Setelah sejam ‘Aisy tertidur, dia terjaga apabila sayup-sayup azan
Zuhur kedengaran. Serentak itu, gegendang telinganya disapa dengan bunyi
deringan telefon bimbitnya. Dengan kepala yang masih lagi berdenyut-denyut,
terkial-kial ‘Aisy mencapai telefon bimbit yang diletakkan di dalam tas tangan.
Belum sempat dia mengangkat panggilan, deringan telah terputus. Beberapa saat
kemudian, telefon di tangannya berbunyi lagi. Dia menjawab panggilan tanpa
melihat nama pemanggil terlebih dahulu.
“Assalamualaikum.” Sapa ‘Aisy dengan suara yang sedikit serak.
Matanya dipejamkan cuba meredakan sakit di kepalanya.
“Waalaikumsalam. Kau sihat ke tak ni? Lain macam je aku dengar
suara kau.” Suara Sakeena runsing di hujung talian.
“Aku sakit kepala sikit. Lepas makan ubat nanti baiklah. Kenapa
kau call aku ni?” ‘Aisy menyoal sambil
tangannya ligat memicit dahinya. Beginilah kalau migrain menyerang. Senak
mencucuk sehingga ke bebola mata.
“Aku call ni nak tanya kau dah boleh balik
ke petang ni? Kalau dah, petang nanti aku gerak terus ke hospital dari tempat
kerja. Tengah hari ni aku dan Feeza tak datanglah jenguk kau.”
Jawapan Sakeena membuatkan ‘Aisy menepuk dahinya sendiri. Dia
terlupa memaklumkan Sakeena yang dia telah keluar hospital pagi tadi. Mujur
Sakeena menelefonnya terlebih dahulu.
“Sorry, Keena.
Aku lupa nak beritahu kau. Sebenarnya aku dah keluar hospital. Pagi tadi Harris
jemput aku.” Beritahu ‘Aisy dengan suara yang lemah. Memikirkan perihal Harris
membuatkan denyutan di kepalanya semakin kuat.
“Harris jemput kau?” Sakeena meninggikan sedikit suaranya. Ada
nada terkejut di situ. Semalam bukan main lagi temannya itu menceritakan
tentang rajuk Harris. Cepat benar rajuk Harris hilang. Mungkin benar lelaki itu
sudah jauh berubah. Tidak lagi mudah melatah dan baran seperti dahulu.
“Ha’ah, aku pun pelik bila dia tiba-tiba muncul. Sekarang ini dia
paksa aku pindah tinggal dengan dia.” Adu ‘Aisy. Dia menjadi serba salah.
Bimbang keputusan drastik yang dibuat Harris bakal menyusahkan kedua-dua teman
serumahnya yang mungkin terpaksa mencari penyewa lain.
“Pindah? Oh, patutlah kawan aku ini migrain. Rupanya sedang fikirkan
masalah negara.”
Meletus tawa kecil dari mulut Sakeena. Sempat lagi dia mengusik
‘Aisy. Namun di dalam hati, dia gembira dengan perkembangan yang disampaikan.
Mungkin ini akan menjadi titik tolak kebahagiaan rumah tangga Harris dan ‘Aisy.
“Ini bukan masalah negara, tapi masalah dunia. Harris dah tak nak
bertolak-ansur dengan aku.” Bisik ‘Aisy memancing sokongan Sakeena. Selama ini
hanya pada Sakeena lah tempat dia meluahkan segala masalah dan kesedihan.
“Mungkin Harris buat macam itu supaya kau setuju pindah duduk
dengan dia. Agaknya dia tak nak kau main tarik tali dengan dia, sebab itu dia
bertegas.”
‘Aisy tergamam mendengar kata-kata Sakeena. Sejak bila Sakeena
mula menyebelahi Harris? Semalam bukan main lancang mulut temannya itu
mengkritik.
