“Oh..Siapalah diri aku ini
Tanpa mu dunia ku pasti tak berseri
Dan hidup tak menjadi”
‘Aisy terpisat-pisat membuka matanya. Sayup-sayup nyanyian yang
kedengaran dari luar rumah membangkitkannya dari lena. Dia melirik ke arah jam
loceng berbentuk empat segi di atas meja studi. Pukul 1.30 pagi!
“Kau bagi ku satu-satunya
Pada mu lah ku meminta, ku bermanja
Ku rindui ku kasihi”
Dia mengamati suara lelaki itu. Memang sah itu suara milik Daniel.
Lelaki yang tidak pernah jemu mengejar cinta Sofia. Daniel memang tidak pernah
serik! Atau dengan kata lain, tidak faham bahasa. Memang dasar kepala batu urat
dawai.
Melalui jendela bilik tidurnya, ‘Aisy mengintai kelibat Daniel.
Jelas kelihatan lelaki tinggi lampai itu sedang berdiri di luar pagar rumah
sambil mendendangkan lagu dengan petikan gitar kapaknya. Semakin lama semakin
tinggi nada suaranya.
‘Aisy menjadi serba salah. Bimbang perbuatan lelaki itu mengganggu
jiran sekeliling. Tanpa membuang masa, dia mengayun langkah ke bilik sebelah.
Pintu bilik diketuk bertalu-talu.
“Sofia..Sofia..” Nama sahabatnya itu dilaungkan beberapa kali.
Beberapa minit berlalu, akhirnya pintu dikuak dari dalam. Terpacul wajah Sofia
yang agak kusut masai.
“Apa hal bising-bising tengah malam buta ni?” Soal Sofia malas
dengan mata yang separa terpejam.
“Sorry, Sofia. Daniel…dia..”
“Kalau kau kejutkan aku semata-mata nak beritahu tentang Daniel,
aku tak nak dengar. Tak boleh tunggu besok ke? Aku mengantuk ni. Besok-besok
sajalah.” Potong Sofia dengan suara yang sedikit keras. Bengang tidurnya
diganggu semata-mata disebabkan lelaki yang sudah tidak mempunyai apa-apa
kepentingan dalam hidupnya lagi.
“Nanti dulu, Sofia! Tapi, Daniel tengah tercongok depan pagar tu.”
‘Aisy menahan daun pintu yang ingin ditutup kembali oleh Sofia.
“Biarlah dia. Nanti dia penat, dia baliklah. Aku tak kuasalah nak
melayan mamat jiwang tu.” Balas Sofia acuh tak acuh. Mudah dia ingin lepas
tangan begitu sahaja. Baginya, Daniel adalah sepah yang telah kehabisan madu.
Tidak lagi berguna untuk dirinya.
Hati Sofia kini telah beralih arah pada Harris. Lelaki yang bakal
dijodohkan dengannya atas pilihan keluarga. Seorang lelaki yang sudah pasti
memiliki banyak kelebihan yang tiada pada Daniel. Barulah sesuai gadis berdarah
bangsawan sepertinya dipadankan dengan lelaki korporat yang berwajah tampan
itu.
“Tak boleh lah macam tu, Sofia. Kau tak dengar ke dia tengah buat
bising dekat luar tu? Nanti apa kata jiran-jiran kita.” Pujuk ‘Aisy lembut.
Bercakap dengan Sofia yang agak keras kepala ini memerlukan diplomasi yang
tinggi. Jika tidak kena dengan anginnya, percuma sahaja dia ditengking nanti.
“Habis tu kau nak aku buat apa? Pujuk mamat tu? Eiii..no way.”
Balas Sofia sambil mencebik.
“Please, Sofia. Kau cakaplah elok-elok dengan Daniel tu.”
Tambah ‘Aisy masih cuba memancing kerjasama daripada teman baiknya itu.
“Kau nak aku cakap apa lagi dengan dia? Kau bukannya tak tahu
Daniel itu degil, muka tak tahu malu. Dahlah, aku nak tidur. Kalau kau tak
sanggup kena sumpah dengan jiran-jiran kita, kau saja yang selesaikan dengan
Daniel.” Bentak Sofia dengan wajah yang meluat sebelum menghempaskan daun pintu
biliknya.
“Aku? Aku ke dia yang bercinta dengan Daniel?” Gumam ‘Aisy
sendirian sambil merengus geram. Kepala yang tidak gatal digaru tanpa tujuan.
