Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday 16 May 2013

Temu Duga Cinta Bab 12


Sebaik melangkah keluar dari bilik pejabat Ikram, aku mengeluh lega. Terasa macam baru terlepas dari mulut buaya saja. Semakin hari aku rasa Ikram tu dah serupa ulat bulu naik daun. Memang sesuai sangat kalau aku labelkan Ikram ini Mr. beluncas. Kenapa? Mari aku bentangkan teori aku.
Teori pertama. Sifat ulat bulu a.k.a. beluncas yang suka benar merayap dan meratah daun pucuk muda yang licin. Samalah macam tangan si Ikram yang sesuka hati merayap pada kulit tangan gadis muda macam aku ini. Tahulah tangan aku ini gebu dan licin. Maklumlah aku kan pucuk muda yang suci dan naif.
Teori kedua. Keunikan yang nyata seekor beluncas apabila mampu membuatkan kulit yang bersentuhan dengannya sama ada secara sengaja atau tidak terasa gatal-gatal. Itulah yang aku rasa saat ini. Rasa macam dah dicemari. Miang. Susah payah aku jaga kulit aku ini khas untuk suami aku. Dia pandai-pandai rasmi dulu. Balik nanti kena samak dengan tanah liat ni. Aduh ‘Ain, kau ingat kulit Ikram tu najis Mughallazah ke? Okay, aku over reacting!
“Ehem..” Suara Uzair yang berdeham kuat memangkas monolog aku. Boleh aku biarkan kepala otak ini menerawang fasal teori persamaan beluncas dan Ikram sedangkan Uzair tercongok di depan aku ini dari tadi.
Wajah Uzair yang sedang beriak tanpa perasaan ku pandang. Biarpun kadang kata-kata sinis Uzair sering buat jiwa aku terangah tetapi aku terhutang budi dengan apa yang telah dilakukan lelaki ini semasa di dalam bilik Ikram sebentar tadi. Baiknya Uzair kerana prihatin dengan keadaan aku yang tidak selesa bila diasak Ikram. Puji ku ikhlas di dalam hati. Senyuman nipis ku ukirkan.
“Err..terima kasih tolong cover saya tadi.” Ucap ku perlahan. Pintu bilik Ikram yang tertutup rapat ku kerling sekilas. Orang berbudi kita berbahasa. Jadi lafaz terima kasih memang patut aku ungkapkan kepada Uzair. Memaknakan penghargaan aku atas pertolongannya.
“Hmm..kenapa tak biarkan encik Ikram hantar awak? Dah ada orang nak sorongkan bantal masa mengantuk, kenapa tak ambil?” Tanpa membalas kata-kata ku Uzair menyindir ku pedas.
Aku mengetap bibir. Tengok tu. Baru saja hati aku nak merasa sejuk dengan lelaki sarkastik ni, dia buat darah aku mendidih balik. Ada saja perkara yang dia nak cari gaduh dengan aku.
“Kalau yang menghulur tu spesies ulat beluncas naik daun baik tak payah.” Gumam ku menahan sabar.
“Ya ke? Tapi kenapa saya rasa kata-kata awak ni tak seiring dengan perbuatan? Atau…” Uzair meleretkan suara. Dia mendekatkan tubuhnya pada aku lalu kepalanya sedikit ditundukkan. Bibirnya begitu hampir dengan telinga ku sebelum dia menyambung kata.
“Awak sengaja jual mahal kan? Playing hard to get emmm? Yalah.. encik Ikram tu kan handsome dan kaya. Bos pula tu kat sini. Takkan awak tak terpikat kot? Untung-untung boleh tumpang senang.”
Berdesing telinga aku dengan ungkapan sinis Ikram. Dada ku mula berombak geram. Tuduhan dia sungguh menyakitkan hati. Boleh tak kalau aku tarik balik pujian aku tadi pada lelaki ini?  
“Mulut awak ni busuk macam belacan!!!” Nada suara ku naik satu oktaf.
Uzair tersentak dengan kata-kata ku. Segera dia mengangkat wajahnya yang sedikit berubah menjauh dari ku.