“Entahlah, Keena. Kalaulah aku masih seorang wanita normal seperti
dulu, semua masalah ini pasti tak akan berlaku.” Keluh ‘Aisy. Sukarnya
dirasakan untuk membina kembali keyakinan diri yang menghilang. Satu persatu
peristiwa yang menguji hidupnya sejak empat tahun yang lalu membuatkan dia
seakan hilang jati diri, hilang ketabahan dan semangat untuk hidup. Sebaliknya,
dia menjadi seorang wanita yang lebih banyak mengalah dengan nasib diri.
“’Aisy, tak baik mengeluh. Kau dah lupa apa yang Feeza cakap
semalam? Semua yang berlaku inikan ujian dari ALLAH. Dia tahu apa yang terbaik
buat hamba-Nya. Titian perjalanan hidup kita ini disusun dan diatur baik
oleh-Nya. Lengkap dengan sebab dan musababnya sekali. Sama ada nampak ataupun
tidak. Dan apa yang lebih penting Harris tak tinggalkan kau walau apa pun yang
telah menimpa kau. Cubalah kau beri peluang kepada Harris dan diri kau sendiri.
Aku yakin korang berdua mampu mencari bahagia bersama.”
‘Aisy terdiam mendengar butir bicara Sakeena. Sedikit demi sedikit
kata-kata Sakeena mula terkesan di hatinya. Namun tidak cukup untuk
menghilangkan kerisauan yang merantai hati.
“Tapi, macam mana dengan nenek Harris? Papa dan mama Harris?
Harris anak tunggal dan dia cucu lelaki tunggal. Mesti mereka inginkan zuriat
dari keturunan Harris. Lagipun kau tahu sajalah macam mana penerimaan papa dan
mama Harris terhadap aku. Perkara ini pasti akan mengeruhkan lagi keadaan.”
Hujah ‘Aisy dengan kebimbangannya yang tak pernah surut. Pasti bukan mudah
untuk ahli keluarga Harris menerima kekurangannya itu.
“Itulah silapnya kau. Dalam kepala itu asyik fikirkan kebahagian
dan kepentingan orang lain saja. Kita tak mampu nak puaskan hati semua orang,
‘Aisy. Sekarang ini, apa yang penting kau fikirkan kebahagiaan kau bersama
Harris dulu. Cubalah pentingkan diri sendiri itu sikit. Tak sudah-sudah nak
korbankan perasaan sendiri. Kau tu cuma manusia biasa. Bukannya bidadari dari
kayangan.” Nasihat Sakeena. ‘Aisy memang terlalu baik dan lembut hati. Dan
kerana kebaikan itulah dia sanggup membiarkan diri sendiri terluka dan kecewa
demi melihat orang lain gembira.
“Tapi aku bakal ketua bidadari di syurga buat…” Sela ‘Aisy. Namun
kata-katanya terhenti tatkala lidahnya mahu melantunkan nama Harris. Menyedari
keterlanjuran katanya, dia jadi termalu sendiri.
“Ya, aku tahu. Kau bakal ketua bidadari Harris di syurga nanti.”
Sahut Sakeena sambil tergelak kuat.
‘Aisy tersenyum nipis. Terasa wajahnya hangat. Mujur Sakeena tidak
ada di depannya. Jika tidak pasti lagi galak temannya itu mentertawakannya.
“Sakan kau gelakkan aku ya.” Marah ‘Aisy.
“Kau ni, ‘Aisy. Selalu sangat fikir payah. Jalan yang lurus dah di
depan mata, kau pilih juga jalan yang bersimpang siur. Jangan tolak peluang kau
nak meraih bahagia.” Ujar Sakeena sebaik tawanya kembali reda.
“Tapi…”
“Tapi apa lagi? Fasal mertua kau? Kisah tu empat tahun lebih dah
kan, ‘Aisy. Entah-entah mereka semua dah sedar dengan kesilapan masing-masing.
Harris yang ego dan panas baran tu pun dah jauh berubah. Masa boleh merubah
segala-galanya. Kau kena optimis, ‘Aisy. Mana sikap juang yang selalu ada dalam
diri kau? Dulu kau selalu nasihatkan aku, berusaha dan bertawakal. Ini belum
apa-apa kau dah mengaku kalah. Bukankah kau selalu kata gagal setelah berjuang
lebih baik daripada tewas tanpa usaha.” Pangkah Sakeena panjang lebar
membuatkan ‘Aisy terkedu.
