Pandangan cerlung Harris membuatkan suasana yang tegang sebentar
tadi menjadi sunyi sepi. Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah berang. Tubuh
‘Aisy yang berdiri kaku seperti patung cendana dihampiri. Bermacam-macam
persoalan yang berlegar-legar di benaknya. Jika benar apa yang telah didengar
dan dilihatnya tadi, dia perlu lakukan sesuatu!
‘Aisy masih lagi berdiri dengan pandangan yang kosong, langsung
tidak menghiraukan panahan tajam Harris. Dia cuba berlagak berani dan cekal.
Sedangkan di dalam hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana dia menjerut
rasa. Rasa kecewa, sedih, marah, malu datang silih berganti dan bercampur baur
menjadi satu.
Puan Sri Nora dan Sofia saling berbalas pandang. Mereka berdua
benar-benar tidak menyangka dengan kemunculan mengejut Harris. Bukankah tadi
mereka sendiri melihat kereta yang dipandu Harris meluncur keluar dari
perkarangan rumah?
Namun tatkala melihatkan reaksi Harris, Puan Sri Nora melemparkan
senyuman sinis kepada ‘Aisy. Dia pasti anaknya sendiri telah menyaksikan
kebiadaban ‘Aisy padanya. Sudah pasti anaknya itu tidak akan mudah-mudah
melepaskan ‘Aisy. Harris seorang anak yang sentiasa menghormati orang tua,
walaupun anaknya itu mewarisi sikap baran sepertinya.
“Eloklah Harris ada sekali. Boleh Harris tengok sendiri perangai
buruk isteri Harris ini.” Bicara Puan Sri Nora memecah kesunyian.
Tiada tindak balas daripada Harris. Sebaliknya lelaki itu masih
merenung wajah ‘Aisy. Hanya sorotan matanya yang jelas menunjukkan kemarahan
yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lagi.
Kata-kata Puan Sri Nora membuatkan ‘Aisy menekurkan wajahnya ke
lantai. Tiba-tiba rasa berani yang dikumpul turun ke paras negatif. Apatah lagi
dengan renungan tajam Harris, membuatkan dirinya semakin tidak keruan. Entah
kenapa dia dapat rasakan pandangan mata Harris penuh dengan rasa curiga
terhadapnya.
“Mama memang tak sangka, isteri yang Harris puja-puja dan menjadi
kebanggaan nenek Harris ini sanggup kurang ajar dengan mama. Suka-suka hati dia
nak halau mama keluar dari rumah anak mama sendiri. Tak sedar yang diri tu
sebenarnya yang menumpang tinggal kat sini.” Lancang bibir Puan Sri Nora
mengadu domba pada Harris. Dia menggunakan sepenuhnya pengaruh sebagai seorang
ibu untuk membuatkan anak lelaki tunggalnya itu termakan dengan kata-katanya.
‘Aisy mengetap bibir geram dengan kata-kata sinis ibu mertuanya.
Dia tidak sepatutnya membiarkan Puan Sri Nora berterusan menuduhnya yang
bukan-bukan. Tetapi mampukah dia bersuara untuk menegakkan kebenaran yang jelas
telah diputarbelitkan? Mampukah dia merebut kepercayaan Harris sedangkan wanita
yang sedang menjadi lawannya adalah ibu kandung suaminya sendiri? Apalah sangat
kedudukannya sebagai seorang isteri jika dibandingkan dengan darjat seorang
ibu. Mengenangkan hakikat itu, dia berusaha menenangkan diri. Dia juga tidak
mahu tutur bicara yang bakal diucapkannya bisa merenggangkan hubungan antara
ibu dan anak.
