Hari ini genap seminggu ‘Aisy ditahan di hospital. Luka pembedahan
juga semakin sembuh. Kebiasaannya proses pulih pesakit yang menjalani
pembedahan laparoscopic yang dikategorikan sebagai minimal invasive procedure itu lebih cepat berbanding
pembedahan major yang lain. Esok mungkin dia akan dibenarkan pulang. Dia
sendiri sudah tidak sabar untuk keluar dari hospital. Bosan kerana hanya
terlantar di atas katil dengan aktiviti asas makan dan tidur. Rongga pernafasan
pula sudah muak menghirup udara dengan aroma ubat-ubatan.
“Assalamualaikum, ‘Aisy.” Suara Hafeeza lembut memberi salam.
Tengah hari begini dia dan Sakeena akan mengunjungi ‘Aisy di rumah sakit. Rutin
harian yang dilakukannya sejak seminggu yang lalu.
“Waalaikumsalam.”
Senyuman nipis terukir di bibir ‘Aisy tatkala melihat kelibat
Hafeeza dan Sakeena di depan mata. Dua orang sahabat yang tidak pernah jemu
menghulurkan bantuan dan bergilir menemaninya di hospital saban malam sejak
seminggu yang lalu. Mujur ada mereka berdua. Jika tidak entah bagaimana ‘Aisy
hendak menguruskan diri dalam keadaan yang tidak berupaya.
Hendak membebankan keluarga di kampung jauh sekali. Disebabkan itu
‘Aisy sanggup menyembunyikan keadaan kesihatannya daripada pengetahuan
keluarga. Awal-awal lagi dia sudah menitipkan pesan pada Sakeena untuk
merahsiakan. Bimbang jika kesihatan emak dan ayahnya akan terganggu.
Lagipun ‘Aisy tidak mahu memanjangkan cerita. Takut akan
mencetuskan pelbagai soalan berbangkit. Banyak perkara yang selama ini
dirahsiakan akan terbongkar nanti. Lebih banyak hati yang akan terluka. Jadi,
dia lebih rela menanggung keperitan ini seorang diri untuk kebaikan semua.
Berpura-pura tabah dengan menunjukkan sisi luarannya yang kuat tetapi hakikat
yang sebenar dalamannya cukup rapuh.
“Macam mana hari ini? Sihat?” Soal Sakeena mengambil berat.
Selamba dia menenggekkan punggungnya di birai katil. Direnung muka
‘Aisy yang sedikit segar dan kemerahan. Kelihatan tahap kesihatan temannya itu
semakin baik. Cuma dia perasan ada perubahan yang sangat ketara pada diri
‘Aisy. Wanita di depannya ini lebih banyak mendiamkan diri dan sering
menghabiskan masa dengan termenung jauh.
“Alhamdulillah. Makin sihat. Doktor beritahu aku tadi. Mungkin
besok petang aku dah boleh keluar.” Beritahu ‘Aisy. Lega hatinya apabila
memikirkan yang dia tidak lagi perlu berkurung di hospital. Menjadi pesakit
banyak membataskan pergerakannya. Sekurang-kurangnya dia boleh melakukan
pelbagai aktiviti jika berada di rumah atau di pejabat. Dapat juga dia
melekakan diri daripada terus melayan perasaan yang bukan-bukan.
“That’s great. Jadi, besok ‘Aisy nak kita orang jemput ke?
Atau Harris yang datang ambil?” Hafeeza bertanya polos menyambut gembira
perkhabaran yang disampaikan. Terkedu ‘Aisy tatkala mendengar nama Harris
disebut.
“Yalah, Feeza. Kalau tak kita siapa lagi. Kalau nak harapkan si
Harris itu berjanggutlah menunggu jawabnya.” Kata-kata sinis yang dituturkan
Sakeena membuatkan air muka ‘Aisy berubah suram.
