Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday, 26 December 2013

Aku Memilih Setia Bab 7

Usai solat Subuh berjemaah, Arianna hanya berkurung di dalam bilik tidur. Entah kenapa, pagi itu tiba-tiba dia merasa tidak sedap badan. Segala sendi di tubuhnya terasa lenguh-lenguh. Tekak pun perit semacam.
Dengan kelopak mata yang semakin memberat, Arianna mengiringkan tubuhnya ke kiri. Tangan kanannya diselitkan di bawah bantal. Tabiat yang sudah menjadi kebiasaan setiap kali dia hendak melelapkan mata. Dia selesa begitu.
“Sayang…” Sentuhan lembut di bahu mengejutkan Arianna yang baru hendak terlena. Terus dia membuka mata bila terasa hembusan nafas dekat menyapa belakang cuping telinganya.
“Kenapa tidur lagi ni? Penat ya?” soal Affan lembut. Dia ketawa nipis di hujung pertanyaannya. Kenangan semalam menjengah ke ruang ingatan. Bahagia. Itu yang hatinya rasa.
“Hmmm..penat sikit,” akui Arianna lemah. Pelbagai perkara yang memberatkan kotak fikiran menyebabkan sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing. Bukan tubuhnya saja yang penat, tetapi otaknya turut merasa letih. Sangat letih.
I’m sorry..” ucap Affan dengan rasa bersalah.
Arianna mengetap bibir. Wajahnya terasa pijar. Faham benar dengan makna kata-kata maaf yang meniti di bibir Affan. Lain yang dia maksudkan, lain yang Affan fikirkan.
“Rie nak sambung tidur sekejap,” beritahu Arianna. Dia berdeham untuk membetulkan suaranya yang kedengaran sedikit serak. Liur yang ditelan terasa semakin perit.
“Okey. Abang temankan.” Affan turut membaringkan tubuhnya di sebelah Arianna. Tangannya melingkar kemas membelit pinggang Arianna. Memeluk Arianna dari belakang.
Kata-kata Affan membuatkan spontan Arianna bangun. Dia mendengus perlahan. Sungguh dia rimas dengan perlakuan Affan.
“Kenapa?” Affan kerut kening memandang Arianna. Kepalanya didongakkan sedikit, duduk dalam keadaan menongkat siku.
“Boleh tak kalau abang tak peluk Rie?” soal Arianna dengan wajah yang cemberut.
“Salah ke abang nak peluk isteri sendiri?” Soalan berbalas soalan.
Arianna menarik nafas dalam. Dia menyandarkan tubuhnya di birai katil. Kepala yang terasa berdenyut tiba-tiba, dipicit perlahan.
“Memanglah tak salah. Tapi, ini kan bulan puasa. Siang-siang hari pula tu,” tingkah Arianna.
“Peluk isteri tak batalkan puasa pun. Bukannya abang….”
“Memanglah tak batalkan puasa, tapi lebih baik kita hindarkan perkara-perkara yang boleh membawa ke arah batalnya puasa,” pangkah Arianna cepat-cepat.  
 “Sayang tahu tak, Aisyah RA pernah meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW memeluk dan mencium isterinya ketika sedang berpuasa dan baginda lebih mampu menahan diri dari siapa pun di antara kalian. Ini ustaz abang yang beritahu.” Bicara Affan mengingati kembali ceramah Ustaz Amsyar yang pernah diikutinya.
“Ya, bagi mereka yang dapat mengawal nafsu tapi abang…” Arianna ketap bibir bila menyedari yang dia hampir terlanjur kata.
Affan senyum. Dia bangkit dari baring dan menghampiri Arianna. “Kenapa? Rie tak percaya yang abang mampu kawal diri?”
Arianna terkedu. Dia tidak kenal Affan. Jadi, sewajarnya dia perlu ada rasa tidak percaya itu. 
“Atau sebenarnya Rie takut Rie yang tak mampu nak kawal diri sendiri?” usik Affan. Dia tergelak kecil bila wajah Arianna berona merah. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepadanya.
 “Mengarut!” Arianna merengus. Tidak betah untuk terus berlama di situ, dia mula bergerak menuruni katil. Malas dia hendak melayan rapikan Affan.
“Pelukan untuk memaknakan kasih sayang berbeza dengan pelukan yang dilakukan kerana syahwat,” ujar Affan. Tingkah Arianna terhenti bila terasa lengannya dipegang kejap Affan.
“Rie kena belajar bezakan kedua-dua tu,” sambung Affan seraya mengenyitkan matanya pada Arianna. Nakal.     
Denyutan di kepala Arianna semakin menggila. Ditambah pula dengan rasa sebu yang tiba-tiba menyerang perutnya. Berangin semacam. Terasa ingin muntah namun cepat-cepat dia menekup mulut. Silapnya juga kerana hanya meratah seketul ikan merah masak lemak cili padi ketika bersahur tadi. Perut kosong dan dialas pula dengan makanan pedas, memang inilah natijahnya yang dia dapat.
“Sayang, are you okay?” Nada suara Affan berubah risau bila menyedari wajah Arianna yang berubah pucat.
Tanpa membalas pertanyaan Affan, Arianna melangkah laju ke bilik air.
“Uweekkk…” Di dalam singki, dia memuntahkan segala isi perutnya. Perit terasa salur kerongkong dek pepejal berasid yang mengalir keluar.
Affan yang sudah berdiri di sisinya mengusap-usap belakang tubuh Arianna yang sedang terbongkok-bongkok. Cara senyap untuk menyalurkan sokongan.
“Dah rasa lega sikit?”
“Hmmm…” Arianna mengiakan pertanyaan Affan biarpun sebenarnya pening di kepalanya masih hebat berpusing. Dia tidak mahu nampak lemah di depan Affan.
