Mulut ku terlopong luas sebaik kaki
menapak masuk ke dalam bilik temu duga. Sungguh aku kagum dengan dekorasi dan
susun atur perabot yang ada dalam bilik itu. Kerusi berwarna hitam yang disusun
mengelilingi meja putih panjang yang berada di tengah-tengah menjadikan ruang
itu tampak cukup elegan dan eksklusif dalam gaya moden yang tersendiri.
“Cik, sila duduk.” Pelawa Suraya
sambil menarik salah satu kerusi. Sebuah senyuman manis diukirkan pada
ku. Suraya merupakan staf yang bertanggungjawab
menguruskan sesi temu duga terbuka itu.
“Terima kasih.” Aku mengangguk seraya
membalas senyumannya. Teragak-agak aku nak melabuhkan duduk di atas kerusi itu.
Kerusi berspring yang direka dengan lima roda itu nampak sungguh eksklusif. Rasa
macam tak layak untuk punggung ini dilabuhkan di atas kerusi itu. Bimbang juga
kalau aku meninggalkan kesan berdarah yang tak diingini di situ. Sudahlah aliran
tenat sedang berlaku ni. Menderun laju macam air paip.
“Sama-sama.” Jawabnya lembut sebelum
bergerak ke arah cermin kaca yang memisahkan bilik itu dengan ruang pejabat
yang lain. Dia mencapai alat kawalan bidai dan menekan butang pada alat
tersebut. Secara automatik bidai venetian itu bergerak perlahan menutupi cermin
kaca tersebut. Sekali lagi mulut ku terlopong kagum. Canggihnya!
Kemudian wanita yang berusia
pertengahan 20-an itu bergerak ke bahagian meja yang betul-betul berhadapan
dengan ku dan meletakkan sekeping fail putih di situ. Dia mengangkat wajahnya
apabila menyedari aku masih tegak berdiri.
“Kenapa tak duduk? Tak lenguh ke kaki
tu asyik berdiri je..” Suraya menegur. Kedua belah keningnya sedikit terangkat.
Aku tersengih. Perlahan-lahan
punggung ku labuhkan di atas kerusi empuk yang itu. Cukup berhati-hati. Aku
manalah biasa duduk di atas kerusi yang mewah begitu. Fail dan beg plastik yang
aku bimbit sejak tadi aku letakkan di atas meja.
“Cik Suraya..” Panggil ku. Suraya
berpaling pada ku.
“Ya, saya..” Sahutnya mesra.
“Err..kat luar tu saya tengok ada
beberapa orang yang tengah tunggu untuk interview.
Tapi kenapa saya yang dipanggil dulu?” Aku menyoal ingin
tahu. Pelik juga bila Suraya memanggil nama ku sedangkan aku antara pemohon
yang mendaftar paling lambat. Mana tak lambat hampir dekat pukul 3.00 petang
baru aku selesai mengisi borang permohonan.
“Kenapa?” Suraya menyoal ku balik.
Dahinya yang licin berkerut memandang ku.
“Err…tak adalah. Saya cuma takut Cik
Suraya tersilap.” Beritahu ku teragak-agak.
“Tersilap?” Lipatan di dahi Suraya
semakin banyak. Aku mengangguk sebelum menyambung kata.
“Sepatutnya saya orang terakhir yang
dipanggil sebab saya yang paling lambat mendaftar. Kesian pula dekat pemohon
yang datang awal daripada saya. Dorang pun dah lama tunggu..” Jelas ku. Bab
potong-memotong giliran ni memang kepantangan aku. Yalah, mana nak datangnya
kepuasan kalau dapatkan sesuatu dengan cara yang tidak adil dan telus. Tak ada
cabaran namanya tu.
“Ooo…sebenarnya yang di luar tu calon
distribution manager.” Tutur
Suraya lembut.
“Habis tu tak ramai ke yang apply untuk post store
keeper ni?”
“Emm..kalau ikut senarai ni, rasanya
Cik ‘Ain sorang je yang memohon.” Beritahu Suraya sambil menyelak helaian
kertas dalam fail putih yang berada di hadapannya.
