‘Aisy membaringkan tubuhnya di atas sofa panjang yang terletak di
sudut ruang tamu rumah sewanya. Melepaskan lelah setelah hampir separuh hari
dia mengerah keringat mengemas barang-barang yang telah dibawa pulang dari
London melalui kapal laut. Hari minggu beginilah satu-satunya peluang yang dia
ada untuk menyelesaikan kerja rumah yang sering kali tertangguh dek kesibukan
kerja.
Sudah hampir sebulan ‘Aisy kembali bertugas di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Sejak itu, dia kembali mula merasai kesibukan tugas
sebagai seorang pensyarah. Beban tugas mengajar dan membimbing pelajar sering
kali membuatkan dia tidak menang tangan.
“Assalamualaikum…” Suara perempuan lembut menyapa gegendang
telinga ‘Aisy. Seketika kemudian, pintu gril dibuka dari luar. Terpacul seorang
gadis manis bertudung labuh sedang melemparkan senyuman mesra ke arahnya.
“Waalaikumussalam. Baru habis kelas ke, Feeza?” Soal ‘Aisy
berbasa-basi sambil turut mengukirkan senyuman nipis.
Hafeeza Maisara merupakan teman serumahnya yang baru. Sebelum dia
masuk menyewa di situ, rumah itu didiami Hafeeza dan Sakeena. Kebetulan, rumah
teres dua tingkat itu masih mempunyai dua bilik kosong, jadi Sakeena
menawarkannya untuk tinggal bersama.
“Ha’ah. Hari ini marathon tiga jam kuliah.” Hafeeza melabuhkan
duduk di atas sofa.
“Awak tak keluar jalan-jalan ke hujung-hujung minggu ni?” Soal
Hafeeza lembut menyambung bicara. Biarpun kelihatan sedikit penat, namun
bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Tenang sekali. Sesuai dengan jawatannya
sebagai pensyarah agama di Fakulti Pengajian Islam.
“Tak. Saya duk mengemas barang-barang yang baru sampai dari UK
tu.” Beritahu ‘Aisy.
“Minta maaf ye, saya tak sempat nak tolong ‘Aisy kemas barang.”
Ucap Hafeeza serba salah.
“Tak ada apalah. Saya faham awak ada kerja.” Balas ‘Aisy sambil
menggelengkan kepalanya tanda tidak kisah. Pagi tadi, Hafeeza ada
memberitahunya yang dia mengadakan kelas ganti untuk para pelajarnya. Begitulah
tugas sebagai seorang pensyarah, kadang-kadang hari minggu terpaksa dikorbankan
demi untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Tambahan pula, musim peperiksaan
akhir sudah hampir tiba.
“Lagipun, tak adalah banyak sangat yang nak kena kemas. Saya cuma
keluarkan barang yang nak digunakan dulu. Yang lain, saya biarkan saja dalam
kotak, letak dalam stor.” Sambung ‘Aisy tidak mahu Hafeeza terus dihambat rasa
bersalah.
Dalam diam ‘Aisy mengagumi keperibadian Hafeeza yang cukup tinggi
dengan budi bahasa. Seandainya dia memiliki abang, ingin sekali dia menyunting
gadis itu menjadi kakak iparnya. Emaknya di kampung pasti bangga dapat
bermenantukan gadis yang tinggi ilmu agama ini.
“Sakeena mana?” Hafeeza bertanya sebaik menyedari kelibat temannya
tiada di rumah. Jika tidak pasti riuh rumah itu dengan mulut murai Sakeena.
“Hari-hari minggu ni mana lagi kalau tak keluar dating dengan tunang dia.” Beritahu ‘Aisy.
Dalam diam dia tumpang gembira melihat kebahagiaan yang sedang dikecapi
Sakeena.
“Emm..mesti banyak persiapan yang nak dibuat tu. Tak lama lagi
merasalah kita makan nasi minyak Sakeena tu ye.” Ujar Hafeeza dengan bibir yang
tidak lekang dengan senyuman. Hai.. gadis ini murah betul dengan senyum.