Paip air dibuka. Dia berkumur untuk menghilangkan rasa pahit yang menjalar di lidah. Beberapa saat dia berteleku di depan singki. Mengumpul tenaga yang masih berbaki.
Are you sure you’re okay?”
“Okey. Rie salah makan kot sahur tadi.” Arianna ukir senyum biarpun jelas tak bermaya. Tidak lama bila sekali lagi dia memuntahkan segala isi perutnya.
“Uweekkkk..” Arianna menekan perutnya yang terasa menegang. Kali ini hanya cecair kosong yang keluar dari mulutnya.
“Kita ke klinik?” ajak Affan. Jari-jemarinya mengurut perlahan leher Arianna.
 “Sakit sikit je ni. Lepas rehat okeylah.” Pantas Arianna menggelengkan kepalanya. Sekali lagi dia berkumur untuk menghilangkan rasa mual.
Arianna mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik air bila tangan Affan melekap di lengan kanannya. 
“Larat ke nak jalan ni?” soal Affan mengambil berat bila melihat langkah Arianna yang tampak canggung.
“Larat…” Arianna meneruskan langkah walaupun pandangannya semakin berbalam-balam. Entah kenapa dia merasa tidak selesa dengan perhatian Affan.
 “Abang dukung Rie ke katil ya,” Affan meminta izin.
“Tak apa. Rie larat lagi jalan,” tolak Arianna seraya mengatur langkah perlahan.
Affan mendengus perlahan. Degil. Arianna memang degil.
“Sayang!” Jeritan Affan bergema kuat bila Arianna rebah di muka pintu bilik air. Segera dia mencempung tubuh lesu Arianna dan dibawa ke katil.
“Rie..Rie..” Affan menepuk perlahan pipi Arianna.
“Hmmm…” sahut Arianna lemah.
“Abang ambil tudung sayang sekejap. Kita ke klinik,” putus Affan.
Arianna menyambar lengan Affan. Dia menggeleng kepalanya lemah. “Tak nak..”
“Sayang, jangan degil boleh tak?” desis Affan menahan sabar.
“Rie tak nak ke klinik. Nanti doktor suruh Rie makan ubat. Rie tak nak berbuka puasa,” Arianna memberi alasan.
“Sayang, kalau sakit hukumnya harus berbuka puasa. Rie boleh qada’ puasa tu nanti,” pujuk Affan.
“Tak mahu..” Arianna tetap berdegil. Sekeras batu kerikil kedegilan Arianna. 
Affan menarik nafas dalam. Sakit-sakit begini pun masih lagi nak tunjuk keras kepalanya itu.
“Kalau macam tu abang urut kepala Rie,” tawar Affan. Minyak yang sudah tersedia di atas meja kecil di sisi katil diambil.
“Tak payah, abang. Rie nak tidur je,” tolak Arianna. Dia memejamkan matanya rapat. Ingin mencari lena biarpun sekejap.
Affan mendengus. Jauh di dasar hati dia terasa dengan penolakan Arianna. Kenapa susah sangat Arianna hendak menerima kebaikan suami sendiri?
“Affan..Anna.. Apa yang bising-bising tu?” Sayup suara Puan Rose di luar bilik.
Ketukan bertalu-talu membawa langkah Affan ke muka pintu. Tombol pintu dipulas. Tersembul wajah Puan Rose apabila pintu bilik ditarik.
“Apa yang bising-bising tadi?” soal Puan Rose sekali lagi sambil kepalanya terjenguk-jenguk ke dalam bilik. Mencari kelibat Arianna.
“Anna terjatuh tadi, ma,” beritahu Affan kalut. Jelas terpeta riak risau di wajah itu.
“Jatuh? Macam mana boleh jatuh?” Suara Puan Rose sudah naik satu oktaf. Nyaring bergema dalam banglo dua tingkat itu. Laju dia melangkah masuk ke dalam bilik.
“Apa yang kamu dah buat pada Anna?” soal Puan Rose curiga. Sejak dia melihat Affan hampir-hampir melayangkan penampar sulung ke pipi Arianna, dia menjadi runsing. Bimbang kalau-kalau anaknya itu tersilap langkah lagi. Bukanlah bermakna dia hendak menangkan Arianna, tetapi kekasaran bukanlah cara yang baik untuk mendidik.
“Mana ada buat apa-apa. Anna muntah teruk tadi,” sangkal Affan.
“Muntah? Salah makan ke?” Punggungnya dilabuhkan di birai katil. Wajah Arianna yang tidak bermaya dipandang dengan penuh kasih.
“Tak tahulah, ma. Rasanya apa yang Anna makan semalam sama je dengan apa yang kita makan.” Affan angkat bahu.
“Anna…” Puan Rose memanggil Arianna. Jari-jemari sejuk Arianna diusap perlahan.
Arianna membuka sedikit matanya yang sedang rapat terpejam. Dia menggariskan senyum tatkala seraut wajah tenang Puan Rose menyapa pandangan.
“Mama…” Lemah saja suara yang keluar dari mulut Arianna.
“Ya, sayang. Kenapa dengan menantu mama ni?” Puan Rose mengusap lembut rambut Arianna. Memancarkan cahaya keibuan yang tidak akan pernah padam.
Arianna terharu dengan layanan mama mertuanya itu. Puan Rose mengingatkan dia pada ibunya di kampung. Setiap kali dia sakit, pasti ibunya akan setia berjaga di sisinya. Sungguh dia rindu ibunya. Tubir matanya basah. Di kala sakit begini, mudah benar perasaannya tersentuh.
“Mama…Anna sakit kepala..” adu Arianna. Manja.
