Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 2 April 2013

Titian Cinta 22 EV

Pandangan cerlung Harris membuatkan suasana yang tegang sebentar tadi menjadi sunyi sepi. Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah berang. Tubuh ‘Aisy yang berdiri kaku seperti patung cendana dihampiri. Bermacam-macam persoalan yang berlegar-legar di benaknya. Jika benar apa yang telah didengar dan dilihatnya tadi, dia perlu lakukan sesuatu!
‘Aisy masih lagi berdiri dengan pandangan yang kosong, langsung tidak menghiraukan panahan tajam Harris. Dia cuba berlagak berani dan cekal. Sedangkan di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana dia menjerut rasa. Rasa kecewa, sedih, marah, malu datang silih berganti dan bercampur baur menjadi satu.
Puan Sri Nora dan Sofia saling berbalas pandang. Mereka berdua benar-benar tidak menyangka dengan kemunculan mengejut Harris. Bukankah tadi mereka sendiri melihat kereta yang dipandu Harris meluncur keluar dari perkarangan rumah?
Namun tatkala melihatkan reaksi Harris, Puan Sri Nora melemparkan senyuman sinis kepada ‘Aisy. Dia pasti anaknya sendiri telah menyaksikan kebiadaban ‘Aisy padanya. Sudah pasti anaknya itu tidak akan mudah-mudah melepaskan ‘Aisy. Harris seorang anak yang sentiasa menghormati orang tua, walaupun anaknya itu mewarisi sikap baran sepertinya.
“Eloklah Harris ada sekali. Boleh Harris tengok sendiri perangai buruk isteri Harris ini.” Bicara Puan Sri Nora memecah kesunyian.
Tiada tindak balas daripada Harris. Sebaliknya lelaki itu masih merenung wajah ‘Aisy. Hanya sorotan matanya yang jelas menunjukkan kemarahan yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lagi.
Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan ‘Aisy menekurkan wajahnya ke lantai. Tiba-tiba rasa berani yang dikumpul turun ke paras negatif. Apatah lagi dengan renungan tajam Harris, membuatkan dirinya semakin tidak keruan. Entah kenapa dia dapat rasakan pandangan mata Harris penuh dengan rasa curiga terhadapnya.
“Mama memang tak sangka, isteri yang Harris puja-puja dan menjadi kebanggaan nenek Harris ini sanggup kurang ajar dengan mama. Suka-suka hati dia nak halau mama keluar dari rumah anak mama sendiri. Tak sedar yang diri tu sebenarnya yang menumpang tinggal kat sini.” Lancang bibir Puan Sri Nora mengadu domba pada Harris. Dia menggunakan sepenuhnya pengaruh sebagai seorang ibu untuk membuatkan anak lelaki tunggalnya itu termakan dengan kata-katanya.
‘Aisy mengetap bibir geram dengan kata-kata sinis ibu mertuanya. Dia tidak sepatutnya membiarkan Puan Sri Nora berterusan menuduhnya yang bukan-bukan. Tetapi mampukah dia bersuara untuk menegakkan kebenaran yang jelas telah diputarbelitkan? Mampukah dia merebut kepercayaan Harris sedangkan wanita yang sedang menjadi lawannya adalah ibu kandung suaminya sendiri? Apalah sangat kedudukannya sebagai seorang isteri jika dibandingkan dengan darjat seorang ibu. Mengenangkan hakikat itu, dia berusaha menenangkan diri. Dia juga tidak mahu tutur bicara yang bakal diucapkannya bisa merenggangkan hubungan antara ibu dan anak.
“’Aisy minta maaf, mama. Kata-kata ‘Aisy tadi bukan bermaksud nak menghalau mama. Jauh sekali nak tujukan pada mama. ‘Aisy cuma minta Sofia balik sebab ‘Aisy dah tak sanggup tengok kepura-puraan dia.” Suara ‘Aisy perlahan memperbetulkan keadaan. Jika diikutkan memang dia terasa hati dengan sindiran pedas ibu mertuanya itu, tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biarlah dia beralah, jika dengan cara itu dapat meredakan kemarahan Puan Sri Nora. Beralah tidak semestinya kalah. Lagipun dia tidak boleh meletakkan kesalahan seratus peratus kepada ibu mertuanya itu. Puan Sri Nora bertindak begitu kerana terpedaya dengan tipu helah yang dimainkan Sofia.
