Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday 22 April 2013

Temuduga Cinta Bab 6


Bosan. Satu patah kata yang cukup menggambarkan apa yang aku rasa saat ini. Bosan bila aku hanya mampu terperuk di dalam bilik sekangkang kera ini tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Bosan bila menanti panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings yang entah bila akan kunjung tiba. Bosan bila terpaksa mengikat perut di kala baki wang tunai yang ada di tangan ku hanya tinggal beberapa sen saja lagi.

“Krrooookeeukkk…”

Aku menekan perut ku kuat. Boleh sawan angin aku kalau berterusan melayan lagu zapin mak inang versi rock yang sedang berirama di dalam perut.

“Krrooookeeeukkkkkkrooottttt..”

Makin rancak pula muzik dalam perut aku ini. Aku mencapai tin biskut yang ku letakkan di sisi tilam. Tin itu ku angkat sedikit lalu ku goncang perlahan. Senyap dan kosong.

“Sabarlah perut. Anggaplah kita berpuasa je hari ni.” 

Tin biskut itu ku letakkan semula dengan rasa hampa. Perut ku yang sedikit kembung ku usap perlahan. Mahunya tak kembung. Beberapa gelen air masak telah ku telan semata-mata untuk mengalas perut.

Aku menyandarkan tubuh ke dinding. Kepala ku dongak sedikit memandang kipas yang sedang ligat berpusing di syiling. Saat perut lapar begini mulalah terbayang-bayang di ruang mata masakan hasil air tangan mak aku di kampung. Nasi putih panas, ayam goreng kunyit, sayur lemak bersama belacan. Bagaikan terbau-bau aroma masakan selera kampung yang mampu buat aku tambah dua tiga pinggan nasi. Kecur air liur.

Tak boleh jadi. Makin lama aku berkurung dalam bilik ini tanpa sebarang aktiviti, makin meliar pula fikiran aku duk terbayangkan makanan yang lazat-lazat. Lantas aku bangun dan berdiri di hadapan cermin.    

Cermin plastik berbentuk empat segi yang ku beli di kedai runcit Ah Seng dengan harga dua ringgit sembilan puluh sen ku pandang. Wajah ku yang terpantul ku belek. Aku usap kulit dahi ku yang semalam masih lagi licin tapi hari ini satu bonggol jerawat batu telah berjaya mencemar duli di situ. Elok dia parking di tengah-tengah dahi pula tu.

Tiba-tiba telefon bimbit Nokia 1202 milik ku menjerit nyaring. Pantas tangan ku menggagau telefon yang ku letakkan di atas meja jepun. Nama mak yang tertera di skrin telefon membuatkan bibir ku tersenyum lebar.

“Assa…”

“Budak bertuah! Semalam mak telefon kamu banyak kali kenapa tak angkat? Kalau kamu ada hal sekalipun, lepas selesai hal kamu tu tak reti nak telefon mak balik? Kamu tahu tak mak kat sini bukan main risau duk ingatkan kamu. Kalau…”

Aku menjauhkan sedikit telefon dari telinga ku. Itu dia. Tak sempat aku nak memberi salam, suara bidan Lijah macam bertih jagung membingitkan telinga ku.

“Assalamualaikum, mak. Tak jawab dosa, kalau jawab sayang.” Giat ku. Pinjam sekejap label garis a.k.a. tagline Maria Elena, vlogger terkenal tu. Terdiam sekejap mak di hujung talian. Hanya kedengaran nafasnya turun naik, mungkin penat mengejar nafas akibat bercakap tak berhenti tadi.

“Waalaikumsalam.” Mak menjawab salam. Aku gariskan senyum. Aku tahu mak memang sayangkan aku.

“Kalau mak sayangkan orang mak janganlah marah-marah. Tak cool lah bidan Lijah kalau marah-marah macam ni. Nanti hilang seri awet muda mak.” Aku semakin giat mengusik. Perangkap sudah mengena.

“Errr..mak bukannya marah tapi nasihat.” Balas mak dengan intonasi suara yang mengendur. Aku tersengih dengan kata-kata mak.

“Kamu kat mana ni, ‘Ain?” Mak kembali menyoal ku.

