Ketukan bertalu-talu di pintu rumah sewanya mengejutkan ‘Aisy yang
sedang leka menandakan manuskrip jawapan ujian pelajarnya. Sayup-sayup
kedengaran suara seorang perempuan memberi salam diselangi dengan esak tangis.
Segera dia mencapai tudung Pashmina dan diselempangkan. Langkahnya diatur ke
muka pintu.
“Sofia!”
Buntang mata ‘Aisy disapa dengan kelibat Sofia yang sedang berdiri
lemah dengan wajah yang suram. Penampilan Sofia yang bertudung litup menjadikan
Sofia kelihatan semakin cantik, sopan dan ayu. Ternyata tempoh masa empat tahun
benar-benar telah merubah penampilan wanita lampai ini.
Air mata yang sedang berjuraian lebat di pipi mulus Sofia
mengundang tanda tanya di hati ‘Aisy. Dia kaget dan pada masa yang sama dia
turut merasa keliru. Setelah lebih empat tahun persahabatannya dengan Sofia
terputus, untuk apa wanita itu tiba-tiba muncul kembali di hadapannya? Sudah
lupa kah Sofia pada ikrarnya untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengannya?
“Tolong aku ‘Aisy. Aku.. aku…” Kata-kata Sofia terhenti dan
berganti dengan esakan hiba.
Jiwa lembut ‘Aisy sedikit tersentuh. Dia merenung tubuh Sofia dari
atas ke bawah, dan pandangannya terhenti pada beg pakaian yang sedang dibimbit
Sofia. Jelas sesuatu telah menimpa wanita yang pernah bergelar sahabat baiknya
itu.
“Apa yang dah jadi ni, Sofia?” Soal ‘Aisy. Terbit rasa belas di
hatinya.
Pintu gril dibuka dan Sofia yang sedang terenjut-enjut menahan
tangis dihampiri. Walaupun terlalu banyak kenangan pahit yang telah dilakarkan
Sofia di dalam hidupnya, namun dia tidak dapat menafikan rasa sayang yang masih
tersisa pada sebuah persahabatan yang pernah terjalin antara mereka. Kesedihan
yang terpamer di wajah Sofia sedikit demi sedikit membunuh rasa terkilan yang
terbuku di hati selama ini.
“Aku..aku..aku kotor, ‘Aisy.” Sebak bicara yang meniti di bibir
pucat Sofia. Dia memeluk tubuh ‘Aisy yang masih terkaku. Mencari sandaran
mungkin untuknya melepaskan rasa hiba yang bersarang di hati.
“Err..aku rasa lebih baik kita cakap kat dalam. Mari...” Pelawa
‘Aisy. Pelukan dileraikan. Dengan rasa simpati dia memimpin tangan Sofia,
membawa wanita itu masuk ke dalam rumah dan didudukkan di atas sofa.
Sofia menekurkan wajahnya ke lantai. Kebaikan ‘Aisy menambahkan
kekesalan di hatinya.
“Kau bertenang dulu. Aku ke dapur sekejap ambilkan kau air.” Tutur
‘Aisy menenangkan sebelum dia tergesa-gesa menapak ke ruang dapur.
Beberapa minit kemudian, ‘Aisy kembali dengan secawan air suam di
tangan. Mengharapkan ia dapat memberikan sedikit kelegaan buat Sofia. Sempat
dia membacakan doa penenang hati yang dihafalnya. Itulah amalan yang sering
dilakukan ibunya setiap kali dia ditimpa sesuatu musibah.
“Minum air ini dulu. Jangan lupa baca selawat.” Pesanan dititipkan
sambil menghulurkan gelas kepada Sofia. Terketar-ketar tangan Sofia menyambut
lalu disisipkan gelas tersebut ke mulut.
‘Aisy melabuhkan duduk di atas sofa berhadapan dengan Sofia.
Beberapa waktu berlalu hanya dibiarkan sepi.
Sesekali kedengaran sedu sedan yang dilagukan Sofia.. Hanya pandangan matanya
yang seakan berbicara, merenung Sofia yang sedang bermuram durja. Sabar
menunggu wanita itu menjelaskan duduk perkara sebenar. Belum pernah dia
menyaksikan Sofia dalam keadaan begitu. Pasti dugaan hebat yang sedang menguji
wanita ini.
