Jam di dinding sudah melewati tengah malam. Sepasang mata Harris
masih segar melayan lencongan fikiran. Kedinginan malam membuai-buai rentak
cinta di jiwa. Malam yang menggamit sepi bagaikan menderu rasa rindu di hati.
Cinta dan rindu yang bercantum menjadi satu. Sesak nafasnya menahan gelora
perasaan.
Seraut wajah polos ‘Aisy yang sedang nyenyak disapa mimpi ditenung
penuh asyik. Bibir Harris menguntum senyum bahagia. Tangan kasarnya mengelus
lembut pipi mulus si isteri. Jari jemarinya dibawa menjelajahi di segenap roman
muka dan akhirnya terhenti pada dua ulas bibir merah bak delima milik ‘Aisy.
Cukup seksi dan indah pada kaca mata seorang suami, menjentik naluri lelakinya.
Tidak semena-mena kekhilafan lalu menjengah ruang ingatan.
Senyuman Harris mati dan serentak khayalan indahnya hilang berlalu pergi.
Terimbau-imbau di layar matanya peristiwa pahit yang mengundang rasa sesal yang
tidak bertepi.
“Maafkan abang, sayang.” Kata maaf meniti di bibirnya. Walaupun
berulang kali ucapan itu dilafazkan, namun masih tidak mampu membuang rasa
bersalah yang bersarang di hati. Bibir ‘Aisy dikucup lembut penuh dengan rasa
kasih yang menggunung. Seakan ingin merawat kelukaan yang pernah singgah di
situ. Bibir merekah yang pernah luka berdarah dek baran nya yang gagal dikawal.
Pandangannya jatuh pula pada sekujur tubuh ‘Aisy yang berselimut
separas pinggan. Lama renungannya terkaku pada perut kempis isterinya yang
pernah terisi dengan satu nyawa. Penyesalan bertubi-tubi menyerang hati dan
perasaannya. Penyesalan yang tidak mungkin dapat ditebus dan ditukar ganti
biarpun dengan seribu maaf yang diberi. Ego lelakinya kalah apabila setitik
mutiara jernih gugur dan mengenai pelupuk mata ‘Aisy.
Lena ‘Aisy terganggu. Terpisat-pisat dia membuka mata. Suasana
bilik yang diselubungi cahaya lampu tidur yang malap membiaskan pandangan
kelam. Dalam kepayahan, dia mencerna ingatan dan memusatkan pemerhatian.
Tatkala penglihatannya bertembung dengan anak mata Harris yang
berkaca, hatinya dilontar tanda tanya. Dia meraba-raba kelopak matanya yang
dirasakan basah.
“Abang, kenapa ni?” Suara ‘Aisy serak. Kerut di dahi menandakan
dia berusaha mencerna situasi yang sedang berlaku.
“Ampunkan abang, sayang. Ampunkan abang. Abang berdosa pada
sayang.” Desis Harris perlahan. Tubuh kaku ‘Aisy dirangkul erat.
‘Aisy terpegun. Tindakan Harris mengundang rasa pelik di hatinya.
Semakin sarat rasa keliru yang bermain di benaknya. Namun dia tetap membalas
pelukan lelaki itu. Dirinya bagai diruntun untuk menenangkan Harris. Lalu
tangannya mengusap lembut belakang suaminya.
“Kenapa minta maaf dengan ‘Aisy? Abang tak ada buat salah apa
pun.” Pertanyaan tulus ‘Aisy dibisikkan di cuping telinga Harris.
Hati lelaki Harris makin tersentuh. Jelas terpancar kesayuan di
wajahnya. Tiada kata yang mampu diungkapkan untuk memaknakan perasaannya.
“Kenapa ni, abang?” ‘Aisy mengulangi soalan dalam nada yang lebih
lembut setelah pertanyaannya hanya berlalu. Pelukan dileraikan. Matanya memanah
tepat ke dalam anak mata hitam Harris. Sabar menanti sebuah penjelasan.
Tiba-tiba tangan kasar Harris terketar-ketar menyentuh bibir
‘Aisy. Setitik manik putih menitis di pipinya.
“Di sinilah, tamparan abang pernah singgah sehingga melukakan
bibir indah sayang. Maafkan abang, sayang.” Ungkap Harris sayu. Pernah tanpa
belas dia menjatuhkan hukuman pada isterinya sebelum dibicarakan. Semuanya
kerana rasa cemburu yang beraja di hati.
