Suasana gamat di rumah kampung milik Haji Hilmi menyambut kepulangan ‘Aisy. Semua ahli keluarga yang berkumpul kecoh berkongsi cerita menjadikan suasana cukup meriah dan ceria. Namun, kehadiran Harris membantut keterujaan ‘Aisy. Keinginannya untuk bermesra dengan setiap ahli keluarganya menjadi tawar dan hambar. Dia rimas dengan ekor mata Harris yang sering memerhatikan setiap gerak-gerinya.
‘Aisy meminta diri masuk ke dalam kamar tidur dengan alasan untuk
berehat. Sekurang-kurangnya dia berjaya meloloskan diri daripada pantauan mata
helang Harris buat seketika. Tambahan pula perjalanan jauh yang ditempuh memang
meletihkan tubuhnya.
Kemunculan Harris membangkitkan banyak persoalan dalam benaknya.
Malah perubahan Harris yang tampak sangat ketara turut mengundang tanda tanya
di hati ‘Aisy. Kemesraan lelaki itu dengan setiap ahli keluarganya membuat dia
merasa meluat. Berbeza sekali dengan Harris yang dikenalinya lima tahun yang
lalu. Seorang lelaki yang cukup dingin dan beku seperti bongkah ais di kutub
selatan.
‘Aisy melepaskan keluhan berat. Tubuhnya dihempaskan di atas katil
kayu yang sedikit usang. Tangannya diletakkan di atas kepala. Tunak matanya
memerhatikan pergerakan kipas syiling yang berputar laju. Kenangan di Lapangan
Terbang Sultan Mahmud menjengah di ruang ingatan.
“Awak tunggu apa lagi kat sini?”
‘Aisy menjeling Harris yang masih tidak berganjak sedangkan bagasi
sederhana besar milik lelaki itu sudah selamat berada di atas troli. Pelik
apabila Harris yang selama ini cukup menghargai masa begitu santai di sisinya.
“Abang tunggu isteri abang.” Jawab Harris lembut. Senyuman manis
dihadiahkan kepada ‘Aisy yang jelas kurang selesa dengan kehadirannya.
“Who’s your wife?” Soal ‘Aisy menyindir. Dia berpura-pura
melilau pandangan seolah-olah mencari kelibat seseorang. Sedangkan dia cukup
maklum siapa yang dimaksudkan Harris. Kebencian dan dendam yang sarat telah
menjadikan dia seorang yang cukup sinis.
“Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu lagi mahu tanya, emm?
Setakat ini rasanya sayang seorang je isteri abang.”
Harris mencuit dagu runcing milik ‘Aisy. Mencipta kemesraan yang
telah lama ditinggalkan pergi.
Pantas ‘Aisy melarikan wajah. Jawapan Harris benar-benar
menjengkelkannya. Sungguh dia geram setiap kali perkataan isteri meniti di
bibir lelaki itu. Baginya, gelaran itu sudah lama dilucutkan Harris biarpun
tidak secara hitam putih.
“Jangan terlalu yakin, Harris. Sampai masanya awak tahulah langit
ini tinggi ke rendah.” Gumam ‘Aisy perlahan penuh tersirat. Dalam diam akalnya
mula merencana sesuatu. Ikatan yang bagaikan retak menanti belah itu harus
ditamatkan.
“Dan abang akan pastikan itu semua takkan berlaku. Don’t you ever think about it.”
Balas Harris bagaikan dapat membaca apa yang sedang difikirkan ‘Aisy.
‘Aisy mengetap bibir. Ketegangan jelas terlakar di wajahnya.
Pandangannya dialihkan ke arah turutan bagasi yang sedang bergerak di atas conveyor belt. Tercari-cari
bagasi miliknya. Cepatlah. Dia sudah tidak sabar untuk segera beredar dari
situ.
“I don’t need your help.” Tolak ‘Aisy kasar sebaik Harris
mahu membantu memindahkan bagasi besar miliknya ke atas troli.