“’Aisy minta maaf, mama. Kata-kata ‘Aisy tadi bukan bermaksud nak
menghalau mama. Jauh sekali nak tujukan pada mama. ‘Aisy cuma minta Sofia balik
sebab ‘Aisy dah tak sanggup tengok kepura-puraan dia.” Suara ‘Aisy perlahan
memperbetulkan keadaan. Jika diikutkan memang dia terasa hati dengan sindiran
pedas ibu mertuanya itu, tetapi dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Biarlah dia beralah, jika dengan cara itu dapat meredakan kemarahan Puan Sri
Nora. Beralah tidak semestinya kalah. Lagipun dia tidak boleh meletakkan
kesalahan seratus peratus kepada ibu mertuanya itu. Puan Sri Nora bertindak
begitu kerana terpedaya dengan tipu helah yang dimainkan Sofia.
“Kamu masih nak menegakkan benang yang basah, ‘Aisy? Dah
terang-terangan kamu yang cederakan Sofia dan sekarang kamu tuduh dia pula yang
berpura-pura? Kawan jenis apa kamu ini?” Tengking Puan Sri Nora langsung tidak
berbekas dengan kata-kata maaf yang diucapkan ‘Aisy. Nampaknya, ego yang tinggi
melangit telah membutakan pintu hatinya untuk menilai kebenaran.
Pembelaan Puan Sri Nora membuatkan Sofia tersenyum menang di dalam
hati. Dan senyumnya semakin melebar tatkala melihat wajah merah Harris. Dia
cukup pasti lelaki itu juga berpihak padanya. Dengan watak gadis lembut dan
wajah polos yang dimilikinya, sudah pasti sesiapa pun akan terpedaya.
“How could you be so sure, mama? Kalau benarlah ‘Aisy yang berniat
hendak apa-apakan Sofia, kenapa Sofia pula yang ada di rumah ‘Aisy? Kenapa
bukan ‘Aisy yang pergi ke rumah Sofia?” Soal ‘Aisy lemah. Walaupun kata-kata
pembelaannya ibarat seperti mencurah air di daun keladi tetapi dia tidak akan
sekali-kali mengakui kesalahan yang dia tidak pernah lakukan.
“Sebab kamu bijak mengambil kesempatan atas kebaikan Sofia. Kamu
tu sebenarnya yang berpura-pura. Hipokrit!” Hampir sahaja kepala ‘Aisy ditunjal
Puan Sri Nora jika tidak dihalang Harris. Pertanyaan yang meniti di bibir
menantunya itu kedengaran begitu sinis di telinganya.
“Mama, please
calm down.” Tenang Harris. Cepat-cepat dia menarik tubuh kecil ‘Aisy ke
belakangnya, cuba melindungi isterinya. Tindakan Harris membuatkan Puan Sri
Nora semakin geram. Bulat mata Sofia seakan tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya.
“Macam mana mama nak bertenang dengan layanan sombong isteri
Harris ini? Berani dia nak kenakan Sofia. Sakit hati mama ini tahu tak! Mari
sini biar mama ajar sikit perempuan tak sedar diri ni!” Ujar Puan Sri Nora
tidak berpuas hati. Ringan tangannya diangkat tinggi untuk menyakiti tubuh
‘Aisy yang sedang bersembunyi di belakang Harris.
“Mama, apa ini? Takkan kerana Sofia, mama sampai sanggup nak naik
tangan pada ‘Aisy. Kenapa mudah sangat mama boleh percayakan dia lagi?”
Pertanyaan Harris membuatkan Puan Sri Nora tercengang. Mujurlah
ketinggian dan ketegapan badannya berjaya menghalang serangan ibunya yang mula
bertindak kasar.
Sementara itu, Sofia yang sedari tadi hanya diam memerhati semakin
gelisah.
“Sekarang Harris pun dah berani nak kurang ajar dengan mama juga?”
Terketar-ketar bibir Puan Sri Nora menahan marah.
“Harris tak pernah terlintas nak menderhaka pada mama. Tapi mama
dah lupa ke siapa Sofia ini sebenarnya? Apa yang dia dah buat pada keluarga
kita dulu?”
