Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday 13 May 2013

Temu Duga Cinta Bab 11


Hari Jumaat adalah hari yang paling dimuliakan dan menjadi kebesaran bagi orang Mukmin. Kemuliaan hari Jumaat sehingga ia diangkat sebagai penghulu segala hari. Hari bila mana Nabi Adam Alaihissalam diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga dan diturunkan ke bumi. Hari berkumpulnya umat Islam di masjid-masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Dan hari ini Jumaat datang lagi. Jumaat pertama yang aku lalui selepas hampir seminggu melalui kehidupan yang sungguh memenatkan dan mencabar di Gemilang Holdings. Penat tubuh dan letih emosi. Mana taknya bila terpaksa menghadap si Uzair, lelaki sarkastik yang banyak menyumbang pada ketidakstabilan emosi aku.
Tubuh ku juga dah mula terasa sakit-sakit mungkin akibat banyak sangat berjalan dan dua kali jatuh terhentak punggung. Macam nak putus segala urat. Saat-saat macam ni memang khidmat urutan mak sangat aku perlukan. Lagipun seronok juga kalau dapat habiskan cuti hujung minggu di kampung ku yang kaya dengan flora dan fauna yang mendamaikan mata yang memandang.
Dah lama aku bercadang nak balik ke kampung halaman ku di Bentong itu. Tapi kerana kekangan duit, aku pendamkan dulu hasrat hati sehingga gaji masuk di penghujung bulan biarpun Kuala Lumpur dan Bentong bukannya jauh mana pun. Namun perbualan telefon aku dan mak semalam mengubah perancangan aku. Beria-ia mak mendesak aku balik.
 “Budak bertuah! Sejak dah jadi orang KL ni dah tak tahu nak telefon orang kampung Chamang ke? Kamu baca tak mesej mak malam tadi? Mak suruh kamu call mak kan?” Sayup-sayup suara mak di hujung talian telefon menyindir ku. Mak macam biasalah. Belum sempat aku memberi salam, macam bertih jagung mulut mak membebel.
“Orang bukan tak nak call mak tapi mak pun tahu kan telefon orang tak ada kredit.” Ujar ku memberi alasan. Lagipun baru minggu lepas mak menelefon aku. Takkan mak dah rindu-rinduan nak dengar suara merdu anaknya ini.
“Habis tu tak boleh guna public phone?” Tingkah mak bagaikan tidak dapat menerima alasan ku.
Public phone kat bawah tu selalu je rosak mak.” Balas ku dalam keluhan.
Semalam aku dengan bersemangat waja turun ke bawah dari tingkat tujuh dengan menggunakan tangga semata-mata untuk menelefon mak. Sebabnya lif di blok aku rosak. Sampai saja di depan telefon awam tu, rasa nak meraung kat situ juga bila aku angkat gagang yang wayarnya telah terputus dari badan. Vandalisme memang perkara biasa bila tinggal di kawasan rumah pangsa kos rendah ini.
“Kalau public phone rosak tak boleh ke pinjam sekejap telefon kawan?” Soal mak lagi.
“Orang malas lah nak susahkan kawan serumah ni. Orang bukannya baik sangat dengan dia orang. Lagipun tengah-tengah bulan ni, poket masing-masing tengah nipis.” Balas ku.
Tahu sajalah aku pun baru masuk menyewa di situ. Kawan-kawan serumah yang seramai dua orang tu iaitu Noni dan Liana bukannya aku rapat sangat. Nama saja duduk sebumbung. Nak bertemu muka pun jarang-jarang. Maklumlah masing-masing kerja. Keluar awal-awal pagi, balik pula dah malam.