“Tak ke mana pun mak. Orang ada je kat bilik dalam rumah sewa ni.” Aku menjawab tenang. Tubuh ku rebahkan di atas tilam. Bantal golek ku capai dan ku peluk kemas. Dah gaya macam bergayut dengan pakwe pula aku ni. Banyaklah kau punya pakwe, ‘Ain.

“Kenapa mak call kamu tak dapat semalam?” Soal mak lagi bernada curiga. Edisi siasat saluran bidan Lijah sudah bermula.

“Masa mak call semalam orang tengah mandi. Sedar-sedar je tengok ada miss called dari mak. Mak tahulah anak mak ni kalau mandi macam mana..” Aku memberikan alasan. Sungguh memang aku ada di dalam bilik air ketika mak aku telefon. Biasalah kalau aku bersiram, lima minit mana cukup. Paling-paling tidak pun lima belas minit aku perlukan untuk menyental dan menggonyoh segala kerak dan daki di badan. Barulah kulit akan putih gebu tanpa perlu mamah collagen.

“Habis tu kenapa tak return call?” Erk! Amboi mak. Sejak bila bidan Lijah ni pandai sebut perkataan Inggeris ni. Semakin maju nampaknya. Aku tergelak kecil.

“Yang kamu gelak kenapa? Kelakar ke soalan mak tu?” Tawa ku terus padam dengan ketegasan suara mak. Serius sungguh mak kali ini. Aku garu dagu yang tiba-tiba terasa gatal.

"Tak adalah. Orang pelik sejak bila mak pandai cakap omputih ni?"

"Kenapa? Kamu ingat bidan kampung macam mak ni tak reti nak skipping? C'mon..ini bidan Lijah. See the leg lah.."

Aku membulatkan mata sambil ketawa kuat. Terasa digeletek-geletek pundi kencing aku mendengar mak bertutur.

“Bukan skipping lah mak...spelling. Skipping tu kalu mak nak exercise.” Ujar ku membetulkan kata-kata mak dengan yakin. 

“Eh..apa pulak. Mak tahulah spelling tu maksud dia mengeja. Kamu jangan pandai-pandai nak sesatkan mak pula.” Pertikai mak.

Kata-kata mak membuatkan aku menepuk dahi. Alamak..macam mana boleh tersalah ni. Sepatutnya speaking. Macam manalah benda senang macam tu pun kau boleh lupa, ‘Ain.

“Errr…orang sebenarnya saja je nak test English mak. Hebat ye mak sekarang ni. Mak belajar dengan siapa ni?” Dalih ku mengubah topik. Cair tahi telinga aku kalau mak tahu aku tak reti nak bezakan antara spelling dengan speaking.

Mr. Henry yang handsome tulah…siapa lagi..”

“Mr. Hairi mana pula ni?” Aku mengerutkan dahi.

“Bukan Hairi lah…Henn..rrrry.. Kamu ni nama je belajar sampai ke menara gading. Tapi lidah tu keras macam tu jugak lah.” Sindir mak membuatkan aku tengadah. Kantoi lagi!

“Samalah tu. Orang Melayu panggil Henry tu Hairi.. Samalah macam Ibrahim..orang putih panggil Abraham. Kalau Isqandar jadi Alexander. Sebutan je lain tapi maksudnya sama.” Bahas ku tidak mahu kalah. Pandai-pandai je aku reka nama baru. Nak hidup punya fasal.

“Ye ke? Mak tak tahu pula. Mr. Henry tak habis ajar lagi ni.” Gumam mak perlahan.

“Siapa Mr. Henry tu, mak?” Aku mengulang soalan yang sama.

“Alah..Mr. Henry Middleton.” Beritahu mak bangga. Orang putih sesat mana pula yang mak aku sangkut ni.

“Mak kalau nak carikan ayah baru untuk orang pun, carilah orang Malaysia. Jauh benar mak cari sampai merentas benua..” Bantah aku. Aku tahu sejak ayah pergi menghadap Ilahi lima belas tahun yang lalu, mak hidup kesunyian tanpa kehadiran seorang suami. Sungguh aku takkan menghalang andai mak bertemu pengganti ayah. Tapi takkanlah dengan lelaki mat salleh. Entah potong entah kan tidak.. Eiii..selisih!