“Turn Feeza
bila pula?” Giat ‘Aisy lebih berniat untuk mengusik.
“Saya ini manalah ada calon, ‘Aisy” Tutur Hafeeza merendah diri.
“Gadis cantik macam Feeza ni takkan tak ada calon. Tak percayalah
saya.”
“Betul.” Balas Hafeeza cuba meyakinkan.
“Atau Feeza ini memilih sangat kot. Entah-entah berderet
ustaz-ustaz kat luar sana yang tengah makan hati berulam jantung tak?” Usikan
‘Aisy mengundang tawa kecil Hafeeza.
“Belum sampai jodoh lagi agaknya.” Getus gadis itu tersipu malu.
“’Aisy pula macam mana? Hari ini tak keluar dengan buah hati ke?”
Serkap Hafeeza membalas usikan ‘Aisy.
“Buah hati?”
Entah kenapa wajah Harris terbayang di ruang matanya. Sudah hampir
sebulan dia tidak berhubung dengan lelaki itu. Sebaik mereka kembali ke Kuala
Lumpur, sengaja dia mengelak daripada menghubungi Harris. Pesanan Harris untuk
mendapatkan nombor telefon bimbitnya sebaik dia mendaftarkan talian telefon
tidak diendahkan. Biarpun kadang-kadang ada rasa rindu yang menggebu di hati.
Ya…dia sedar sejak kejadian di Subuh hari itu, hatinya kembali menyulam rindu
buat lelaki itu.
“Assalamualaikum..” Lamunan pendek ‘Aisy terpangkas sebaik satu
suara garau memberi salam di luar rumah. Suara itu memang cukup dikenalinya.
Hafeeza menjawab salam dan menjengah untuk melihat tetamu yang
datang.
“Ya, cari siapa?” Soal Hafeeza. Kelibat lelaki tampan yang
berpakaian kemas di hadapannya dipandang sekilas.
“Maaf mengganggu. Saya Umayr Harris, suami ‘Aisy. Isteri saya
ada?” Tanpa berlengah Harris memperkenalkan diri dan berterus-terang tentang
tujuan kedatangannya.
Hafeeza sedikit tersentak. Tidak menyangka wanita yang telah
hampir sebulan menjadi teman serumahnya itu sudah mendirikan rumah tangga.
Pelik apabila ‘Aisy tidak pernah menceritakan status dirinya yang sebenar.
Sakeena juga tidak pernah membuka mulut memaklumkan padanya. Tetapi silapnya
juga kerana dia sendiri tidak pernah bertanya.
“Oh..aa..ada..ada.. Sekejap ye.” Tersekat-sekat Hafeeza menjawab
pertanyaan Harris. Mujurlah dia cepat tersedar dari terus dihambat rasa
terkejut. Sopan dia meminta Harris untuk menunggu. Lelaki itu hanya mengangguk
sambil tersenyum nipis.
“Aisy, suami awak datang. Err..nak saya ajak dia masuk ke?” Tanya
Hafeeza teragak-agak apabila dia melihat wajah ‘Aisy telah berubah riak.
“Err…tak payah. Sekejap lagi saya keluar jumpa dia.” Laju ‘Aisy
menggelengkan kepalanya.
“Thanks, Feeza.” Ucap ‘Aisy berbahasa sebelum
mengorak langkah ke tingkat atas untuk mendapatkan kain tudung. Timbul tanda
tanya di benaknya bagaimana Harris tahu tempat tinggalnya.
Hafeeza hanya menganggukkan perlahan sebelum menghilangkan diri ke
dalam bilik tidurnya. Sengaja memberikan privasi kepada ‘Aisy dan Harris.
***
“Macam mana awak tahu saya tinggal kat sini?” Serang ‘Aisy
sebaik dia menghampiri tubuh Harris yang sedang membelakangkannya. Baru
sahaja fikirannya terlintas tentang lelaki itu. Terus Harris muncul di rumah
sewanya.