“Aku…aku minta maaf, ‘Aisy. Aku dah tak tahu nak minta tolong pada
siapa. Semua orang dah buang aku, ‘Aisy..” Rintih Sofia dalam tangis.
“Mummy dan daddy dah halau aku dari rumah. Mereka tak
nak mengaku aku anak mereka lagi. Jefferi pun dah putuskan hubungan dengan
aku.” Sambung Sofia dengan esakan yang semakin meninggi.
“Jefferi?” Soal ‘Aisy dengan kerutan di dahi tatkala mendengarkan
suatu nama yang cukup asing di telinganya. Terlalu banyak persoalan yang
bermain di benaknya. Sebolehnya dia tidak mahu membuat telahan terlalu awal.
“Jefferi...dia teman lelaki aku. Aku benar-benar cintakan dia,
‘Aisy. Segala-galanya aku korbankan demi kasih sayang aku pada dia. Tapi,
akhirnya aku ditinggalkan.” Luah Sofia masih lagi dalam sendu yang tidak
bertepi.
“Sabarlah, Sofia. Mungkin dia bukan jodoh kau.” Pujuk ‘Aisy kekok.
Terasa janggal sekali untuk menenangkan Sofia. Kemesraan yang pernah terjalin
antara mereka berdua ternyata telah lama hilang. Jika dulu dia tidak pernah
jemu menjadi tempat Sofia melepaskan perasaan setiap kali wanita itu mengalami
kegagalan dalam percintaan. Dengan rela hati dia menadah telinga mendengar
setiap hamburan amarah Sofia.
“Dia jodoh aku, ‘Aisy. Dia perlu bertanggungjawab pada aku. Aku
terlalu sayangkan dia. Hidup aku mati tanpa dia, ‘Aisy. Hati aku kering tanpa
cinta Jefferi!” Lirih bait-bait ayat yang meniti di bibir Sofia menggambarkan
kepedihannya.
“Kau kena kuat, Sofia. Kau takkan mati tanpa cinta seorang lelaki.
Kerana dalam detik setiap nafas yang kita sedut dan hembus ini adalah di atas
rahmat dan kasih sayang ALLAH.” Ujar ‘Aisy menitipkan semangat. Dia juga dulu
seperti Sofia. Pernah parah terluka kerana mengejar cinta seorang suami. Namun
kerana luka lama itulah yang banyak mengajarnya tentang cinta. Merubah definisi
dan persepsinya terhadap cinta. Baginya cinta pada lelaki hanya akan
meninggalkan kesan luka yang mendalam di hati. Lalu untuk apa perlu ditagih
cinta pada yang tidak sudi?
“Aku tak kuat, ‘Aisy. Sampai hati dia buat aku macam ni. Apa salah
aku? Segala kemahuan dia aku turutkan. Semuanya aku serahkan..sehinggakan
aku…aku sanggup serahkan diri aku pada dia. Sekali lagi aku menjadi bodoh
kerana cinta!” Esakan Sofia semakin menggila.
Pengakuan Sofia membuatkan ‘Aisy terpempan. Dia beristighfar di
dalam hati. Kenapa begitu mudah Sofia dibutakan kerana cinta? Kenapa sanggup
membiarkan maruah diri sekali lagi menjadi korban pada sebuah cinta yang belum
pasti? Kenapa tergamak menjadi bunga yang telah layu dihisap madunya oleh
kumbang yang tidak berhak?
“Tenang, Sofia. Jangan ikutkan sangat perasaan sedih itu. Mungkin
ada hikmah atas apa yang terjadi ni.” Hanya kata-kata tu yang mampu diungkapkan
‘Aisy. Tumpah rasa simpati yang menggunung buat Sofia. Dia bangkit menghampiri
Sofia dan duduk di sisi wanita itu.
‘Aisy tidak menyangka begini liku-liku cinta yang terpaksa
ditempuh Sofia. Wanita cantik ini mempunyai terlalu banyak pilihan dalam
bercinta. Tetapi kenapa akhirnya dia memilih untuk kecundang di tangan lelaki
yang tidak bertanggungjawab?
“Macam mana aku nak tenang, ‘Aisy. Sedangkan dalam rahim aku ini
ada tanda cinta kami yang semakin membesar.” Suara Sofia perlahan dan sayu.