“Haa..saya sorang je?” Soal ku
terkejut dan pelik. Syarikat bukan main gah macam ni, takkan tak ada seorang
pun yang nak mohon kerja penyimpan stor tu kecuali aku. Kes aku ini pun sebab
secara tak sengaja tersinggah masuk ke dalam bangunan ini.
“Ya” Suraya mengangguk. Aku
terpinga-pinga memandang Suraya.
“The
interview will start any minute. So, get ready ya..” Pesan
Suraya menyambung bicara sebelum melangkah keluar dari bilik temu duga.
Meninggalkan aku melongo sendirian dalam ruang yang cukup besar itu.
Kalau aku seorang saja yang memohon
jawatan ini, maknanya aku tidak ada pesaing. Maknanya hanya aku calon tunggal
untuk jawatan ini. Maknanya memang jawatan ini sah-sah akan menjadi milik aku.
Senyuman ku mekar di bibir.
“Yes!
Alhamdulillah..” Ucap ku lega. Dengan rasa yang cukup teruja aku menyandarkan
tubuh ke belakang kerusi. Badan kerusi yang berkeupayaan melentur sehingga 45
darjah menyebabkan aku hilang kawalan. Dan akhirnya..bump!
Tubuhku tersadai di atas lantai
dengan kaki terangkat ke atas. Sebelum kain itu terselak jatuh sampai ke
pangkal paha, aku cepat-cepat bangkit. Kain baju yang tersarung di tubuh ku
betulkan agar terletak elok. Tudung yang senget turut ku baiki lipatannya.
Rasa sakit yang mencucuk ku tahan
sekuat hati. Aduh..kesan jatuh tadi pun tak hilang lagi. Kali ini ditambah pula
dengan rasa sakit dek hentakan kuat di lantai marmar. Patah riuk sungguh tubuh
aku kalau macam ni. Memang hujung minggu ni aku harus
balik kampung. Khidmat mengurut bidan Lijah sangat-sangat aku perlukan saat ini
untuk betulkan peranakan aku yang dah dua kali jatuh ni.
Aku melilau pandangan ke sekeliling
bilik.
“Fuh..” Aku mengeluh lega. Mujurlah
hanya aku seorang saja yang berada di bilik itu. Kalau
tidak mahunya aku bawa diri bertapa dalam gua tujuh purnama kalau ada yang
melihat aksi aku jatuh gaya somersault tadi.
Kerusi yang terbalik segera ku
dirikan semula. Belakang punggung ku libas dua tiga kali sebelum aku kembali
melabuhkan punggung di atas kerusi itu. Berlagak selamba biarpun rasa
sengal-sengal masih kuat terasa.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari
luar. Bunyi derap tapak kaki yang melangkah masuk membuatkan aku berpaling ke arah
pintu. Mata ku bulat melihat lelaki yang sedang menghampiri meja di
depan ku.
Encik Ikram! Bibir ku berbicara dalam
bahasa bisu. Tanpa sedar aku turut berdiri dengan
mulut yang separuh terlopong.
"Hi! We meet again. Have a seat.." Arah Ikram sambil dia turut
melabuhkan duduk di hadapan ku. Senyuman manis memang tidak lekang di bibirnya.
How sweet.
Bagaikan dipukau aku hanya menurut
katanya. Perlahan-lahan aku membetulkan duduk biarpun cukup canggung berada di
atas kerusi empuk itu. Bimbang juga kalau tiba-tiba aku tersembam buat kali
kedua.
Aku memandang Ikram yang sedang tekun
meneliti kertas di dalam fail putih. Entah apa soalan yang bakal ditanya pada
aku? Sudahlah aku langsung tak buat apa-apa persediaan untuk
menghadiri temu duga formal begini. Sasaran aku sebaik melangkah keluar dari
rumah tadi cuma nak cari apa-apa kerja di restoran segera. Sungguh aku tak
sangka langkah aku akhirnya membawa aku untuk ditemu duga di syarikat Gemilang
Holdings ini.
"So..” Kata-kata Ikram mengejutkan aku. Dia mendongak memandang aku.
Renungan dia biarpun tidak setajam Uzair tapi dia punya sepasang mata yang
cukup menggoda.
