Langkah kaki ku besarkan untuk
menyaingi Uzair yang sudah jauh ke depan. Menonong je berjalan tak tengok kiri
kanan. Mentang-mentanglah dia punya kaki yang panjang. Sekali dia melangkah
sama dengan dua kali langkah aku. Mengah aku nak mengejar langkahnya.
Kain baju kurung ku yang sedikit
sempit membataskan pergerakan ku. Maklum sajalah kain tak cukup meter yang ku
beli ketika jualan penghabisan stok di Nagoya. Gaya aku berjalan dah rupa macam
pelumba jalan kaki yang terkedek-kedek melangkah sambil menggelekkan punggung
ala-ala itik sekati.
Uzair membawa aku masuk ke Jabatan Logistik. Sempat mata ku
melilau memerhatikan sekeliling ruang pejabat itu. Boleh tahan luas jabatan
itu. Tiba-tiba mata ku menangkap satu kelibat yang sedang melambaikan tangan
pada ku dari dalam bilik yang dipisahkan dinding kaca. Ikram sedang
tersenyum manis dan sempat dia mengangkat ibu jari kanannya pada ku. Berjumpa
lagi aku dengannya di sini. Macam kuat je jodoh kami. Ahaks...Aku ketawa gatal
dalam hati.
Aku membalas senyuman manisnya yang umpama gula itu.
Hai..gula pun tak semanis itu. Kalau hari-hari pandang boleh kena kencing manis
aku nanti.
Terteleng-teleng kepala ku memandang Ikram sehingga tak
sedar aku telah melanggar tubuh Uzair yang berada di hadapan ku. Aku hilang kawalan dan akhirnya….gedebuk! Aku terjelepok di atas
lantai yang dilapis karpet hitam. Mujur ketebalan karpet itu dapat menyerap
bunyi punggung ku yang jatuh terhentak macam nangka buruk.
“Aduh..” Aku mengetap bibir menahan pedih di
tulang salbi. Mak ooi..keras
sungguh tubuh lelaki ini. Spesies urat dawai tulang besi agaknya. Sempat mata ku melilau kiri kanan. Nasib
baik tak ada orang yang perasan. Kalau tidak malu tujuh keturunan!
“Yang awak langgar saya tu kenapa?"
Aku memanggungkan kepala. Uzair bercekak pinggang di depan ku.
“Err..sorry...” Balas ku tersengih macam kerang
busuk.
“Itulah jadinya kalau mata tu gatal duk
tenung anak teruna orang...”
Sinis Uzair tajam.
"Oh.. Encik Ikram tu single lagi?” Opss..Aku menutup mulut ku. Macam
mana boleh terkeluar pula soalan yang sepatutnya aku tanya dalam hati aku saja.
"Tak kahwin tak semestinya single." Gumam Uzair menjeling ku tajam.
Aku cepat-cepat menundukkan wajah.
Pura-pura sibuk mengutip beg plastik dan fail yang bertaburan di atas lantai. Mujurlah
tidak terburai keluar isi dalam beg plastik itu.
Bukannya bermaksud aku berminat pada
Ikram bila aku tanya soalan begitu walaupun memang tidak dapat dinafikan
ketampanan lelaki itu bisa membuat aku menoleh dua tiga kali. Manusia sentiasa
terpegun dengan kecantikan dan keindahan. Jadi, apa salahnya aku mengagumi
keindahan ciptaan Tuhan.
"Cepat sikit boleh tak?"
Gesa Uzair sambil memandang jam di tangan. Dia mempamerkan wajah bosan.
Tercegat macam patung melihat aku terbongkok-bongkok mengutip barang. Bukannya
nak tolong pun. Huh!
Aku bingkas bangkit.
"Auchh.."
"Apa lagi ni?"
"Tulang pinggul saya terkehel
agaknya.. Saya rasa peranakan saya dah jatuhlah.." Aku mengetap bibir
menahan rasa sakit yang mula mencucuk-cucuk di pinggul ku.
“Haaa..biar betul awak ni. Apa
kaitannya?” Soal Uzair pelik.