Affan yang mendengar rengekan Arianna terasa hati. Dengan dia tadi bukan main Arianna tunjuk kuat.
“Kita ke klinik ya, sayang?” cadang Puan Rose. Risau.
Arianna geleng kepala.
“Kalau tak nak ke klinik, macam mana nak baik sakit tu,” pujuk Puan Rose.
“Anna rasa urutan tangan mama lagi mujarab dari ubat doktor. Mama tolong picit kepala Anna, boleh?” pinta Arianna.
 “Boleh, sayang..” Puan Rose tersenyum senang dengan permintaan Arianna.
Sekali lagi Affan makan hati. Bukankah tadi dia dengan rela hati menawarkan diri untuk mengurut kepala Arianna. Dan dengan mudah juga Arianna menolak tawarannya.
“Affan, ada minyak panas tak?” Puan Rose mengerling Affan yang sedang menyandarkan tubuh di dinding sambil berpeluk tubuh. Serius semacam wajah anak lelakinya itu.
Tersentak dengan pertanyaan mamanya, Affan segera menghulurkan botol minyak panas yang sedari tadi berada dalam genggamannya. Dengan hati yang sebal, dia melabuhkan duduk di hujung katil.
“Selalu ke Anna sakit kepala ni?” soal Puan Rose. Jari-jemarinya ligat memicit urat yang menegang di belakang telinga Arianna.
“Jarang, mama,” balas Arianna perlahan.
“Affan beritahu mama tadi yang Anna muntah ya?” tanya Puan Rose lagi. Hatinya mula mencongak sesuatu. Dalam diam, dia menyembunyikan senyum.
“Hmmm…” Dengan mata yang terpejam Arianna menjawab. Asyik menghayati urutan mama mertuanya. Sakit kepala yang membelit terasa mengendur.
“Entah-entah Anna mengandung tak?” tebak Puan Rose dengan suara yang berubah ceria. Perubahan yang sedang dilihat pada menantunya ini tak ubah seperti keadaannya dulu ketika mula-mula mengandungkan Affan.
“Hah?” Serentak Affan dan Arianna bersuara.
“Tak mungkinlah, mama.” Affan terlebih dahulu menggelengkan kepala.
“Haah, mama. Betul kata abang Affan tu. Lagipun Anna baru je suci,” Arianna menyokong.
“Eh, ada tau orang yang sedang mengandung tapi datang period macam biasa,” sangkal Puan Rose. Dalam hati sudah memasang angan-angan. Sejujurnya dia sudah tidak sabar hendak menerima ahli baru dalam keluarganya. Pasti meriah. Lagipun, sudah lama benar dia tidak mendengar suara bayi menghiasi segenap ruang rumah banglonya.
“Tak mungkinlah, mama. Takkan baru semalam tiba-tiba…” Affan menghentikan katanya bila mendengar Arianna berdeham.
“Kamu cakap apa ni, Affan? Apa yang semalam? Apa yang tiba-tiba?” soal Puan Rose dengan dahi yang berlipat.
Arianna telan liur. Sempat dia menghantar pandangan ke wajah Affan. Suaminya itu kelihatan terpisat-pisat mencari jawapan. Itulah orang kata. Cakap siang pandang-pandang. Cakap malam dengar-dengar.
“Errr..tak..maksud Affan, baru semalam kami berbincang yang kami sebenarnya kalau boleh tak nak ada anak lagi,” dalih Affan. Jauh di dasar hati dia menyesal kerana terpaksa berbohong. Terlajak perahu bolehlah diundur, tetapi kalau terlajak kata?
Arianna terkedu. Dia terkejut sebenarnya dengan alasan yang meniti keluar di bibir Affan.
“Kamu berdua merancang ke?” soal Puan Rose dengan nada suara yang sedikit tinggi. Bulat matanya memandang Affan dan Arianna silih berganti. Jelas terpancar riak kecewa di mata itu.
“Errr..yalah, mama. Buat masa sekarang, biarlah kami kenal dulu hati budi masing-masing. Bila dah kahwin atas dasar pilihan keluarga ni, sekurang-kurangnya berilah masa untuk kami bercinta dulu,” lancar Affan menyusun kata.
“Kenapa? Kalau ada anak kamu berdua tak boleh bercinta dah ke?” perli Puan Rose.
“Boleh tu memanglah boleh, mama. Tapi, kalau ada anak nanti mesti perhatian isteri Affan ni terbahagi dua. Entah-entah dah ada anak nanti, Affan ni terus dia tak peduli,” keluh Affan penuh makna. Sekarang pun bukan main payah dia hendak meraih kasih sayang Arianna. Untuk menunggu penyerahan seorang isteri, bukan sedikit kesabaran yang perlu dia miliki.
Arianna ibarat jinak-jinak merpati. Kadang-kadang dia rasa cintanya berbalas. Kadang-kadang dia rasa Arianna bagaikan menutup pintu hati rapat-rapat daripada menerima cintanya.
“Affan, kamu kena tahu yang zuriat tu anugerah Allah. Anak ni adalah pengikat kasih sayang ibu bapa. Jangan tengok anak tu sebagai beban. Mama tak setujulah kalau kamu berdua merancang bagai ni. Lagipun, umur kamu berdua bukannya muda lagi,” tingkah Puan Rose hampa. Dia menghentikan urutan.
“Lagipun, mama dan papa dah tua. Entah lama mana lagi kami akan hidup. Sekurang-kurangnya sebelum kami ni tutup mata, hendaklah juga mama tengok cucu mama.” Sayu Puan Rose menyambung kata.
Arianna dihimpit rasa bersalah. Geram hatinya dengan bicara rekaan Affan. Perlahan-lahan dia bangkit menyandarkan tubuh di birai katil. Mujur juga pening di kepalanya semakin beransur surut.
