Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday, 2 April 2013

Titian Cinta 31 EV

Kicauan burung yang berterbangan bebas di dada langit menarik perhatian ‘Aisy. Tunak bebola matanya mengikuti pergerakan sekawan burung yang lincah melayangkan sayap mereka dalam keriangan. Sudah hampir setengah jam dia berdiri di balkoni bilik tidur, menghayati keindahan alam ciptaan Tuhan. Mengharapkan kekusutan di benak fikirannya yang kian berselirat bisa terurai. Mencari ketenangan dalam gundah yang bertamu di hati.
Skrin telefon bimbit yang berada di tangan kanannya ditatap. Perlahan tangannya menekan menu Inbox. Khidmat pesanan ringkas yang telah dihantar ke nombor telefonnya lewat petang tadi dibuka. Mesej tanpa nama pengirim yang benar-benar telah mengganggu emosi. Menggugah ketenangan jiwa.
Lemah sungguh hati kau, ‘Aisy. Walau pernah dihina dan dihalau bagai pengemis oleh suami sendiri, tapi masih mampu memaafkan. Selamat pulang ke tanah air, ‘Aisy. Kebahagiaan tidak akan pernah menjadi milik kau, jika kau bersama Harris!
Patah perkataan yang dihantar melalui private number itu dibaca berulang kali. Siapa yang mengirim pesanan berbaur ugutan itu? Siapakah yang bagaikan terlalu cemburu dengan kebahagiaannya bersama Harris? Mungkinkah ini semua angkara Sofia? Siapa lagi yang tidak senang melihatnya bahagia dengan Harris melainkan wanita itu? Tetapi jika betul pengirim itu adalah Sofia, apa tujuan sebenar wanita itu menggunakan private number untuk mengugut nya. Kenapa perlu berselindung sedangkan selama ini Sofia sudah terang-terangan menunjukkan niatnya untuk merampas kembali Harris?
‘Aisy meraup wajahnya. Sebuah keluhan berat terlepas dari bibirnya. Dia sedar, perkahwinannya dengan Harris sejak awal lagi sering diuji dengan pelbagai fitnah. Fitnah yang sengaja ditabur untuk memusnahkan hubungan mereka. Bermula dengan fitnah video lucah yang sehingga kini dia sendiri masih tidak dapat menebak siapa yang bertanggungjawab menyebarkan video itu. Kisah itu seakan senyap begitu sahaja dan Harris sendiri tidak pernah mengungkit lagi selepas mereka berbaik semula.
Sekarang, dia diugut pula. Mungkin kah pengirim mesej ini adalah orang yang sama yang menghantar video lucah itu? Tetapi siapa? Siapakah manusia yang seakan cukup berdendam dengannya? Dendam dengan kebahagian yang sedang dibinanya bersama dengan Harris.
Dendam? Entah kenapa, wajah Daniel terbayang di ruang mata. Sejak dia terserempak dengan lelaki itu di Lemon Grass Café seminggu yang lalu, hatinya beriak tidak tenang. Terbayang-bayang senyuman beku yang terlakar di wajah Daniel dan mata dingin lelaki itu yang dalam diam mengekori setiap pergerakannya. Mungkin kah Daniel masih menyimpan dendam terhadapnya?
Sarat benaknya dengan kemusykilan yang mengundang pelbagai soalan dan tebakan yang bukan-bukan. Hatinya semakin dipagut resah tatkala menyaksikan keakraban Sofia dan Daniel. Bukankah Sofia terlalu membenci Daniel suatu waktu dulu. Sudah lupa kah Sofia terhadap sumpah seranah yang pernah dilafazkannya terhadap Daniel? Begitu mudah pula Sofia memaafkan perbuatan lelaki itu? Atau wanita itu sebenarnya sedang merancangkan sesuatu? Bergabung tenaga dengan Daniel untuk mengenakannya?
Entah kenapa saat itu mudah benar layar ingatannya kembali melakarkan peristiwa silam tujuh tahun yang lepas.
