Follow Karya Ridhya Iman? Terima kasih

Monday, 22 April 2013

Temuduga Cinta Bab 6


Bosan. Satu patah kata yang cukup menggambarkan apa yang aku rasa saat ini. Bosan bila aku hanya mampu terperuk di dalam bilik sekangkang kera ini tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Bosan bila menanti panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings yang entah bila akan kunjung tiba. Bosan bila terpaksa mengikat perut di kala baki wang tunai yang ada di tangan ku hanya tinggal beberapa sen saja lagi.

“Krrooookeeukkk…”

Aku menekan perut ku kuat. Boleh sawan angin aku kalau berterusan melayan lagu zapin mak inang versi rock yang sedang berirama di dalam perut.

“Krrooookeeeukkkkkkrooottttt..”

Makin rancak pula muzik dalam perut aku ini. Aku mencapai tin biskut yang ku letakkan di sisi tilam. Tin itu ku angkat sedikit lalu ku goncang perlahan. Senyap dan kosong.

“Sabarlah perut. Anggaplah kita berpuasa je hari ni.” 

Tin biskut itu ku letakkan semula dengan rasa hampa. Perut ku yang sedikit kembung ku usap perlahan. Mahunya tak kembung. Beberapa gelen air masak telah ku telan semata-mata untuk mengalas perut.

Aku menyandarkan tubuh ke dinding. Kepala ku dongak sedikit memandang kipas yang sedang ligat berpusing di syiling. Saat perut lapar begini mulalah terbayang-bayang di ruang mata masakan hasil air tangan mak aku di kampung. Nasi putih panas, ayam goreng kunyit, sayur lemak bersama belacan. Bagaikan terbau-bau aroma masakan selera kampung yang mampu buat aku tambah dua tiga pinggan nasi. Kecur air liur.

Tak boleh jadi. Makin lama aku berkurung dalam bilik ini tanpa sebarang aktiviti, makin meliar pula fikiran aku duk terbayangkan makanan yang lazat-lazat. Lantas aku bangun dan berdiri di hadapan cermin.    

Cermin plastik berbentuk empat segi yang ku beli di kedai runcit Ah Seng dengan harga dua ringgit sembilan puluh sen ku pandang. Wajah ku yang terpantul ku belek. Aku usap kulit dahi ku yang semalam masih lagi licin tapi hari ini satu bonggol jerawat batu telah berjaya mencemar duli di situ. Elok dia parking di tengah-tengah dahi pula tu.

Tiba-tiba telefon bimbit Nokia 1202 milik ku menjerit nyaring. Pantas tangan ku menggagau telefon yang ku letakkan di atas meja jepun. Nama mak yang tertera di skrin telefon membuatkan bibir ku tersenyum lebar.

“Assa…”

“Budak bertuah! Semalam mak telefon kamu banyak kali kenapa tak angkat? Kalau kamu ada hal sekalipun, lepas selesai hal kamu tu tak reti nak telefon mak balik? Kamu tahu tak mak kat sini bukan main risau duk ingatkan kamu. Kalau…”

Aku menjauhkan sedikit telefon dari telinga ku. Itu dia. Tak sempat aku nak memberi salam, suara bidan Lijah macam bertih jagung membingitkan telinga ku.

“Assalamualaikum, mak. Tak jawab dosa, kalau jawab sayang.” Giat ku. Pinjam sekejap label garis a.k.a. tagline Maria Elena, vlogger terkenal tu. Terdiam sekejap mak di hujung talian. Hanya kedengaran nafasnya turun naik, mungkin penat mengejar nafas akibat bercakap tak berhenti tadi.

“Waalaikumsalam.” Mak menjawab salam. Aku gariskan senyum. Aku tahu mak memang sayangkan aku.

“Kalau mak sayangkan orang mak janganlah marah-marah. Tak cool lah bidan Lijah kalau marah-marah macam ni. Nanti hilang seri awet muda mak.” Aku semakin giat mengusik. Perangkap sudah mengena.

“Errr..mak bukannya marah tapi nasihat.” Balas mak dengan intonasi suara yang mengendur. Aku tersengih dengan kata-kata mak.

“Kamu kat mana ni, ‘Ain?” Mak kembali menyoal ku.

“Tak ke mana pun mak. Orang ada je kat bilik dalam rumah sewa ni.” Aku menjawab tenang. Tubuh ku rebahkan di atas tilam. Bantal golek ku capai dan ku peluk kemas. Dah gaya macam bergayut dengan pakwe pula aku ni. Banyaklah kau punya pakwe, ‘Ain.

