Bosan. Satu patah kata yang cukup
menggambarkan apa yang aku rasa saat ini. Bosan bila aku hanya mampu terperuk
di dalam bilik sekangkang kera ini tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Bosan bila
menanti panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings yang entah bila akan kunjung
tiba. Bosan bila terpaksa mengikat perut di kala baki wang tunai yang ada di
tangan ku hanya tinggal beberapa sen saja lagi.
“Krrooookeeukkk…”
Aku menekan perut ku kuat. Boleh
sawan angin aku kalau berterusan melayan lagu zapin mak inang versi rock yang sedang
berirama di dalam perut.
“Krrooookeeeukkkkkkrooottttt..”
Makin rancak pula muzik dalam perut
aku ini. Aku mencapai tin biskut yang ku letakkan di sisi tilam. Tin itu ku
angkat sedikit lalu ku goncang perlahan. Senyap dan kosong.
“Sabarlah perut. Anggaplah kita berpuasa
je hari ni.”
Tin biskut itu ku letakkan semula dengan rasa hampa. Perut ku yang
sedikit kembung ku usap perlahan. Mahunya tak kembung. Beberapa gelen air masak
telah ku telan semata-mata untuk mengalas perut.
Aku menyandarkan tubuh ke dinding.
Kepala ku dongak sedikit memandang kipas yang sedang ligat berpusing di
syiling. Saat perut lapar begini mulalah terbayang-bayang di ruang mata masakan
hasil air tangan mak aku di kampung. Nasi putih panas, ayam goreng kunyit,
sayur lemak bersama belacan. Bagaikan terbau-bau aroma masakan
selera kampung yang mampu buat aku tambah dua tiga
pinggan nasi. Kecur air liur.
Tak boleh jadi. Makin lama aku
berkurung dalam bilik ini tanpa sebarang aktiviti, makin meliar pula fikiran
aku duk terbayangkan makanan yang lazat-lazat. Lantas aku bangun dan berdiri di
hadapan cermin.
Cermin plastik berbentuk empat segi
yang ku beli di kedai runcit Ah Seng dengan harga dua ringgit sembilan puluh
sen ku pandang. Wajah ku yang terpantul ku belek. Aku usap kulit dahi ku yang semalam
masih lagi licin tapi hari ini satu bonggol jerawat batu telah berjaya mencemar
duli di situ. Elok dia parking di
tengah-tengah dahi pula tu.
Tiba-tiba telefon bimbit Nokia 1202 milik ku menjerit nyaring. Pantas tangan ku menggagau telefon yang ku letakkan di atas
meja jepun. Nama mak yang tertera di skrin telefon membuatkan bibir ku
tersenyum lebar.
“Assa…”
“Budak bertuah! Semalam mak telefon
kamu banyak kali kenapa tak angkat? Kalau kamu ada hal sekalipun, lepas selesai
hal kamu tu tak reti nak telefon mak balik? Kamu tahu tak mak kat sini bukan
main risau duk ingatkan kamu. Kalau…”
Aku menjauhkan sedikit telefon dari
telinga ku. Itu dia. Tak sempat aku nak memberi salam, suara bidan Lijah macam
bertih jagung membingitkan telinga ku.
“Assalamualaikum, mak. Tak jawab
dosa, kalau jawab sayang.” Giat ku. Pinjam sekejap label garis a.k.a. tagline Maria
Elena, vlogger terkenal tu. Terdiam sekejap mak di hujung talian. Hanya
kedengaran nafasnya turun naik, mungkin penat mengejar nafas akibat bercakap
tak berhenti tadi.
“Waalaikumsalam.” Mak menjawab salam.
Aku gariskan senyum. Aku tahu mak memang sayangkan
aku.
“Kalau mak sayangkan orang mak
janganlah marah-marah. Tak cool lah bidan
Lijah kalau marah-marah macam ni. Nanti hilang seri awet muda mak.” Aku semakin
giat mengusik. Perangkap sudah mengena.
“Errr..mak bukannya marah tapi
nasihat.” Balas mak dengan intonasi suara yang mengendur. Aku
tersengih dengan kata-kata mak.
“Kamu kat mana ni, ‘Ain?” Mak kembali
menyoal ku.