“Kau mengandung? Anak Jefferi?” Soal ‘Aisy tergamam. Anggukan
Sofia membuatkan ‘Aisy mengeluh lemah. Matanya jatuh pada perut Sofia yang
masih kempis. Belum jelas kelihatan. Mungkin kandungannya masih muda.
“Dah lima minggu. Bila Jefferi tahu aku mengandungkan anak dia,
dia terus tinggalkan aku. Disebabkan ini juga mummy dan daddy buang aku. Mereka malu sebab aku telah
memalitkan arang ke muka mereka.” Terang Sofia membuatkan ‘Aisy terkedu. Kenapa
perlu buru-buru mengikut nafsu menjalinkan hubungan haram tanpa lafaz ijab dan
kabul?
“Apa patut aku buat, ‘Aisy? Aku dah tak ada siapa-siapa lagi. Aku
bukan saja dihalau keluar dari rumah tapi daddy aku dah buang aku dari syarikat. Semua
kad kredit, wang simpanan aku dibekukan. Aku dah tak ada apa-apa lagi ‘Aisy.”
‘Aisy merenung sayu ke arah Sofia. Dia masih bungkam memikirkan
cara untuk membantu Sofia. Rasa kemanusiaan di dalam dirinya membuatkan dia
merasa bertanggungjawab untuk melindungi Sofia apatah lagi di dalam rahim
wanita itu ada satu nyawa yang tidak berdosa. Dia tidak mahu Sofia hilang
pertimbangan dan mengapa-apakan kandungannya.
“Kau tak perlu risau. Kau tinggal saja kat sini buat sementara
waktu. Selepas ini, kita usaha pujuk Jefferi untuk menikahi kau.” Putus ‘Aisy.
Tangan Sofia digenggam erat, cuba menyalurkan sedikit kekuatan buat wanita itu.
“Aku..aku tak menyusahkan kau ke, ‘Aisy?” Soal Sofia dalam riak
yang serba salah.
“Tak susah pun. Kau kawan aku. That’s
what friends are for, right?” Jawab ‘Aisy sambil menggosok-gosok belakang
tangan Sofia. Memberikan keyakinan buat wanita itu.
“Tapi..kawan-kawan serumah kau macam mana?”
“Kau jangan bimbang. Sakeena dan Hafeeza mesti faham keadaan kau.
Lagipun rumah ini ada satu lagi bilik kosong dekat tingkat atas. Tapi, bilik
itu tak adalah selesa dan besar macam bilik kau.” Ujar ‘Aisy sambil mengukirkan
senyuman nipis. Terpancar riak kelegaan di wajah Sofia.
“’Aisy, terima kasih. Walaupun macam-macam aku dah buat pada kau
dulu, kau masih sudi nak membantu aku. Aku malu dengan kau, ‘Aisy.” Beritahu
Sofia serba salah. Wajah itu kembali berubah suram tiba-tiba.
Sebagai manusia biasa, memang hati ‘Aisy masih berbirat luka
dengan tuduhan dan fitnah yang pernah ditaburkan Sofia terhadapnya dulu. Namun,
kesukaran yang sedang dilalui Sofia
tidak membenarkan dirinya untuk terus melayani kesakitan kisah silam.
“Kau tak perlu fikir fasal perkara yang dah lepas. Let bygone be bygone, okay?” Kata-kata
‘Aisy membuatkan mata Sofia berkaca. Pipi yang baru sahaja kering, kini
dibasahi lagi dengan air mata.
“Maafkan aku, ‘Aisy. Walaupun aku tahu kesilapan aku pada kau
terlalu besar tapi tolong maafkan aku.” Pinta Sofia. Anggukan di kepala ‘Aisy
membuatkan Sofia memeluknya dengan penuh rasa terharu.
“Terima kasih, ‘Aisy.”
‘Aisy tersentuh. Dia membalas pelukan Sofia. Kemaafan memang
dendam yang terindah. Aku bersyukur pada-Mu sekiranya sedikit kebaikan yang aku
hulurkan mampu menyulam kembali hubungan persahabatan kami yang terputus sejak
sekian lama. Monolog ‘Aisy di dalam hati.