Hampir lima hari Harris menyepikan diri. Harris benar-benar
mengotakan permintaannya untuk menjauhkan diri. Nampaknya dia telah berjaya bertindak
kejam dengan merobek hati dan membunuh perasaan lelaki itu. Biarlah. Memang itu
yang dia harapkan, untuk membuatkan Harris terus mengalah dengannya. Walaupun
hatinya sendiri terluka.
“Tak baik tuduh macam tu, Keena.” Teguran Hafeeza membuatkan hati
Sakeena semakin membahang.
“Aku bukannya menuduh membabi buta, Feeza. Kau tak perasan ke dah
lima hari Harris tak jenguk ‘Aisy dekat sini. Suami apa macam itu langsung tak
hiraukan kesihatan isteri. Mula-mula bukan main lagi terhegeh nak menjaga ‘Aisy
kononnya. Tapi tak bertahan lama pun rupanya.”
Sakeena meluahkan rasa tidak puas hatinya. Bukannya dia marahkan
Hafeeza yang membela Harris. Dia faham Hafeeza mungkin tidak tahu hujung
pangkal kisah sedih ‘Aisy. Cuma dia tidak mampu lagi menahan rasa geram yang
menggunung di hati terhadap sikap sambil lewa Harris.
“Dia sibuk agaknya. Yalah, banyak urus niaga yang dia perlu
selesaikan. Mungkin dia ada urusan penting yang tak boleh ditinggalkan.” Balas
Hafeeza tenang berusaha meredakan ketegangan Sakeena.
‘Aisy hanya mampu tersenyum kelat. Kata-kata Hafeeza membawa
ingatannya pada bait-bait indah yang pernah dilafazkan Harris padanya.
Terngiang-ngiang bermain-main di pelupuk telinganya.
You are worth more than millions ringgit.
“Sibuklah sangat. Sibuk berkepit dengan perempuan lain adalah.
Hari tu elok je aku nampak dia keluar shopping dengan perempuan mana entah.”
Laju mulut Sakeena menyampaikan berita. Tidak sedar kata-katanya
itu hanya membuatkan ‘Aisy semakin terluka. Beberapa hari yang lalu secara
kebetulan dia telah terserempak dengan Harris di pusat membeli belah Mid Valley. Sebal hatinya
menyaksikan lelaki itu yang sedang berjalan beriringan dengan seorang perempuan
cantik.
‘Aisy menundukkan wajah. Air liur yang membasahi tekak dirasakan
terlalu pahit untuk ditelan. Sepahit hakikat yang terpaksa diterimanya.
Benarkah Harris telah menemui pengganti? Kalau benar baguslah. Itu yang dia
harapkan. Tapi kenapa harus hatinya merasa sakit?
“Kalau sibuk sekalipun, setakat datang menjenguk beberapa minit
bukannya boleh lingkup pun business.
Manusia ini, Feeza. Kalau nak seribu daya, kalau tak nak macam-macam alasan
boleh bagi. Aku patut memang dah boleh agak Harris takkan berubah. Dia hanya
berpura-pura menyesal.”
Sakeena berterusan meledakkan ketidakpuasan yang terbuku di hati.
Entah kenapa petang itu dia sudah tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya
terhadap nasib yang menimpa ‘Aisy. Kecewa kerana ‘Aisy berterusan menjadi
mangsa permainan Harris.
“Sebenarnya, Keena. Harris tak salah.”
‘Aisy bersuara perlahan serba salah. Dia tidak sanggup membiarkan
Sakeena terus salah sangka terhadap Harris. Melabelkan Harris sebagai suami
yang tidak bertanggungjawab. Sedangkan dia yang meminta Harris untuk melupakannya.
“’Aisy, kau ni kenapa? Dalam keadaan macam ini pun kau masih nak
bela laki kau tu? Terang-terang dia tak nak pedulikan kau yang sedang terlantar
kat sini.” Sakeena mendengus geram. Bulat matanya merenung ‘Aisy.