“Perempuan kalau jatuh terhentak
punggung ni bahaya. Rahim boleh jatuh tau.” Terang ku sambil menahan rasa sakit. Makin
lama makin kuat pula denyutan sehingga ke bahagian pinggang. Hampir aku terjelepok
sekali lagi ke lantai kalau Uzair tidak memegang lengan ku.
"Macam-macamlah awak ni. Teori
manalah yang awak ambil tu.." Keluhnya sambil menggelengkan kepala.
“Betul. Mak saya yang beritahu. Mak
saya tu tukang urut profesional merangkap bidan kampung..” Pertahan ku beria-ia. Berdecit mulut
ku menahan sakit. Nampaknya balik kampung nanti kenalah aku minta tolong mak
aku urut untuk betulkan balik peranakan aku ni.
“Boleh jalan tak ni?” Tangannya masih kejap di lengan ku
yang berlapik. Mujur berlapik. Kalau tidak dapat dosa kering percuma je.
“Kejap..Kejap..” Pinta ku mengangkat sebelah tangan.
“Rasanya boleh jalan tapi sebelum tu boleh
tak awak tolong pegang ni?”
Pinta ku seraya menghulurkan beg plastik dan fail yang berada di tangan ku kepadanya.
Urat di pinggang ku terasa menegang.
Mungkin kerana simpati dengan keadaan
aku yang tampak dalam kesakitan, tanpa banyak soal dia mengambil beg plastik
dan fail dari tangan ku.
Aku menarik nafas dalam. Kedua belah
tangan ku letakkan pada pinggang. Aku menolak tubuh ku ke belakang, ke depan,
ke kiri dan ke kanan untuk merenggangkan urat yang bersimpul. Terasa lega
sedikit bila dapat mengendurkan urat di bahagian pinggang.
"Kalau rasa tak boleh jalan, kita
duduk kat sana sekejap.." Beritahu Uzair sambil menunjukkan jarinya ke
arah sofa yang disediakan di ruang menunggu.
“Boleh juga..” Terhincut-hincut aku melangkah ke
arah sofa.
Nikmat sungguh bila dapat melabuhkan
punggung di sofa empuk. Kalau lah sofa ini boleh berfungsi macam kerusi urut
Ogawa tu mesti lagi syok.
Uzair turut melabuhkan duduk di
sebelah ku.
“Kalau rasa tak okay, kita ke klinik.” Cadang Uzair mengambil berat. Alahai… lelaki ini. Dalam sinis, dia masih
punya hati yang cukup baik.
“Err..okay..saya okay.. Lagipun kalau
ke klinik nanti temu duga tu macam mana pula..” Aku menolak. Jam di pergelangan
tangan ku kerling sekilas. Sudah pukul 2.45 petang.
“Alamak!!!” Aku separuh menjerit.
“Kenapa? Sakit sangat ke?” Soal Uzair
terpinga-pinga.
“Temu duga tu.. awak kata tadi pukul
2.30 kan? Sekarang dah pukul 2.45. Macam mana ni?” Ujar ku risau. Inilah
satu-satunya peluang yang aku ada untuk dapatkan pekerjaan. Takkan aku nak
sia-siakan peluang untuk hadir temu duga terbuka ini. Selama ini aku nak dapat
peluang dipanggil temu duga pun payah. Permohonan asyik ditolak je memanjang.
“Nak temu duga macam mana dengan
keadaan awak macam ni.”
“Boleh..saya boleh tahan lagi..”
Tekan ku laju. Aku bingkas bangkit biarpun rasa sakit masih bersisa.
“Biar betul awak ni? Tadi sakit bukan
main lagi. Gaya macam dah patah riuk je saya tengok tadi. Awak ni sakit betul
ke berlakon je?” Sindir Uzair membuatkan aku menjelingnya geram. Mulut dia ni
kadang-kadang sangat menyakitkan hati.
“Memanglah saya sakit betul-betul.
Bukannya awak tak nampak macam mana saya jatuh tadi kan? Lagipun buat apa saya
nak pura-pura depan awak? Bukannya dapat apa pun.” Aku mencebik.