“Itulah, jadi lagi kera sumbang. Lain kali mulut tu rajin-rajinlah nak menegur orang. Tak salah kalau kita buat baik dengan orang. Jangan sombong. Kita hidup ni bermasyarakat. Walaupun kamu tu tinggal di KL tapi mak tak nak kamu ikut budaya hidup orang di KL tu. Jiran sebelah pun tak kenal siapa. Bawak budaya kampung Chamang ke KL. Hidup bermuafakat dan saling tolong-menolong.” Leter mak panjang lebar. Tadah sajalah telinga mendengar bebelan mak.
“Yalah, mak.” Akur ku.
Memang betul pun ujaran mak itu. Cuma diri aku ini sebenarnya yang sukar nak berkawan. Seumur hidup aku di muka bumi milik ALLAH ini, aku tak pernah ada kawan baik. Kawan yang biasa-biasa itu ramailah. Tapi nak punyai seorang kawan baik yang aku boleh kongsi segala-galanya di kala susah dan senang terlalu payah untuk aku lakukan. Mungkin sejarah silam hidup ku yang mendidik diri aku agar tidak mudah meletakkan kepercayaan pada seseorang.
“Hari minggu ni kamu buat apa? Free tak?” Tanya mak mengubah topik.
“Tak buat apa-apa pun. Duduk rumah je lah kot.” Jawab ku.
“Kalau macam tu kamu balik kampung hujung minggu ni.” Arah mak.
“Balik kampung? Err…tak bolehlah mak..” Aku menggaru kepala. Bukannya aku tak nak balik kampung tapi tahu-tahu sajalah keadaan kewangan aku yang sangat-sangat kritikal saat ini.
“Kenapa pula tak boleh?”
“Err…” Aku kematian kata.
“Kamu jangan cakap kamu tak ada duit pula. Duit seribu ringgit yang mak masukkan semalam ke dalam akaun kamu takkan tak cukup?” Pangkas mak. Aku tersentak.
“Duit seribu ringgit tu mak yang masukkan ke?” Aku menyoal dalam kaget.
“Yalah..mak masukkan duit ke dalam akaun kamu dua kali. Malam sebelumnya mak masukkan seratus ringgit. Kemudian keesokan paginya mak ke bank lagi sekali untuk masukkan seribu ringgit pula.” Terang mak satu persatu. Terungkai kini misteri duit seribu ringgit itu.
“Laa..kenapa mak tak cakap awal-awal. Penat orang fikir siapalah yang dah tersalah masuk duit ke akaun orang. Sampaikan orang terpaksa buat laporan ke bank.” Aku tepuk dahi.
“Dah kamu tak tanya.” Balas mak mudah.
“Tapi mak dapat duit kat mana banyak sangat tu?” Pertanyaan ku membuatkan mak terdiam beberapa saat. Musykil juga tangkai hati aku ni bila mak tiba-tiba bermurah hati masukkan duit sebanyak itu ke dalam akaun aku. 
“Errr…errrr..” Nada suara mak berubah gugup sehingga membuatkan aku mula nak fikir yang bukan-bukan.
“Mak berhutang dengan along ke? Mak jangan main-main dengan kongsi gelap ni. Mula-mula dia orang memang nak tolong, lama-lama nanti mak yang melolong.” Tebak ku.
“Astagfirullahalazim…kau ingat aku ini hadap sangat duit along yang bunga berkoyan-koyan tu?” Mak beristighfar panjang.
“Tak baik berhutang ni. Jamin Keling kan pernah kata tabiat paling buruk adalah berhutang.” Sambung mak.  
“Jamin Keling? Keling mana pula yang mak jamin ni?” Soal ku mengerut dahi. Kawan baru mak ke? Maklumlah kerjaya mak sebagai tukang urut membuatkan mak dikenali seluruh kampung.
“Bukan jamin keling lah. Ala..lelaki yang hasil elektrik daripada kilat tu..Berjamin Keling kan? Hari tu Mr. Henry ada cakap..” Penjelasan mak yang jujur dan tulus itu membuatkan aku meledakkan tawa. Usus perut aku ni terasa bagai digeletek kuat.
“Benjamin Franklin lah mak..” Betul ku menahan tawa yang bagaikan tidak mahu berhenti.
