“Sayang, are you
okay?” Sapaan Harris hanya dibiarkan sepi. Enjin kereta dihidupkan. Dia
mengerling sekilas ke arah ‘Aisy yang sedang mendiamkan diri di kerusi
penumpang. Sejak mereka selesai makan tengah hari di Lemon Grass Café sehinggalah mereka berdua berada di
dalam kereta, isterinya kelihatan seperti hilang dalam dunianya sendiri.
“Sayang…” Sekali lagi Harris memanggil ‘Aisy. Tangan isterinya
disentuh lembut. Jauh mengelamun.
“Hah..” Sentuhan Harris mengejutkan ‘Aisy. Matanya dihalakan ke
wajah suami yang sedang tunak merenungnya dengan riak risau.
“Are you okay?” Soalan
yang sama diulang. Pantas
‘Aisy melemparkan senyuman tawar dan menganggukkan kepala perlahan. Perlakuan
yang nyata membuatkan Harris semakin tertanya-tanya.
“Kenapa ni? Abang tengok lepas lunch tadi sayang senyap saja. What’s wrong, hemm?” Soal
Harris dengan lembut. Wajah ‘Aisy yang sedikit pucat dipandang dengan penuh
rasa kasih. Pelik dengan perubahan mood isterinya yang agak drastik itu.
“Err..mana ada. ‘Aisy okay. Tak..tak..ada apa-apa” Balas ‘Aisy
tergagap-gagap. Sebuah senyuman terpaksa dimaniskan demi menutup rasa kurang
senang yang sedang mengusik tangkai hatinya.
Terbayang-bayang di ruang mata kelibat Sofia yang sedang memasuki
kafe ketika dia dan Harris baru selesai menikmati makan tengah hari. Dan
pandangannya semakin tergamam tatkala bertembung dengan sepasang mata lelaki
yang sedang berjalan mengiringi wanita itu. Sempat lelaki itu menghadiahkan
senyuman sinis kepadanya. Dia cukup kenal dengan senyuman beku dan tidak
berperasaan itu. Daniel Haiqal! Nama itu bergema di dalam benaknya.
“You are not good at lying. I know something is distracting you.”
Teguran Harris menyentakkan ‘Aisy.
“Tak ada apa-apa. Betul.” ‘Aisy menegaskan tutur bicara. Biarlah
rasa ini dia pendam sendiri di dalam hati. Tidak mungkin dia mampu untuk
berkongsi perkara yang sedang mengganggu fikirannya saat itu dengan Harris.
Apatah lagi perkara itu bersangkut paut dengan seorang lelaki!
“Is it because of Sofia?” Buntang mata ‘Aisy tatkala
mendengarkan pertanyaan Harris. Dia tidak terus membalas tebakan Harris yang
separuh mengena itu. Sebaliknya, dia menebarkan pandangan ke luar tingkap.
“Abang nampak?” Soalan yang hanya dibalas dengan soalan. Dia tidak
menyangka Harris turut menyedari kehadiran Sofia kerana riak lelaki itu cukup
bersahaja tadi.
“Yup.” Harris menganggukkan kepalanya.
“Jadi betullah wajah ini moyok disebabkan Sofia? Can’t get rid of her, emm?”
Tangan Harris menjalar menyentuh pipi kanan ‘Aisy. Senyuman nipis dihadiahkan buat
si isteri. Nampak Sofia seperti nampak hantu! Bisik hatinya.
Sebaik mereka ingin melangkah keluar dari kafe, matanya sempat
menangkap kelibat Sofia yang sedang berbual mesra dengan seorang lelaki di
sudut yang agak tersorok dalam kafe tersebut. Dia juga perasan Sofia sengaja
berpura-pura tidak menyedari kehadiran mereka. Dah buat salah, tahu pula takut.
