Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Tuesday 9 April 2013

Temuduga Cinta Bab 2


Pintu lif tertutup rapat dan mula bergerak ke tingkat tiga belas. Otak ku ligat berputar mencari helah. Bagaimana aku nak lepaskan diri ini. Aku tak punya banyak masa. Tetapi otak ku juga bagaikan tidak mahu bekerjasama. Aku kekontangan idea!

Aku kerling ke arah lelaki yang tidak aku tahu namanya ini. Bila pandangan kami beradu segera aku kalih wajah ke depan. Semacam saja pandangannya pada aku. Naik seram tiba-tiba. Terasa seperti mata dia sedang mengimbas aku luar dan dalam. Jangan-jangan dia dah dapat hidu pembohongan aku. Hati aku menelah bercampur-baur dengan pelbagai rasa.

Satu…dua…tiga…Aku pura-pura fokus pada pergerakan nombor di skrin digital pada dinding lif. Terasa sungguh perlahan lif ni bergerak. Dari ekor mata, aku tahu dia masih memandang ke arah aku. Rimas.

“Siapa nama awak?” Lelaki itu bersuara memecah kesunyian. Sudah hilang panggilan ‘cik’ di bibirnya.

Aku memanggung kepala ke sisi. Wajahnya serius.

“Err…Qurratul ‘Ain Arifin.” Balas ku sedikit teragak-agak sebelum mengalih kembali pandangan ke depan.

 “Qurratul ‘Ain..sedap nama tu…” Dia memuji membuatkan aku tersenyum sedikit. Pertama kali seorang lelaki memuji nama ku, terasa berbunga-bunga juga di taman hati.

 “Penyejuk mata ku..”

“Hah?” Sekali lagi aku mengangkat wajah.

“Maksud nama awak tu…penyejuk mata, right?” Soalnya membuat mulut ku sedikit terlopong. Kagum bila dia tahu maksud di sebalik nama aku.

“Betullah tu.” Aku mengangguk laju mengiakan. Meleret senyuman bangga di wajah aku.

“Qurratul ‘Ain..it sounds familiar to me..” Sekali lagi nama aku meniti di bibirnya. Keningnya berkerut seperti sedang mengingatkan sesuatu.

“Oh, baru saya ingat. Nama awak sama dengan nama monyet peliharaan atuk saya kat kampung.” Beritahunya tanpa selindung. Bibirnya herot sedikit menahan senyum.

Aku terkedu. Senyuman di bibir ku terus padam. Bukan main payah mak aku pilihkan nama yang cantik dan elok maknanya untuk aku, datuk dia boleh berikan nama yang sama pada ber…errr..monyet peliharaan. Tak ada nama lain ke?   

But the name doesn’t suit her at all.” Dia mengomel perlahan lebih pada diri sendiri. Ada ketawa kecil meletus di hujung kata-katanya. Terbentuk lesung pipit di pipi kanannya bila dia gelak begitu.

Telinga aku yang spesies telinga lintah ini jelas dapat menangkap butir bicaranya. Aku mengangguk perlahan.

“Memanglah tak sesuai kalau namakan seekor monyet dengan nama manusia.” Sampuk ku lurus.

Lelaki itu tidak membalas kata-kata ku. Sebaliknya, dia semakin kuat tergelak sehingga buat aku kembali terfikir dan tertanya-tanya. Kata-katanya itu ditujukan pada monyet kesayangan datuknya atau sebenarnya untuk aku?

“Awak mengata saya ke?” Aku menyoal dalam prasangka. Entah kenapa hati aku lebih berat merasakan ayat-ayat itu memang ditujukan khas buat aku. Ini boleh mendatangkan marah!

“Huh?” Tawanya mengendur. Dia sedikit terpinga-pinga memandang ku. Namun tidak lama bila dia akhirnya tersenyum sinis. Panas pula hati aku dengan lagak lelaki ini.

“Apa maksud awak tadi? Monyet atuk awak atau saya yang tak sesuai dengan nama tu?” Tekan ku. Wajahnya ku tentang berani.

“Mestilah monyet tu yang tak sesuai dengan nama tu. Kenapa? Terasa ke?” Balas lelaki itu tapi entah kenapa hati aku terasa seperti dia sedang memerli aku.

“Tak..tak ada apa” Aku menggelengkan kepala. Senyuman nipis ku ukirkan sebelum memusingkan tubuh ku membelakangi lelaki itu. Mungkin aku ini terlebih berprasangka.

If you don’t mind, care to hear my advice?” Tanya lelaki itu tiba-tiba. Langkahnya dimajukan beberapa tapak mendekati aku.

“Apa dia?” Aku mengangkat kening menanti bicaranya.

“Kalau saya jadi awak…” Kata-katanya terhenti. Matanya memandang aku atas bawah sehingga membuat aku sedikit gelisah.

“…tempat pertama yang saya akan tuju sebaik pintu lif terbuka adalah tandas.” Ujarnya menyambung bicara.