“Tak ke mana pun mak. Orang ada je
kat bilik dalam rumah sewa ni.” Aku menjawab tenang. Tubuh ku
rebahkan di atas tilam. Bantal golek ku capai dan ku peluk kemas. Dah gaya
macam bergayut dengan pakwe pula aku ni. Banyaklah kau punya pakwe, ‘Ain.
“Kenapa mak call kamu tak
dapat semalam?” Soal mak lagi bernada curiga. Edisi
siasat saluran bidan Lijah sudah bermula.
“Masa mak call semalam orang
tengah mandi. Sedar-sedar je tengok ada miss
called dari mak. Mak tahulah anak mak ni kalau mandi macam mana..”
Aku memberikan alasan. Sungguh memang aku ada di dalam bilik air ketika mak aku
telefon. Biasalah kalau aku bersiram, lima minit mana cukup. Paling-paling
tidak pun lima belas minit aku perlukan untuk menyental dan
menggonyoh segala kerak dan daki di badan. Barulah
kulit akan putih gebu tanpa perlu mamah collagen.
“Habis tu kenapa tak return
call?” Erk! Amboi mak. Sejak bila bidan
Lijah ni pandai sebut perkataan Inggeris ni. Semakin maju nampaknya. Aku
tergelak kecil.
“Yang kamu gelak kenapa? Kelakar ke
soalan mak tu?” Tawa ku terus padam dengan ketegasan suara mak. Serius sungguh
mak kali ini. Aku garu dagu yang tiba-tiba terasa gatal.
"Tak adalah. Orang pelik sejak bila mak
pandai cakap omputih ni?"
"Kenapa? Kamu ingat bidan kampung
macam mak ni tak reti nak skipping? C'mon..ini bidan Lijah. See the leg lah.."
Aku membulatkan mata sambil ketawa
kuat. Terasa digeletek-geletek pundi kencing aku mendengar mak bertutur.
“Bukan skipping
lah mak...spelling. Skipping tu kalu mak nak exercise.” Ujar ku membetulkan kata-kata
mak dengan yakin.
“Eh..apa pulak. Mak tahulah spelling tu maksud dia mengeja. Kamu
jangan pandai-pandai nak sesatkan mak pula.” Pertikai mak.
Kata-kata mak membuatkan aku menepuk dahi. Alamak..macam mana
boleh tersalah ni. Sepatutnya speaking. Macam manalah benda senang macam tu pun kau boleh lupa, ‘Ain.
“Errr…orang sebenarnya saja je nak test English mak. Hebat ye mak sekarang
ni. Mak belajar dengan siapa ni?” Dalih ku mengubah topik. Cair tahi telinga
aku kalau mak tahu aku tak reti nak bezakan antara spelling dengan speaking.
“Mr. Henry yang handsome
tulah…siapa lagi..”
“Mr. Hairi mana pula ni?” Aku
mengerutkan dahi.
“Bukan Hairi lah…Henn..rrrry.. Kamu
ni nama je belajar sampai ke menara gading. Tapi lidah tu keras macam tu jugak
lah.” Sindir mak membuatkan aku tengadah. Kantoi lagi!
“Samalah tu. Orang Melayu panggil
Henry tu Hairi.. Samalah macam Ibrahim..orang putih panggil Abraham. Kalau Isqandar
jadi Alexander. Sebutan je lain tapi maksudnya sama.” Bahas ku tidak mahu
kalah. Pandai-pandai je aku reka nama baru. Nak hidup punya fasal.
“Ye ke? Mak tak tahu pula. Mr. Henry
tak habis ajar lagi ni.” Gumam mak perlahan.
“Siapa Mr. Henry tu, mak?” Aku
mengulang soalan yang sama.
“Alah..Mr. Henry Middleton.” Beritahu
mak bangga. Orang putih sesat mana pula yang mak aku sangkut ni.
“Mak kalau nak carikan ayah baru
untuk orang pun, carilah orang Malaysia. Jauh benar mak cari sampai merentas
benua..” Bantah aku. Aku tahu sejak ayah pergi menghadap Ilahi lima belas tahun
yang lalu, mak hidup kesunyian tanpa kehadiran seorang suami. Sungguh aku
takkan menghalang andai mak bertemu pengganti ayah. Tapi takkanlah dengan
lelaki mat salleh. Entah potong entah kan tidak.. Eiii..selisih!