“Kenapa mak call kamu tak dapat semalam?” Soal mak lagi bernada curiga. Edisi siasat saluran bidan Lijah sudah bermula.

“Masa mak call semalam orang tengah mandi. Sedar-sedar je tengok ada miss called dari mak. Mak tahulah anak mak ni kalau mandi macam mana..” Aku memberikan alasan. Sungguh memang aku ada di dalam bilik air ketika mak aku telefon. Biasalah kalau aku bersiram, lima minit mana cukup. Paling-paling tidak pun lima belas minit aku perlukan untuk menyental dan menggonyoh segala kerak dan daki di badan. Barulah kulit akan putih gebu tanpa perlu mamah collagen.

“Habis tu kenapa tak return call?” Erk! Amboi mak. Sejak bila bidan Lijah ni pandai sebut perkataan Inggeris ni. Semakin maju nampaknya. Aku tergelak kecil.

“Yang kamu gelak kenapa? Kelakar ke soalan mak tu?” Tawa ku terus padam dengan ketegasan suara mak. Serius sungguh mak kali ini. Aku garu dagu yang tiba-tiba terasa gatal.

"Tak adalah. Orang pelik sejak bila mak pandai cakap omputih ni?"

"Kenapa? Kamu ingat bidan kampung macam mak ni tak reti nak skipping? C'mon..ini bidan Lijah. See the leg lah.."

Aku membulatkan mata sambil ketawa kuat. Terasa digeletek-geletek pundi kencing aku mendengar mak bertutur.

“Bukan skipping lah mak...spelling. Skipping tu kalu mak nak exercise.” Ujar ku membetulkan kata-kata mak dengan yakin. 

“Eh..apa pulak. Mak tahulah spelling tu maksud dia mengeja. Kamu jangan pandai-pandai nak sesatkan mak pula.” Pertikai mak.

Kata-kata mak membuatkan aku menepuk dahi. Alamak..macam mana boleh tersalah ni. Sepatutnya speaking. Macam manalah benda senang macam tu pun kau boleh lupa, ‘Ain.

“Errr…orang sebenarnya saja je nak test English mak. Hebat ye mak sekarang ni. Mak belajar dengan siapa ni?” Dalih ku mengubah topik. Cair tahi telinga aku kalau mak tahu aku tak reti nak bezakan antara spelling dengan speaking.

“Mr. Henry yang handsome tulah…siapa lagi..”

“Mr. Hairi mana pula ni?” Aku mengerutkan dahi.

“Bukan Hairi lah…Henn..rrrry.. Kamu ni nama je belajar sampai ke menara gading. Tapi lidah tu keras macam tu jugak lah.” Sindir mak membuatkan aku tengadah. Kantoi lagi!

“Samalah tu. Orang Melayu panggil Henry tu Hairi.. Samalah macam Ibrahim..orang putih panggil Abraham. Kalau Isqandar jadi Alexander. Sebutan je lain tapi maksudnya sama.” Bahas ku tidak mahu kalah. Pandai-pandai je aku reka nama baru. Nak hidup punya fasal.

“Ye ke? Mak tak tahu pula. Mr. Henry tak habis ajar lagi ni.” Gumam mak perlahan.

“Siapa Mr. Henry tu, mak?” Aku mengulang soalan yang sama.

“Alah..Mr. Henry Middleton.” Beritahu mak bangga. Orang putih sesat mana pula yang mak aku sangkut ni.

“Mak kalau nak carikan ayah baru untuk orang pun, carilah orang Malaysia. Jauh benar mak cari sampai merentas benua..” Bantah aku. Aku tahu sejak ayah pergi menghadap Ilahi lima belas tahun yang lalu, mak hidup kesunyian tanpa kehadiran seorang suami. Sungguh aku takkan menghalang andai mak bertemu pengganti ayah. Tapi takkanlah dengan lelaki mat salleh. Entah potong entah kan tidak.. Eiii..selisih!

“Astagfirullahalazim..” Mak beristighfar panjang.

“Apa yang kamu merepek ni, ’Ain??? Kamu ingat mak ni hadap sangat nak kahwin lagi???” Nyaring suara mak menyoal ku di hujung talian. Kalau boleh diukur tahap kenyaringan, mahunya cecah 140 desibel.

“Habis tu Mr. Henry tu siapa?” Soal ku lagi. Aku menggaru kepala.

“Mr. Henry Middleton, cikgu dalam Oh My English tu...”

“Oh My English?”

“Yalah, rancangan kat Astro tu yang ajar macam mana nak cakap bahasa Inggeris dengan betul tu. Takkan kamu tak tahu? Patutlah bahasa Inggeris kamu ke laut.” Perli mak.