“Mama,” panggil Arianna lembut. Tangan Puan Rose yang sedikit berminyak dicapai dan diusap perlahan.
“Insya-Allah, mama. Kalau ada rezeki kami dalam masa terdekat ni, kami tak tolak. Abang Affan tu saja cakap macam tu. Mama bukannya tak tahu anak mama tu mana suka berkongsi. Ada ke patut dengan anak sendiri pun nak berebut kasih sayang,” pujuk Arianna. Bukanlah niat dia untuk memberi harapan palsu kepada Puan Rose. Tapi sungguh dia tidak sampai hati melihatkan wajah keruh mama mertuanya itu.
“Betul ni?” Sinar mata Puan Rose bercahaya.
Arianna mengangguk perlahan.
“Betul. Entah-entah nanti, kalau dah ada anak, Abang Affan yang tak pedulikan Anna kot,” giat Arianna. Dari ekor mata, dia tahu Affan sedang memandangnya tidak berkelip.
“Kalau dia buat macam tu, Anna beritahu je mama. Tahulah mama nak ajar macam mana anak mama tu.” Puan Rose tergelak kecil. Lega sedikit hatinya mendengarkan kata-kata Arianna.
Affan hanya diam. Hanya pandangannya saja yang menikam tajam ke wajah Arianna sehingga Arianna mula merasa tidak senang duduk.
“Dah okey dah kepala ni?” soal Puan Rose.
“Alhamdulillah, dah kurang banyak sakitnya. Betullah ibu cakap yang mama ni pandai mengurut. Terima kasih, mama,” puji Arianna memaknakan penghargaan. Sungguh dia bertuah kerana mendapat seorang mertua yang cukup menyayanginya. Cuma… sudahlah. Bukankah dia telah berjanji pada dirinya sendiri untuk hidup dalam kenyataan.
“Kalau macam tu, mama keluar dulu. Anna rehat, ya,” pesan Puan Rose sambil menepuk perlahan belakang telapak tangan Arianna.
Arianna mengangguk dengan senyuman nipis di wajah. Pandangan matanya menghantar kelibat Puan Rose sehingga ke muka pintu bilik.
“Betul ke apa yang Rie kata tadi?”
Pertanyaan Affan membuatkan Arianna tersentak. “Kata apa?”
“Betul ke Rie sudi lahirkan anak abang?” Affan mengangkat tubuhnya dan melabuhkan duduk di sisi Arianna. Wajah Arianna direnung dalam.
Arianna terkedu. Dia kematian kata. Hanya bebola matanya yang membalas renungan Affan. Renungan yang penuh dengan pengharapan. 
“Betul ke Rie tak tolak kalau ada rezeki kita untuk jadi mummy dan daddy?”
“Errr…” Arianna telan liur. Tidak menyangka Affan mengambil serius dengan apa yang dikatakannya tadi.
“Insya-Allah.” Hanya kalimat ‘dengan izin Allah’ yang mampu diungkap Arianna. Untuk mengatakan ya, dia sendiri tidak pasti dengan hati dan perasaannya saat ini. Untuk menolak juga dia tidak sampai hati untuk mengecilkan hati seorang suami.  
Affan mengukirkan senyuman lebar. Kata-kata Arianna itu sudah cukup membuatkan hatinya bahagia. Sekurang-kurangnya dia tahu dia masih punya harapan dan peluang. Lalu, dia menarik tubuh Arianna ke dalam dakapan.
“Terima kasih, sayang..” ucap Affan.
Perlahan-lahan Arianna mengangkat tangan. Membalas rangkulan itu.
“Kalau ditakdirkan kita ada anak nanti, kasih sayang abang pada Rie takkan terbahagi dua. Because my love for you grows stronger every day. Deeper and deeper. Takkan pernah berkurang,” bisik Affan romantis.

Arianna menarik nafas dalam. Semoga Allah titipkan rasa yang sama juga di hati Rie ini untuk abang. Dia berdoa di dalam hati. 

p/s: Untuk yang dah lama menunggu kisah AMS ini, harap terhibur dan mendapat sesuatu kebaikan dari n3 ini. Oh, tentang tajuk rasanya mahu kekalkan dengan AMS dulu. Isteri dambaan syurga macam terlalu berat tajuknya. Maybe akan ada tajuk lain tapi sementara ni kita guna AMS jelah dulu. Enjoy.. Oh, kalau sudi turunlah signature kat bawah ye..hihihi..

Tuesday, 17 December 2013

Aku Relakan Jiwa Bab 4

Awan putih yang sedang berarak perlahan menciptakan sebuah panorama alam yang cukup tenang dan mendamaikan. Saat itu, sekawan burung yang berterbangan bebas di kaki langit menarik perhatian Humayra. Berkicau-kicauan penuh keriangan. Bagaikan tiada masalah, seperti tiada gundah, jauh sekali merasa resah.
Humayra melepaskan keluhan berat. Ah, alangkah indahnya kalau hati bisa berkongsi keriangan yang dinikmati burung-burung itu. Tetapi apakan daya. Dia hanyalah manusia biasa. Makhluk Tuhan yang sentiasa tidak sepi diuji. Ujian yang kadang kala buat dirinya hampir mengalah dan rebah. Kalaulah dapat diputarkan waktu…
“Astaghfirullah..”  Humayra beristighfar panjang. Kedua-dua belah telapak tangannya meraup wajah. Menghalau bisikan dangkal daripada menguasai fikiran. Bisikan halus syaitan yang pastinya untuk mengganggu gugah jiwa anak Adam.
“Mayra, kenapa ni? Macam ada masalah je bonda tengok.”
