Usai bersolat Zuhur, air mata ‘Aisy mengalir tidak dapat
ditahan-tahan. Terenjat-enjut bahunya menahan tangis dalam tadahan doa, memohon
kekuatan dan ketabahan dari yang Esa. Mengharapkan sinar kebahagiaan yang
dirasakan semakin suram.
“Abang tak sangka taste sayang berciri antarabangsa juga ya”
Patah-patah perkataan itu kembali terngiang-ngiang di cuping
telinganya. Entah kenapa hatinya cukup terhiris dengan sindiran pedas itu.
Peritnya di jiwa apabila diri tidak sudah dicurigai. Baru hatinya ingin membuka
ruang mencari bahagia, hatinya kembali terluka. Hukum karma kah ini?
Lama ‘Aisy berteleku di atas tikar sejadah, bermunajat untuk
mendapatkan ketenangan dalam mencari arah kehidupannya yang belum pasti.
Seteguh mana kesetiaan yang dipertahankan nyata tiada makna jika dikhianati
dengan rasa sangsi. Setinggi mana harapan yang disandarkan pada sebuah
kebahagian pasti tiada daya untuk digapai seandainya duka dibiarkan terus
menemani sepi sekeping hati. Terlalu banyak liku yang perlu ditempuhi dalam
perjalanannya mencari titik kebahagiaan dalam sebuah perkahwinan. Membuatkan
kesabarannya semakin terhakis dan perasaannya disapa lelah yang semakin
menggunung tinggi.
“Ya Allah, engkau berikan aku petunjuk-Mu. Seandainya, masih ada
sinar kebahagiaan yang tertinggal buat aku dalam bahtera rumahtangga ku ini,
Engkau berikanlah aku kekuatan untuk aku terus mempertahankan ikatan suci ini.
Namun jika kebahagiaan yang aku harapkan tidak berpihak padaku, aku reda, ya
Allah.” Rintih hati ‘Aisy. Sebuah keluhan lemah meniti di bibirnya. Mengeluh
bukan kerana menyalahkan takdir, tetapi untuk memujuk hati, agar dapat
mengurangkan beban perasaan yang ditanggung. Menghalau jauh derita hati yang
selama ini bersarang dalam diri.
Bunyi keriuk pintu yang dibuka dari luar membuatkan ‘Aisy
berpaling. Bebola matanya yang memerah bertembung dengan anak mata Harris.
Jelas terpancar riak serba salah di wajah lelaki itu.
‘Aisy memalingkan wajahnya jatuh memandang sejadah. Kata-kata
pedih yang dilemparkan Harris kembali bergema bagai bisikan halus di telinga.
Membuatkan ‘Aisy semakin menjeruk rasa. Ada rasa rajuk di hati. Ada rasa
terkilan yang tertinggal. Lalu, air mata yang membasahi pipi sedari tadi
diseka. Dia bangun mengemaskan telekung sembahyang dan sejadah. Rasa ngilu di
bahagian perut kesan pembedahan membuatkannya tidak betah untuk terus duduk
bersimpuh lama.
Suasana sepi dan suram yang menyelubungi membuatkan ‘Aisy berasa
kekok untuk terus berada di dalam bilik. Apatah lagi dengan rasa berjauh hati
yang masih tebal bersarang di dada.
“Sayang nak ke mana?” Pertanyaan Harris menghentikan pergerakan
‘Aisy yang ingin memulas tombol pintu.
“Saya nak ambil angin di luar. Dalam bilik ini panas!” Sela ‘Aisy
kaku. Sakit di hati yang masih tersisa membuatkan lancar bibirnya memuntahkan
kata-kata sinis. Walaupun terbit rasa bersalah dengan kekasaran lidahnya namun
dikeraskan hati untuk membuang jauh rasa bersalah itu.
“Dah pasang aircond pun masih panas lagi? Nanti abang
rendahkan suhu. Sayang tak boleh banyak sangat bergerak. Nanti luka tu lambat
sembuh.” Ujar Harris dengan suara yang lembut. Sengaja dia berpura-pura tidak
mengerti dengan sindiran ‘Aisy. Dia tahu dia telah tersilap. Terlalu mengikut
rasa cemburu sehingga menggoreskan hati dan perasaan isterinya sendiri dengan
curiga yang dilemparkan olehnya. Hubungan mereka yang sedia dingin menjadi
semakin beku.