“Manalah tahu kot-kot awak nak tarik
perhatian saya ke. Entah-entah awak sengaja nak ambil kesempatan nak merasa
tangan sasa saya ni papah awak..” Duga Uzair membuatkan wajah aku membahang merah.
Malu dan geram bercampur menjadi satu.
“Huh! Tak ada maknanya. Awak ingat
saya hadap sangat ke? Kalau tak kerana pinggang saya yang tergeliat ni, dah
lama saya karate awak. Suka-suka hati je pegang lengan saya tadi. Mujur
berlapik.. Entah-entah awak tu sebenarnya yang nak ambil kesempatan..” Hambur
ku memulangkan paku buah keras. Dia ingat aku ini bermurah hati sangat nak
sewenang-wenangnya benarkan lelaki bukan muhrim menyentuh aku. Telah ku khaskan
diri ini hanya untuk ditatap dan disentuh oleh imam ku nanti.
“Saya tolong awak pun dah kira mujur.
Bukannya nak berterima kasih. Kalau saya tak pegang awak tadi, mahunya awak
terjelepok macam nangka buruk lagi sekali. Paling tak saya dah berjaya halang
rahim awak daripada jatuh buat kali kedua. Entah-entah kalau terjatuh lagi
mahunya terkeluar terus usus perut awak nanti..” Perli Uzair sinis. Bibirnya
herot menyembunyikan senyum.
Aku tahu dia sedang bahankan aku
tentang teori peranakan jatuh tu. Sungguh aku tak bohong fasal teori tu! Itu
ilmu yang mak aku belajar dan warisi dari zaman nenek moyangnya. Kadang-kadang
ilmu orang lama ni lagi hebat dari teori moden orang-orang baru.
Hanya jelingan tajam yang mampu aku
hadiahkan pada lelaki di depan ku ini. Malas aku nak berbahas dengan orang yang
terlebih pandai ni. Geramnya!
“Terima kasih banyaklah atas semua pertolongan
awak.” Gumam ku menahan perasaan.
“Bak saya punya fail dan benda tu..”
Pinta ku menghulurkan tangan.
Setelah fail dan beg plastik
berpindah tangan, aku terus mengorak langkah biarpun perlahan. Tak kuasa aku
nak berlama di situ menghadap muka lelaki ini. Mata ku melilau mencari arah
tempat temu duga. Tak ada pula kaunter pertanyaan untuk aku rujuk dan bertanya
arah.
“Awak nak ke mana tu?” Tegur Uzair.
“Cari tempat temu duga tulah.” Balas
ku dengan wajah masam. Biarlah aku cari arah sendiri daripada bertanya pada
Uzair. Silap-silap telinga ini makin merah menahan sindiran pedas lelaki ini.
“Mari saya tunjukkan awak” Pelawa
Uzair.
“Tak apalah. Awak dah banyak tolong
saya. Saya rasa saya boleh cari sendiri. Saya tak nak ganggu kerja awak lagi.
Terima kasih..” Aku menolak. Menolak kerana aku ingin buktikan yang aku juga
punya harga diri. Sudahnya aku membawa langkah mengikut gerak hati. Meninggalkan
Uzair yang terkebil-kebil memandang ku.
Aku melangkah masuk ke dalam ruang
pejabat yang menempatkan beberapa buah kubikel. Semua pekerja aku lihat begitu sibuk
melakukan kerja di meja masing-masing. Khusyuk menunduk dan serius mengadap
kerja masing-masing. Mereka ni robot ke manusia?
“Minta maaf, kak..” Sapa ku
menghampiri seorang wanita bertudung yang sedang tekun menghadap komputer.
Wanita itu memalingkan wajah memandang ku sekilas sebelum kembali menyambung
kerjanya. Aku perhatikan laju tangannya menekan butang papan kekunci.
“Saya datang nak temu duga…”
“Sorry..
I bukan kaunter pertanyaan.” Balas wanita itu angkuh. Satu das jelingan
tajam dihadiahkan pada aku.