“Mari aku bawa kau ke bilik. Kau mesti dah penat kan? Ibu
mengandung kena banyak berehat.” Pelawa ‘Aisy meleraikan pelukan. Sebuah
senyuman manis dihadiahkan buat Sofia dan dibalas oleh wanita itu. Pantas, beg
pakaian Sofia dijinjing. Tanpa sebarang rasa curiga dia melangkah menaiki
tangga, sedikit ke depan mendahului Sofia.
Tiba-tiba, senyuman manis yang terukir di wajah Sofia bertukar
menjadi sinis. Sorotan matanya berubah tajam memandang belakang tubuh ‘Aisy
dengan penuh kebencian dan dendam. Tiada lagi riak polos dan suram yang terbias
di wajahnya. Watak Sofia yang teraniaya hanyalah sebahagian daripada plot
lakonan yang dirancang untuk memperdayakan ‘Aisy. Perancangannya setakat ini
berjalan lancar.
Kau memang bodoh, ‘Aisy! Nampaknya hidup bertahun-tahun di luar
negara masih tak mampu mengubah kenaifan kau. Jangan harap aku akan benarkan
kau hidup bahagia bersama Harris! Kata hatinya mengutuk dengan angkuh.
Dendam yang dipendam sejak empat tahun lalu perlu dilunaskan. Dia
sudah tidak mampu menyimpan rasa sakit di hatinya dengan lebih lama.
Perhitungan perlu dilakukan demi untuk menyelamatkan dirinya sendiri.
Pengkhianatan perlu dibalas dengan pengkhianatan!
***
Sakeena kurang senang dengan kehadiran Sofia yang menumpang
tinggal di rumah sewa mereka buat sementara waktu. Bukanlah bermakna dia tidak
bersimpati dengan nasib malang yang menimpa wanita itu. Tetapi entah kenapa,
nalurinya bagaikan dapat menghidu sesuatu yang tidak kena. Apatah lagi bila
mengenangkan pengkhianatan yang pernah dilakukan Sofia kepada ‘Aisy.
“Betul ke Sofia tu mengandung?” Bisik Sakeena perlahan, bimbang
jika soalannya itu didengari Sofia. Matanya memandang kiri kanan, cukup
berwaspada. Padahal pada waktu itu hanya dia sahaja yang berada di dalam kamar
tidur ‘Aisy.
“Kau dengar tak apa aku tanya?” Sakeena kembali menyoal apabila
tiada jawapan daripada ‘Aisy. Sahabatnya yang sedang menyandar di birai katil
direnung. Dia cuba mendapatkan perhatian ‘Aisy yang sedari tadi begitu khusyuk
memerhatikan skrin telefon bimbitnya.
“Kenapa kau tanya aku macam tu?” Persoalan Sakeena tidak segera
dijawab. Sebaliknya dibalas dengan pertanyaan yang acuh tidak acuh. Tumpuannya
masih pada paparan mesej pesanan ringkas daripada Harris. Sekarang, suaminya
berada di United States atas urusan perniagaan. Setiap hari Harris tidak pernah
gagal memberitahu aktivitinya di sana biarpun dia tidak pernah membalas setiap
mesej yang diterima. Jauh sekali untuk mengangkat panggilan telefon daripada
Harris.
“Hati aku tak sedaplah, ‘Aisy. Aku rasa macam ada sesuatu yang
pelik lah.” Luah Sakeena tanpa berselindung.
Wajah teman baiknya itu direnung, menantikan sebuah penjelasan.
Telefon bimbit diletakkan di atas meja kecil di sisi katil. “Apa yang peliknya?”
“Tak adalah, semalam kau cakap Sofia datang meratap-ratap sedih
dengan kau. Macam orang hilang anak. Tapi yang peliknya, hari ini aku tengok
dia happy semacam je. Macam orang yang tak ada
masalah pun.” Sakeena menyampaikan kemusykilan di hatinya.
‘Aisy tertawa lucu, sedikit tercuit hati melihatkan kesungguhan Sakeena.
Gaya pun dah serupa Kak Leha, jiran sebelah yang suka benar bergosip. Sakeena
jugalah orang yang paling suka melayan Kak Leha itu bercerita.
“Aku tanya serius ini, kau bantai gelak pula.” Tempelak Sakeena
tidak puas hati melihat gelak ‘Aisy yang semakin besar.