Harris memalingkan tubuh menentangi ‘Aisy. Dia tidak terus
menjawab. Sebaliknya hanya anak matanya sahaja yang merenung tajam ke arah
‘Aisy. Lama mereka dalam keadaan begitu sehingga membuatkan ‘Aisy merengus
geram.
“Ada hal apa awak datang ke sini?” ‘Aisy bertanya lagi dengan
mengeraskan sedikit suaranya setelah soalan pertamanya hanya berlalu sepi tanpa
jawapan.
Harris mengeluh lemah.
“Abang ada hal nak bincang dengan sayang. Tapi bukan dekat sini.
Kita keluar.” Cadang Harris perlahan.
“Kita bincang kat sini saja. Saya malas nak keluar petang-petang
macam ni.” Tolak ‘Aisy dengan alasan mudah. Dia tidak mahu wujud sebarang ruang
yang bisa mencambahkan kemesraan antaranya dan Harris.
“No! Abang nak sayang ikut abang.” Tekan Harris sedikit
keras namun masih mengawal volum suaranya.
“Awak tak boleh paksa saya, Harris.” Balas ‘Aisy turut bertegas.
Bengang dengan sikap Harris yang agak mendesak. Entah mana pergi janji yang
telah dilafazkan lelaki itu tempoh hari. Beria-ia nak berikan dia masa
kononnya.
“I’m your husband, sayang.
Perintah seorang suami selagi tak melanggar hukum agama wajib ditaati isteri
kan? Takkan sayang nak kutip dosa free..”
Sela Harris sarkastik.
‘Aisy terkedu. Sedar yang dia tidak akan menang dengan
Harris.
“Errr..saya penatlah, Harris.” Bantah ‘Aisy lemah.
“Jangan sampai abang dukung sayang ke kereta. Sayang nak semua
jiran-jiran dekat sini tengok free
show, emm?” Ugut Harris apabila melihat ‘Aisy seolah-olah bermain tarik
tali dengannya.
‘Aisy menelan liur. Melihat raut wajah Harris yang serius, dia
pasti Harris bakal memaknakan kata-katanya andai dia terus berdegil. Bijak
Harris memerangkapnya. Nampaknya dia tiada pilihan lain.
“Kejap saya bersiap.” Keluh ‘Aisy beralah dalam paksa. Wajah yang
kelat dipamerkan tanda protes terang-terangan.
“Tak payah.” Tegah Harris pendek mematikan langkah ‘Aisy yang mahu
bergerak ke dalam rumah.
“Habis tu takkan saya nak keluar dengan t-shirt lengan pendek dan
seluar slack ni je? Awak nak tanggung dosa saya ke?” Gumam ‘Aisy sinis.
“Okay, you have
three minutes.” Gesa Harris sambil mengangkat tegak tiga batang jarinya.
Sikap diktator Harris membuatkan ‘Aisy mengeluh. “Tapi…”
“Three minutes atau
’Aisy nak abang dukung?” Pangkas Harris seraya bergerak ke arah ‘Aisy. Pinggang
isterinya dipeluk.
“Yalah, yalah..” ‘Aisy mendengus geram. Sekali lagi dia terpaksa
akur dengan arahan Harris. Dia menapak masuk ke dalam rumah.
“Tiga minit? Dia ingat aku ini skuad tentera ke apa? Bagi arahan
dah serupa ketua batalion negara.” Mulutnya mengomel sambil mendaki anak tangga
satu persatu menuju ke kamar tidur.
‘Aisy bersiap seringkas mungkin. Apa yang penting, auratnya
ditutup selengkapnya seperti yang disyariatkan. Sebelum keluar, dia sempat
menitipkan pesan pada Hafeeza. Bimbang jika kehilangannya mengundang kerisauan
teman-teman serumah.
“Dah lima minit, sayang. You
are late.” Ujar Harris seraya menunjuk ke arah jam di pergelangan
tangannya.