“Abang ada benda nak bincang dengan sayang.” Sambung Harris sambil
menghampiri ‘Aisy. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan hubungan
mereka.
“Nak bincang apa lagi? Kalau setakat nak sakitkan hati saya lebih
baik tak payah” Tolak ‘Aisy.
“We need to talk, sayang. Tentang hubungan kita ni. Please…” Rayu Harris. Dia mencapai
tangan ‘Aisy. Lalu jari-jemari si isteri diusap dengan penuh rasa kasih.
Mengharapkan tindakannya itu bisa menyejukkan hati ‘Aisy yang sedang panas.
“It will take us to nowhere, Harris. Kalau awak masih nak teruskan
dengan serkap jarang awak pasal saya...” Kata-kata ‘Aisy terhenti apabila
pantas jari Harris melekap di bibirnya.
“I know I was wrong. Always
wrong about you. Sebab itu abang
nak kita berdua duduk berbincang dari hati ke hati. Kita ambil peluang ini
untuk kita luahkan segala yang terpendam di hati masing-masing. Kita sama-sama
cari penyelesaian untuk setiap masalah kita. Please,
sayang.” Potong Harris sambil mengemaskan genggaman tangan kirinya di celah
jemari ‘Aisy.
‘Aisy mengeluh lemah. Sentuhan dan bicara lembut Harris berjaya
meredakan perasaannya. Hatinya yang rajuk seakan berpujuk.
“Baiklah.” ‘Aisy mengangguk bersetuju.
Harris tersenyum nipis. Berhati-hati dia memimpin ‘Aisy duduk di
atas katil. Lama pandangan matanya merenung setiap inci wajah ‘Aisy. Dia
berdeham beberapa kali apabila menyedari kegelisahan ‘Aisy menanti buah bicara
dari mulutnya.
“Mungkin dah terlalu kerap kata-kata maaf yang telah abang ucapkan
pada sayang. Tapi, abang tetap ingin memohon keampunan sayang atas
keterlanjuran abang tadi.” Bicara Harris sambil menggenggam erat tangan ‘Aisy.
“Abang sedar selama ini abang bukan suami yang baik. Abang lelaki
baran yang selalu kalah dengan rasa curiga. Tapi, abang cuba nak berubah.
Walaupun bukan mudah but I’m
trying very hard, sayang. Abang
terlalu mencintai sayang. Dan kerana rasa cinta inilah kadang-kadang membuatkan
abang tersasar dan gagal mengawal rasa cemburu. Maafkan abang ya, sayang.”
Sambung Harris. Wajah ‘Aisy yang sedang tunduk membisu dipandang dengan penuh
harapan.
‘Aisy menarik nafasnya dalam. Perasaannya berbelah bagi.
Hatinya sangsi untuk menerima kembali Harris dalam hidupnya. Bimbang jika
penyesalan Harris hanya sekadar di bibir. Tidak sanggup membiarkan dirinya
dilanda badai kecewa lagi dan lebih menakutkan jika ia berlaku, mungkin saat
itu hatinya sudah tidak mampu bertahan lagi. Tapi dia juga tidak mampu
menidakkan rasa cinta yang kuat di hatinya.
“Jika maaf yang awak harapkan, awak tak perlu minta dari saya,
Harris. Saya dah maafkan awak.” Ujar ‘Aisy perlahan.
Dari dulu dan selamanya hati ini memang tidak akan pernah mampu
membenci awak, Harris. Cinta dan rindu saya tetap menjadi milik awak. Biarpun
sekuat mana saya cuba menidakkan rasa sayang ini, namun kesudahannya saya tidak
mampu. Getusnya di dalam hati, tidak mampu meluahkan kata-kata itu pada Harris.
“Tapi, apa kesudahan hubungan kita ini, Harris? Apa lagi yang
tinggal dalam hubungan kita ini jika awak tak pernah percaya dengan kejujuran
saya. Dulu, awak pernah buang saya kerana fitnah. Bertahun-tahun saya menjeruk
rasa. Bertahun-tahun saya kumpul kekuatan untuk lupakan segala kepedihan.