“Kau ini kelakar lah, Keena. Tengok gaya kau ini teringat aku
dekat Kak Leha jiran sebelah. Aku rasa genetik Kak Leha dah banyak menurun
dekat kau ni.” Usik ‘Aisy dalam sisa tawa membuatkan Sakeena menjelingnya.
Ringan tangannya membaling bantal ke arah ‘Aisy. Cekap tangan ‘Aisy menyambut
bantal dan di bawa rapat ke dada untuk dipeluk.
“Aku cakap serius, boleh pula kau perli aku.” Ujar Sakeena dengan
wajah masam.
“Apa yang nak dirunsingkan. Baguslah kalau Sofia dah boleh rasa
gembira. Nanti kalau dia asyik meratap hiba kita juga yang susah nak pujuk.
Yang jadi mangsa anak dalam kandungannya tu.” Jawab ‘Aisy akhirnya. Baginya,
Sakeena terlalu berprasangka. Tetapi dia tidak boleh menyalahkan Sakeena kerana
merasa curiga. Dia tahu temannya itu penuh dengan sikap melindungi. Sakeena
tidak akan tegar melihat dia menjadi mangsa pengkhianatan buat kedua kali.
“Bercakap fasal anak, betul ke Sofia itu mengandung? Aku tengok
tak macam gaya perempuan mengandung pun. Tengah hari tadi boleh pula dia makan
nanas berkeping-keping.” Kata-kata Sakeena membuatkan ‘Aisy tersentak.
“Habis itu, kau tak larang dia ke?” Soal ‘Aisy dengan wajah risau.
“Tak.” Balas Sakeena sepatah tanpa rasa bersalah membuatkan ‘Aisy
mendengus lemah.
“Kenapa tak tegur dia? Aku rasa dia tak tahu yang perempuan
mengandung tak digalakkan makan nanas. Dia kan mengandung anak sulung.”
Janganlah yang tidak-tidak menimpa Sakeena dan kandungannya. Dia pernah merasai
keperitan akibat kehilangan zuriat yang dikandungi. Kalau boleh dia tidak mahu
wanita lain melalui apa yang pernah dialaminya.
“Kau tak boleh terlalu berbaik sangka, ‘Aisy. Kau dah lupa apa
yang dia pernah buat pada kau dan Harris dulu?” Tukas Sakeena. Itulah kelemahan
‘Aisy. Dia mempunyai sekeping hati yang lembut. Membuatkan hatinya mudah
tersentuh dengan pujuk rayu.
“Aku tak pernah lupa, Keena. Tetapi perkara dah lepas kan.
Lagipun, aku memang tak ada pilihan. Dia dalam kesusahan dan aku cuma jalankan
tanggungjawab aku sebagai seorang insan. Selebihnya, kita serahkan pada ALLAH.”
Tingkah ‘Aisy mematahkan tebakan negatif Sakeena.
“Lagipun, aku tengok Sofia dah banyak berubah ke arah kebaikan.
Dia dah sedar kesilapannya. Jadi tak salah kita beri dia peluang kan?” Dalam
diam Sakeena turut mengakui kebenaran kata-kata ‘Aisy. Dari segi penampilan
memang jelas Sofia telah berubah ke arah positif. Aurat yang selama ini
dibiarkan terdedah telah ditutup daripada pandangan ajnabi. Tetapi, kenapa iman
masih tipis sehingga membiarkan diri bergelumang dengan dosa zina? Iman bukan
boleh diukur berdasarkan labuhnya tudung seseorang.
“Tapi, ‘Aisy..”
“Dahlah. Kau ini suka sangat fikir yang bukan-bukan. Ini mesti
sebab banyak sangat baca novel dan berguru dengan Kak Leha.” Gurauan ‘Aisy
sekali lagi membuatkan dia dihadiahkan dengan balingan bantal oleh Sakeena.
“Kau jangan risaulah, Keena. Aku yakin Sofia memang dalam
kesusahan. Yang penting sekarang ini, kita kena fikirkan macam mana nak pujuk
mak ayah dan kekasih dia untuk menerima dia kembali.” Ujar ‘Aisy tenang.
Sudahnya, curiga Sakeena hilang begitu sahaja. Lagipun ‘Aisy
sendiri lebih mengenali siapa Sofia berbanding dirinya.