“Haa..lelaki tu lah. Seronok kau gelak ya. Elok sangatlah tu anak dara ketawa macam tu.” Tegur mak.
“Mak tu lah buat lawak tengah malam buta ni.” Aku mengesat tubir mata yang mula digenangi air.
“Lidah orang tua keraslah sikit. Bukannya macam rebung yang kita boleh lentur.”
Aku menarik nafas dalam. Kerjung rasa rahang ku dek gelak tak ingat tadi. “Haa..mak tak cakap lagi mana mak dapat duit seribu ringgit tu..”
“Nantilah mak beritahu. Yang penting kamu balik dulu hujung minggu ni. Ada perkara yang mak nak bincang ni.” Bicara mak membuatkan aku semakin dihimpit tanda tanya. Misteri sungguh kata-kata mak.
“Serius je bunyi ni mak. Cakap dalam telefon tak boleh ke?”
“Perkara ni tak sesuai cakap dalam telefon. Boleh ke tak boleh ke..kamu kena balik juga minggu ni.” Tekan mak.
“Ada orang nak masuk meminang orang ke?” Tebak ku tidak berputus asa.
“Apa-apa pun hujung minggu ni. I zip my mouth shut.” Balas mak berteka teki. Itu mesti ayat Inggeris yang mak baru belajar dari Mr. Henry.
Kata-kata mak makin membuatkan hatiku gelisah tak menentu. Takkan mak juga spesies orang tua yang suka mengahwin-paksa anak dengan pilihan mereka?
“Hoi cik kak!”
“Oii mak ada orang nak pinang aku!” Segulung fail yang dihempaskan Suraya di atas meja membuatkan aku melatah. Habis bertebaran pergi ingatan aku pada perbualan aku dengan mak semalam.
“Oooo..patutlah jauh benar mengelamun. Rupanya kau dah nak kahwin ya.” Nada suara Suraya yang sedikit kuat berjaya membuatkan beberapa pasang mata memandang ku.
“Kau ni Su, buat aku terkejut je. Lain kali letaklah fail tu pelan-pelan atas meja aku ni.” Aku mengurut dada. Kurus semangat!
Sorry lah. Dari tadi aku tengok kau duk termenung panjang. Berbuih mulut aku ni panggil kau, haram tak dengar. Ini haa..Encik Ikram minta kau rekodkan semua maklumat resit ni dalam komputer.” Beritahu Suraya. Dia mengunjukkan fail putih setebal tiga inci itu kepada ku.
“Okay..beres.” Aku mengangguk sambil menyambut fail tersebut. Arahan yang diberi ku terima dengan berbesar hati. Dah memang tugas aku pun kan. Dan gaji aku dibayar untuk setiap keringat yang aku curahkan dalam syarikat ini. Laksanakan kerja dengan ikhlas, barulah rezeki yang dapat itu berkat.
“Eh..betul ke ada orang nak masuk meminang kau? Siapa?” Soal Suraya. Punggungnya sudah bertenggek di birai meja ku.
“Tak adalah.” Nafi ku acuh tak acuh. Tangan ku mula membelek fail yang diberi. Mata aku tertumpu pada kepingan resit yang dikepilkan dalam fail itu.
“Sajalah tu kan kau nak sorok. Habis tu yang kau melatah tadi tu apa?” Suraya tidak berpuas hati dengan penafian ku.
Aku mengerling Suraya sekilas. Gadis terlebih ramah ni memang kepochi sungguh. Kalau betul pun ada orang datang nak meminang aku takkan aku nak pergi canang dekat dia pula. Agaknya mahu kecoh seantero Gemilang Holdings nanti. Wah..kau bajet kau glamor ke ‘Ain?
“Nama pun melatah, Suraya ooi.” Balas ku.
Tangan ku memegang tetikus untuk menggerakkan cursor pada skrin komputer. Sistem Pengurusan Gudang yang digunakan untuk merekodkan aliran data keluar masuk dalam gudang dibuka. Aku tidak boleh melengahkan masa. Kerja yang diberi perlu aku siapkan segera.
