Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 30 April 2013

Temuduga Cinta Bab 8


Hampir lima belas minit aku membuntuti langkah Uzair yang masih tidak menunjukkan tanda mahu berhenti. Menonong laju ke depan. Meninggalkan aku jauh ke belakang. Lelaki berkaki panjang ni memang tak reti jalan perlahan ke? Dah naik kebas kaki aku ini mengejar langkahnya. Mahunya tak kebas seawal pagi lagi kaki ini dah mengukur jalan sejauh empat kilometer. Berjalan kaki dari Titiwangsa ke Jalan Ampang memang tak pernah dibuat orang.

Aku melilau pandangan ke sekeliling. Hanya bangunan tinggi mencakar langit yang menghiasi penglihatan. Sebiji butik pun aku tak nampak lagi di sepanjang jalan.

“Awak nak bawa saya ke mana ni?” Soal ku menahan nafas. Uzair tidak membalas pertanyaan ku. Kakinya terus diayun laju. Dia ni tak dengar ke atau sengaja buat-buat pekak? Aku mengeluh berat.

“Awak! Saya tanya ni.. awak nak bawa saya ke mana?” Aku mengulangi pertanyaan. Nada suara ku naik satu oktaf agar dapat menyaingi bising kenderaan yang bertali arus.

Untuk kali kedua pertanyaan ku masih dibiarkan sepi. Aku mengetap bibir. Dia ni sengaja nak mencabar kesabaran aku. Lalu aku berlari anak untuk menyaingi langkah Uzair.

“Jauh lagi ke nak sampai butik yang awak cakap tu?” Soal ku sedikit mengah. Bercakap sambil berjalan laju-laju memang memenatkan. Apatah lagi untuk aku yang selalu dapat keputusan tercorot dalam ujian kecergasan sewaktu di bangku sekolah dulu-dulu.

Uzair masih tidak menghiraukan pertanyaan ku. Dia tetap menonong dengan pandangannya menghala ke depan. Bibir pula tersenyum senget. Kemudian, ketawa kecil meletus dari mulutnya. Macam sedang mengelamun je. Dah terbang ke mana agaknya.

“Awak!” Panggil ku.

Masih juga tiada respons daripada Uzair. Malah dia gelak semakin kuat. Dia ni psiko ke? Tiba-tiba bulu roma ku meremang. Tapi kalau tengok rupa dan gaya dia ni macam manusia normal je. Hish..kenapa aku fikir yang bukan-bukan ni?

“Uzair!!!”

Kenyaringan nada suara ku dah macam melebihi kekuatan bunyi enjin keretapi. Lengan bajunya ku tarik sedikit kuat. Huh..kalau tak ada tindak balas juga aku nak sarankan dia ke klinik pakar. Pakar telinga atau pakar mental. Dua-dua pun sesuai!

Uzair menghentikan langkah. Dia berpaling. Dahinya berkerut memandang ku. Raut wajahnya menghantar satu pertanyaan bisu. ‘Apa?’

“Saya tanya awak nak bawa saya ke mana ni?” Aku mengulangi pertanyaan. Ya ALLAH. Berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi lelaki ini. Jadikan aku hamba-Mu yang beriman dan bersabar.

“Hah? Saya tak dengar tadi. Apa awak cakap?”

Aku mengetap bibir geram. Kalau ikutkan hati, mahu aku buka bunga silat kat tengah-tengah kota raya ni.

“Awak ni pekak ke? Dah berapa tahun tak servis telinga tu?”

“Ooi cik adik. Tak nampak ke saya tengah dengar lagu? Awak tu sebenarnya dah berapa tahun tak servis mata? Rabun dekat ya?” Balas Uzair sinis sambil menarik headphone yang disumbat ke telinganya. Sempat lagi dia ni pulangkan paku buah keras pada aku.

“Jangan nak kelentong sayalah. Dengar lagu apa sampai tersenyum-senyum..tergelak-gelak sorang-sorang? Orang kalau dengar lagu macam ni haa..” Tingkah aku sambil mengangguk-angguk dan menggeleng-gelengkan kepala meniru gaya manusia yang sedang syok melayan muzik, ala-ala macam dalam kelab malam tu.

“Macam dah biasa je. Selalu jadi pengunjung kelab malam ke? Atau dah jadi ahli seumur hidup?” Sindiran Uzair membuatkan aku tersentak. Aku memanggung wajah memandangnya geram.

Excuse me Mr. Uzair..aksi angguk-angguk, geleng-geleng macam ni dalam TV berlambak. Penonton yang berbakat macam saya ni, kacang je nak tiru semua tu.” Ujar ku memetik jari.