“Kamu masih nak menegakkan benang yang basah, ‘Aisy? Dah terang-terangan kamu yang cederakan Sofia dan sekarang kamu tuduh dia pula yang berpura-pura? Kawan jenis apa kamu ini?” Tengking Puan Sri Nora langsung tidak berbekas dengan kata-kata maaf yang diucapkan ‘Aisy. Nampaknya, ego yang tinggi melangit telah membutakan pintu hatinya untuk menilai kebenaran.
Pembelaan Puan Sri Nora membuatkan Sofia tersenyum menang di dalam hati. Dan senyumnya semakin melebar tatkala melihat wajah merah Harris. Dia cukup pasti lelaki itu juga berpihak padanya. Dengan watak gadis lembut dan wajah polos yang dimilikinya, sudah pasti sesiapa pun akan terpedaya.
How could you be so sure, mama? Kalau benarlah ‘Aisy yang berniat hendak apa-apakan Sofia, kenapa Sofia pula yang ada di rumah ‘Aisy? Kenapa bukan ‘Aisy yang pergi ke rumah Sofia?” Soal ‘Aisy lemah. Walaupun kata-kata pembelaannya ibarat seperti mencurah air di daun keladi tetapi dia tidak akan sekali-kali mengakui kesalahan yang dia tidak pernah lakukan.
“Sebab kamu bijak mengambil kesempatan atas kebaikan Sofia. Kamu tu sebenarnya yang berpura-pura. Hipokrit!” Hampir sahaja kepala ‘Aisy ditunjal Puan Sri Nora jika tidak dihalang Harris. Pertanyaan yang meniti di bibir menantunya itu kedengaran begitu sinis di telinganya.
“Mama, please calm down.” Tenang Harris. Cepat-cepat dia menarik tubuh kecil ‘Aisy ke belakangnya, cuba melindungi isterinya. Tindakan Harris membuatkan Puan Sri Nora semakin geram. Bulat mata Sofia seakan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Macam mana mama nak bertenang dengan layanan sombong isteri Harris ini? Berani dia nak kenakan Sofia. Sakit hati mama ini tahu tak! Mari sini biar mama ajar sikit perempuan tak sedar diri ni!” Ujar Puan Sri Nora tidak berpuas hati. Ringan tangannya diangkat tinggi untuk menyakiti tubuh ‘Aisy yang sedang bersembunyi di belakang Harris.
“Mama, apa ini? Takkan kerana Sofia, mama sampai sanggup nak naik tangan pada ‘Aisy. Kenapa mudah sangat mama boleh percayakan dia lagi?”
Pertanyaan Harris membuatkan Puan Sri Nora tercengang. Mujurlah ketinggian dan ketegapan badannya berjaya menghalang serangan ibunya yang mula bertindak kasar.
Sementara itu, Sofia yang sedari tadi hanya diam memerhati semakin gelisah.
“Sekarang Harris pun dah berani nak kurang ajar dengan mama juga?” Terketar-ketar bibir Puan Sri Nora menahan marah.
“Harris tak pernah terlintas nak menderhaka pada mama. Tapi mama dah lupa ke siapa Sofia ini sebenarnya? Apa yang dia dah buat pada keluarga kita dulu?”
Harris menjeling tajam ke arah Sofia. Gadis itu memang bijak meraih simpati. Tetapi dia tidak akan mudah diperbodohkan Sofia lagi. Dia masih mempunyai akal yang waras untuk menilai. Cukuplah sekali dia terkena.
Masih terngiang-ngiang kata-kata Hafeeza tempoh hari menceritakan insiden ‘Aisy jatuh tangga. Walaupun teman serumah isterinya itu tidak mengaitkan sesiapa dengan insiden itu tetapi dia masih ingat riak serba salah yang terpancar di wajah Hafeeza. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Firasatnya kuat menyatakan Sofia mempunyai kaitan dengan peristiwa itu. Hatinya semakin berang apabila mengenangkan dek kejadian jatuh tangga itulah yang telah menyebabkan ‘Aisy mengalami pendarahan dan dikejarkan ke hospital.
“Harris, semua yang dah berlaku bukan atas kehendak I. I diperangkap. Dan orang yang bertanggungjawab…” Belum sempat Sofia menghabiskan ayatnya, kata-katanya telah dipotong Harris.
“Sudahlah, Sofia. Tak perlu you nak jelaskan lagi apa yang dah berlaku. Dah tak penting dan dah tiada makna bagi I. You adalah sejarah yang I tak ingin kenang. Sekarang, I cuma nak tahu apa yang you dah buat pada isteri I? You yang tolak ‘Aisy sehingga dia jatuh tangga kan?” Tengkingan kuat Harris membuatkan Sofia terkedu sehingga bahunya sedikit terangkat.