“Tapi kebiasaannya orang yang melatah ni akan cakap secara spontan apa yang ada dalam fikiran dia masa tu. Cakaplah..kau dah nak kahwin kan? Wah..tiba-tiba aku terbau nasi minyaklah..” Suraya menebak sendiri dengan teruja.
Tanpa mempedulikan telahan Suraya, tangan ku ligat menekan papan kekunci untuk memasukkan satu persatu data yang tertera pada resit ke dalam sistem.
“Siapa yang nak kahwin ni?” Tegur Ikram yang muncul secara tiba-tiba.
Aku memanggungkan kepala. Suraya yang tadi begitu selesa bertenggek di atas meja pantas bangkit berdiri.  
You ke yang nak kahwin, Suraya?” Soal Ikram lagi menghampiri meja ku. Tangan kanannya memegang sebiji mug. 
“Bukan saya.” Suraya geleng kepala laju-laju. Agaknya takut saham dia jatuh di mata Ikram. Bukan aku tak perasan yang Suraya seperti ada menyimpan perasaan terhadap Ikram.
“Habis tu siapa yang nak kahwin ni? Takkan ‘Ain kot?”
Kali ini laju Suraya mengangguk mengiakan pertanyaan Ikram. Jarinya tepat memanah ke arah ku. Amboi..ini sudah terlebih sudu dari kuah nampaknya.
“Sungguh ke ‘Ain nak kahwin? Dengan siapa? Orang mana? Bila?” Tanya Ikram bertalu-talu. Dia memandang ku dengan mata yang membulat. Terkejut sungguh nampaknya. Dah rupa macam terkena renjatan elektrik pun ada. Sungguh Ikram tampak tak tampan langsung bila dia jegilkan bebola matanya begitu. 
“Tak adalah, Encik Ikram. Suraya bergurau je tu.” Jawab ku menidakkan.
“Sungguh ke ni tak ada?”
“Betul, tak ada. Orang macam saya ni siapalah yang nak.” Aku gelengkan kepala.
“Syukurlah..” Ikram mengeluh lega. Dia berpaling pada Suraya kemudiannya.
“Suraya dear, you tolong buatkan I milo. I kalau tak minum milo you setiap pagi rasa macam hari I tak lengkap..” Pinta Ikram bermulut manis. Senyuman manis dilemparkan buat Suraya. Dia menghulurkan mug di tangannya. Seminggu bekerja di situ aku dah hampir imun dengan ayat-ayat manis Ikram yang macam gula-gula tu.
“Encik Ikram ni ada-ada je.” Bicara Suraya malu-malu. Dengan senyum lebar yang bagaikan nak mencecah paras cuping telinga, Suraya melenggok ke ruang pantry. Menunaikan permintaan pujaan hati.
Ikram berpaling padaku. Senyuman di bibirnya hilang.
“Ingat ‘Ain, kalau ada rombongan nak meminang, ‘Ain kena beritahu I segera tau.” Pesan Ikram beria-ia.
Aku mengerutkan dahi. Sebenarnya aku kurang faham dengan kata-kata Ikram ni tapi aku buat-buat faham jelah. Menganggap apa yang diungkapkan Ikram sekadar gurauan antara bos dan pekerja bawahan.
“Mana boleh Encik Ikram. Kalau setakat urusan meminang tu takkanlah saya nak khabarkan pada semua orang. Kan kalau bertunang tak baik dihebahkan. Tapi, kalau majlis perkahwinan saya, insya-Allah saya pasti akan beritahu Encik Ikram dengan kad wangi.” Balas ku tersengih membalas gurauan Ikram. Dalam kepala otak ini mula terbayang-bayangkan Mr. Right yang bakal menjadi pelengkap hidup ku. Siapalah agaknya ya?
“Mana boleh. Sebelum ada orang masuk meminang lagi ‘Ain kena beritahu I dulu. Senang I nak ambil tindakan nanti.” Suara Ikram serius. Entah kenapa tiba-tiba aku tak rasa Ikram sedang bergurau.
“Kenapa pula?”
“Senanglah I bawa ‘Ain lari nanti.” Ujar Ikram seraya mengenyitkan matanya. Dia berpaling untuk menapak masuk ke dalam bilik pejabatnya. Sempat telinga aku menangkap tawa halus yang tersisa di hujung kata-katanya.

