tu.”
“Kenapa? Stok
novel tu dah sampai ke?” Pantas Arianna memangkas. Nampak sangat dia tak sabar.
“Bukan. Novel
tu paling awal pun memang akan sampai minggu depan,” balas Mira.
“Habis tu?”
“Tadi Mira
terdengar perbualan boss dengan wakil publisher
Tinta Emas. Luna Jiwa akan datang ke sini untuk promosi novel ‘Aku Memilih
Setia’ tu,” beritahu Mira teruja.
“Bila?” Arianna
turut teruja mendengar perkhabaran itu.
“Apa yang Mira
dengar, kemungkinan besar dalam minggu depan. Nanti Mira confirm dengan akak balik. Akak…akak tahu tak apa maknanya semua ini?”
Mira menjongketkan kedua belah alis keningnya yang cantik terbentuk.
“Maknanya
minggu depan akak dah boleh beli novel itulah kan? Tak sabarnya,” tebak Arianna
dengan anak mata yang bersinar.
“Yang itu
memanglah. Tapi ini makna yang lain,” keluh Mira menepuk dahinya.
“Makna lain apa
pula? Akak tak fahamlah, Mira..”
“Maknanya
penulis Luna Jiwa tu akan datang ke sini dan reveal diri dia pada umum. Akak tak rasa teruja ke nak kenal
penulis kegemaran akak tu?” jawab Mira bersungguh-sungguh.
“Ooo…kalau kata
teringin tu naklah juga tengok siapa Luna Jiwa tu. Tapi kalau nak kata teruja..akak
lagi teruja nak baca novel dia,” ujar Arianna sambil menggariskan senyum.
Aku Memilih
Setia. Sudah lama dia menantikan kemunculan novel yang sebelum ini dia ikuti dalam
blog peribadi Luna Jiwa. Kisah yang dirasakannya begitu sinonim dengan perjalanan
hidupnya kini. Sering kali dia dihadapkan dengan kebuntuan bila berada di
persimpangan untuk membuat pilihan. Memilih di antara cinta yang telah lama
pergi atau setia pada suami yang dinikahi tanpa sekelumit rasa cinta di hati. Sungguh
dia mengharapkan karya itu mampu merelaikan simpulan dilema di jiwa.
“Macam tu eh. Tapi…kenapa
Mira pula yang tiba-tiba terasa excited
nak jumpa Luna Jiwa ni, Kak?” tanya Mira dengan jari-jemarinya melurut dagu.
“Mira rasa
macam tak sabar je nak tenung puas-puas wajah handsome Luna Jiwa tu.
Bukannya Mira tak pernah tengok lelaki handsome
sebelum ni. Tapi dengan Luna Jiwa ni Mira rasa lain macam.” Kata-kata polos
Mira mengundang gelak nipis di bibir Arianna. Lucu betul si Mira ini.
“Biasalah. Mira
kan muda lagi. Orang muda ni selalunya terlebih excited. Nak-nak kalau bercakap pasal lelaki handsome. Hormon gatal tengah naik kan?” Arianna mengusik.
Siapa yang tak
teruja bila disogokkan dengan sesuatu yang indah di mata. Dia juga pernah
melalui fasa gadis remaja seperti Mira. Dan kerana rasa itulah dia mula belajar
mengenal erti sebuah cinta.
“Ooo…akak
mengata Mira gatal ya?” Mira menjegilkan matanya sambil bercekak pinggang.
Pura-pura marah.
“Bukan ke gadis
muda yang belum kahwin macam Mira ni hormon estrogen tu terlebih sikit? Macam
akak yang dah tua ni lainlah.” Arianna masih giat mengusik. Seronok dia melihat
wajah Mira yang sedikit cemberut.
“Eleh..macamlah akak tu tua sangat. Beza
beberapa tahun je kot,” cebik Mira.
“Mana tahu akak
ni tua beberapa tahun je dari Mira?”
“Tengok muka
pun Mira tahulah, Kak. Akak ni baru pertengahan dua puluhan kan?” Mira meneka.
Wajah putih bersih wanita di depannya itu ditenung. Arianna memang punya seraut
wajah yang cantik. Apatah lagi bila dia tersenyum begitu.
Arianna hanya
tersenyum. Sengaja dia tidak mahu menjawab tebakan Mira yang hampir mengena
itu.
“Betul kan?”
soal Mira lagi.
“Entah.” Arianna jongket bahu. Dia pura-pura
menyambung semula pembacaannya yang terhenti.
“Akak ni
sajalah tu tak nak beritahu umur dia. Tak apa..tahulah Mira nanti nak korek
dekat mana,” gumam Mira dengan wajah yang tak puas hati.
Sekali lagi
Arianna meledakkan tawa. Namun tawanya mengendur bila telefon bimbitnya
berdering pendek menandakan ada kiriman pesanan ringkas yang baru masuk. Dia
mencapai telefon di dalam tas tangan.