Mentang-mentang aku orang yang tak berduit sewenang-wenang dia nak tuduh aku semurah itu? Kalau aku ini perempuan mata duitan, aku tak pilih untuk terus hidup susah bersama mak di Kampung Chamang. Malah kalau ikutkan hati, aku ingin terus tinggal di kampung halaman ku itu. Tapi peluang kerja di kampung yang agak terbatas membawa kaki aku merantau ke ibu kota. Sebab utamanya aku nak balas jasa mak yang telah bersusah payah semata-mata untuk membesarkan aku.
“Saya tak hadap duit lelaki kalau nak hidup senang. Memang saya ni miskin tapi tak bermakna saya sanggup gadaikan maruah kerana nak hidup senang dengan cara mudah. Apa..awak ingat perempuan macam saya ni tak boleh nak berjaya dengan kudrat sendiri?” Bidas ku keras. Jari telunjuk ku angkat tinggi agar selaras dengan muka Uzair. Anak mata ku tepat memanah tajam ke dalam mata coklatnya.
Tiba-tiba pintu bilik Ikram terkuak dari dalam. Aku kalih ke sisi. Tersembul wajah Ikram dengan senyuman manis nan menggodanya itu. Segera tangan ku jatuhkan ke bawah.
Thank God both of you are still here.” Keluh Ikram lega. Dia melangkah menghampiri aku dan Uzair.
Segera aku memaniskan wajah. Senyuman kelat ku ukirkan. Janganlah Ikram perasan dengan pertelingkahan aku dan Uzair. Bimbang kalau lelaki ini kembali mendesak untuk menghantar aku pulang ke kampung. Entah kenapa aku lebih rela bertikam lidah dengan Uzair daripada duduk berdua di dalam kereta bersama Ikram. Sekurang-kurangnya Uzair tak pernah dengan sengaja mengambil kesempatan menyentuh aku tanpa lapik.
“Bila you all nak bertolak ni?” Soal Ikram sambil mengerling jam tangan Montblanc di pergelangan.
“Sekarang!”
“Sekejap lagi.”
Serentak aku dan Uzair bersuara tapi malangnya dengan jawapan yang berbeza. Ikram terpinga-pinga memandang aku dan Uzair silih berganti.
“Maksud I kami dah nak siap bertolak dah ni. Cuma tunggu ‘Ain kemas apa yang patut.” Balas Uzair sambil matanya mengisyaratkan aku dengan isyarat yang aku sendiri tak faham. Dia ingat aku ini ahli silap mata? Boleh baca kata hati dia guna kuasa psikik?
Sudahnya aku menuju ke arah meja pejabat. Pura-pura mengemas ruang yang sudah aku kemaskan awal tadi. Kemudian beg galas ku ambil dan sandangkan di kepala bahu kanan. Manakala tangan kiri ku membimbit beg pakaian yang ku letakkan di atas lantai.
“Jom.” Aku mengajak Uzair.
“Saya balik dulu, encik Ikram. Jumpa hari Isnin ni.” Ucap ku meminta diri.
Aku mula mengatur langkah. Dari ekor mata, aku lihat Uzair turut mengikuti langkah ku dari belakang.
“Tunggu! I hantar ‘Ain ke bawah.” Tutur Ikram menghentikan langkah ku.  Aku memusingkan tubuh seratus lapan puluh darjah.
“Err..tak payah, encik Ikram.” Tolak ku bersungguh-sungguh.
I rasa lebih baik I temankan ‘Ain sampai ke kereta. Bukan apa I just want to make sure you’re safe and sound. Barulah hati I ni tenang.” Kata-kata Ikram yang romeo habis tu bagaikan menjerut leher ku.
“Tak perlu susah-susah. Bukannya ada penjahat nak culik saya pun kat luar sana. Lagipun encik Uzair ada.” Aku geleng kepala laju.
Sesekali bebola mata aku singgah di wajah Uzair yang diam membisu. Mengharapkan lelaki itu membantu aku. Masak aku kalau terpaksa teruskan lakonan ni sampai ke bawah.
“Di KL ni macam-macam ada, ‘Ain. Jangan ambil mudah terutamanya dengan penculik hati. Sebab itulah I kena berhati-hati untuk ‘Ain.” Pesan Ikram menjeling tajam pada Uzair. Semacam saja kerlingan lelaki itu. Macam tak puas hati pun ada.
Bibir Uzair hanya terkatup rapat. Dia macam biasalah dengan wajahnya yang tak berperasaan tu. Kadang-kadang aku rasa kayu lagi punya perasaan daripada lelaki sarkastik ni.