“Salah ke abang tolong isteri sendiri? Inikan sebahagian
tanggungjawab abang.” Harris tidak mengendahkan penolakan ‘Aisy. Dengan mudah
bagasi itu diangkatkan ke atas troli.
‘Aisy merengus geram. Dia menarik nafas dalam agar oksigen sampai
ke otaknya. Membina tembok kesabaran yang masih tersisa.
“Simpan saja kebaikan awak tu, Harris. Saya masih punya kudrat.
Tulang empat kerat saya ni masih kuat lagi. Selama ini pun saya masih boleh
berdiri sendiri biarpun tanpa bantuan seorang suami!” Perli ‘Aisy sedikit
sebak.
Dia menahan perasaannya. Mudah benar hatinya diruntun pilu setiap
kali mengenangkan kepayahan dan kesulitan yang terpaksa dihadapinya
bersendirian. Namun, kuasa ALLAH itu memang besar sifatnya. Walau sehebat mana
dia disisih suami sendiri, dia bangkit dan terus bangkit dengan bantuan insan
lain. Jasa Fahmi dan Farah tidak mungkin dilupakan. Merekalah suami isteri yang
sentiasa menyokongnya semasa di perantauan.
“Abang tahu sayang kuat. Dan boleh hidup tanpa abang. Tapi, abang
tak kuat nak harung hidup sendirian tanpa sayang.” Harris merenung ke dalam
anak mata ‘Aisy. Benar-benar menyampaikan maksud hatinya.
‘Aisy ketawa sinis. Entah kenapa kata-kata Harris itu menjentik
rasa lucu di hatinya. Langsung tidak terkesan dengan luahan Harris. Malah,
hatinya semakin sebu dengan sandiwara yang sedang dimainkan Harris.
“Hentikanlah lakonan awak ni, Harris.” ‘Aisy senyum sinis. Anak
matanya mencerlung tajam ke arah Harris sebelum menyambung kata..
“Pergilah, Harris. Tak perlu bersusah payah kerana saya. Sia-sia
saja bazirkan masa awak yang berharga itu semata-mata untuk insan hina macam
saya ni. Lebih baik awak siapkan urusan awak yang jauh lebih penting tu.” Desis
‘Aisy separuh menyindir.
“Sayanglah urusan abang yang paling penting. Percayalah, abang
ikhlas dengan apa yang abang buat ni.” Ujar Harris tenang. Dia masih boleh
tersenyum biarpun kata-kata tajam yang dilontarkan ‘Aisy menggores perasaannya.
Namun, untuk membunuh kebencian ‘Aisy, dia perlu sabar menelan setiap bicara
pedas yang diluahkan wanita itu.
‘Aisy mencebik. “Tak perlu bermulut manis, Harris. Saya tahu awak
pasti tak akan datang ke sini jika tak ada urusan penting kan.”
Yakin ‘Aisy dengan andaiannya sendiri. Harris mana betah untuk
menjejakkan kaki ke kawasan kampung yang cukup berlawanan dengan fitrah jiwa
lelaki itu yang amat menyanjung arus kemodenan.
“Yeah, betullah tu. Memang abang ada urusan kat sini. ‘Aisy pun
kenal abang macam mana kan. I
don’t like wasting my time for nothing.” Tingkah
Harris bernada sedikit angkuh.
‘Aisy membuat muka. Memang benar telahannya.
“But believe me, sayang. Kali
ni abang ke sini memang hanya untuk sayang. Demi rindu dan cinta abang terhadap
sayang. Bermula dari sekarang, sayang adalah keutamaan dalam hidup abang.”
Intonasi suara Harris berubah lembut. Tanpa menghiraukan manusia di sekeliling,
dia mengelus pipi putih ‘Aisy.