Harris menjeling tajam ke arah Sofia. Gadis itu memang bijak
meraih simpati. Tetapi dia tidak akan mudah diperbodohkan Sofia lagi. Dia masih
mempunyai akal yang waras untuk menilai. Cukuplah sekali dia terkena.
Masih terngiang-ngiang kata-kata Hafeeza tempoh hari menceritakan
insiden ‘Aisy jatuh tangga. Walaupun teman serumah isterinya itu tidak
mengaitkan sesiapa dengan insiden itu tetapi dia masih ingat riak serba salah
yang terpancar di wajah Hafeeza. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
Firasatnya kuat menyatakan Sofia mempunyai kaitan dengan peristiwa itu. Hatinya
semakin berang apabila mengenangkan dek kejadian jatuh tangga itulah yang telah
menyebabkan ‘Aisy mengalami pendarahan dan dikejarkan ke hospital.
“Harris, semua yang dah berlaku bukan atas kehendak I. I diperangkap. Dan orang yang
bertanggungjawab…” Belum sempat Sofia menghabiskan ayatnya, kata-katanya telah
dipotong Harris.
“Sudahlah, Sofia. Tak perlu you nak jelaskan lagi apa yang dah
berlaku. Dah tak penting dan dah tiada makna bagi I. You adalah sejarah yang I tak ingin kenang. Sekarang, I cuma nak tahu apa yang you dah buat pada isteri I? You yang tolak ‘Aisy sehingga dia jatuh
tangga kan?” Tengkingan kuat Harris membuatkan Sofia terkedu sehingga bahunya
sedikit terangkat.
“Harris! Kenapa Harris tuduh Sofia macam tu?” Sampuk Puan Sri Nora
masih mempertahankan Sofia. Terbit rasa belas di hati melihat Sofia yang sedang
gugup menahan ketar.
“Mama, please.
Mama tolong jangan masuk campur. Betulkan, Sofia?” Ketegasan Harris membuatkan
Puan Sri Nora turut terdiam.
“Tak, Harris. I..I tak buat.” Nafi Sofia gugup. Kencang
debaran di dadanya. Tebakan Harris ternyata benar belaka. Nampaknya dia sudah
silap percaturan. Sangkanya dengan mengada-adakan cerita, dia mampu
memporak-perandakan kepercayaan Harris terhadap ‘Aisy.
“You masih
tak nak mengaku? Atau you nak I bawa saksi?”
Ugutan Harris semakin menggoyahkan keyakinan Sofia. Wajah gadis
itu berubah pucat. Memikirkan kemungkinan tindakannya menolak ‘Aisy tempoh hari
disaksikan oleh orang lain, hatinya semakin tidak keruan.
“Tak, Harris. I berani bersumpah, I tak buat.” Sofia masih mempertahankan
dirinya. Walau macam mana sekalipun dia perlu bertahan dan meneruskan
lakonannya. Tidak mungkin dia akan mengakui kesilapannya. Kerana pengakuan
hanya membuatkan dirinya hilang kepercayaan Puan Sri Nora dan sekali gus
peluangnya untuk mendapatkan Harris semakin tertutup.
“Jangan bermain dengan sumpah, Sofia. I takut nanti you yang dimakan sumpah.” Dingin suara
Harris mengingatkan. Dadanya berombak menahan rasa marah yang semakin membuak.
Sofia yang sedang menikus di sisi Puan Sri Nora dijelingnya sekilas. Begitu
kecil sekali Sofia kini pada pandangannya.
“Kenapa dengan Harris ini? Sampaikan Sofia sanggup bersumpah pun
Harris masih tak nak percaya? Mama rasa Harris dah kena guna-guna dengan
perempuan ini. Cuba Harris tanya isteri Harris tu. Berani ke dia bersumpah?”
Lantang Puan Sri Nora melemparkan tuduhan kepada ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Tersayat pedih hatinya. Memang benar ibu
mertuanya telah dibutakan hati dan perasaan. Dirinya hanyalah kebencian buat
Puan Sri Nora.