“Err..kat rumah orang ni mana ada Astro. Yang mak ni sejak bila pula tengok rancangan Astro ni? Rumah kita dah pasang Astro ke?” Tanya ku pelik.

“Mak tengok dekat rumah Makcik Leha. Dah tiga bulan Makcik Leha kamu tu pasang Astro. Si Rogayah yang bayar tiap-tiap bulan.” Cerita mak.

“Ooo…” Aku mengangguk. Dalam hati terasa juga bila aku sendiri tak mampu nak senangkan mak aku. Kesian mak terpaksa menumpang rumah jiran semata-mata nak tengok siaran Astro. Bilalah aku dapat senangkan mak sedangkan nak beri makan mulut sendiri pun tak lepas lagi.

“Kau tak jawab lagi soalan mak tadi. Kenapa kau tak telefon mak balik semalam?” Pertanyaan mak memangkas lamunan pendek ku.

“Bukan orang tak nak call mak balik tapi…” Aku menarik nafas dalam. Tak terkeluar suara dari anak tekak ini untuk tuturkan ayat seterusnya. Tidak tergamak aku nak beritahu mak yang telefon aku tak ada kredit dan aku tak cukup duit nak beli top up.

“Kamu tak ada duit ke, ‘Ain?” Mak menebak dengan tepat. Nada suara mak berubah risau.

Aku terkedu. Mak memang tidak pernah gagal membaca aku biarpun hanya dengan mendengar lenggok suara ku saja.

“Kamu belum dapat kerja lagi ya, ‘Ain?” Soalan mak membuatkan aku merasa serba salah.

Kalau aku jawab pertanyaan mak, aku takut mak suruh aku balik duduk di kampung. Kalau di bandar Kuala Lumpur ni pun aku sukar nak dapat kerja, apatah lagi di kampung. Aku nak kerja apa? Lagipun aku tak nak menyusahkan mak aku yang memang dah sedia susah. Cukuplah aku dah bebankan dia selama ini mengerah kudratnya sebagai bidan kampung semata-mata untuk menyekolahkan aku.

“Orang dah pergi temu duga kerja semalam. Kali ini orang rasa kemungkinan besar orang akan dapat kerja tu.” Jawab ku. Sengaja aku menceriakan sedikit suara agak mak tidak merasa risau.

Tiba-tiba mak mengeluh. “Maafkan mak. Sebab maklah kamu terpaksa hidup susah macam ni. Kalau kamu duduk dengan keluarga…”

“Mak, orang tak sukalah mak ungkit fasal tu lagi. Orang sayang mak. Orang bahagia hidup dengan mak.” Pangkah ku laju. Aku tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran mak. Sungguh aku tak pernah menyesal dengan takdir hidup aku. Dan aku bersyukur dengan pilihan yang aku buat ini. Sekali aku melangkah, takkan aku berpaling lagi.

“Orang yang sepatutnya minta maaf dengan mak sebab orang masih tak mampu nak senangkan mak.” Sambung ku syahdu.

“Mak tak kisah, ‘Ain. Kamu sudi hidup dengan mak pun dah buat mak cukup senang.” Nada suara mak semakin sayu.

“Mak tak pernah rasa susah bila mak ada kasih sayang seorang anak macam kamu.” Tambah mak mula teresak kecil. Kalau dibiarkan sekejap lagi pasti berderu-deru hujan air mata yang akan turun membasahi pipi mak.

“Mak…” Panggil aku.

“Orang nak tanya satu soalan boleh?” Tanya ku mengalih topik.

“Apa dia?” Suara mak menahan sebak. Sensitif sungguh emosi bidan Lijah ni.

“Betul ke mak senang dengan orang?”

“Betullah lah. Kamu kan anak mak dunia akhirat.” Balas mak tulus ikhlas.

“Kalau macam tu, boleh tak mak pinjamkan orang duit seratus ringgit?” Pertanyaan ku membuatkan mak terdiam lama.

“Bertuah punya budak. Dia kenakan kita balik rupanya!” Jerit mak kuat. Suara mak kembali nyaring. Ini barulah bidan Lijah yang sebenar.

Aku tersengih sambil mengesat juring mata ku yang mula basah. Mujur mak tak nampak.

“Boleh tak, mak? Orang tengah kering sangat-sangat ni. Hujung bulan nanti bila orang dapat gaji orang bayar balik.” Aku melembutkan suara.

“Yalah, besok pagi mak masukkan dalam akaun kamu.” Putus mak.