“Aku yang salah, Keena.” Beritahu ‘Aisy sebak. Matanya berkaca
menahan gelodak di hati.
“Kau mengarut apa ni, ‘Aisy? Kau dah lupa apa yang Harris dah buat
pada kau dulu? Dulu masa kau kemalangan, berbulan-bulan kau terlantar kat
hospital, ada dia datang jenguk kau? Tak ada kan. Dia biarkan kau sorang diri
menanggung derita. Kalau dulu dia boleh buat begitu pada kau, sekarang apatah
lagi.” Tekan Sakeena mengeraskan sedikit suaranya. Sakit hatinya dengan sikap
‘Aisy yang terlalu mudah menyalahkan diri sendiri. Lemah dan terlalu mudah
menyerah. Disebabkan itu ‘Aisy sering menjadi mangsa baran Harris.
“Tapi kali ini bukan dia yang tak nak hiraukan aku. Aku…aku
sebenarnya yang halang dia, Keena. Aku yang tak nak dia ganggu hidup aku lagi.”
Beritahu ‘Aisy sebak.
“Aku herdik dia dan aku hina dia secukupnya.” Suara ‘Aisy berlagu
dalam sendu. Setitis air matanya gugur mengenangkan timbunan dosa yang sengaja
diciptanya. Besarnya dosa yang telah dicatat oleh malaikat A’tib di bahu
kirinya kerana tega meninggikan suara pada suaminya sendiri. Memang patut dia
dipersalahkan.
Sakeena terkesima. Dia mengetap bibir menyedari keterlanjuran kata
yang meluncur keluar dari mulutnya sehingga membuatkan dia terlupa ada hati
yang perlu dijaga.
“’Aisy, maafkan aku. Aku…” Bicara Sakeena mati. Esakan ‘Aisy
membuatkan dirinya semakin dihimpit rasa bersalah.
“Aku isteri yang berdosa..” ‘Aisy merebahkan dirinya ke dalam
pelukan Sakeena. Dihamburkan segala kesedihan di atas pundak temannya itu.
“Aku yang salah, Keena. Itu saja cara yang aku ada untuk buat
Harris berhenti harapkan aku. Aku tak mampu membahagiakan Harris lagi. Aku
bukan isteri yang sempurna untuk berdamping di sisinya.” ‘Aisy merintih sayu.
Dibiarkan air mata lencun di pipi. Bahunya terenjut-enjut menahan tangis.
“Aisy..” Sakeena mengeratkan pelukan. Sungguh dia kehilangan kata.
Dia menghantar pandangannya pada Hafeeza yang bungkam di sisi ‘Aisy. Seketika
dia membiarkan keadaan itu sehingga tangis ‘Aisy reda sendiri.
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni, ‘Aisy? Ada sesuatu yang kau
sembunyikan daripada aku ke?” Soal Sakeena seperti dapat menelah sesuatu.
Pelukannya dileraikan. Dia merenung wajah sedih ‘Aisy menantikan jawapan.
‘Aisy menyeka air mata yang tumpah. Dia menarik nafas dalam dan
menghela perlahan. Mengharapkan setiap nafas yang dihembus keluar mampu memberikannya
kekuatan untuk dia membongkar rahsia kekurangan dirinya. Dia perlu menjelaskan
duduk perkara yang sebenar.
“Aku dah tak boleh mengandung lagi. Doktor dah sahkan peluang
untuk aku hamil tipis.” ‘Aisy menelan liurnya. Perit sekali tekaknya untuk menuturkan
hakikat itu.
“Ya ALLAH. ‘Aisy, kenapa perkara sebesar ini kau sembunyikan
daripada aku?” Sakeena terkesima. Tangan ‘Aisy digenggam lembut. Seluruh
simpatinya tumpah buat sahabatnya itu.
Hafeeza turut terkedu. Dia mengusap lembut bahu ‘Aisy. Cuba menyalurkan
semangat buat wanita itu.
“Maafkan aku, Keena. Aku perlukan masa untuk terima semua ini.