“Kenapa?” Aku mengerutkan kening. Adakah dia sedang menyindir penampilan wajah aku yang pucat tanpa mekap ini? Yalah, bedak nyonya yang aku tempek di muka pagi tadi mesti sudah luntur dek peluh. Atau dia suruh aku cerminkan baju aku yang sedikit lusuh ini?

“Bersih dulu tompok merah kat belakang baju kurung awak ni. Bulan awak mengambang penuh sangat..” Beritahu lelaki itu serius. Namun aku dapat kesan dia sedang menyembunyikan senyum.

Tubuhku kerjung di situ. Mata ku memandangnya tidak berkelip. Darah merah menyerbu laju ke wajah. Andai aku punya kuasa sakti saat ini, ingin aku lenyapkan diri aku sekarang juga. Malu!

Ting! 

Pintu lif terkuak luas.

Come, I’ll show you the restroom. You need to wash the dirt first..” Lelaki itu melangkah keluar dari perut lif.

Cepat-cepat aku memusingkan kepala ku ke belakang dan baju ku angkat sedikit. Aduh! Ada tiga tompok darah sebesar duit lima puluh sen di situ. Sudahlah kain kapas yang ku pakai ini mudah menyerap cecair. Kalut!

Aku memandang pintu lif yang masih terbuka. Kaki aku masih melekat di dalam lif. Kalau diikutkan ini adalah peluang terbaik untuk aku lepaskan diri sebelum pembohongan aku dapat dikesan. Apa yang aku perlu lakukan hanya tekan butang tutup di dinding lif.

Tetapi malangnya aku tak boleh buat begitu. Kesan darah di baju yang perlu dicuci menarik kaki aku untuk turut menapak keluar membuntuti lelaki itu. Aku menutup belakang punggung ku dengan fail. Keadaan sekeliling yang sedikit lengang memudahkan pergerakan ku.

“Awak ada bawa extra diapers ke?” Dia menyoal aku di depan pintu tandas.

Diapers?” Aku mengerut kening. Apa hal pula yang dia tiba-tiba dia tanya aku fasal lampin ni?

Yeah.. I think you need to change the diaper.. Dah penuh, kenalah tukar..” Jawab lelaki itu teragak-agak.

“Ooo..maksud awak..tu..t..tuala wanita?”

Malu aku semakin bertingkat-tingkat. Kalau nak diukur bahang di wajah aku ini agaknya dah capai takat didih.

“Ha’ah..that thing. Ada bawa tak?” Soal lelaki itu lagi.

“Errr..ada..ada..saya masuk dulu..” Aku mengangguk laju sebelum menapak masuk ke dalam tandas. Dengan kalut aku menuju ke arah singki. Beg sandang yang menyilang di tubuh ku keluarkan. Isi dalamnya ku selongkar untuk mencari tuala wanita.

“Eh..mana aku letak benda alah ni?” Soal ku sendirian bila barang yang dicari tidak aku temui. Selalunya memang aku selalu letak spare di dalam beg.

“Alamak..” Aku mengetuk kepala perlahan. Baru aku teringat stok tuala wanita aku dah habis! Adoi…apa aku nak buat ni? Masalah negara..masalah negara.

Aku melangkah semula ke arah pintu tandas. Sebaik pintu dikuak, aku  menjengahkan kepala keluar. Lelaki itu masih setia berada di depan pintu.

“Dah sudah ke?” Dia menyoal.

“Belum..errr…” Aku menggeleng. Teragak-agak aku menyambung bicara.

“Saya terlupa bawak pad.

Pad? Note pad ke?

“Err..bukan. Pad…maksud saya tuala wanita. Saya tak bawak spare.” Balas ku senafas.

“Hah??? Tak bawak?” Bulat mata lelaki itu memandang aku.

“Saya terlupa.”

“Macam mana awak boleh lupa bawak benda penting tu? Takkan bulan awak sendiri mengambang pun awak tak ingat?” Lelaki itu membebel sinis.

Aku mengetap bibir. Takkan aku nak cakap yang sebenarnya aku terpaksa mencatu duit aku dan perbelanjaan untuk membeli tuala wanita tidak ada dalam catuan aku sebab duit di tangan aku hanya cukup untuk bayar tambang bas RapidKL balik ke rumah saja ni.

“Habis tu saya nak buat macam mana?” Soal ku terdesak. Mustahil aku dapat bertahan dalam keadaan begini.

“Manalah saya tahu.” Lelaki itu mengangkat bahu.

“Errr…” Aku berkira-kira nak meminta bantuan dia untuk belikan aku tuala wanita tapi sanggup ke dia nak menolong aku? Boleh ke aku berharap pada lelaki yang namanya pun aku tak tahu ni? Arghh..kalau tak cuba tak tahu. Lagipun hanya dia saja harapan yang aku ada sekarang ni.

“Dekat bawah tadi saya nampak ada kedai koperasi..” Beritahu ku teragak-agak. Rasa malu ku tolak ke tepi.

So?

“Boleh tak awak tolong belikan saya benda tu? Rasanya benda tu mesti ada jual kat situ..” Pinta ku tidak ada pilihan.

