Genggaman tangan Harris masih kejap melingkar di celah jari-jemari
runcing ‘Aisy. Setiap inci wajah pucat yang sedang nyenyak terlena itu
diperhatikan dengan penuh kasih. Rambut ikal isterinya diusap perlahan.
Mengharapkan sentuhan itu dapat mengalirkan semangat sebagai kekuatan untuk
menyembuhkan ‘Aisy. Rasa bersalah semakin menghimpit perasaan Harris tatkala
melihatkan derita yang sarat ditanggung oleh sekujur tubuh lesu itu.
“Maafkan abang, sayang. Terlalu banyak dosa abang pada sayang...”
Rintih Harris sambil mengucup lembut belakang tangan ‘Aisy. Setitik air mata
lelakinya gugur. Tidak tergambar kekesalan yang bermukim di hati. Kenapa tubuh
yang tidak berdosa ini yang terpaksa menanggung segala kesakitan kesilapannya?
Dia yang sepatutnya dihukum, bukan ‘Aisy. Masih terngiang-ngiang di telinganya
perkhabaran yang dibawa oleh Doktor Asyraff pagi tadi.
“Adhesions. From pelvic ultrasound we’ve found your wife is
suffering from pelvic adhesions.” Jelas Doktor Asyraff.
“Adhesions?” Harris mengerutkan wajah. Dia kurang arif dengan istilah
perubatan yang digunakan Doktor Asyraff.
“Yes, adhesions
is an abnormal connection between two surfaces in the body. Kebiasaannya,
ia merujuk kepada jalur tisu seperti parut yang berkumpul dan melekat pada
organ dalaman.” Terang Doktor Asyraff satu persatu. Dia memandang wajah Harris
sekilas untuk memastikan lelaki itu jelas dengan penerangannya.
“Ia berkemungkinan besar terjadi kesan daripada pembedahan yang
pernah dijalani Puan ‘Aisy empat tahun yang lalu. Menurut rekod perubatan ini,
isteri encik pernah melalui beberapa siri pembedahan yang melibatkan pelvic and ovary removal surgeries.”
Sambung Doktor Asyraff dengan tenang sambil meneliti rekod perubatan ‘Aisy.
“Pembedahan?” Harris terpempan. Penerangan itu benar-benar
menyentap tangkai hatinya.
“Ya, isteri encik mengalami keretakan tulang pelvis dan pendarahan
dalaman yang sangat serius akibat kemalangan itu. Ini menyebabkan ovari sebelah
kirinya rosak dan terpaksa dibuang. Encik maklumkan dengan perkara ini?” Soal
Doktor Asyraff sambil memandang tepat ke wajah Harris yang sedang kebingungan.
Timbul tanda tanya di benaknya. Masakan Harris tidak tahu perkara segenting ini
yang telah menimpa isterinya.
Harris hanya bungkam, tidak mengiakan atau menidakkan pertanyaan
Doktor Asyraff. Dia masih terpinga-pinga untuk mencerna perkhabaran itu.
“Encik Harris, are
you okay?” Doktor Asyraff bertanya lagi setelah melihat Harris tidak
memberikan tindak balas terhadap persoalannya.
“Ya..ya..” Harris menganggukkan kepalanya lemah. Keresahan jelas
terpancar di wajahnya.
“Jadi, kesan
sampingan daripada beberapa pembedahan itu telah membentuk parut tisu yang semakin
membesar pada dinding abdomen dan menyebabkan saluran tiub fallopian tersumbat. We called it hidrosalpinx”
Doktor Asyraff meneruskan penerangannya.
“My wife.. Is she going to be okay, doctor?” Ada getar dalam
nada suara Harris.
“Encik Harris jangan bimbang. She
needs to undergo a minor operation. Then she will be okay, insya-Allah.”
Tutur Doktor Asyraff.
Harris mengeluh berat. Tidak menyangka sebegini hebat penderitaan
yang terpaksa ditanggung ‘Aisy. Kepedihan bukan hanya kerana kehilangan cahaya
mata yang dikandungi, malah terpaksa pula mengharungi hidup tanpa kesempurnaan
diri sebagai seorang wanita.