Walaupun aku memang dah jangkakan perkara ini sejak aku mendapat rawatan di UK
lagi.” Keluh ‘Aisy berat. Seberat beban yang sedang digalas dalam hatinya.
Jujur dia mengharapkan keajaiban berlaku. Namun harapannya hancur berkecai
apabila Doktor Asyraff sendiri mengesahkannya.
“Harris tahu fasal ini?”
Pertanyaan Sakeena dibalas ‘Aisy dengan anggukan tanda mengiakan.
“Maknanya Harris dah tahu semuanya termasuk pembedahan membuang
sebelah ovari kau itu?”
Sekali lagi ‘Aisy menganggukkan kepalanya lemah, tiada kudrat
untuk bersuara.
Sakeena merengus.
“Habis itu Harris tak dapat terima semua tu? Dia sengaja
tinggalkan kau sebab tu?” Sakeena menebak tidak sabar. Apa yang telah berlaku
selama ini membuatkan dia menjadi pesimis terhadap Harris.
‘Aisy menggelengkan kepalanya menidakkan. Terbias riak yang penuh
kesal di wajah itu.
“Harris tak peduli kekurangan aku ini. Malah dia tetap melayan aku
dengan baik. Cukup baik.” Terang ‘Aisy menyusun kata. Terbayang di ruang
matanya saat Harris dengan penuh sabar melayan kedinginan yang sengaja
diciptanya.
“Harris tetap berkeras mahu terus bersama dengan aku. Biarpun
berkali-kali aku menolaknya. Dia mahu aku kembali dan bina hidup baru bersama.
Bersungguh-sungguh dia nak tebus semua kesilapannya yang dulu. Aku tahu dia
benar-benar menyesal dengan apa yang telah berlaku. Dia betul-betul dah
berubah, Keena. Tapi semuanya dah terlambat. Aku dah tak layak nak berdamping
dengannya.” Tambah ‘Aisy menyambung kata.
“Jadi sebab itu kau halang Harris jaga kau kat sini?” Soal
Sakeena. Patutlah Harris datang merayu pertolongan darinya untuk menjaga ‘Aisy
yang sedang terlantar sakit. Lelaki itu sanggup merendahkan ego menahan segala
herdikannya. Sangkanya Harris memang sengaja ingin melepaskan diri daripada
tanggungjawab.
“Aku tak boleh biarkan Harris melayan aku dengan baik sebab setiap
kebaikannya buat hati aku makin berat nak lepaskannya. Sedangkan aku tak layak
bersama Harris. Sebab itu aku terpaksa sakitkan hati dia. Aku paksa diri aku
ungkapkan kata-kata kasar pada Harris agar dia percaya yang aku dah tak
perlukan dia lagi dalam hidup aku. Aku sengaja lukakan hati Harris.” Gumam
‘Aisy. Perit dan pedih. Dua perkataan yang tepat untuk menggambarkan apa yang
sedang dirasakannya.
“Ya ALLAH. ’Aisy, kenapa kau seksa diri kau begini? Kau lukakan
Harris dan pada masa yang sama kau biarkan hati kau terluka beribu-ribu kali.”
Sakeena bersuara sebak, tidak mampu lagi membendung air matanya daripada gugur.
Tubuh ‘Aisy dipeluk. Sedih kerana sekali lagi dia terpaksa menyaksikan
penderitaan temannya itu dalam mencari bahagia. Entah kenapa payah sekali
bahagia itu hendak digapai ‘Aisy.
“Aku terpaksa, Keena. Apa maknanya kalau aku kembali hidup bersama
Harris sedangkan aku dah tak mampu nak berikan dia zuriat. Kau kan tahu Harris
satu-satunya cucu lelaki yang Hajah Mariah ada. Harapan nenek Harris terlalu
tinggi untuk melihat zuriat Harris sendiri. Dia hanya akan dapat kecewa kalau
terus mengharapkan aku.” ‘Aisy meluahkan segala yang terpendam di lubuk
hatinya.