Dia mundar-mandir di depan pintu bilik Sofia yang sudah tertutup rapat. Apa
yang harus dilakukannya?
Kusut benaknya saat itu. Sayup suara Daniel yang masih tidak
berhenti mendendangkan nyanyian yang mendayu-dayu itu menambahkan serabut di
fikirannya. Akhirnya ‘Aisy mencapai tudung dan melangkah keluar rumah untuk
menemui Daniel. Hendak tidak hendak terpaksalah dia berhadapan dengan lelaki itu.
“Apa kau buat ini, Daniel? Malu lah kalau jiran-jiran dengar.”
Tegur ‘Aisy tergesa-gesa berjalan menghampiri pintu pagar rumah sewanya. Wajah
tertekan Daniel di luar pagar dipandang dengan rasa simpati. Buat sekian kali
dia terpaksa bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan kekusutan yang
ditinggalkan Sofia. Menjadi tempat luahan kemarahan dan ketidakpuasan hati
lelaki-lelaki yang pernah dikecewakan Sofia.
“Daniel! Janganlah buat bising macam ni. Orang semua nak tidur.”
Pinta ‘Aisy sekali lagi apabila Daniel langsung tidak mengendahkan tegurannya.
Tangan lelaki itu terus-terusan memetik gitar dan melontarkan suara mengalunkan
lagu.
“Sudah-sudahlah tu, Daniel. Jangan malukan diri sendiri lagi. Kau
jangan jadi bodoh kerana cinta, Daniel!” Suara ‘Aisy naik satu oktaf. Kata-kata
yang agak keras itu berjaya membuatkan Daniel menghentikan nyanyiannya.
“Ini bukan urusan kau!” Daniel memandang tajam ke arah ‘Aisy.
Pandangan mata yang beku itu jelas memancarkan kemarahan.
‘Aisy mengetap bibir. Sedar yang dia sudah terlepas cakap.
Kata-katanya tadi hanya menambahkan bara di dalam hati Daniel.
“Maafkan aku, Daniel. Memang ini bukan urusan aku. Tapi, kalau kau
buat bising di kawasan rumah aku, aku ada hak untuk menegur kau kan?” Balas
‘Aisy kembali memperlahankan suaranya. Berharap darjah kemarahan Daniel dapat
diturunkan.
“Lagipun, sebagai kawan, aku tak sampai hati melihat kau
berterus-terusan menyakiti diri kau begini…” Kata-kata ‘Aisy terhenti.
Sedangkan orang yang kau kejar cintanya itu langsung tak pernah peduli dengan
apa yang kau rasa. Sambungnya hanya mampu terluah di dalam hati. Tidak tergamak
untuk menuturkan ayat itu.
“Kalau kau tak nak tengok aku begini, kau panggil Sofia keluar.
Aku nak jumpa dia.” Arah Daniel dengan suara mendatar.
“Daniel, tolonglah. Jangan keruhkan lagi keadaan. Yang lepas itu
lepaslah. Kau balik, ya.” Pujuk ‘Aisy mengharapkan pengertian daripada Daniel.
Dia faham dengan keperitan dan kekecewaan yang sedang dirasakan oleh lelaki itu
walaupun dia sendiri tidak pernah mempunyai pengalaman dalam cinta. Tetapi dia
tidak mempunyai kudrat dan daya untuk menolong.
“Kau cakap senanglah sebab bukan kau yang rasa. Tak mungkin aku
mampu lepaskan Sofia. Dia cinta pertama aku dan akan selama-lamanya menjadi
milik aku.” Bentak Daniel masih berkeras. Tangannya meraup kasar wajahnya yang
agak kusut itu. Seolah-olah ingin melepaskan beban kekecewaan yang sarat
tergalas di bahu.
“Tapi cinta pertama tidak semestinya bersatu kan? Mungkin Sofia
bukan ditakdirkan untuk menjadi milik kau.”
‘Aisy bersuara lembut. Dia sebenarnya hampir buntu untuk menyusun
kata. Bagaimanakah cara terbaik untuk dia menyedarkan Daniel yang selama ini
dia tidak pernah menjadi pilihan Sofia. Daniel tidak pernah mahu memahami apa
yang cuba disampaikan nya. Pada masa yang sama, dia tidak mempunyai hak untuk
memburuk-burukkan Sofia walaupun dia sedar dalam hal ini, Sofia juga bersalah
kerana memberikan lelaki itu harapan. Menganggap cinta lelaki tak ubah seperti
mainan. Itulah masalahnya bila mempunyai terlalu banyak pilihan.