Aku ini peminat tegar drama Melayu yang ditayangkan di televisyen. Drama Melayu sekarang ni macam tagline astro juga, macam-macam ada. Baik, buruk lengkap semuanya. Apa yang penting benda yang baik kita jadikan teladan, yang buruk tu jadikan sempadan.

“Bakat terendam bolehlah. Dah rupa orang yang kurang satu per empat je saya tengok.” Bibirnya herot menahan senyum.

Kurang satu per empat? Maknanya ada baki tiga per empat lagi. Tiga per empat tu sama dengan tiga suku. Bukan ke tiga suku tu maknanya…

“Awak mengata saya kurang siuman ya?” Aku bercekak pinggang.

“Ha’ah..betullah tu. Tak sangka orang tiga suku pun pandai mengira juga ya.” Uzair mengangguk selamba. Raut wajah dia kalau aku nak gambarkan saat ini rasa macam nak aku lumat-lumat dalam lesung batu mak yang sebesar periuk kat kampung tu. Biar kemik wajah yang tampan tu.

“Awak ni memang hobi menyakitkan hati orang eh?  Kalau saya terus melayan awak, otak saya yang waras ni pun boleh bertukar jadi tiga suku sungguh. Jadi, sebelum saya hilang kewarasan saya, lebih baik saya blah.” Tutur ku dalam sisa sabar yang dah senipis kulit bawang ni.

Aku berpusing mula mengayun langkah ke arah jalan yang berlawanan. Bimbang kalau aku terus berlama di situ nanti ada yang makan kasut BATA saiz enam di kaki aku ni.

“Awak nak pergi mana pula tu?”

Aku tidak mempedulikan pertanyaan Uzair. Tak apalah kalau sehari aku terpaksa berfesyen macam orang sakai sekalipun, aku rela. Lagipun kalau aku tengok jam di tangan aku yang hampir menginjak pukul 9 pagi ni, aku tak rasa tawaran kerja itu masih ada untuk aku. Lebih baik aku pulang ke rumah untuk menukar pakaian dan fikirkan macam mana aku nak ubahsuai kain yang dah terkoyak ni.

“Awak nak ke mana pula tu? Kita dah nak sampai pun ni.” Suara Uzair mula mengendur. Dia turut menyaingi langkah ku.

“Balik rumah.” Jawab ku ringkas.

“Saya tak kisah kalau awak nak balik rumah. Tapi kot saya tu pulangkan balik.” Kata-kata Uzair membuatkan langkah ku terhenti.

“Memanglah saya akan pulangkan balik. Saya nak buat apa simpan kot awak ni.” Tingkah ku menjelingnya sekilas. Dia ingat aku hadap sangat kot dia ni.

I mean pulangkan sekarang.”

“Sekarang? Habis tu saya nak jalan macam mana dengan kain yang terkoyak ni?” Soal ku. Dia ni buruk siku betullah. Memang sungguh tak bertimbang rasa permintaan dia ni.

“Sebab itulah saya ajak awak beli pakaian baru. Kot saya ni mahal. Beratus-ratus harga dia. Saya tak nak awak bawak balik rumah dan buat harta kot saya ni.” Pedas ayat yang dituturkan Uzair sampai pedih hulu hati aku ni.

“Sungguhpun saya ni miskin dan tak berharta, tapi saya tak hadap barang yang bukan hak saya ni. Saya cuma pinjam sekejap. Itu pun sebab terdesak.” Balas ku menahan perasaan.

“Macam nilah. Besok awal-awal pagi lagi, saya akan sampai ke pejabat awak dengan kot awak ni. Saya janji.” Tambah ku seraya mengayun kembali langkah yang terhenti.

Uzair memintas jalan ku dan berhenti betul-betul di hadapan ku membuatkan aku terpaksa membrek kaki secara mengejut. Dia ni kalau nak potong sekali pun berilah signal dulu.

“Ikut saya.” Arah Uzair tegas. Wajahnya berubah serius. Tidak semena-mena dia terus menarik lengan ku untuk mengikuti langkahnya.

“Eh, awak ni kenapa?” Bentak ku keras. Aku meronta-ronta untuk melepaskan lengan ku dari cengkamannya. Ternyata tenaga ku tidak setanding kudrat lelaki milik Uzair.

“Ikut jelah. Jangan banyak soal.”

“Lepaslah! Awak tak boleh buat saya macam ni. Pegang-pegang tangan orang tak takut dosa ke? Nak masuk api neraka?” Aku bertanya sinis sambil menarik kuat tangan ku. Uzair melonggarkan pegangan.

 “Baiklah, saya beri awak dua pilihan.” Gumam Uzair menahan suara.

“Ikut saya shopping pakaian awak atau awak nak saya tarik kot di pinggang awak ni. Awak pilih mana satu yang awak nak. Pakaian baru atau kemaluan seumur hidup yang awak nak tanggung." Sambung Uzair mengugut. Senyuman sinis terukir di pinggir bibirnya.