“Penculik hati? Maksud encik Ikram, ada sindiket culik dan jual hati ke?” Aku mengerutkan dahi cuba mentafsir kata-kata Ikram. Menyeramkan sungguh kehidupan di bumi Kuala Lumpur ni sampaikan ada sindiket jual beli hati manusia. Dunia zaman sekarang. Yang susah makin terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan yang kaya sanggup berhabis duit asal dapat menyelamatkan nyawa. Halal haram tolak tepi.
“Bukan untuk dijual, ‘Ain. Tapi hati ini untuk dimiliki oleh yang berhak..” Ikram ketawa lucu dengan pertanyaan ku. Tangan kanannya ditekapkan ke dada.
“Jadi sebelum ‘Ain serahkan pada yang berhak, biarlah I yang jaga hati ‘Ain dulu. Kalau barang atau duit yang hilang tak apa lagi. Tapi kalau hati ‘Ain yang hilang lagilah I risau..” Sambung Ikram puitis. Kata-kata yang mampu membuat hati perempuan cair. Memang itu pun kepakaran lelaki yang bermulut manis macam gula-gula ni.
Aku terkedu. Oh..kononnya dia sedang bimbang aku akan serahkan hati aku pada penculik hati yang tak berhak? Dia berkias pada Uzair ke? Tak ada maknanya Uzair nak jadi penculik hati aku. Kalau pemanas hati takat didih tu aku percayalah. Dia ni sedang buat lawak antarabangsa ke? Tak berapa nak kelakar, okay. Ikram tak tahu ke orang yang sepatutnya aku kena hati-hati tu dia?
 “Macam bapak ketam ajar anak jalan lurus.” Bisik ku perlahan pada diri sendiri. Dalam diam aku mencebikkan bibir.
“Hah..apa you cakap, ‘Ain?” Pertanyaan Ikram hampir membuat aku tersedak.
“Errr..tak..tak ada apa-apa..” Balas ku gelabah. Sempat aku menangkap senyum senget yang terbias di tubir bibir Uzair.
So, shall we?”
Aku hanya mampu menurut langkah Ikram. Kering alasan untuk menolak. Kontang idea untuk berdalih. Uzair pula aku lihat macam tak nak beri kerjasama langsung.
 @@@
Ikram benar-benar mengiring aku sehingga ke ruang parking yang terletak di tingkat bawah. Bukan itu saja. Dia pastikan aku selamat berada di tempat duduk penumpang di sebelah Uzair yang bertindak sebagai pemandu. Mujur tangan aku cepat menarik tali pinggang keledar untuk melilit tubuh ku. Kalau tidak harus Ikram sanggup pakaikan untuk aku juga.
“Ingat Uzair apa yang I pesan tadi. Hantar ‘Ain terus ke kampung. Jangan pandai-pandai nak melencong ke lain pulak. Kalau nak memancing, jangan sampai termakan umpan sendiri.” Tekan Ikram mengingatkan Uzair. Dia menutup pintu kereta. Kepalanya dijengahkan sedikit ke dalam kereta melalui tingkap di bahagian penumpang.
You jangan bimbang. I bukannya pagar yang suka makan padi.” Balas Uzair dengan senyum herot di bibir.
Aku hanya diam mendengar. Sungguh aku tak faham dengan apa yang sedang dituturkan dua lelaki ini. Pancing, umpan, pagar, padi. Mereka berdua ni nak pergi memancing ikan di sawah padi ke? 
“Kalau nak memancing, encik Ikram boleh ke kampung Mambang dekat Pekan. Kampung asal mak saya. Macam-macam jenis ikan dalam sawah kat kampung tu. Ada ikan sepat, ikan puyu..haruan pun ada. Dulu, masa kecik-kecik rajin juga mak bawa saya balik ke Pekan. Pernah jugalah sekali dua saya memancing..”
“Ehem..” Dehem Uzair menghentikan bicara aku. Aku kerling Uzair yang sedang memandang aku tajam. Eh, aku salah cakap ke? Sekadar berbasa-basi dengan bos takkan tak boleh. Aku ajak-ajak ayam saja pun.
“Oh really? Next time I will, ‘Ain.” Ikram mengangguk sambil mengenyitkan mata.
Aku kalih wajah ke depan. Berbulu biji mata dengan lagak Ikram ni.
“Okay, ‘Ain. Take care ya. Uzair, drive safely.” Pesan Ikram sebelum kembali menegakkan tubuhnya.