“Tak! Tak, ‘Aisy. Sofia akan tetap menjadi milik aku!”
Daniel menggeleng-gelengkan kepalanya laju. Kata dan azam yang
tersemat kukuh di dalam hatinya. Walau apa sekalipun cara, dia akan pastikan
Sofia akan menjadi miliknya buat selamanya.
“Daniel, tolonglah jangan berdegil macam ini. Buat apa kau terus
berharap pada yang tak sudi? Anggaplah Sofia tu bukan jodoh kau. Apa yang
berlaku tersirat hikmah di sebaliknya. Mungkin sekarang kau tak nampak. Tapi,
yakinlah ALLAH merancang yang terbaik untuk kau.”
‘Aisy mengeluh berat. Dia benar-benar tersepit di tengah-tengah.
Di sana adalah sahabat baiknya. Dan lelaki di depannya ini adalah teman
sekampungnya. Dua-dua adalah kawan yang disayanginya.
“Tak mungkin aku mampu lupakan dia, ‘Aisy. Aku terlalu sayangkan
dia. Terlalu cintakan dia. Dia nyawa aku. Aku perlukan dia dalam hidup aku.”
Luah Daniel bersungguh-sungguh.
“Aku tahu kau sayangkan dia. Tapi, apalah hak kita untuk menolak
takdir seandainya kau dan Sofia tidak berjodoh. Reda dan bersabarlah.”
‘Aisy memandang wajah keruh Daniel. Tubuh Daniel yang semakin
susut direnung penuh belas. Cinta memang boleh membuatkan manusia menjadi gila.
Apatah lagi jika cinta yang dikejar itu hanya disandarkan pada keseronokan dan
keindahan dunia semata.
“Aku tak boleh lupakan dia, ‘Aisy. Tak boleh..tak boleh.” Ulang
Daniel berkali-kali menegaskan perasaannya. Menafikan hakikat dan menolak
kenyataan tentang episod cintanya yang telah kecundang. Rasa taasub untuk
memiliki dan meraih cinta Sofia yang membuai jiwa membuatkan dirinya semakin parah.
“Kenapa Sofia tinggalkan aku, ‘Aisy? Kenapa dia buat aku macam
ini? Apa salah aku?” Suara Daniel berubah lirih.
“Aku tak ada jawapan dia, Daniel.” Balas ‘Aisy perlahan. Dia
menarik nafas panjang dan menghembusnya berat. Memang benar dia tidak mampu menjawab
setiap persoalan itu.
“Aku dah korbankan segala-galanya untuk dia. Selama ini, apa yang
dia mahukan sedaya upaya aku usahakan. Semuanya aku buat kerana dia.” Tingkah
Daniel sayu. Setitis air mata lelakinya gugur, cukup menggambarkan keperitan
yang sedang dilaluinya.
‘Aisy melarikan anak matanya ke arah lain. Dia mengelipkan mata
yang mula ditakung mutiara jernih. Biarpun ini bukanlah kali pertama dia
menyaksikan kekecewaan seorang lelaki tetapi melihatkan kepedihan Daniel turut
membuatkan hatinya sayu. Mudah benar hati perempuannya terusik. Apatah lagi
Daniel teman yang dikenali sejak zaman kanak-kanaknya.
“Daniel..”
Kata-kata ‘Aisy terhenti. Tiada alasan yang mampu diberikan kepada
Daniel untuk menenangkan lelaki itu. Di sudut hati dia mengakui Daniel terlalu
mencintai Sofia. Terlalu cinta sehingga sanggup membiarkan dirinya dipergunakan
sepenuhnya oleh Sofia. Sanggup menghabiskan duit biasiswa demi untuk memenuhi
kehendak Sofia yang bercita rasa tinggi itu. Sanggup bersengkang mata
menyiapkan tugasan kekasih hati. Sanggup menjadikan diri tidak ubah seperti
seekor lembu yang dicucuk hidungnya dengan tali. Cinta itu memang tidak
bermata. Manusia sanggup membutakan akal dan hati kerana cinta.
“Kau tolong aku, ‘Aisy. Tolong pujuk Sofia kembali pada aku.”