Apa yang lebih dikesalkan dia tega membiarkan ‘Aisy menelan setiap
kesakitan itu seorang diri. Semuanya angkara cemburu dan salah sangka yang
membuatkan dirinya terus kejam menghukum tanpa sempat ‘Aisy membela diri.
Malah, dia langsung tidak mengendahkan keadaan ‘Aisy. Tidak pernah sekalipun
dia berada di sisi ‘Aisy untuk memberikan sokongan di waktu isterinya itu
sedang hebat bertarung nyawa.
“Encik Harris, do
you hear me?” Doktor Asyraff memerhatikan Harris yang sedang termenung
keresahan.
“Err.. what
should I do, doctor?” Mendengarkan soalan yang terpacul dari mulut Harris
membuatkan Doktor Asyraff tersenyum nipis. Memang sah lelaki di depannya itu
tidak menumpukan perhatian terhadap percakapannya sebentar tadi. Dia faham Harris risaukan
keselamatan isterinya.
“Encik Harris janganlah terlalu bimbang. Insya-Allah, setiap
penyakit pasti ada rawatan. Lagipun, keadaan yang dihadapi oleh Puan ‘Aisy
tidak membahayakan nyawa, cuma jika keadaan berlarutan ia boleh menyebabkan
kesakitan yang kronik pada bahagian abdomen dan pelvis.” Lembut tutur kata
Doktor Asyraff cuba menenteramkan Harris.
“Apa rawatan terbaik untuk menyembuhkan isteri saya, doktor?” Jelas terbias riak kebimbangan
yang tidak terbendung di raut wajah Harris. Seandainya dia diberi pilihan dia
sanggup menjadi galang gantinya. Memikul beban penderitaan yang sedang sarat
ditanggung ‘Aisy.
“Rawatan terbaik setakat ini adalah melalui pembedahan laparoscopic untuk memotong abnormal connection yang terbentuk. Cuma…” Bicara Doktor
Asyraff terhenti seketika. Dia menghela nafasnya panjang.
“Cuma apa, doktor?” Harris memandang wajah Doktor Asyraff dengan
tidak sabar. Hatinya tidak senang. Dia dapat merasai ada sesuatu yang tidak
kena.
“Keadaan ini mungkin menjejaskan peluang isteri encik untuk hamil.
Ini adalah salah satu risiko yang perlu kita sedar dan untuk sebarang
kemungkinan encik perlu sentiasa bersedia dan terus memberikan sokongan
kepadanya. Berkemungkinan besar keadaan ini akan memberikan tamparan yang cukup
hebat kepada emosi Puan ‘Aisy.” Beritahu Doktor Asyraff. Etika profesionalisme
sebagai seorang pengamal perubatan diaplikasikan dengan sebaik mungkin terutama
apabila menuntutnya untuk berhadapan dengan keluarga pesakit.
“Tapi sekarang, kita ada teknologi rawatan dengan menggunakan
kaedah IUI dan IVF. Rawatan ini boleh meningkatkan peluang untuk mendapatkan
zuriat.” Tambah Doktor Asyraff.
Penerangan Doktor Asyraff selanjutnya sudah tidak mampu menerobos
minda Harris. Perkhabaran yang diterima benar-benar membuatnya terhenyak.
Jiwanya sarat dengan rasa bersalah. Ya ALLAH! Berat benar dugaan yang Engkau
berikan kepada isteri ku. Rintih Harris di dalam hati. Matanya digenangi
mutiara jernih.
“Awak…” Suara lemah ‘Aisy mencantas lamunan Harris. Dia
memanggungkan kepala. Setitis air mata yang gugur membasahi pipinya dikesat
perlahan.
“Sayang abang dah bangun?” Harris memaniskan wajahnya dengan
senyuman. Dia cuba menyembunyikan kesedihan nya di hadapan ‘Aisy.
“Kenapa awak menangis ni? Saya belum mati lagi.” Tutur ‘Aisy
perlahan apabila menyedari mata Harris memerah. Lelaki itu mengeluh perlahan,
tidak gemar mendengar perkataan ‘mati’ yang kerap kali meniti di bibir mungil
isterinya.
“Shhh.. jangan cakap macam tu, sayang. Sayang tak boleh tinggalkan
abang. Sayang nyawa abang.” Pujuk Harris dengan sabar. Tangan sejuk milik ‘Aisy
dibawa ke bibirnya dan dikucup lama.