‘Aisy terkedu. Entah kenapa hatinya sedikit terusik dengan bisikan
kata-kata itu. Alangkah indahnya andai Harris tidak pernah menyakiti hatinya
sebelum ini. Pasti dialah wanita yang paling bahagia saat itu. Namun, dia sedar
Harris tidak pernah jujur dengan perasaannya. Keikhlasan Harris menerimanya
sebagai isteri tidak pernah wujud. Mengenangkan itu hatinya semakin sakit. Rasa
sakit yang tidak mungkin terpadam sampai bila-bila.
“Stop it, Harris. Sejak bila perempuan yang pernah awak
layan macam kain buruk ini menjadi kepentingan utama seorang lelaki terhormat
macam awak? Hakikatnya, awak
tak pernah perlukan saya dan saya masih boleh hidup tanpa awak.”
‘Aisy mengawal suaranya sambil menepis tangan Harris. Bimbang juga
jika ketegangan di antara mereka disedari orang sekeliling. Mujurlah tidak
ramai manusia yang berada di situ kala itu.
“Abang akui abang pernah tersilap menilai kejujuran dan keikhlasan
sayang. Dan sekarang, abang sedar dengan kesilapan abang. Abang dah tahu
kebenarannya.” Bicara Harris berubah lirih menggambarkan kekesalannya.
“Kebenaran?” ‘Aisy meledakkan tawa sinisnya.
“Semua tu dah tak penting, Harris. Dah tak ada maknanya. Sebab
semua tu tak mungkin akan mengembalikan apa yang saya dah hilang.” Suara ‘Aisy
berubah sayu. Matanya berkaca. Setitis air matanya tumpah jua. Arghh.. dia
tidak sepatutnya menitiskan air mata di hadapan lelaki itu.
“Maafkan abang, sayang.” Ucap Harris kesal. Hatinya tersentuh
melihatkan air mata yang mengalir di pipi ‘Aisy.
‘Aisy menyeka rakus air mata di pipinya. Kata-kata maaf yang
diungkapkan Harris bagaikan minyak yang menyimbah bara kemarahan di hatinya.
“Mudah kan? Awak campak saya sesuka hati awak. Awak percaya dengan
fitnah orang. Dan sekarang, setelah saya hilang segala-galanya, awak harapkan
saya untuk memaafkan awak? Tak semudah itu, Harris.” Nafas ‘Aisy turun naik.
Muak telinganya mendengar permohonan maaf yang tidak putus diungkapkan Harris.
“Memang dulu abang pernah khilaf, sayang. Tapi, berilah peluang
pada abang untuk betulkan apa yang silap selama ini. Kita bina hidup baru ya,
sayang.”
Mohon Harris tidak berputus asa. Walau sukar untuk dia meraih
kemaafan ‘Aisy, namun dia tidak akan berhenti mencuba. Cukuplah sekali dia
telah mensia-siakan peluang untuk meraih bahagia dengan wanita itu.
“Sudahlah, Harris. Hentikan kepura-puraan dan permainan awak ni.”
‘Aisy memeluk tubuhnya sambil meliarkan pandangannya ke arah deretan bagasi.
Sukar hatinya untuk mempercayai kejujuran Harris setelah apa yang terjadi.
“Sayang, please
trust me. Abang tak berpura-pura dengan kata-kata abang.” Harris membalikkan
tubuh ‘Aisy menghadapnya. Redup matanya memanah ke dalam anak mata ‘Aisy.
Menyampaikan rasa hati melalui sinar mata.
‘Aisy turut menentang pandangan Harris. Ingin dibuktikan yang dia
tidak akan kalah dengan panahan lelaki itu. Dia mahu Harris tahu yang dia tidak
akan goyah dengan pujuk rayu Harris lagi. Tetapi… sinar mata itu. Kenapa dia
hanya nampak kelembutan dalam sinar mata Harris? Ke mana hilangnya keegoan dan
keangkuhan yang sering menguasai lelaki tampan ini? Perasaan ‘Aisy bercampur
baur.