Humayra panggung wajah bila mendengarkan suara Ustazah Sakinah yang sedang melangkah ke arahnya dengan membawa dulang minuman di tangan.
“Errr..tak ada apalah, bonda.” Pantas Humayra menggelengkan kepala. Sebuah senyuman kelat terukir di wajah sebelum dia melarikan pandangan.
Ustazah Sakinah meletakkan dulang di atas meja kopi. Dengan senyuman yang terukir di bibir, dia melabuhkan duduk. Wajah yang penuh dengan kelembutan itu memandang Humayra dengan penuh kasih sayang. Lama.
“Allah SWT pernah berfirman apakah manusia mengira, mereka akan dibiarkan menyatakan kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji? Surah Al-Ankabut, ayat ke-2,” ujar Ustazah Sakinah penuh makna.
Humayra telan liur kelat. Kata-kata yang meniti keluar di bibir Ustazah Sakinah tepat menyentuh amukkan perasaannya kala ini. Sungguh wanita hebat yang telah banyak membimbingnya ketika dia dibesarkan di Teratak Annur itu tidak pernah gagal membaca perasaannya. Pengganti ibu dan bapanya yang telah pergi meninggalkannya sebatang kara di bumi Allah ini dalam kemalangan yang cukup tragis. Sementelah, kedua arwah ibu dan ayahnya juga tidak punya saudara.
“Bonda, kenapa hidup Mayra ini selalu sangat diuji? Kenapa Mayra? Kenapa bukan orang lain?” Sayu Humayra menyoal bertubi-tubi. Terasa ada genangan air mata di tubir matanya.
Sungguh waktu ini dia bagaikan hilang rentak dalam meniti kehidupan. Selama ini dia bertahan, biarpun dia tahu betapa sukarnya jalan yang terpaksa Urwah lalui semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka sekeluarga. Biarpun dia tahu betapa payahnya dia membina tembok kepercayaan pada Urwah yang punya masa silam yang gelap.
“Mengucap, Mayra. Tak baik cakap macam tu,” tegur Ustazah Sakinah dengan wajah yang sedikit terperanjat.
“Kenapa hati Mayra yang perlu merasai kesakitan ni? Apa dosa Myra, bonda?” Humayra mengongoi dalam tangisan.   
Tengah hari tadi, sekeping sampul surat dihantar ke rumahnya. Sampul surat coklat yang tidak bernama yang benar-benar telah menghancurleburkan kepercayaannya. Sungguh sesak nafasnya saat mata terpandangkan keintiman luar batas dalam beberapa keping gambar yang dikepilkan dalam sampul surat itu. Menggeletarkan seluruh urat nadinya. Mengogah jiwa. Dia kecewa. Hatinya terluka.
Lalu, kekecewaan inilah yang telah membawa kakinya ke Teratak Annur, rumah anak yatim yang pernah menjadi tempatnya berteduh sejak dia berusia enam tahun. Dia perlukan kekuatan. Dan hanya Ustazah Sakinah yang mampu menitipkan kekuatan padanya.
 “Mayra..” panggil Ustazah Sakinah. Kedua-dua belah tangan Humayra digenggam rapat. Dia menyeka air mata yang tumpah di pipi mulus itu.
“Allah menguji kerana Dia sayangkan kita. Dia menguji kerana dia hendak berikan kesenangan yang lebih besar lagi di akhirat nanti, buat selama-lamanya. Kesakitan, kepayahan, kesulitan yang kita rasai di dunia ini bersifat sementara. Dan ia sebenarnya terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan kenikmatan yang Allah janjikan di syurga kelak. Yakinlah dengan janji-janji-Nya.”
Humayra menunduk. Terkesan dengan bicara tenang Ustazah Sakinah. Ya, memang benar ujian itu tanda keimanan. Dia tidak sepatutnya mengeluh dengan setiap dugaan yang mendatang. Untuk apa dia merasa gelisah sedangkan dia tahu janji Allah itu pasti. Sesungguhnya rahmat Allah itu terlalu besar untuk didustakan.
“Apa yang Mayra perlu buat, bonda? Kadang-kadang Mayra rasa Mayra tak cukup kuat untuk hadap semua ni…” Setitis air matanya jatuh lagi. Berkaca-kaca matanya memandang wajah tenang Ustazah Sakinah.
Mayra masih ingat tak dengan ayat dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-45? Allah SWT ada berfirman; Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
Humayra mengangguk. Membesar dalam didikan Ustazah Sakinah membuatkan dia sering didedahkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Itulah asas yang sangat dititik beratkan oleh ibu angkatnya itu.
“Tapi kadang-kadang Mayra tak mampu nak kawal hati yang memberontak ni. Kelukaan yang Mayra rasa ini cukup sakit, bonda,” rintih Humayra.
“Jangan terlalu ikutkan perasaan sedih dan kecewa tu, Mayra. Semua tu mainan hati dan godaan jiwa untuk buat fikiran Mayra berkecamuk. Manusia akan hilang keimanan bila dia membiarkan hati dan rasa mengawal akal,” nasihat Ustazah Sakinah penuh makna. Tangan Humayra dielus lembut.
“Perbanyakkan solat taubat dan solat hajat. Berdoa pada Allah. Berbicaralah dengan Dia tentang apa yang kita rasa. Tentang kesakitan hati kita, tentang kesusahan, tentang kesedihan kita. Luahkan semuanya pada Dia yang Satu. Bangun malam-malam dan bermunajat pada Allah. Mayra ada buat tak?,” tambah Ustazah Sakinah menghantar pertanyaan.