Skrin telefon
disentuh. Ada dua kiriman SMS daripada Affan. Lelaki yang telah dinikahi sejak
tiga bulan yang lalu. Lelaki yang terpaksa diterimanya atas pilihan keluarga.
“Okeylah, kak.
Mira nak sambung kerja balik.” Mira bangkit. Tidak mahu mengganggu Arianna yang
begitu leka menatap skrin telefon bimbitnya.
“Okey,” balas
Arianna sepatah tanpa mengalihkan pandangan. SMS pertama dibuka.
You pergi mana?
Mesej kiriman
ringkas itu dibaca dengan kerutan di dahi. Entah angin apa yang menghantui Affan,
tiba-tiba seawal pagi bertanyakan ke mana dia pergi. Selalu lelaki itu tidak
pernah ambil peduli tentang dirinya. Tanpa membalas mesej yang pertama, dia
membuka pula kiriman SMS yang kedua.
Petang nanti papa, mama dan Tok Wan nak datang ke rumah berbuka puasa.
Make sure you ada di rumah sebelum dia orang sampai. Siapkan dan kemas apa yang
patut.
Arianna melihat
jam di pergelangan tangan. Waktu sudah hampir menginjak ke tengah hari. Dia
bingkas bangun. Nampaknya hari ini dia tidak boleh berlama di situ seperti
selalu. Dia perlu segera pulang ke rumah untuk menyambut kedatangan keluarga mertuanya.
Ok.
Arianna menaip
dua patah huruf itu untuk membalas mesej Affan. Namun, belum sempat jarinya
menekan butang hantar, telefonnya berdering nyaring menandakan ada panggilan
masuk. Terpampang nama Affan di skrin besar telefon bimbitnya. Telefon
ditekapkan ke telinga.
“You kat mana?” Suara garau Affan menyapa gegendang
telinganya. Seperti biasa tiada riak kemesraan dalam setiap patah bicara yang
keluar dari mulut lelaki itu.
“I dekat Kinokuniya bookstore,” balas Arianna jujur.
“Next time kalau you nak ke mana-mana minta izin dengan I dulu. At least inform I sepatah,” pesan Affan tegas.
Arianna
terkedu. Dia pelik dengan permintaan suaminya itu. Sedangkan seawal usia
perkahwinan mereka dulu, Affan sendiri yang memberi kebebasan kepadanya untuk
ke mana sahaja tanpa perlu meminta izin darinya terlebih dahulu.
“You dah baca
mesej I?” soal Affan menyambung bicara apabila Arianna hanya menyepikan diri di
hujung talian.
“Dah.”
Sepatah kata
yang diungkapkan Arianna mengundang keluhan kecil Affan. Entah kenapa setiap
kali berbicara, Arianna begitu kaku dan beku. Sedangkan dia tahu isterinya itu
tidak begitu dengan orang lain. Arianna adalah seorang wanita yang mudah mesra
dengan sesiapa saja tapi bukan dengan dirinya. Mungkin dia silap percaturan
dalam melayan Arianna selama ini. Sehingga membuatkan isterinya tidak selesa
bila bersamanya.
“Lauk basah dalam peti ais masih banyak lagi kan?” Affan
bertanya lagi. Sengaja dia merendahkan intonasi suara.
“Hmmm…”
“You nak masak apa berbuka nanti?” Ramah
Affan bertanya sehingga membuatkan Arianna menatap pelik skrin telefon bimbitnya.
Betulkah lelaki yang sedang berbicara dengannya saat itu adalah Affan? Suaminya
yang selama ini bagai hendak tak hendak saja bila bercakap dengannya?
“Hello, are you still there?” Sayup
terdengar suara Affan di hujung talian.
Arianna kembali
menekapkan telefon ke telinga.
“Ya..err.. I
tak tahu lagi nak masak apa. You ada suggestion ke?”
Affan tersenyum
nipis dengan pertanyaan Arianna. “You pernah
masak ikan merah masak lemak cili api tak?”
“Pernah.”
“Hmm… Kalau
macam tu you masak lauk tu untuk berbuka nanti. Tok Wan mesti suka sebab itu
lauk kegemaran dia,” pinta Affan.
“Okey.”
“Petang ni I cuba balik awal. Lepas meeting je I terus balik,” beritahu Affan masih cuba memancing bicara Arianna.
“Hmmm...”
“One more thing, jangan lupa angkut semua
baju dan barang you masuk ke dalam
bilik I.“ Kata-kata Affan kali ini berjaya membuatkan Arianna menegakkan
tubuhnya.
“Huh? Perlu
ke?” tanya Arianna.
“Yup. We have no choice sebab Tok Wan nak
bermalam di rumah kita dua tiga hari. Mama dan papa juga.”