“Terima kasih, mak.” Ucap ku perlahan. Mak memang tidak pernah menghampakan aku biarpun sesusah mana keadaan mak waktu itu. Terasa mata ku kembali berkaca. Makin lama makin kabur. Haih..emosi bidan Lijah dah berjangkit kat aku ke?

“Err..mak. Orang sakit perut tiba-tiba ni. Nak ke tandas. Orang letak telefon dulu, ya. Assalamualaikum.” Cepat-cepat aku memutuskan talian sebelum mak dapat mengesan aku yang sedang menangis. Sakit perut hanyalah alasan.

Aku mencapai sebiji bantal dan menekup ke muka. Segala tangis ku hamburkan di situ semahu-mahunya. Kenapa tak boleh berhenti empangan di mata aku ni?

Telefon bimbit ku sekali lagi berdering kuat. Bantal yang menekup di muka ku angkat. Skrin telefon ku pandang. Tertera nombor asing yang tidak ku kenali. Pada mulanya malas aku nak mengangkat tapi bila melihat kepala nombor +03, aku mengubah fikiran Mungkin ini panggilan dari Syarikat Gemilang Holdings.

Aku bangkit. Wajah yang basah ku sapu dengan telapak tangan. Aku menarik nafas dalam sebelum menekan butang hijau di telefon.

“Assalamualaikum..” Suara seorang lelaki memberi salam di hujung talian.

“Waalaikummussalam..” Jawab ku serak.

“Boleh saya bercakap dengan Cik Qurratul ‘Ain?” Lelaki itu menyoal.

“Ya, saya.”

“Betul ke ini Cik Qurratul ‘Ain?”

“Ya, betul. Saya Qurratul ‘Ain.” Tekan ku.

“Kenapa suara sengau? Awak menangis ke?” Lelaki itu menyoal lagi.

Erk! Aku terkedu. Telefon di tangan ku tenung sekilas sebelum ku tekapkan kembali ke telinga.

“Siapa ni?” Senyap tiada respons.

“Hello…siapa ni?” Ulang ku lagi. Hidung yang tersumbat ku picit perlahan. Senyap lagi. Nak kata talian terputus, aku dengar macam bunyi orang bernafas di hujung talian.

“Kalau tak nak cakap, saya letak.” Ugut ku.

“Uzair.” Balasnya sepatah.

“Uzair?”

“Yes. Uzair from Gemilang Holdings.”

“Oh..awak..” Patutlah suara dia macam pernah aku dengar sebelum ini. Encik Sarkastik rupanya.

“Err..awak okay tak ni?” Dia menyoal lagi.

“Okay...”

“Suara awak tu kenapa lain?” Tanya Uzair masih tidak berpuas hati.

Aku mengetap bibir. Sejak bila pula Uzair ini  dilantik jaga tepi kain aku.

“Selesema. Kenapa awak call saya ni?” Suara ku naik satu oktaf. Menyampaikan rasa kurang senang di hatiku.

Uzair berdeham. “Sebenarnya saya buat panggilan bagi pihak Gemilang Holding. Sukacita dimaklumkan Cik Qurratul ‘Ain telah berjaya dalam temu duga dan diterima bekerja di syarikat kami. Tahniah.” Beritahu Uzair formal.

Aku bingkas berdiri. Bibir ku tersenyum lebar. Berita yang ku terima benar-benar meletakkan aku dalam keterujaan. Terasa ingin melompat sampai ke bintang.

“Sungguh?” Soal ku separuh percaya. Bagaikan mimpi. Setelah hampir enam bulan aku ke hulu ke hilir mencari kerja, akhirnya rezeki ku ada di Gemilang Holdings.

“Tak ada masa saya nak buat panggilan hangit pada awak.” Sinis Uzair menjawab pertanyaan aku.

Senyum ku kendur. Rasa teruja ku merudum. Dia ni sengaja nak patahkan angin aku. Kalau jawab elok-elok tak boleh ke? Ini tidak, ada saja jawapan sarkastik yang keluar dari mulut tu.

“Manalah tahu awak ni Faizal Ismail yang menyamar jadi Uzair yang sarkastik tu.” Opps! Terlepas cakap sudah. Aku menepuk-nepuk mulut ku. Macam mana boleh tersasul ni.

Lama Uzair diam tidak bersuara. Mesti dia tengah bengang dengan mulut aku ni. Biarlah. Dia juga yang mula dulu.

“Besok datang ke pejabat untuk ambil surat tawaran dan lapor diri di Jabatan Sumber Manusia sebelum pukul 8 pagi. Sila pastikan awak tepati masa dan lewat walau seminit boleh menyebabkan tawaran terbatal dengan serta-merta.” Akhirnya dia bersuara tegas. Melebih-lebih pula arahan Uzair ini. Aku rasa macam dia sengaja menokok tambah fakta terutamanya bab lewat tu.