Redup pandangan mata ‘Aisy memerhatikan setiap perbuatan Harris.
Terusik hatinya dengan kesayuan yang terpancar di wajah Harris. Ingin sekali
disentuh dan dipujuk wajah itu namun dia tidak berdaya. Dia tidak berdaya untuk
menunjukkan cinta dan kasihnya yang semakin mekar kerana dia sudah tiada
apa-apa untuk disandarkan pada Harris.
“Saya dekat hospital ke?” Soal ‘Aisy sebaik menyedari kelainan
suasana bilik yang didiaminya. Tidak berminat untuk membalas luahan Harris.
“Ya, sayang. Sayang pengsan semalam. Hafeeza yang jumpa dan bawa
sayang ke sini.” Harris menjelaskan sambil menganggukkan kepalanya. Wajah pucat
‘Aisy direnung dengan penuh kasih.
Ingatan ‘Aisy kembali pada kenangan semalam. Masih terasa hentakan
kuat pada tubuhnya saat dia terjatuh dari tangga. Akibatnya dia terpaksa
menahan rasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian perut dan tulang pinggulnya.
Celah pahanya terasa basah dan melekit dengan darah yang mengalir tidak
henti-henti. Keadaan itu menyebabkan tubuhnya lemah dan akhirnya dia separuh
tidak sedarkan diri.
“Kenapa dengan saya, Harris? Macam mana saya boleh bleeding?” Soal ‘Aisy ingin
tahu.
Masakan kerana terjatuh tangga boleh menyebabkannya mengalami
pendarahan. Apakah kesakitan yang datang mengujinya berkait dengan perkara yang
disembunyikan kemas selama ini? Perkara yang pasti membuatkan hatinya sakit
setiap kali diingatkan. Dan kerana perkara itulah dia nekad untuk pergi dari
hidup Harris. Jika benar telahannya, pasti saat ini Harris sudah mengetahui
segalanya.
“Doktor cakap ada jalur tisu yang tak normal melekat kat bahagian
abdomen sayang. Jadi, sayang kena jalani laparoscopic
surgery. But don’t worry. Nothing serious and everything will be okay.”
Beritahu Harris cuba melemparkan senyuman. Berat hatinya ingin mengkhabarkan
semuanya. Sekurang-kurangnya bukan sekarang terutama dalam keadaan fizikal dan
emosi ‘Aisy yang masih tidak stabil.
‘Aisy merenung Harris lama. Hatinya dapat membaca riak serba salah
yang terpeta di wajah itu.
“Awak dah tahu semuanya kan? Beritahu saya, Harris. There is something wrong with me,
right?” Tebak ‘Aisy. Matanya mula digenangi air mata.
“Sayang, jangan fikir yang bukan-bukan. Doktor cakap you have to undergo a minor surgery
and that’s it. Everything will be okay..”
‘Aisy mengetap bibir. Harris tidak bijak menipunya.
“Tell me, Harris. Just tell me the truth! Don’t hide it from
me!” Nada suara ‘Aisy ditinggikan walaupun ternyata kedengaran lemah.
Dengan sehabis kudrat dia cuba bangkit dari perbaringannya.
“Sayang, kenapa bergerak ni? Tubuh sayang lemah lagi ni.” Tegah
Harris sambil tangannya pantas membantu isterinya bangun. Disandarkan tubuh
isterinya di birai katil.
“Saya tak boleh mengandung lagi kan?” ‘Aisy menyoal sayu. Gugur
air matanya satu persatu membasahi pipi pucatnya. Saat itu dia tidak mampu lagi
menyembunyikan rasa pilu yang mencucuk-cucuk pintu hatinya.
“Sayang, jangan macam ni. Itu semua tak penting. Yang penting
kesihatan sayang.” Pujuk Harris tidak terus menjawab pertanyaan ‘Aisy. Tubuh
‘Aisy didakap erat. Hatinya sebak melihat ‘Aisy yang sedang teresak-esak
menahan tangis.
Benarlah Harris sudah mengetahui kekurangannya. Kekurangan yang
membuatkan dia hilang keyakinan diri untuk terus menjadi srikandi dalam hidup
Harris. Betapa kerdil dirasakan dirinya kini di hadapan Harris.