“Sebagai kawan baik kau, aku inginkan kau bahagia dengan orang
yang kau cinta. Kalau kau sakit aku pun terasa tau. Hanya Harris yang mampu
membuatkan kau bahagia kerana hanya dia yang berjaya mencuri hati kau. Jadi,
sebagai kawan aku akan sentiasa menyokong dan mendoakan kebahagiaan kau bersama
Harris. Sekarang, Harris dah bawa kau duduk bersama dengan dia. Ini langkah
yang terbaik untuk memperbaiki hubungan korang berdua.” Tekan Sakeena. Memang
dulu dia pernah marah dengan apa
yang telah berlaku antara dia dan Harris. Namun, penyesalan Harris telah
mengubah persepsinya terhadap lelaki itu.
‘Aisy terharu. Satu persatu ayat yang dituturkan Sakeena masuk ke
gegendang telinga dan melekat di hati. Membuka mindanya untuk melihat hidupnya
dari sudut yang berbeza. Mungkin benar dia masih punya peluang untuk mengecap
bahagia bersama Harris.
“Thanks, Keena. Kau selalu ada bila aku perlukan kau.” Ucap ‘Aisy
sebak.
“Dah, tak nak sedih-sedih. Kebahagiaan memang dah terbentang di
depan kau, ‘Aisy. Tinggal kau nak atau pun tak nak saja. Janji dengan aku kau
kena bahagia. Janji?”
“Ya, aku janji.” Lambat-lambat ‘Aisy membalas.
“Okaylah, aku nak drive ni. Jangan lupa makan ubat migrain tu. And one more thing, jangan lawan cakap
suami lagi, tak baik.” Pesanan Sakeena membuatkan ‘Aisy tersenyum kecil.
“Okay, bawak kereta hati-hati. I
love you, darling. Thanks for
everything.”
“I love u too. Tapi aku cintakan tunang aku, Raziq. Hahaha…Okay,
aku chow dulu. Salam.”
Tergelak kecil ‘Aisy mendengar cara pamitan Sakeena sebelum
mematikan talian telefon. Keceriaan temannya itu sedikit sebanyak membuatkan
hatinya terhibur. Hilang sedikit denyutan di kepalanya.
“Padanlah abang mesej tak balas, call tak berangkat. Rupanya tengah seronok
bergayut.”
‘Aisy tersentak dengan sapaan Harris. Serta-merta senyuman di
wajahnya mati. Terlalu leka berbual dengan Sakeena membuatkan dia langsung
tidak mendengar bunyi enjin kereta Harris.
‘Aisy merenung skrin telefonnya. Ada 15 mesej dan 20 panggilan
tidak berjawab! Dia menelan liur. Teringat pesanan Harris yang memintanya
menjawab setiap panggilan dan mesej daripada lelaki itu. Wajah Harris yang
kelat dipandangnya dengan rasa gugup.
“Err.. saya minta maaf. Saya tak sedar tadi. Saya ti…”
“Yalah, nak sedar macam mana kalau tengah asyik memadu asmara kat telefon.” Sampuk Harris sambil
menjeling 'Aisy tajam. Perasaaan cemburu meluap-luap
apabila telinganya sempat menangkap perbualan telefon ‘Aisy yang sedang
mengungkapkan kata-kata cinta.
Makin panas cuping telinganya mendengar gelak kecil isterinya itu.
Sudahlah sepanjang satu jam dia tidak senang duduk apabila mesej
dan panggilannya tidak dijawab ‘Aisy. Langsung dia hilang fokus terhadap perbincangan dengan Dato’
Bakri, pelanggan penting syarikatnya. Mujur Dato’ Bakri juga terpaksa cepat
beredar kerana ada urusan lain. Tidak tunggu lama dia segera memecutkan
keretanya pulang ke rumah, bimbang jika berlaku perkara yang tidak diingini.