“Arahan daripada bos besar. Bukan saya sengaja reka.” Sambung Uzair bagaikan dapat menebak kata hati aku. Aku terkedu.

“And one more thing, big boss pesan sila berpakaian kemas. Sila pastikan diapers awak cukup tebal untuk tampung apa-apa yang sepatutnya ditampung. Yang ni saya yang pesan. Assalamualaikum.”

Klik! Belum sempat aku membalas Uzair telah meletakkan telefon. Aku mendengus geram memandang telefon. Dia ni memang menyakitkan hati aku betul! 

Saturday, 20 April 2013

Temuduga Cinta Bab 5


Mulut ku terlopong luas sebaik kaki menapak masuk ke dalam bilik temu duga. Sungguh aku kagum dengan dekorasi dan susun atur perabot yang ada dalam bilik itu. Kerusi berwarna hitam yang disusun mengelilingi meja putih panjang yang berada di tengah-tengah menjadikan ruang itu tampak cukup elegan dan eksklusif dalam gaya moden yang tersendiri.

“Cik, sila duduk.” Pelawa Suraya sambil menarik salah satu kerusi. Sebuah senyuman manis diukirkan pada ku. Suraya merupakan staf yang bertanggungjawab menguruskan sesi temu duga terbuka itu.

“Terima kasih.” Aku mengangguk seraya membalas senyumannya. Teragak-agak aku nak melabuhkan duduk di atas kerusi itu. Kerusi berspring yang direka dengan lima roda itu nampak sungguh eksklusif. Rasa macam tak layak untuk punggung ini dilabuhkan di atas kerusi itu. Bimbang juga kalau aku meninggalkan kesan berdarah yang tak diingini di situ. Sudahlah aliran tenat sedang berlaku ni. Menderun laju macam air paip.

“Sama-sama.” Jawabnya lembut sebelum bergerak ke arah cermin kaca yang memisahkan bilik itu dengan ruang pejabat yang lain. Dia mencapai alat kawalan bidai dan menekan butang pada alat tersebut. Secara automatik bidai venetian itu bergerak perlahan menutupi cermin kaca tersebut. Sekali lagi mulut ku terlopong kagum. Canggihnya!

Kemudian wanita yang berusia pertengahan 20-an itu bergerak ke bahagian meja yang betul-betul berhadapan dengan ku dan meletakkan sekeping fail putih di situ. Dia mengangkat wajahnya apabila menyedari aku masih tegak berdiri.

“Kenapa tak duduk? Tak lenguh ke kaki tu asyik berdiri je..” Suraya menegur. Kedua belah keningnya sedikit terangkat.

Aku tersengih. Perlahan-lahan punggung ku labuhkan di atas kerusi empuk yang itu. Cukup berhati-hati. Aku manalah biasa duduk di atas kerusi yang mewah begitu. Fail dan beg plastik yang aku bimbit sejak tadi aku letakkan di atas meja.

“Cik Suraya..” Panggil ku. Suraya berpaling pada ku.

“Ya, saya..” Sahutnya mesra.

“Err..kat luar tu saya tengok ada beberapa orang yang tengah tunggu untuk interview. Tapi kenapa saya yang dipanggil dulu?” Aku menyoal ingin tahu. Pelik juga bila Suraya memanggil nama ku sedangkan aku antara pemohon yang mendaftar paling lambat. Mana tak lambat hampir dekat pukul 3.00 petang baru aku selesai mengisi borang permohonan.

“Kenapa?” Suraya menyoal ku balik. Dahinya yang licin berkerut memandang ku.

“Err…tak adalah. Saya cuma takut Cik Suraya tersilap.” Beritahu ku teragak-agak.

“Tersilap?” Lipatan di dahi Suraya semakin banyak. Aku mengangguk sebelum menyambung kata.

“Sepatutnya saya orang terakhir yang dipanggil sebab saya yang paling lambat mendaftar. Kesian pula dekat pemohon yang datang awal daripada saya. Dorang pun dah lama tunggu..” Jelas ku. Bab potong-memotong giliran ni memang kepantangan aku. Yalah, mana nak datangnya kepuasan kalau dapatkan sesuatu dengan cara yang tidak adil dan telus. Tak ada cabaran namanya tu.

“Ooo…sebenarnya yang di luar tu calon distribution manager.” Tutur Suraya lembut.

“Habis tu tak ramai ke yang apply untuk post store keeper ni?”