‘Aisy mengerling tajam ke arah Harris. Geram dengan teguran lelaki
itu. Sudahlah rasa geramnya terhadap arahan-paksa-rela Harris masih belum
hilang. Sengaja dia lambat-lambat mengunci pintu dan gril rumah. Dengan langkah
malas, dia menuju ke arah kereta Audi S8 milik Harris.
“Cepat masuk.” Gesa Harris separuh sabar. Pintu kereta pada
bahagian penumpang dibuka luas.
‘Aisy melangkah masuk ke dalam kereta dengan perasaan yang
dongkol. Dengan kasar, dia melilitkan tali pinggang keselamatan ke tubuhnya.
Kalaulah dapat diukur kesabarannya, mungkin sudah senipis kulit bawang.
Cup!
‘Aisy tergamam apabila tidak semena-mena Harris menghadiahkan
ciuman di pipi kirinya. Bulat matanya memandang Harris. Tanpa sedar tangannya
melekap pada bahagian pipi yang baru disentuh bibir sensual Harris
“Itu sebagai denda sebab sayang lambat dua minit tadi.” Beritahu
Harris selamba sebelum menutup pintu kereta.
‘Aisy merengus geram. Dia tahu Harris sengaja mengambil kesempatan
ke atas dirinya. Inilah yang dikatakan mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Suasana sepi menemani perjalanan mereka. Masing-masing memilih
untuk tidak bersuara dan tenggelam dalam fikiran masing-masing. Radio yang
tidak terpasang makin membuatkan keadaan sunyi.
‘Aisy melabuhkan pandangannya ke luar tingkap kereta sambil
melayan perasaan yang sedang terbuku. Geram dengan kuasa veto yang digunakan
Harris. Dia tidak suka dipaksa melakukan sesuatu di luar kehendaknya. Namun
kerana masih tersisa rasa hormat terhadap ikatan yang masih mengikatnya dan
Harris, dia terpaksa menurut. Apatah lagi dengan ugutan gila suaminya itu
membuatkan dia langsung tidak mempunyai pilihan.
Harris hanya membatu sambil menekan pedal minyak kereta. Matanya
tunak memerhati jalan raya. Rasa sebal sarat bersarang di hati. Dia terkilan
dengan tindakan ‘Aisy yang tiada langsung inisiatif untuk menghubunginya.
Sebulan dia tidak tentu arah menunggu panggilan telefon daripada ‘Aisy. Setiap
kali nombor asing yang muncul di skrin telefon bimbitnya, hatinya berbunga
mengharapkan panggilan itu adalah daripada isterinya. Namun setiap kali itulah,
dia hampa. Dia ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Akhirnya, dia
bertekad untuk menjejaki ‘Aisy di tempat kerja namun apa yang disajikan
menjentik rasa cemburu di hati. Bertambah sakit hatinya apabila terpandangkan
‘Aisy yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki petang semalam.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Pertanyaan ‘Aisy memecah
kesunyian tatkala Harris membelokkan keretanya masuk ke kawasan perumahan mewah
di Lake Villas Bangi.
“Rumah kita.” Jawapan Harris membuatkan ‘Aisy memandangnya dengan
mata yang membulat.
“Rru..rumah?” Suaranya bernada resah.
“Yup, rumah baru kita.”
“Nak buat apa pergi rumah awak?”
Saat pertanyaan itu keluar dari bibir merah ‘Aisy, kereta yang
dipandu Harris memasuki perkarangan rumah banglo mewah dua setengah tingkat.
Kereta diparkir di bawah garaj yang dibina secara berasingan pada bahagian
kanan rumah. Enjin keretanya dimatikan.
“Kita dah sampai. Jom masuk.”
Harris mengajak selamba tanpa mempedulikan pertanyaan ‘Aisy. Dia
mengerling sekilas ke arah isterinya yang masih kaku tanpa sebarang tanda untuk
keluar dari kereta.