“Tapi kau tak boleh putus asa macam ni. Sekarang teknologi
perubatan pun dah canggih. Pelbagai ikhtiar yang kau boleh cuba untuk dapatkan
zuriat. Lagipun, berlambak pasangan yang tak dikurniakan anak tapi masih hidup
bahagia bersama. Paling tidak kau dan Harris boleh ambil anak angkat.” Tingkah
Sakeena seraya memberikan pendapat. Wajah ‘Aisy dipandang dengan rasa terkilan.
Haruskah begini berakhirnya kisah percintaan ‘Aisy dan Harris?
“Tak mungkin. Kau pun tahu Harris dari keluarga berada. Dan dia
satu-satunya waris tunggal lelaki. Pasti keluarga dia mahukan keturunan dari
darah dagingnya sendiri. Mungkin takdir hidup aku dah tersurat begini.” Pasrah
‘Aisy separuh reda. Biarlah dia yang mengundurkan diri. Dia tidak sanggup untuk
terus bersama dengan Harris sedangkan kesudahannya dia perlu menyaksikan
kebahagiaan lelaki itu bersama perempuan lain.
“Sabarlah, ‘Aisy. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.”
Sela Hafeeza sambil menepuk lembut belakang ‘Aisy. Dia turut merasa simpati
dengan ujian yang terpaksa diharungi ‘Aisy.
“Saya minta maaf, ‘Aisy. Mungkin saya tak sepatutnya menyibuk
dalam masalah awak. Tapi sebagai kawan saya perlu beritahu awak ini.” Giliran
Hafeeza pula untuk bersuara setelah sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati.
“Memang orang kata anak adalah penyeri rumah tangga. Tetapi ia
bukan jaminan pengikat kebahagiaan. Musibah yang menimpa awak ini sebenarnya
adalah ujian dari Allah untuk awak dan Harris. Allah menguji kita dengan
pelbagai cara. Susah, senang, miskin, kaya, kelebihan dan kekurangan semuanya
adalah ujian. Yang penting kita menerima dan menangani ujian Allah itu dengan
reda. Insya-Allah, di hujungnya pasti akan ada cahaya kebahagiaan untuk awak
dan Harris.” Lembut dan teratur Hafeeza menyusun kata. Ketenangan Hafeeza
sedikit sebanyak mengurangkan ketegangan di jiwa ‘Aisy.
“Awak seorang isteri, ‘Aisy. Keberkatan seorang isteri di sisi
ALLAH adalah melalui keredaan suami. Saya tak tahu apa yang telah berlaku
antara awak dan Harris sebelum ini. Tapi, seandainya dia sudah menyesali
kekhilafan nya dan ingin berubah ke arah kebaikan, awak berilah dia peluang.
Pertahankan mahligai yang awak dah bersusah payah bina bersamanya selama ini.
Saya tahu awak cintakan Harris. Dan Harris juga begitu. Perhatian dan
layanannya terhadap awak jelas menunjukkan yang dia teramat mencintai awak.
Awak sebenarnya bertuah, ‘Aisy. Bertuah kerana Allah dah memberikan nikmat
berkasih sayang kepada awak. Tetapi kenapa awak hendak nafikan nikmat itu
lagi?”
Panjang lebar Hafeeza menghuraikan pendapatnya. Kenapa perlu
diseksa dua hati yang saling mencinta. Kenapa perlu memilih jalan perpisahan
andai sebenarnya mereka berdua memang ditakdirkan untuk bersama?
Nasihat Hafeeza cukup memberikan kesan di hati ‘Aisy. Membuatkan
‘Aisy termangu-mangu memikirkan kebenaran dalam setiap kata-kata Hafeeza.