“Emm..kalau ikut senarai ni, rasanya Cik ‘Ain sorang je yang memohon.” Beritahu Suraya sambil menyelak helaian kertas dalam fail putih yang berada di hadapannya.

“Haa..saya sorang je?” Soal ku terkejut dan pelik. Syarikat bukan main gah macam ni, takkan tak ada seorang pun yang nak mohon kerja penyimpan stor tu kecuali aku. Kes aku ini pun sebab secara tak sengaja tersinggah masuk ke dalam bangunan ini.

“Ya” Suraya mengangguk. Aku terpinga-pinga memandang Suraya.

“The interview will start any minute. So, get ready ya..” Pesan Suraya menyambung bicara sebelum melangkah keluar dari bilik temu duga. Meninggalkan aku melongo sendirian dalam ruang yang cukup besar itu.

Kalau aku seorang saja yang memohon jawatan ini, maknanya aku tidak ada pesaing. Maknanya hanya aku calon tunggal untuk jawatan ini. Maknanya memang jawatan ini sah-sah akan menjadi milik aku. Senyuman ku mekar di bibir. 

“Yes! Alhamdulillah..” Ucap ku lega. Dengan rasa yang cukup teruja aku menyandarkan tubuh ke belakang kerusi. Badan kerusi yang berkeupayaan melentur sehingga 45 darjah menyebabkan aku hilang kawalan. Dan akhirnya..bump!

Tubuhku tersadai di atas lantai dengan kaki terangkat ke atas. Sebelum kain itu terselak jatuh sampai ke pangkal paha, aku cepat-cepat bangkit. Kain baju yang tersarung di tubuh ku betulkan agar terletak elok. Tudung yang senget turut ku baiki lipatannya.

Rasa sakit yang mencucuk ku tahan sekuat hati. Aduh..kesan jatuh tadi pun tak hilang lagi. Kali ini ditambah pula dengan rasa sakit dek hentakan kuat di lantai marmar. Patah riuk sungguh tubuh aku kalau macam ni. Memang hujung minggu ni aku harus balik kampung. Khidmat mengurut bidan Lijah sangat-sangat aku perlukan saat ini untuk betulkan peranakan aku yang dah dua kali jatuh ni.

Aku melilau pandangan ke sekeliling bilik.

“Fuh..” Aku mengeluh lega. Mujurlah hanya aku seorang saja yang berada di bilik itu. Kalau tidak mahunya aku bawa diri bertapa dalam gua tujuh purnama kalau ada yang melihat aksi aku jatuh gaya somersault tadi.

Kerusi yang terbalik segera ku dirikan semula. Belakang punggung ku libas dua tiga kali sebelum aku kembali melabuhkan punggung di atas kerusi itu. Berlagak selamba biarpun rasa sengal-sengal masih kuat terasa.

Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari luar. Bunyi derap tapak kaki yang melangkah masuk membuatkan aku berpaling ke arah pintu. Mata ku bulat melihat lelaki yang sedang menghampiri meja di depan ku. 

Encik Ikram! Bibir ku berbicara dalam bahasa bisu. Tanpa sedar aku turut berdiri dengan mulut yang separuh terlopong.

"Hi! We meet again. Have a seat.." Arah Ikram sambil dia turut melabuhkan duduk di hadapan ku. Senyuman manis memang tidak lekang di bibirnya. How sweet.

Bagaikan dipukau aku hanya menurut katanya. Perlahan-lahan aku membetulkan duduk biarpun cukup canggung berada di atas kerusi empuk itu. Bimbang juga kalau tiba-tiba aku tersembam buat kali kedua.

Aku memandang Ikram yang sedang tekun meneliti kertas di dalam fail putih. Entah apa soalan yang bakal ditanya pada aku? Sudahlah aku langsung tak buat apa-apa persediaan untuk menghadiri temu duga formal begini. Sasaran aku sebaik melangkah keluar dari rumah tadi cuma nak cari apa-apa kerja di restoran segera. Sungguh aku tak sangka langkah aku akhirnya membawa aku untuk ditemu duga di syarikat Gemilang Holdings ini.

"So..” Kata-kata Ikram mengejutkan aku. Dia mendongak memandang aku. Renungan dia biarpun tidak setajam Uzair tapi dia punya sepasang mata yang cukup menggoda.

“You're Miss Qurratul 'Ain Ariffin, right?" Sambungnya menyoal ku lembut.

"Yes, I am." Balas aku mengangguk yakin. Aku mengangkat sedikit dagu. Keyakinan itu perlu biarpun dalam hati ini bergelojak seribu.

"Miss..emmm....can I call you miss ‘Ain?”