Aku mengetap bibir. Berlagak tak
ingat!
“Excuse me..we’re very busy right now. Tengah closing..”
Sambung wanita itu lalu bangkit untuk menyambut panggilan telefon yang
berdering nyaring di belakangnya. Meninggalkan aku terkial-kial di situ.
Aku melangkah pula ke arah seorang lelaki yang
berada selang dua meja daripada wanita berlagak itu tadi. Namun, belum sempat
aku bersuara untuk bertanya lelaki itu terlebih dahulu bangun dan tergesa-gesa
melangkah ke ruang fotostat.
Sebuah keluhan terlepas di mulut ku. Aku
pandang ruang pejabat yang cukup luas itu. Mana satu arah yang harus ku tuju?
Melihat detik jam yang semakin laju bergerak ke depan membuatkan hatiku semakin
gusar. Bimbang peluang yang datang terlepas begitu saja. Akhirnya kerana terdesak aku melangkah tanpa
tujuan.
“Awak salah jalan tu..”
Teguran Uzair menghentikan langkah ku
yang hendak membelok ke lorong di sebelah kanan ruang pejabat itu. Aku
memusingkan tubuh ke belakang. Mati-mati aku ingatkan Uzair dah beredar dari
situ.
“Lain kali kalau tak tahu jalan,
jangan sombong berlagak macam tahu. Orang tua selalu kata orang sombong
bertanya sesat jalan.” Sindir Uzair pedas.
Aku diam tidak membalas. Tahan sajalah
telinga dengan sinis Uzair ni. Bukan aku yang sombong nak bertanya tetapi tak
ada seorang pun dalam pejabat ini yang sedar dengan kehadiran aku di sini.
Masing-masing sibuk mengalahkan menteri.
“Mari saya bawak awak jumpa the in charged person.”
Uzair bergerak ke depan mendahului
aku dan melangkah ke lorong di sebelah kiri.
“Cepatlah..nak attend temu duga tu ke tak nak?” Gesa Uzair bila aku masih tidak
berganjak.
Aku mengetap bibir. Bengang sungguh
aku dengan perangai Uzair. Biarpun baru mengenali lelaki ini tapi entah kenapa
aku rasa macam nak cili-cili saja mulut dia ni. Dalam banyak-banyak spesies
manusia di dunia ni, spesies yang sarkastik nilah yang paling aku alergi
sekali.
Kalau ikutkan rasa sakit di hati, aku
blah saja dari bangunan itu. Tetapi mengenangkan peluang kerja yang ditawarkan,
aku gagahkan juga kaki ini mengikut langkahnya. Siapa tahu mungkin rezeki aku
ada di situ.
p/s silalah drop sepatah dua kata kalau sudi ya!
p/s silalah drop sepatah dua kata kalau sudi ya!
dok tggu jaaa citer niee... tq kak ridhya >__<
ReplyDeletewelcome amy..tq jgk sudi tunggu..hehehe
DeleteLawak tul minah ni. Bole plak dia ckp psl peranakan jth bagai. Menarik jln citernya. Sila sbg lg ye hihihi
ReplyDeletengehngehngeh...
DeleteHaha... Kelakor giler.. Sempoinye minah tu! Sukalah pd kata2 uzair tu "kalu saya tak pegang utk kali ke-2 mungkin boleh keluar usus awak tu".. Apelah yg akn berlaku utk next episode.. Tak sabarnye..
ReplyDeletetq2..
DeleteSemakin menarik jln citernya ridhya.. Keep up the good work... Look forward sambungannya..
ReplyDeletetq kak rozie..
Deletesuka lah citer ni..menarik...tahniah kak ridhya iman.... :)..cepat2 sambung eh??
ReplyDeletethanks afiqah
Deleteklakar, kelam kabut la si ain ni... semakin best... ;)
ReplyDeletetak menahan baca pasal peranakan jatuh tu...sapa uzair ni? salah sorang anak owner ke? aduhai..tak sabar nak tau..
ReplyDeleteMemang lurus macam pembaris si ain ni...:)
ReplyDelete