Kemudian tangannya mengusap lembut lengan ‘Aisy.
“Lengan ini pernah dicengkam kuat tangan kasar abang. Berbirat
lebam lengan sayang kan? Maafkan abang kerana menyakiti tubuh yang sepatutnya
abang belai dengan penuh kasih sayang.” Tambah Harris membuatkan ‘Aisy
terkesima.
“Abang, kenapa perlu minta maaf lagi ini? ‘Aisy dah ikhlas maafkan
abang.”
Kata-kata ‘Aisy tidak berjaya menjernihkan wajah Harris.
Sebaliknya, jari jemari Harris bergerak dan melekap pada perut ‘Aisy. Sentuhan
itu mengingatkannya pada sepak terajangnya yang bertubi-tubi ke perut itu.
“Kejamnya abang sanggup letakkan kaki abang ke dinding rahim
sayang yang sedang dihuni anak kita. Suami dan bapa jenis apakah abang ini
sehingga sanggup membunuh zuriat sendiri?” Air mata Harris jatuh berlinangan.
“Abang…bukan abang yang sebabkan anak kita mati.” Nafi ‘Aisy. Dia
menggelengkan kepala. Matanya turut lebat mengalirkan air mata. Selama ini dia
telah membiarkan dirinya hanyut dalam dendam. Tegar menyalahkan Harris. Dia
terlupa yang semuanya adalah percaturan takdir Ilahi yang tidak mampu ditolak
kehebatan-Nya.
“Kalaulah abang tak termakan dengan fitnah dan menghalau sayang
dari rumah kita, pasti kita sedang berbahagia dengan zuriat kita. Abang
sepatutnya melindungi sayang, bukan buat sayang menderita. Ya ALLAH! Abang
berdosa pada anak kita. Abang berdosa pada sayang.” Sesalan Harris bagaikan
tidak berpenghujung.
“Shhh…tak perlu diungkit lagi apa yang telah terjadi. Jangan
sekali-kali bercakap tentang kalau. Ia sama seperti kita mempersoalkan takdir.
Seolah-olah kita ni tak yakin dengan perjalanan yang ditakdirkan untuk hidup
kita. Sedangkan hanya pada ALLAH tempat kita bergantung harap..” Jari
telunjuknya pantas di bawa ke bibir Harris.
Harris menggenggam jari-jemari ‘Aisy erat.
“Kerana bertuankan baran, abang memperhambakan cinta abang
sendiri. Sehinggakan abang tewas pada rasa curiga. Setiap kali abang gagal
mengawal baran dan menyakiti hati sayang, setiap kali itulah sayang memaafkan
abang, sayang beri abang peluang. Kadang-kadang abang rasa abang dah tak layak
nak dapatkan kemaafan sayang. Terlalu banyak dosa abang pada sayang.” Talar Harris.
“Demi ALLAH, ‘Aisy dah maafkan abang dunia akhirat. ‘Aisy terima
semuanya sebagai qada’ dan qadar ALLAH.” Beritahu ‘Aisy meyakinkan Harris.
Genggaman tangan suaminya dibalas kemas. Sakit hatinya menyaksikan kesedihan
Harris.
“Memaafkan lebih mudah daripada melupakan. Ibarat seperti menyapu
ubat pada tempat yang terluka. Luka yang sembuh pasti meninggalkan parut
walaupun sakitnya sudah hilang. Abang kesal, sayang. Kesal kerana perbuatan
abang tetap akan kekal sebagai kenangan hitam di hati sayang.” Lirih Harris
mengeluh berat.
“Memang ‘Aisy akui apa yang berlaku sukar untuk dilupakan. Tetapi,
suatu hari nanti pasti semua itu akan berlalu pergi seiring dengan masa yang
beranjak ke depan. Parut jika disapu minyak, lama-lama akan hilang juga, kan?”
Sinar mata ‘Aisy menatap Harris dengan sebuah pengharapan.
“Usah diungkit lagi segala kekhilafan yang telah menyakitkan kita
berdua. ‘Aisy takut kesakitan itu akan menjadi api di dalam sekam. Membunuh
kita berdua dalam diam.” Sambung ‘Aisy. Dia hanyalah manusia biasa yang juga
perlukan kekuatan. Memaafkan dengan seikhlas hati merupakan langkah pertamanya
untuk membuang jauh keperitan yang pernah dilaluinya.