“Boleh..err..yes..yes..you can.” Aku menekup mulut ku sambil mengangguk laju. Macam mana boleh tersasul jawab dalam Bahasa Melayu pula ni. Bukankah Madam Susan, pensyarah Bahasa Inggeris sewaktu aku belajar di universiti pernah berikan tips ketika menghadiri temu duga. Jika soalan ditanya dalam Bahasa Inggeris maka aku perlu menjawab menggunakan bahasa yang sama. Biarpun Bahasa Inggeris aku azabnya hanya aku saja yang tahu.

Ikram mengangkat keningnya sebelah. Pandangannya yang serius membuatkan aku mula terasa gugup. Tiba-tiba macam ada rama-rama yang sedang menggeletek usus perut aku.

“Okay, miss ‘Ain. In a few words, please tell me about yourself.” Intonasi suara Ikram berubah serius. Gaya dia sungguh profesional. Berkarisma habis. Hilang terus gatal-gatal keladi masa pertama kali aku terserempak dengan lelaki ini tadi. 

Liur yang ku telan terasa tersekat di kerongkong. Aku berjeda beberapa detik memikirkan jawapan. Kalau dalam bahasa Melayu, secepat kilat bibir aku ini boleh memuntahkan jawapan. Tapi bila aku kena bertutur dalam Bahasa Inggeris, kelajuan aku terus merudum ke paras negatif.

“Err.. my name is Qurratul ‘Ain Ariffin…”

“Yes.. I know that..” Sampuk Ikram dengan senyum senget.

“Err..I’m twenty four years old. I’m from Pahang. My father name is Ariffin bin Ahmad. He dead already. My mother name is Halijah binti Sulong. She works..errr…” Aku kematian kata. Alamak..bidan kampung tu apa dalam bahasa Inggeris?

“My mother..she works..err..village nurse..” Bolehlah. Bidan tu kan skop kerja dia lebih kurang sama macam jururawat juga kan. Cuma tak pakai uniform putih tu je.

“Village nurse?” Ikram mengerutkan dahi.

“Yes..yes..you know when a woman want to born a baby from her stomach..then my mother will greet the baby..and.. my mother also works to massage people body. But for woman only..My mother said haram if she massage a man.” Terang ku panjang lebar. Sehabis kosa kata yang ada dalam kepala otak aku keluarkan.

Bulat mata Ikram memandang aku. Mulutnya sedikit terlopong. Hebat sangat ke bahasa Inggeris aku sampai dia terpegun begitu sekali. Itulah jangan sangka budak kampung macam aku tak pandai cakap orang putih.

“Haaa...one more thing. I have no brother and I also have no sister. Err..that all about myself.” Sambung ku sambil tersengih. Kembang juga tangkai hati aku bila dapat bertutur dalam bahasa mat salleh ni.

Mata Ikram masih meratah wajah aku tidak berkelip. Takkanlah kagum sangat dia dengan aku sampai macam tu sekali.

“Mr. Ikram…” Aku melambaikan tangan.

“You have any more question?” Soalan aku membuatkan Ikram menundukkan wajahnya. Aku perasan bahunya sedikit bergerak, macam menahan senyum pun ada. Kelakar sangat ke soalan aku tu?

“Ehem..” Ikram berdeham. Dia kembali memanggungkan wajah. Merenung aku dengan serius.

Aku menunggu soalan dalam penuh debar. Tak dapat aku nak menebak soalan yang bakal ditanya lelaki ini. Janganlah dia tanya aku fasal syarikat Gemilang Holdings ini sudahlah. Dahlah pengetahuan aku fasal syarikat ini berada pada tahap zero. Masak aku nak menjawab kalau ditanya fasal latar belakang syarikat ini. Bukan kata latar belakang, senarai ahli lembaga pengarah syarikat ini pun aku tak tahu. Nak menjawab dalam bahasa Inggeris lagi satu hal. Rentung aku!

Pernahlah aku dengar nama syarikat ini sekali. Itu pun melalui cerita kawan sekampung aku Rogayah. Waktu itu aku cuma acuh tak acuh saja mendengar si Rogayah tu bercerita. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebab aku tahu Rogayah ni kaki propa. Sepuluh yang dia beritahu, satu pun belum tentu lagi betul. Ada ke patut dia gebang dengan aku yang dia bekerja di Gemilang Holdings sebagai pengurus pemasaran. Dengan bangga dia canang yang kononnya jawatan dia tu bergaji lebih dari lima ribu ringgit. Kelulusan setakat sijil ada hati nak gaji ribu-ribu.