***
Malam minggu itu, ‘Aisy tinggal berdua bersama dengan Sofia.
Sakeena terpaksa pulang ke kampungnya di Kuantan untuk menyelesaikan urusan pernikahannya yang hanya
berbaki tiga bulan saja lagi. Manakala, Hafeeza pula berkursus di Genting
Highlands. Mujur jugalah ada Sofia, sekurang-kurangnya tidaklah dia keseorangan
di rumah teres dua tingkat itu.
Setelah menyiapkan makan malam, ‘Aisy menuju ke biliknya di
tingkat atas untuk membersihkan diri. Namun, langkahnya terhenti apabila
melihat pintu bilik Sofia sedikit terbuka. Dia berniat untuk mengajak Sofia
makan. Jika wanita itu lapar, bolehlah dia makan terlebih dahulu. Maklumlah ibu
mengandung. Perut tidak boleh dibiarkan kosong. Lantas, langkah kakinya bertukar
arah menuju ke kamar beradu Sofia.
“Malam ini, ‘Aisy tinggal seorang diri. Peluang baik yang
kita tunggu akhirnya dah tiba.”
Dari luar bilik jelas kedengaran suara Sofia sedang bercakap
dengan seseorang di dalam talian. Namanya yang meniti di bibir Sofia mengundang
rasa ingin tahu di hati. Kata-kata yang dituturkan oleh Sofia menarik minat
‘Aisy untuk mengintip perbualan wanita itu.
“Kalau rancangan ini berjaya, aku pasti ‘Aisy akan jadi milik kau. Aku yakin Harris tak
akan teragak-agak ceraikan dia lepas ni. Kali ini tak ada siapa pun yang
akan dapat membela perempuan itu lagi walaupun Hajah Mariah!”
Suara angkuh Sofia membuatkan jantung ‘Aisy berdetak kencang.
Waktu itu, dia sedar yang kecurigaan Sakeena memang benar-benar berasas.
Ternyata keinsafan Sofia hanyalah lakonan semata-mata. Wanita itu selama ini
hanya berpura-pura untuk mengaburi matanya.
“Tapi, kau jangan lupa janji kau pada aku kalau rancangan ini
berjaya. Kalau kau mungkir, tahulah aku nak buat macam mana!” Suara Sofia
berubah tegang. Dia terdiam sejenak, mungkin sedang mendengar bicara daripada
pemanggil di hujung talian.
Siapakah pemanggil yang sedang bercakap dengan Sofia? Hati ‘Aisy
tertanya-tanya.
“Bagus! Kau jangan bimbang. Aku tahulah apa yang patut aku buat. She will be yours tonight! Bukannya susah nak kelentong perempuan
kesayangan kau tu. Dua tiga titik air mata aku pun dah boleh beli perasaan
kasihan dia. She is so naïve and
sometime stupid!” Ketawa sinis terhambur keluar dari mulut Sofia. Namun pantas
tangannya menekup mulut, bimbang jika perbualannya didengari.
Hancur luluh hati ‘Aisy berkeping-keping tatkala mendengarkan
penghinaan Sofia. Parut lama kembali bernanah. Kali ini lukanya pasti
meninggalkan kesan yang lebih dalam. Tanpa sedar, tangannya dikepal kuat,
menahan rasa bahang yang mula mengisi di segenap ruang hatinya.
“Relaks lah! Aku kutuk sikit pun kau dah nak melenting. Aku tak
fahamlah apa yang kau pandang
sangat pada perempuan itu.” Dari celah pintu yang sedikit terbuka, jelas riak
kebencian terbias di wajah Sofia.
“Aku..aku tahu urusan kau bukan urusan aku. Maafkan aku!” Suara
Sofia berubah kendur dan gugup.
Pelik! Kenapa berubah-rubah emosi yang ditunjukkan Sofia? Pemanggil itu seolah-olah mempunyai pengaruh yang cukup besar pada Sofia. Siapakah pemanggil? Dia
cuba meneka namun otaknya langsung tidak dapat berfikir.
“Ya! Malam ini kita buat seperti yang kau rancang. Aku akan
pastikan ‘Aisy tidur mati malam ini. Kau perlu ingat, bilik tidur ‘Aisy bilik
kedua dari tangga.”