“Tak adalah. Cuma terkejut…” Kata-kata ‘Aisy mati di situ. Dia
sebenarnya terkejut dengan kehadiran Daniel. Lelaki yang telah banyak
melakarkan sejarah hitam dalam hidupnya dan Sofia ketika di universiti dulu.
Dan sejak bila Sofia berbaik dengan Daniel? Sedangkan sebelum ini dua orang itu
bagaikan seperti musuh tradisi. Dia sendiri menjadi pelik dan musykil.
“Muka ini pucat macam nampak hantu. Jangan bimbanglah, sayang.
Abang kan ada. Selagi abang di sisi sayang, abang takkan benarkan dia
apa-apakan sayang. Kalau dia berani jentik sayang walaupun sekali, siaplah.
Tahulah abang nak ajar macam mana.”
Harris mengetap bibirnya geram. Wajahnya berubah serius. Jelas
lelaki itu benar-benar memaknakan kata-katanya. Jika tidak kerana terikat
dengan janji yang telah dipaterikan terhadap ‘Aisy, pasti dia tidak akan mudah
melepaskan Sofia.
“Abang, hari itu kan abang dah janji. Jangan biarkan rasa marah tu
menguasai diri.” Ujar ‘Aisy mengingatkan. Bimbang dia mendengarkan kata-kata
Harris. Baran suaminya itu kadang-kadang memang sukar diduga.
“Of course I’ll keep my promise. Abang lepaskan Sofia
kerana sayang. Tapi itu tak bermakna abang akan lepaskan lelaki yang cuba nak
merampas sayang daripada abang.”
Harris mengepalkan penumbuk. Siapakah lelaki yang berkonspirasi
dengan Sofia untuk memusnahkan rumah tangga mereka berdua? Pertanyaan yang
tidak ditemui jawapannya sehingga kini. Jika tidak kerana janjinya, sudah pasti
dia akan bersemuka dengan Sofia. Jika diikutkan barannya, dia tidak akan
teragak-agak untuk menggertak wanita itu supaya membuka mulut.
“Abang, biarlah. Sooner
or later ‘Aisy yakin
kebenaran akan terbongkar. ALLAH bersama dengan orang yang sabar kan.” Tutur
‘Aisy lembut menyapa pelupuk telinga Harris. Sedikit sebanyak kata-kata itu
mampu menyejukkan bahang yang mula terasa.
“Abang tak fahamlah kenapa sayang boleh bersabar dengan Sofia
setelah apa yang dia lakukan pada sayang. Kalau abang lah…”
“Sebab suami ‘Aisy ni cepat melenting, sebab itulah ‘Aisy kena
jadi penyabar. Kalau dua-dua baran, habis semua orang kena bom nanti.” Pantas
‘Aisy memangkas kata-kata Harris sambil tersengih mengusik. Sebenarnya,
kesabarannya pun ada batasnya. Dia juga manusia biasa. Tetapi, apabila
mengenangkan persahabatan yang pernah terjalin di antaranya dan Sofia, mudah
benar dia berlembut hati. Masih ada sisa-sisa kebaikan yang pernah ditaburkan
oleh Sofia padanya yang membuatkan dia berfikir berkali-kali untuk mendendami
dan memusuhi wanita itu.
“Sempat lagi sayang mengata abang, ya. Sebaran-baran abang ini
belum lagi sampai tahap nak buat jenayah tau.” Dia memicit hidung ‘Aisy.
“Hishh.. abang ini. ’Aisy tahulah hidung ‘Aisy ni tak mancung
macam hidung abang.” ‘Aisy menepis tangan Harris. Dia menggosok-gosok hidungnya
yang terasa sedikit perit.
Harris hanya tergelak kecil melihat kesan merah yang sudah
berbekas di hidung isterinya. Sekelip mata tingkah ‘Aisy berjaya membuatkan dia
lupa pada rasa amarah nya.