@@@@@

Tepat pukul 4.55, aku mematikan komputer. Meja ku sudah dikemas rapi setelah kerja pejabat yang perlu aku siapkan hari ini berjaya aku bereskan awal-awal lagi. Sampai sanggup aku tak keluar makan tengah hari semata-mata untuk menyudahkan kerja. Muncung juga Suraya tadi bila aku menolak ajakan dia untuk makan tengah hari di KLCC.
Lima minit yang berbaki aku tunggu dengan sabar. Bersiap sedia untuk punch out sebaik jarum pendek menghala ke angka lima. Bukannya apa. Aku kena bergegas ke terminal bas Puduraya untuk mengejar bas terakhir ke Bentong yang kebiasaannya bertolak pukul 6.30 petang. Kalau sempat naik bas itu, menjelang 8.00 malam mesti aku dah tercongok depan pintu rumah mak.
 Beg merah berisi beberapa helai pakaian yang ku letakkan di bawah meja ku angkat ke atas riba. Sengaja aku bawa bersama beg pakaian itu ke tempat kerja supaya tak perlulah aku patah balik ke rumah sebelum ke terminal bas Puduraya. Dari sini nak ke terminal bas kalau dengan menaiki teksi tidaklah jauh mana. Tapi mengenangkan kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dielakkan di bandar raya Kuala Lumpur ini, kadang tempat yang dekat pun ambil masa berjam-jam untuk sampai. Harap-harap sempatlah aku sampai tepat pada waktu.
“Suraya, Please get Rizal for me now! I need him to fix my computer. Something wrong with it..” Suara Ikram yang kedengaran cemas membuatkan aku sedikit tersentak. Dia terpacul di depan muka pintu biliknya dengan wajah yang resah semacam.
“Rizal cuti hari ni, Encik Ikram. Mak dia sedang sakit tenat.” Beritahu Suraya.
“Asri? Or any available technicians, get me one. Quick!” Arah Ikram.
Suraya segera mencapai gagang telefon. Beberapa ketika dia bercakap di talian sebelum kembali berpaling ke arah Ikram yang sedia menanti di depannya.
“Semua tak ada, Encik Ikram. Beberapa orang technician sedang berkursus dan Asri  standby di Lembah Kelang untuk event Kryptonite.”
Ikram mendengus berat. “Takkan tak ada seorang pun technician yang standby di pejabat?”
“Sepatutnya Rizal dan Zaidil. Kebetulan pula Zaidil isterinya bersalin pagi tadi dan Rizal terpaksa ambil cuti kecemasan untuk balik ke kampung.” Terang Suraya lagi.
“Banyak file penting berkenaan tender Alpha Beta yang I dah siapkan dalam komputer I tiba-tiba corrupt. Semua file tak boleh buka. Sudahlah besok dateline tender tu.” Keluh Ikram. Dia memicit dahinya. Kali pertama aku melihat lelaki yang selalunya tersenyum manis itu gusar begitu.
“Encik Ikram tak buat backup ke?”
I’m afraid not. I tak sempat nak buat backup.”
Kedudukan meja ku yang betul-betul berhadapan dengan meja Suraya membolehkan aku mencuri dengar perbualan Ikram dan Suraya. Timbul rasa simpati di hati aku. Aku memerhatikan jam di tangan yang sudah melepasi jam lima petang. Nak balik ke atau nak bantu Ikram? Aku berbelah bagi.
“Err..Encik Ikram. Maaf kalau saya menyibuk.” Aku menyampuk lalu bangkit menghampiri meja Suraya. Beg pakaian ku letakkan kembali di atas lantai.
“Kalau Encik Ikram nak, saya boleh tengokkan komputer encik.” Tawar ku.
Biarpun sekarang sudah melebihi pukul lima petang dan kalau ikut peraturan waktu kerja aku sudah tamat tapi serba salah pula aku nak melangkah keluar sedangkan bos aku ada masalah besar. Sebagai pekerja yang berdedikasi aku tak sampai hati nak mementingkan diri sendiri.
Ikram memandang aku tidak percaya. Suraya juga begitu. Haruslah mereka pelik bila penyimpan stor menawarkan diri untuk melakukan kerja yang berkaitan dengan komputer. Ikram lupa agaknya aku mempunyai kelulusan dalam bidang IT, jadi sedikit sebanyak masalah yang berkaitan dengan komputer ini aku boleh selesaikan dengan ilmu yang aku pelajari sebelum ini. Lalu aku tersenyum nipis pada mereka berdua.
“Saya pernah belajar macam mana nak fix file yang corrupt. Encik Ikram boleh guna tool untuk error-checking.” Terang ku.
“Err..okay, awak masuk bilik saya.” Ikram mengangguk biarpun wajahnya masih ragu-ragu.
Aku mengikut Ikram masuk ke dalam biliknya. Segala ilmu yang aku pernah belajar dulu aku gunakan. Beberapa minit kemudian, kesemua fail yang dikatakan rosak tadi telah berjaya dipulihkan.
“Rasanya tak ada masalah dah ni. Semua file Encik Ikram yang corrupt tadi dah boleh buka ni.” Beritahu ku.
“Macam mana ‘Ain selesaikan?” Soal Ikram yang sedang berdiri di sebelah ku. Tubuhnya merapati aku yang sedang melabuhkan duduk di atas kerusi empuk miliknya. Dapat juga aku merasa duduk di atas kerusi orang-orang besar ni.
