Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Thursday 4 September 2014

Aku Memilih Setia - Bab 5 (Version 2.0)

Arianna gelisah di dapur. Sejak beberapa minit yang lalu, dia hilang tumpuan terhadap kerja yang sedang dilakukannya. Serba tak kena bila sepasang mata milik Affan ralit memerhati gerak-gerinya. Panahan mata itu bagaikan sang helang yang sedang mengawasi mangsa.
“Nak masak lauk apa dulu ni?” Affan menyoal.
“Errr…masak lemak…eh tak..rasanya baik I masak kari ikan dulu,” balas Arianna menggelabah.
Dia bergerak ke peti ais. Cuba menyembunyikan rasa gugup. Seekor ikan merah yang sudah siap diproses dikeluarkan dari ruang sejuk beku.
 “Astaghfirullah.” Arianna urut dada bila tiba-tiba Affan sudah berdiri di sebelah peti ais berpintu dua itu.
“Sayang nak abang tolong bersihkan ikan ni ke?”
Affan sembunyi senyum dengan tingkah si isteri yang canggung semacam. Arianna nampak comel sekali bila kalut begitu. Semakin Arianna gelisah, semakin galak matanya merenung wanita itu.
“Tak perlu. I dah bersih ikan ni.” Arianna menggeleng. Dia bergerak ke arah singki yang berada di tengah-tengah ruang dapur. Affan turut membuntuti langkahnya.
“Biar abang tolong defrost ikan ni,” ujar Affan menawarkan bantuan. Pantas saja tangannya mengambil ikan merah dari tangan Arianna.
Arianna terkebil-kebil memandang Affan yang sedang memasukkan ikan yang beku itu ke dalam ketuhar gelombang mikro. Perubahan sikap Affan yang begitu ketara membuatkan dia kembali teringatkan kata-kata lelaki itu sebentar tadi. Benarkah Affan begitu bersungguh-sungguh mahukan mereka hidup sebagai suami isteri dalam erti kata yang sebenar?
“Kenapa?” Affan angkat kening bila sedar yang dirinya sedang diperhatikan.
“Err…tak…tak ada apa-apa.” Cepat-cepat Arianna mengalihkan pandangan ke arah lain. Janganlah Affan fikir yang bukan-bukan.
“Sayang tahu tak yang sayang ni comel sangat?” usik Affan. Dia gelak nipis. 
Arianna telan liur dengan pujian Affan. Gelak lelaki itu membuatkan hatinya semakin dihambat gelisah. Dia bukan buta untuk menilai tingkah Affan. Suaminya itu terang-terang sedang berusaha untuk berbaik dengannya. Membuatkan dia makin tidak senang.
Dari ekor mata, dia melihat kelibat Affan yang sedang mendekatinya. Untuk menutup keresahan, dia mencapai sebilah pisau dari dalam laci. Beberapa ulas bawang merah diambil untuk dikupas kulitnya.  
“Nak abang tolong?” Affan berdiri rapat di sebelah Arianna. Matanya dihalakan pada selonggok bawang di atas kabinet dapur.
“Tak payah.” Arianna geleng kepala sambil tangannya mula mengupas bawang.
“Kejap, sayang.” Suara Affan menghentikan pergerakan Arianna.
“Kenapa?” Arianna panggung wajah.
“Boleh tak pegang pisau ni elok-elok sikit?” tegur Affan kemudiannya.
“Apa yang tak kenanya?” Arianna kerut dahi. Dia sudah terbiasa memegang pisau dengan mata pisau menghadap ke arahnya. Memang begitu cara dia memegang pisau selama ini.
“Ibu jari ni jangan letak depan mata pisau. Bahaya. Patutnya sayang kena pegang pisau macam ni,” ujar Affan sambil membetulkan letak duduk pisau di tangan Arianna.
Sentuhan tangan Affan bagaikan renjatan elektrik yang mengalir ke seluruh tubuh Arianna. Sesak nafasnya menahan degupan jantung yang mula berentak tidak sekata. Dia tak selesa dengan kedudukan mereka yang terlalu rapat itu.
“Errr…I dah biasa pegang pisau macam tu.” Nada suara Arianna bergetar. Dia jarakkan sedikit tubuhnya.
“Mana ada orang kupas bawang macam tu. Bahaya, sayang.”
“Tapi I tak biasalah.” Arianna pusing balik mata pisau menghadap ke arahnya.
“Hishhh…degil betul sayang ni. Ikut macam abang ajar ni,” suruh Affan. Sekali lagi dia membetulkan kedudukan pisau di tangan Arianna. Kali ini telapak tangannya terus melekap pada tangan Arianna.