“Apa yang awak merepek ni, Harris? Saya cuma berbual dengan
Sakeena tadi.” ‘Aisy menyangkal tuduhan Harris. Dia buntu melihat Harris yang
pulang dengan wajah yang merah padam. Tiba-tiba baran tidak tentu fasal. Baru
tadi hatinya menanam azam untuk berbaik-baik dengan Harris. Kalau beginilah
perangai Harris, dia perlu fikir beribu-ribu kali dengan keputusannya. Tak
habis-habis dengan cemburu buta.
“Jangan bohong abang. Takkan cakap dengan Sakeena sampai perlu
bersayang-sayang bagai?” Soal Harris tidak percaya.
‘Aisy mendengus perlahan. Sejak dari dulu Harris memang tidak
pernah percayakannya seratus peratus. Ada sahaja rasa curiga terhadap
kesetiaannya sebagai seorang isteri di hati Harris. Dia sendiri tidak faham
kenapa Harris perlu berperasaan begitu. Hendak dikatakan dia mempunyai wajah
secantik ratu atau tubuh langsing persis model jauh sekali. Perwatakannya pun
tidaklah menarik sehingga mampu membuatkan hati mana-mana lelaki cair
dengannya. Semakin serabut kepalanya memikirkan kerenah Harris.
“Sakeena kawan baik saya. Salah ke kalau saya sayangkan kawan saya
sendiri?" Suara ‘Aisy lemah
mempertahankan. Dia memejamkan matanya. Serangan migrain di kepala yang sudah
reda kembali menggila.
“Abang tak percaya. Cakap, siapa lelaki yang call ‘Aisy
tadi?” Desak Harris mengeraskan suaranya. Semakin hangat hatinya melihat ‘Aisy yang bagaikan tidak acuh dengan
pertanyaannya.
“Mana ada lelaki, Harris. Sakeena yang call saya.
Kalau awak tak percaya sangat
awak check call register dalam telefon saya ini. Tengok siapa
orang terakhir yang call.” Ujar
Sakeena seraya mengunjukkan telefonnya kepada Harris. Tidak larat hendak
berlawan tekak dengan Harris.
Harris menyambut telefon bimbit yang dihulurkan ‘Aisy. Air mukanya
berubah apabila terbukti kebenaran kata-kata ‘Aisy. Dia meraup rambutnya dan
beristighfar di dalam hati. Sekali lagi dia tewas untuk berfikir dengan waras
akibat cemburu yang dibiarkan menguasai diri.
“Awak memang tak pernah percayakan saya kan? Dari dulu sampai
sekarang. Walaupun saya ini isteri awak yang derhaka, tapi saya masih belum
tergamak nak menduakan awak.” Balas ‘Aisy berkecil hati seraya menuruni katil
dan melangkah lemah ke arah pintu bilik. Dia rimas melayan cemburu Harris yang
tidak pernah habis.
“Sayang nak ke mana
tu?”
Pertanyaan Harris hanya dibiarkan sepi. Rajuk di hati membuatkan
mulutnya berat untuk menjawab. Di tangannya tergenggam botol ubat migrain. Dia
ingin ke dapur untuk mendapatkan air. Sudah tidak tahan menanggung sakit yang
semakin menyenakkan kepala.
Perlahan-lahan ‘Aisy melangkah menuruni tangga. Walaupun pandangan
matanya berpinar-pinar, dia tetap menggagahkan diri. Rasa sakit di hati menjadikan dia
degil untuk meminta pertolongan Harris. Namun, pandangan matanya yang
berpusing-pusing menyukarkan dirinya untuk mengagak tinggi rendah anak tangga
yang dipijak. Hampir sahaja dia terjatuh bila
langkah kakinya hilang pertimbangan.
Harris yang mengekori ‘Aisy dari belakang pantas memaut bahu
isterinya. Di cempung tubuh ‘Aisy sehingga ke ruang tamu, lalu dibaringkan di
atas sofa. Matanya sempat menangkap ubat migrain yang sedang digenggam
isterinya.