“Mudah saja, Encik Ikram. Lain kali kalau ada file encik yang rosak, encik klik Start dan kemudian klik Computer. Pada skrin ni encik cari driver mana yang encik simpan file encik tadi. Kemudian klik kanan pada mouse dan klik properties. Pilih tools pada skrin ni, klik Check Now dan hit semua check box ni. Tekan ok, kemudian restart computer. Beres.” Aku menerangkan satu persatu.
“’Ain..you really impressed me.” Ikram memandang ku kagum macam aku dah selesaikan masalah dunia.
“Tak ada apalah, Encik Ikram. Benda kecil je ni pun.” Balas ku tersipu-sipu. Dalam hati kembang semangkuk dah ni. Mana tak bangga kalau bos sendiri yang puji. Ada rezeki cepat lah dapat naik pangkat! Ahaks… Ikhlas ke tak kau menolong ni, ‘Ain? Kalau ikhlas jangan harapkan balasan. Suara hati aku mengingatkan.
“Astagfirullahalazim..” Tanpa sedar aku beristighfar kuat.
“Kenapa tiba-tiba beristighfar ni, ‘Ain?” Soal Ikram pelik.
 “Err..tak..tak ada apa-apa.” Laju aku menggelengkan kepala. Wajah ku berona merah.
“Thank you so much, ‘Ain. You have saved my life!” Ucap Ikram teruja. Spontan dia memegang tangan kanan ku dan diusapnya perlahan. Aku tersentak dengan perbuatan Ikram. Namun, belum sempat aku menarik tangan ku dari genggamannya, tiba-tiba pintu bilik Ikram terkuak dari luar.
Mata ku bulat melihat Uzair yang sedang memandang tajam pada aku dan Ikram. Segera aku menarik tangan ku. Sungguh aku tidak berniat untuk benarkan Ikram menyentuh tangan ku lama. Cuma aku tergamam tak tahu nak buat apa. Janganlah Uzair fikir yang bukan-bukan. Erk! Sejak bila aku kisah dengan apa yang Uzair fikir? Yang si Uzair ni pun satu hal. Setiap kali masuk bilik Ikram aci main redah je. Bukannya reti nak ketuk pintu dulu.
“Err..kalau tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu.” Aku bingkas bangun dari duduk. Jam di pergelangan tangan ku kerling sekilas. Sudah hampir 5.30 petang! Aku kena berkejar dengan pantas ke terminal bas ni.
“Nantilah dulu, ‘Ain. You have done a big favor. Apa kata I belanja ‘Ain makan?” Pelawa Ikram menghalang langkah ku.
“Err..tak apalah Encik Ikram. Lagipun saya sebenarnya kejar masa ni. Saya nak balik kampung petang ni.” Aku menolak dengan cara baik.
“Balik kampung? Kalau macam tu I hantar you balik.”
“Eh..tak payah..tak payah Encik Ikram. Lagipun menyusahkan encik je.” Aku menggawangkan tangan. Seram sejuk kalau aku berdua dengan Ikram dalam kereta. Spesies tangan yang suka merayap ni memang tak boleh dipercayai sangat. Silap-silap bukan ke kampung yang dia hantar aku tapi ke hotel. Isk! Nauzubillahiminzalik..  
“Tak apa.. I tak kisah. Boleh juga I kenal kampung halaman ‘Ain.”
“Tadi kan Encik Ikram kata nak siapkan tender Alpha Beta. Esok dateline dia kan? Nanti kan terganggu pula kerja encik.” Ujar ku mengingatkan.
“Kan ‘Ain dah tolong I recover file yang corrupt tadi. Basically kerja I dah siap pun. Cuma nak kena finalize sikit je lagi. Lepas hantar ‘Ain I boleh siapkan. Lagipun Bentong dengan KL bukannya jauh sangat.” Ikram masih juga mendesak.
Aku menggaru kepala ku. Alasan apa lagi yang boleh aku gunakan untuk menolak ajakan Ikram ini. Aku mengerling Uzair yang sedang membatu di depan pintu.
“Err..sebenarnya Encik Uzair dah janji nak hantar saya. Betulkan Encik Uzair?” Lancar mulut aku memberi dalih dengan menggunakan nama Uzair. Aku pandang wajah Uzair yang tampak sedikit terkejut dengan kata-kata aku.
“Betul ke, Uzair? You nak hantar ‘Ain?”
“Emm..” Lambat-lambat Uzair mengangguk.
“Cepatlah. Dah pukul berapa ni. Tadi awak janji dengan saya pukul lima kan?” Tingkah Uzair dengan suara yang tegas. Tak sangka si Uzair ni sanggup membantu aku.
“Saya balik dulu, Encik Ikram.” Ucap ku mempermisikan diri. Aku berpaling untuk menapak keluar dari bilik.
Ikram tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalanya. Dia berkalih pada Uzair.
“Uzair, you jaga ‘Ain elok-elok. Bawa ‘Ain terus balik ke kampung, jangan nak melencong ke tempat lain pula. Tangan tu pegang stereng baik-baik. Jangan merayap ke lain pula.” Sempat aku menangkap pesanan Ikram pada Uzair.
Uzair mencebik. Kalau aku jadi Uzair pun aku akan buat benda yang sama. Ikram ni menasihatkan orang memang pandai tapi bukan ke setiap apa yang dia pesan tu sebenarnya dia yang terlebih dulu buat?