“Just go, Harris. I don’t need you in my life!” Gumam ‘Aisy
seraya menepis tangan Harris yang kaku di bahunya. Dia memalingkan wajahnya ke
arah lain. Tidak mahu terbuai dan terus tertipu dengan sandiwara Harris. Luka
di hatinya tidak pernah kering. Masih berdarah dan parah!
‘Aisy merapati conveyor
belt, bersiap sedia
untuk mencapai bagasi berwarna coklat yang sedang melintasi di depannya. Belum
pun sempat tangannya menyentuh bagasi tersebut, Harris sekali lagi pantas
mengangkatnya dan diletakkan di atas troli.
‘Aisy merengus kasar. Sangkanya kata-katanya tadi cukup untuk
membuatkan Harris beredar meninggalkannya. Namun lelaki itu terus tegap berdiri
di sisinya tidak ubah seperti pengawal peribadi.
“Ada lagi?”
Pertanyaan Harris hanya dijawab dengan gelengan setelah tiga biji
bagasi berjaya diangkat ke atas troli. Tanpa pamitan dan jauh sekali ucapan
terima kasih, ‘Aisy menolak troli laju meninggalkan Harris agak terkebelakang.
Namun tidak sukar lelaki tinggi lampai itu menyaingi langkahnya.
“Buat apa awak ikut saya lagi? Dah tak ada kerja lain ke?” Soal
‘Aisy kasar. Dia menghentikan langkah membuatkan Harris terlajak ke depan.
“Sayang, kita menuju pintu yang sama. Rasanya, pintu ketibaan kat airport ni satu tu je kan?” Ujar Harris
tenang.
‘Aisy mencebik, menyembunyikan rasa malu. Itulah…siapa suruh
perasan terlebih sangat. Dia memarahi dirinya sendiri.
“Lagipun, bagasi abang ada kat atas troli ni. Jadi, terpaksalah
abang ikut ke mana sayang nak bawa bagasi abang tu.” Tambah Harris sambil mengenyitkan
matanya.
‘Aisy mengerling timbunan bagasi di atas troli. Terselit bagasi
biru gelap kepunyaan Harris di celah bagasi miliknya. Dek terlalu melayan rasa
sebal di hati, langsung dia tidak menyedari tindakan Harris meletakkan bagasi
milik lelaki itu di atas troli yang sedang disorongnya.
“Come, biar abang tolak.” Sambung Harris dan kini troli
telah bertukar tangan.
‘Aisy ingin menghalang namun hasratnya dibatalkan sebaik melihat
lambaian kedua orang tuanya. Langkah kaki dilajukan ke arah Haji Hilmi dan
Hajah Maryam yang setia menanti di luar balai ketibaan.
“Mak…” Tangan Hajah Maryam dikucup lembut. Tubuh tua itu dipeluk
erat. Rindu yang disimpan selama empat tahun kini terlerai.
“Sayang anak mak. ‘Aisy sihat? Kenapa kurus sangat ni? Susah ke
nak makan kat sana?” Pertanyaan bertalu-talu Hajah Maryam mengundang tawa
kecil ‘Aisy.
“’Aisy sihat, mak. Makan semua cukup. ‘Aisy macam dulu juga cuma
agaknya ‘Aisy ni makin tinggi kot. Sebab itu nampak kurus sikit.” Gurau ‘Aisy
sambil memeluk bahu Hajah Maryam mesra.
“Pandailah kamu nak kelentong mak ye.” Pipi ‘Aisy dicubit lembut.
“Kenapa ‘Aisy tengok makin banyak kedut kat muka mak ni? Mak tak
pakai safi Rania ke?” Usik ‘Aisy lagi sedikit nakal.
“Bertuah punya budak. Memanglah mak makin tua. Kalau kulit ini licin
nanti orang kampung cakap mak pakai susuk pula.” Kata-kata berbaur gurauan itu
mengundang tawa kedua beranak itu. Serasa sudah terlalu lama mereka tidak
berpeluang bergurau begitu.
“Dua beranak ni kalau dah bertemu, dah tak ingat orang lain dah.”