“Harris! Kenapa Harris tuduh Sofia macam tu?” Sampuk Puan Sri Nora masih mempertahankan Sofia. Terbit rasa belas di hati melihat Sofia yang sedang gugup menahan ketar.
“Mama, please. Mama tolong jangan masuk campur. Betulkan, Sofia?” Ketegasan Harris membuatkan Puan Sri Nora turut terdiam.
“Tak, Harris. I..I tak buat.” Nafi Sofia gugup. Kencang debaran di dadanya. Tebakan Harris ternyata benar belaka. Nampaknya dia sudah silap percaturan. Sangkanya dengan mengada-adakan cerita, dia mampu memporak-perandakan kepercayaan Harris terhadap ‘Aisy.
You masih tak nak mengaku? Atau you nak I bawa saksi?”
Ugutan Harris semakin menggoyahkan keyakinan Sofia. Wajah gadis itu berubah pucat. Memikirkan kemungkinan tindakannya menolak ‘Aisy tempoh hari disaksikan oleh orang lain, hatinya semakin tidak keruan.
“Tak, Harris. I berani bersumpah, I tak buat.” Sofia masih mempertahankan dirinya. Walau macam mana sekalipun dia perlu bertahan dan meneruskan lakonannya. Tidak mungkin dia akan mengakui kesilapannya. Kerana pengakuan hanya membuatkan dirinya hilang kepercayaan Puan Sri Nora dan sekali gus peluangnya untuk mendapatkan Harris semakin tertutup.
“Jangan bermain dengan sumpah, Sofia. I takut nanti you yang dimakan sumpah.” Dingin suara Harris mengingatkan. Dadanya berombak menahan rasa marah yang semakin membuak. Sofia yang sedang menikus di sisi Puan Sri Nora dijelingnya sekilas. Begitu kecil sekali Sofia kini pada pandangannya.
“Kenapa dengan Harris ini? Sampaikan Sofia sanggup bersumpah pun Harris masih tak nak percaya? Mama rasa Harris dah kena guna-guna dengan perempuan ini. Cuba Harris tanya isteri Harris tu. Berani ke dia bersumpah?” Lantang Puan Sri Nora melemparkan tuduhan kepada ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Tersayat pedih hatinya. Memang benar ibu mertuanya telah dibutakan hati dan perasaan. Dirinya hanyalah kebencian buat Puan Sri Nora.
“Tak perlu, mama. Harris kenal isteri Harris dan Harris percayakan dia.” Kenyataan yang meniti di bibir Harris benar-benar membuatkan ‘Aisy terharu. Tubir matanya basah digenangi air mata. Sampai begitu sekali Harris sanggup mempertahankannya. Apatah lagi di kala ibu mertuanya sendiri lebih percayakan Sofia.
“Harris! Sanggup…”
“Tak apalah, auntie. Sofia faham kalau Harris tak nak percayakan Sofia. Auntie tak perlulah susah-susah nak bela Sofia. Sofia tak nak disebabkan Sofia, auntie dan Harris bertekak anak beranak. Sofia rasa lebih baik Sofia balik. Maafkan Sofia, auntie.” Sengaja Sofia memotong kata-kata Puan Sri Nora. Dia ingin segera melepaskan diri daripada berterusan diasak Harris. Dia bimbang semakin lama dia berada di situ, semakin hambar lakonannya.
“Baguslah kalau you dah sedar diri Sofia. Jangan sesuka hati you nak jejakkan kaki ke rumah I dan mengganggu isteri I lagi.”
Peringatan yang dilemparkan Harris membuatkan Sofia terkedu. Di dalam hati, dia menyimpan azam. Tidak sekali-kali dia akan berhenti berusaha untuk mendapatkan Harris. Walaupun kebencian lelaki itu setinggi gunung, dia akan tarah perlahan-lahan. Nampaknya dia perlu merangka perancangan yang lebih kemas dan berhati-hati. Kau tunggu dan lihat sahajalah, Harris. Aku pasti akan buat kau melutut di kaki aku! Bisik Sofia angkuh di dalam hati.
“Mama tak sangka Harris sanggup buat mama macam ini. Sanggup Harris malukan mama depan isteri Harris sendiri.” Tingkah Puan Sri Nora kegeraman.
“Jom kita balik, Sofia.” Ajak Puan Sri Nora sambil menarik tangan Sofia ke arah pintu utama. Dengan wajah yang kelat dia melangkah kasar menuju ke pintu kereta. Tanpa berpaling, dia meloloskan diri ke dalam kereta. Sengaja dihempaskan pintu kereta dengan kuat tanda protes.