“Saya tak nak.” Tolak ‘Aisy. Sungguh dia tidak sanggup berdua-duaan
di dalam rumah itu bersama Harris. Pelbagai kemungkinan boleh terjadi apatah
lagi dirinya sememangnya halal buat Harris. Biarpun Harris pernah melafazkan
janji tidak mahu memaksanya tetapi bolehkah dia mempercayai janji seorang
lelaki?
“Jangan degil. We
need privacy and this is the best place to talk.” Pujuk Harris
berdiplomasi.
“No! Kita
bincang dalam kereta saja.” ‘Aisy berkeras.
Harris mengeluh berat. Dia melurut rambutnya ke belakang.
Kedegilan ‘Aisy mencabar kesabarannya.
“Baik. Abang tak kisah kalau terpaksa dukung sayang.”
‘Aisy mencebikkan bibir. Kali ini dia tidak peduli dengan ugutan
Harris. Dia tidak akan mengalah lagi. Paksaan demi paksaan oleh Harris membuat
hatinya bertambah jengkel.
“Bincang di sini atau hantar saya balik.” Tegas ‘Aisy memberikan
Harris dua pilihan.
“Sayang jangan menyesal.”
Sabar Harris semakin menipis. Dia keluar dari perut kereta dan
bergerak ke bahagian tempat duduk penumpang. Pintu kereta dibuka dengan kasar.
Tubuhnya dirapatkan mendekati ‘Aisy untuk membuka tali pinggang keledar yang
dipakai ‘Aisy.
Pantas tangan ‘Aisy memegang kuat dan mengemaskan tali pinggang
keledar yang melilit tubuhnya untuk menghalang tindakan Harris.
Tindakan melawan ‘Aisy membuatkan Harris semakin hilang sabar.
Kedua-dua belah tangannya menyentuh pipi gebu ‘Aisy dan tidak semena-mena dia
memagut kemas bibir isterinya.
‘Aisy membulatkan mata dan spontan tangannya menolak dada Harris.
Serentak itu Harris berjaya meloloskan ‘Aisy daripada lilitan tali pinggang
keledar. Tubuh ‘Aisy dicempung dengan mudah.
“Harris! Lepaskan saya! Lepaskan!” Rontaan ‘Aisy langsung tidak
berjaya menghalang tindakan Harris. Apalah sagat kudrat seorang wanita lemah
sepertinya.
Harris hanya membiarkan tumbukan yang bertubi-tubi singgah
di dada bidangnya. Langkah diatur mendaki satu-persatu anak tangga untuk menuju
ke kamar tidurnya. Dengan mudah dia menghempaskan tubuh ‘Aisy ke atas tilam
empuk.
“Susah sangat ke sayang nak dengar cakap abang walaupun sekali?”
Soal Harris keras. Tubuh ‘Aisy dihempas ke atas tilam. Matanya mencerlung tajam
isterinya. Dadanya turun naik menahan marah.
‘Aisy membetulkan duduk. Dengan berani dia membalas pandangan
Harris. “Apa yang awak nak sebenarnya?”
Harris tidak menjawab pertanyaan ‘Aisy. Sebaliknya dia membawa
tubuhnya menghadap tingkap yang terbuka luas. Nafasnya ditarik dalam dan dihela
perlahan. Dia perlu menenangkan diri. Bimbang dia akan hilang kawalan andai
rasa amarah dibiarkan terus menguasai diri.
“Kenapa awak bawa saya ke sini? Apa tujuan awak sebenarnya?” ‘Aisy
mengeraskan suara mengulangi pertanyaannya. Biarpun ada getar di hujung
kata-katanya. Dalam berani masih terselit rasa takut.
Harris memusingkan tubuhnya. Dia bersandar pada tingkap sambil
memeluk tubuh. Tiada kata yang terlafaz bagi menjawab pertanyaan ‘Aisy. Hanya
dibalas dengan renungan tajam yang meratah setiap inci wajah ‘Aisy. Terselit
senyuman sinis di wajahnya.
‘Aisy menelan liur kelat. Entah kenapa hatinya tidak senang
dengan renungan itu. Renungan yang mengandungi seribu maksud yang sukar
ditaksir.