“Betul ke apa yang kita buat ini, Sofia?” Soal ‘Aisy dengan riak resah. Berita penggantungan Daniel dari universiti kerana terlibat dalam kes penculikan hangat menjadi topik perbualan di kalangan teman universiti. Semuanya berlaku selepas dia memfailkan laporan polis terhadap Daniel.
“Buat apa?” Tanya Sofia acuh tidak acuh. Dia masih leka menikmati mi goreng mamak di dalam pinggan. Hatinya berlagu senang. Berbeza dengan ‘Aisy, dia cukup puas dan gembira dengan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Daniel. Penggantungan pengajian lelaki itu benar-benar melegakannya. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu lagi merasa takut untuk bergerak ke mana-mana. Tidak perlu lagi dibayangi lelaki itu.
“Aku rasa tak sedap hatilah buat Daniel macam itu.” Luah ‘Aisy membuatkan Sofia menghentikan suapannya. Wajah teman di depannya dipandang geram. ‘Aisy terlalu berlembut hati.
“Habis itu, kau nak tarik balik laporan polis tu? ‘Aisy, Daniel tu dah lakukan jenayah pada kau. Dia berbahaya. Lagipun kau tak boleh buat apa-apa dah. Pengajian dia dah digantung universiti pun.” Keras nada suara Sofia. Kecil besar matanya memandang ‘Aisy.
“Aku…” Kata-katanya mati di situ. ‘Aisy bungkam. Dia menguis-nguis nasi goreng kampung yang masih tidak terusik. Seleranya bagaikan tiada. Akhirnya dia melepaskan keluhan berat.
Sehari selepas kejadian penculikan itu, Sofia mendesak ‘Aisy untuk membuat laporan polis terhadap penculikan yang dilakukan Daniel. Bersungguh-sungguh Sofia memujuk dan meyakinkannya yang masih berbelah bahagi. Jelas terpancar riak bimbang di wajah Sofia. Sofia mempunyai sebab yang kukuh untuk merasa risau. Membiarkan Daniel lepas bermakna keselamatan Sofia turut terancam. Tidak mungkin dia dapat memaafkan dirinya andai sesuatu yang buruk menimpa sahabatnya itu. Disebabkan itulah, dia akhirnya bersetuju. Bertemankan Rayyan sebagai saksi utama, mereka menuju ke Balai Polis Bandar Baru Bangi.
Sejak itu, hati ‘Aisy tidak pernah tenang. Rasa serba salah sering kali menghantuinya. Banyak perkara yang menerjah fikirannya untuk dipertimbangkan. Bukan sahaja masa depan Daniel yang menjadi cagaran, tetapi dia juga harus mengambil kira hubungan baik di antara kedua ibu bapanya dengan keluarga Daniel. Walaupun orang tuanya tidak pernah mempersoalkan tindakannya membuat laporan polis, tetapi dia dapat mengesan rasa berat hati melalui bicara mereka.
“Aku tahu Daniel bersalah. Tapi aku yakin dia tak berniat nak buat macam itu. Silapnya dia terlalu mengikut perasaan.” Tingkah ‘Aisy dalam nada kesal. Kesal dengan ketewasan Daniel dalam menghadapi kekecewaan. Sehingga lelaki itu sanggup membiarkan cinta merasuk akal, menguasai jiwa dan membutakan hati. Hanya semata kerana cinta yang ditolak lelaki itu sanggup memperjudikan masa depannya sendiri.
“Disebabkan kebodohan dia itulah, dia perlu dihukum. He has to pay for the price. Lelaki tak guna macam Daniel tu perlu diajar. Biar dia sedar diri itu sikit. Dasar budak kampung!” Sumpah Sofia kegeraman.
‘Aisy menekurkan wajah. Dia menelan liur pahit. Sedikit sebanyak hatinya turut terasa dengan perkataan budak kampung yang kerap kali dihamburkan Sofia. Dia juga berasal dari kampung.  
“Tapi, takkan tak ada cara lain? Mungkin Daniel perlu diberi peluang kedua.” Cadang ‘Aisy membuatkan Sofia semakin sentap.