 “I nak kupas bawang macam mana kalau you pegang tangan I?” Arianna mendengus.
Sorry. Tersyok pula pegang tangan isteri abang ini. Maklumlah bukan selalu dapat pegang.” Affan sengih sehingga menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Dia  melepaskan pegangan.
Arianna menjeling Affan sekilas. Biarpun kekok, dia terpaksa juga mengupas bawang mengikut cara Affan. Malas hendak mendengar omelan suaminya lagi. Kalau macam ini entah bilalah dia boleh siap memasak.  
“Hati-hati, sayang. Pelik je abang tengok sayang pegang pisau tu. Nampak kekok je,” pesan Affan seraya melabuhkan duduk di atas bangku bar yang betul-betul menghadap Arianna. Tangan diletakkan di bawah dagu. Matanya terus memerhati si isteri melakukan kerja.
Arianna diam tidak membalas. Dia tetap meneruskan kerjanya.
“Jaga jari tu, sayang. Dekat sangat dengan mata pisau tu.” Affan menegur bimbang.
Arianna menarik nafas dalam. Sungguh dia rimas bila setiap pergerakannya menjadi perhatian Affan. Ada saja yang mahu dikomen suaminya. Tak sangka rupanya lelaki yang dia sangka pendiam ini boleh tahan juga mulutnya bila dapat berkicau.
“You nak tolong I kan?” soal Arianna menahan rasa.
“Yup.” Affan mengangguk yakin.
Arianna bergerak semula ke peti ais. Dia mengeluarkan ubi kentang, kacang panjang, kubis dan lobak merah. Semua sayur-sayuran itu dilonggokkan di hadapan Affan.
“Boleh you potong semua sayur ni?” Arianna menghalakan jari telunjuknya ke arah sayur-sayuran tersebut.
“Boleh. Tapi…” Suara Affan meleret. Ada senyum nakal yang tersisip di tubir bibir.
“….what will I get in return?” sambung Affan menduga.
Arianna terkedu. Air liur yang ditelan terasa tersekat di celah kerongkong.
“Apa yang abang dapat kalau abang tolong sayang?” Sekali lagi Affan mengulang soalan. Kedua-dua belah keningnya dijongket nakal.
Arianna mengetap bibir. Dia jadi geram tiba-tiba dengan pertanyaan Affan yang seolah-olah sengaja nak memerangkapnya.  
“Pahala.” Tiba-tiba perkataan itu meluncur dari mulutnya.
“Apa dia sayang?” Affan bulat mata.
“You dapat pahala kalau tolong I. Itu pun kalau you betul-betul ikhlas,” sindir Arianna.
Meletus tawa besar dari bibir Affan. Dia menggeleng kepala separuh percaya. Dalam dia hendak menduga, akhirnya dia pula yang dikenakan Arianna.
Good answer. Tapi itu bukan jawapan yang abang nak dengar dari sayang.” Dalam tawa yang masih bersisa dia mencuit hidung Arianna.
Arianna diam tidak membalas. Semakin menjadi-jadi perangai pelik Affan. Kemesraan yang ditunjukkan lelaki itu cukup melemaskannya.
“Sayang tahu tak apa yang abang nak in return?” soal Affan lembut. Cuba memancing bicara Arianna.
Arianna geleng kepala. Cekap tangannya mengupas bawang. Kali ini dia mengupas bawang dengan cara dia sendiri. Kalau ikut cara Affan mahunya berkurun baru selesai kerja yang mudah itu.
“Abang nak sayang,” bisik Affan perlahan.
Arianna tersentak. Tiga patah perkataan itu berjaya membuatkan perasaannya libang-libu tidak menentu. Tiga patah perkataan yang akhirnya berjaya membuatkan dia terhiris jarinya sendiri.
“Auchh…” Arianna menjerit sakit. Terlepas pisau tajam di tangannya.
 Bulat mata Affan memandang ibu jari Arianna yang berdarah. Pantas dia bangkit menerpa ke arah isterinya.
“Kan abang dah pesan tadi suruh sayang hati-hati,” gumam Affan. Tangan Arianna dipegang lembut.
“Tak apa. Sikit je ni.” Arianna menarik tangannya. Dia tak suka dengan getaran yang bermain di jiwanya setiap kali dia bersentuhan kulit dengan Affan.
“Biar abang tengok,” tekan Affan. Dia mengemaskan pegangan.  
“Banyak darah ni.” Affan mengambil beberapa helai tisu lalu ditekapkan pada bahagian jari Arianna yang terluka itu.
“Ssssss..” Arianna berdecit menahan sakit. Pedih.