“Tak perlu, mama. Harris kenal isteri Harris dan Harris percayakan
dia.” Kenyataan yang meniti di bibir Harris benar-benar membuatkan ‘Aisy
terharu. Tubir matanya basah digenangi air mata. Sampai begitu sekali Harris
sanggup mempertahankannya. Apatah lagi di kala ibu mertuanya sendiri lebih
percayakan Sofia.
“Harris! Sanggup…”
“Tak apalah, auntie.
Sofia faham kalau Harris tak nak percayakan Sofia. Auntie tak perlulah susah-susah nak bela
Sofia. Sofia tak nak disebabkan Sofia, auntie dan Harris bertekak anak beranak.
Sofia rasa lebih baik Sofia balik. Maafkan Sofia, auntie.” Sengaja Sofia memotong
kata-kata Puan Sri Nora. Dia ingin segera melepaskan diri daripada berterusan
diasak Harris. Dia bimbang semakin lama dia berada di situ, semakin hambar
lakonannya.
“Baguslah kalau you dah sedar diri Sofia. Jangan sesuka
hati you nak jejakkan kaki ke rumah I dan mengganggu isteri I lagi.”
Peringatan yang dilemparkan Harris membuatkan Sofia terkedu. Di
dalam hati, dia menyimpan azam. Tidak sekali-kali dia akan berhenti berusaha
untuk mendapatkan Harris. Walaupun kebencian lelaki itu setinggi gunung, dia
akan tarah perlahan-lahan. Nampaknya dia perlu merangka perancangan yang lebih
kemas dan berhati-hati. Kau tunggu dan lihat sahajalah, Harris. Aku pasti akan
buat kau melutut di kaki aku! Bisik Sofia angkuh di dalam hati.
“Mama tak sangka Harris sanggup buat mama macam ini. Sanggup
Harris malukan mama depan isteri Harris sendiri.” Tingkah Puan Sri Nora
kegeraman.
“Jom kita balik, Sofia.” Ajak Puan Sri Nora sambil menarik tangan
Sofia ke arah pintu utama. Dengan wajah yang kelat dia melangkah kasar menuju
ke pintu kereta. Tanpa berpaling, dia meloloskan diri ke dalam kereta. Sengaja
dihempaskan pintu kereta dengan kuat tanda protes.
Sebaik kereta BMW putih yang dipandu Sofia hilang dari pandangan
mata, Harris menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia memang sedia maklum dengan
sikap Puan Sri Nora yang mudah naik angin itu. Ibunya itu ibarat seperti sarang
tebuan, pantang dijolok. Tetapi dia tahu marah ibunya itu tidak akan lama.
‘Aisy merenung belakang Harris dengan riak serba salah. Kerana
dirinya hubungan Harris dan Puan Sri Nora menjadi tegang. Memang perlakuan Puan
Sri Nora menjengkelkan hatinya tetapi walau seburuk mana pun wanita itu, dia
tetap ibu kandung Harris dan ibu mertuanya.
“Ma..maafkan ‘Aisy, abang.” Suaranya sedikit gugup. Harris
memusingkan badannya dan merenung tajam ke arah isterinya. Di antara dia dan
‘Aisy masih ada perhitungan yang belum selesai.
“Kenapa sayang sembunyikan pada abang fasal Sofia pernah ke rumah
‘Aisy dan menolak ‘Aisy jatuh tangga?” Soal Harris menuntut sebuah penjelasan.
Jika tidak kerana perbualan yang sempat didengarinya tadi, sampai
sudah dia tidak akan mengetahui perbuatan khianat Sofia terhadap ‘Aisy.
Mujurlah dia mengambil keputusan untuk berpatah balik. Semuanya gara-gara rasa
bersalah yang menghambat dirinya kerana membuatkan isterinya berkecil hati.
Sementelah perjumpaan penting yang telah dijadualkan pada awal pagi ditunda ke
sebelah petang. Jadi, dia ingin mengambil kesempatan itu untuk memujuk rajuk si
isteri.