“Kalau abang kata abang nak…” Tutur Harris sengaja membiarkan
ayatnya tergantung. Tubuh ‘Aisy dihampiri. Dia melirik senyuman menggoda. Ingin
melihat sejauh mana keberanian ‘Aisy.
“Awak jangan harap boleh apa-apakan saya!” Terketar-ketar ‘Aisy
memberikan amaran. Dia mengengsotkan tubuhnya menjauhi Harris. Tangannya
disilangkan ke dada sebagai perlindungan.
“Abang cuma nak hak abang…” Harris semakin merapati isterinya.
“Hak? Aw..awak dah janji, Harris.” Tergagap-gagap ‘Aisy
mengingatkan janji yang telah dibuat lelaki itu. Tubuhnya digerakkan ke
belakang sehingga punggungnya benar-benar berada di hujung katil. Selangkah dia
bergerak, pasti dia akan terjatuh dari katil yang boleh tahan tingginya itu.
“Tapi sayang tak boleh nafikan hak abang..” Harris semakin galak
menghampiri ‘Aisy yang sudah terperangkap.
“Tolong, Harris. Saya tak bersedia..” Rayu ‘Aisy. Keberaniannya
hilang sama sekali. Ketakutan mengundang takungan air di matanya.
“Bersedia atau tak, abang nak hak abang. Hak abang sebagai suami
untuk tahu siapa lelaki tua yang berbual mesra dengan ‘Aisy petang semalam?”
Pertanyaan Harris membuatkan ‘Aisy tergamam. Bulat matanya
memandang Harris tidak berkelip. Terbit rasa malu kerana otaknya sudah tersasar
jauh memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tapi siapa lelaki tua yang dimaksudkan
Harris? ‘Aisy cuba memproses ingatannya.
“Profesor Abang Daing?” Terpacul nama salah seorang profesor di
jabatannya. Seingatnya usai habis waktu kerja petang semalam dia hanya berbual
kosong dengan Profesor Abang Daing sementara menunggu Hafeeza datang
menjemputnya. Dia selesa berbual dengan lelaki separuh abad yang penuh dengan
wawasan itu, mengingatkan dia kepada ayahnya sendiri.
“Bukan main mesra. Siap berabang lagi. Dengan suami sendiri tak
nak pula panggil abang.” Tingkah Harris semakin dihambat cemburu.
“Ya ALLAH, Harris. Apa yang awak merepek ni? Dah memang namanya
Abang Daing Abang Solehuddin, saya nak panggil macam mana lagi?”
‘Aisy mengeluh kasar sambil mempamerkan wajah yang mencuka.
Berkerut dahinya dengan tuduhan Harris yang tidak masuk akal itu.
“Profesor Abang Daing tu ketua jabatan saya. Takkanlah saya tak
boleh berbual dengan rakan kerja saya. Awak nak saya jadi macam katak bawah
tempurung ke?” Tempelak ‘Aisy. Pening dia dengan sikap cemburu buta Harris.
Memang tidak pernah berubah.
“No, you are too beautiful to be a frog.” Suara Harris
sudah berubah intonasi. . Roma wajahnya berubah jernih. Dia tersengih kelat
menyembunyikan rasa bersalah. Ternyata cemburunya langsung tidak berasas
‘Aisy menjeling Harris tajam. Bagaimana Harris boleh nampak dia
sedang berbual dengan Profesor Abang Daing? Adakah pergerakannya diintip
suaminya sendiri? Hatinya tertanya-tanya penuh prasangka.
“Awak ekori saya, Harris?” ‘Aisy menebak.
“Yes, I have to. I need to know where do you live.” Jujur
Harris mengaku.
“Sebulan sayang menyepi tanpa khabar berita. Nak harapkan sayang
yang call abang, jangan haraplah. Susah
sangat ke nak register line telefon kat Malaysia ni? Atau sayang
memang sengaja nak larikan diri daripada abang?” Kini giliran Harris pula
menempelak ‘Aisy.