‘Aisy mengetap bibir. Matanya menghantar kelibat Harris yang
sedang melangkah ke ruangan dapur. Setiap kali dia cuba menjadi kuat di depan
Harris, pasti sebaliknya yang berlaku.
Harris muncul dengan sepinggan nasi dan segelas air di tangan.
“Sayang, makan nasi ni.” Intonasi suara Harris berubah kendur.
Tidak lagi dingin seperti tadi.
“Saya tak ada selera.” Tolak ‘Aisy. Sepinggan nasi putih
yang berlaukkan ikan panggang dan sayur air hanya dikerling sekilas. Macam lauk
orang berpantang.
“Sayang nak makan ubatkan? Kenalah alas perut tu dulu.” Sela
Harris sambil menyuakan sesudu nasi ke mulut ‘Aisy.
“Saya boleh suap sendiri.” Gumam ‘Aisy tanpa memandang ke arah
Harris. Dia rimas dengan dengan layanan lelaki itu.
Harris mengalah dengan keengganan ‘Aisy. Hanya bebola matanya yang
asyik memerhatikan pergerakan isterinya.
“Kenapa makan sikit sangat?” Soal Harris apabila ‘Aisy berhenti
setelah tiga sudu nasi masuk ke perutnya
Tanpa menghiraukan pertanyaan Harris, ‘Aisy menelan dua biji ubat
migrain. Disandarkan badannya pada bahu sofa. Beberapa minit kemudian kepalanya
yang berat terasa sedikit ringan.
“Dah okay sikit?” Tanya Harris sambil memandang isterinya. Riak risau jelas terpeta di wajahnya.
‘Aisy hanya membalas dengan anggukan. Masih berkecil hati dengan
sindiran yang dihamburkan Harris. Dia bingkas bangun. Rimas dengan renungan
Harris.
Harris menggenggam tangan ‘Aisy untuk menghalang langkah isterinya.
“Sayang, abang minta maaf fasal tadi.” Mohon Harris dengan rasa
bersalah. Sesal dengan tindakannya yang terburu-buru. Kadang-kadang dia gagal
mengawal barannya.
“Please forgive me.” Rayu Harris lagi sambil menarik rapat ‘Aisy
ke tubuhnya.
‘Aisy mengeluh lemah.
“Tak perlu awak ragu kesetiaan saya pada awak, Harris. Kalau saya
nak curang, empat tahun dulu saya dah buat. Tak perlu saya tunggu sekarang dan
di depan awak. Lagipun, saya tahu
status saya sebagai seorang isteri.” Desis ‘Aisy perlahan.
“Betul sayang tak pernah
curang pada abang?” Soal Harris curiga dengan pandangan yang sukar dimengerti.
Riak wajahnya kembali berubah tegang.
“Tak pernah, Harris. Tak pernah walaupun sekali.” Tegas dan yakin
dia membalas. Tidak pernah walaupun sekali hatinya berkalih untuk lelaki lain.
“Sayang pasti? Cuba sayang fikirkan betul-betul. Maybe you’ve got something to confess”
Sinis Harris.
“What do you mean? Apa lagi yang awak nak tuduh saya kali ini,
Harris? Apa yang dah berlaku
selama ini tak cukup ke untuk buat awak percayakan saya?” Bertubi-tubi soalan
yang keluar dari mulut ‘Aisy. Sindiran Harris benar-benar mencabar
kesabarannya. Bagaikan bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletus.
Takkan Harris masih tidak berpuas hati dengan fitnah video yang
memaparkan wajah perempuan mirip sepertinya. Bukankah semua fitnah itu sudah
terjawab dan dijelaskan. Malah, Sakeena dan Raziq sendiri yang berjumpa dengan
Harris untuk menunjukkan alibi bagi membuktikan bukan dia yang berada dalam
video itu.