“Jom lah abang. ‘Aisy ada temu janji dengan student pula pukul 3 nanti. Kesian kalau
dia orang terpaksa tunggu lama.” Beritahu ‘Aisy apabila menyedari sedari tadi
mereka hanya berada di dalam kereta yang tidak bergerak. Jam di dashboard dipandang. Sudah menghampiri pukul
2 petang.
“Lelaki ke perempuan?” Soalan Harris membuatkan ‘Aisy mengerutkan
dahi tidak mengerti.
“Siapa?”
“Student yang
hendak jumpa sayang tu lah.” Intonasi suara Harris mendatar.
“Lelaki. Ahmad Muslim namanya. Dah beberapa kali dia tak datang
kelas termasuklah gagal hadir ujian. Pelik kenapa dia boleh jadi begitu.
Sedangkan kalau tengok rekod akademik, dia seorang pelajar yang cemerlang
sebelum ini.” Lancar bibirnya menjawab dan bercerita tanpa menyedari perubahan
di wajah Harris.
“Oh..” Pendek balasan Harris membuatkan ‘Aisy mengerling ke
arahnya sekilas. Wajah kelat Harris membuatkan ‘Aisy tersenyum nipis. Takkanlah
dengan pelajar pun hendak cemburu!
“Abang jangan bimbang. ‘Aisy ini belum hilang akal lagi nak
mengurat pelajar sendiri.” Selamba ‘Aisy mengusik suaminya yang sedang
mengundurkan kereta keluar dari kotak parking.
“Abang takut pelajar tu yang mengurat sayang.” Kata-kata Harris
itu membuatkan ‘Aisy tergelak kecil. Tidak menyangka suaminya boleh berfikir
sejauh itu.
“Abang ini mulalah tu nak melalut.” Tegur ‘Aisy sambil
menggelengkan kepalanya.
“Kebimbangan abang ini berasas sebab memang pernah berlaku kan
pensyarah berkahwin dengan pelajar sendiri.” Tingkah Harris mempertahankan
hujahnya. Keretanya dipandu laju membelah lebuh raya menuju ke Bandar Baru
Bangi.
“Memanglah pernah berlaku. Tapi kalau bertepuk sebelah tangan
takkan berbunyi kan.”
“Jadi, memang adalah pelajar lelaki yang mengurat sayang sebelum
ini?” Tebakan Harris membuatkan ‘Aisy hampir tersedak. Cemburu suaminya ini
memang tidak pernah berkurang.
“Mana ada. Dalam dunia ini, abang seorang saja yang cinta dan
sayangkan ‘Aisy. Itu pun dah cukup buat ‘Aisy.” Pujuk ‘Aisy lembut sambil
telapak tangannya menyentuh belakang tangan kiri Harris yang sedang memegang
gear. Dia tidak mahu rasa cemburu Harris memusnahkan tunas-tunas bahagia dalam
hubungan mereka yang baru berputik.
“Habis tu..Jason dan R..”
“Abang, don’t start
it.” Gumam ‘Aisy mencantas kata-kata Harris. Dia mengangkat jari jemarinya
daripada terus menggenggam tangan Harris.
Tindakannya itu membuatkan Harris mengeluh berat sambil meraup
rambutnya ke belakang. Lelaki itu mengetap bibir dengan rasa bersalah. Nafasnya
dihela lemah. Sedar yang dia hampir terlanjur kata. Sedar yang dia
hampir-hampir membuatkan hati isterinya tercalar sekali lagi.
“I’m sorry. My bad. I
shouldn’t say that.” Dia
segera mendapatkan tangan ‘Aisy dan mengusapnya lembut.
“Tahu pun. Cemburu abang tu melangit sangat tau. Kalau abang tu
Yusry yang ada isteri comel macam Lisa Surihani tu patutlah juga hendak
cemburu.” Kata-kata ‘Aisy berjaya menggariskan senyuman di wajah Harris.
“Masalahnya, di mata abang ini, sayang lebih comel dari Lisa Surihani.
Itu yang buat abang lagi bimbang.” Tingkah Harris.