“Kau jangan jadi bodoh, ‘Aisy. Kau boleh beri jaminan ke yang Daniel akan berubah jika diberi peluang kedua?” Bentak Sofia keras. Sakit hatinya melihatkan ‘Aisy yang begitu goyah pendiriannya.
“Aku tak sampai hati, Sofia. Aku kesian dekat mak dan ayah Daniel. Jika dia disabitkan kesalahan, dia akan dibuang universiti. Gelap masa depan dia, Sofia. Lagipun dia dah tahun akhir.” Itulah perkara utama yang membuatkan hati ‘Aisy berbelah bahagi. Dia tidak mahu harapan menggunung tinggi yang disandarkan Mak Nab dan Pak Usop terhadap Daniel musnah. Tidak dapat digambarkan kekecewaan di wajah tua Mak Nab dan Pak Usop seandainya Daniel dihukum di atas kesalahan jenayah yang dilakukannya.
“Dengar sini, ‘Aisy. Sebelum kau kasihankan orang, lebih baik kau kasihankan diri kau sendiri dulu. Daniel tak akan menginsafi kesalahan jika dia tak dihukum. Kau sendiri tahu dia macam mana kan? Dengan dendam dan ketaasuban dia terhadap aku. Dia akan terus memburu aku, ‘Aisy. Inilah satu-satunya cara untuk menjauhkan lelaki tak guna itu dari aku. Dari kau juga. Aku yakin dia takkan lepaskan kita begitu saja. Atau kau nak tunggu sesuatu yang buruk berlaku baru kau nak sedar?” Pertanyaan Sofia membuatkan ‘Aisy termangu-mangu. Dia kehilangan kata. Jauh di dasar hatinya dia sendiri tidak berani untuk mengambil risiko itu.
Akhirnya, dia kalah dengan kata-kata Sofia. Walaupun hatinya cukup berat dia terpaksa meneruskan dakwaan itu. Betapa sukarnya dia melalui saat itu hanya Tuhan yang tahu. Daniel sudahnya dibicarakan dan disabitkan kesalahan di atas cubaan jenayah yang dilakukannya. Keputusan itu telah membuatkan lelaki itu dibuang dari universiti berkuat kuasa serta-merta. Selepas peristiwa itu, dia langsung tidak mendengar khabar tentang Daniel. Mak Nab dan Pak Usop juga telah berpindah ke tempat lain kerana tidak tahan menanggung malu.
“Sayang…” Sepasang tangan tegap yang tiba-tiba melingkari pinggangnya dari arah belakang membuatkan ‘Aisy terkejut hebat. Telefon bimbit terlepas dari tangannya. Lamunannya yang panjang terhenti. Spontan dia meronta dan menepis kasar tangan itu.
“Lepaskan!” Serentak mulutnya menjerit lantang.
“Hey, sayang. Kenapa ni? Ini abang, sayang.” Kata-kata itu membuatkan ‘Aisy terkedu. Tanpa sedar dia menghelakan nafas lega. Degupan kuat di dada kembali mereda.
“Kenapa terperanjat sampai macam ini sekali?” Soal Harris pelik sambil menarik tubuh ‘Aisy mendekatinya. Tangan sejuk si isteri digenggam erat dan diusap lembut. Cuba menyalurkan kekuatan dan mengembalikan semangat yang hilang.
“Err..abang tulah. Tiba-tiba datang peluk ‘Aisy macam tu. Mahunya tak terkejut. Suka buat ‘Aisy macam tu kan.” Tingkah ‘Aisy menutup keresahan yang sedang merantai jiwanya di hadapan Harris. Begitu asyik dia melayan perasaan sehingga langsung tidak menyedari kelibat suaminya yang baru pulang dari kerja. Deruman enjin kereta Harris pun dia tidak dengar.
‘Aisy meleraikan tangannya daripada pegangan Harris. Badannya dibongkokkan untuk mengambil telefon yang terjatuh di atas lantai balkoni.