“Tekan tempat luka ni. Abang nak ambil first aid,” suruh Affan sebelum susuk tubuh lampai itu hilang ke dalam bilik air. Beberapa ketika dia muncul semula dengan membimbit kotak putih berpalang merah.
“Mari abang letak ubat.” Affan menarik lengan Arianna.
“Tak apa..tak apa..I..boleh buat sendiri,” tolak Arianna. Layanan Affan buat dia rasa tak selesa. Apatah lagi untuk berada dalam jarak yang cukup dekat begitu.
“No…no. Biar abang yang tengok. Sayang duduk sini,” arah Affan sambil memimpin Arianna ke arah bangku.  
“Luka sikit je ni. I boleh letak ubat sendiri.” Arianna tetap menolak.
“Jangan degil boleh tak? Let me handle this. Now you just sit here.” Nada suara Affan naik satu oktaf. Dia menarik bangku berbentuk bulat itu untuk memberi ruang kepada Arianna melabuhkan duduk.
I’ll be your good doctor. I promise,” sambung Affan.
Arianna terpaksa akur. Darah yang tidak henti keluar dari tempat luka membuatkan dia tidak kuasa lagi untuk menolak. Jarinya juga semakin kuat berdenyut. Akhirnya dia melabuhkan duduk di atas bangku berwarna merah itu.
Good girl,” puji Affan persis memujuk anak kecil. Dia duduk melutut di depan Arianna. Kotak bantuan kecemasan yang diletakkan di atas lantai dibuka.
“Abang nak tengok luka dekat jari sayang ni,” beritahu Affan seolah-olah meminta kebenaran. Berhati-hati dia membuka tisu lembap yang hampir keseluruhannya sudah dibasahi  darah. Begitu teliti dia membelek luka di jari Arianna.
 “Dalam juga luka ni,” Affan mengambil kapas untuk mengelap sisa darah. Ditekapkan beberapa saat di tempat luka untuk mengurangkan pendarahan.
“Abang nak sapu iodin ni,” ujar Affan. Dia mengambil larutan Flavin dari kotak bantuan kecemasan.
Arianna angguk perlahan. Tiada sepatah kata yang mampu meniti di bibirnya. Hanya bebola mata yang berbicara memerhati gerak-geri Affan yang begitu tekun merawat luka di jarinya.
“Tahan sikit.” Kapas yang sudah dibasahkan dengan cecair berwarna kuning itu disapukan di tempat luka.
Arianna mengetap bibir menahan pedih.
“Sakit?” soal Affan. Wajah Arianna yang sedikit berkerut direnung dalam.
“Sikit je.” Arianna ukir senyum tawar. Cuba menyembunyikan rasa sakit. Dia tak mahu nampak cengeng di depan Affan. Jauh sekali untuk meraih simpati lelaki itu.
“Fuuhhh…” Affan meniup lembut jari Arianna yang terluka itu.
Arianna tergamam. Nafas hangat Affan yang menghembus lembut di jarinya mengundang satu perasaan yang cukup asing di hatinya. Sungguh dia bagaikan terpukau dengan keikhlasan yang terpancar di raut wajah tampan itu. Sedikit sebanyak hatinya tersentuh juga dengan layanan Affan biarpun berkali-kali dia cuba menidakkan rasa itu.
“Sekarang abang nak balut jari ni.” Affan mengangkat wajah. Untuk beberapa saat, matanya beradu dengan anak mata coklat milik Arianna yang sedang tunak merenungnya.
“Errr..okey.” Bagaikan baru tersedar, Arianna kalut melarikan pandangan ke arah lain. Apa yang berlaku pada dirinya ini? Dia tak boleh terus hanyut dengan kebaikan Affan. Ada kesetiaan yang harus dipertahankan. Kesetiaan yang pastinya bukan milik Affan.
Affan menyembunyikan senyum sambil membalut jari Arianna dengan kain kasa. Dia sedar dengan kegelisahan Arianna. Jari-jemari Arianna yang sejuk cukup menggambarkan gelodak yang sedang bermain di jiwa isterinya itu. 
“Dah siap,” tutur Affan sebaik menyudahkan lilitan yang terakhir. Sempat dia menghadiahkan sebuah kucupan pada bahagian jari yang berbalut itu.
“Apa you buat ni?” Cepat-cepat Arianna menarik tangannya. Dia mendengus dengan tindakan Affan.
“Hai..nak cium jari isteri sendiri pun salah ke? Sayang tahu tak ciuman suami ni penawar. Mana tahu dengan ciuman abang tu cepat sikit jari sayang ni sembuh.” Affan berlelucon.