Terketar-ketar ‘Aisy mengetap bibir. Matanya berkaca bening. Dia
dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku jika dia tidak berbuat
sesuatu. Rasa takut, marah, geram dan kecewa bercampur baur.
Bodohnya dia kerana terlalu mudah mempercayai Sofia. Bodohnya dia
kerana mengharapkan kebaikannya bisa merubah dan menjadikan Sofia manusia yang
lebih baik. Bodohnya dia kerana masih menumpahkan air mata buat seorang manusia
yang langsung tidak layak untuk dijadikan sahabat! Air matanya dikesat laju.
Dia tidak ingin menangis lagi. Tidak sekali-kali dia akan menyerah kalah.
“’Aisy!” Suara terkejut Sofia mengaburkan lamunannya. Sofia
berdiri tegak di ambang pintu dengan wajah yang berubah pucat.
“Tergamak kau khianati aku lagi, Sofia! Rupa-rupanya cerita
simpati kau selama ini hanyalah rekaan. Kau hanya berpura-pura dengan aku!”
Jeritan ‘Aisy mengisi segenap ruang rumah. Marah yang ditunjukkan
‘Aisy membuatkan Sofia terkedu. Entah dari mana kekuatan itu meresap ke dalam
tubuhnya. Mungkin rasa sakit hati yang tersimpan bertahun-tahun dan rasa kecewa
yang bertimpa membuatkan dirinya menjadi berani.
“Aku…aku tak..kau dah salah faham, ‘Aisy.” Tingkah Sofia gugup.
Buntu akalnya untuk mencipta helah.
“Kau tak perlu berlakon lagi, Sofia. Aku dah dengar semua
perbualan kau tadi. Apa yang kau nak buat pada aku Sofia? Kejahatan apa lagi
yang kau rancang untuk kenakan aku?” Tanya ‘Aisy bertubi-tubi. Wajah Sofia
dipandang dengan renungan yang cukup tajam.
Tiba-tiba Sofia meledakkan tawa. Semakin kuat dan semakin sinis di
pendengaran ‘Aisy. Dia memang sengaja hendak membakar perasaan ‘Aisy. Segala
perancangan jahatnya telah terbongkar. Tidak guna dia berselindung di sebalik
lakonannya lagi. Rancangan yang telah disusun rapi juga perlu berubah. Walau
bagaimana cara sekalipun, dia perlu pastikan ‘Aisy dibenci Harris buat selama-lamanya!
“Aku nak pulangkan
kau pada seseorang yang dah lama menantikan kau.” Wajah Sofia berubah sinis.
“Siapa?” Tanya ‘Aisy.
“Kau akan tahu bila tiba masanya nanti. Malam ini, aku akan
pastikan kau menjadi milik dia. Milik seorang lelaki yang dah begitu lama ingin
meratah tubuh kau!” Ujar Sofia dengan wajah bengis. Tubuh ‘Aisy dihampirinya.
“Kau dah gila, Sofia!” Balas ‘Aisy berani. Dia berundur setapak ke
belakang.
“Ya! Memang aku dah gila. Aku gila dengan dendam aku pada kau yang
masih belum terbalas. Aku takkan puas selagi aku tak buat hidup kau merana sama
seperti apa yang kau dah buat
pada aku dulu. Aku akan pastikan seumur hidup kau menderita, dibayangi sejarah hitam yang bakal dicipta malam ini.”
Jantung ‘Aisy berdegup kencang dengan ugutan Sofia. Wanita di
hadapannya ini tidak ubah seperti seekor binatang buas yang sedang menunggu
masa untuk menerkam mangsanya.
“Apa sebenarnya yang aku dah buat pada kau, Sofia? Kau masih tak
sedar apa yang dah berlaku selama ni berpunca daripada keegoan kau sendiri?
Kau yang buat pilihan yang salah.
Pilihan yang akhirnya memakan diri kau sendiri. Dan sekarang kau nak salahkan
aku atas apa yang dah berlaku? Kau ini tak ubah seperti buruk muka, cermin
disalahkan.”