Mujurlah pada tarikh dan waktu video lucah tersebut dirakamkan,
dia sedang mengikuti bengkel di Hotel Pan Pasific, Johor Baru. Kebetulan,
aktiviti peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut turut dirakam dalam
bentuk gambar dan video. Sakeena dan Raziq lah yang bersusah payah mendapatkan salinan
video daripada pihak penganjur. Semata-mata ingin membersihkan nama baiknya.
“How about Jason Alexander Carter? Didn’t you remember those 33 roses
that he gave you on your convocation day?”
Pertanyaan sinis Harris benar-benar membuatkan ‘Aisy terpempan.
Dia sangat terkejut dengan nama yang disebut Harris. Dan apa yang lebih
mengejutkannya macam mana Harris boleh mengetahui semua itu. Sedangkan semua
itu berlaku ketika dia berada di London.
“Macam mana awak tahu tentang Jason?” Tajam anak mata ‘Aisy memandang
Harris.
Jason merupakan teman baik ‘Aisy ketika
dia sedang menuntut di London. Kebetulan Jason merupakan pegawai penyelidik
yang banyak membantunya dalam kajian yang dilakukannya. Malah, hubungan mereka
semakin rapat apabila Jason sering bertanyakan padanya tentang Islam. Pemikiran
Jason yang terbuka membuatkan dia selesa berbincang dan bertukar pendapat
dengan lelaki British itu. Tetapi keakraban mereka tidak
pernah melebihi batas sebagai kawan.
“Macam mana abang tahu itu tak penting. Yang penting sekarang ini
abang nak tahu apa sebenarnya hubungan sayang dengan mat salleh tu. You never confess anything about Jason
to me.” Tekan Harris.
“Apa yang saya nak confess?
Saya tak pernah ada apa-apa hubungan istimewa dengan Jason. He just my best buddy in London.
Nothing more!” Balas ‘Aisy geram. Curiga Harris memang melampau. Semakin sakit
hatinya melihat senyuman sinis di bibir lelaki itu.
“Best buddy sampaikan
sanggup hadiahkan bunga ros. 33 kuntum. Sayang tahu tak apa simbolik 33 kuntum
tu? It means I LOVE YOU.” Bentak
Harris membuatkan ‘Aisy semakin rimas.
“For God sake, ia hanyalah bunga. Lagipun perkataan love itu
luas maknanya. Mungkin itu sebagai tanda sayang untuk persahabatan kami.”
Pertahan ‘Aisy. Dia memang tidak pernah tahu apa makna di sebalik bilangan
kuntum bunga ros yang dihadiahkan oleh Jason. Dia
tidak pernah ambil kisah. Dia menerima pemberian Jason atas dasar kawan. Tidak
pernah langsung dia merasa ragu. Tetapi, kenapa Harris perlu mempersoalkan
kejujurannya dengan membangkitkan sekecil-kecil perkara. Hanya kerana bunga ros
boleh membuatkan Harris cemburu padanya!
“Abang tak sangka taste sayang berciri antarabangsa juga ya.”
Pedas sindiran Harris membuatkan hati ‘Aisy tergores. Begitu sekali Harris
menilai kejujurannya. Dek gagal mengawal rasa marah dan kecewa yang
membuak-buak, air matanya tumpah jua.
“Cukuplah, Harris.
Tak guna saya bertekak dengan awak.” ‘Aisy bangun menuju ke tingkat atas. Rawan
hatinya dengan tuduhan Harris membuatkan dia tidak betah lagi berada di situ.
Lagipun ada tanggungjawab yang belum ditunaikan. Lebih baik dia menunaikan
solat Zuhur yang telah banyak masuk waktu. Sekurang-kurangnya dengan mengadu
kepada Tuhan, hatinya yang sakit sedikit terubat dan kembali tenang.
ish..harris ni..ketuk kepala tu karang..haish..tak serik2
ReplyDeleteHaris ni nk kena debik ni
ReplyDeletegeram pulak dgn harris ni..buat salah minta buat salah minta maaf.senang betol
ReplyDeletemsh tk insaf lg si harris ni... 😬
ReplyDeleteEiiii haris ni, kecik besor je menengoknyeee.
ReplyDelete