Uzair mengangguk sekali. Gear digerakkan ke kotak D. Beberapa saat kemudian, kereta Vios milik Uzair meluncur keluar dari bangunan Gemilang Holdings. Dari cermin sisi aku melihat tubuh Ikram yang masih tercegat di tempat parking. Dia masih tetap berada di situ sehingga bayangannya tidak lagi dapat dilihat oleh pandangan mata ku.
Di dalam kereta, masing-masing hanya membiarkan suasana sepi yang berbicara. Sama ada aku atau Uzair tiada walau sepatah kata yang meniti di bibir kami. Aku menghalakan pandangan ke luar. Kesesakan lalu lintas di waktu kemuncak begini menyebabkan pergerakan kereta sangat perlahan. Macam kura-kura berjalan. Silap-silap kura-kura pun lagi laju.
Jam di dashboard sudah menghampiri pukul enam petang.  Bolehlah aku minta Uzair berhentikan kereta di perhentian bas berdekatan. Dari situ aku boleh ambil bas RapidKL untuk pulang ke rumah. Aku tahu aku dah tak sempat nak kejar bas terakhir ke Bentong. Nampaknya besok pagi sajalah aku bertolak ke kampung.
“Errr…”
“Awak ni memang sengaja ambil kesempatan kan?” Pertanyaan Uzair membuatkan aku menolehkan wajah ke kanan. Lelaki yang segak berkaca mata hitam itu aku renung.
“Maksud awak?”
“Sengaja kan awak gunakan saya dan kereta saya ni. Yalah..dapat balik free ke kampung. Naik kereta yang lengkap berhawa dingin siapa tak nak.” Sinis Uzair. Pandangannya tegak ke depan.
Aku mengetap gigi sekuat hati. Mujur gigi aku ini cukup kalsium. Kalau tidak dah lama rongak agaknya sebab asyik duk kancing gigi menahan geram dengan kata-kata Uzair. Kenapalah dia ni selalu sangat menduga kesabaran aku?
Sabar ‘Ain. Sabar.. Tenang ku di dalam hati. Aku menarik nafas dalam. Memang si Uzair sarkastik ni perlu diajar.
“Memang pun. Memang saya sengaja ambil kesempatan. Wah…bestnya dapat naik kereta Vios ni. Emmm..selesanya..sejuk.. Dahlah ada pemandu tak bergaji yang tolong hantarkan.” Balas ku dengan suara yang buat-buat teruja. Sengaja aku gunakan reverse psychology. Aku nak tengok siapa yang lebih sakit hati.
Uzair diam tidak membalas. Melalui ekor mata aku perasan perubahan pada riak wajahnya. Aku tersenyum menang.
“Warrghhhh..” Aku buat-buat menguap.
“Lama lagi kot nak sampai kampung saya ni. Emmm..penat rasanya. Saya tidur dulu ya. Nanti dah sampai awak kejutkan saya.” Sindir ku. Tangan ku menggagau pelaras untuk menurunkan kerusi. Sebaik kerusi dilaraskan aku menyandarkan tubuh dengan selesa di belakang kerusi.
“Banyak cantik muka awak.” Gumam Uzair menahan bengang.
“Terima kasih atas pujian awak.” Balas ku menahan senyum. Dalam hati aku gelak jahat. Kalaulah aku dapat rakam mimik wajah Uzair saat ini, mahu rasanya aku cetak besar-besar dan gantungkan di papan billboard.  
Uzair menekan pedal minyak. Tiba-tiba dia membelok keretanya ke kiri secara mengejut membuatkan tubuh aku terhempap ke pintu kereta. Dia membrek kuat sehingga berdecit tayar kereta. Ni apa hal tiba-tiba drift kereta macam samseng jalan raya?
“Cik puan muda, sebelum kita bertolak ke kampung cik puan muda, sila bayar dulu duit minyak kereta ya.” Uzair tersenyum sambil menadah tangannya pada aku.
Aku bingkas bangkit menegakkan tubuh. Kereta Uzair betul-betul berhenti di Stesen Minyak Petronas.
“Ddd..duit minyak?” Soal ku sedikit gelabah. Aku memang fobia kalau berkait fasal duit ni.
“Yalah..kereta ni nak jalan pakai minyak. Minyak tu kena beli dengan duit. Bukannya boleh bayar dengan air liur.” Sindir Uzair berapi.