Sindiran ‘Aisy menghangatkan lagi kemarahan Sofia. Dia semakin mampir
ke arah ‘Aisy dengan wajah yang bengis
“Kau pula bijak mengambil kesempatan atas kesilapan aku kan?” Rengus Sofia
tidak mahu mengaku kalah. Sinar matanya penuh dengan kebencian.
“Kau atau aku yang mengambil kesempatan, Sofia? Kau sebenarnya
seorang perempuan yang terlalu bangga dan angkuh dengan diri kau sendiri.
Kerana keangkuhan, kau tak pernah merasa cukup dengan apa yang kau ada. Kerana
ego, kau tak dapat terima hakikat
yang orang lain juga layak bahagia. Sehingga kau sanggup rampas dan musnahkan
kebahagiaan aku, kawan baik kau sendiri. Kau memang perempuan tamak, Sofia. Kau
tamak harta, kedudukan, perhatian dan kasih sayang sehinggakan kau sanggup
lakukan apa sahaja demi mencapai kepuasan hati kau!” Hambur ‘Aisy semakin
mundur ke belakang sehingga kakinya jatuh pada birai anak tangga pertama..
Sofia semakin berang. Patah demi patah kebenaran yang diungkapkan ‘Aisy bagai belati tajam yang mencucuk
tangkai hatinya. Dia benci untuk mengakui kebenaran itu.
“Tapi itu tak berikan
kau hak untuk rampas tunang aku!” Tengking Sofia. Memang menjadi pantang
baginya jika haknya dirampas. Apatah
lagi dirampas teman baik yang
sering dipandang enteng olehnya. Baginya ‘Aisy tidak layak untuk memiliki apa
yang pernah menjadi miliknya.
“Sofia..Sofia…Sofia…Kau dah lupa apa yang kau dah buat pada
Harris? Kecurangan kau sendiri yang menyebabkan Harris membuang kau, Sofia! Kau
sanggup jual maruah diri kau hanya…”
“Diam, ‘Aisy!” Potong Sofia tidak sanggup membiarkan ‘Aisy
meneruskan kata-kata sinisnya.
“Kenapa? Kau dah tak sanggup nak dengar kebenaran? Kebenaran yang kau sanggup menjual
maruah diri kau hanya kerana mengejar cinta seorang lelaki yang lebih hebat,
lebih kaya dan lebih tampan daripada Harris?” Sambung ‘Aisy melampiaskan
perasaannya yang terpendam. Langsung dia tidak mengendahkan amaran Sofia.
“Aku kata diam, perempuan!” Jerit Sofia kuat. Rasa amarah yang
membuak di dada menyebabkan Sofia melayangkan sebuah tamparan ke pipi ‘Aisy.
Ringan tangannya menolak tubuh ‘Aisy.
“Ya ALLAH!” ‘Aisy hilang kawalan diri. Tubuhnya melayang jatuh
menggelongsor tangga sehingga ke bawah. Hentakan kuat pada bahagian perut membuatkan ‘Aisy mengaduh kesakitan.
Sofia tergamam di atas tangga. Tubuh ‘Aisy yang terdampar kaku di hujung tangga
mengundang getar di hatinya. Dia tidak sengaja tertolak ‘Aisy sehingga tubuh
itu tergolek jatuh. Namun rasa takut itu tidak lama. Bibirnya menguntum senyum
puas melihatkan tubuh ‘Aisy yang terbaring lemah. Sekurang-kurangnya tugasnya
akan menjadi lebih mudah untuk menjayakan rancangan jahat yang telah diatur.
Perlahan-lahan dia melangkah menuruni tangga.
‘Astaghfirullahalazim. Kenapa boleh jatuh ini, ‘Aisy?” Suara
terperanjat Hafeeza menghentikan langkah Sofia. Dia mengetap bibirnya geram.
“Kenapa perempuan
tu tiba-tiba balik pula malam ini?” Sofia merengus geram. Nampaknya dia tiada
pilihan. Rancangannya gagal untuk dilaksanakan. Dendam yang terbuku masih
seakan liat untuk dileraikan. Dengan bara dia melangkah kembali ke bilik
tidurnya. Dia perlu keluar dari rumah itu dengan segera!
jahat sungguh..sofia nih
ReplyDeletejahat betul perempuan ni
ReplyDeletemanusia kejam
ReplyDeletetak tersusun ke bab ni? pening pulak baca
ReplyDelete