Teguran Haji Hilmi menggamit ‘Aisy menghampiri lelaki berkopiah itu.
“Ayah sihat?” ‘Aisy menyalami tangan Haji Hilmi. Lelaki berusia
awal 60-an itu mengusap lembut kepalanya yang dilitupi tudung.
“Ayah macam ni lah, ‘Aisy. Dah nama pun orang tua. Kadang-kadang
diberikan Allah kesihatan. Kadang-kadang Dia uji dengan sakit.” Lembut bicara
Haji Hilmi.
‘Aisy memandang wajah tua ayahnya dengan penuh kasih. Jelas tampak
keuzuran di wajah itu. Kemudian dia beralih kepada dua orang adiknya yang
sedari tadi hanya menjadi pemerhati, Rizal dan Sumayyah.
“Rizal apa khabar? Dah berjanggut rupanya adik kakak ni.”
Wajah tampan milik Rizal ditenung. Huluran tangan bersambut dan
tangan ‘Aisy dikucup sopan. Kemudian pandangannya beralih pada seorang wanita
yang sedang mesra mengukirkan senyum kepadanya.
“Alhamdulillah sihat, kak. Biasalah dah jadi bapa orang. Kenalkan ini
isteri Rizal, Suraya.” Suraya tunduk sopan menyalami nya.
“Kak ‘Aisy minta maaf tak dapat tengok live korang berdua kahwin.” Ujar ‘Aisy
sedikit kesal. Hanya gambar perkahwinan Rizal dan Suraya yang menjadi
pengganti. Itu pun hanya dapat ditonton di alam maya.
“Tak apa, kak ‘Aisy. Kami faham.” Balas Suraya lembut.
“Ini mesti Mia Sara kan? Comelnya anak sedara umi ‘Aisy.” Pipi
tembam anak perempuan Rizal dicubit lembut. Lalu sebuah kucupan hangat
dihadiahkan buat anak saudara tunggalnya.
“Kak ‘Aisy..” Sapa Sumayyah manja.
‘Aisy berpaling memandang Sumayyah. Tangannya didepakan pada
adik bongsunya. Sumayyah menangis teresak-esak di dalam pelukan ‘Aisy. Rindu
benar dia pada kakak sulungnya itu.
“Dah besar panjang macam ni masih menangis macam budak kecil lagi?”
‘Aisy mengusap manja kepala Sumayyah. Turut menahan tangis. Dia memang pantang
melihat orang menangis. Mudah sekali air matanya hendak mengalir sama.
“Maya rindu sangat pada akak.”
“Kak ‘Aisy pun sama. Rindu sangat dekat adik akak yang manja ni.”
Pelukan dileraikan. Ralit ‘Aisy memerhatikan Sumayyah. Siapa sangka kanak-kanak
comot yang sangat manja dengannya suatu ketika dulu, kini membesar menjadi
seorang gadis ayu. Tubuh Sumayyah tinggi lampai mewarisi baka daripada Haji
Hilmi dan bentuk muka yang banyak mewarisi kejelitaan Hajah Maryam.
“Tinggi betul adik akak sekarang ni. Dah rasa macam berdiri
sebelah galah pula.”
“Sampai hati samakan Maya dengan galah.” Sumayyah menjeling manja
dengan usikan ‘Aisy.
‘Aisy tersenyum senang. Dah besar panjang, manja masih tidak
hilang lagi.
“Harris, apa khabar nak?” Sapaan Haji Hilmi mematikan senyuman di
wajah ‘Aisy. Dia mengerling sekilas ke arah Harris yang sejak tadi hanya diam
memerhati.
“Baik alhamdulillah.” Sopan Harris menyalami Haji Hilmi dan Hajah
Maryam.
“‘Aisy tak beritahu pula yang Harris ikut balik sekali.” Hajah
Maryam bersuara ramah. Dia tersenyum simpul sambil memandang ‘Aisy penuh makna.