“’Aisy tak nak keruhkan lagi keadaan.” Jawab ‘Aisy perlahan.
Ya! Memang itulah niatnya. Hubungan mereka bertiga terlalu rumit.
Sofia bukan hanya sekadar bekas tunangan Harris. Tetapi di antara keluarga
Sofia dan keluarga Harris terjalin ikatan persaudaraan. Dan kerana hubungan
persaudaraan itulah membuatkan dia lebih rela mendiamkan diri daripada membuka
mulut tentang kejadian yang menimpanya. Terlalu banyak hati dan perasaan yang
perlu dijaga. Lagipun dia bukanlah seorang perempuan yang suka mengadu domba
demi mendapatkan simpati.
“Tapi kerana sikap berahsia sayang inilah yang hampir memerangkap
diri sayang sendiri. Mujur abang sempat balik. Jika tidak, entah apa yang mama
dan Sofia akan buat pada sayang.” Tukas Harris sambil mengeluh lemah. Dia
menyandarkan tubuhnya di atas sofa. Mujurlah dia muncul tepat pada waktunya.
Jika tidak pasti berbirat kulit putih ‘Aisy dengan tamparan ibunya.
“Terima kasih kerana percayakan ‘Aisy dan lindungi ‘Aisy.” Ucap
‘Aisy terharu membuatkan Harris tersenyum nipis. Sejuk hatinya tatkala
mendengarkan kata-kata penghargaan yang meniti di bibir isterinya.
“Abang akan terima kasih sayang tu, tapi dengan dua syarat.” Ujar
Harris seraya mengangkat kedua-dua belah kening lebatnya. Tiba-tiba riak wajah
lelaki itu berubah nakal. Tangannya dihulurkan ke arah ‘Aisy menggamit
isterinya untuk melabuhkan duduk di sebelahnya.
“Syarat?” Soal ‘Aisy dengan kerutan di dahi. Namun, dia tetap
menyambut huluran tangan Harris dan melabuhkan duduk di sisi suaminya.
“Yup. Syarat yang pertama, sayang kena maafkan abang.” Permintaan
Harris semakin membuatkan ‘Aisy pelik.
“Maaf? Kenapa?” Tunak matanya memerhatikan Harris.
“Fasal kata-kata abang pagi tadi. Abang tak sepatutnya cakap macam
tu. I’m not supposed to get
mad at you just because of sup ikan haruan. Maafkan
abang, sayang.” Wajah Harris berubah muram. Kedua-dua belah tangan ‘Aisy
dicapai dan digenggamnya erat. Kesal dengan kegagalannya mengawal baran. Rasa
marah yang menguasai diri kadang-kadang membuatkan dirinya tanpa sedar mudah
menuturkan kata-kata yang bisa membuatkan hati isterinya terluka.
Tatkala mendengarkan pengakuan Harris, ‘Aisy mengetap bibir.
Sebenarnya dia benar-benar sudah terlupa. Sepatutnya dia sedang melancarkan
perang dingin dengan Harris. Memang dia sedikit berkecil hati tadi. Tetapi
salahnya juga kerana berdegil dengan Harris. Dia bukannya tidak tahu perangai
suaminya itu. Pantang jika arahannya diingkari.
“Kalau ‘Aisy tak nak maafkan?” Sengaja dia bertanya dengan lagak
wajah yang serius.
“Mana boleh, sayang. Itu kan salah satu daripada syarat yang
sayang wajib penuhi.” Balas Harris selamba. Dia dapat mengesan senyum nipis
yang tersungging di bibir ‘Aisy.
“Mana ada orang minta maaf cara paksa macam ni.” Nada suara ‘Aisy
kedengaran manja di telinganya. Harris mengukirkan senyuman lebar. Lega rajuk
isterinya tidak lama kali ini.
“Yang abang tersengih sampai ke telinga ni kenapa? ‘Aisy tak cakap
pun yang ‘Aisy dah maafkan abang.” Usik ‘Aisy sengaja mendera perasaan Harris.