“Tengok ini, telefon ‘Aisy dah rosak. Sayangnya.” Adu ‘Aisy kedengaran sedikit manja sambil mencebikkan bibirnya. Tangannya lincah cuba menghidupkan kembali telefon bimbit yang telah dihadiahkan oleh Harris. Inilah salah satu sebab kenapa dia tidak gemar menggunakan telefon canggih. Bila dah terlalu canggih, ketahanan pula kurang. Terhempas sedikit pun dah boleh padam.
Senyuman lebar menguntum di bibir Harris. Senang hatinya dengan kemanjaan yang dipamerkan ‘Aisy. Isterinya itu sudah berani merajuk manja dengannya. Sedikit demi sedikit ‘Aisy yang dahulu telah kembali menonjolkan diri. Satu perkembangan yang positif!
“Sayang muncung bibir macam tu saja nak goda abang ke? Nak minta dicium ke?” Harris tergelak kecil mengusik. Raut wajah ‘Aisy yang mula memerah itu ditatap dengan penuh rasa kasih yang mendalam. Pinggang ‘Aisy dipeluk erat dan tubuh wanita itu di bawa rapat ke badannya.
“Abang, ‘Aisy tengah risaukan telefon ini. Cuba abang tengok ini. Dah tak boleh nak on.” ‘Aisy cuba memancing perhatian Harris. Disuakan telefon itu di hadapan muka suaminya.
“Kalau macam itu sayang on kan abang sajalah.” Ujar Harris sambil menjongketkan kedua belah keningnya nakal. Dia mengambil telefon di tangan ‘Aisy dan memasukkannya ke dalam poket seluar. Dia mendekatkan mukanya ke wajah ‘Aisy. Aduan si isteri langsung tidak dipedulikan. Apa susah? Kalau dah rosak, beli saja yang lain. Begitu mudah lelaki berduit seperti Harris ini berfikir.
“Mulalah nak menggatal tu. Suka sangat ambil kesempatan.” Pantas ‘Aisy menekup bibirnya sambil melarikan wajahnya sedikit menjauh. Namun, pergerakannya sedikit terbatas dek pelukan erat tangan Harris.
“Eh..nak cium isteri yang dah halal pun dikira ambil kesempatan ke? Bukankah berkasih sayang dengan isteri ini sunah Rasulullah. Pahala ganjarannya, sayang.” Kata-kata lembut Harris itu membuatkan lidah ‘Aisy kelu. Sejak akhir-akhir ini, entah kenapa bait-bait bicara yang meniti di bibir lelaki itu sering membuatkan hatinya tersentuh. Walaupun kadang-kadang ayat yang dituturkan begitu ringkas dan bersahaja, namun hentakannya terasa begitu bermakna.
Sinar mata ‘Aisy bersabung dengan anak mata Harris. Jari-jemarinya yang sedang menekup mulutnya dileraikan oleh Harris. Kali ini, hatinya bagai merelakan segala perbuatan suaminya itu. Lalu, bibir Harris jatuh di atas dahinya. Sebuah kucupan hangat dan lama singgah di situ. Dia memejamkan mata terbuai dengan sentuhan itu. Keresahan di hati bagaikan dihambat pergi. Gusar di jiwa hilang entah ke mana. Benarlah kasih sayang yang suci itu bagaikan ubat yang bisa merawat hati dan jiwa.
“Abang cintakan sayang, terlalu cinta.” Bisik Harris romantis. Ungkapan indah yang kerap kali meniti di bibir suaminya itu tidak pernah gagal membuatnya merasa bahagia. Tanpa sedar tangannya turut mendarat di pinggang Harris. Turut membalas pelukan itu. Wajahnya disembamkan ke dada bidang Harris.
Dalam keasyikannya melayan keindahan perasaan yang membuai jiwa, mata ‘Aisy menangkap satu kilatan sinar cahaya. Dari ekor mata, dia seakan dapat melihat bayangan seseorang di sebalik pagar batu. Dia cuba memusatkan pandangan ke arah itu, namun tiada apa yang pelik dikesan oleh matanya di situ. Lagipun, jarak dari balkoni ke pagar yang agak jauh turut membataskan daya penglihatannya.