Uzair ni memang sengaja nak kenakan aku. Bukannya kereta dia ni tak ada minyak pun. Aku tengok paras minyak di skrin dashboard baru saja luak satu bar. Berkira sungguh mamat ni!
Aku capai beg sandang. Dompet hitam berjalur merah aku keluarkan.
“Nah.” Aku hulurkan sekeping not lima ringgit dan tiga keping duit syiling dua puluh sen kepadanya.
“Awak ingat nak isi minyak motosikal ke?” Uzair membuka cermin matanya. Dia mencerlang tajam pada aku. Duit yang aku hulur langsung tidak bersambut.
“Eh..lima ringgit enam puluh sen ni harga tambang tiket bas Maraliner dari KL ke Bentong tau. Samalah kan. Ni kira saya bayar harga tambanglah ni.”
“Itu tambang bas. Sekarang awak naik kereta. Siap dengan driver. Bak sini lima puluh ringgit.” Tukas Uzair. Lima batang jarinya digerakkan.
“Hah! Lima puluh ringgit??? Awak ni nak pergi Mekah balik hari ke?” Sindir ku. Memang cekik darah betul Uzair ni.
“Awak ni banyak soal lah. Cepat, saya nak isi minyak ni. Tu kereta kat belakang berderet tunggu turn nak isi minyak.” Desak Uzair.
Aku merengus. Daripada aku keluarkan duit untuk lelaki kedekut tahi hidung masin ni, lebih baik aku keluar dari kereta. Dia ingat aku hadap sangat nak naik kereta dia ni.
“Saya tak ada duit. Saya turun kat sini je.” Ujar ku memasukkan semula sekeping not lima ringgit dan duit  syiling ke dalam dompet. Beg sandang ku galas. Tangan ku menekan punat kereta. Sebelum picu kereta ku tarik, punat kereta itu kembali terkunci secara automatik. Siapa lagi kalau bukan Uzair yang punya angkara.
“Jangan harap awak boleh keluar sebelum bayar duit minyak kereta saya.” Uzair menekan suaranya.
“Saya tak ada duit.” Gumam ku.
“Buka pintu ni. Saya nak turun.” Pinta ku menahan suara.
Uzair menggelengkan kepala. “Duit mana?”
Ya ALLAH. Lelaki ni memang mata duitan sungguh. Bencinya!
“Saya kan dah kata saya tak ada. Kalau awak nak sangat duit saya, lima ringgit enam puluh sen saya boleh bagi.” Nada suara aku meninggi. Mujur tingkap kereta ini kedap bunyi. Kalau tidak mahunya satu stesen Petronas ni  tertumpu pada aku.
Tiba-tiba tingkap kereta di sebelah Uzair diketuk dari luar. Dia menurunkan cermin kereta. Terpacul seorang pekerja Petronas dengan wajah yang serius.
“Encik ni nak isi minyak ke tak? Kalau tak, tolong alihkan kereta encik ke tepi sebab kat belakang kereta encik ni dah berderet menunggu giliran.” Teguran lelaki dalam seragam hijau itu membuatkan aku mengalih pandang ke belakang. Memang berderet sungguh. Sampai ke jalan raya. Keadaan yang sedia sesak menjadi semakin teruk.
Uzair mengangguk sekali. Cermin matanya kembali disangkut di celah telinga. Tanpa suara dia menukar gear dan menekan pedal. Menyusur laju ke arah jalan raya.
“Saya tak habis lagi dengan awak.” Bentak Uzair. Matanya tegak memandang jalan.
“Depan sana ada bus stop. Drop saya dekat sana.” Pinta ku tanpa mempedulikan kata-kata Uzair. Jari telunjuk ku halakan ke depan.
Uzair langsung tidak beriak. Tidak mengiakan mahupun menolak permintaan aku.
“Awak dengar tak saya kata ni?” Soal ku mengetap bibir.
Dia tetap juga bisu. Aku tahu memang dia sengaja begitu. Sengaja untuk terus membakar perasaan aku.
“Berhenti kat sini awak.” Pinta aku lagi sebaik kereta Uzair melalui perhentian bas yang aku maksudkan. Tetapi lelaki sarkastik ni bukan dia nak berhentikan keretanya, malah semakin laju dia memecut meninggalkan perhentian bas jauh ke belakang.
Aku mendengus kuat. Nafas ku tarik dalam. Mencari sisa kesabaran yang sudah tercarik.  