“Saya tak boleh mengandung lagi.” Kata-kata itu meniti lagi di
bibir ‘Aisy seolah-olah dibisikkan pada diri sendiri. Di bahu Harris, dia
menghamburkan segala kepedihannya.
Kemungkinan risiko yang sudah dimaklumkan kepadanya sewaktu dia
mendapat rawatan ketika berada di London lagi. Hari ini kemungkinan itu sudah
menjadi kenyataan. Kenyataan yang membuatkan hati dan perasaannya remuk redam.
“Sayang, ia masih boleh dirawat. Kita buat pembedahan laparoscopic, ya.” Lembut suara
Harris sambil mengusap-usap belakang tubuh ‘Aisy. Air mata lelakinya turut
gugur melihat kesengsaraan ‘Aisy.
“It won’t help much, Harris.” ‘Aisy menggelengkan
kepalanya. Dia meleraikan pelukan. Jika tidak, dia pasti sudah melakukan
pembedahan itu ketika di London.
“Sekurang-kurangnya kita cuba, sayang. Lagipun pembedahan itu
dapat hilangkan rasa sakit di bahagian pinggul dan abdomen sayang. Kalau tak
berjaya di sini, kita dapatkan khidmat pakar dari luar negara. Selebihnya kita
serahkan kepada ALLAH.” Rayu Harris mengharapkan persetujuan daripada ‘Aisy.
“Buat apa semua itu, Harris? Semuanya dah tak ada gunanya. Saya
dah tak sempurna macam wanita lain.” Luah ‘Aisy berputus asa. Rasa rendah diri
semakin menebal.
“Sayang, dengar sini. Dengar cakap abang ni…” Harris memegang
kedua belah pipi ‘Aisy.
“Kehadiran sayang dah cukup menyempurnakan hidup abang. Abang tak
minta lebih daripada sayang. Yang penting kesihatan sayang. Abang tak nak
sayang terus menanggung kesakitan ini. Kesakitan sayang penderitaan buat
abang.” Bicara Harris sambil merenung tunak sepasang mata coklat milik ‘Aisy.
“Saya malu, Harris. Saya malu dengan kekurangan saya ini. Saya
rasa macam saya ni tak berguna lagi...” Sendu ‘Aisy memalingkan wajahnya ke
arah lain. Dia memejamkan kedua belah matanya. Cuba menghalau kepedihan yang
semakin meraja di hati. Di mana lagi dia harus mencari kekuatan untuk melalui
semua dugaan ini sedangkan kekuatan diri yang dikumpulkan selama ini sudah
makin terhakis? Penderitaan yang bertimpa-timpa membuatkan dia semakin lemah
dan goyah. Masih adakah esok yang bahagia buat dirinya? Entahlah, yang pasti
esok yang ada bukan lagi miliknya bersama Harris.
“Sayang, jangan…”
“Sudahlah, Harris. Saya penat. Saya nak tidur. Awak baliklah.”
Potong ‘Aisy kembali membaringkan tubuhnya membelakangi Harris. Ditarik selimut
sehingga menutupi paras dada.
Harris mengeluh lemah.
“Sayang rehatlah. Kalau sayang perlukan apa-apa, panggil abang.
Abang sentiasa ada di sini menemani sayang.” Akur Harris sambil membetulkan
kain selimut di tubuh isterinya.
Ubun-ubun ‘Aisy
dikucup dengan penuh kasih. Harris tahu emosi isterinya itu sedang terganggu.
Jadi, biarlah dia berikan sedikit ruang dan waktu buat ‘Aisy untuk menenangkan
diri. Jauh di sudut hati dia berazam untuk menebus kesilapannya yang lalu.
Biarpun kesilapan itu telah meninggalkan parut yang tidak mungkin hilang.
yaallah.. kesiannyer aisy... akibat perbuatan harris, dia yg tanggung sengsara... :(
ReplyDeleteharris deserve that..hope aisy tabah..maybe ada hikmah..lagipon ovari ada lg satu..kalau Allah nk beri, Dia ttp beri
ReplyDeleteToday is august 28.19 i m still watched this series and trying read this novel..n still love it..more
ReplyDeletestill lyn lagi 2022 😁
ReplyDelete