Bulat mata ku memandang Uzair tidak berkelip. Dalam hati terdetik juga rasa bimbang. Manalah tahu Uzair sungguh-sungguh memaknakan kata-katanya. Tak dapat aku bayangkan kat mana aku nak sorokkan muka aku ini kalaulah dia benar-benar menarik kot yang terlilit kemas di pinggang aku ni.

“Yalah, saya ikut awak.” Putus ku.

"Pilihan yang bijak. Jom, ikut saya." Uzair tersenyum bangga. Dia bergerak maju ke depan. Seperti biasa meninggalkan aku sedikit ke belakang. Aku mengetap gigi menahan perasaan. Lelaki macam ni pun ada ke kat dalam dunia ni?

“Awak nak bawa saya ke mana sebenarnya ni?” Rasanya dari tadi lagi dah aku duduk ulang soalan yang sama pada lelaki ini.

Dia berpaling sebelum tangannya mengarahkan pada menara berkembar yang terpacak tegak di depan mata ku. “Sana.”

“KLCC?”

“Nasib baik kenal.” Uzair mengangguk mengiakan pertanyaan ku.

Aku menelan liur. Bukan ke kedai-kedai yang ada di dalam KLCC kebanyakannya menjual barang-barang yang berjenama. Pastilah harga untuk barang berjenama ini hanya mampu dibeli golongan-golongan ternama. Bukannya golongan kasta rendah macam aku ni. Yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dengan perasaan yang membengkak, aku membuntuti juga langkah Uzair masuk ke dalam menara berkembar Petronas itu. Dia membawa aku ke Butik CiTie yang terletak di tingkat tiga. Setahu aku butik ini terkenal dengan fesyen pakaian Muslimah hasil rekaan artis-artis bertudung di Malaysia.

“Awak..nak beli baju kat sini ke?” Aku menyoal sebaik Uzair menolak pintu butik tersebut.

“Ya lah.” Uzair angguk sekali. Dia menghadiahkan senyuman manis pada jurujual wanita yang mesra menyambut kedatangan kami. Tahu pula nak senyum elok-elok pada orang lain.

Aku melilau pandangan ke sekeliling butik. Bulat mata ku melibat pelbagai fesyen pakaian Muslimah yang dipamerkan dalam segenap ruang itu. Dan bertambah bulat mata ku tatkala terpandangkan tag harga yang tergantung. Boleh dikatakan semua pakaian di situ dijual tiga kali ganda daripada harga pakaian yang aku boleh dapatkan di pasar malam.

“Mahal semua baju kat sini. Awak tak rasa membazir ke? Saya rasa tak payahlah beli kat sini.” Bisik ku menolak.  

“Mahal pun tak apalah. Bukan guna duit saya pun.” Tukas Uzair mudah sambil mengangkat bahu.

“Saya mana mampu nak beli baju yang beratus-ratus ni.”

“Kita ke sana.” Ajak Uzair tanpa membalas kata-kata ku. Dia menapak ke arah gantungan pakaian yang terletak pada bahagian hujung butik. Dari jauh terpampang label “Discount 70%”.

“Yang ni awak memang mampu beli. Cepat pilih.” Arahnya sambil menyandar pada dinding kaca butik.

Aku memerhatikan susunan baju kurung, baju kurung moden, jubah maxi dan jubah berseluar yang dimaksudkan Uzair. Enzim liur yang laju merembes ku telan berkali-kali. Perempuan mana yang tak terliur dengan deretan pelbagai fesyen baju menarik yang terhidang di depan mata. Tetapi mengenangkan kemampuan diri yang tidak seberapa buat keinginan ku merudum.

“Cepatlah.” Gesa Uzair apabila melihat aku masih kaku berdiri di sebelahnya.

“Sekarang butik kami ada clearance stock. Potongan sehingga 70%. Cik nak cari baju berjubah ke?” Sampuk jurujual wanita yang mengekori langkah kami.

“Err..tak..saya..tak nak...” Aku menggeleng laju. Biarpun dah potong 70% sekalipun, aku tahu aku masih tak mampu nak membeli pakaian di situ. Lagipun buat apa membazir untuk sesuatu yang aku boleh dapat dengan harga yang jauh lebih murah dan kualiti yang sebanding.

“Cubalah tengok dulu. Banyak pilihan yang kami ada ni. Lagipun pakaian di butik kami ini memang banyak saiz cik.” Pujuk jurujual itu mempromosi.

 “Err..tak apalah..” Aku menggaru dagu.

 “Jomlah..saya tak nak beli baju ni. Tak mampu.” Aku berpaling pada Uzair yang sedang berpeluk tubuh. Aku berkira-kira untuk melangkah keluar bila Uzair bersuara.