Bicara Affan
mengundang keluhan Arianna. Bukannya dia tidak suka keluarga mertuanya bermalam
di rumah mereka. Lagipun dia tiada hak untuk menghalang bila mereka nak datang
melawat anak dan cucu sendiri. Tapi kehadiran mereka bermakna dia terpaksa
tidur sebilik dengan Affan. Bermakna juga dia dan Affan kena berpura-pura hidup
bahagia seperti pasangan suami isteri normal yang lain sedangkan hakikat
sebenarnya tidak begitu.
“Yalah. Nanti I
pindahkan semua barang tu.” Arianna terpaksa akur.
Affan
menggariskan senyum. Inilah peluang yang dia nantikan selama ini. Peluang untuknya
mendekati Arianna. Menjadikan Arianna miliknya yang mutlak. Apalah guna
perkahwinan yang mengikatnya dan Arianna andai masing-masing hidup terasing.
Arianna adalah
isterinya yang sah. Dinikahi dengan bersaksikan ijab dan kabul. Biarpun mereka
berkahwin atas pilihan keluarga tetapi sampai bila dia harus biarkan hubungan
yang suci itu terus berlalu sepi tanpa disulam rasa cinta dan sayang. Cukuplah
tempoh tiga bulan dia memberikan ruang kepada Arianna untuk menerima ikatan
pernikahan mereka. Ruang yang ternyata disia-siakan Arianna kerana semakin hari
isterinya itu semakin jauh darinya.
“Errr..you ada dekat situ lagi ke?” Teguran
Arianna memangkas lamunan pendek Affan.
“Ya, sayang. I’m still here.”
Arianna telan
liurnya pahit. Meremang bulu roma dengan perkataan ‘sayang’ yang meniti di
bibir Affan. Arghhh…mungkin Affan tak sengaja tersasul.
“Errr..selalunya
mama dan papa suka makan apa?”
Melebar
senyuman di bibir Affan. Getar suara Arianna jelas menunjukkan isterinya itu
sedang menahan gugup. Kalaulah dia dapat melihat, pasti wajah cantik itu sedang
berbahang merah.
“Hmmm…mama dan
papa suka makan kari ikan merah. Setiap hari lauk kari mesti ada dalam menu,”
cerita Affan ceria. Dia senang dengan kesudian Arianna untuk mengambil tahu
lauk kegemaran kedua orang tuanya.
“You tahu masak kari ke?”
“Tahu,” akui
Arianna.
“Sempat ke
kalau you masak kari juga?”
“Sempat.”
“One more thing. Kalau boleh you tumbuk
sambal belacan dan masak sayur campur sekali.” Affan membuat pesanan.
“Okey,” balas
Arianna tanpa banyak soal. Otaknya ligat memikirkan bahan-bahan yang diperlukan
untuk memasak dua lauk kegemaran keluarga mertuanya itu.
“Bahan-bahan
nak memasak cukup tak? Kalau tak cukup petang nanti kita keluar shopping sekejap.” Affan mempelawa. Idea
untuk keluar membeli-belah berdua berjaya mengundang senyum di bibirnya. Pasti
seronok!
“Err...cukup.”
Pantas Arianna menjawab. Keluar shopping berdua
dengan Affan? Dia lebih rela kalau terpaksa membeli belah seorang diri. Lagipun
kalau ada bahan yang tak cukup, nanti dia singgah saja di Cold Storage.
“Hmmm..” Nada
suara Affan sedikit kecewa.
“Ada apa-apa
lagi yang you nak pesan?” soal Arianna memberi isyarat untuk menghentikan
perbualan. Sungguh dia agak kekok bila berbicara dengan Affan.
“Are you sure you boleh masak semua lauk
tu?” tanya Affan sedikit ragu.
“Boleh.”
“Mama tu
cerewet sikit kalau bab makan ni. Kalau tak pun on the way balik nanti, I boleh beli lauk kari tu kat kedai je.”
Runsing Affan. Masakan dia tak runsing. Dia sendiri tidak pernah melihat Arianna
memasak lauk-lauk itu sebelum ini.
“Semua bahan
mentah dah ada dekat dapur tu. Membazir pula kalau you beli lauk kedai. I masak
jelah dulu. Kalau tak sedap nak buat macam mana,” balas Arianna mudah.
“Hmmm..if you said so.”
“Okey. I letak
telefon dulu. Bye,” pamit Arianna terus menekan butang merah yang tertera di
dada skrin telefon.
Matanya melilau mencari kelibat Mira namun tubuh genit
itu langsung tidak kelihatan. Lantas dia memperkemaskan langkah menuju ke pintu
keluar untuk mendapatkan teksi. Banyak tugas yang perlu dibereskan sebelum
keluarga mertuanya datang menjengah di muka pintu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan jejak anda..