“You're Miss Qurratul 'Ain Ariffin, right?"
Sambungnya menyoal ku lembut.
"Yes, I am." Balas aku mengangguk yakin. Aku mengangkat sedikit
dagu. Keyakinan itu perlu biarpun dalam hati ini bergelojak seribu.
"Miss..emmm....can I call you miss ‘Ain?”
“Boleh..err..yes..yes..you
can.” Aku menekup mulut ku sambil mengangguk laju. Macam mana boleh
tersasul jawab dalam Bahasa Melayu pula ni. Bukankah Madam Susan, pensyarah
Bahasa Inggeris sewaktu aku belajar di universiti pernah berikan tips ketika
menghadiri temu duga. Jika soalan ditanya dalam Bahasa Inggeris maka aku perlu
menjawab menggunakan bahasa yang sama. Biarpun Bahasa Inggeris aku azabnya
hanya aku saja yang tahu.
Ikram mengangkat keningnya sebelah.
Pandangannya yang serius membuatkan aku mula terasa gugup. Tiba-tiba
macam ada rama-rama yang sedang menggeletek usus perut aku.
“Okay,
miss ‘Ain. In a few words, please tell me about yourself.” Intonasi suara Ikram
berubah serius. Gaya dia sungguh profesional. Berkarisma habis. Hilang terus
gatal-gatal keladi masa pertama kali aku terserempak dengan lelaki ini tadi.
Liur yang ku telan terasa tersekat di
kerongkong. Aku berjeda beberapa detik memikirkan jawapan. Kalau dalam bahasa
Melayu, secepat kilat bibir aku ini boleh memuntahkan jawapan. Tapi bila aku
kena bertutur dalam Bahasa Inggeris, kelajuan aku terus merudum ke paras
negatif.
“Err.. my name is Qurratul ‘Ain Ariffin…”
“Yes..
I know that..” Sampuk Ikram dengan senyum senget.
“Err..I’m twenty four years old. I’m from Pahang. My father name is Ariffin bin
Ahmad. He dead already. My mother name is Halijah binti Sulong. She works..errr…”
Aku kematian kata. Alamak..bidan kampung tu apa dalam bahasa Inggeris?
“My mother..she works..err..village nurse..”
Bolehlah. Bidan tu kan skop kerja dia lebih kurang sama macam jururawat juga
kan. Cuma tak pakai uniform putih tu je.
“Village
nurse?” Ikram mengerutkan dahi.
“Yes..yes..you
know when a woman want to born a baby from her stomach..then my mother will greet
the baby..and.. my mother also works to massage people body. But for
woman only..My mother said haram if she massage a man.” Terang ku panjang
lebar. Sehabis kosa kata yang ada dalam kepala otak aku keluarkan.
Bulat mata Ikram memandang aku. Mulutnya
sedikit terlopong. Hebat sangat ke bahasa Inggeris aku sampai dia terpegun
begitu sekali. Itulah jangan sangka budak kampung macam aku tak pandai cakap
orang putih.
“Haaa...one more thing. I have no brother and I also have no sister.
Err..that all about myself.” Sambung ku sambil tersengih. Kembang
juga tangkai hati aku bila dapat bertutur dalam bahasa mat salleh ni.
Mata Ikram masih meratah wajah aku
tidak berkelip. Takkanlah kagum sangat dia dengan aku sampai macam tu sekali.
“Mr. Ikram…” Aku melambaikan tangan.
“You
have any more question?” Soalan aku membuatkan Ikram menundukkan wajahnya.
Aku perasan bahunya sedikit bergerak, macam menahan senyum pun ada. Kelakar
sangat ke soalan aku tu?
“Ehem..” Ikram berdeham. Dia kembali
memanggungkan wajah. Merenung aku dengan serius.
Aku menunggu soalan dalam penuh
debar. Tak dapat aku nak menebak soalan yang bakal ditanya lelaki ini. Janganlah
dia tanya aku fasal syarikat Gemilang Holdings ini sudahlah. Dahlah pengetahuan
aku fasal syarikat ini berada pada tahap zero. Masak aku nak menjawab kalau
ditanya fasal latar belakang syarikat ini. Bukan kata latar belakang, senarai
ahli lembaga pengarah syarikat ini pun aku tak tahu. Nak menjawab dalam bahasa
Inggeris lagi satu hal. Rentung aku!