“Miss ‘Ain, why did you apply for this position?” Pertanyaan Ikram memangkas lamunan aku. Tapi aku tak berjaya nak menangkap kata-katanya.

“Errr…I beg your pardon, sir.” Mujurlah aku masih ingat apa yang pernah diajar Madam Susan. Ayat sopan yang perlu digunakan bila kita mahu pertanyaan itu diulang lagi sekali. Tak sia-sia aku duduk di barisan hadapan kelas.

“Why did you apply for this position since you have no qualification in this area?” Ikram mengulang soalannya.

Aku menggaru kening. Macam mana aku nak menjawab soalan ini sedangkan skop kerja penyimpan stor pun aku tak tahu. Biasanya sesebuah syarikat menyimpan stok barang yang dibeli di dalam stor sebelum stok ini dibekalkan kepada syarikat-syarikat lain.

“Errr..because I want to be Gemilang Holdings workers. I want to take care the store. You know, I’m good in clean. Before this, I work as housekeeper. So, to keep the store clean and organize.. I have no problem with that.” Balas ku separuh yakin.

“Very well, then.” Ikram tersenyum senget sebelum menganggukkan kepalanya. Dia mencatatkan sesuatu di atas kertas.

“How much are you expecting for the salary?” Ikram menyoal lagi.

“One thousand ringgit.” Lancar mulut ku meletakkan nilai. Cukuplah setakat seribu ringgit. Aku tak minta lebih. Yang penting lepas aku nak bayar sewa rumah, makan dan hulurkan sedikit pada mak aku di kampung. Aku mencongak dalam diam.

“Cukup ke? I mean is it reasonable for a degree holder to earn only a thousand ringgit as the monthly income?”

“Cukup..errr…saya jawab dalam bahasa Melayu jelah ya.” Pinta aku. Ikram hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.

“Seribu ringgit itu sangat besar nilainya bagi saya. Apatah lagi saya datang ke sini tanpa pengalaman. Dan saya mempunyai kelulusan dalam bidang yang berbeza. Tapi, saya janji. Kalau saya diberi peluang bekerja di sini, saya tidak akan jemu belajar. Saya akan buktikan yang saya mampu menggalas tugas sebagai penyimpan stor setanding dengan mereka yang berpengalaman.” Ucap aku dengan penuh semangat. Dah gaya macam nak masuk pencalonan pilihan raya pula.

“Well said, Miss ‘Ain. Bagus..bagus..” Puji Ikram.

“Okay, saya rasa saya tak ada soalan lagi. Terima kasih kerana berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja Gemilang Holdings.” Beritahu Ikram formal sambil menutup fail.

“Saya dapat tak kerja ni?” Soal ku terdesak ingin tahu.

“Dalam masa beberapa hari lagi, pihak kami akan hubungi Cik ‘Ain untuk maklumkan keputusan temu duga.” Balas Ikram. Dia bingkas bangkit dan mula melangkah ke pintu bilik.
“Kenapa tak boleh beritahu sekarang?” Aku mengekori langkah Ikram. Sebaik kami berdua berada di luar bilik itu, Ikram segera memusingkan tubuhnya mengadap aku.

“Unofficially.. I tak ada masalah nak approve permohonan you ni. But I have to consult with big boss first.” Dia tersenyum manis. Kali ini senyuman dia bukan setakat manis, tapi berubah sedikit nakal. Tiada lagi gaya profesional dan formal seperti di dalam bilik tadi.

“Oohh..” Aku mengangguk. Malu pula bila tunjuk gelojoh begitu di depan Ikram.

Tapi, jangan risau. I akan yakinkan big boss untuk ambil you. I’m looking forward to work with a beautiful and young lady like you.” Giat Ikram sambil mengenyitkan matanya pada aku.

Aku melarikan wajah. Semakin membahang lah pipi aku bila dipuji begitu. Cantik ke aku ni? Tanpa sedar aku memegang pipi ku.

“Errr..by the way. Sorry ya sebab kat dalam tadi I tanya you soalan-soalan formal macam tu. You know, I have to follow a normal procedure in the interviews. Lagipun kat dalam tu ada CCTV and everything in there was recorded.” Gumam Ikram perlahan di telinga ku.

“CCTV???”


Aku mengangkat wajah. Bulat mata ku memandang Ikram. Semua yang berlaku kat dalam bilik tadi dirakamkan CCTV? Termasuk aksi somersault aku yang tersembam dari kerusi tadi? Pitam aku! Saat itu aku hanya mampu berdoa, janganlah ada sesiapa yang menonton tayangan secara langsung dari aku tadi!

p/s: Hope enjoy the new entry. Drop some comment if you will. Thank you..