“Saya…saya tak ada pilihan, Feeza. Memang saya cintakan Harris
sangat-sangat. Cinta yang tak pernah berkurang biarpun beribu kali mulut ini
mengungkapkan benci pada dia. Tapi sebab sayanglah saya perlu lepaskan dia
pergi. Demi kebahagiaannya. Harris takkan pernah bahagia dengan saya.” Rintih
‘Aisy.
“Awak pasti Harris akan bahagia dengan jalan yang awak pilih ini?
Awak harus ingat awak masih lagi isteri Harris. Menyakiti dan mengingkari suami
ni berdosa besar hukumnya. Syurga seorang isteri terletak di bawah tapak kaki
suami. Seeloknya berbincanglah dan capai kata putus bersama. Kalau awak buat
begini tiada siapa yang untung. Awak menderita dan saya pasti Harris pun turut
merana.” Petah sekali bibir Hafeeza berbicara berlandaskan ilmu agama yang
didalami nya.
‘Aisy bungkam, langsung tidak mampu bersuara. Jauh di sudut hati
dia mengakui kebenaran kata-kata Hafeeza. Dia sedar layanan dinginnya terhadap
Harris membuatkan dia berdosa. Selama ini apa yang difikirkannya adalah
kebahagiaan Harris. Dia hanya nampak kekurangan dirinya membuatkan dia merasa
tidak layak untuk mendampingi Harris. Disebabkan itu dia memutuskan untuk
meninggalkan Harris. Sehingga dia memandang enteng pada soal dosa dan pahala.
“Betul kata Feeza tu, ‘Aisy.” Pujuk Sakeena turut bersetuju dengan
apa yang dikatakan Hafeeza. Namun, pada masa yang sama dia faham apa yang ‘Aisy
rasa.
“Maafkan saya, ‘Aisy jika kata-kata saya buat awak terasa.
Saya cuma menyampaikan apa yang saya tahu. Saya doakan awak dan Harris dapat
mengecap bahagia bersama.” Ucap Hafeeza perlahan.
“Terima kasih, Feeza kerana menyedarkan saya. Thanks Keena kerana sentiasa menyokong aku.”
Balas ‘Aisy lirih sambil mendepakan tangan. Ketiga-tiga wanita itu berpelukan
dalam tangisan syahdu. Kata-kata temannya itu tidak sedikit pun menggoreskan
perasaannya. Malah dia bersyukur. Di saat dia seakan hilang pedoman dalam
mencari dirinya, ALLAH menghantar dua orang sahabat untuk memberinya petunjuk.
Tanpa disedari ketiga-tiga wanita itu, tubuh tegap milik Harris
sedang menyandar lesu pada dinding di sebalik pintu wad. Untuk ke sekian
kalinya setitis air mata lelaki itu tumpah lagi.
“Abang akan bahagiakan sayang…” Bisik Harris perlahan menanam
tekad dalam dirinya sendiri.
Segala-galanya
terjawab kini. Lima hari dia tidak tenang memikirkan keadaan ‘Aisy di hospital.
Dek perasaan risau yang tidak pernah surut itulah akhirnya membawa dia ke situ.
Tujuannya untuk melegakan sedikit rasa gundah di hati meskipun hanya dapat
melihat ‘Aisy dari jauh. Tetapi, dia tidak menyangka kehadirannya pada tengah
hari itu disajikan dengan perbualan syahdu tiga sahabat. Di dalam hati dia
bertekad untuk melakukan sesuatu. Sebelum semuanya terlambat!
go go go harris
ReplyDeleteSedih nya
ReplyDeletesedih dan syahdunya
ReplyDeleteAkhirnya tumpah juga air mata sy d bab 15
ReplyDelete😭😭😭😭.... Ssh betul nk dpt kwn mcm ni..
ReplyDelete😭😭😭😭.... Ssh betul nk dpt kwn mcm ni..
ReplyDeleteTrapped on darkness..so deep their conversation killed me therr s nothing we can say only tears
ReplyDeleteYa alloh udah lihat di you tube tak puas masih baca disini thn 2020
ReplyDelete