Humayra menggelengkan kepalanya. Peringatan Ustazah Sakinah menusuk masuk ke hati Humayra. Benar. Dia sudah lama tidak bangun di sepertiga malam untuk sujud kepada-Nya. Kehadiran Aleesya dijadikan alasan. Penat konon-kononnya. Menyedari kedangkalan diri. Dia malu sendiri.
“Mayra leka, bonda. Leka dengan kesibukan dunia,” akui Humayra. Dia mengetap bibir.
“Sudah namanya manusia. Memang begitulah sifatnya. Tak akan pernah sepi dari melakukan kekhilafan. Mungkin ujian yang Mayra lalui ini kerana Allah rindukan Mayra. Dah lama Dia tak dengar luahan bicara Mayra dan munajat Mayra pada-Nya. Yang penting, bila dah sedar tu cepat-cepat kita perbaiki diri. Mohon keampunan dari-Nya, hmmm..” pesan Ustazah Sakinah. 
“Terima kasih, bonda.” Dia memeluk erat tubuh gempal Ustazah Sakinah. Melepaskan tangisan di bahu wanita penyayang itu.
“Dah, jangan sedih-sedih,” pujuk Ustazah Sakinah sambil mengusap perlahan belakang Humayra. Pelukan dileraikan. Dia memandang lama wajah Humayra.
“Maaf kalau bonda tanya, Mayra ada masalah ke dengan Urwah?”
Humayra terkedu dengan pertanyaan Ustazah Sakinah.
“Errrr…” Kata-katanya mati tanpa noktah.
“Mayra bahagia dengan Urwah?” soal Ustazah Sakinah lagi. Sekadar ingin memastikan. Dia tidak mahu Humayra dipersiakan. Biarpun hatinya sedikit terkilan kerana Humayra memilih Urwah dan bukan anak lelakinya, Habib. Tetapi dia reda dengan jodoh yang ditetapkan Allah.
“Bahagia..sangat bahagia, bonda. Abang Urwah layan Mayra baik sangat,” balas Humayra jujur. Memang Urwah tidak pernah gagal mencurahkan kasih sayang kepadanya. Kalau sekali-sekali merajuk manja, itu perkara biasa. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri.  
“Cuma…” Sekali lagi Humayra kematian kata. Hatinya berbolak-balik. Perlukah dia menceritakan semuanya? Tentang gambar-gambar itu?
“Cuma apa, Mayra?”  
“Hmm..tak ada apalah, bonda. Mayra rasa masalah tu biar Mayra selesaikan sendiri dengan abang Urwah. Masalah kecil je,” putus Humayra seraya mengukirkan senyuman nipis. Hatinya masih punya kepercayaan kepada  Urwah. Dia tidak mahu mempertaruhkan kepercayaannya membuta-tuli. Soal gambar itu, dia akan berterus-terang dengan Urwah dan mendapatkan penjelasan daripada suaminya.
“Kalau macam tu, tak apalah. Bonda yakin anak bonda ni mampu selesaikan masalah tu dengan baik. Mayra kena ingat. Sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya,” ujar Ustazah Sakinah, tidak jemu menitipkan kata-kata nasihat yang membina.
“Mayra datang ke sini..Urwah tahu tak ni? Dah minta izin dia?” soal Ustazah Sakinah mengambil berat.
“Dah, bonda. Tadi Mayra dah SMS abang Urwah. Mayra tahu, berdosa besar seorang isteri yang keluar rumah tanpa keizinan suami.”
Penjelasan Humayra membuatkan Ustazah Sakinah melebarkan senyuman. Humayra memang seorang wanita yang baik. Dan dia yakin Humayra juga mampu menjadi seorang isteri yang solehah.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam..” Serentak Humayra dan Ustazah Sakinah menjawab salam. Masing-masing memalingkan wajah ke pintu pagar.
“Panjang umur suami Mayra. Baru je sebut terus muncul,” omel Ustazah Sakinah.
Humayra terkesima. Dia sebenarnya sedikit terkejut dengan kemunculan suaminya di situ. Sedangkan pagi tadi, Urwah ada memberitahu yang dia terpaksa menyiapkan kerja di pejabat sampai malam. 
“Masuk, Urwah. Pintu pagar tu bonda tak kunci pun,” pelawa Ustazah Sakinah mesra.
Urwah menolak pintu pagar, lalu melangkah masuk.
“Bonda apa khabar?” sapanya.
“Alhamdulillah, baik-baik je. Kamu sihat?” soal Ustazah Sakinah berbasa-basi.
“Sihat, bonda. Mana tak sihat kalau ada isteri yang jaga makan pakai saya dengan cukup sempurna,” jawab Urwah seraya mengerling ke arah Humayra. Walau di mana sekalipun, dia tidak pernah segan untuk menghargai isterinya.
Wajah Humayra berubah rona. Dia merasa segan bila dipuji begitu di depan Ustazah Sakinah.
“Alhamdulillah. Seronok bonda mendengarnya. Kamu duduklah dulu, Urwah. Bonda nak masuk dalam sekejap. Nak jenguk budak-budak. Entah apa yang dibuat dengan Aleesya kat dalam tu,” ujar Ustazah Sakinah tergelak kecil. Bagaikan mengerti dengan ruang yang diperlukan oleh pasangan muda itu, dia mengatur langkah masuk ke dalam rumah.
Urwah mengambil tempat duduk di sebelah kiri Humayra.
“Tak nak salam abang?” Urwah menghulurkan tangan. Pelik. Kebiasaannya Humayra yang akan terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk menyalaminya bila dia pulang dari kerja.
Dengan senyuman kelat di bibir, Humayra tunduk mencium tangan Urwah. Menggenggam lemah tangan sang suami. Sungguh dia gagal menyembunyikan gelodak perasaannya.