“Apa yang you merepek ni? Dahlah..I nak sambung masak,” sela Arianna menahan getar suara. Dia bangkit dari duduk untuk menyambung kembali kerjanya yang terhenti. Namun langkahnya mati bila tiba-tiba Affan menarik lengannya.
 “I’m expecting something in return from my lovely wife. A kiss, perhaps?” Affan pandang Arianna tajam.
Arianna telan liur dengan permintaan Affan. Cepat-cepat dia melepaskan tangan Affan yang melilit di lengannya. Dia berpaling membelakangi lelaki itu.
“Haihh…I guess the answer is no,” keluh Affan perlahan pada dirinya sendiri.
At least a thank you would be nice too.” Affan menjeling Arianna. Ingin melihat reaksi si isteri.
Kata-kata Affan berjaya membuatkan Arianna memusingkan kembali tubuhnya menghadap Affan. Bibirnya bergerak-gerak untuk bersuara.
“Errr…terima kasih sebab you tolong I tadi,” ucap Arianna perlahan sedikit teragak-agak.
Affan ukir senyum. “My pleasure sayang. Abang sentiasa akan sambut kasih daripada isteri abang ni. Always.”  
Arianna tidak membalas kata-kata Affan. Sebaliknya dia terus menyambung kerjanya yang terhenti tadi.
“Tak payah masak. Nanti abang beli je semua lauk tu,” tegah Affan bila dia melihat Arianna yang sedang terkial-kial melakukan kerja dengan jari yang berbalut.
“Tak apa. I boleh masak lagi ni.”
“Nak masak macam mana dengan jari berbalut tu? Abang takut kalau luka tu melarat nanti. Lagipun tempat yang luka tu tak boleh selalu kena air. Mudah kena infection.” Risau Affan mengalahkan doktor.
Arianna mendengus. Entah kenapa dia rasa cukup terganggu dengan sikap Affan yang terlalu mengambil berat. Dia bukannya cedera parah pun. Cuma sebatang jarinya saja yang terluka.
“I boleh masak. Yang luka cuma ibu jari I. Bukannya sebelah tangan I ni patah pun,” bidas Arianna.
“Abang kata tak payah.” Affan sudah mengambil pisau yang berada di tangan Arianna. Bersungguh-sungguh dia mahu Arianna menghentikan kerjanya.
“Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi. Sayang pergi je berehat dalam bilik. Semua ini biar abang yang kemaskan.”
Arianna mengetap bibir. Melihat Affan yang sedang bersungguh mengemas dapur, hatinya sekali lagi tersentuh. Seumur hidup dia tidak biasa dilayan begitu. Malah dia tidak mahu Affan melayannya sebaik itu. Tidak ada apa yang mampu dibalasnya untuk setiap kebaikan lelaki itu. Apa yang tinggal hanyalah sebuah kekecewaan. 
“Tolonglah jangan layan I macam ni.” Tanpa sedar dia mengungkapkan kata-kata yang separuh merayu itu. Matanya dah bertakung dengan mutiara jernih.
“Apa maksud sayang? Abang tak faham.” Affan angkat kepala. Berkerut dahinya memandang Arianna.
“Tolonglah jangan terlalu baik dengan I. I tak mampu….I takut…” Bicara Arianna mati tanpa noktah. Setitis air matanya jatuh membasahi pipi.
“Sayang, kenapa menangis ni?” Affan mampir ke arah Arianna. Bahu isterinya disentuh lembut lalu dihadapkan tubuh itu agar berhadapan dengannya.
Dengan mata yang basah, Arianna memandang wajah Affan yang penuh berharap itu. Bagaimana untuk dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya? Andai dia menceritakan tentang cinta dan kesetiaannya yang terlebih dulu dimiliki lelaki lain, mampu kah Affan menerimanya?
“I sakit hati sebab you tak bagi I memasak. Bukan you tak tahu tok wan tak suka makan lauk kedai. I takut tok wan marah I nanti.” Lain yang bermain di fikiran, lain yang dimuntahkan di bibir.
Tajam anak mata Affan singgah di wajah Arianna. Dia tahu Arianna sekadar berdalih. Ada sesuatu yang sedang disembunyikan Arianna. Tok wan hanyalah sekadar alasan sang isteri untuk menutup tangis.
Sorry, mungkin abang terlalu memaksa sayang.” Affan mengeluh perlahan. Mungkin juga Arianna terlalu terkejut dengan perubahan sikapnya. Langsung mengundang rasa takut di hati isterinya itu.