Namun, dia turut membalas senyuman suaminya.
“I know you have forgiven me. I know that. Thanks, sayang.” Ucap Harris dengan yakin. Lantas dia
menghadiahkan ciuman di pipi ‘Aisy. Perlakuan Harris membuatkan ‘Aisy
terkesima. Wajah itu berubah merah.
“Tapi, tolonglah jangan cakap macam tu lagi dengan ‘Aisy.
Kata-kata abang tadi buat ‘Aisy rasa abang tak benar-benar ikhlas nak jaga
‘Aisy. Kalau ‘Aisy ni menyusahkan abang, ‘Aisy boleh pindah balik ke rumah
sewa.” Luah ‘Aisy membuatkan riak Harris berubah. Senyumnya mati.
“Mana boleh. Abang tak akan izinkan. Ini rumah sayang, rumah kita.
Susah senang biar kita berdua harungi bersama. Abang tak mahu hidup berjauhan
dengan sayang lagi.” Nada suara Harris berubah serak. Tubuhnya
dipalingkan ke arah ‘Aisy. Jelas terbias kegusaran di wajahnya
“Abang benar-benar menyesal dengan kata-kata abang tadi. I never meant it, sayang! Abang sebenarnya risau nak tinggalkan
sayang. And at the same time,
I have to go to the office. Ada masalah besar. All these things make me tense. I’m
so sorry, sayang. I’m sorry because I’m losing control again.” Terang
Harris dengan penyesalan.
‘Aisy merenung wajah suaminya dengan penuh kasih sayang. Dia tahu
Harris sedang belajar untuk mengawal sikap panas baran nya. Untuk itu, dia
perlu sentiasa menyokong dan memberi peluang kepada Harris. Itulah yang
diikrarkan dalam dirinya tatkala dia mengambil keputusan untuk menerima Harris
kembali dalam hidupnya.
“It’s okay, abang. ‘Aisy
sentiasa maafkan abang.” Balas ‘Aisy sambil mengusap-usap belakang tangan
Harris.
“Thanks, sayang.” Kedua-dua
tangan ‘Aisy dibawa ke mulutnya dan dikucup lembut.
“Okay, syarat pertama dah lepas. So,
apa syarat yang kedua?” Soal ‘Aisy.
“Syarat yang kedua, abang nak tahu dari A sampai Z apa sebenarnya
yang dah berlaku? Kenapa Sofia datang ke rumah sewa sayang?” Beritahu Harris.
‘Aisy bungkam dengan syarat kedua yang dikenakan suaminya itu.
Tiba-tiba lidahnya kelu. Apakah bentuk jawapan yang harus diberikan kepada
Harris?
“Sayang, abang tak nak ada rahsia di antara kita berdua.” Beritahu
Harris lembut apabila mulut isterinya seakan terkunci. ‘Aisy mengeluh lemah.
“Perkara dah berlaku. Rasanya tak perlulah diungkit lagi.”
Tolak ‘Aisy.
“I know.
Tapi sebagai suami, abang ada hak untuk tahu.” Desakan Harris sekali lagi
mengundang keluhan di bibir ‘Aisy. Perlukah dia menceritakan segala-galanya? Di
sebalik serangan Sofia, ada perkara lain yang cuba disembunyikan. Jauh di sudut
hati dia bimbang jika perkara itu bakal mengundang kemarahan Harris yang tidak
bertepi. Dia tahu apabila Harris marah, lelaki itu mampu melakukan apa saja
termasuklah menggunakan pengaruhnya untuk membalas dendam!
bleh plak paksa2 maaf yer harris..sgt tak senonoh..haih
ReplyDeletesofiea stu mslah .. mak mntua pn stu mslah .. harris and his anger pn mslah .. duhai aisy tbah la kmu erk
ReplyDeleteOrang macam sofea tu memang wujud
ReplyDelete