Fikirnya mungkin pandangan matanya yang tersilap. Tetapi, entah kenapa hatinya tidak mahu menidakkan apa yang telah dilihatnya tadi. Buat kali kedua dia menoleh kepalanya ke arah pagar. Kosong. Tiada sesiapa di situ.
“Sayang tengok apa?” Soal Harris pelik dengan tingkah laku ‘Aisy. Dia turut menghalakan pandangannya ke arah yang sama.
“Tak..tak ada apa-apa.” Jawab ‘Aisy gugup. Pantas dia menggelengkan kepala laju. Harris memandangnya tidak berkelip. Riak wajah suaminya itu penuh dengan tanda tanya.
You are acting weird lately. Sayang sembunyikan sesuatu daripada abang ke?” Pertanyaan Harris membuatkan ‘Aisy terkesima. Harris sering kali dapat membaca apa yang sedang bermain di fikirannya.
“Pelik? Mana ada.” Balas ‘Aisy sambil mengukirkan senyuman manis. Segera menutup kegugupannya.
Dia tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu Harris tentang ugutan yang diterimanya. Kisah ugutan yang mungkin akan membongkar cerita tentang Daniel. Bimbang suaminya itu akan tersalah anggap. Dia cukup maklum dengan cemburu suaminya yang kadang-kadang tidak bertempat. Lagipun dia tidak rela rasa bahagia yang baru diraih kembali tercalar. Sudah tidak sanggup mengulangi keperitan yang bertahun-tahun menemani hidup.
Are you sure, sayang?” Tanya Harris tidak percaya. Keraguan lelaki itu sedikit membuatkan ‘Aisy merasa lemas.
Yes, I’m sure. Cuma, mungkin ‘Aisy stress dengan kerja di pejabat. Sejak dilantik menjadi penyelaras program ini, makin bertimbun-timbun workload.” Dalih ‘Aisy mencari alasan. Memang sejak akhir-akhir ini dia tidak menang tangan dengan beban kerjanya. Skop tugas sebagai pensyarah yang merangkumi pengajaran, penyeliaan, pengurusan, penyelidikan dan penerbitan benar-benar mencabarnya. Itu belum termasuk dengan mesyuarat yang perlu dihadirinya hampir setiap hari. Masa kerja sembilan jam sehari yang diperuntukkan seakan tidak pernah cukup.
“Kalau macam itu, sayang berhentilah kerja. Duduk rumah, jaga abang saja. Kalau bosan, sayang kerja dengan abang. Lagi bagus. Bila-bila masa abang boleh jumpa sayang.” Cadang Harris mudah. Tercengang ‘Aisy mendengarkan saranan suaminya itu.
“Abang ini ke situ pula. ‘Aisy cakap macam tu bukan bermakna ‘Aisy tak suka dengan kerja ‘Aisy. You know I love this job very much, kan.” Tingkah ‘Aisy membuatkan Harris tersenyum tipis.
Tekanan di tempat kerja bukanlah masalah besar baginya. Walaupun tertekan, dia masih mampu mengawalnya. Tidak mungkin dia akan melepaskan jawatan yang menjadi cita-citanya sejak dari kecil lagi.
“Abang tahu. Dan abang tak pernah lupa kesungguhan sayang memujuk abang untuk benarkan sayang bekerja dulu.” Harris mengenyitkan matanya nakal.
‘Aisy segera melarikan wajahnya ke arah lain. Tidak sanggup dia mengingati balik keberanian yang telah dilakukannya semata-mata untuk mendapatkan kepercayaan Umary Harris untuk mengizinkannya bekerja. Memang kerja gila!
“Tapi kan, agak-agak malam ini boleh tak kalau abang nak tengok sayang dalam gaun merah tu lagi?” Serta-merta wajah ‘Aisy terasa panas tatkala mendengarkan usikan nakal Harris.