Peritnya hidup apabila dibuang suami sendiri dan satu-satunya tanda cinta kita
juga pergi meninggalkan saya. Dan sekarang, awak persoalkan pula persahabatan
saya dengan Jason. Kenapa awak tak pernah puas menyakiti hati saya, Harris?”
Tingkah ‘Aisy meluahkan segala rasa kecewa yang bersarang di hatinya selama
ini. Dia mahu Harris mengerti betapa beratnya beban hati yang terpaksa
ditanggung apabila kesetiaan yang dipertahankan dicurigai.
“Maafkan abang, sayang. Abang tak pernah berniat untuk menyakiti
hati sayang. Cuma kadang-kadang abang gagal mengawal perasaan abang sendiri. When it comes to you, I always lost
my control.” Sesal Harris. Sikap baran merupakan kelemahan utamanya. Dia
sering tewas mengawal kemarahannya.
“Bukan kata-kata maaf yang saya harapkan dari awak, Harris. Saya
perlukan kepercayaan awak. Apalah erti sebuah perkahwinan yang dibina jika
hanya berlandaskan dengan syak wasangka. This
marriage is not going to work, Harris..” Tukas ‘Aisy.
“Jangan cakap macam tu, sayang. Demi ALLAH, abang akan cuba apa
saja untuk selamatkan hubungan kita. If
you want trust, then I’ll give you trust. I’ll do anything sayang as long as
you are here with me by my side. I’ll
change for good. Dan apa yang
abang perlukan adalah kesabaran sayang.” Pujuk Harris bersungguh-sungguh. Dia
benar-benar mahu mempertahankan mahligai yang dibinanya bersama ‘Aisy.
“Entahlah, Harris. Terlalu banyak perkara yang menyekat
hubungan kita. Kepercayaan, kesabaran mungkin sudah tak penting lagi kerana
yang paling utama saya pun dah tak mampu memberikan awak zuriat. Mungkin ini
semua petanda yang kita berdua tak ada masa depan untuk hidup bersama.” Bicara
‘Aisy dihambat rasa kecewa. Saat itu, segala semangat positif yang dititipkan
Sakeena dan Hafeeza hilang entah ke mana. Dia kembali menjadi seorang wanita
yang menyerah kalah pada keadaan.
“Zuriat bukan kayu pengukur yang akan menentukan kebahagiaan kita.
Dalam perkahwinan ini kita datang berdua, sayang. Dan pengakhirannya kita juga
berdua. Anak-anak akan datang dan pergi dalam hidup kita. Mereka membesar dan
bakal punya kehidupan sendiri. Tidak selamanya akan bersama kita. Tapi yang kekal di sisi seorang suami
adalah isteri. Begitu juga seorang suami akan sentiasa menemani isterinya
sehingga ajal memisahkan mereka.” Luah Harris sayu.
“Jika diberi pilihan antara sayang dan anak, abang pilih sayang.
Abang bahagia dengan kehadiran sayang dan kita tetap masih mampu hidup bahagia
tanpa zuriat. Bohonglah kalau abang cakap abang tak mahukan anak. Tapi abang
hanya mahukan anak daripada sayang. Kalau tiada rezeki kita, abang reda
sayang.” Tambah Harris meyakinkan ‘Aisy.
‘Aisy terpaku dan rasa syahdu mula menjalar ke dalam hatinya.
Bagaikan ada tiupan semangat yang meresap di segenap urat nadinya tatkala
mendengarkan kata-kata tulus Harris.
“Pengakuan sayang dah cukup buat abang. Sekurang-kurangnya abang
tahu yang abang masih memiliki cinta sayang. Kenapa kita tak pertahankan
hubungan kita ini sedangkan kita berdua saling mencintai?” Beritahu Harris
membuatkan ‘Aisy tercengang.
“Pengakuan?” Berkerut dahinya memandang Harris memohon penjelasan.
“Ya, sayang. Abang dah dengar semuanya semasa di hospital semalam.
Kenapa perlu sembunyikan apa yang sayang rasa terhadap abang?”
Penjelasan Harris membuatkan wajah ‘Aisy berubah merah. Jadi,
Harris telah mendengar semua luahan cintanya? Barulah dia faham kenapa
tiba-tiba Harris muncul setelah menyepikan diri daripadanya.