“Astagfirullahalazim..” Mak beristighfar
panjang.
“Apa yang kamu merepek ni, ’Ain??? Kamu
ingat mak ni hadap sangat nak kahwin lagi???” Nyaring suara mak menyoal ku di
hujung talian. Kalau boleh diukur tahap kenyaringan, mahunya cecah 140 desibel.
“Habis tu Mr. Henry tu siapa?” Soal
ku lagi. Aku menggaru kepala.
“Mr. Henry Middleton, cikgu dalam Oh My English tu...”
“Oh
My English?”
“Yalah, rancangan kat Astro tu yang
ajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris dengan betul tu. Takkan kamu tak tahu?
Patutlah bahasa Inggeris kamu ke laut.” Perli mak.
“Err..kat rumah orang ni mana ada Astro. Yang
mak ni sejak bila pula tengok rancangan Astro ni? Rumah kita dah pasang Astro
ke?” Tanya ku pelik.
“Mak tengok dekat rumah Makcik Leha.
Dah tiga bulan Makcik Leha kamu tu pasang Astro. Si Rogayah yang bayar
tiap-tiap bulan.” Cerita mak.
“Ooo…” Aku mengangguk. Dalam hati
terasa juga bila aku sendiri tak mampu nak senangkan mak aku. Kesian mak
terpaksa menumpang rumah jiran semata-mata nak tengok siaran Astro. Bilalah aku
dapat senangkan mak sedangkan nak beri makan mulut sendiri pun tak lepas lagi.
“Kau tak jawab lagi soalan mak tadi.
Kenapa kau tak telefon mak balik semalam?” Pertanyaan mak memangkas lamunan
pendek ku.
“Bukan orang tak nak call mak balik
tapi…” Aku menarik nafas dalam. Tak terkeluar suara dari anak tekak ini untuk tuturkan
ayat seterusnya. Tidak tergamak aku nak beritahu mak yang telefon aku tak ada
kredit dan aku tak cukup duit nak beli top up.
“Kamu tak ada duit ke, ‘Ain?” Mak
menebak dengan tepat. Nada suara mak berubah risau.
Aku terkedu. Mak memang tidak pernah
gagal membaca aku biarpun hanya dengan mendengar lenggok suara ku saja.
“Kamu belum dapat kerja lagi ya, ‘Ain?”
Soalan mak membuatkan aku merasa serba salah.
Kalau aku jawab pertanyaan mak, aku
takut mak suruh aku balik duduk di kampung. Kalau di bandar Kuala Lumpur ni pun
aku sukar nak dapat kerja, apatah lagi di kampung. Aku nak kerja apa? Lagipun aku
tak nak menyusahkan mak aku yang memang dah sedia susah. Cukuplah aku dah bebankan
dia selama ini mengerah kudratnya sebagai bidan kampung semata-mata untuk menyekolahkan
aku.
“Orang dah pergi temu duga kerja
semalam. Kali ini orang rasa kemungkinan besar orang akan dapat kerja tu.” Jawab
ku. Sengaja aku menceriakan sedikit suara agak mak tidak merasa risau.
Tiba-tiba mak mengeluh. “Maafkan mak.
Sebab maklah kamu terpaksa hidup susah macam ni. Kalau kamu duduk dengan keluarga…”
“Mak, orang tak sukalah mak ungkit fasal
tu lagi. Orang sayang mak. Orang bahagia hidup dengan mak.” Pangkah ku laju.
Aku tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak. Sungguh aku tak pernah
menyesal dengan takdir hidup aku. Dan aku bersyukur dengan pilihan yang aku
buat ini. Sekali aku melangkah, takkan aku berpaling lagi.
“Orang yang sepatutnya minta maaf
dengan mak sebab orang masih tak mampu nak senangkan mak.” Sambung ku syahdu.
“Mak tak kisah, ‘Ain. Kamu sudi hidup
dengan mak pun dah buat mak cukup senang.” Nada suara mak semakin sayu.
“Mak tak pernah rasa susah bila mak
ada kasih sayang seorang anak macam kamu.” Tambah mak mula teresak kecil. Kalau
dibiarkan sekejap lagi pasti berderu-deru hujan air mata yang akan turun
membasahi pipi mak.