“Kak, tolong pilihkan baju untuk dia ni.”

“Okay, encik nak fesyen yang macam mana untuk isteri encik ni?” Tanya jurujual itu sambil membelek sehelai demi sehelai pakaian yang berada di situ.

“Awak..saya tak..”

“Mana-mana yang sesuai asalkan longgar, menutup aurat dan selesa.” Beritahu Uzair memangkas kata-kata ku.

“Saya tak nak beli.”  

“Kena beli juga.” Paksa Uzair.

“Awak tak nampak ke tag harga kat baju tu semua? RM 99.90 selepas potongan 70%. Saya mana ada duit sebanyak tu!” Tekan ku geram.

“Beli baju ni atau saya tarik kot saya tu.” Gertak Uzair.

“Yang awak ni asyik nak gertak saya kenapa?”

“Akak rasa baju kurung Riau ni sesuai sangat dengan isteri encik.” Cadang jurujual itu menghentikan pertikaman pendek antara kami. Kenapa semua orang ingat aku ini bini lelaki sarkastik ni?

“Kak, saya bukan isteri dia!” Jerit ku kuat. Tiba-tiba aku terlepas geram pada jurujual yang tak bersalah ini. Terkulat-kulat dia memandang aku sambil tangannya menghulurkan baju kurung Riau berwarna biru firus kepada ku.

“Err..maaf, kak.” Rona wajah ku berubah merah. Dek rasa bersalah, nak tak nak terpaksalah aku menyambut huluran kakak jurujual ini.

“Tak apa. Fitting room kat sana, ya.” Jurujual itu tersenyum kelat. Tangannya menghala ke arah bilik persalinan.

Aku menundukkan wajah. Tanpa banyak soal, aku melangkah ke arah bilik persalinan.

“Macam mana? Padan tak?” Tanya kakak jurujual itu sebaik aku melangkah keluar dari bilik persalinan. Setia menunggu aku di luar bilik. Uzair entah ke mana menghilang.

“Err…”

“Kalau longgar atau ketat, cik boleh cuba saiz yang lain..” Saran kakak itu.

“Bukan-bukan..baju tu memang padan. Tapi..” Aku berhenti seketika untuk melihat reaksi jurujual wanita itu sebelum menyambung bicara.

“Harga baju ni tak boleh kurang ke?”

“Hah?” Rahang kakak jurujual itu jatuh memandang ku.

“RM 99.90 tu mahal sangat lah, kak. Kalau RM 87 saya ambil.” Ujar ku membuat tawar menawar.

“Cik sekarang ni berada kat butik. Bukannya pasar malam. Dekat sini harga semua tetap.” Balas jurujual itu memandang aku semacam.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Habis tu aku nak buat macam mana dengan baju ni?



p/s Please comments kalau sudi..hehehehe...

17 comments:

  1. Nak komen apa yer? Kak rozi rasa idea dan jln cerita tak cantiklah tu.. Kelakar pulak bila Ain menawar harga baju kat kedai baju... Dah uzair kata Ain kena bayar, budak tu tak sanggup la nak beli baju mahal.. Uzair ni kan kdg2 nampak heartless la..suka bili n kacau ain... Kut nanti ain dpt gaji transform jadi beautiful swan, padan muka kau giit jari bila org lain lebey ancem ushar....he..he..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih k rozi xjemu komen setiap bab. Ur comments mcm vitamin utk penulis lebih bertenaga utk menulis n improved. Hehehe

      Delete
  2. memang best cerita nie, kelakarlah ain nie...
    harap cepat sambung kalau boleh tiap2 ari ada n3 :)

    ReplyDelete
  3. suka2..kelakar la watak ain tu...

    ReplyDelete
  4. hahaha... kecian kat ain kene buli kat uzair.. tapi saya suke.. nak sambungannye lagi.. cepat laa ridhya...

    ReplyDelete
  5. alahai.. cian.. tp uzair nie dh taw prg xde duit dia g bw ke butik plk..ish...

    ReplyDelete
  6. kedai kat klcc buka lepas pukul 10.30 pagi...pukul 9, tak ada butik yang dah buka kat klcc tu...sorry tegur.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih! Good input. Akan diperbaiki..(y)

      Delete
  7. teruskan. sy sentiasa sokong kak bijak!

    ReplyDelete
  8. nakal betul uzair nie lah...

    ReplyDelete
  9. eee.. kpn uzair suka sgt buli ain.. paksa2 lg... gertak2 lg... aaiihh... kesian ain... dah la kelam kabut jer kejer nyer...

    ReplyDelete
  10. mmg lurus bendul si ain ni

    ReplyDelete
  11. best gila..tp klcc dah buka ke 9pagi??huhu

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..