Kata-kata Daniel mengejutkan ‘Aisy dari menungannya. Sekali lagi keluhan berat
meniti di bibir.
“Daniel, kau kan tahu Sofia macam mana. Tak mungkin dia akan
terima kau semula.” Ujar ‘Aisy. Lagipun, bulan depan Sofia akan bertunang
dengan lelaki pilihan keluarganya. Ayat itu hanya mampu terluah di dalam
hatinya. Dia tidak mampu untuk menyampaikan berita yang bakal merobek perasaan
Daniel. Apatah lagi Sofia sendiri memintanya untuk merahsiakan perkara itu.
“Kau kan kawan baik dia. Mesti dia dengar cakap kau. Tolonglah
aku, ‘Aisy.” Tutur Daniel separuh merayu meletakkan ‘Aisy dalam keadaan yang
cukup sukar. Ditelan mati emak, diluahkan mati bapak. Peribahasa yang tepat
menggambarkan keadaannya pada masa ini.
“Sofia itu degil, Daniel. Kalau dah hitam kata dia, tak ada siapa
mampu ubah dia untuk pilih putih.” Balas ‘Aisy. Jika Sofia itu mendengar kata,
tidak mungkin dia akan berterusan mempermainkan hati dan perasaan lelaki yang
menagih cintanya. Bukannya dia tidak pernah menasihati Sofia dengan perangai playgirl gadis itu. Sudah berbuih mulutnya
meminta Sofia untuk setia pada satu cinta. Tetapi kata-katanya hanya dipandang
enteng oleh sahabatnya itu. Bagi Sofia, selagi dia mempunyai pilihan dia berhak
untuk memilih yang terbaik.
“Kau cubalah pujuk dia. Untuk aku, ‘Aisy. Aku minta tolong kau
sangat-sangat. Demi persahabatan kita.” Desak Daniel dengan wajah yang penuh
berharap. Pintu pagar yang memisahkan kedudukannya dan ‘Aisy didekati.
Rayuannya benar-benar membuatkan ‘Aisy terkedu.
“Aku buntu, ‘Aisy. Aku dah tak tahu macam mana lagi hendak pujuk
Sofia. Kau pun tahu macam-macam cara aku dah buat supaya dia kembali semula
pada aku. Tanpa dia, hidup aku musnah, ‘Aisy. Musnah.” Pujuk Daniel.
Aisy mengeluh lemah. Mengenangkan segala usaha yang telah
dilakukan Daniel untuk menambat kembali hati Sofia membuatkan simpati ‘Aisy
melimpah. Bukan setakat di rumah, malah di universiti lelaki itu tanpa segan
silu mengekori ke mana sahaja Sofia berada. Merendahkan harga diri dan
meruntuhkan ego lelaki, terus memujuk dan terus merayu tanpa henti.
“Aku cuba. Tapi, aku tak janji.” Akhirnya ‘Aisy menganggukkan
kepalanya. Dia tidak sanggup membiarkan Daniel memusnahkan dirinya sendiri.
Bimbang kemusnahan lelaki itu bakal menghancurkan harapan kedua ibu bapanya di
kampung. Daniel lah satu-satunya harapan Mak Nab dan Pak Usop untuk membawa
mereka keluar dari kepompong kemiskinan. Jadi, apalah salah seandainya dia
mencuba, walaupun dia tahu peratus kejayaannya berada di paras negatif.
“Terima kasih, ‘Aisy.” Ucap Daniel kelegaan.
“Tapi aku tak janji dan kau harus bersedia untuk terima sebarang
kemungkinan.” ‘Aisy mengingatkan.
“Sofia akan dengar cakap kau. Dia akan kembali pada aku.” Beritahu
Daniel dengan yakin.
‘Aisy terkedu. Melihatkan wajah Daniel yang berubah cerah
mengundang gusar di hatinya. Lelaki ini terlalu berharap untuk bersama dengan
Sofia. Dia bimbang sikap obsesif Daniel akan membuatkan jiwa lelaki itu
tertewas parah seandainya dia gagal memujuk Sofia nanti.
“Aku akan cuba. Tetapi walau apa pun yang berlaku kau harus tabah
dan kena kuatkan iman. Jangan kerana cinta kau abaikan tanggungjawab kau
sebagai pelajar. Kau kena ingat kaulah satu-satunya harapan keluarga. Pendorong
pada adik-adik kau.” ‘Aisy menitipkan pesan. Terbayang di ruang matanya wajah
tua Mak Nab dan Pak Usop. Kedua-dua orang tua itu telah banyak berkorban untuk
membolehkan Daniel menjejakkan kaki sehingga ke universiti.