“Maafkan abang, sayang.” Sekali lagi Harris mengungkapkan
pernyataan itu, mengundang keluhan di bibir ‘Aisy. Lalu tangannya memegang
kedua-dua belah pipi Harris.
“’Aisy dah maafkan abang seikhlas dan setulus cinta ‘Aisy pada
abang. Jangan diungkapkan lagi kata-kata maaf kerana sudah tiada salah untuk
dimaafkan. ‘Aisy reda dengan semuanya. Cuma, ‘Aisy harap abang bantu ‘Aisy
untuk melupakan semua ini.” Luah ‘Aisy membuatkan Harris terkesima. Seakan
tidak percaya dengan kata cinta yang keluar dari mulut isterinya. Matanya
berkaca-kaca memancarkan sinar bahagia.
“I will, sayang. I will..” Ikrar Harris sepenuh hati. Sekali
lagi tubuh ‘Aisy dirangkul ke dalam pelukannya. Bersaksikan cinta kita, abang
janji takkan sakiti sayang lagi. Detik kata hati Harris.
“Thanks for everything, sayang. I love you so much.” Bisik Harris sepenuh perasaan. Cinta
di hati kian membara.
“I love you too.” Balasan
perlahan ‘Aisy mengundang senyuman di bibir Harris. Dia mengemaskan pelukannya.
Kehangatan tubuh ‘Aisy membuatkannya tenggelam dalam lautan cinta yang tidak
bertepi. Mengundang ketenangan di jiwa. Tiada lagi ungkapan kata yang menemani
bicara mereka. Hanya gerak tubuh yang menggambarkan hangat nya sentuhan cinta
bersulam rindu yang terpendam di antara mereka sejak sekian lama.
Awan kedukaan yang lalu biarkan ia berarak pergi. Dendam yang
terpendam biarkan ia terlerai. Kasih sayang yang terputus biarkan ia bertaut
kembali. Diikat dengan tali cinta yang bersimpul mati.
***
Sayup azan Subuh yang berkumandang mengejutkan ‘Aisy dari mimpi
indahnya. Dengkuran halus Harris menandakan lelaki itu masih dibuai lena.
Tangan suaminya sedang elok memaut pinggangnya. Wajah yang sedang tidur pulas
di sebelahnya ditatap dengan penuh kasih. Comel! Bisik hati ‘Aisy sambil
mengukir senyum. Peristiwa semalam terakam di ruang ingatan. Penyatuan di
antara dua keping hati yang telah melunaskan rindu rawan yang tersimpan.
Perlahan-lahan ‘Aisy menggerakkan tubuhnya ingin bangkit untuk
membersihkan diri. Bimbang jika pergerakannya mengganggu tidur Harris. Tangan
Harris yang melingkar kemas cuba diangkat perlahan, namun entah kenapa tangan
itu dirasakan semakin memberat. Sebaliknya pelukan Harris semakin kejap.
“Sayang nak pergi mana?” Suara serak basah Harris menyapa
gegendang telinganya. Lelaki itu menongkatkan sikunya dan merenung nakal wajah
‘Aisy yang sedang berbaring. ‘Aisy terkaku. Wajahnya berona merah.
“Err..dah Subuh. ‘Aisy nak solat.” Beritahu ‘Aisy teragak-agak.
Tidak tahan dengan panahan mata Harris, dia memalingkan wajah ke arah lain.
Apatah lagi rasa malu sarat bersarang di jiwanya dengan apa yang telah terjadi
di antaranya dan Harris semalam.
“Kenapa palingkan wajah dari abang? Tak sudi nak tengok wajah handsome abang waktu bangun tidur ke?” Soal
Harris dalam nada mengusik.
“Mana ada…” Kata-kata ‘Aisy mati di situ. Tidak tahu bagaimana
hendak membalas.
“Sayang malu ya?” Tebakan Harris membuatkan wajah ‘Aisy semakin
pijar. Senyuman mengusik jelas terukir di bibir Harris. Senyuman tampan yang
membuatkan ‘Aisy terbuai asyik.
“Nak malu fasal apa?” Tanya ‘Aisy pura-pura tidak mengerti.
“About what happened last night. Our intimate relationship.”
Selamba Harris menjawab disulami dengan tawa kecil. Membuatkan ‘Aisy semakin
tidak keruan menahan kehangatan di wajahnya. Ingin segera disembunyikan dirinya
ke dalam bilik air.