“Mulalah tu nak melalut bukan-bukan.” Tegur ‘Aisy sambil menjeling manja. Harris tergelak kuat sambil meraih tubuh wanita itu ke dalam pelukannya.
Oh, I really miss that moment, sayang. You look so sexy in that dress.” Bisik Harris membuatkan ‘Aisy menyembamkan wajahnya ke dada Harris. Malu tetapi bahagia!
“Tapi kan, apa yang buat abang tertanya-tanya sampai sekarang, apa sebenarnya niat sayang? Was it because you really want to get my permission or you were trying to seduce me, hemm? Yalah, you know how we ended up that night kan?” Tanya Harris masih lagi berniat untuk mengusik. Entah kenapa petang itu hatinya begitu bahagia mengingati kembali malam indah itu. Malam yang menjadi kenangan yang tidak mungkin dia akan lupakan buat seumur hidupnya. Malam di mana dia dan ‘Aisy benar-benar bersatu sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya. Malam yang telah menyaksikan satu nyawa ditiupkan ke dalam rahim ‘Aisy. Walaupun nyawa itu cuma singgah buat seketika waktu.
“‘Aisy memang tak ada niat lain. What had happened that night wasn’t in my plan. ‘Aisy hanya nak minta kebenaran abang untuk terima tawaran kerja tu. Tapi, ‘Aisy takut abang tak benarkan. Abang kan garang sangat dengan ‘Aisy masa tu.” Bela ‘Aisy bersungguh-sungguh.
Semuanya kerana terpedaya dengan saranan Sakeena ketika dia sedang terdesak mencari jalan untuk memujuk Harris yang begitu dingin dan beku waktu itu. Temannya itulah yang beria-ia menyuruhnya membeli jiwa Harris dengan makan malam yang romantis. Dengan penuh semangat, dia memasak lamb chop yang merupakan makanan kegemaran Harris. Tidak cukup dengan itu, dia disuruh memakai gaun merah ketat separas lutut yang pernah diberikan oleh Sakeena sebagai hadiah perkahwinannya.
“Betul ke ni, sayang? Hemm..kalau setakat nak dapatkan kebenaran abang, kenapa perlu pakai gaun seksi tu? Unless…”
“Dah mulalah tu nak mengarut balik. Daripada layan abang ini kan, lebih baik ‘Aisy masuk dalam dulu. Mandi. Lagipun maghrib dah nak masuk ini.” ‘Aisy segera memotong kata-kata Harris. Sebelum suaminya itu mula melalut yang bukan-bukan dan membuatnya bertambah segan, lebih baik dia melarikan diri. Dia meleraikan pelukan dan mula mengorak langkah masuk ke dalam bilik.
“Okay, sayang. Jom.” Langkahnya terhenti apabila tangan Harris melingkar di atas bahunya.
“Jom ke mana?” Tanya ‘Aisy pelik. Senja-senja begini takkan hendak keluar kot.
“Tadi sayang cakap nak mandi. Abang pun nak mandi juga ni. Jomlah kita mandi sekali.” Beritahu Harris sambil melirik senyum menggoda.
“Err..kalau macam itu, abang mandi dululah.” Tolak ‘Aisy lembut. Dia melangkah ke ampaian untuk mengambil tuala dan dihulurkan kepada Harris.
Tuala itu tidak disambut Harris. Sebaliknya timbul idea nakal di benaknya. Tangan kejap itu segera mencempung tubuh ‘Aisy.
“Sayang tahu tak, Rasulullah sendiri sering mandi bersama dengan isterinya Aisyah dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Beritahu Harris sambil mengenyitkan matanya. Langkah diayun dengan mudah ke arah bilik mandi.

‘Aisy yang tidak menyangka dengan tindakan berani Harris tergamam. Kata-kata Harris benar-benar membuatnya terpaku. Tanpa sedar, tangannya melingkar kemas di leher Harris. Dan tanpa sedar, hatinya bagai merelakan perbuatan Harris.

2 comments:

Tinggalkan jejak anda..