“Kau jangan risau. Semuanya akan lancar bila Sofia kembali semula
pada aku.” Jaminan Daniel itu bertambah merunsingkan ‘Aisy. Daniel seakan tidak
mengerti dengan apa yang cuba disampaikan nya.
“Dah lewat malam ini. Kau pergilah balik dulu. Dah lama sangat kau
tercegat dekat sini. Kalau jiran-jiran tengok tak elok.” Beritahu ‘Aisy
menghantar isyarat kepada Daniel untuk beredar.
“Okay, aku balik dulu. Kau pujuk Sofia untuk aku, ya.” Sempat
Daniel mengulangi pesanannya sebelum beredar bersama motor Honda Cup miliknya.
‘Aisy tercegat berdiri sehingga kelibat Daniel hilang daripada
pandangan. Dia menengadah pandangannya ke arah langit yang hitam pekat.
Langsung tidak berbintang. Kelam dan suram. Mungkin tanda hujan akan menjengah
bumi. Jauh di sudut hati, dia mengharapkan masih ada sinar pelangi untuk
memulihkan hubungan Daniel dan Sofia.
***
“Sofia!” Kejar Daniel dengan sejambak bunga ros merah di
tangannya. Panggilan itu menghentikan langkah Sofia dan ‘Aisy yang sedang
menuju ke kafeteria fakulti.
“You nak apa
lagi ni, Daniel?” Soal Sofia dengan rasa geram yang tertahan-tahan.
“Please, Sofia.
Kembali semula pada I.”
Pujukan Daniel membuatkan Sofia merengus. Bosan dengan pujuk rayu Daniel yang
tidak pernah putus. Jambangan bunga yang dihulurkan lelaki itu langsung tidak
diambil.
‘Aisy di sisi hanya mampu memandang dengan rasa serba salah. Dia
tidak mampu menunaikan permintaan Daniel untuk menghalang Sofia daripada
memutuskan hubungan dengan lelaki itu. Seperti yang disangka, pujukannya
langsung tidak berjaya melembutkan hati Sofia. Lagipun, dalam hal ini
sahabatnya itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Sofia terpaksa akur dengan
jodoh yang ditetapkan oleh keluarganya.
“You ni
memang tak faham kan, Daniel? I dah tak nak bersama dengan you. Antara kita dah tak ada
apa-apa.” Ujar Sofia sambil memeluk tubuhnya. Dia menjeling tajam ke arah
Daniel. Semakin hari dia semakin jengkel dengan lelaki itu. Terlalu mendesak
dan terdesak untuk memilikinya.
“Tapi, I masih sayangkan you, Sofia. I tak
mampu teruskan hidup tanpa you. Tolonglah jangan buat I macam ini.” Rayu Daniel
bersungguh-sungguh.
“Daniel, please
wake up! Masa untuk kita
berdua bersama dah tamat. Dan I takkan kembali semula pada you. Never!” Intonasi suara
Sofia tegang. Beberapa pasang mata yang sedang menyaksikan drama sebabak itu
tidak dihiraukan.
“Sofia, you tak boleh buat I macam
ini. Kita bincang dulu ya, sayang.” Pinta Daniel cuba berlembut. Wajah kelat
Sofia dipandang dengan penuh rasa cinta.
“Dah tak ada apa yang hendak dibincangkan.” Balas Sofia dingin.
“Apa salah I pada you, Sofia? You tak puas hati dengan layanan I pada you ke? Atau I ada
sakitkan hati you?” Soal
Daniel bertubi-tubi membuatkan Sofia semakin rimas.
“I tak ada
masa nak jawab soalan bodoh you tu. Jom, ‘Aisy. Kita gerak.” Sofia
menarik tangan ‘Aisy yang hanya mendiamkan diri. Kesabarannya sudah mencapai
tahap maksimum. Sebelum dia mengeluarkan kata-kata yang bukan-bukan lebih baik
dia beredar.
“Sofia! You tak boleh larikan diri macam ini. I perlukan
jawapan. Kenapa you buat I macam
ini?” Daniel memegang kasar lengan Sofia membuatkan gadis itu tertarik ke
belakang.
“Auchh..Daniel, lepaskan I.