Sebaik kereta BMW putih yang dipandu Sofia hilang dari pandangan mata, Harris menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia memang sedia maklum dengan sikap Puan Sri Nora yang mudah naik angin itu. Ibunya itu ibarat seperti sarang tebuan, pantang dijolok. Tetapi dia tahu marah ibunya itu tidak akan lama.
‘Aisy merenung belakang Harris dengan riak serba salah. Kerana dirinya hubungan Harris dan Puan Sri Nora menjadi tegang. Memang perlakuan Puan Sri Nora menjengkelkan hatinya tetapi walau seburuk mana pun wanita itu, dia tetap ibu kandung Harris dan ibu mertuanya. 
“Ma..maafkan ‘Aisy, abang.” Suaranya sedikit gugup. Harris memusingkan badannya dan merenung tajam ke arah isterinya. Di antara dia dan ‘Aisy masih ada perhitungan yang belum selesai.
“Kenapa sayang sembunyikan pada abang fasal Sofia pernah ke rumah ‘Aisy dan menolak ‘Aisy jatuh tangga?” Soal Harris menuntut sebuah penjelasan.
Jika tidak kerana perbualan yang sempat didengarinya tadi, sampai sudah dia tidak akan mengetahui perbuatan khianat Sofia terhadap ‘Aisy. Mujurlah dia mengambil keputusan untuk berpatah balik. Semuanya gara-gara rasa bersalah yang menghambat dirinya kerana membuatkan isterinya berkecil hati. Sementelah perjumpaan penting yang telah dijadualkan pada awal pagi ditunda ke sebelah petang. Jadi, dia ingin mengambil kesempatan itu untuk memujuk rajuk si isteri.
“’Aisy tak nak keruhkan lagi keadaan.” Jawab ‘Aisy perlahan.
Ya! Memang itulah niatnya. Hubungan mereka bertiga terlalu rumit. Sofia bukan hanya sekadar bekas tunangan Harris. Tetapi di antara keluarga Sofia dan keluarga Harris terjalin ikatan persaudaraan. Dan kerana hubungan persaudaraan itulah membuatkan dia lebih rela mendiamkan diri daripada membuka mulut tentang kejadian yang menimpanya. Terlalu banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga. Lagipun dia bukanlah seorang perempuan yang suka mengadu domba demi mendapatkan simpati.
“Tapi kerana sikap berahsia sayang inilah yang hampir memerangkap diri sayang sendiri. Mujur abang sempat balik. Jika tidak, entah apa yang mama dan Sofia akan buat pada sayang.” Tukas Harris sambil mengeluh lemah. Dia menyandarkan tubuhnya di atas sofa. Mujurlah dia muncul tepat pada waktunya. Jika tidak pasti berbirat kulit putih ‘Aisy dengan tamparan ibunya.
“Terima kasih kerana percayakan ‘Aisy dan lindungi ‘Aisy.” Ucap ‘Aisy terharu membuatkan Harris tersenyum nipis. Sejuk hatinya tatkala mendengarkan kata-kata penghargaan yang meniti di bibir isterinya.
“Abang akan terima kasih sayang tu, tapi dengan dua syarat.” Ujar Harris seraya mengangkat kedua-dua belah kening lebatnya. Tiba-tiba riak wajah lelaki itu berubah nakal. Tangannya dihulurkan ke arah ‘Aisy menggamit isterinya untuk melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Syarat?” Soal ‘Aisy dengan kerutan di dahi. Namun, dia tetap menyambut huluran tangan Harris dan melabuhkan duduk di sisi suaminya.
“Yup. Syarat yang pertama, sayang kena maafkan abang.” Permintaan Harris semakin membuatkan ‘Aisy pelik.
“Maaf? Kenapa?” Tunak matanya memerhatikan Harris.
“Fasal kata-kata abang pagi tadi. Abang tak sepatutnya cakap macam tu. I’m not supposed to get mad at you just because of sup ikan haruan. Maafkan abang, sayang.” Wajah Harris berubah muram. Kedua-dua belah tangan ‘Aisy dicapai dan digenggamnya erat. Kesal dengan kegagalannya mengawal baran. Rasa marah yang menguasai diri kadang-kadang membuatkan dirinya tanpa sedar mudah menuturkan kata-kata yang bisa membuatkan hati isterinya terluka.
Tatkala mendengarkan pengakuan Harris, ‘Aisy mengetap bibir. Sebenarnya dia benar-benar sudah terlupa. Sepatutnya dia sedang melancarkan perang dingin dengan Harris. Memang dia sedikit berkecil hati tadi. Tetapi salahnya juga kerana berdegil dengan Harris. Dia bukannya tidak tahu perangai suaminya itu. Pantang jika arahannya diingkari.