Urwah memandang lama wajah suram Humayra. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena bila melihatkan mata Humayra yang sembap dan hidung yang memerah. Ada kesan air mata di pipi kering isterinya.
“Kenapa ni, sayang? Mayra menangis ke?” soal Urwah mengambil berat.
“Kenapa abang balik awal hari ni? Tadi, kata banyak kerja,” Humayra tidak membalas pertanyaan Urwah.
“Abang rindu..” bisik Urwah dengan renungan nakal.
“Pagi tadi baru jumpa, takkan petang dah rindu? Tak logik langsung.” cebik Humayra dingin. Entah kenapa hatinya sakit dengan ungkapan rindu itu. Benarkah Urwah memaknakan rasa itu? Atau hanya sekadar menanam tebu di pinggir bibir?
Urwah mengukirkan senyum bersalah. Sebenarnya tengah hari tadi, usai dia memberikan kebenaran kepada Humayra untuk ke Teratak Annur sendirian dengan Aleesya, dia menjadi tidak senang duduk.  Selalunya Humayra hanya akan ke teratak itu bila dia ada bersama. Selama ini, Humayra sangat menjaga perasaannya. Bimbang kalau-kalau timbul salah sangka.
Mula-mula dia fikir, mungkin Humayra terlalu rindukan Ustazah Sakinah. Rindukan anak-anak di teratak itu. Dia pun sudah lama tidak membawa Humayra ke situ dek kesibukan kerja.
Namun, satu lintasan liar yang menjentik api cemburu menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang kerja lebih awal dari biasa. Dia bimbang kalau-kalau Humayra ke Teratak Sakinah kerana ingin bertemu Habib, lelaki yang pernah menyukai isterinya? Biarpun Habib tidak tinggal di situ, tetapi Habib juga sering mengunjungi teratak itu untuk membantu ibunya.
“Mayra nak masuk dalam.”
Kata-kata Humayra mencantas lamunan Urwah. Pantas dia mencapai tangan isteri yang sudah berdiri.
“Duduklah sebelah abang dulu,” halang Urwah.
Humayra kembali melabuhkan duduk.
“Mayra ada masalah ke? soal Urwah lembut. Bahu si isteri dipeluk dan diusap perlahan.
Humayra membatukan diri dengan pertanyaan Urwah. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Memaknakan hati yang sedang dilanda gelisah.
“Kalau Mayra ada masalah, kongsilah dengan abang,” pujuk Urwah lagi.
Humayra menarik nafas lalu melepaskannya perlahan. Dia memang akan selalu kalah dengan pujukan Urwah. Beg tangan yang diletakkan di sisi dicapai. Sekeping sampul surat berwarna coklat dikeluarkan.
“Tengah hari tadi, Mayra dapat ni,” beritahu Humayra seraya mengunjuk sampul itu kepada Urwah.
Berkerut dahi Urwah memandang Humayra dengan penuh tanda tanya. Namun, tangannya tetap menyambut huluran itu. Dia membuka sampul dengan sedikit rakus. Sebaik isi di dalam sampul dikeluarkan, semakin bertambah lipatan di dahinya. Tangannya membelek satu persatu kepingan gambar itu.
“Siapa yang hantar gambar ni?” Wajah Urwah berubah. Ada riak marah yang terpeta di situ.
“Mayra tak tahu. Sedar-sedar sampul surat tu dah ada dalam letter box,”
Urwah bungkam. Dia mengetap giginya kuat sehingga kedua-dua belah rahangnya bergerak-gerak. Pandangannya melorot tajam pada kepingan gambar yang berada di dalam genggamannya.
“Apa semua ini, abang? Betul ke apa yang Mayra lihat dalam gambar ni? Abang ke dalam gambar ni? Abang…abang…” Kata-kata Humayra terhenti pada soalannya yang terakhir. Berat bibirnya untuk melafazkan pertanyaan itu walaupun hatinya benar-benar meronta untuk menagih penjelasan. Jauh di dasar hati dia mengharapkan penafian Urwah.
Urwah merengus berat. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi. Untuk beberapa saat, dia menyedut nafas dalam. Dia perlu tenangkan diri sebelum menjawab pertanyaan Humayra.
“Memang abang dalam gambar tu,” akui Urwah perlahan. Dia meraup rambutnya ke belakang.
Humayra terpempan dengan pengakuan Urwah. Hatinya tersayat pedih. Luruh air matanya dengan apa yang baru didengarinya itu. Jadi, betullah dengan segala keintiman sesama jantina yang dilihatnya di dalam gambar ini?
Sungguh dia tidak menyangka yang hidup Urwah selama ini sudah jauh tersasar. Tergelincir dari landasan agama dan fitrah manusia normal. Selama ini dia ingatkan Urwah hanya menjalinkan hubungan dengan perempuan. Tetapi rupa-rupanya Urwah juga meminati terhadap lelaki. Suaminya itu biseksual!
“Tapi apa yang Mayra lihat dalam gambar itu, bukan seperti yang Mayra fikirkan,” terang Urwah apabila menyedari riak wajah Humayra yang kecewa.
“Tapi..lelaki yang berpeluk dalam gambar tu memang abang kan?”
“Ya, memang abang tapi abang tak buat semua tu…errr..memang abang peluk Bryan…errr…terpeluk maksud abang. Tapi abang tak ada apa-apa hubungan pelik dengan Bryan. Percayalah,” nafi Urwah.
Humayra menggelengkan kepalanya. Sukar untuknya menerima segala penafian Urwah.    
“Itu gambar lama…”
“Tak payahlah abang jelaskan lagi,” pangkah Humayra sambil mengesat airmata. Hatinya cukup terluka saat itu. Dia bingkas bangkit untuk mendapatkan Aleesya.