“Ha ha ha.. Sangat lawak. Mata abang ini dah rabun agaknya? Nanti
‘Aisy belikan abang kanta pembesar.” Ujar ‘Aisy sambil gelak buat-buat.
“Betul, sayang. Walaupun dihadirkan dengan seribu bidadari, belum
mampu dapat menandingi kecantikan sayang di mata abang. Walau dilonggokkan
dengan intan dan permata, tidak akan sama nilainya dengan cinta yang sayang
berikan pada abang. Keindahan peribadi sayang menjadikan sayang sangat istimewa
di hati abang. I’m madly
deeply in love with you, sayang.” Bicara puitis Harris membuatkan ‘Aisy
terpempan. Jari-jemari ‘Aisy yang berada di dalam genggaman di bawa ke bibir
dan dikucup lembut. Pandangan mata mereka berdua bertaut buat seketika.
“Abang, pandang depan lah. ‘Aisy dah serik masuk wad tau.”
Genggaman tangannya dilepaskan dan dia menolak pipi Harris lembut supaya
memandang ke arah depan. Akhirnya Harris tergelak kecil dengan gelagat kalut
‘Aisy. Tumpuannya kembali difokuskan pada jalan raya.
‘Aisy melarikan pandangannya ke luar tingkap. Bait-bait ayat yang
dilagukan Harris mengundang getar di dada. Membungakan rasa yang cukup indah di
jiwa. Sudah lama dia tidak merasai perasaan seperti ini. Perasaan yang pernah
menjengah ruang hatinya sewaktu pertama kali dia jatuh cinta suatu waktu
dahulu.
Dia mencuri pandang ke arah Harris yang sedang tenang meneruskan
pemanduannya. Lelaki itu seakan hilang dalam keasyikannya yang tersendiri.
Mengundang suasana sepi di antara mereka berdua. Janggal dengan kesepian yang
bertandang membuatkan tangannya pantas menekan punat pemain CD.
Berkumandang lagu nyanyian Ukays menyapa gegendang telinga. Kau
satu-satunya. Dia tahu lagu ini. Lagu yang sering dilagukan oleh seorang lelaki
yang bernama Daniel Haiqal. Kerana lelaki itulah dia menjadi benci untuk
mendengar lagu ini.
“Abang suka lagu ini. Lagu ini abang tujukan khas buat sayang, just for you sayang” Bicara
Harris membuatkan pergerakan tangannya terhenti. Dia tidak jadi menekan butang off pada pemain CD. Harris yang sedang
ikut sama menyanyikan bait-bait lirik lagu itu dipandangnya sekilas.
Oh..Siapalah diri aku ini
Tanpa mu dunia ku pasti tak berseri
Dan hidup tak menjadi
Kau bagi ku satu-satunya
Padamu lah ku meminta, ku bermanja
Ku rindui ku kasihi
Di hatiku kau abadi
Dengan sinaran kasih mu
Kian terancang hidup ku
Tiada lagi keraguan
Kau bagi ku kekuatan
Mana jua kau berada
Ditemani cahaya cinta
Sejak diri mu ku dekati
Diri ku ini ku kenali
Hanya engkaulah sesungguhnya
Tiada dua
Di cermin kaca ku memandang
Diriku serba kekurangan
Namun bagi mu bukan itu jadi ukuran
Melengkapi hidup kita
Bukan harta, bukan nama, bukan rupa
Kau bagi diriku satu-satunya
Ku meminta, ku bermanja
Ku rindui, ku kasihi
Di hariku kau abadi
Daniel Haiqal. Nama
itu kembali bergema dalam kotak fikirannya. Dia tidak menyangka akan
dipertemukan sekali lagi dengan lelaki itu. Sangkanya lelaki itu akan lenyap
terus dari hidupnya setelah apa yang telah terjadi. Fikirannya menerawang pada
satu peristiwa yang telah melakarkan nama lelaki itu kemas dalam kotak
ingatannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan jejak anda..