“Ada apa nak berhenti kat situ?” Uzair menyoal ku.
“Ooo..kat situ ada orang jual nasi lemak sedap. Saya nak makan nasi kat situ.” Balas ku sinis. Nampaknya aku pun dah jadi sarkastik macam lelaki di sebelah aku ni. Buat apa lagi di perhentian bas kalau bukan nak naik bas. Lagi mahu tanya ke? Grrrr…
 “Apa pun alasan awak. Jangan harap saya akan berhenti.” Meletus tawa dari mulutnya. Entah kenapa aku rasakan tawanya itu lain macam saja bunyinya. Aku mengerling sekilas ke arah Uzair yang sedang tersenyum senget.
Tiba-tiba terbit rasa cuak di hati aku. Baru aku sedar, sekarang ni aku hanya berdua di dalam kereta bersama lelaki yang aku tak kenal hati budinya. Entah kenapa aku boleh jadi seberani ini dengan Uzair. Entah-entah Uzair pun sama spesies dengan Ikram. Spesies ulat beluncas naik daun. Jangan-jangan aku keluar mulut buaya, masuk mulut harimau tak. Prasangka ku di dalam hati.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Suara ku mengendur dihimpit rasa takut.
Uzair tidak menjawab pertanyaan aku. Dia hanya melemparkan senyum ngeri. Semakin membuatkan hati aku ditembak rasa cuak. Kereta semakin laju membelah lebuh raya. Jalan kiri kanan semakin sunyi.
“Cakaplah awak nak bawa saya ke mana?” Soal ku separuh merayu. Namun Uzair masih diam.
Tubir mata ku mula digenangi air. Habislah aku. Entah-entah Uzair ini perogol bersiri. Kepala otak aku mula membayangkan kes-kes jenayah rogol dan bunuh yang sering terpampang di dada akhbar. Silap-silap besok kisah aku pula yang dicetak di muka depan akhbar.
Seorang gadis ditemui mati dengan kesan rogol. Mayat dibuang di dalam gaung.
“Tidak!!!” Tanpa sedar aku menjerit kuat. Aku memejamkan mata rapat. Laju air mata yang turun di pipi menggambarkan ketakutan yang bersarang hebat di hati.
Uzair yang tersentak dengan jeritan nyaring aku segera memberhentikan keretanya di birai jalan.
“Awak ni kenapa?” Uzair mendengus. Tangannya mendarat di bahu ku.
“Tolonglah awak. Jangan apa-apakan saya. Lepaskan saya.” Aku menjarakkan diri ku. Uzair tergamam sebaik melihat air mata yang mengalir deras di pipi ku.
 “Tolonglah lepaskan saya. Awak ambil lah semua duit saya. Tapi tolonglah benarkan saya turun dari kereta awak.” Rayu ku berkali-kali. Esak tangis ku semakin kuat.
“Shhh….jangan menangis.” Uzair memujuk perlahan.
“Awak tak boleh turun sekarang.” Tambah Uzair.
“Tolonglah jangan apa-apa kan saya.”
“Hish…apa yang awak merepek ni, ‘Ain? Awak ingat saya ni perogol bersiri ke?” Tebak Uzair bagaikan dapat membaca apa yang sedang bermain di fikiran aku.
“Bukan ke?” Soal ku berterus-terang.
Uzair tersenyum lucu. Ada tawa kecil meletus di bibirnya. Entah kenapa rasa takut aku sedikit hilang dengan senyuman itu. Tangis ku mula reda.
“Jangan risau. I’ll make sure you’re safe and sound sampai ke kampung awak. Hemm..” Tenang bicara Uzair.
“Lagipun kalau saya turunkan awak kat sini, teruk saya kena nanti dengan encik Ikram. Kalau saya tinggalkan awak kat luar tu, berani ke awak duduk dalam senja-senja begini sorang diri?”
Aku menelan liur. Kata-kata Uzair memang masuk akal. Keadaan luar yang sudah mula gelap dan kiri kanan yang hanya dilitupi semak samun membuatkan aku berfikir dua kali juga untuk turun.
Melihat aku hanya mendiamkan diri, Uzair kembali meneruskan pemanduan. Keadaan kembali sepi. Hanya ditemani alunan suci bacaan al-Quran menandakan sekejap lagi azan Maghrib akan berkumandang.