“Astagfirullahalazim..” Mak beristighfar panjang.

“Apa yang kamu merepek ni, ’Ain??? Kamu ingat mak ni hadap sangat nak kahwin lagi???” Nyaring suara mak menyoal ku di hujung talian. Kalau boleh diukur tahap kenyaringan, mahunya cecah 140 desibel.

“Habis tu Mr. Henry tu siapa?” Soal ku lagi. Aku menggaru kepala.

“Mr. Henry Middleton, cikgu dalam Oh My English tu...”

Oh My English?”

“Yalah, rancangan kat Astro tu yang ajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris dengan betul tu. Takkan kamu tak tahu? Patutlah bahasa Inggeris kamu ke laut.” Perli mak.

“Err..kat rumah orang ni mana ada Astro. Yang mak ni sejak bila pula tengok rancangan Astro ni? Rumah kita dah pasang Astro ke?” Tanya ku pelik.

“Mak tengok dekat rumah Makcik Leha. Dah tiga bulan Makcik Leha kamu tu pasang Astro. Si Rogayah yang bayar tiap-tiap bulan.” Cerita mak.

“Ooo…” Aku mengangguk. Dalam hati terasa juga bila aku sendiri tak mampu nak senangkan mak aku. Kesian mak terpaksa menumpang rumah jiran semata-mata nak tengok siaran Astro. Bilalah aku dapat senangkan mak sedangkan nak beri makan mulut sendiri pun tak lepas lagi.

“Kau tak jawab lagi soalan mak tadi. Kenapa kau tak telefon mak balik semalam?” Pertanyaan mak memangkas lamunan pendek ku.

“Bukan orang tak nak call mak balik tapi…” Aku menarik nafas dalam. Tak terkeluar suara dari anak tekak ini untuk tuturkan ayat seterusnya. Tidak tergamak aku nak beritahu mak yang telefon aku tak ada kredit dan aku tak cukup duit nak beli top up.

“Kamu tak ada duit ke, ‘Ain?” Mak menebak dengan tepat. Nada suara mak berubah risau.

Aku terkedu. Mak memang tidak pernah gagal membaca aku biarpun hanya dengan mendengar lenggok suara ku saja.

“Kamu belum dapat kerja lagi ya, ‘Ain?” Soalan mak membuatkan aku merasa serba salah.

Kalau aku jawab pertanyaan mak, aku takut mak suruh aku balik duduk di kampung. Kalau di bandar Kuala Lumpur ni pun aku sukar nak dapat kerja, apatah lagi di kampung. Aku nak kerja apa? Lagipun aku tak nak menyusahkan mak aku yang memang dah sedia susah. Cukuplah aku dah bebankan dia selama ini mengerah kudratnya sebagai bidan kampung semata-mata untuk menyekolahkan aku.

“Orang dah pergi temu duga kerja semalam. Kali ini orang rasa kemungkinan besar orang akan dapat kerja tu.” Jawab ku. Sengaja aku menceriakan sedikit suara agak mak tidak merasa risau.

Tiba-tiba mak mengeluh. “Maafkan mak. Sebab maklah kamu terpaksa hidup susah macam ni. Kalau kamu duduk dengan keluarga…”

“Mak, orang tak sukalah mak ungkit fasal tu lagi. Orang sayang mak. Orang bahagia hidup dengan mak.” Pangkah ku laju. Aku tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak. Sungguh aku tak pernah menyesal dengan takdir hidup aku. Dan aku bersyukur dengan pilihan yang aku buat ini. Sekali aku melangkah, takkan aku berpaling lagi.

“Orang yang sepatutnya minta maaf dengan mak sebab orang masih tak mampu nak senangkan mak.” Sambung ku syahdu.

“Mak tak kisah, ‘Ain. Kamu sudi hidup dengan mak pun dah buat mak cukup senang.” Nada suara mak semakin sayu.

“Mak tak pernah rasa susah bila mak ada kasih sayang seorang anak macam kamu.” Tambah mak mula teresak kecil. Kalau dibiarkan sekejap lagi pasti berderu-deru hujan air mata yang akan turun membasahi pipi mak.