Minggu lepas beria-ia ‘Aisy berpesan jangan sekali-kali memaklumkan
kepulangannya pada Harris. Tapi, sebaliknya pula yang berlaku di depan matanya
hari ini. Mungkin ini petanda baik yang ‘Aisy mula boleh menerima Harris
kembali. Kalau betul, dialah orang pertama yang akan merasa lega.
Dia dan Haji Hilmi sebenarnya tidak tahu punca ‘Aisy merajuk
membawa diri jauh daripada Harris. Menyebut nama Harris pun anaknya enggan
apatah lagi mendengar cerita tentang menantunya. Ada sahaja idea ‘Aisy memotong
ceritanya setiap kali dia cuba memancing untuk bertanya apa yang terjadi.
Berbakul-bakul nasihat diberikan namun ‘Aisy lebih suka mengambil sikap berdiam
diri.
“Sebenarnya…”
“Sebenarnya ‘Aisy pun tak tahu saya akan ikut dia balik. Sengaja
saya nak surprisekan dia.
Lagipun tak puas lagi saya jumpa dia kat KL. Cukuplah empat tahun dia
tinggalkan saya seorang diri kat Malaysia ni. Tak sanggup dah saya nak
berenggang lama-lama dengan dia lagi lepas ini.” Pantas Harris memotong kata
‘Aisy. Tangan kiri isterinya dipegang kemas.
‘Aisy menjegilkan mata, tanda protes dalam diam. Tip top lakonan
dan dialog yang dipentaskan Harris.
“Elok sangatlah kalau begitu. Jomlah kita balik ke rumah dulu. Mak
kamu ini dah sediakan macam-macam makanan kat rumah tu. Tak henti-henti memasak
dari pagi tadi.” Ajak Haji Hilmi senang.
“Nasi dagang ada tak, mak? Rindu betul Harris nak makan nasi
dagang hasil tangan Hajah Maryam ni.” Tangan kiri Harris memaut mesra bahu
Hajah Maryam. Manakala, tangan kanan lelaki itu masih kemas melilit di celah
jari-jemari ‘Aisy.
‘Aisy mendengus geram. Berlebih-lebih pula lakonan lelaki ini.
“Ada. Patutlah hati mak ini teringin sangat nak masak nasi dagang.
Rupanya, menantu mak nak datang.” Mesra sekali Hajah Maryam melayani Harris.
‘Aisy buntu melihat situasi itu. Entah sejak bila hubungan ibunya dengan Harris
menjadi serapat ini.
“Baru dua minggu lepas mak kamu masakkan nasi dagang untuk kamu,
Harris. Takkan dah rindu kot.” Usikan Haji Hilmi semakin menambahkan kekeliruan
di hati ‘Aisy. Adakah Harris selalu pulang ke Terengganu sepanjang
ketiadaannya? Tidak pula ibunya bercerita selama ini setiap kali dia menelefon
bertanya khabar. Silapnya juga kerana sering mengubah topik sebaik ibunya
membuka mukadimah tentang Harris.
“Apa semua ini, Harris?” Soal ‘Aisy tertahan-tahan. Harris
mengangkat kening buat-buat tidak mengerti pada pertanyaan isterinya.
“Lepaslah.” Pegangan Harris cuba dilepaskan. Sebaliknya, lelaki
itu semakin memperkemaskan pegangan. ‘Aisy rimas. Terlalu banyak persoalan yang
bermain di benaknya kini. Sudah pasti Harris tidak akan mudah memberikannya
jawapan. Nampaknya lelaki itu sudah awal-awal melaksanakan strateginya.
X semangat plk nak baca sbb aisy ni seorang yg lemah x berbaloi dgn apa yang haris dah buat kat dia sampai hilang anak
ReplyDeleteSamalah kita . X suka lah perempuan yang lemah terhadap kata kata manis lelaki ni
Deletebaru tengok cerita kat tv tadi ke. hahaha. mungkin jalan cerita lain sikit dari novel. hope drama dia tak menghampakan kita
Delete