‘Aisy kematian kata. Telahan Harris memang ada kebenarannya. Dia
memang sengaja tidak mahu memaklumkan nombor telefon bimbitnya kerana ingin
menjarakkan hubungannya dengan Harris.
“Mana ada. Saya cuma sibuk.” Dalih ‘Aisy. Dia memalingkan wajahnya
ke arah lain. Tidak berani menentang mata Harris.
“Sibuk? Tapi berborak kosong dengan bos kesayangan tak sibuk
pula.” Perli Harris.
‘Aisy mula merasa rimas dengan kata-kata Harris yang jelas bernada
cemburu.
“Awak nak bincang apa dengan saya sebenarnya? Kalau tak ada
apa-apa yang penting, saya nak balik.” Beritahu ‘Aisy bangkit dari duduk. Dia
malas hendak melayan jika hanya hal remeh begini yang hendak ditanya oleh
Harris. Timbul rasa sesal kerana mengikut Harris tadi.
“Perkara ini penting bagi abang. Tell
me. Kenapa tak contact abang?” Desak Harris menagih
jawapan.
“Tak penting.” ‘Aisy menjawab acuh tidak acuh.
Harris terkilan dengan jawapan mudah ‘Aisy. Semakin kuat dia
berusaha untuk mendapatkan kembali ‘Aisy, semakin jauh dirasakan ‘Aisy cuba
mengelakkan diri.
“But it meant everything to me, sayang!”
Tiba-tiba Harris meninggikan suara. Cukup untuk mengejutkan ‘Aisy.
Emosi lelaki ini memang sukar diduga.
“Abang perlukan bantuan sayang untuk sama-sama pulihkan hubungan
kita.” Keluh Harris. Dia meraup kasar wajahnya yang keruh. Bagaimana dapat dia
menjernihkan kepincangan andai hanya pihaknya sahaja yang berusaha. Sedangkan
‘Aisy semakin dingin dengannya.
‘Aisy bungkam. Mustahil untuk dia kembali semula pada Harris.
Biarpun dendam yang tersimpul di hatinya makin terlerai. Dia bukanlah manusia
berhati batu sehingga begitu keras untuk tidak memafkan kekhilafan Harris. Hati
seorang isteri bagaikan kerak nasi. Rayuan penyesalan seorang suami ibarat
seperti air yang mampu melembutkan hati yang membeku.
Namun biarlah kemaafannya hanya terlafaz di dasar hati. Tiada
kudrat untuknya menzahirkan rasa cinta dan rindu yang masih tersisa kerana
tidak mungkin dia dan Harris kembali bersatu. Apalah makna bersama andai dirinya
tidak mampu menghadirkan bahagia dalam hidup lelaki itu. Tiada guna rasa rindu
dan cinta, seandainya rasa itu hanya membuatkan insan lain menderita.
“Saya nak balik.” Hanya ayat itu yang terpacul di mulut ‘Aisy.
Harris mendengus kecewa.
“Baiklah. Abang akan hantar sayang balik tapi bukan hari ini.”
Putus Harris.
“Apa ni, Harris? Tadi awak ajak saya keluar kononnya nak
berbincang. Sekarang dah lain pula jadinya.” Getus ‘Aisy dengan wajah yang
kelat.
“Malam ini sayang tidur sini. Abang dah sediakan semua kelengkapan
sayang dalam almari tu. Dan abang tak nak dengar apa-apa pun alasan.
T.I.T.I.K!” Bicara Harris tegas.
‘Aisy mengeluh lemah. Dia seakan hilang kekuatan untuk menentang
keputusan Harris. Hasilnya pasti sia-sia jika dia melawan. Nampaknya lelaki itu
terlebih dahulu merancang sesuatu.
salam perkenalan..maaf baru nk komen. 8 bab sblm ni tak tinggal jejak pon.. cerita ni makin best.. kalau kuar cetak, insyaallah saya nk miliki..
ReplyDeleteBestnya
ReplyDeleteAppreeciate your blog post
ReplyDelete