Sakitlah!” Jerit Sofia seraya cuba merentap tangannya dari pegangan Daniel.
Namun kudrat perempuannya tidak mungkin dapat melawan kekuatan Daniel.
“No! I takkan
lepaskan selagi you tak berikan I jawapan.”
Tegas Daniel mengemaskan tangannya kejap di lengan Sofia.
“Tell me, Sofia. Why you did this to me?”
Pertanyaan Daniel semakin mendesak. Wajah Sofia yang sedang mengaduh menahan
kesakitan dipandang tajam.
“Daniel, you are
hurting me!” Gumam Sofia mengetap bibir.
“Sudahlah tu, Daniel. Lepaskan Sofia.” ‘Aisy bersuara untuk
meleraikan ketegangan. Tindakan Daniel yang sedang menyakiti Sofia perlu
dihentikan.
“Kau diam, ‘Aisy. Ini bukan urusan kau!” Jerkah Daniel membuatkan
‘Aisy tersentak. Terangkat bahunya tatkala disergah kuat begitu.
“I tak
peduli, Sofia. I need your
answer now!” Jerit Daniel sambil menggoncang kasar bahu Sofia. Paksaan demi
paksaan daripada lelaki itu membuatkan Sofia semakin hilang pertimbangan.
“Baik! Kau nak tahu sangat sebabnya kan? Sekarang kau dengar
elok-elok apa yang aku nak beritahu kau.” Balas Sofia dengan nada suara yang
ditinggikan. Rasa amarah yang semakin hangat membahang perasaannya membuatkan
mulutnya mula membahasakan dirinya dengan panggilan yang lebih kasar.
“Untuk pengetahuan kau, Daniel. Aku tak pernah sayangkan kau. Jauh
sekali aku nak cintakan kau. Kau ingat lelaki kampung seperti kau ini layak nak
berdamping dengan aku? Sedarlah diri itu sikit. Now, get me off!” Beritahu
Sofia dengan nada angkuh. Dia merentap tangannya daripada pegangan Daniel.
Wajah terkejut Daniel dipandang dengan rasa meluat.
“Habis itu, kenapa you beri I harapan kalau tak cinta? Kenapa
ucapkan rindu kalau tak pernah memaksudkannya? I tahu you bohong I kan,
Sofia? You tak maksudkan apa yang you cakapkan tadi kan?” Tanya Daniel
bertubi-tubi. Ternyata lelaki itu tidak mampu menerima penjelasan Sofia.
“Daniel..Daniel. Lelaki cerdik macam kau ini pun rupanya ada
bodohnya juga. Don’t you get
it? Selama ini aku berbaik dengan kau pun kerana aku perlukan otak kau yang
pandai itu untuk menyiapkan tugasan dan projek aku. CGPA aku semester lepas cukup-cukup
makan. Dan aku betul-betul perlu membaiki grade aku untuk terus survive di universiti. Sekurang-kurangnya otak
geliga kau itu dapat menolong aku meningkatkan gred.” Ujar Sofia tanpa sedikit
pun rasa bersalah. Berubah air muka Daniel tatkala mendengarkan penjelasan
berani Sofia.
‘Aisy terkesima. Tidak pernah menyangka Sofia sanggup bertindak
sekejam itu. Mempergunakan cinta lelaki yang mengejarnya demi kepentingan diri.
Selama ini dia ingatkan Sofia sering bertukar pasangan kerana gadis itu terlalu
memilih. Yalah, perempuan cantik, kaya dan berstatus sepertinya pasti ingin
mencari lelaki yang benar-benar sepadan dengannya.
“Jadi, selama ini you mempergunakan I, Sofia?” Riak kekecewaan jelas
terpancar di wajah Daniel. Jambangan bunga yang sedari tadi kemas berada di
tangan kirinya melurut jatuh menyembah bumi.
“Kau juga yang rela hendak menolong aku kan? Aku tak pernah paksa
kau untuk menyiapkan tugasan aku.” Tutur Sofia senada. Dia menghadiahkan
senyuman sinis kepada Daniel yang tertunduk diam tidak berkutik.
“Sekarang kau dah faham kenapa aku tak boleh terima kau kan? Kalau
aku terima kau sekalipun, papa dengan mama aku pasti takkan restu. Lagipun,
mereka dah ada calon yang terbaik untuk aku.” Sambung Sofia membuatkan Daniel
mengangkat wajahnya.
“Apa maksud you?”