23 comments:

  1. hahaha.. tdi ain brani sgt dgn uzair.. last2 menangis.. haha.. nakal sungguh si uzair ni buat ain mcm tu.. best betoi utk part 12 ni..
    sorry ridhya, sy tertinggal nk komen utk part 11..
    sambunglah cepat2 utk part 13..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Uzair the cheeky one. Thanks following TDC

      Delete
  2. kat chamang rasanya x de sawah padi ya, takut nanti ada org cakap penulis ni menulis sesuka hati je.... jangan marah ya

    Hairiah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha..memang saya tahu..tp aci tak kalau saya nak buat jugak ada sawah padi..hahahaaha.. Kampung chamang ada air terjun yang cantik...hehehehe

      Delete
  3. imaginasi ain ni tinggi lah pulak. blh lg bayangkan uzair tu perogol..hehe

    ReplyDelete
  4. hehe..best pulak bab kali ni..Ain2 ada pulak berprasangka jahat kt uzair kan..hehe..xsbr nk tgu strus nyalh, :-)
    #Schariedah Schalus

    ReplyDelete
  5. Tak baik la nyakat anak dara org smpai camtu skali

    ReplyDelete
  6. askm,,, TC mmg okey,,, cuma kalau boleh nak minta RI upkan sikit Ain tu sesuai dgn kelulusan dia.. agak tak logik kalau dia tak pandai speaking.. he he he.. budak u yang kurang keyakinan diri, gabra dan agak polos.. hmm macam satu dalam seribu jer org yang macam tu.. papepun TC ni mmg menghiburkan.. mudah2an akan ujud entry yang menjadi anjakan kepada perubahan watak ain.. ala.. bagilah up sikit.. hehehe... congrats sis,,,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih utk comment yg sgt membina.appreciate it. Bdk u yg xberapa pandai speaking ramai sebenarnya. Hehee..i've seen a lot. Trust me! Heeheh..sbb ade beza antara xfaham english n xpandai speaking. InsyaAllah watak ain akan dikembangkan. Utk ade satu anjakan sbb itu mmg salah satu objektif sy dlm cerita ni. Harap2 tercapai objektif

      Delete
    2. Betul.. Ada perbezaan antara written n spoken.. Ramai budak2 u mmg tak pandai speaking even though english mereka on paper bagus.. Confident tu kurang bila nak berbual dgn lancar dgn org. Mmg pengalaman bila interview budak2 ni.. Kelulusan yg tinggi tak menjamin pun.. Kena byk latihan dan latihan...

      Delete
  7. Yup, Agreed dgn Ridhya. Actually ramai student u even degree level pn ada yg x bole speaking fluently. Mereka faham tp x pndai nk speaking. Apa pn sy follow cite ni n sgt suka kelainannya- Ct

    ReplyDelete
  8. nakal betul si Uzair ni..
    x abis2 nk kenekan budak ain ni..
    jgn nanti Uzair kene tdo kt kampung Ain sudah..
    hehehe...

    ReplyDelete
  9. LAWAK BETUL AIN BUAT SUSPEN AJE.

    ReplyDelete
  10. Saya salah seorang peminat novel dan memang tertunggu cerita ni.....cerita yang kelakar...hilang stress

    ReplyDelete
  11. mmg klakar la RI... hadoii.. sakit perut gelak... blh pulak bergaduh uzair mintak duit isi minyak lps tu si ain bg rm5.60... aaiihh mcm2...

    ReplyDelete
  12. ya Allah psiko btul uzair ni...

    ReplyDelete
  13. ain mmg suka imagine yg bkn2 yaaa....kelakar lak rasa...

    ReplyDelete
  14. Rasanya pembaris pun tak lurus macam ain ni...lawak ke der betul la....yang uzair pulak menyakat je kerjanya....good job ridhyaiman...

    ReplyDelete
  15. macamana saya nak dptkan novel ni? baru tau kewujudan dia

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..