“Kalau ‘Aisy tak nak maafkan?” Sengaja dia bertanya dengan lagak wajah yang serius.
“Mana boleh, sayang. Itu kan salah satu daripada syarat yang sayang wajib penuhi.” Balas Harris selamba. Dia dapat mengesan senyum nipis yang tersungging di bibir ‘Aisy.
“Mana ada orang minta maaf cara paksa macam ni.” Nada suara ‘Aisy kedengaran manja di telinganya. Harris mengukirkan senyuman lebar. Lega rajuk isterinya tidak lama kali ini.
“Yang abang tersengih sampai ke telinga ni kenapa? ‘Aisy tak cakap pun yang ‘Aisy dah maafkan abang.” Usik ‘Aisy sengaja mendera perasaan Harris. Namun, dia turut membalas senyuman suaminya.
I know you have forgiven me. I know that. Thanks, sayang.” Ucap Harris dengan yakin. Lantas dia menghadiahkan ciuman di pipi ‘Aisy. Perlakuan Harris membuatkan ‘Aisy terkesima. Wajah itu berubah merah.
“Tapi, tolonglah jangan cakap macam tu lagi dengan ‘Aisy. Kata-kata abang tadi buat ‘Aisy rasa abang tak benar-benar ikhlas nak jaga ‘Aisy. Kalau ‘Aisy ni menyusahkan abang, ‘Aisy boleh pindah balik ke rumah sewa.” Luah ‘Aisy membuatkan riak Harris berubah. Senyumnya mati.
“Mana boleh. Abang tak akan izinkan. Ini rumah sayang, rumah kita. Susah senang biar kita berdua harungi bersama. Abang tak mahu hidup berjauhan dengan sayang lagi.” Nada suara Harris berubah serak. Tubuhnya dipalingkan ke arah ‘Aisy. Jelas terbias kegusaran di wajahnya
“Abang benar-benar menyesal dengan kata-kata abang tadi. I never meant it, sayang! Abang sebenarnya risau nak tinggalkan sayang. And at the same time, I have to go to the office. Ada masalah besar. All these things make me tense. I’m so sorry, sayang. I’m sorry because I’m losing control again.” Terang Harris dengan penyesalan.
‘Aisy merenung wajah suaminya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu Harris sedang belajar untuk mengawal sikap panas baran nya. Untuk itu, dia perlu sentiasa menyokong dan memberi peluang kepada Harris. Itulah yang diikrarkan dalam dirinya tatkala dia mengambil keputusan untuk menerima Harris kembali dalam hidupnya.
It’s okay, abang. ‘Aisy sentiasa maafkan abang.” Balas ‘Aisy sambil mengusap-usap belakang tangan Harris.
Thanks, sayang.” Kedua-dua tangan ‘Aisy dibawa ke mulutnya dan dikucup lembut.
“Okay, syarat pertama dah lepas. So, apa syarat yang kedua?” Soal ‘Aisy.
“Syarat yang kedua, abang nak tahu dari A sampai Z apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa Sofia datang ke rumah sewa sayang?” Beritahu Harris.
‘Aisy bungkam dengan syarat kedua yang dikenakan suaminya itu. Tiba-tiba lidahnya kelu. Apakah bentuk jawapan yang harus diberikan kepada Harris?
“Sayang, abang tak nak ada rahsia di antara kita berdua.” Beritahu Harris lembut apabila mulut isterinya seakan terkunci. ‘Aisy mengeluh lemah.
 “Perkara dah berlaku. Rasanya tak perlulah diungkit lagi.” Tolak ‘Aisy.

 “I know. Tapi sebagai suami, abang ada hak untuk tahu.” Desakan Harris sekali lagi mengundang keluhan di bibir ‘Aisy. Perlukah dia menceritakan segala-galanya? Di sebalik serangan Sofia, ada perkara lain yang cuba disembunyikan. Jauh di sudut hati dia bimbang jika perkara itu bakal mengundang kemarahan Harris yang tidak bertepi. Dia tahu apabila Harris marah, lelaki itu mampu melakukan apa saja termasuklah menggunakan pengaruhnya untuk membalas dendam!

3 comments:

  1. bleh plak paksa2 maaf yer harris..sgt tak senonoh..haih

    ReplyDelete
  2. sofiea stu mslah .. mak mntua pn stu mslah .. harris and his anger pn mslah .. duhai aisy tbah la kmu erk

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..