“Mak…” Panggil aku.

“Orang nak tanya satu soalan boleh?” Tanya ku mengalih topik.

“Apa dia?” Suara mak menahan sebak. Sensitif sungguh emosi bidan Lijah ni.

“Betul ke mak senang dengan orang?”

“Betullah lah. Kamu kan anak mak dunia akhirat.” Balas mak tulus ikhlas.

“Kalau macam tu, boleh tak mak pinjamkan orang duit seratus ringgit?” Pertanyaan ku membuatkan mak terdiam lama.

“Bertuah punya budak. Dia kenakan kita balik rupanya!” Jerit mak kuat. Suara mak kembali nyaring. Ini barulah bidan Lijah yang sebenar.

Aku tersengih sambil mengesat juring mata ku yang mula basah. Mujur mak tak nampak.

“Boleh tak, mak? Orang tengah kering sangat-sangat ni. Hujung bulan nanti bila orang dapat gaji orang bayar balik.” Aku melembutkan suara.

“Yalah, besok pagi mak masukkan dalam akaun kamu.” Putus mak.

“Terima kasih, mak.” Ucap ku perlahan. Mak memang tidak pernah menghampakan aku biarpun sesusah mana keadaan mak waktu itu. Terasa mata ku kembali berkaca. Makin lama makin kabur. Haih..emosi bidan Lijah dah berjangkit kat aku ke?

“Err..mak. Orang sakit perut tiba-tiba ni. Nak ke tandas. Orang letak telefon dulu, ya. Assalamualaikum.” Cepat-cepat aku memutuskan talian sebelum mak dapat mengesan aku yang sedang menangis. Sakit perut hanyalah alasan.

Aku mencapai sebiji bantal dan menekup ke muka. Segala tangis ku hamburkan di situ semahu-mahunya. Kenapa tak boleh berhenti empangan di mata aku ni?

Telefon bimbit ku sekali lagi berdering kuat. Bantal yang menekup di muka ku angkat. Skrin telefon ku pandang. Tertera nombor asing yang tidak ku kenali. Pada mulanya malas aku nak mengangkat tapi bila melihat kepala nombor +03, aku mengubah fikiran Mungkin ini panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings.

Aku bangkit. Wajah yang basah ku sapu dengan telapak tangan. Aku menarik nafas dalam sebelum menekan butang hijau di telefon.

“Assalamualaikum..” Suara seorang lelaki memberi salam di hujung talian.

“Waalaikummussalam..” Jawab ku serak.

“Boleh saya bercakap dengan Cik Qurratul ‘Ain?” Lelaki itu menyoal.

“Ya, saya.”

“Betul ke ini Cik Qurratul ‘Ain?”

“Ya, betul. Saya Qurratul ‘Ain.” Tekan ku.

“Kenapa suara sengau? Awak menangis ke?” Lelaki itu menyoal lagi.

Erk! Aku terkedu. Telefon di tangan ku tenung sekilas sebelum ku tekapkan kembali ke telinga.

“Siapa ni?” Senyap tiada respons.

“Hello…siapa ni?” Ulang ku lagi. Hidung yang tersumbat ku picit perlahan. Senyap lagi. Nak kata talian terputus, aku dengar macam bunyi orang bernafas di hujung talian.

“Kalau tak nak cakap, saya letak.” Ugut ku.

“Uzair.” Balasnya sepatah.

“Uzair?”

Yes. Uzair from Gemilang Holdings.”

“Oh..awak..” Patutlah suara dia macam pernah aku dengar sebelum ini. Encik Sarkastik rupanya.

“Err..awak okay tak ni?” Dia menyoal lagi.

“Okay...”

“Suara awak tu kenapa lain?” Tanya Uzair masih tidak berpuas hati.

Aku mengetap bibir. Sejak bila pula Uzair ini  dilantik jaga tepi kain aku.

“Selesema. Kenapa awak call saya ni?” Suara ku naik satu oktaf. Menyampaikan rasa kurang senang di hatiku.