p/s Semoga terhibur. Macam biasa.. ur comment is my vitamin! Drop one jika sudi. Thanks

19 comments:

  1. Jamin keling???? hahahahahahah lawak2 kak rid... best n3 kali nie kak.... uzair + ain +sweet jerrr... >___<

    ~amyzainudin~

    ReplyDelete
  2. best cik writer...

    ReplyDelete
  3. La kata pjg...tp tgh best baru nak jumpa uzair dah sambung pulak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Uiks.. ni entry paling panjang dh ni dari entry2 yg lain. berbelas pages kot dlm word..hehehe.. next part ade uzair

      Delete
  4. eh dr pudu ada bas nak g bentong ke? coz dulu2 nak g bentong naik dari pekeliling... he3 best n3 nih

    Hairiah

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye ke? hahahaha.. main hentam je tu..hahaha..nnt akan dibaiki. Thanks untuk input yg sangat berguna ni. <3

      Delete
  5. ehem... ridhya iman... :) sambung lagi aci tak .... bab ada uzair ngan ain mesti best kan hehehe .. ikram yg gatal terlebih... mesti kes duduk tertungging dulu masa temuduga jadi simpanan kenangan pada yg tertengok pada cctv :)

    ReplyDelete
  6. x blh blah la si ikram ni..gatai semacam..
    sib baik uzair muncul..
    suke la ain & uzair..

    ReplyDelete
  7. Tertunggu N3 br utk citer ni...best sgt!

    ReplyDelete
  8. Misteri ni... uzair atau ikram yg ada hati dgn ain.... cik writer, next update pls. Tapi crita ni mmg best.

    ReplyDelete
  9. uzair n ikram..sungguh lebih suka uzair dgn ain dr ikram.gatal je ikram tu..huhhhh

    ReplyDelete
  10. sambung.....

    ReplyDelete
  11. laaa... mak ain yg masukkan duit rm1 k tu... gatai sungguh la ikram nih... tangan nak merayap jer keje... mmg dua2 ni syok kat ain nie... ;) best... tq RI

    ReplyDelete
  12. writer....xsabar nk tunggu novel nie keluar =D

    ReplyDelete
  13. ikram dgn uzair ni mcm nak bersaing je...

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..