“Mak…” Panggil aku.
“Orang nak tanya satu soalan boleh?”
Tanya ku mengalih topik.
“Apa dia?” Suara mak menahan sebak. Sensitif
sungguh emosi bidan Lijah ni.
“Betul ke mak senang dengan orang?”
“Betullah lah. Kamu kan anak mak
dunia akhirat.” Balas mak tulus ikhlas.
“Kalau macam tu, boleh tak mak pinjamkan orang duit seratus
ringgit?” Pertanyaan ku membuatkan mak terdiam lama.
“Bertuah punya budak. Dia kenakan kita balik rupanya!” Jerit
mak kuat. Suara mak kembali nyaring. Ini barulah bidan Lijah yang sebenar.
Aku tersengih sambil mengesat juring mata ku yang mula basah.
Mujur mak tak nampak.
“Boleh tak, mak? Orang tengah kering sangat-sangat ni. Hujung
bulan nanti bila orang dapat gaji orang bayar balik.” Aku melembutkan suara.
“Yalah, besok pagi mak masukkan dalam
akaun kamu.” Putus mak.
“Terima kasih, mak.” Ucap ku
perlahan. Mak memang tidak pernah menghampakan aku biarpun sesusah mana keadaan mak waktu itu. Terasa mata ku kembali
berkaca. Makin lama makin kabur. Haih..emosi bidan Lijah dah berjangkit kat aku
ke?
“Err..mak. Orang sakit perut
tiba-tiba ni. Nak ke tandas. Orang letak telefon dulu, ya. Assalamualaikum.” Cepat-cepat
aku memutuskan talian sebelum mak dapat mengesan aku yang sedang menangis.
Sakit perut hanyalah alasan.
Aku mencapai sebiji bantal dan
menekup ke muka. Segala tangis ku hamburkan di situ semahu-mahunya. Kenapa tak
boleh berhenti empangan di mata aku ni?
Telefon bimbit ku sekali lagi
berdering kuat. Bantal yang menekup di muka ku angkat. Skrin telefon ku
pandang. Tertera nombor asing yang tidak ku kenali. Pada mulanya malas aku nak
mengangkat tapi bila melihat kepala nombor +03, aku mengubah fikiran Mungkin
ini panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings.
Aku bangkit. Wajah yang basah ku sapu
dengan telapak tangan. Aku menarik nafas dalam sebelum menekan butang hijau di
telefon.
“Assalamualaikum..” Suara seorang
lelaki memberi salam di hujung talian.
“Waalaikummussalam..” Jawab ku serak.
“Boleh saya bercakap dengan Cik
Qurratul ‘Ain?” Lelaki itu menyoal.
“Ya, saya.”
“Betul ke ini Cik Qurratul ‘Ain?”
“Ya, betul. Saya Qurratul ‘Ain.”
Tekan ku.
“Kenapa suara sengau? Awak menangis
ke?” Lelaki itu menyoal lagi.
Erk! Aku terkedu. Telefon di tangan ku
tenung sekilas sebelum ku tekapkan kembali ke telinga.
“Siapa ni?” Senyap tiada respons.
“Hello…siapa ni?” Ulang ku lagi. Hidung
yang tersumbat ku picit perlahan. Senyap lagi. Nak kata talian terputus, aku
dengar macam bunyi orang bernafas di hujung talian.
“Kalau tak nak cakap, saya letak.”
Ugut ku.
“Uzair.” Balasnya sepatah.
“Uzair?”
“Yes.
Uzair from Gemilang Holdings.”
“Oh..awak..” Patutlah suara dia macam
pernah aku dengar sebelum ini. Encik Sarkastik rupanya.
“Err..awak okay tak ni?” Dia menyoal
lagi.
“Okay...”
“Suara awak tu kenapa lain?” Tanya Uzair
masih tidak berpuas hati.
Aku mengetap bibir. Sejak bila pula Uzair ini dilantik jaga tepi kain aku.
“Selesema. Kenapa awak call saya ni?” Suara ku naik satu oktaf. Menyampaikan rasa kurang senang di hatiku.