“Err..’Aisy nak ke bilik air dulu.” Sengaja dia mengalih topik
sambil menepis tangan Harris. Anak matanya dijeling ke arah Harris,
mengharapkan suaminya melonggarkan rangkulan tangannya.
“Nantilah dulu. Sayang jeling abang macam tu buat abang terasa
hendak sambung balik yang tertinggal semalam.” Semakin galak Harris menduga
apatah lagi melihatkan ‘Aisy yang sedang tersipu.
“Abang rindulah dengan belaian sayang. Kemanjaan..kemesraan…”
“Eii..gatal! Geli anak tekak ‘Aisy ni dengan perangai merenyam
abang.” Gumam ‘Aisy memintas percakapan Harris. Dia menjegilkan matanya.
Ditolak lembut tubuh suami yang menempel.
Harris hanya ketawa lepas sambil merapatkan kembali tubuh ‘Aisy ke
badannya.
“Abang merenyam dengan isteri abang seorang ni saja. Lagipun, dah
lama abang puasa tau. Bila dah dapat sekali, itu yang buat abang rasa hendak
lagi.” Nakal sekali Harris menggoda ‘Aisy. Sengaja dirapatkan wajah ke muka
isterinya. Tegak bulu roma ‘Aisy apabila sebuah kucupan hangat singgah di
kawasan pertengahan lehernya.
“Dah hilang dah rasa geli dekat tekak? Kalau rasa geli dekat
tempat lain, mari sini abang ubatkan.” Kenyitan mata Harris membuatkan ‘Aisy
mengetap bibir. Bijak suaminya itu mengambil kesempatan.
“Eiii..tak sukalah abang buat ‘Aisy macam ni. Ambil kesempatan
ya!” Dada Harris ditolak lembut. Walaupun terasa geram namun dia tidak dapat
menidakkan rasa bahagia yang bermain di hati. Setiap perlakuan nakal Harris
begitu menyenangkannya.
“Abang cuma cium saja. Semalam, lebih daripada tu sayang tak cakap
pun tak suka.” Lagi-lagi perkara tentang semalam yang diungkit Harris.
“Malas lah nak layan abang. Makin dilayan makin menjadi-jadi.
‘Aisy nak ke bilik air ini. Lepaslah.” Sengaja dia mengeraskan suaranya. Kalau
tidak bertegas, jangan harap Harris akan melepaskan rangkulan.
“Nak buat apa ke bilik air?” Tanya Harris polos dengan mempamerkan
sengihan.
“’Aisy nak mandilah, waktu Subuh pun dah lama masuk.” Jawapan
‘Aisy mengundang sengihan Harris yang semakin melebar.
“Mandi apa, sayang?” Saat soalan itu diutarakan, Harris tergelak
kuat. Tercuit hatinya melihat ‘Aisy yang terpisat-pisat.
“Eii..abang ini teruklah. Menyampah!” Serentak itu, ‘Aisy bangkit
dan meloloskan diri daripada rangkulan Harris yang telah dilonggarkan.
Tanpa memandang Harris dia terus mengambil tuala yang tersidai di
rak ampaian dan menuju ke arah bilik air.
“Jangan lupa niat
mandi wajib, ya sayang.” Sayup-sayup dia mendengar suara Harris tatkala
melangkah masuk ke dalam bilik air. Tawa Harris masih bersisa. Dalam diam dia
turut mengukirkan senyum sambil menggelengkan kepala. Dia tahu suaminya sengaja
mengusiknya. Usik-usik yang membawa bahagia!P/S Bab terakhir di blog. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, dapatkan novel Titian Cinta, terbitan Idea Kreatif
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSelimut separas pinggan😀
ReplyDeleteAla npe xhbiskan aje. Tgh Best ni.
ReplyDeleteNk beli online bole x?
ReplyDeleteCmne nk bli?kne abeskn bce..best!
ReplyDeleteMasih ada stok ke kalau nak beli hurmmm :'(
ReplyDeleteada dekat web rasmi idea kreatif
Deletehuhuuu..bestnyee..minggu depan baru dpt novel..x sabarnye..nk abis membaca..
ReplyDeleteSaya dari Indonesia, saya suka baca novel-novel Malaysia, tapi tak tahu macam mana nak belinya.
ReplyDeleteKalau saya mau beli novel ini dimana ya?