“Dua minggu lagi aku akan bertunang dengan lelaki pilihan keluarga
aku.” Perkhabaran itu jelas membuatkan Daniel terpempan.
“You tak
boleh buat I macam ni, Sofia. You tak boleh bertunang dengan lelaki
itu. You milik I.” Bangkang Daniel dengan
suara yang ditinggikan. Kedua-dua belah bahu Sofia digoncang kuat.
“Kau tak ada hak nak halang aku, Daniel. Takkan aku nak bersama
dengan lelaki kampung macam kau? Sedangkan aku layak dapat lelaki yang lebih
baik. Dan Harris adalah pilihan yang sepadan dengan aku. He is much better than you, for
sure!” Tingkah Sofia menepis kasar kedua-dua belah tangan Daniel yang
mendarat di bahunya. Tanpa gadis itu sedar dia telah merendah-rendahkan dan
membandingkan Daniel dengan Harris.
“You tak
boleh tinggalkan I. I janji I akan
jadi lelaki yang lebih baik daripada dia.” Rayu Daniel. Kali ini lelaki itu
melutut di hadapan Sofia.
‘Aisy yang menyaksikan tindakan Daniel terpempan. Ringan mulutnya
untuk meminta Daniel bangun. Tetapi apabila mengenangkan campur tangannya hanya
akan mengeruhkan keadaan, dia membatalkan niatnya. Kenapa kau sanggup
merendahkan harga diri kau sampai begini sekali semata-mata kerana cinta?
Getusnya di dalam hati.
“I’m sorry, Daniel. I can’t do that. Dahlah, Daniel. Tak
guna kau buat semua ini. Takkan mampu mengubah keputusan aku. Aku harap lepas
ini kau jangan ganggu aku lagi. Jom, ‘Aisy.” Balas Sofia tidak sedikit pun
bertimbang rasa dengan pengharapan yang ditunjukkan Daniel. Tanpa sekelumit
rasa bersalah, dia mengatur langkah meninggalkan lelaki itu yang sedang
tertunduk menekurkan wajahnya ke lantai.
“Aku minta maaf bagi pihak Sofia, Daniel. Dan maafkan aku kerana
tak berdaya nak pujuk Sofia. Aku harap kau sabar. Jangan musnahkan diri kau
kerana cinta.” ‘Aisy memandang wajah Daniel dengan kekesalan. Kesal dengan
tindakan Sofia yang mempermainkan cinta lelaki itu.
Daniel bangkit dan memandang tajam ke arah ‘Aisy. Entah kenapa
kata-kata yang meniti di bibir gadis itu bagaikan seperti menyindirnya.
“Kau jangan nak tunjuk baiklah dengan aku, ‘Aisy. Kau pun sama
berpakat dengan Sofia kan? Puas hati kau melihat aku kecewa?” Tengking Daniel
membuatkan ‘Aisy terpanah.
“Kau salah faham, Daniel. Aku…”
“Kau tak perlu berpura-pura baik di hadapan akulah, ‘Aisy. Kau
memang kawan tak guna. Kalau kau tolong aku pujuk Sofia, pasti semua ini takkan
terjadi.” Tuduh Daniel benar-benar memberikan tamparan hebat kepada ‘Aisy. Dia
beristighfar di dalam hati. Dia tidak menyangka turut diheret sama dalam
masalah ini.
“Aku dah cuba pujuk Sofia, tapi kau tahu kan Sofia itu macam
mana.” Beritahu ‘Aisy cuba memperbetulkan salah faham.
“Sudahlah. Perempuan semuanya sama. Penipu! Kau beritahu Sofia,
aku takkan putus asa. Jangan ingat dia akan bahagia dengan setiap penderitaan
yang dia telah lemparkan pada aku. Kalau dia tak dapat aku miliki, jangan harap
aku akan benarkan dia menjadi milik lelaki lain.” Selesai menuturkan kata-kata
yang berbaur ugutan itu, Daniel melangkah pergi meninggalkan ‘Aisy yang sedang
termangu. Susuk tubuh Daniel yang semakin menjauh diperhatikan.
“’Aisy, kau buat
apa lagi di situ? Jom, makan.” Laungan Sofia menyedarkan ‘Aisy. Dengan keluhan
yang berat dia menghampiri Sofia yang sudah beberapa meter ke hadapan.
Terngiang-ngiang ugutan Daniel merunsingkan fikirannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan jejak anda..