Uzair berdeham. “Sebenarnya saya buat
panggilan bagi pihak Gemilang Holding. Sukacita dimaklumkan Cik Qurratul ‘Ain telah
berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja di syarikat kami. Tahniah.”
Beritahu Uzair formal.
Aku bingkas berdiri. Bibir ku
tersenyum lebar. Berita yang ku terima benar-benar meletakkan aku dalam
keterujaan. Terasa ingin melompat sampai ke bintang.
“Sungguh?” Soal ku separuh percaya.
Bagaikan mimpi. Setelah hampir enam bulan aku ke hulu ke hilir mencari kerja,
akhirnya rezeki ku ada di Gemilang Holdings.
“Tak ada masa saya nak buat panggilan
hangit pada awak.” Sinis Uzair menjawab pertanyaan aku.
Senyum ku kendur. Rasa teruja ku
merudum. Dia ni sengaja nak patahkan angin aku. Kalau jawab elok-elok tak boleh
ke? Ini tidak, ada saja jawapan sarkastik yang keluar dari mulut tu.
“Manalah tahu awak ni Faizal Ismail
yang menyamar jadi Uzair yang sarkastik tu.” Opps! Terlepas cakap sudah. Aku
menepuk-nepuk mulut ku. Macam mana boleh tersasul ni.
Lama Uzair diam tidak bersuara. Mesti
dia tengah bengang dengan mulut aku ni. Biarlah. Dia juga yang mula dulu.
“Besok datang ke pejabat untuk ambil
surat tawaran dan lapor diri di Jabatan Sumber Manusia sebelum pukul 8 pagi. Sila
pastikan awak tepati masa dan lewat walau seminit boleh menyebabkan tawaran terbatal
dengan serta-merta.” Akhirnya dia bersuara tegas. Melebih-lebih pula arahan
Uzair ini. Aku rasa macam dia sengaja menokok tambah fakta terutamanya bab lewat tu.
“Arahan daripada bos besar. Bukan
saya sengaja reka.” Sambung Uzair bagaikan dapat menebak kata hati aku. Aku
terkedu.
“And
one more thing, big boss pesan sila berpakaian kemas. Sila pastikan diapers awak cukup tebal untuk tampung
apa-apa yang sepatutnya ditampung. Yang ni saya yang pesan. Assalamualaikum.”
Klik! Belum sempat aku membalas Uzair
telah meletakkan telefon. Aku mendengus geram memandang telefon. Dia ni memang
menyakitkan hati aku betul!
Kah..kah..kah.. Ohmai engrishhhh...
ReplyDeletehahaha! kak rid..
ReplyDeletebunyi kriukk perut 'ain pn wat perut i berbunyi.. kahkah..
xleh blah pesanan terakhir penaja uzair tu.. ahakss ..
*tertinggal
Deletei egt u salah taip "spelling" tu.. upenye 'ain yg salah sebut.. kahkahkah.. OME! >.<
Hahaha pesanan uzair yg last tu mmg x bole blah. Sempat lg kenakn ain.sj la tu sbb ain pgil dia uzair sarkastik kih kih
ReplyDeleteHahaha.. ain ni tak pandai english sampai terkantoi dgn mak die sendiri.. hahaha.. parah2..
ReplyDeleteApekah yang bakal berlaku bila ain lapor diri esok... tak sabar nak gelak untuk part 7.. hahahaha..
Good Job ridhya.. thump up!!!!
Cepat lah sambung.
ReplyDeleteAduiiii lawak giler cite si ain ni...mmg brutal n clumsy gak si ain....baca kisah si ain ni ketawa smpai terkuar airmata...kelakar la...harap2 cpt wat sambungan..dh jatuh cinta dgn watak giler2 si ain ni
ReplyDeletekahkahkah... hadoi la uzair!!! sempatt lagi bg pesanan penaja yg panas tu...
ReplyDeletepergh...diapers kt nyer...
ReplyDeletelawakkkkkkkkkkkkkkk sgt Ain ni
ReplyDeleteBest..best..best...
ReplyDeleteHazalina burahan
Lawak pesanan uzair tu..sempat lg nak kenakan ain..
ReplyDeletehahahaha sakit perut arr layan si aiN niee
ReplyDeletebestttt saNgatt !!
Kih...kih....kih....
ReplyDelete