“Tapi saya..saya takut saya tak kuat nak hadap semua ini. Saya
takut saya akan penat, Harris. Penat mengejar bahagia yang tak pernah menjadi
milik saya. Mungkin, saya harus pasrah dengan takdir ini.” Rintih ‘Aisy sebak.
Masih gagal sepenuhnya meyakinkan dirinya sendiri.
“Takdir kita untuk bahagia bersama. Derita dan sakit yang kita
berdua rasa adalah dugaan, sayang. ALLAH hadirkan
ujian kerana Dia tahu kita mampu. Dia ingin lihat setinggi mana keimanan dan
kesabaran kita dalam menghadapi setiap dugaan-Nya. Abang pernah baca petikan
dalam kitab Imam Ghazali,
sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad,
memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun
akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Ungkapan Harris berjaya membuatkan lidah ‘Aisy kelu. Seakan tidak
percaya yang kata-kata itu meniti di bibir Harris. Harris memang benar sukar
diduga. Seorang lelaki yang suatu ketika dulu menjadikan budaya barat sebagai tunjang hidupnya. Kini
melalui tutur bicara Harris, dia yakin pegangan hidup suaminya sudah berubah
seratus peratus. Ya, mungkin benar Harris sedang melalui fasa perubahan dalam
hidupnya. Berubah menjadi lebih baik.
“Abang percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang cukup
manis menanti kita. Yang penting kita berdua harungi nya dengan penuh
kesabaran. Abang yakin sayang kuat dan sayang adalah kekuatan abang. We complement each other.” Sambung
Harris mengharapkan pengertian daripada ‘Aisy.
Mendengarkan bait-bait ayat positif yang dituturkan Harris
membuatkan ‘Aisy menjadi malu. Malu dengan kelemahan dirinya yang mudah melatah
dengan setiap dugaan kecil yang menimpanya. Malu kerana mudah menyerah kalah
dengan onak dan badai yang melanda hidupnya.
“Masih adakah lagi bahagia buat kita, Harris?” Bisik ‘Aisy
perlahan.
“Insya-Allah, kita akan bahagia sayang. Beri peluang kepada diri
kita untuk mencari bahagia bersama. Yang penting, never ever give up on ourselves.” Keyakinan Harris
benar-benar meruntun jiwa ‘Aisy. Buat sekian kali air mata wanitanya gugur
menitis di pipi. Mampu kah dia terus membuka ruang di hati untuk berjuang
mempertahankan sebuah ikatan suci yang telah tersimpul antaranya dan Harris.
“Abang janji abang akan cuba menjadi suami yang lebih baik. Tapi
abang perlukan sokongan sayang. Just
be by my side and I’ll change for better. Bantu abang mengemudi bahtera rumah
tangga kita ya, sayang?” Pinta Harris lembut sambil menyeka air mata yang
membasahi pipi ‘Aisy.
Permintaan Harris benar-benar mengusik tangkai hatinya.
Lambat-lambat dia mengangguk. Saat itu dia tidak mampu menidakkan kemahuan
hatinya.
“Terima kasih, sayang” Bergenang kelopak mata Harris saat melihat
anggukan ‘Aisy. Pantas tubuh isterinya dibawa ke dalam dakapan. ‘Aisy turut
membalas rangkulan Harris. Buat pertama kali setelah sekian lama, hatinya
benar-benar lapang menerima sentuhan kasih seorang suami.
“Maafkan saya, Harris. Selama ini saya telah banyak menyakiti hati
awak dengan kata-kata dan perbuatan saya.” Pohon ‘Aisy dalam esakannya. Betapa
banyak dosanya melakukan kesalahan dalam sedar kepada suaminya sendiri.
“Sayang tak ada dosa dengan abang sebab abang sentiasa ampunkan sayang.” Balas Harris sambil
mengucup ubun-ubun ‘Aisy.
Perlakuan Harris benar-benar menyentuh perasaan ‘Aisy sehingga
tanpa sedar wanita itu semakin mengeratkan rangkulannya. Gerakan bahasa tubuh
isterinya itu membuatkan Harris tersenyum dalam bahagia.
“Alhamdulillah.”
Terbit bisikan kalimah kesyukuran di bibirnya.
terfikir plak..jason berminat ngan Islam kan?..hmm kalau dia dgn hafeeza nmpk sepadan plak..hehe
ReplyDeleteKena buat another novel kot pasal Jason..hahahaa..
Delete