What??? Me??? Beli benda tu? No way!” Tolak lelaki itu mudah. Tangannya diangkat tinggi. Laju kepalanya menggeleng.

“Tolonglah saya. Please…” Rayu ku sambil mengerdipkan mata memohon simpati.  

Lelaki itu mengeluh serba salah. “Macam mana saya nak beli, benda tu pun saya tak tahu macam mana bentuk dia.”

“Awak tak pernah beli ke untuk isteri awak ke?”

“Saya belum kahwin lagi.”

“Errr.. mak awak ke?”

“Dah menopaus.”

“Adik perempuan ke?”

“Tak ada adik perempuan.”

Aku mengeluh lemah.

“Takkan awak tak pernah tengok langsung benda tu kat dalam iklan TV? Surat khabar pun ada. Macam-macam jenama. Ada Libresse, Laurier, Stayfree…”

“Tak ada masa saya nak tengok benda tak berfaedah macam tu.” Pangkah lelaki itu.

“Itulah orang lelaki. Kalau tak berfaedah dan tak penting malas nak ambil tahu kan. Padahal bukannya rugi pun kalau ambil tahu. It’s a general knowledge. Asal benda yang melibatkan masalah wanita yang ‘tu’ ramai yang menganggap tak penting..tak berfaedah...jijik..kotor..Nama je hidup dalam zaman teknologi, tapi mentaliti masih zaman tok kaduk..” Leter ku bengang. Bengang dengan sikap segelintir lelaki yang kurang sensitiviti. Salah satu contohnya lelaki di depan aku inilah.

“Lelaki pula yang salah? Semua ini takkan berlaku kalau perempuan macam awak ni sentiasa alert dan tahu bila nak sediakan payung sebelum hujan. Itu kan maruah wanita. Tapi awak pandang mudah pada maruah awak sendiri..” Perlinya menaikkan suhu kepanasan di hati aku.

Aku mengetap bibir geram. Lelaki ini dah benar-benar mencabar kesabaran aku.

“Kalau awak tak nak tolong saya tak apa. Tapi tak perlulah tuduh saya tak kisah dengan maruah saya sendiri! Awak ingat saya tak malu ke dengan apa yang berlaku ni??”

Aku menghempas pintu kuat. Tubuh ku menyandar lemah di dinding pintu. Mata ku berkaca. Berombak dada ku menahan rasa geram, resah dan takut yang bercampur-baur menjadi satu.

Aku memandang sekeliling dalam pandangan yang kabur. Mencari jalan untuk menyelesaikan masalah ku yang kritikal ini. Tiba-tiba pandangan mata aku tertumpu pada kotak tisu yang digantungkan di dinding. Aku rasa aku boleh gunakan itu untuk bertahan buat sementara waktu.

Setelah memastikan semua kekotoran telah dibersihkan, aku melangkah ke arah pintu tandas. Aku berkira-kira untuk ke koperasi di tingkat bawah bangunan itu untuk mendapatkan tuala wanita. Nampaknya terpaksalah aku gunakan duit tambang bas ku ini. Dan untuk pulang ke rumah, terpaksalah aku menapak dengan dua batang kaki ku ini. Aku mengeluh lemah.

“Nah!”

Aku tercengang apabila lelaki itu menghulurkan tiga buku tuala wanita daripada tiga jenis yang berbeza pada aku sebaik aku menolak pintu tandas dari dalam.

“Cepatlah ambil.” Gesa lelaki itu. Matanya melilau ke sekeliling.

“Banyaknya! Saya nak sekeping je.” Bungkusan itu bertukar tangan.

“Err..saya tak tahu mana satu yang awak selesa guna.” Lelaki itu menggaru kepalanya serba salah.

“Errr…terima kasih banyak!”

Aku mengeluh lega. Tapi tak lama bila aku memandang kembali ke arah bungkusan itu. Macam mana aku nak bayar semua ni???

13 comments:

  1. Malunya..tapi tabiklah kat brother tu sanggup belikan... Sayang awak!

    ReplyDelete
  2. Hahahahhaa...... lawak tul.mau plak dia p beli. Siap 3 skali yg x menahan tu.

    ReplyDelete
  3. Haha.. Malunyeeeee pempuan tu.. Sempoilah crite baru ridhya ni.. Tapi best!!

    ReplyDelete
  4. alahai... kesian ain tu... kalo sy pun malu jugak kena tegur... huhuhu... baik pulak *dia* tu tlg belikan... sampai 3 bungkus lg...

    ReplyDelete
  5. kan dh kna sound cik abg...

    ReplyDelete
  6. Ya Allah malunya. Whoever through this situation muka mmg kena tebal menahan malu. Omo,nasiblah guy tu baik even mcm annoying. ahaha :)

    ReplyDelete
  7. owhhhh.... malunya...tp this guy really nice....hehehe

    ReplyDelete
  8. Bestnya citer ni....tak sabar nak tunggu 21....♡♡♡♡

    ReplyDelete
  9. bestttt..nak order dekat Ideakreatif sekarang

    ReplyDelete

Tinggalkan jejak anda..