“Kalau sayang nak terus memasak, abang izinkan. Tapi tolong hati-hati guna pisau tu. Jaga jari yang luka tu jangan bagi kena air. Nanti lambat baik luka tu,” pesan Affan.
“Terima kasih.” Arianna mengesat air mata yang mengalir. Dia mengangguk perlahan.
Affan senyum nipis.
“Boleh I minta sesuatu dengan you?” Arianna bersuara. 
Sure. Anything, sayang.
Arianna tarik nafas dalam.
“Boleh tak lepas ni you jangan panggil I sayang,” pinta Arianna. Sepanjang hari ini, entah berapa ratus kali dia terpaksa menadah telinga dengan perkataan sayang yang diungkapkan Affan.
“Habis tu abang nak panggil apa?”
“Apa-apa je asal bukan sayang, darling, baby, manja atau apa-apa panggilan yang cheesy.” Arianna buat muka.
“Kalau macam tu abang panggil sweetheart, boleh?” Affan angkat kening.
“Tak boleh!” Laju Arianna memangkah. Matanya dibulatkan.
“Panggil je I Anna. Semua orang panggil I macam tu,” sambung Arianna.
Affan menggelengkan kepala. “Rie…I’ll call you Rie.”
“Rie?” Arianna buat muka pelik. Selama dua puluh enam tahun dia hidup di muka bumi ini, belum ada sesiapa lagi yang pernah memanggilnya dengan panggilan itu.
I want to have the privilege of calling you something different yet special,” beritahu Affan penuh makna.
“Okey.” Arianna terdiam beberapa saat sebelum akhirnya dia mengangkat bahu. Sekurang-kurangnya ganti nama itu berkali-kali lebih baik daripada panggilan sayang.
 “Tapi dengan satu syarat.” Affan mengangkat jari telunjuknya separas dada sebelum dia kembali menyambung bicara.
“Selepas ini jangan guna you dan I bila bercakap dengan abang.”
“Nanti bila papa, mama dan tok wan sampai I tukar lah. Kan I dah janji tadi.” Arianna menggumam.
“Abang tak nak hanya depan papa, mama dan tok wan je Rie tukar panggilan tu. I want you to call me abang forever,” pinta Affan.
“Kenapa tiba-tiba nak tukar pula?” soal Arianna tak puas hati.
“Abang rasa macam dekat pejabat je kalau ber’I’ dan ber’you dengan sayang. You’re my soul mate not my officemate. You’re my life partner not my share partner.” Sinar mata Affan memandang tepat ke dalam anak mata Arianna.
Arianna terkedu.
“Boleh?” soal Affan meminta kepastian.
Arianna mengangguk juga akhirnya.
“Okey, starting from now, I’ll call you Rie. And you must call me abang. Promise?” Affan mengangkat sebelah tangannya tinggi.
Promise,” balas Arianna.
Affan ukir senyum puas hati.
Remember, that call only belong to me. Just me. Jangan sesekali benarkan orang lain panggil Rie. Abang tak suka berkongsi hak abang dengan orang lain.” Pandangan Affan berubah serius. Di sebalik kata-katanya itu dia mengharapkan Arianna mengerti. Sememangnya dia serius menerima Arianna sebagai isteri.


P/S

Buai laju-laju sampai pohon dara
Komen laju-laju kasi semangat penulis siap AMS segera


14 comments:

  1. best..nk lg..hihi

    ReplyDelete
  2. sedap benor lagu buai laju-2 tu haa. hehe! chaiyokkk, cepat-2 tulis. moga idea dtg berkoyan-2.

    ReplyDelete
  3. :) looking forward next chapter RI

    ReplyDelete
  4. lagi lagi tak puas bace ni...

    ReplyDelete
  5. Buai laju laju sampai cucur atap
    Komen laju laju nnti kak iman upload cepat

    Hihihi...makin mnarik lps edit

    ReplyDelete
  6. Best!!! Harap dapat sambungannye soon.. tq

    ReplyDelete
  7. alah xpuas baca. nk lagi... hee

    ReplyDelete
  8. Sis cercita mcmane affan nk ngorat arianna ea...

    ReplyDelete
  9. Sweet nyelah Affan ni..... #^_^

    ReplyDelete
  10. Nk.lagi best. Two thumbs up

    ReplyDelete
  11. Menarik Dan Inspiratif sekali cerita ini, untuk para pencinta sepakbola bisa Gabung Disini untuk dapat update serta informasi terbaru mengenai Sepakbola >_<

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..