Pernahlah aku dengar nama syarikat
ini sekali. Itu pun melalui cerita kawan sekampung aku Rogayah. Waktu itu aku
cuma acuh tak acuh saja mendengar si Rogayah tu bercerita. Masuk telinga kanan
keluar telinga kiri. Sebab aku tahu Rogayah ni kaki propa. Sepuluh yang dia
beritahu, satu pun belum tentu lagi betul. Ada ke patut dia gebang dengan aku
yang dia bekerja di Gemilang Holdings sebagai pengurus pemasaran. Dengan bangga
dia canang yang kononnya jawatan dia tu bergaji lebih dari lima ribu ringgit.
Kelulusan setakat sijil ada hati nak gaji ribu-ribu.
“Miss
‘Ain, why did you apply for this position?” Pertanyaan Ikram
memangkas lamunan aku. Tapi aku tak berjaya nak menangkap kata-katanya.
“Errr…I
beg your pardon, sir.” Mujurlah aku masih ingat apa yang pernah diajar
Madam Susan. Ayat sopan yang perlu digunakan bila kita mahu pertanyaan itu
diulang lagi sekali. Tak sia-sia aku duduk di barisan hadapan kelas.
“Why
did you apply for this position since you have no qualification in this area?”
Ikram mengulang soalannya.
Aku menggaru kening. Macam mana aku nak menjawab soalan ini
sedangkan skop kerja penyimpan stor pun aku tak tahu. Biasanya sesebuah
syarikat menyimpan stok barang yang dibeli di dalam stor sebelum stok ini dibekalkan
kepada syarikat-syarikat lain.
“Errr..because I want
to be Gemilang Holdings workers. I want to take care the store. You know, I’m
good in clean. Before this, I work as housekeeper. So, to keep the store clean
and organize.. I have no problem with that.” Balas ku separuh yakin.
“Very well, then.” Ikram
tersenyum senget sebelum menganggukkan kepalanya. Dia mencatatkan sesuatu di
atas kertas.
“How much are you
expecting for the salary?” Ikram menyoal lagi.
“One thousand ringgit.”
Lancar mulut ku meletakkan nilai. Cukuplah setakat seribu ringgit. Aku tak
minta lebih. Yang penting lepas aku nak bayar sewa rumah, makan dan hulurkan
sedikit pada mak aku di kampung. Aku mencongak dalam diam.
“Cukup ke? I mean is it
reasonable for a degree holder to earn only a thousand ringgit as the monthly
income?”
“Cukup..errr…saya jawab dalam bahasa Melayu jelah ya.” Pinta
aku. Ikram hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Seribu ringgit itu sangat besar nilainya bagi saya. Apatah lagi
saya datang ke sini tanpa pengalaman. Dan saya mempunyai kelulusan dalam bidang
yang berbeza. Tapi, saya janji. Kalau saya diberi peluang bekerja di sini, saya
tidak akan jemu belajar. Saya akan buktikan yang saya mampu menggalas tugas
sebagai penyimpan stor setanding dengan mereka yang berpengalaman.” Ucap aku
dengan penuh semangat. Dah gaya macam nak masuk pencalonan pilihan raya pula.
“Well said, Miss ‘Ain. Bagus..bagus..”
Puji Ikram.
“Okay, saya rasa saya tak ada soalan lagi. Terima kasih
kerana berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja Gemilang
Holdings.” Beritahu Ikram formal sambil menutup fail.
“Saya dapat tak kerja ni?” Soal ku terdesak ingin tahu.
“Dalam masa beberapa hari lagi, pihak kami akan hubungi Cik ‘Ain
untuk maklumkan keputusan temu duga.” Balas Ikram. Dia bingkas bangkit dan mula
melangkah ke pintu bilik.
“Kenapa tak boleh beritahu sekarang?” Aku mengekori langkah
Ikram. Sebaik kami berdua berada di luar bilik itu, Ikram segera memusingkan
tubuhnya mengadap aku.