Uzair berdeham. “Sebenarnya saya buat panggilan bagi pihak Gemilang Holding. Sukacita dimaklumkan Cik Qurratul ‘Ain telah berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja di syarikat kami. Tahniah.” Beritahu Uzair formal.

Aku bingkas berdiri. Bibir ku tersenyum lebar. Berita yang ku terima benar-benar meletakkan aku dalam keterujaan. Terasa ingin melompat sampai ke bintang.

“Sungguh?” Soal ku separuh percaya. Bagaikan mimpi. Setelah hampir enam bulan aku ke hulu ke hilir mencari kerja, akhirnya rezeki ku ada di Gemilang Holdings.

“Tak ada masa saya nak buat panggilan hangit pada awak.” Sinis Uzair menjawab pertanyaan aku.

Senyum ku kendur. Rasa teruja ku merudum. Dia ni sengaja nak patahkan angin aku. Kalau jawab elok-elok tak boleh ke? Ini tidak, ada saja jawapan sarkastik yang keluar dari mulut tu.

“Manalah tahu awak ni Faizal Ismail yang menyamar jadi Uzair yang sarkastik tu.” Opps! Terlepas cakap sudah. Aku menepuk-nepuk mulut ku. Macam mana boleh tersasul ni.

Lama Uzair diam tidak bersuara. Mesti dia tengah bengang dengan mulut aku ni. Biarlah. Dia juga yang mula dulu.

“Besok datang ke pejabat untuk ambil surat tawaran dan lapor diri di Jabatan Sumber Manusia sebelum pukul 8 pagi. Sila pastikan awak tepati masa dan lewat walau seminit boleh menyebabkan tawaran terbatal dengan serta-merta.” Akhirnya dia bersuara tegas. Melebih-lebih pula arahan Uzair ini. Aku rasa macam dia sengaja menokok tambah fakta terutamanya bab lewat tu.

“Arahan daripada bos besar. Bukan saya sengaja reka.” Sambung Uzair bagaikan dapat menebak kata hati aku. Aku terkedu.

And one more thing, big boss pesan sila berpakaian kemas. Sila pastikan diapers awak cukup tebal untuk tampung apa-apa yang sepatutnya ditampung. Yang ni saya yang pesan. Assalamualaikum.”

Klik! Belum sempat aku membalas Uzair telah meletakkan telefon. Aku mendengus geram memandang telefon. Dia ni memang menyakitkan hati aku betul! 

14 comments:

  1. Kah..kah..kah.. Ohmai engrishhhh...

    ReplyDelete
  2. hahaha! kak rid..
    bunyi kriukk perut 'ain pn wat perut i berbunyi.. kahkah..
    xleh blah pesanan terakhir penaja uzair tu.. ahakss ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. *tertinggal

      i egt u salah taip "spelling" tu.. upenye 'ain yg salah sebut.. kahkahkah.. OME! >.<

      Delete
  3. Hahaha pesanan uzair yg last tu mmg x bole blah. Sempat lg kenakn ain.sj la tu sbb ain pgil dia uzair sarkastik kih kih

    ReplyDelete
  4. Hahaha.. ain ni tak pandai english sampai terkantoi dgn mak die sendiri.. hahaha.. parah2..
    Apekah yang bakal berlaku bila ain lapor diri esok... tak sabar nak gelak untuk part 7.. hahahaha..

    Good Job ridhya.. thump up!!!!

    ReplyDelete
  5. Aduiiii lawak giler cite si ain ni...mmg brutal n clumsy gak si ain....baca kisah si ain ni ketawa smpai terkuar airmata...kelakar la...harap2 cpt wat sambungan..dh jatuh cinta dgn watak giler2 si ain ni

    ReplyDelete
  6. kahkahkah... hadoi la uzair!!! sempatt lagi bg pesanan penaja yg panas tu...

    ReplyDelete
  7. pergh...diapers kt nyer...

    ReplyDelete
  8. lawakkkkkkkkkkkkkkk sgt Ain ni

    ReplyDelete
  9. Best..best..best...
    Hazalina burahan

    ReplyDelete
  10. Lawak pesanan uzair tu..sempat lg nak kenakan ain..

    ReplyDelete
  11. hahahaha sakit perut arr layan si aiN niee
    bestttt saNgatt !!

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..