No, sayang. You have to listen to me,” tegas Urwah. Dia menarik Humayra untuk kembali duduk.
“Nak dengar apa lagi, abang? Semuanya dah jelas terbukti kan?” soal Humayra dalam suara yang tertahan.
Please, sayang. Mayra ingat tak dulu Mayra pernah pesan pada abang. Walau apa pun masalah kita perlu berbincang. Dengar dulu penjelasan dari setiap sudut. Jangan buat tindakan melulu,” pohon Urwah. Kedua-dua belah jari-jemari Humayra di bawa ke dalam genggaman. Kemas.
Humayra diam tanpa kata. Hanya esak tangisnya yang kedengaran.
“Gambar tu sebenarnya gambar lama. Gambar lima tahun yang lalu. Bryan tu sepupu abang. We’re so close like brothers. Malam tu, Byran buat parti dekat rumah dia. Bila dah berparti, memang kami mabuk teruk. Perkara terakhir yang abang ingat masa tu, abang tertidur dalam bilik Bryan,” terang Urwah. Dia berhenti seketika untuk melihat reaksi Humayra sebelum menyambung kata.
“Bila abang sedar pagi tu, tiba-tiba Jennifer, tunang Bryan masuk ke dalam bilik dan dia ambil gambar abang dan Byran. Sengaja dia ambil gambar abang dan Bryan yang tengah berpeluk untuk jadi bahan gelak,” ujar Urwah menyusun kata. Perit tekaknya untuk mengimbau kembali kenangan zaman gelapnya itu. Namun, demi sebuah kepercayaan dia rela.
“Abang tak sedar malam tu. Macam mana abang tahu tak ada apa-apa yang berlaku antara abang dan Bryan?” soal Humayra sangsi.
Bila dua manusia yang berada di luar kesedaran, kawalan otak tidak dapat berfungsi dengan betul. Maka, tidak mustahil segala kemungkiran boleh berlaku bila manusia tidak lagi berada pada paras norma kehidupan. Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda yang arak bukanlah ubat, bahkan sebenarnya adalah punca kepada segala penyakit? Arak bukan hanya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia tetapi arak juga menyumbang kepada kesan yang negatif pada gejala sosial.
 “Dalam gambar ni, Mayra nampak abang dan Bryan macam tak berpakaian kan?”
Humayra mengangguk. Mengiakan pertanyaan Urwah. Mujur juga tubuh kedua-dua lelaki itu dilapisi selimut tebal separas pinggang. Kalau tidak, dia sendiri tidak sanggup untuk melihat.
“Abang dan Byran hanya tak pakai baju. Tapi kami tak berbogel. Bila abang bangun pagi tu, abang masih berseluar. Bryan pun.”
“Tapi, itu tak membuktikan yang tak ada apa-apa berlaku antara abang dan Byran.” Humayra tetap ragu.
Urwah menarik nafas dalam. Dia melepaskan keluhan berat.
“Memang abang tak ada bukti, sayang. Tapi kalau Mayra tak percayakan abang, abang boleh bawa Mayra jumpa Jennifer. Mayra boleh tanya dia sendiri. Dia saksi apa yang berlaku pada malam dan pagi tu,” yakin Urwah mempertahankan pendiriannya.
Humayra diam. Pandangannya menentang sepasang mata milik Urwah. Mencari kejujuran dalam sinar mata suaminya.
“Mayra kenal abang macam mana kan? Abang takkan selindung kalau abang pernah buat. Kalau abang nak sembunyikan, abang takkan mengakui semua kesilapan lampau abang pada Mayra sebelum ni.”
Humayra menyeka air mata di pipi. Memang selama ini Urwah tidak pernah berahsia apa-apa pun dengannya. Segala sejarah silam Urwah ada dalam pengetahuannya. Dan kerana kejujuran suaminya itulah, dia menerima cinta Urwah. Selama ini dia percayakan Urwah. Tapi, apa yang dilihat dalam gambar ini sedikit sebanyak membuatkan hatinya ragu.
“Entahlah, abang.” Humayra buntu.
 “Ini semua fitnah, sayang. Mayra sendiri tahu kan betapa gigihnya mereka dekat luar sana tu yang nak pisahkan kita. Kita dah harungi macam-macam rintangan bersama. Takkan dugaan sekecil ini, dah mematahkan kepercayaan Mayra pada abang?” soal Urwah lirih.
Di dalam hati Humayra membenarkan kata-kata Urwah. Ya. Terlalu ramai yang ingin menyaksikan kehancuran rumah tangga dia dan Urwah. Sejak dia mengambil keputusan untuk menerima lamaran Urwah, kesabarannya diuji. Sejak itu juga, ketabahannya diduga. Halangan demi halangan yang menuntut pengorbanan yang bukannya sedikit dari dia dan Urwah.
“Mayra percayakan, abang.” Humayra mengangguk perlahan.
“Alhamdulillah..” ucap Urwah perlahan. Humayra ditarik ke dalam dakapan.
“Mayra percayakan abang..Mayra percaya…” bisik Humayra mengulangi kata-katanya. Dia mahu percayakan Urwah. Dia perlu percayakan Urwah. Kerana Urwah adalah suaminya. Pemimpin dalam rumah tangga mereka.

Urwah mengemaskan pelukan. Jelas terpancar riak kelegaan di wajah itu. Sesak nafasnya bila dia hampir hilang kepercayaan Humayra. Di dalam diam, dia merangka perhitungan. Dia tahu siapa angkara yang menghantar gambar itu. Sudah tiba masanya dia bersemuka dengan dalang yang sengaja mencetuskan fitnah dan salah sangka dalam rumah tangganya. 
p/s: Sudi-sudikanlah tinggalkan jejak yer..hehehe..