“Unofficially.. I
tak ada masalah nak approve permohonan
you ni. But I have to consult with big boss first.” Dia tersenyum manis. Kali
ini senyuman dia bukan setakat manis, tapi berubah sedikit nakal. Tiada lagi
gaya profesional dan formal seperti di dalam bilik tadi.
“Oohh..” Aku mengangguk. Malu pula bila tunjuk gelojoh begitu
di depan Ikram.
Tapi, jangan risau. I akan
yakinkan big boss untuk ambil you. I’m
looking forward to work with a beautiful and young lady like you.” Giat
Ikram sambil mengenyitkan matanya pada aku.
Aku melarikan wajah. Semakin membahang lah pipi aku bila
dipuji begitu. Cantik ke aku ni? Tanpa sedar aku memegang pipi ku.
“Errr..by the way. Sorry
ya sebab kat dalam tadi I tanya you soalan-soalan formal macam tu. You know, I have to follow a normal
procedure in the interviews. Lagipun kat dalam tu ada CCTV and everything in there was recorded.”
Gumam Ikram perlahan di telinga ku.
“CCTV???”
Aku
mengangkat wajah. Bulat mata ku memandang Ikram. Semua yang berlaku kat dalam
bilik tadi dirakamkan CCTV? Termasuk aksi somersault
aku yang tersembam dari kerusi tadi? Pitam aku! Saat itu aku hanya mampu
berdoa, janganlah ada sesiapa yang menonton tayangan secara langsung dari aku
tadi!
p/s: Hope enjoy the new entry. Drop some comment if you will. Thank you..
p/s: Hope enjoy the new entry. Drop some comment if you will. Thank you..
hahahahhaha.... ainnnn...slunberr jaa dia nie...suka sgt... very slumber..
ReplyDeletexleh blah jatuh kusi.. sekali ade CCTV haru biru jd nye.. hahaha
ReplyDeleteNak pecah perut ni ketawa.... #^_^
ReplyDeleteKelakar la ridhya... Jawapan dia dlm bahasa inggeris tu tal bleh belah...village nurse... He..he...
ReplyDeleteX bole blah tul ngan ain ni. Very clumsy hahaha apa lg la nk jd lps niha.
ReplyDeletepoyo sungguh si ain ni... hahaha.. nak part 6.. apelah yg akn ain buat lps ni plk.. adooi.. kelakarnya si ain ni...
ReplyDeleteselamba giler Ain tu..ngeh ngeh..
ReplyDeleteHahahaha..lawak si ain nie..
ReplyDeletehai...marathon baca tc ni...kelakar r...cctv...fuhhh....lawak...going to read next chap...bravo...
ReplyDeletemmg klakar giler2 la ain nih... hambik siap ada cctv lg.. habis la ain... best la RI ;)
ReplyDeletesomersault? kah3...well done...enjoy dgn cerita nih...dh mngalir air mata nih duk tgelak...hahah
ReplyDeletehahaha...adoi la ko ain...ada CCTV okey...abis..ilang kesopanan..
ReplyDeleteHahaha.... tak de apa nak komen dah, semua komen di atas meliputi semua komen sy. Ain yg kelakar giler...
ReplyDeleteHahaha...ain..ain...
ReplyDeleteBest...
..hazalina burahan..
hadoiiii...nak pecah perut gelak yg ain jatuh kerusi tu...pastu dgn selamba badak jgb dlm BI yg grammar tunggang langgang....sempoi giler si ain ni....paling tak blh tahan, CCTV tu..hahahaha......malu wehhhh.....
ReplyDeleteok nak gelak guling2. haha
ReplyDeleteHahaha adoi cik eriter niy sampai pedih tekak dek gelak.. hamboi qurratup ain belum ape2 dah launching action lawak eh ... hihihi,,,
ReplyDeleteYa Allah.. sakik oerut gelakkkkkkk... bila ni nak jd novel... mmg wajib ada dlm koleksi..ahahah
ReplyDeletesakit perut baca entri ne..hahaha..adoi cctv ..
ReplyDeleteYa Allah....apa la kelakar sangat ain ni...dalam satu hari macam2 hal....
ReplyDelete